Saturday, July 12, 2014

Siri Dua Puluh Tiga: Pekan Parit Sulung



Pekan Parit Sulung sinonim kepada penduduk dari Ayer Hitam, Muar hingga ke Yong Peng. Dari Seri Medan hingga ke Semerah. Seluruh kawasan Simpang Kiri hingga ke Paguh. Begitu ramai pada hari Sabtu. Pasar Mingguan yang meriah. 



Pekan ini antara Muar dan Yong Peng. Melalui jalan lama yang di atas peta Semenanjung Tanah Melayu bertanda dengan nombor 1. Pada tahun-tahun 1940an dan 1950an ianya sebuah pekan kecil. Kelebihan pekan ini ialah jalan perhubungannya. Semasa Perang Dunia II dahulu British dan Jepun berada di sini. Bekas berek tentera British masih boleh dilihat hingga sekarang. Sayangnya jambatan Parit Sulung yang dibina pada zaman Sultan Ibrahim telah dirobohkan sedangkan nilai sejarahnya sangat tinggi. British cuba meletupkannya. Jepun pula yang menyelamatkannya. Setelah Malaysia merdeka berpuluh tahun, rakyat Malaysia sendiri yang telah memerdekakan diri yang merobohkannya. Persatuan Sejarah Johor dan Batu Pahat gagal mempertahankannya. Masih ada ruang alternatif  yang boleh dilakukan tetapi demi pembangunan, sejarah hanya tinggal tulisan.
 
Kawsan sekelilingnya berbukit bukau. Jika berkesampatan singgah sebentar di persimpangan jalan Yong Peng-Parit Sulung-Bandar Penggaram terdapat vista point untuk melihat panorama sekelilingnya. Cantik memukau.


Di Pekan inilah Haji Abas bermastautin sekarang. Sebuah pekan lama tetapi lambat membangun. Sangat malar. Potensinya tidak digarap walaupun wakil rakyatnya bersilih ganti. Ada antara mereka hebat-hebat belaka. Pada zaman darurat dahulu khusuanya pada tahun-tahun 1950 pekan Parit Sulung adalah sebuah perkampungan dalam pagar. Penduduk di sekitarnya khususnya dari kawasan bukit, dihimpun dan ditempatkan di situ. Tujuannya supaya British mudah mengawal mereka dari bergabung atau membantu Komunis. Lama-kelamaan pekan ini berkembang sendiri dalam fasa yang sangat perlahan. Ekonomi penduduk di persekitarannya adalah pertanian. Kelapa sawit paling menonjol diikuti dengan getah.
 
Jambatan baru ini tidak secantik jambatan lama yang telah diganti. Hanya warga tua sahaja yang pasti nostalgik. Sejarah yang dimamah pembangunan.


Pekan ini terletak di sebuah perlembangan sungai. Suatu ketika dahulu banjir adalah sejarah tahunan. Apabila banjir di hulu sungai maka banjirlah Parit Sulung. Kerana sungai sudah diurus maka kejadian banjir sudah semakin menjadi sejarah. Mungkin sekali sekala terjadi juga. Namun begitu tidaklah sebagaimana berlaku dalam tahun-tahun 1950 hingga 1960an dahulu. Walau bagaimanapun pekan ini sangat istimewa bagi mereka yang tinggal di sekitarnya. Pertamanya pasar mingguan pada hari Sabtu dan pasar malam pada hati Rabu malam Khamis. Keduanya ialah pasar Ramadhan yang lazimnya selama sebulan. Bermula dari awal Ramadhan dan tamat sebelum Subuh hari raya pertama.
 
Inilah wajah pekan yang sukar bernafas baru. Tiada janaan pembangunan komersil hatta ekonomi. 57 tahun yang agak sepi di sini. 


Rasanya paling istimewa ialah pasar mingguan pada hari Sabtu. Bertemulah antara penjual dan pembeli. Penjual pula datang dari segenap tempat yang jauh selain dari peniaga tempatan. Dari kain baju hingga ikan dari laut. Dari makanan hinggalah ubat-ubatan. Dari kuih hinggalah ikan darat/sungai. Bertembunglah antara buah-buahan tempatan dengan buah-buahan import. Buah anggur bukan lagi buah yang sukar diidam. Ramai warga kampung yang biasa membelinya. Hasil kelapa sawit yang mungkin lebih lumayan dari getah yang merudum harganya. Mereka yang datang adalah dari kampung-kampung sekitarnya. Dari pagi hingga tengahari berduyun-duyun mereka datang silih berganti. Ada sahaja yang hendak dibeli. Pada hari cuti keadaan menjadi lebih haru. Banyak kenderaan mencari tempat parkir. Malah hingga sampai di hadapan rumah Haji Abas yang jaraknya dari pasar minguan itu kira-kira 400 meter sahaja. Jika anak-cucu Haji Abas datang berkunjung memang sukar hendak parkir.
 
Pasar mingguan sahaja yang memeriahkan pekan Parit Sulung. Setiap minggu dirindui penggemarnya. 

Rasanya dua tahun dahulu harga daging sekitar RM18 sekilogram. Sekarang sudah melambung sebanyak RM4. kenaikan sebanyak 22%. Pendapatan tidak meningkat sebanyak itu. Inflasi yang spiral.


Orang kampung tidak banyak belinya. Tidak banyak carinya. Mungkin pakaian baru. Mungkin membeli ikan barang sekilogram. Mungkin membeli keperluan makan kering untuk kadar seminggu. Sebahagiannya datang untuk makan-makan. Yang pagi makan sarapan. Yang tengahari makan tengahari. Parit Sulung sebuah pekan kecil namun juadah makanan yang dihidangkan mengecurkan air liur. Masakannya tulen bukan seperti di bazaar Ramadhan yang banyak cacat celanya. Makanan tradisi masih banyak. Kuih muih tradisi yang sukar diperolehi di bandar besar boleh dibeli di Parit Sulung. Hari Sabtu seperti hari raya bagi orang tempatan. Di situlah sate dibakar. Lontong dimakan. Soto dicicip. Apam, keria, epok-epok, nagasari, lepat, kuih lapis, belebat, dadar gulung, abuk-abuk dan berbagai lagi yang boleh dibeli. Harganya masih relatif murah. Istimewa bagi orang Banjar ialah pebudak. Campuran tepung beras, pandan, gula, garam dan santan yang dibalut dalam daun pisang. Digulung memanjang sebesar jari telunjuk orang kurus. Kecil memanjang dan cantik. Enak. Manis, lemak bergaram. Yang lain adalah makanan orang Jawa.
 
Roti canai di Parit Sulung masih besar dan gebu. Buat pilihan sma ada yang bulat atau yang bersegi empat. 


Hampir semua kedai menjadi sesak pada hari Sabtu. Stok mesti banyak pada ketika itu. Gerai-gerai jualan penuh sesak dengan pembeli. Kedai makan kadang-kadang perlu menunggu giliran. Haji Abas antara mereka yang menikmati pasar mingguan hari Sabtu itu. Tempat pertemuan teman lama. Bertemu saudara jauh. Sebahagiannya menjadikan Parit Sulung sebagai tempat yang nostalgik untuk dikenang sejak dari kecil atau sewaktu masih muda dahulu. Mereka yang bekerjaya di tempat lain rindu pasar hari Sabtu di Parit Sulung. Banyak yang original terutama dari segi makanannya. Haji Abas tenang dalam pekan kecil ini kerana segala keperluannya ada di sini.

Anak muda ini ingin menambah pendapatan. Mungkin belajar untuk nenerajui konglomerat besar suatu hari nanti. Perlu usaha dan pengalaman dari bawah.


Apa lagi jika tidak enak dimakan.

Yang ini memang mengancam. Rupa dan rasanya sepadan. Nikmatnya melambung di awan.

No comments:

Post a Comment