Sunday, June 15, 2014

Siri Enam: Suaka Kehidupan

 
Menoreh menjadi profesion utama Haji Abas dan Hajjah Aminah. Garis hitam menandakan susu getah tidak mengalir mengikut alurnya. Sebaliknya mengalir turun kerana apabila hujan susu getah menjadi terlalu cair. Setiap hari pokok getah didatangi. Ditoreh dan dipungut susunya kemudian. 


Siri Enam: 

Sebelum merdeka kehidupan di luar bandar sekadar secukup hidup. Mereka yang dikira berada tidak ramai. Kadang-kadang hanya lebih sedikit dari yang lain. Telah berpeluang terlebih dahulu membuka hutan. Menanam getah atau dusun buah-buahan. Mungkin kopi, pinang dan sagu. Untuk melestarikan kehidupan, ramai yang  mengambil upah menoreh pokok getah. Atau memetik kelapa, pinang, kopi dan buah. Mungkin ramai yang mengambil upah menggali parit antara sempadan tanah kebun. Jika hari hujan pula mereka mengambil upah menebas kebun yang semak kerana mereka tidak boleh menoreh. Pokok getah biasanya basah dan susu getah terlalu cair dan tidak mengalir mengikut alurnya. Sebaliknya mengalir turun ke batang pokok. Cawan yang menadah susu tidak dipenuhi susu getah seperti yang diharapkan. Haji Abas mengambil langkah lebih sedikit ke hadapan. Ia menjaja sayur dan ikan ke seluruh kampung. Dengan berbasikal berkayuhlah ia mengikut jadualnya. Lazimnya pada waktu pagi. Adalah aktiviti yang sentiasa menambah rezeki. Sementelahan pula anak-anak semakin bertambah.

Kehidupan yang serba kekurangan tidak menjanjikan apa-apa ganjaran besar. Mungkin untuk sekupang dua. Untuk senang, jauh dari jangkauan. Untuk kaya seperti jauh panggang dari api. Untuk menjadi orang berada tiada mula yang memungkinkan untuk berada. Yang utama ialah menjaga kenyang perut. Diisi dengan apa yang wajar. Itupun selalu terlepas. Ada masanya cukup dengan bubur. Tidak kurang juga nasi bercampur jagung. Nasi yang sedikit muai ditambah dengan jagung. Aduhai kehidupan. Lempeng sagu juga menjadi kesukaan kerana mudah mendapatkan dan murah harganya. Pada waktu yang lain mungkin ubi rebus atau pisang atau keladi. Lauk untuk makan tidak banyak menyulitkan. Sayur di sekeliling rumah seperti kangkung, pucuk manis, pucuk ubi kayu, jantung pisang atau pucuk ubi keledek. Pucuk pakis, pucuk pakis perak dipetik di tepi-tepi jalan. Adalah sahaja antara anak-anaknya yang boleh memetik sayur-sayur itu. Ayam boleh disembelih bila keinginan mendesak. Telur sentiasa ada bila ibu ayam riuh sekampung. Wang yang dikira sukar untuk diperolehi. Diperlukan untuk membeli beras dan gula, tepung dan barangan dapur yang lain. Banyak berusaha. Banyak menyimpan. Banyak berjimat. Dalam kesempitan yang menghimpit kehidupan, Haji Abas masih bekeupayaan membelikan barang kemas untuk Hajjah Aminah. Rantai leher seurat dua. Cincin sebentuk dua. Subang bergayut di telinga. Gelang permata bersalut di tangan.

Pada zaman itu barang kemas seumpama wang di bank. Bukan tunai tetapi boleh ditukar menjadi tunai dengan sekelip mata. Ramai orang mungkin ke pajak gadai. Bagi Haji Abas barang kemas itu mungkin cagaran untuk meminjam wang dari saudara mara atau sahabat handai. Bila perlu adalah tempat tumpuan untuk meminjam wang. Bukan banyak. Yang diperlukan hanyalah untuk menyambung hidup. Selepas meminjam perlu pula berjimat untuk melunaskan hutang. Untuk menebus barang kemas yang dijadikan cagaran.  Terkebil-kebil mata Hajjah Aminah memandang orang lain banyak memakai barang kemas sedangkan kepunyaannya sekejap ada dan sekejap tiada. Dalam keadaan seperti itulah hati menjadi rawan. Lara. Duka. Kemiskinan itu menghinakan. Kemiskinan membezakan yang berkemampuan dengan yang tidak. Haji Abas bukan dalam golongan yang mampu.
 
Pucuk paku perak, Boleh dimasak pelbagai rasa. Dibuat kerabu menyelerakan. 




Pucuk paku merah. Enak dimasak apa sahaja. 

Pinjam-meminjam bukan perkara yang memudahkan. Bukan menyenangkan. Yang pertama ialah berat kaki untuk melangkah. Tebal pula muka untuk bersua. Kelu lidah untuk berkata. Payah pula menyebut angka. Duduk yang entah di mana lunjurnya. Senyum yang entah hilang tawanya. Kerana keperluan digagahi juga mendepani segala kemungkinan. Dalam masyarakat etnik Melayu, lazimnya, bukan semua, saudara dekat yang paling payah hendak membantu. Ada masanya liat sangat hendak menghulur pinjam seringgit dua. Pernah juga agak terlalu lama menunggu baru ada gerak hendak membantu. Perlu pula diberi cagaran barang kemas Hajjah Aminah. “Adalah ummamuk duitnyak? Mun adek injamik.” Bahasa Banjar yang maksudnya, “Emaknya, adatak duitnya? Kalau ada pinjamkan.” Biasalah antara pasangan ada yang sangat berkira. Hendak memberi pinjam atau tidak. Pada waktu yang lain ada yang lebih bisa didengar. “Ampihi bang anak-anak sekolah. Dibewek menoreh ajek.” Maksudnya, “Berhentikan sekolah aje anak-anak tu bang. Menoreh lebih baik.” Seperti halilintar kata-kata yang didengar. Saudara dekat yang selalu banyak meruntun hati. Bukan memotivasi. Bukan merangsang. Bukan membantu. Benarlah antara dua darjat, harta dipandang orang. Miskin seperti menyusahkan orang lain. Kesemua episod duka Haji Abas itu dilalui dengan hati yang memberat. Ia ingin anak-anaknya pandai. Pada tahun 60an pendidikan sekolah menengah rancak dibangunkan. Anak-anak kampung bersekolah di bandar. Begitulah Haji Abas tidak ketinggalan bersama dalam arus untuk memandaikan anak-anak. Namun kosnya perlu ditanggung dalam kepayahan mencari pendapatan lebihan kerana menanggung anak di bandar. Wang diperlukan untuk membayar yuran sekolah. Pada waktu yang lain untuk membeli buku teks. Yang paling rumit ialah menghimpunkan sejumlah wang yang melebihi seratus ringgit untuk membayar yuran peperiksaan MCE (SPM). Cabaran seperti itu bukan kepalang ditanggung Haji Abas. Pastinya barang kemas Hajjah Aminah terlucut dari mana-mana anggota yang perlu. Lazimnya rantai di leher kerana sukar dilihat orang lain jika tiada.
 
Pokok pucuk manis. Ditanam di sekeliling rumah. Petik bila diperlukan. 

Anak ramai juga menjadi masalah kepada orang lain. Berbagai cara dicadangkan untuk menjarangkan anak. Cerita merancang keluarga bukan datang dari Barat. Bukan kerana hendak mengurangkan ummat Islam. Cerita merancang keluarga juga sudah dimanifestasikan oleh masyarakat Melayu. Mereka takut ramai anak. Mereka takut tidak tertanggung memberi makan dan minum. Pernah suatu ketika ada yang ingin memelihara anak Haji Abas. Pasangan itu kasihan melihat Haji Abas ramai anak. Hidup pula dalam kemiskinan. Walau bagaimanapun Haji Abas dan Hajjah Aminah tabah menghadapai kesemua badai yang datang. Sabar menghadapi cabaran hidup. Umpat keji yang didengar. Cemuhan dan muncung mulut yang dilihat. Tidak mengapalah. Hidup mungkin tidak selamanya begitu.

Awal tahun-tahun 60an adalah antara tahun-tahun yang serba kekurangan. Pada peringkat awal kemerdekaan yang perlu ialah perancangan untuk membangunkan negara. Kekayaan sudah tiada kerana diangkut British ke negara mereka. Getah hanya dipawah dari tuannya. Pendapatan tidak seberapa. Haji Abas hanya mampu memberi wang belanja kepada anaknya beberapa puluh sen dalam seminggu. Atau dalam dua minggu. Entah bagaimana dia berjimat mengikat perut. Entah dari mana wang itu dijelmakan. Cucu dan cicit perlu tahu. Nenek dan datuk kamu yang menjadi anak-anak Haji Abas bukan hidup dalam kemewahan. Haji Abas tidak mampu untuk memberi. Dia banyak menerima. Meminjam. Mencari yang tiada. Mengadakan yang terkurang. Itu tanggungjawabnya kepada anak-anaknya ketika itu. Terimalah kekurangannya. Sediakanlah hati untuk menyanyanginya. Pandanglah dia untuk mengerti bahawa suatu ketika dahulu di bahunya tertanggung segala kepayahan untuk menghidupkan sebuah keluarga dalam serba kekurangan.


Haji Abas tidak mampu memberi kerana dia tidak mampu. Ketika zaman susuhnya dia tidak biasa memberi. Dia tidak kaya untuk menabur wang. Hanya dan hanya dia selalu berkongsi rasa. Menumpang kepada yang ada. Bergantng kepada yang rimbun. Kini adalah masa untuknya. Waktu-waktu terakhir dalam episod panjang hidup susah yang ditanggungnya. Dia telah menghadiahkan kepada cucu dan cicitnya sebuah negara yang merdeka. Dia telah menghasilkan anak-anak yang membiakkan cucu dan cicit yang hidup lebih senang darinya dahulu. Zaman-zaman itu telah berlalu. Walau bagaimanapun ianya bukan zaman untuk cucu dan cicitnya untuk melupakannya. Jangan tanya apa yang pernah disumbangkannya sedangkan pada hakikatnya sumbangan Haji Abas terlalu besar untuk dinilai. Sebaliknya fikirkanlah apa yang layak disumbangkan Haji Abas oleh generasi keturunannya. Renung-renungkanlah selayaknya. Mudah-mudahan redha Allah bersamamu.

No comments:

Post a Comment