Thursday, July 10, 2014

Siri Dua Puluh Satu: Menghimpun Anak Cucu

Majlis tahlil Jun 2012. Haji Abas dan Hajjah Aminah seronok bila ramai yang hadir.

Sejarah besar bagi Haji Abas dan Hajjah Aminah pada tahun 2002. Yang hadir hanya kira-kira 75% sahaja. Ramai yang tidak dapat menangkap maksud tersirat himpunan itu.


Pada tahun 2002 telah diadakan suatu himpunan empat generasi zuriat Haji Abas di sebuah hotel di Bandar Penggaram, Batu Pahat. Kebanyakannya hadir. Namun begitu ramai juga yang tidak dapat menghadirkan diri. Bagi yang hadir ianya suatu kenangan yang tersendiri. Tidak mudah menghimpunkan empat generasai dalam satu masa yang sesuai. Jika hendak dicari masa yang sesuai untuk semua yang berkepentingan maka tidak akan ada masa yang sesuai. Yang penting ialah tarikh, tempat dan masa. Makaman dan minuman hanya perintang waktu. Bertemu itu lebih diberi keutamaan. Kenyang perut biarlah untuk anak-anak. Yang dewasa bertemu, bersembang dan mengingat masa lalu yang telah berlalu. Perhimpunan pertama itu meriah dengan sesi bergambar. Dengan ucapan dari setiap anak. Ada pula nukilan sedikit mengenai masa lalu Haji Abas dari seorang menantu lelakinya.



Suasana majlis tahlil Jun 2014

Pertemuan singkat secara beramai-ramai itu berlalu dengan santai. Bertemu antara sanak saudara yang asalnya datangnya dari pasangan Haji Abas dan Hajjah Aminah. Merentasi masa berpuluh tahun lamanya. Apabila empat generasi bertemu banyak wajah-wajah keluarga yang bertaut. Menemukan titik dan detik manis dalam pertemuan keluarga. Titik yang akhirnya membesar menjadi empat generasi. Setelah 12 tahun berlalu keluarga Haji Abas menjadi lebih besar. Dalam pertemuan seperti itulah yang tua disapa. Yang muda disayang. Tugas yang dewasa untuk menyusun susur galur keluarga yang datangnya dari pasangan yang sama. Jika tidak cucu dan cicit akan terpencar tanpa mengetahui jalan pulang ke pangkuan asal usul dari mana datangnya dia. Sekarang sudah lima generasi. Ada juga usaha untuk relive semangat perhimpunan yang pertama. Namun yang kedua ini agak elusif. Payah hendak dicari tarikh yang sesuai. InsyaAllah mungkin pada tahun 2015 ada rezeki ke arah itu.


Anak-anak dan anak saudara

Sesuatu yang cucu dan cicit tidak maklum ialah Haji Abas setiap tahun berusaha menghimpunkan mereka. Lazimnya anak-anaknya kesemuanya yang hadir. Ada beberapa orang cucunya yang regular setiap tahun. Yang lain mungkin hadir berselang tahun. Acaranya sangat simple. Majlisnya kenduri arwah. Tarikhnya pasti pada bulan Sya’ban. Sebelum Ramadhan. Sudah menjadi amalan tahunan. Haji Abas tidak termampu untuk menziarahi kesemua cucu dan cicitnya satu persatu. Pada hari raya mungkin tidak kesemuanya berupaya menziarahi Haji Abas dan Hajjah Aminah. Masing-masing ada agenda tersendiri. Namun Haji Abas dan isterinya memperuntukkan masa khusus untuk majlis mengingati mereka yang pergi lebih awal. Dari datuk dan nenek mereka hinggalah cucu-cucu yang telah meninggal. Haji Abas berusaha menghimpunkan saudara-mara, sahabat-handai, kenalan, jiran tetangga, jemaah surau dan tentunya cucu dan cicit.

Haji Abas sangat perihatin orangnya. Setiap kali mengadakan majlis pastinya ia hendakkan yang terbaik. Ia mahukan juadah yang enak. Paling baik. Tinggi kualitinya.  Tidak kira sama ada dimasak sendiri oleh ahli keluarga atau dari pengusaha sajian, kualiti tetap diutamakan. Apabila menjamu tetamu Haji Abas  mahukan tetamunya makan dengan selera. Puas dan kenyang apabila pulang. Dalam hal urusan jamuan Haji Abas menjadi penganjur. Apa-apa yang hendak disajikan diserahkan kepada anak-anak untuk merancang dan membuat keputusan. Bajet tanggungan sepenuhnya Haji Abas. Hanya yang hadir dapat menikmatinya. Mungkin ikan tiga rasa. Sup tulang. Sate. Udang. Sotong. Bakso. Rojak. Banyak lagi resepi dan menu yang belum dicuba. Kesemuanya perlu yang terbaik. Untuk tetamu. Untuk anak-cucu-cicit. Bukan untuk selera Haji Abas dan Hajjah Aminah.


Di balai jamuan majlis tahlil 2012

Tedapat beberapa pengajaran dalam melaksanakan majlis anjuran Haji Abas. Timing sangat dijaga. Jadual mestilah advanced. Kadang-kadang enam bulan sebelumnya agenda majlis itu sudah digerakkan. Menunya. Tatakerjanya. Bajetnya. Beberapa hari sebelum majlis, rumah dibersihkan.  Disusun dan diatur mana yang perlu. Perkakas makan dan minum sudah diperkemas. Perkakas memasak sudah tersedia. Bahan-bahan makanan kering sudah dibeli. Gula, kopi dan bahan minuman yang lain sudah disusun. Air gula sudah dimasak. Pada pagi hari majlis, kerusi dan meja hendaklah disediakan awal. Jika diperlukan balai jamuan sudah dipasang sehari sebelumnya. Apabila anak-anak lambat sampainya bising Haji Abas. Apabila cucu-cucu tidak hadir banyak tanyanya. Sebelum tengahari kesemuanya sudah tersedia. Lauk-pauk tersedia sebelum waktu Maghrib. Selepas sahaja solat Isya’ sajian juadah siap untuk dinikmati. Diperkemas mana-mana yang perlukan perhatian. Tahlil mengambil masa kira-kira setengah jam sahaja. Kesemua yang hadir berjamu seenaknya. Haji Abas memantau sama ada tetamu cukup makannya. Cukup kenyangnya.


Sebahagian dari tetamu wanita

Sesuatu yang sangat indah sebenarnya. Selama mudanya Haji Abas bukan orang senang. Sesudah lanjut usia dia juga bukan dalam golongan orang senang. Dia membiasakan dirinya untuk memberi kepada orang lain. Memberi apa sahaja yang menggembirakan orang lain. Dia tidak spesifik siapa yang hendak digembirakan. Cantik sekiranya cucu-cicitnya menyorot kembali kepada kedaifan Haji Abas pada masa lalu. Wang titipan dari anak-cucu dihimpun dan cuba dikembalikan semula kepada mereka. Jika pada suatu masa dahulu Haji Abas banyak menangis hatinya kerana tidak mampu memberi yang terbaik kepada anak-anaknya, sekarang dia cuba menggembirakan kesemuanya dengan apa yang terdaya. Dia gembira, banyak senyum dan ketawa bersama yang hadir. Hatinya menjadi besar kerana kehadiran orang-orang yang sewajarnya dekat dengan dia dan isterinya.

Jika pada masa mudanya  Haji Abas banyak menerima pertolongan orang lain, sekarang Haji Abas berusaha menolong menggembirakan orang lain dengan memberi jamuan juadah yang terbaik. Kesedihan masa lalu diganti dengan kegembiraan mensyukuri nikmat Allah. Sesuai benar bagi Haji Abas. Jika dahulu tempatnya di bawah. Menadah pertolongan. Walaupun sekarang dia tidak tinggi keberadaannya dia mencuba menjadikan tangannya berada di atas. Tidak lagi mahu berada di bawah. Alangkah indahnya andainya usaha Haji Abas yang menjadi acara tahunan ini dikongsi oleh generasi warisan Haji Abas. Menyumbang bajet. Menyumbang tenaga. Menyumbang masa. Bagi yang berkelapangan hadir bersama meraikan Haji Abas dan Hajjah Aminah yang begitu lanjut usainya. Biarlah yang tua dan dewasa berehat. Mungkin boleh cucu-cucunya pula yang memainkan peranan aktif. Yang penting ialah fokus kerja. Bukan banyak perbincangan. Jadikan seperti yang dihasratkan. Ketepikan gangguan yang mengekang perjalanan aktiviti. Zaman Haji Abas banyak bekerja dan berfikir wajar diganti dengan kerehatan yang melegakan. Anak-cucu-cicit yang merai dan menghiburkan keberadaan Haji Abas dan Hajjah Aminah.

No comments:

Post a Comment