Monday, June 23, 2014

Siri Sebelas: Maklumat Yang Terlepas Pandang

 
Pasangan ini telah bersama sejak 72 tahun yang lalu. Di samping seorang suami seperti Haji Abas, Hajjah Aminah menjadi tulang belakang kelangsungan hidupnya. Bersamanya lahirlah lapan orang anak Haji Abas yang masih bersama hingga sekarang. Seorang wanita yang tabah menghadapi banyak dugaan keluarga

 . 
Anak sulung Haji Abas, Ismail, bersama isteri keduanya. Ibunya meninggal dunia ketika Ismail masih kecil.  Ismail juga telah meninggalkan Haji Abas untuk bersama Rabbnya. Gambar ini dirakam ketika majlis sambutan hari keluarga Haji Abas pada tahun 2002. Allahyarham Ismail sedang memberikan ucapan. Rupanya ini kali terakhir seluruh keluarga bersamanya. Semoga Allah mencucuri rahmatNya ke atas rohnya. 


Suatu ketika seorang anak lelakinya mendapat peluang untuk belajar di sekolah vokasional (sekarang Kolej Vokaisonal). Seperti biasa surat tawaran disertakan dengan senarai barang-barang keperluan yang perlu dibeli dan dibawa. Yurannya pula dalam angka yang menakutkan seorang ayah seperti Haji Abas. Sistem pendidikan kita menjadi terlalu mahal kepada mereka yang kurang berada. Angka RM300 di luar kemunasabahan sebuah keluarga dari kampung yang pendapatannya terlalu kecil. Walaupun ketika itu ada anaknya yang sudah bekerja tetapi angka sebanyak itu masih di luar kemampuan. Hasrat hati ingin juga mencari sumber untuk membuat pinjaman dari mereka yang boleh memberi. Tetapi hati terasa berat kerana jumlahnya agak terlalu besar. Mungkin orang tidak pula terdaya meminjamkan sebanyak itu. Keinginan untuk Haji Abas memberikan pendidikan yang terbaik untuk  anaknya terbantut kerana sistem pendidikan yang tidak mesra rakyat berpendapatan rendah. Hingga sekarang tidak banyak berubahnya. Kerana itu anak Haji Abas terlepas peluang keemasan untuk mendapat yang terbaik dari sistem pendidkan yang ada. Alternatif pendidikan yang tidak tergapai. Sedih Haji Abas kerana kedaifannya. Apatah lagi si anak yang harapannya punah. Takdirnya mungkin begitu. Sudah ditentukan Allah. Lagipun masa sudah berlalu. Tiada siapa yang boleh dirujuk untuk membantu.
Haji Maslan dan isterinya Hajjah Saafiah bersama anak-anak mereka. Gambar ini pada tahun 2002. 


Dalam usaha untuk memandaikan anak-anak, Haji Abas berhadapan dengan berbagai pilihan. Ada yang positif dan mungkin ada yang tidak. Anak sulung dan anak kedua Haji Abas bersama Hajjah Aminah terpaksa diberhentikan sekolah. Desakan ekonomi memerlukan seorang kakak untuk berada di rumah menjaga dan mengurus adik-adik yang masih kecil  di samping membantu kerja menoreh. Remuk redam hati anak-anak itu kerana terpaksa meninggalkan sekolah. Meninggalkan harapan untuk mendapat yang terbaik dari sekolahnya. Pada masa itu jika lulus darjah enam sudah boleh memohon untuk menajdi guru pelatih untuk sekolah kebangsaan. Yang lulus darjah khas (sekolah agama) boleh menjadi guru sekolah agama Negeri Johor. Ramai rakan anaknya yang menjadi guru. Rezeki yang bukan milik. Ketentuan Allah yang banyak hikmahnya. Bukan kesilapan teknik. Bukan kesenghajaan. Pada zaman itu, itulah sahaja langkah terbaik untuk membantu keluarga. Tidak semua impian menjadi kenyataan. 

Anak kedua Haji Abas juga diberhentikan sekolah untuk berada di rumah. Dua orang anak gadis di rumah. Melunaskan kerja-kerja rumah. Menjaga adik, memasak, berkemas, membasuh dan melayan karenah adik-adik yang ramai. Ringan sedikit beban Hajjah Aminah. Bila balik ke rumah selepas menoreh  sarapan sudah tersedia. Anak-anak sudah dimandi, dipakaikan pakaian dan sudah diberi sarapan. Yang bersekolah sudah beres ke sekolah. Tengaharinya pula makanan sudah terhidang. Rumah sudah kemas teratur. Pada petangnya halaman rumah ada yang menyapu. (Pada masa-masa yang terluang anak gadis Haji Abas turut membantu menoreh getah. Mempercepatkan proses menoreh.) Haji Abas dan Hajjah Aminah pembersih orangnya. Untuk melakukan kesemuanya selepas menoreh getah tentu tambah meletihkan. Kedua anak gadisya sudah boleh diharap. Cuma malangnya kerana kemiskinan keluarga, terhalang pendidikan mereka untuk pergi lebih jauh.

Selepas bersara Haji Maslan dan isteri sempat mengembara ke Indonesia. Kebetulan keramahannya mewarisi ciri-ciri Haji Abas. Ramai rakannya datang dari seberang. Pasangan ini mahir membuat bakso.


Cerita lara anak kampung cukup banyak. Anak-anak di luar bandar tersangat jauh dari kemewahan. 10 atau 20 sen sukar tersangkut di dalam poket. Mungkin sekali sekala. Ada anak kampung yang menjual bacang. Ada yang menjual duku. Ada yang menjual kuih. Ada yang menjual ciku. Bagi anak Haji Abas ada yang menjual getah keping. Mungkin sekeping atau dua. Dijual kepada sebuah kedai Cina yang dikenali sebagai Yama. Maaf namanya yang sebenar tidak diketahui dengan pasti. Letaknya di Parit Laman, Dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Parit Sulung. Bukan sahaja untuk belanja sekolah bahkan juga ada pesanan dari Haji Abas supaya sebahagian wangnya dibelikan sesuatu keperluan keluarga seperti gula atau tepung. Getah itu pula kadang-kadang belum cukup kering. Mungkin dengan linangan airmata sekeping atau dua getah itu disalai pada petang atau malamnya supaya berkeadaan lebih kering. Bara api perlu dikawal dengan menimbus abu ke atasnya supaya api tidak marak dan getah tidak terbakar. Asap dan bahangnya yang mengeringkan getah. Asap, letih dan lara diri pasti mengalirkan airmata. Meneruskan hidup dalam payah dan memayahkan.

Cerita-cerita seperti ini bukan mimpi. Bukan fiksyen. Bukan dongeng. Bukan sesuatu gurauan zaman. Ianya realiti hidup waktu itu. Isu sosial yang memanjang rentetennya. Merdeka bukan bermakna segala-galanya dihidang dalam dulang emas. Tidak juga di atas dulang perak. Mereka yang di kampung jauh dari arus untuk maju dan membangun. Mereka cukup mengerti dengan kesusahan dan kepayahan. Negara bergerak maju tetapi tidak selari dengan mereka yang tertinggal di kampung. Ramai sebenarnya anak kampung yang terlepas pendidikan kerana desakan hidup yang sentiasa banyak menghimpit. Ada abang atau kakak yang berjaya tetapi adik-adik tidak ke mana. Ada abang atau kakak yang dibebankan dengan tanggunggan adik-adik. Demi kelangsungan sebuah keluarga bukan sahaja ibu dan bapa yang perlu berkorban. Malah anak-anak yang besar diperlukan untuk berkorban sama. Demi membela adik-adik. Sebab itu dalam tradisi orang Melayu adik-adik perlu sedar akan pengorbanan kakak dan abang mereka.

Walau apapun, kerana kesempatan itu datang juga, Haji Abas memberi peluang kepada anak-anaknya yang lain untuk menamatkan pendidikan menengah. Dengan pendidikan yang diterima itu ada antara mereka boleh berkerjaya. Keluar dari kepompong kemiskinan yang melanda keluarga sekian lama. Keluar dari rasa hina kerana miskin. Keluar dari malu kerana serba kekurangan. Pendapatan yang bukan berasaskan ekonomi kampung lebih menyakinkan anak-anak Haji Abas untuk segera keluar dari garis kemiskinan yang selalunya mengakibatkan anak-anak merasa rendah diri. Keluar dari kampung juga suatu pengalaman baru kepada anak-anak Haji Abas. Parit Mohamad sudah lama ditinggalkan. Hanya nostalgia yag masih tinggal.

Pepohon buah-buahan yang masak ranum hanya kenangan. Berlari, berkejar dan bermain hanya tinggal di laman kenangan. Parit dan air pasang sudah terlalu lama tidak membasahi badan. Hujan dan menadah air bukan lagi satu keperluan. Pelita minyak tanah yang banyak karenahnya sudah berbalam dalam kenangan. Pokok getah sudah hilang. Mesin getah sudah terhenti dari berpusing. Peredaran zaman merubah lanskap keluarga. Haji Abas lebih tenang kerana kepayahan masa lalu sudah lama berlalu. Sudah tiada lagi mengganggu fikir. Tidak lagi menuntut usaha. Inilah masanya Haji Abas untuk tidur lena tanpa ganggu gugat kerana kemiskinan lama.

Bertandanglah ke rumahnya sekerap terdaya. Generasi keturunannya sentiasa dinanti kedatangannya. Menatap mereka kerana rindu lama tetap bersarang di hati. Anak-anaknya telah dibesarkan dengan serba tidak berkecukupan. Usaha keras yang tidak memberi kemewahan. Namun ia bersyukur kerana masih berupaya menatap cucu dan cicit yang bukan lagi dalam kesusahan seperti yang dialaminya dahulu. Basikal tua yang selalu ditunggangnya sudah juga bersara. Kudratnya sudah banyak dimamah usia. Roda dua itulah bukan motorsikal dan bukan kereta. Hanya antara roda-roda kitaran hidupnya. Roda itu membawanya ke atas walaupun tidak setinggi mana. Cukuplah untuk dia berada di tempat yang lebih tinggi dari dahulu.

Menikmati sesuatu yang tidak pernah ada pada zaman mudanya. Pasca merdeka yang selalu mengkagumkannya.

Friday, June 20, 2014

Siri Sepuluh: Sekilas Kembali Merenung Masa

Beginilah anak pokok getah dalam program menanam semula kebun getah, Anak-anak getah kawin lebih produktif berbanding pokok getah biasa.

Sebenarnya banyak usaha yang dilakukan oleh Haji Abas dalam kelangsungan hidup keluarganya. Kerja utamanya adalah sebagai penoreh getah. Suatu ketika berlaku banjir seperti yang berlaku secara tahunan di kawasan Parit Sulung. Air yang melimpah dari hulu Sungai Simpang Kiri dan Kanan, Batu Pahat melalui Pekan Seri Medan dan kawasan sekitarnya. Air yang melimpah itu membanjiri juga Parit Mohamad yang didukuki oleh Haji Abas dan keluarganya. Pada waktu itu (tahun 1950an hingga 1960an) belum ada penempatan mangsa banjir. Belum ada bantuan kepada mangsa banjir secara menyeluruh. Jika ada mungkin secara terpilih. Di Parit Mohamad tiada bantuan seperti itu. Masing-masing hanya duduk di rumah. Semua kegiatan di luar rumah terhenti secara automatik. Yang tinggal hanyalah aktiviti makan dan tidur. Itupun tidak berapa lena kerana khuatir juga ular, lipan, biawak dan haiwan lain memasuki rumah. Tugas Haji Abas mengawal keselamatan keluarganya.

Biasanya terdapat sebuah pondok di tengah kebun. Tempat berehat. Walau bagaimanapiun pondok Haji Abas beratapkan rembia. Bukan zing.

Ketika banjir melanda kawasan sekitar Parit Mohamad, keluarga Haji Abas makan apa yang ada. Lazimnya tiada isyarat banjir. Walaupun banjir kerap berlaku di hujung tahun namun kedaifan orang di luar bandar tidak memungkinkan mereka menyimpan stok bahan makanan seperti seperlunya. Banjir kadang-kadang menjangkau masa sehingga lebih sebulan. Beras cepat pula habisnya. Semasa banjir selera selalunya sangat terbuka. Seperti makan semasa berkelah di tepi laut atau sungai atau tasik. Air di sekeliling rumah. Beralun kerana gugurnya buah. Atau kocakan ikan yang bebas di dalam air. Berenang di atas darat sekali-sekala. Apabila kehabisan bekalan makanan, Haji Abas bersampan ke kedai runcit yang berhampiran. Beruntung juga memiliki sampan. Memang diperlukan ketika itu.  Bagi yang lain mereka bisanya membuat rakit dari batang pisang. Itulah kenderaan untuk ke masjid atau untuk membeli barang-barang keperluan di kedai runcit.

Haji Abas menggunakan sampanya untuk mengambil upah mengangkut mereka yang hendak ke Bandar Penggaram. Dalam masa banjir sekalipun urusan pejabat atau urusan rasmi tetap berjalan. Ada yang pergi untuk membayar cukai tanah. Yang lain mendaftar kelahiran anak. Atau juga untuk mengambil kad pengenalan. Bagi mereka yang memiliki simpanan yang lumayan, mereka ke bandar untuk membeli keperluan peribadi teruatamnya pakaian untuk hari raya. Banjir separas pinggang diredah juga kerana tiada pilihan lain. Sampan Haji Abas berada pada masa yang bertepatan keperluannya. Walaupun arus sungai agak deras, sampan itu mudah dikendalikannya. Begitulah tugasnya berulang-alik membawa penumpang ke jeti di kuala Parit Mohamad.


.
Apabila pokok getah tumbang ke tanah, beberapa minggu kemudian akan tumbuh cendawan kerikit. Enak dimasak gulai atau sambal. Mungkin kerabu cendawan kerikit. Sesekali masih terjual di Parit Sulung.


Upah yang kira-kira 30 sen hingga 50 sen cukup untuk menampung keperluan semasa banjir. Tentu tidak makan yang enak-enak atau bermewah-mewahan. Jika sekarang di penempatan mangsas banjir semua keperluan disediakan, pada waktu dulu tiada siapa yang memikirkannya kecuali ketua keluarga seperti Haji Abas. Alhamdulillah anak-anak waktu itu tidak besar seleranya. Tidak meminta ayam goreng atau burger atau pizza. Mereka mengenyangkan perut dengan apa sahaja yang disajikan. Kesemuanya menyelerakan kepada mereka. Semasa banjir antara juadah yang kedua banyak dimakan selain dari nasi ialah ubi kayu. Berbagai kreativiti untuk mendatangkan selera. Biasanya direbus begitu sahaja. Dimakan berlaukkan sambal tumis atau dibuat getuk (ditumbuk atau dilenyek dicampur dengan kelapa parut, gula dan garam secukup rasa). Getuk itu diratakan di dalam dulang. Bila hendak memakannya dipotong-potong seperti wajik. Enak dimakan. (Terliur pula mengingatnya). Pada waktu yang lain dibuat lempeng, belebat atau pais ubi, bingka, pengat atau digoreng. Aduhai! Sebenarnya kesemua makanan tersebut menyelerakan. Tetapi tidak sempurna dari segi keperluan makanan seimbang. Terutamanya kepada anak-anak Haji Abas yang sedang membesar dan bersekolah.

Di tanah yang lapang, bermacam-macam pokok tanaman kontan. Antaranya pisang, lada dan ubi. Sayur dan buah melengkapkan pemakanan keluarga Haji Abas.


Itu cerita banjir. Cerita warisan zaman itu. Pada waktu tidak banjir anak-anak gadis Haji Abas turut membantu menambah pendapatan keluarga dengan mengambil upah menoreh di kebun mereka yang agak berada. Seperti penoreh lain, mereka biasanya menyuluh. Menggunakan lampu suluh minyak tanah yang dipasangkan di kepala. Menyuluh bahagian pokok yang hendak ditoreh. Cukuplah untuk  menambah pendapatan. Mencukupkan mana yang kurang. Selain dari sudah pandai mengurus rumah, mereka boleh diharap membantu meningkatkan ekonomi keluarga. Sama-sama membesarkan adik-adik. Cerita kakak atau abang membantu keluarga masih berlaku hingga sekarang. Anak sulung berat bahunya menanggung semua itu. Hanya adik-adik yang perlu banyak berfikir mengenang jasa kakak kakak dan abang ketika masa lalu yang payah.

Pokok keladi subur ditanah yang dipudar semula.


Begitu juga pokok serai dan jagung.

Suatu ketika dahulu ramai orang kampung yang menanam semula kebun getah mereka. Pokok yang sudah tua diganti dengan pokok-pokok getah yang lebih produktif. Yang getahnya lebih banyak. Menambahkan pendapatan. Namun untuk menanti pokok-pokok itu besar memerlukan sekurang-kurangnya kira-kira empat tahun. Haji Abas antara pesertanya yang menyertainya pada akhir tahun 1960an. Sementara menunggu pokok getah boleh ditoreh Haji Abas menoreh kebun getah orang lain. Kebetulan jirannya sendiri yang tinggal di hadapan rumah. Namanya Haji Mansur. Orang Banjar yang pelembut dan baik hati. Lazimnya apabila getah dijual hasilnya dibahagi dua. Pemilik tanah separuh dan penoreh separuh bakinya. Oleh kerana Haji Abas bukan orang senang acap kali dia meminjam wang dari Haji Mansur. Dibayar apabila menjual getah pada giliran berikutnya. Apabila keperluan mendesak ansuran membayar hutang itu diminta tangguh. Alhamdulillah Haji Mansur amat mengerti orangnya. Semoga rohnya berada di sisi para solihin.

Pokok lada


Tebu. Bila berehat pokok tebu dimakan untuk dihisap airnya. Tidak perlu pisau atau parang. Biasanya dengan gigi sahaja.


Tidak cukup dengan itu Haji Abas bersama keluarganya mengambil upah membersihkan kebun yang ditanam semula milik Haji Ramli. Rumahnya tidak jauh dari rumahnya. Setiap pokok yang dibersihkan dibayar hanya 15 sen sahaja. Haji Ramli juga antara mereka yang baik hati. Bersedia membantu. Itulah bantuannya kepada keluarga Haji Abas. Memberi upah kerana bekerja. Bukan percuma. Haji Ramli selalu dikenang kerana kebaikannya. Suatu ketika anak saudara Haji Abas bertandang ke rumah. Ketika itu beras di dapur sudah habis. Termenung panjang Haji Abas. Waktu tengahari begitu tentu tetamu perlu diberi makan. Anak saudara pula. Pengalaman mengajar Haji Abas supaya bertenang membujuk hati. Dia solat Zohor terlebih dahulu. Memanjat doa mohon pertolongan Allah. Terlintas fikirannhya untuk meminjam wang dari Haji Ramli. Sangat mudah bagi Haji Ramli. Dia bertanya berapa yang hendak dipinjam oleh Haji Abas. Tidak banyak RM20 sahaja. Dipendekkan cerita dapat juga Haji Abas menjamu anak saudaranya sekadarnya. Semoga Allah merahmati roh arwah Haji Ramli.

Pokok benbe. Subur di tanah baru. Banyak lagi sayuran yang ditanam. Apabila hendak memasak petik sahaja mana-mana yang menuntut selera. 

Pada akhir tahun 1960an Haji Abas dan Hajjah Aminah dibantu oleh anak gadisnya yang berada di rumah selepas peperiksaan SPMnya. Mencuba mencari kerja tetapi tidak berjaya. Membuat keputusan untuk berada di rumah membantu Haji Abas dan isteri menguruskan makan minum, mengemas rumah dan membereskan semua kerja rumah yang lain. Di samping itu membersihkan halaman dan sekitar rumah. Pada waktu lapangnya menanam bunga yang diminta dari rakan-rakannya di sekitar kawasan itu seperti Parit Separap atau Batu Putih. Haji Abas juga meminati tanaman bunga. Lurus dan cantik teratur tanaman bunganya. Menanam bunga lazimnya dilakukan pada hari hujan kerana tidak menoreh. Sewaktu kebun getah Haji Abas ditanam semula, anak gadisnya membantu membesihkannya. Sesekali membantu Haji Abas membersihkan kebun Haji Ramli seperti tercatat di atas. Hajjah Aminah sudah boleh membebaskan dirinya dari urusan rumah. Sarapan dan makan tengahari siap untuk dimakan. 

Pada masa itu anak lelaki Haji Abas sudah bekerja di Johor Bahru. Empat orang lagi yang masih bersekolah. Kedudukan ekonomi Haji Abas mula bertambah baik. Waktu itu pakaian bukanlah yang menjadi keutamaan. Tetapi anak gadis Haji Abas sangat berminat dengan baju baru. Kebetulan setiap minggu datang dua orang penjual kain. Mereka datang berbasikal pada hari yang berlainan. Seorang bernama Rasyid datang pada hari Isnin dan seorang lagi bernama Samy datang pada hari Khamis. Orang India Muslim.  Kedua-duanya dari India. Sepasang baju antara RM15 hingga RM20 sahaja. Boleh berhutang dan dibayar beransur-ansur sebanyak antara RM3 hingga RM5  setiap minggu. Suatu kehidupan yang sangat memudahkan. Penjual kain seperti itu hidup menjaja kain dari kampung ke kampung yang lain dengan berbasikal. Haji Abas membelikan pakaian untuk ahli keluarganya dari kedua penjual kain tersebut kerana sangat memudahkan. Pilihan tidak terlalu banyak. Tetapi tidak terlalu rambang mata. Lagipun untuk ke pekan atau bandar mengambil masa yang lama. Kerja banyak yang perlu disiapkan.

Tuesday, June 17, 2014

Siri Sembilan: Air Mata Yang Menggenang


Sekadar hiasan. Memesin getah keping perlukan dua orang. Seorang memasukkan getah dan yang seorang lagi memusingnya. Lazimnya ibu dan bapa atau abang dan kakak yang memasukkannya sementara adik yang memusing. Ada teknik yang tersendiri bila memusing mesin. Tidak terlalu laju atau terlalu perlahan. Pengalaman memahirkannya. 





Aktiviti menoreh getah diteruskan. Sewaktu cuti sekolah adalah anak-anaknya yang membantu memesin getah. Mereka mungkin membantu menoreh atau membantu memungut getah. Cuma memesin getah perlukan dua orang. Seorang memasukkan kepingan getah ke dalam mesin. Seorang lagi memusing rodanya. Bolehlah dilakukan seorang diri tetapi agak seksa untuk menyudahkannya. Banyak teknikaliti yang perlu diberi perhatian. Jika tidak kepingan getah tidak cantik. Mungkin senget atau mungkin ketebalannya tidak sekata. Semasa memesin getah keping inilah Haji Abas berdialog dengan anaknya.

Haji Abas:   Takkan selamanya kita macam ni. Hidup susah. Kau mesti belajar  
                     rajin-rajin. Jadi orang pandai.
Anak: Taklah bah!

Anaknya hanya menjawab ringkas. Kepada anaknya apa yang diungkapkan oleh Haji Abas tidak difahami ketika itu. Tidak mengerti apa yang diungkapkan oleh Haji Abas. Kepada anak itu semuanya ada. Makan nasi bercampur jagung adalah sesuatu yang biasa. Bukan luar biasa. Kerana itu keluhan Haji Abas tidak dapat ditangkap maksudnya. Begitulah kanak-kanak. Kepada mereka asalkan makan,  perut mereka kenyang, tiada apa yang dirisaukan. Pakaian apa yang ada memadai. Kepada Haji Abas anaknya itu terlalu naif. Dia hanya bersimpati kerana tidak memberikan yang terbaik untuk anak-anaknya. Keterbatasan ekonominya tidak membantu untuk memewahkan apa yang perlu. Walau bagaimanapun dia bersyukur kerana Hajjah Aminah membantunya berhadapan dengan keadaan yang sukar buat dia dan keluarganya. Hidup senang terus bersama.  

Ungkapan itu dilontarkan sesayu hati. Dengan sebak yang ditahan di dadanya yang kurus. Suaranya bergetar menahan gelora. Si anak dapat melihat genangan airmata. Bahawa dalam genangan airmata itu terselit suatu harapan besar yang anak-anaknya akan keluar dari kemiskinan. Jauh dari kesusahan. Getah adalah kehidupan sebahagian besar masyarakat Melayu ketika itu. Terutama yang tinggal di luar bandar. Sumber utama. Pekebun kecil seperti Haji Abas hanya secukup makan. Kebun getahnya yang sedikit dan menoreh kebun orang tidak banyak membawa perubahan dalam hidupnya. Sedikit kelegaan barangkali. Harapannya menggunung agar anak-anaknya mencapai mercu kejayaan yang tergarap. Keluar dari kepompong derita lara yang terlalu lama dirasanya. Kemiskinan banyak mencalarkan hidupnya. Mencabar maruahnya. Dia tidak mahu anak-anaknya mewarisi kemiskinannya. Cukuplah dia sahaja yang mengalaminya. Bukan anak-anaknya. Barangkali kerana itu Haji Abas selalu rindukan anak-anaknya. Bukan cucu-cucunya yang selalu disebut namanya. Mana-mana anak yang lama tidak bersua muka pasti ditanya pada anak yang lain. Beruntunglah mana-mana cucu yang dapat berada dalam ingatannya. Berada dalam senarai cucu-cucu yang diingatinya.

Setiap bapa mahukan yang terbaik untuk anak-anaknya. Untuk menjadi manusia berguna yang akhirnya dapat mengeluarkan istilah kemiskinan dari kamus keluarga. Jika tidak kaya sekalipun, berkeupayaan menjadi orang-orang yang berkecukupan. Belajar untuk keluar dari kitaran ganas kemiskinan yang sinonim dengan orang Melayu sebelum dan sesudah merdeka. Irama kemiskinan itu masih kedengaran sekali-sekala di sana sini walaupun negara sudah lebih setengah abad mengecap kemerdekaan. Kemerdekaan ekonomi belum lagi dinikmati sepenuhnya. Pasca merdeka masih juga dialami sebagai zaman payah oleh Haji Abas.

Pada awal tahun 1966 suatu episod baru berlaku dalam hidup Haji Abas. Ada anaknya yang mendapat Biasiswa Kecil Persekutuan dari tingkatan empat hingga tamat tingkatan lima. Wang sejumlah RM300 setahun cukup untuk membeli basikal yang berjenama Raleigh yang popular ketika itu serta keperluan persekolahan. Anaknya berkecukupan untuk tidak lagi perlu disara sepenuhnya. Lepas belanja sekolah. Tanggungannya berkurangan. Yang perlu dihulurkan berkurangan dengan sendirinya. Perhatiannya ditumpukan pula kepada anak-anak yang lain. Yang masih bersekolah kebangsaan. Apabila Sekolah Menengah Sultan Sulaiman dibuka di Parit Sulung, tradisi menghantar anak ke sekolah menengah di Bandar Penggaram terhenti secara automatik.  Ianya bertambah melegakan Haji Abas. Anak-anaknya berbasikal ke sekolah. Berulang-alik dari rumah. Makan dan minum dapat diurus dengan baik. Ada anaknya yang sebelum itu menjadi pembantu rumah kepada Pegawai Daerah Batu Pahat ketika itu. Haji Abas mula merasa sedikit lega walaupun anaknya dibayar sekitar RM25 sahaja.   Kepada Haji Abas ianya merupakan suatu rahmat. Bahunya semakin ringan. Hatinya semakin damai.

Bermulah proses memulihkan maruah keluarganya. Tidak mungkin Haji Abas menjadi ayah yang sempurna. Perfect father. Terlalu banyak kekurangan yang ada pada dirinya. Miskin harta yang selalu menjadi kerisauan kepada orang lain. Namun sebagai ayah Haji Abas berusaha untuk menyempurnakan kesemua keperluan yang mungkin. Menyempurnakan tugas seorang bapa. Dia banyak belajar. Dari jatuh dan bangunnya, banyak prinsip hidup yang dipegangnya. Banyak falsafah yang membantunya. Banyak petua yang indah dalam hidupnya. Walaupun banyak kali jatuh, Haji Abas tetap ceria. Tiada suatupun yang menjadikannya sedih. La tahzan. Jika  pada ketika-ketikanya kenangannya dibawa ke zaman lampau itu, dia hanya tersenyum. Kepadanya itu hanya suatu kisah dahulukala. Kisah yang perlu dilalui untuk hidup. Dia  tidak pernah menyesali zaman-zaman derita dan laranya dahulu. Ianya asam garam yang memperkayakan dirinya. Tidak pernah ada rasa dendam.

Beberapa orang anaknya menjawat jawatan di beberpa jabatan kerajaan. Pada tahun-tahun 80an barulah banyak kelegaan dinikmati oleh Haji Abas. Hidupnya tidak sesusah dahulu. Ramai antara anak-anaknya sudah berumahtangga. Sudah bekerjaya. Tidak ramai lagi yang bersamnya. Tanggungannya semakin bertambah ringan. Anak-anak menghulur seberapa yang terdaya. Sambil itu dia berniaga makanan ringan di rumahnya. Adalah juga pendapatan tambahan walaupun tidak seberapa. Apabila kesemua anak-anaknya berumahtangga, Haji Abas tinggal berdua sahaja dengan Hajjah Aminah. Rumah di Parit Mohamad digagahi juga untuk dihuni dan diurus. Mungkin mereka berdua terasa kesunyian di kampung. Berpindah lagi mereka ke Parit Sulung. Meneruskan hidup berdua. Begitulah lumrah hidup. Masa silih berganti merubah mana-mana yang tiada kepada ada. Yang lama menjadi baru. Yang ada hilang bersama masa yang berlalu.

Pisau toreh ini berhulukan kayu. Pada era Haji Abas sebelumnya pisau toreh besi kesemuanya. Apabila matanya sudah haus dan sukar diasah maka pisau itu dititik semula. Ramai tukang titik kerana ramainya penoreh getah.


Susu getah dicampur cuka getah untuk mengeraskannya. Dimasukkan ke dalam loyang khas mengikut ukuran yang dikira standard. Dikacau perlahan-lahan sehingga boleh dituang di atas lantai untuk ditipiskan sebelum dimesin.


Susu getah mengalir ke dalam cawan.



Benih getah kahwin mengeluarkan susu getah yang berganda banyaknya.



Pada waktu lapang, pokok yang tumbang atau pokok yang mati dipotong untuk dijadikan kayu api. Digergaji setual-setual dengan gergaji besar dengan proses sorong dan tarik. Perlukan dua orang untuk melakukannya. Tual-tual itu dibelah, dijemur dan kemudiannya disusun di bangsal kayu yang dibuat khas.


Pada suatu ketika dahulu hanya ada gergaji besar seperti ini untuk memotong kayu. Ditolak dan ditarik oleh dua orang dari hujung yang bertentangan. Haji Abas dan anak-anaknya terlalu biasa menggunakan gergaji seperti ini.

Monday, June 16, 2014

Siri Lapan: Kemiskinan Merentas Usia


Ini adalah antara mesin getah bunga. Mesin kedua selepas menggunakan mesin getah licin seperti mesin yang di sebelah belakang. Yang licin untuk menipiskan kepingan getah dan untuk mengeluarkan airnya sebanyak yang mungkin. Mesin bunga adalah proses akhir sebelum getah keping disidai untuk dikeringkan. 



Berpindah ke kampung lain tidak seindah dijangka. Berada di kampung orang banyak juga cabarannya. Mereka yang mendatang kadang-kadang sukar diterima sepenuhnya. Ada sahaja salah yang dilihat. Silap yang dipandang. Perbezaan yang tidak disenangi. Dalam bahasa psikologi ianya disebut sebagai pertembungan psikologi. Clash of psychology. Bukan kerana tidak baik. Bukan kerana menyusahkan orang lain. Haji Abas bukan orangnya. Namun begitu banyak pula kesabarannya teruji. Alhamdulillah jiwanya tenang menghadapi segala cabaran itu. Tidak menggelabah. Tidak patah hati. Tidak menunjuk marah. Tidak juga mendendam. Orang tidak suka tidak boleh dipujuk rayu. Dalam hati sahaja disimpan segala yang berlaku. Jerat tidak melupakan pelanduk. Pelanduk sahaja yang lupakan jerat. Jauh di sudut hati Haji Abas kesemua peristiwa yang dilaluinya disimpan kejap dalam lipatan kenangannya. Sekali sekala keluarlah cerita itu apabila ada yang menjentik perasaan dan ingatannya.

Kepingan getah dimasukkan antara dua penggelek di atas dan di bawah. Dipusingkan menggunakan pemusingnya seperti roda. Kepingan getah dimasukkan berulang kali sehingga benar-benar hilang airnya.


Dalam kemiskinan yang dilaluinya Haji Abas cukup kenal siapa ahli keluarga dan siapa rakan taulan yang boleh dijadikan tempat bersandar. Cumanya keperitan berhadapan dengan cabaran belum lagi putus-putus walaupun dia telah menyingkirkan diri ke tempat yang berbeza. Di sekeliling rumahnya ditanam berbagai pokok buah-buahan seperti jambu air, jambu batu, rambutan, manggis dan pokok pisang. Sepohon rambutan ditanam di hadapan rumah, sepohon di tepi rumah dan sepohon lagi di belakang rumah. Yang di hadapan rumah enak buahnya. Isinya garing dan manis. Menjadi kegemaran anak-anaknya. Tiba-tiba pokok itu layu mengering. Seorang kenalan bernama Andai yang berketurunan Banjar Alai dari kampung sebelah datang bertandang ke rumahnya. Dia terpandang pokok rambutan itu dari tengah halaman rumah. Dia berhenti memerhatikan pokok itu. 

Andai: Napang  rambutanmu ni ding? (Kenapa  rambutan kau ni dik?)

Haji Abas: Kadek tahuk! (Tidak tahu.)

Andai mengeluarkan pisau lipat dari dompetnya lalu menoreh batang  pokok rambutan tersebut. Dia menciumnya.

Andai: Rambutanmu diraaacun ding ai. (Pokok rambutanmu diracun dik.)

Terpegun Haji Abas menerima fakta itu. Apa salah pokok itu. Apa salah dirinya sehingga pokok rambutan yang tidak bersalah menjadi korban khianat. Kelu lidahnya hendak berkata. Siapa pula yang berbuat khianat. Cuma firasatnya dapat meneka siapa dalangnya. Apabila manusia dirasuk dengan perasaan yang tidak tenteram bermacam-macam motivasi syaitan yang dapat dilakukan. Khianat bukan untuk kesenangan diri. Bukan untuk membahagiakan diri. Khianat dan hasad dengki itu hanya memakan diri. Tidak aman di manapun berada.

Gambar ini menyerupai rambutan yang diracun pokoknya. Bukan rezeki Haji Abas dan keluarganya.


Getah keping yang sudah dimesin bunga. Dikeringkan sebelum dijual.


Haji Abas menumpang menggunakan mesin getah jirannya. Walau bagaimanapun izin yang diberikan pada awalnya itu rupanya tidak disenangi. Pada suatu ketika yang lain hati Haji Abas teruji lagi. Apabila hendak ke tempat memesin getah Haji Abas mendapati titi kayu dua batang yang merentangi parit kecil antara rumahnya dan bangsal memesin getah telah dubuang orang. Haji Abas masih belum perasan lagi musibah yang lebih besar. Apabila sampai di bangsal untuk memesin getah terdapat pula secarik kertas yang berbunyi, “Tidak dibenarkan menggunakan mesin getah ini lagi!” Noktah. Surat layang tanpa tandatangan. Tetapi sekilas ikan di air, Haji Abas tahu siapa orangnya. Tidak perlu dicari. Tidak perlu ditanya. Tidak perlu meminta penjelasan. Tidak juga untuk merayu. Pada hari itu getahnya hanya dibuat getah beku. Tidak dapat dimesin dan dijadikan getah keping seperti biasa.  

Ligat fikiran Haji Abas memikirkan alternatif yang perlu dilakukan. Mesin getah perlu diperolehi segera. Hari esok getah akan ditoreh lagi. Dia perlu mengetahui sumber untuk dicari. Panjang doa Haji Abas pada hari itu. Dia memohon kepada Allah supaya memberinya jalan untuk mengatasi masalah. Doanya dimakbulkan Allah. Dia teringat ada ibu saudara Hajjah Aminah di Parit Laman yang memiliki beberapa pasang mesin getah. Jauhnya kira-kira tiga kilometer. Selang beberapa kampung dari Parit Mohamad. Beberapa hari kemudian mesin itu sampai dibawa ke rumah. Pengalaman menjadikan Haji Abas tangkas berfikir. Tangkas pula bertindak. Tidak mati akal begitu sahaja. Banyak berserah kepada Allah.

Yang ini getah sekrap (scrap). Susu getah yang beku di dalam cawannya. Dipungut dan terus dijual begitu sahaja. Getah jenis ini sangat kuat baunya. Hangit yang melampau.


Kehadiran mesin getah itu menenangkan keadaan. Kebergantungan kepada orang lain dikurangkan seminimumnya. Mencukupkan keperluan sendiri lebih menguntungkan dalam jangka panjang. Tentu sahaja mesin itu dibayar kemudian. Berhutang dahulu. Alhamdulillah saudara yang seorang ini pemurah orangnya. Memahami kesulitan yang dihadapi oleh Haji Abas dan keluarga. Tanpa mesin getah, lumpuh aktiviti menoreh yang dijalankan oleh keluarganya. Satu lagi episod payah yang melingkari diri Haji Abas. 

Cerita khianat yang diterima Haji Abas berulang pada waktu yang lain. Sebaris pokok pisang yang ditanam dengan subur ditebang orang tanpa sebab. Kebetulan pula kebun getah Haji Abas sedang melalui proses tanam semula. Tanah lapang dan sedang seronok untuk dicucuk tanam. Bak kata orang berjagung-jagung dahulu sementara menunggu padi masak. Sementara menunggu tiga tahun sebelum anak getah boleh ditoreh. Termenung panjang Haji Abas memikirkan angkara. Setelah diselidik diketahui juga siapa yang melakukannya. Yang empunya badan mengaku yang ia disuruh orang lain untuk melakukan khianat itu. 

Ayam juga banyak masalah jika tidak terkawal. Orang kampung biasanya memelihara ayam. Banyak kegunaannya. Selain untuk dimakan bila perlu ianya seperti hadiah besar untuk keluarga terutamanya pada hari raya atau semasa mengadakan kenduri-kendara. Termasuk juga jika datang saudara yang tinggal jauh atau saudara tua seperti bapa saudara atau abang saudara. Biasanya  ayam kampung dibebaskan walaupun diberi makan mengikut jadual. Rupanya kebebasan ayam itu menjadi masalah kepada jirannya. Mungkin menumpang makan ketika ayam mereka diberi makan. Mungkin membuang najis di tempat-tempat tertentu. Riuh jirannya berkeriau menghalau ayam sambil mengomel panjang. Haji Abas maklum akan masalahnya. Dibelinya pula dawai mata punai lalu dipagar rumahnya supaya ayam-ayamnya tidak ke rumah sebelah.

Hidup berjiran perlu banyak sabarnya. Sebab itu sebelum berpindah rumah, kaji dahulu jiran tetangga yang ada. Andainya mereka jenis yang perihatin dan baik budi, seronok kehidupan kita. Begitu juga rumah yang berhampiran dengan masjid  dan surau mudahkan pula untuk berjemaah. Kadang-kadang apa yang diharap tidak kesemuanya membahagiakan. Dari luar orang hanya dapat melihat apa yang bersalut. Dari jauh orang hanya melihat secara tidak pasti. Mengetahui secara dekat orang akan terpegun mengetahui apa yang dilalui oleh Haji Abas. Liku-liku hidupnya penuh onak. Penuh duri yang mencarik di sana dan mencarik di sini. Tempat berpijak selalunya goyah. Tempat berlindung hanya kepada Allah. Hampir tiada siapa tempat mengadu kecuali kepada Allah. 

Mesin getah. Gambar di sebelah kanan mesin yang licin dan yang di sebelah kiri mesin yang berbunga. Tanpa kedua-dua mesin ini getah keping memang tidak boleh dihasilkan. 



Biji getah. Kanak-kanak menggunakannya untuk bermain seremban. Sewaktu Perang Dunia II dahulu ada orang yang menggunakannya untuk membuat tempe. Dikatakan sedap kerana sudah tiada makanan lain. 

Sunday, June 15, 2014

Siri Tujuh: Randah Berpindah

Lampu suluh minyak tanah yang dipanggil tedeng oleh orang Jawa di kampung. Bersumbu guni. Diisi minyak tanah. Diikat di kepala. Terasa berat. Jika tersandung banir atau akar getah, terbanglah lampu itu ke tanah. Pada musim panas boleh terbakar kebun getah. 


Hajjah Aminah bertiga beradik. Dia yang sulung. Adiknya bernama Ramli dan yang bongsu bernama Ali. Kedua-duanya hidup bersama Haji Abas dan Hajjah Aminah di rumah nenek mereka di Parit Maimun. Ramli dan Ali menjadi tanggungjawab Haji Abas. Sesudah menyanyangi kakaknya kedua adiknya perlu pula diberi perhatian. Malah Ramli dan Ali dikhatankan oleh Haji Abas. Perkahwinan mereka diuruskan olehnya. Alhamdulillah kedua-duanya mendapat isteri anak orang yang agak berada. Sekurang-kurangnya mereka tidak berada dalam kemiskinan yang memanjang. Kehidupan mereka juga berada dalam keadaan lebih selesa dari kehidupan Haji Abas. Sebagai abang ipar dia dapat melepaskan adik-adik iparnya dengan selamat sejahtera. Membina keluarga masing-masing dengan bahagia. Begitu luhurnya hati Haji Abas. Berusaha memberi yang terbaik kepada semua orang yang berada di sekelilingnya. Sifat diri yang tidak pernah lekang dari dirinya.

Langit tidak selalunya cerah. Panas tidak sampai ke petang. Hujan datang menimpa di tengahari. Bak kata pantun:
Kajang tuan kajang berlipat,
Kajang saya mengkuang layu;
Dagang tuan dagang bertempat,
Dagang saya menumpang lalu.

Menumpang di rumah keluarga banyak cela dan cacat. Ada hati yang tidak tenteram. Ini cerita orang Melayu. Bukan cerita baru. Bukan cerita lama. Ianya cerita berzaman yang berulang-ulang. Konflik keluarga selalu terjadi. Puncanya terlalu kecil. Mungkin iri yang tersangat kecil. Itupun bukan semua ahli keluarga. Hanya seorang dua yang senangnya tiada. Sukanya tidak. Bencinya juga tidak bertempat. Tuba juga yang diterima dalam kebaikan yang diberi oleh Haji Abas. Entahlah apa yang tidak kena. Rumah nenek Hajjah Aminah yang banyak diperbaiki dengan usahanya diungkit sebagai pesaka bersama. Ada yang inginkannya. Mereka menganggap bahawa tidak layak Haji Abas menumpang senang di rumah nenek mereka. Tanah tidak sekangkang kera. Harta tidak juga sekapal banyaknya. Wang bukan berjuta. Tetap konflik hati terjadi. Pertembungan psikologi terlontar juga. Sayangnya tidak ada ahli keluarga lain yang menghulur keadilan. Hidup sudah menjadi tidak tenteram lagi. Bak dibakar bara api yang memanggang panas. Dalam diam tanah dicari dan dibeli. Kambing peliharaan Haji Abas cukup untuk membeli sebidang tanah yang luasnya kira-kira sehektar. Berulang-alik Haji Abas mengurus membina sebuah rumah. Pergi mencari kayu di hutan yang berhampiran untuk dijadikan tiang, rasuk, belebas dan kekasau. Ketika anaknya bersama Hajjah Aminah sudah seramai lima orang bergalas pindah Haji Abas ke kampung sebelah. Parit Muhammad namanya. Kampung yang akhirnya merubah lanskap kehidupannya sedikit demi sedikit.  Perpindahan itu seksa juga. Hanya sampan yang boleh diguna. Membawa barang dan isteri serta anak-anak. Anaknya yang kecil ketika itu baru pandai merangkak. Tahun 1954 yang suram dalam sejarah diri Haji Abas dan keluarganya.

Yang dibawa adalah hati yang remuk redam. Nurani yang luluh. Semangat yang kacau. Dengan longlai dibawa apa yang ada. Harta pusaka tinggalan ayah dan ibu yang tidak seberapa sahaja yang dibawa. Kesemua pesaka arwah nenek ditinggalkan. Biarlah siapa sahaja yang mengkehendakinya. Menghindar dari konflik yang tiada tepinya. Yang ditinggalkan ialah deraian airmata. Tumpahannya yang berjuraian. Meninggalkan segala kebersamaan. Berpisah sementara darah dan daging sendiri. Tercarik bulu ayam yang cantumnya mengambil masa yang lama juga. Seperti biasa, yang pergi mencari damai. Membina semula kehidupan. Rumah dibangunkan seadanya. Bergolok bergadai dengan apa yang ada. Atap rembia disusun. Lantainya sahaja dari papan yang dibeli. Sebahagiannya berlantaikan batang pinang. Ada tiang yang dicari dari hutan yang ketika itu masih ada di Parit Muhamad. Kekasau dari pokok mahang. Kesemuanya diusahakan dengan kudrat yang ada.
 
Menggunakan minyak tanah. Dipam dan dibakar minyaknya. bila habis minyak ditambah. Terang juga tetapi selalu dihurung serangga malam.

Dalam gelabah itu ada rakan yang boleh ditumpang bantu. Sebuah kedai runcit milik Cikgu Mat menjadi tumpuan. Letaknya di kuala Parit Sauh. Darinya dibeli periuk dan belanga. Pinggan dan mangkuk. Perkakas dapur dan barang-barang makanan keperluan. Seperti biasa Cikgu Mat sangat memahami. Hutang diberi. Sebentuk cincin bertatah berlian menjadi cagaran. Nama Cikgu Mat sangat sinonim kepada Haji Abas. Dalam kesempitan yang banyak dan senang yang Allah tangguhkan akhirnya cincin itu terlucut juga dari jari Haji Abas buat selama-lamanya. Cincin yang menyimpan terlalu banyak kenangan itu terlepas juga dari ditebus. Wang RM400 bukan sedikit pada tahun-tahun 60an. Malah pada tahun-tahun 70an kehidupan orang Melayu masih lara. Inflasi pada tahun 1972 memburukkan keadaan. Haji Abas turut merasakan tempias inflasi itu. Ramai orang kampungnya yang kembali memakan ubi kayu seperti pada zaman Jepun dahulu.
 
Ini lampu minyak tanah di dalam rumah. Terangnya tidaklah seberapa,

Di Parit Muhamad Haji Abas menjadi penoreh tegar.  Tidak lagi menjual sayur. Di samping menoreh tanah sendiri Haji Abas menoreh di tanah milik orang lain. Lazimnya hasil getah itu dibahagi dua. Hajjah Aminah menoreh di kebun sendiri. Haji Abas yang menoreh kebun milik orang. Menoreh pokok getah ada sistemnya yang tersendiri. Susu getahnya banyak pada awal pagi. Kerana itu menoreh bermula seawal pukul 3.00 pagi. Kebanyakannya bermula pada pukul 4.00 pagi. Istilahnya ialah menyuluh. Mereka memakai sejenis lampu berisi minyak tanah yang dibuat khas untuk mudah menyuluh jalan dan bahagian pokok yang ditoreh. Mereka tidak ada rasa takut di malam yang gelap gelita. Suasana sunyi dan senyap. Semakin anaknya semakin membesar ada antaranya yang menolong menoreh. Ada masanya terlihat juga lampu suluh tiada bertuan di kebun sebelah. Bila siang rupanya jiran sebelah tidak menoreh. Siapa yang menyuluh? Allah Maha Memelihara. Tidak pula terasa takut dengan hal-hal seperti itu. Tabahnya orang dahulu.


Sebenarnya di kampung yang baru ini ada juga yang tidak senang dengan kedahirannya. Seperti Damak dalam filem Seri Mersing. Mungkin ini dugaan Allah. Suatu ujian mengukur ketabahan. Kehidupan tidak selalunya indah. Perlu ada kekuatan dalam menghadapi semuanya. Dalam kekerdilan dirinya Haji Abas bukan pernah mengganggu kehidupan orang lain. Hatinya baik dan selalu ingin membantu kepada yang memerlukan selagi terdaya. Hidup tetap diteruskan. 

Lampu suluh moden. Dahulunya berisi minyak tanah. Disangkut di kepala. 

Siri Enam: Suaka Kehidupan

 
Menoreh menjadi profesion utama Haji Abas dan Hajjah Aminah. Garis hitam menandakan susu getah tidak mengalir mengikut alurnya. Sebaliknya mengalir turun kerana apabila hujan susu getah menjadi terlalu cair. Setiap hari pokok getah didatangi. Ditoreh dan dipungut susunya kemudian. 


Siri Enam: 

Sebelum merdeka kehidupan di luar bandar sekadar secukup hidup. Mereka yang dikira berada tidak ramai. Kadang-kadang hanya lebih sedikit dari yang lain. Telah berpeluang terlebih dahulu membuka hutan. Menanam getah atau dusun buah-buahan. Mungkin kopi, pinang dan sagu. Untuk melestarikan kehidupan, ramai yang  mengambil upah menoreh pokok getah. Atau memetik kelapa, pinang, kopi dan buah. Mungkin ramai yang mengambil upah menggali parit antara sempadan tanah kebun. Jika hari hujan pula mereka mengambil upah menebas kebun yang semak kerana mereka tidak boleh menoreh. Pokok getah biasanya basah dan susu getah terlalu cair dan tidak mengalir mengikut alurnya. Sebaliknya mengalir turun ke batang pokok. Cawan yang menadah susu tidak dipenuhi susu getah seperti yang diharapkan. Haji Abas mengambil langkah lebih sedikit ke hadapan. Ia menjaja sayur dan ikan ke seluruh kampung. Dengan berbasikal berkayuhlah ia mengikut jadualnya. Lazimnya pada waktu pagi. Adalah aktiviti yang sentiasa menambah rezeki. Sementelahan pula anak-anak semakin bertambah.

Kehidupan yang serba kekurangan tidak menjanjikan apa-apa ganjaran besar. Mungkin untuk sekupang dua. Untuk senang, jauh dari jangkauan. Untuk kaya seperti jauh panggang dari api. Untuk menjadi orang berada tiada mula yang memungkinkan untuk berada. Yang utama ialah menjaga kenyang perut. Diisi dengan apa yang wajar. Itupun selalu terlepas. Ada masanya cukup dengan bubur. Tidak kurang juga nasi bercampur jagung. Nasi yang sedikit muai ditambah dengan jagung. Aduhai kehidupan. Lempeng sagu juga menjadi kesukaan kerana mudah mendapatkan dan murah harganya. Pada waktu yang lain mungkin ubi rebus atau pisang atau keladi. Lauk untuk makan tidak banyak menyulitkan. Sayur di sekeliling rumah seperti kangkung, pucuk manis, pucuk ubi kayu, jantung pisang atau pucuk ubi keledek. Pucuk pakis, pucuk pakis perak dipetik di tepi-tepi jalan. Adalah sahaja antara anak-anaknya yang boleh memetik sayur-sayur itu. Ayam boleh disembelih bila keinginan mendesak. Telur sentiasa ada bila ibu ayam riuh sekampung. Wang yang dikira sukar untuk diperolehi. Diperlukan untuk membeli beras dan gula, tepung dan barangan dapur yang lain. Banyak berusaha. Banyak menyimpan. Banyak berjimat. Dalam kesempitan yang menghimpit kehidupan, Haji Abas masih bekeupayaan membelikan barang kemas untuk Hajjah Aminah. Rantai leher seurat dua. Cincin sebentuk dua. Subang bergayut di telinga. Gelang permata bersalut di tangan.

Pada zaman itu barang kemas seumpama wang di bank. Bukan tunai tetapi boleh ditukar menjadi tunai dengan sekelip mata. Ramai orang mungkin ke pajak gadai. Bagi Haji Abas barang kemas itu mungkin cagaran untuk meminjam wang dari saudara mara atau sahabat handai. Bila perlu adalah tempat tumpuan untuk meminjam wang. Bukan banyak. Yang diperlukan hanyalah untuk menyambung hidup. Selepas meminjam perlu pula berjimat untuk melunaskan hutang. Untuk menebus barang kemas yang dijadikan cagaran.  Terkebil-kebil mata Hajjah Aminah memandang orang lain banyak memakai barang kemas sedangkan kepunyaannya sekejap ada dan sekejap tiada. Dalam keadaan seperti itulah hati menjadi rawan. Lara. Duka. Kemiskinan itu menghinakan. Kemiskinan membezakan yang berkemampuan dengan yang tidak. Haji Abas bukan dalam golongan yang mampu.
 
Pucuk paku perak, Boleh dimasak pelbagai rasa. Dibuat kerabu menyelerakan. 




Pucuk paku merah. Enak dimasak apa sahaja. 

Pinjam-meminjam bukan perkara yang memudahkan. Bukan menyenangkan. Yang pertama ialah berat kaki untuk melangkah. Tebal pula muka untuk bersua. Kelu lidah untuk berkata. Payah pula menyebut angka. Duduk yang entah di mana lunjurnya. Senyum yang entah hilang tawanya. Kerana keperluan digagahi juga mendepani segala kemungkinan. Dalam masyarakat etnik Melayu, lazimnya, bukan semua, saudara dekat yang paling payah hendak membantu. Ada masanya liat sangat hendak menghulur pinjam seringgit dua. Pernah juga agak terlalu lama menunggu baru ada gerak hendak membantu. Perlu pula diberi cagaran barang kemas Hajjah Aminah. “Adalah ummamuk duitnyak? Mun adek injamik.” Bahasa Banjar yang maksudnya, “Emaknya, adatak duitnya? Kalau ada pinjamkan.” Biasalah antara pasangan ada yang sangat berkira. Hendak memberi pinjam atau tidak. Pada waktu yang lain ada yang lebih bisa didengar. “Ampihi bang anak-anak sekolah. Dibewek menoreh ajek.” Maksudnya, “Berhentikan sekolah aje anak-anak tu bang. Menoreh lebih baik.” Seperti halilintar kata-kata yang didengar. Saudara dekat yang selalu banyak meruntun hati. Bukan memotivasi. Bukan merangsang. Bukan membantu. Benarlah antara dua darjat, harta dipandang orang. Miskin seperti menyusahkan orang lain. Kesemua episod duka Haji Abas itu dilalui dengan hati yang memberat. Ia ingin anak-anaknya pandai. Pada tahun 60an pendidikan sekolah menengah rancak dibangunkan. Anak-anak kampung bersekolah di bandar. Begitulah Haji Abas tidak ketinggalan bersama dalam arus untuk memandaikan anak-anak. Namun kosnya perlu ditanggung dalam kepayahan mencari pendapatan lebihan kerana menanggung anak di bandar. Wang diperlukan untuk membayar yuran sekolah. Pada waktu yang lain untuk membeli buku teks. Yang paling rumit ialah menghimpunkan sejumlah wang yang melebihi seratus ringgit untuk membayar yuran peperiksaan MCE (SPM). Cabaran seperti itu bukan kepalang ditanggung Haji Abas. Pastinya barang kemas Hajjah Aminah terlucut dari mana-mana anggota yang perlu. Lazimnya rantai di leher kerana sukar dilihat orang lain jika tiada.
 
Pokok pucuk manis. Ditanam di sekeliling rumah. Petik bila diperlukan. 

Anak ramai juga menjadi masalah kepada orang lain. Berbagai cara dicadangkan untuk menjarangkan anak. Cerita merancang keluarga bukan datang dari Barat. Bukan kerana hendak mengurangkan ummat Islam. Cerita merancang keluarga juga sudah dimanifestasikan oleh masyarakat Melayu. Mereka takut ramai anak. Mereka takut tidak tertanggung memberi makan dan minum. Pernah suatu ketika ada yang ingin memelihara anak Haji Abas. Pasangan itu kasihan melihat Haji Abas ramai anak. Hidup pula dalam kemiskinan. Walau bagaimanapun Haji Abas dan Hajjah Aminah tabah menghadapai kesemua badai yang datang. Sabar menghadapi cabaran hidup. Umpat keji yang didengar. Cemuhan dan muncung mulut yang dilihat. Tidak mengapalah. Hidup mungkin tidak selamanya begitu.

Awal tahun-tahun 60an adalah antara tahun-tahun yang serba kekurangan. Pada peringkat awal kemerdekaan yang perlu ialah perancangan untuk membangunkan negara. Kekayaan sudah tiada kerana diangkut British ke negara mereka. Getah hanya dipawah dari tuannya. Pendapatan tidak seberapa. Haji Abas hanya mampu memberi wang belanja kepada anaknya beberapa puluh sen dalam seminggu. Atau dalam dua minggu. Entah bagaimana dia berjimat mengikat perut. Entah dari mana wang itu dijelmakan. Cucu dan cicit perlu tahu. Nenek dan datuk kamu yang menjadi anak-anak Haji Abas bukan hidup dalam kemewahan. Haji Abas tidak mampu untuk memberi. Dia banyak menerima. Meminjam. Mencari yang tiada. Mengadakan yang terkurang. Itu tanggungjawabnya kepada anak-anaknya ketika itu. Terimalah kekurangannya. Sediakanlah hati untuk menyanyanginya. Pandanglah dia untuk mengerti bahawa suatu ketika dahulu di bahunya tertanggung segala kepayahan untuk menghidupkan sebuah keluarga dalam serba kekurangan.


Haji Abas tidak mampu memberi kerana dia tidak mampu. Ketika zaman susuhnya dia tidak biasa memberi. Dia tidak kaya untuk menabur wang. Hanya dan hanya dia selalu berkongsi rasa. Menumpang kepada yang ada. Bergantng kepada yang rimbun. Kini adalah masa untuknya. Waktu-waktu terakhir dalam episod panjang hidup susah yang ditanggungnya. Dia telah menghadiahkan kepada cucu dan cicitnya sebuah negara yang merdeka. Dia telah menghasilkan anak-anak yang membiakkan cucu dan cicit yang hidup lebih senang darinya dahulu. Zaman-zaman itu telah berlalu. Walau bagaimanapun ianya bukan zaman untuk cucu dan cicitnya untuk melupakannya. Jangan tanya apa yang pernah disumbangkannya sedangkan pada hakikatnya sumbangan Haji Abas terlalu besar untuk dinilai. Sebaliknya fikirkanlah apa yang layak disumbangkan Haji Abas oleh generasi keturunannya. Renung-renungkanlah selayaknya. Mudah-mudahan redha Allah bersamamu.