Saturday, June 7, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Alangkah Mengikut Yang Diikut



Insan paling beruntung di Malaysia (mungkin di dunia) ialah mereka yang berada dalam industri hiburan. Paling menonjol ialah pelakon dan penyanyi.  Jika kita pergi ke laman sosial mereka seperti facebook, twitter dan sebagainya jumlah rakan mereka selalunya oversubscribed. Terlalu ramai. Rakan baru sukar mendapat ruang. Beribu-ribu. Ada yang beratus ribu. Tentu ada yang mencecah juta. K-e-b-a-n-y-a-k-a-n-n-y-a adalah remaja dan anak muda. Sangat sedikit orang dewasa. Jika ada tentunya ahli keluarga sahaja. Ianya merupakan suatu kegilaan. Teknologi menjadi sesuatu yang menakjubkan. Mungkin boleh kita kongsikan sebentar. Apa sebenarnya manfaat menggabungkan diri bersama artis pujaan. Terlalu banyak yang diperkatakan tentang artis baik yang positif di samping yang negatif. Ada baiknya jika kita bawa artis ke arus perdana supaya kehadiran mereka mewakili bangsa yang bermaruah dan bertamaddun dari segi agama dan dari segi sejarahnya yang dicipta. Barangkali boleh kita lihat dari segi:

1                    Agama.
2                    Ilmiah.
3                    Politik.
4                    Sosio-ekonomi-budaya.
5                    Pendidikan.
6                   Skrip dan arahan.
7                    Panel patuh-syarie.
               

Agama
Rasanya rindu juga watak pendakwah atau ustaz seperti allahyarham M. Rajuli. Dia boleh membaca al-Quran dengan baik. Betul makhrajnya. Betul sifat hurufnya. Betul tajwidnya. Latarbelakang pendidikan agamanya diserlahkan dalam lakonannya. Ada impaknya yang tersendiri. Kita harus berhenti memaparkan watak-watak antigonis terhadap agama. Kembangkan pendidikan dan psikologi agama dengan cerita yang plotnya positif dan mendidik. Jika dalam bentuk kritik sekalipun natijahnya biarlah positif. Mendidik dan membina agama dan penganutnya. Apabila ada watak-watak berlatarbelakangkan agama usahakan supaya watak-watak itu boleh menyebut kalimah Arab atau al-Quran dengan betul berlahjah Arab. Makhraj dan sifat hurufnya betul. Tajwidnya sempurna. Begitu juga tafhim dan tarqiqnya. Setiap lakonan adalah untuk ditonton. Yang menonton merasakan lakonan itu berkesan. Yang mendengar berasa puas. Pelakon itu sendiri seharusnya berlatarbelakangkan pendidikan agama. Diketahui kebaikan watak peribadinya. Ini bermakna pelakon itu melakonkan wataknya yang bersahaja. Bukan dibuat-buat. Ia mengukuhkan perwatakan. Bukan berlakon semata-mata. Lakonan itu adalah dirinya sendiri. Kita perlukan lakonan yang bersandarkan agama. Banyak yang perlu dirawat dalam masyarakat Islam. Di sana dan di sini kita melihat terlalu banyak yang menyesakkan nafas. Perlu ada usaha untuk membertulkan keadaan. Industri hiburan boleh membantu. Bukan memburukkan keadaan.

Ilmiah
Antara masalah besar anak-anak muda kita ialah kelayakan ilmiah yang banyak boleh diperbaiki dan dipertingkatkan. Ramai anak-anak sekolah yang terlalu jinak dengan alam hiburan. Ibu dan bapa tidak kisah. Masyarakat seperti merestui. Industri pula sangat menggalakkan. Malangnya ramai yang kecundang hanya dalam beberapa tahun. Ilmu sangat sedikit. Pengalaman terbatas. Akademik pula hanya cukup makan. Ke mana selepas tidak maju? Cerita malang artis yang bantut berulang-ulang. Barangkali pencari bakat perlu selektif. Berhati-hati supaya masa hadapan anak bangsa tidak teraniaya. Keuntungan biarlah berbaloi dalam konteks agama. Barakah dan ada lorongan ke akhirat. Bakat yang diasah diberi masa supaya memiliki kelayakan akademik yang wajar. Andai mereka gagal dalam industri mereka masih memiliki banyak ruang untuk mencari rezeki dalam bidang lain.

Di luar sana ramai juga graduan yang berbakat dalam lakonan. Atau yang boleh diperkembangkan bakatnya. Kita sudah ada Fahrin Ahmad, Zizan Nin, Jihan Miskin, Azhar Sulaiman dan beberapa orang lain yang memiliki kelayakan akademik. Lebih ramai penggiat seni yang berkelayakan IPT adalah lebih baik. Di IPT mereka lazimnya dididik untuk mengurus diri, memartabatkan jatidiri, berkepimpinan, mengurus masa, mengurus aktiviti, mengurus masalah, menyelesaikan masalah dan membuat keputusan yang rasional. Ada kematangan berfikir. Ada kematangan bertindak. Mereka dalam golongan ini mampu melakonkan watak-watak yang sinonim dengan kelayakan ilmiah mereka. Dalam hal ini akademi seni wajar dipertimbangkan supaya mereka yang ingin terlibat dalam industri hiburan mengetahui etika seni. Maklum perundangan yang berkaitan dengan seni. Mengerti tentang perlunya patuh syarie. Bolehlah nanti kita lihat artis yang menjaga aurat. Berpakaian yang menunjukkan keterampilan pakaian. Akhlaknya manis dilihat. Manis dicontohi. Sejuk mata memandang. Tatalaku seseorang artis adalah cerminan masyarakat. Apatah lagi kebanyakan mereka adalah penganut Islam. Watak Islam perlu wujud pada diri mereka. Penulis skrip, pengarah dan penerbit perlu memiliki kesedaran terhadap agamanya. Terhadap maruah bangsanya. Tentang adab dan sopannya pelakon yang membawa bersama mereka Islam dan Melayu.

Politik
Politik menjadi tunggak tempat berpaut dalam banyak hal. Pada politik terdapatnya dasar dan strategi membangunkan masyarakat. Ini bermakna kepimpinan politik harus juga menjenguk ke dalam permasalahan industri hiburan. Menghiasnya dengan wajah Melayu-Islam. Hal yang dianggap remeh-temeh ini boleh menenggelamkan rupa bangsa. Menenggelamkan wajah budaya. Menghilangkan jatidiri. Akhirnya boleh menghapuskan tamaddun bangsa yang dibina ribuan tahun. Kita tidak boleh lupa di sini telah pernah tertegak Empayar Sri Vijaya. Persekitaran Majapahit. Raja Suran dan Gangga Nagara. Langkasuka. Aceh. Perlak dan Pasai. Pengaruh Barat dan Islam yang menyatu telah membina bangsa yang unik. Binalah benteng agar hiburan tidak memusnahkan kesemuanya. Kepimpinan yang ada harus memikirkan kelangsungan suatu budaya besar sebuah bangsa yang dilambung ombak badai kemajuan yang menjadi tsunami budaya. Menghapuskan kesemua yang indah tetapi termusnah kerana kelalaian sebuah bangsa itu sendiri.

Sosio-Ekonomi-Budaya
Kita sedang mengembara maju. Jauh meninggalkan kepapaan. Kesengsaraan masa lampau. Memacak bendera merdeka yang Gemilang Jalurnya. Jalur Gemilang yang pancawarna itu perlu dibawa jauh ke hadapan merentasi zaman mewah yang bermewah-mewahan. Social fabric kita teranyam larut sehingga rupa asal kita telah tidak lagi kelihatan. Pakaian kita menungkah arus agama. Gaya hidup kita sudah ke Barat. Makanan kita berbaur antara halal dan haram. Kita mahu maju. Siapa yang menolaknya. Tetapi garis panduannya mestilah jelas. Ke mana pun kita perlu pergi ada warisan yang perlu dijaga. Dipelihara. Diperkembangkan selari dengan majunya ekonomi. Perut yang kenyang perlu disalut dengan lapisan budaya yang asalnya nyata. Ada induk dan semangnya. Dasar memajukan negara perlu seiring dengan dasar memajukan agama. Memajukan bangsa. Memajukan budaya. Kepincangan akan meruntuhkan bahagian yang lain. Tempang tidak seimbang. Dalam kita berlari membina menara kita selalu lupa membina dasar kukuh bersandarakan agama dan bangsa.

Pendidikan
Pendidikan bukan sekadar untuk distandardkan pandai. Pendidikan harus juga dilihat sebagai kemampuan membuat pilihan yang relatif  menasabah. Semua yang beraspirasi untuk menjadi artis perlu terlebih dahulu memiliki pendidikan akademik yang wajar. Mungkin sains dan teknologi. Mungkin dalam bidang agama. Mungkin dalam bidang seni halus seperti lakonan, penulisan skrip, pengurusan seni dan sebagainya. Dalam setiap aspek pendidikan itu akan disusun aspek etika, seni, perundangan, pengurusan, penyelesaian masalah dan membuat keputusan. Mereka yang terlatih akan lebih matang berfikir untuk membuat keputusan yang bermanfaat untuk dirinya. Untuk industri. Untuk agama dan bangsanya. Lebih tinggi kelayakan seseorang itu lebi besar ideanya. Lebih tinggi garapannya. Lebih besar nilai seni yang diraihnya. Bing Cosby umpamanya memiliki Ph.D. dalam bidang pendidikan. Sebab itu lakonan dan siri TVnya bersalut psikologi. Mendidik dan berfikir dengan kritis. Malah kanak-kanak yang terlibat dalam sirinya dibenarkan bersuara menyatakan isi hatinya seperti mereka yang dewasa. Kanak-kanak dilatih untuk menjadi lebih matang dari usianya.

Skrip dan Arahan
Kadang-kadang kita berhadapan dengan cerita yang baik. Mendidik dan memiliki nilai pendidikan. Cumanya pengarahannya selalu memasukkan unsur negatif. Remaja yang kenakalannya di tahap melampau. Perlakuan lucah dan di luar batas akhlak mulia. Senario yang tidak menggalakkan seperti di disko. Pakaian yang hilang nilai agama dan nilai bangsa. Pemarah, biadap, kasar dan kurang berfikir. Skrip dan pengarahan perlu mengambil apa-apa yang baik dan perlu untuk mengembangkan minda khalayak. Audien yang berbagai tidak kesemuanya boleh dipuaskan. Tetapi biarlah sebahagian besar dari mereka berasa tertarik dengan falsafah, tatabahasa yang berseni, garapan plot dan subplot yang relevan. Perlu difikirkan sekuen yang santai dan natural. Bersandarkan realiti yang menasabah. Jangan biarkan Lembaga Penapis Filem sentiasa memegang gunting tajam untuk memotong mana-mana adegan yang tidak relevan tetapi lucah, ganas tahap melampau, pakaian yang terlalu menjolok mata, ungkapan mencaci agama, bangsa atau peribadi. Pengarah sendiri perlu arif dengan sensitiviti politik, agama, budaya dan masyarakat.

Panel Patuh-Syarie

Banyak yang perlu dilakukan untuk menjadikan industri hiburan bersandarkan kemunasabahan dari aspek agama, bangsa dan budayanya. Yang paling besar perlu dijaga ialah nilai agama. Menjaga hukum-hakam dan mendidik menjadi Muslim yang taat. Bukan sahaja pelakonnya dikenali sebagai patuh agama malah penonton dibawa ke arah itu. Kerajaan perlu membentuk panel patuh-syarie supaya skrip dan lakonan sejajar dengan ajaran Sunnah Wal-Jamaah. Bagi garapan di Malaysia sandaran kita ialah Syafie. Pengarah perlu belajar kewajaran Mazhab Syafie supaya arahannya tidak lari dari keperluan agama. Tidak menyimpang dari landasan budaya bangsa. Jangan menganggap agama sebagai mengekang. Anggap ianya sebagai peluang membina jambatan ke akhirat. Mencari redha Allah. Mencari rezeki yang halal. Ramai ulamak di sekeliling kita. Manfaat mereka supaya penglibatan mereka lebih menyihatkan industri hiburan tanahair. Secara jujurnya penulis tersangat lemas berhadapan dengan apa yang ada. Ramai juga orang lain berpendapat begitu. Ulamak sudah lama bersuara. Kenapa tiada yang hendak mendengar. Mengubah yang perlu. Apa salahnya meninggalkan yang tidak baik dan ambil pula yang baik. Tambah kebaikannya. Bukankah nanti bertambah nilai baiknya. Carilah redha Allah dan bukan redha manusia semata-mata. Ingatlah kita semua akan mati sudahnya. Kesemuanya akan berakhir walau apapun pegangan kuat kita. Yang akan kita temui akhirnya tentunya Allah. Allah tempat kembali.

Thursday, June 5, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Realiti Pengakhir Zaman



Penulis rasa terpanggil mengenai banyaknya gejala dalam masyarakat Islam sekarang ini. Kita mengalami konflik nilai yang berbagai dan sukar dirungkai. Ibarat sebuah gunung, apabila puncaknya tidak terurus secara Islamik maka lereng dan kaki gunung itu lebih dahsyat kecamuknya. Lebih sukar diurus. Penulis ingin kembali mengenangkan sejarah Umar Abdul Aziz. Khalifah yang sangat-sangat bertaqwa kepada Allah bukan sahaja dihormati oleh manusia bahkan haiwan ganas tunduk menghormatinya. Serigala tidak sewenang-wenangnya memakan haiwan ternakan. Kembara kita di alam maya ini sukar menemukan lagi mereka yang alim seperti zaman sahabat. Seperti Umar Abdul Aziz. Islam sangat subur dan kuat. Menyerlah hingga pancaran dakwahnya menyerkap peradaban manusia ketika itu. Ribuan tahun Islam membina tamaddun hingga Barat celik mata. Celik minda.

Namun begitu seperti kata Golda Meir, Perdana Menteri Israel ke-3, kita adalah umat Islam yang menjadi menjadi umat yang sangat lena. Tidur nyenyak dan sukar bangunnya. Tenggelam dalam mimpi indah mengenang zaman. Banyak mengenang yang lama tanpa melakukan yang sewajarnya untuk terus mengungguli zaman. Israel melakukan terlalu banyak penghinaan ke atas umat Islam. Kita hanya pandang dan dengar. Mungkin hanya hati yang berkata-kata. Tiada apa-apa tindakan. Apabila Allah hantar Flexia Yeap ke khalayak Islam Allah Yang Maha Mengetahui memaparkan kepada kita bahawa nilai-nilai Islam yang baik itu dimaklumi oleh mereka yang bukan Islam. Kesediaan mereka menerima pakai nilai Islam tentulah ironis kerana yang Islam menolak untuk berbuat demikian.

Kewajaran Muslimah menutup aurat seperti tidak mendapat tempat di hati. Pakaian Barat yang bercanggah dengan syariah juga yang dikatakan hebat. Dikatakan anggun. Dikatakan menarik. Flexia Yeap memberikan kita suatu tanggapan bahawa ianya pengajaran. Boleh juga tempelak Allah kepada kita. Boleh juga amaran bahawa zaman akan berakhir tidak lama lagi. Zaman manusia melupakan Allah. Zaman manusia menolak Allah. Zaman manusia tidak lagi mahu tunduk kepada kekuasaan Allah. Di Barat berbondong-bondong cerdik pandai mereka memeluk Islam. Mengetahui bahawa yang benar hanyalah Islam. Yang indah itu Islam. Yang mendamaikan itu Islam. Dunia Islam menjadi terbalik apabila yang Islam lari dari yang hak. Mencari mencari alternatif yang selamanya tidak layak dicari. Tidak layak dianuti kecuali Islam yang sudah Allah sempurnakan ke atas Rasulallah dan umatnya ribuan tahun dahulu.

Kita hilang malu apabila berhadapan dengan realiti. Kita menganggap yang tulen sebagai kaca. Yang berlian dikata batu. Yang hak tidak dipercaya. Yang dicari adalah hal-hal sampingan yang remeh tanpa ada nilainya di sisi Allah. Tidak pernah diajar oleh Nabi Muhammad. Tidak pernah dipanjangkan oleh sahabat. Tidak juga ajaran Tabi’in dan Tabi’ Tabi’in. Rasanya puas ulamak mengingatkan akan perlunya Muslimah menutup aurat. Menutup selengkapnya tubuh badan mereka kecuali muka dan kedua tapak tangan. Dengan pakaian yang longgar untuk melindungi bentuk susuk tubuh. Bak kata umalak, apa-apa yang dibungkus cantik tentulah lebih cantik dari yang tidak dibungkus. Malah yang dibungkus ala kadar tidak juga menarik. Mungkin melihat isi di dalam itu ada manfaatnya tetapi itu cukup untuk barangan yang bukan tubuh manusia. Tubuh manusia ada hadnya dan ada haknya.

Kita terpanggil untuk melihat ke dalam persekitaran Islam kita. Dari luar kita diasak dengan berbagai himpitan kebudayaan yang bukan Islamik. Yang memperlihatkan kecantikan luaran yang gemerlapan. Pancawarna yang melampaui warna pelangi. Tetapi tiada nilainya di sisi Allah. Begitu juga kita meronta-ronta dari dalam. Nafsu kita kalah kepada kewarasan berfikir. Lalu kita melakukan hal-hal yang di luar kewajaran. Nafsu kita yang kuat mengkehendaki yang bukan haknya. Akal kita lemah untuk membuat piilihan. Kenapa?

1   Kita lemah dari segi pendidikan akal. Lemah intelek. Lemah mendidik akal.
2   Kita lemah  dari segi pendidikan agama. Kawalan persekitaran agama juga  
     gagal disemarakkan.
3   Sosial kita sudah lama runtuh. Orang dewasa tidak ramai yang mahu        
     mengasuh. Orang muda pula gagal diasuh.

Mencari redha Allah ada jalannya yang tersendiri.  Ada syariatnya. Ada prosedurnya. Ada ilmu yang mutawatirah dari dahulu hingga sekarang. Ramai ulamak yang boleh membimbing. Tetapi seperti suatu yang ganjil apabila yang selalu dirujuk adalah mereka yang bukan dalam kategori tersebut. Perbincangan mengenai agama selalu sangat dirujuk kepada mereka yang bukan dalam bidang agama. Logik akal tidak boleh mengatasi logik agama. Ilmu agama memiliki kecedasannya yang tersendiri. Ada kaedah untuk memahami mengikut caranya yang tersendiri. Ulamak selalunya mengerti limitasi diri mereka sendiri. Mereka menghadkan bicara kerana takut tergelincir dari apa yang mereka faham. Bukan apa yang mereka tahu. Yang bukan ulamak pula terbuka menyandarkan hujjah kepada logik akal semata-mata. Logik Allah seperti dicatat dalam Al-Quran tidak dipakai.

Maka yang kita lihat ialah penganut Islam dengan segala kepincangannya. Seperti kata seorang sahabat penulis, seorang mualaf, “Jika saya melihat orang Islam saya tidak tertarik untuk memeluk Islam. Saya memeluk Islam kerana melihat kebaikan dalam Islam.” Perit juga telinga dan hati mendengar hujjah sebegitu. Itulah realitinya. Mereka yang bukan Islam tidak tertarik dengan ciri-ciri kita yang Islam. Terlalu banyak negatifnya. Mari kita lihat situasi berikut:

1                  Ramai pemuda Islam tertarik kepada nafsu jahat terhadap wanita Islam. Di mana silapnya?
2                  Ramai wanita Islam tidak tertarik kepada pemuda Islam. Di mana silapnya?
3                  Ramai anak muda Islam tertarik dengan ajaran agama lain. Kenapa?
4                  Ramai pula anak muda yang bukan Islam tertarik dengan Islam. Bagaimana hal sebegitu boleh terjadi?


Apakah kita hilang jatidiri Islam? Apa lagi yang boleh dipertahankan. Kembalilah kepada pewaris anbia. Sementara mereka masih ada. Kita belum terlambat sebelum mereka diangkat Allah meninggalkan kita tanpa guru. Tanpa pengasuh. Tanpa pembimbing. Tanpa pendidik. Semoga Allah mempermudahkan kita.

Friday, May 30, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Kembali Menjaga Tepi Kain Orang

Kita sudah sekian lama tidak menjaga tepi kain orang. Semua orang marah jika kita berbuat begitu. Kita kehilangan satu antara sifat baik dalam Islam. Menggalakkan yang baik dan mencegah kemungkaran. Zaman penulis kecil-kecil dahulu orang kampung peka dengan hal di sekeliling mereka. Mereka mengetahui yang baik dan yang tidak baik. Nasihat menasihati dan tegur menegur adalah perkara biasa. Maka keadaan di sekliling agak bebas dari maksiat. Mungkin berlaku tetapi tidak berleluasa. Atau sangat tersembunyi. Sentiasa dalam kawalan. Banyak mata yang melihat. Ketua kampung ada peranan besar mengawal keadaan. Imam juga selalu dirujuk untuk membetulkan keadaan. Jika ada seorang atau dua guru lagilah besar peranan mereka. Menjadi orang besar di kampung. Orang tua-tua pula bukan disifatkan seperti Quran buruk. Mereka adalah Quran yang dirujuk. Agama mendapat tempat yang tinggi. Menjadi keutamaan. Apa yang berlaku di kalangan jiran tetangga menjadi sebahagian dari tanggungjawab bersama. Tidak ramai yang berkata, “Jaga kubur masing-masing.” Atau, “Jaga kain masing-masing.” Sifat kebersamaan tetap tinggi. Malah itulah kehidupan mereka sebenarnya. Bersama. Bergotong royong. Yang senang sama senang yang susah dikongsi bersama.

Pendidikan sedikit sebanyak mengubah lanskap kebersamaan itu. Nilai Barat menyerap masuk. Timbul konsep privacy. Yang lain pula galak dengan hak asasi. Maka timbul larangan, “jangan jaga tepi kain orang.” Hingga akhirnya sekarang ini guru-guru seperti dilarang menjaga masa hadapan anak didik mereka. Jika terlebih ajar maka ibu dan bapa tergamak menyaman guru. Jiran tetangga menutup dunia mereka sehingga tidak maha diganggu oleh jiran tetangga yang lain. Sekarang ini keadaan semakin menjadi terlalu private. Menjadi terlalu keakuan sehingga banyak musibah yang berlaku mengakibatkan kematian. Mengakibatkan kerosakan keturunan. Kemajuan dan harta benda tidak menjamin kebahagiaan yang hakiki. Pendidikan yang tidak menjurus ke jalan sirat al-mustaqim juga tidak menjamin adanya agenda selamat dunia ada akhirat. Dunia kita menjadi sempit kerana dijebak oleh persekiaran yang kita cipta sendiri. Persekitaran yang hak yang telah dirubah menjadi persekitaran yang bukan hak.

Benarlah sabda Nabi bahawa pada akhir zaman umat Islam sangat ramai tetapi menjadi buih-buih yang mudah lenyap ditiup angin yang paling perlahan sekalipun. Mengalir tanpa ada arah sendiri. Dibuai arus perdana yang tiada haknya. Dalam Islam jiran adalah antara hak yang besar di kalangan jiran-jiran yang lain. Apa-apa yang berlaku kepada jiran perlu diambil tahu. Bukan untuk menyibuk tetapi untuk menjaga kesejahtaraan sesama jiran. Untuk sama-sama menjaga keharmonian kejiranan. Untuk sama-sama menjaga kebahagian masing-masing. Seorang jiran membantu jiran yang lain. Malah agama menyifatkan jiran seperti lebih tinggi dari saudara mara yang jauh dari tempat tinggal kita. Hak mereka terlalu banyak untuk dipenuhi. Sakit mereka adalah tanggungjawab kita untuk sama-sama menziarahi. Membantu mana yang perlu. Makan dan minum mereka perlu dilihat. Jika tidak makan, kita dan jiran yang lain perlu membantu. Begitulah dalam hal-hal lain yang menyangkut kepada kesejahteraan keluarga masing-masing. Perlu diambil tahu. Perlu dijaga tepi kain mereka. Alangkah malangnya apabila jiran mengatakan, “Kami dengar bising-bising tetapi tidak berani hendak masuk campur. Takut mengganggu.” Atau, “Kami ingat seperti orang lain. Mereka marahkan anak mereka.” Atau, “Kami tahu maksiat berlaku tetapi tidak terdaya untuk berbuat apa-apa.”

Kata-kata seperti itu adalah cerita sejarah. Diungkapkan apabila keadaan sudah tiada lagi gunanya. Anak jiran sudah menjadi jenazah. Isteri jiran sudah terbunuh. Pembantu rumah jiran sudah hancur badannya. Kita tidaklah boleh hanya menjadi penonton. Menjadi saksi tanpa suara. Memang kita tanpa kuasa tetapi banyak ikhtiar lain yang boleh kita lakukan. Dalam simpanan kita mesti disenaraikan nombor-nombor telefon berikut:

1 Ketua kampung atau taman.
2 Imam.
3 Polis.
4 Jabatan Kebajikan Masyarakat.
5 Talian Nur.

Ambil tahu hal jiran. Bukan hal peribadinya. Membantu mententeramkan hal-hal yang tidak wajar dari luar. Sekurang-kurangnya dari jauh. Awasi mereka dengan kewajaran yang perlu. Dengar-dengar apa-apa yang tidak enak dan boleh menjadi musibah. Hidu apa-apa yang tidak baik. Naluri kita mestilah superaktif. Jangan terlalu reaktif sehingga keadaan sudah tidak boleh diselamatkan lagi. Malang dan sangat malang. Sesuatu yang tidak baik bukan berlaku secara spontan sahaja. Pada kebanyakan masa ianya berulang-ulang. Ramai jiran yang mengetahui. Apabila jeritan melamapaui kebiasaan, segeralah bertindak. Jaga tepi kain kejiranan untuk mengelakkan musibah menimpa sesama jiran. Apabila memukul anak melebihi kebiasaan maka penderaan sudah berlaku. Apabila yang kecil tidak diredakan maka ianya boleh merebak menjadi sesuatu mala petaka. Atau musibah yang mengerikan. Atau fatiliti yang sebenarnya boleh dielak dengan izin Allah.

Ini bermakna menjaga tepi kain orang lain bukan mencari keburukan orang lain. Tujuannya untuk menghindar keburukan daripada berlaku sedangkan kita boleh mencegahnya. Atau memainkan peranan untuk mencegahnya. Atau boleh memainkan peranan untuk meminta orang lain membantu mencegahnya. Atau meminta pihak yang berkuasa untuk mengambil tindakan yang wajar. Keperihatinan kita mestilah tinggi. Kita kena sensitif dengan petaka yang mungkin terjadi di sekeliling kita. Sekiranya apa-apa berlaku kita juga tidak terlepas dari soalsiasat. Kita juga tidak terlepas dari sesalan kerana tidak menjaga tepi kain jiran kita. Apabila sesuatu yang buruk telah berlaku sesalan tiada gunanya. Musibah tidak dapat dikembalikan menjadi sesuatu yang membahagiakan. Kenapa tidak kita bahagiakan jiran tetangga kita selagi kita terdaya untuk melakukannya. Walau bagaimana sekalipun kita bukan penentu segala kebaikan yang bakal berlaku. Allah yang mendatangkan kebaikan. Kita berusaha untuk memainkan peranan sebagai jiran yang bertanggungjawab. Kepada Allah dan RasulNya dan kepada jiran tetangga kita sendiri.

Begitulah apabila kita diperlukan kembali kepada agama. Banyak suruhan agama yang perlu kita lakukan dengan sempurna. Ajatran dan amalan agama sangat lengkap dan terperinci. Andainya kita jinak dengn agama maka Allah akan menjaga kita. Kita menjaga hak Allah maka Allah melindungi kita. Apabila kita ingat Allah maka Allah lebih lagi ingatNya kepada kita. Kembalilah kepada agama. Kepada Allah dan RasulNya. Cukuplah khayalan kita mengenai dunia yang fana ini. Tidak ke mana. Kita hanya berputar di sekeliling dunia yang kita cipta sendiri. Terlalu kecil dan terlalu sempit. Kita mudah lemas di dalamnya. Kembalilah ke dunia yang Allah ciptakan untuk kita. InsyaAllah akhirat menanti dengan penuh kebahagiaan yang bersifat infiniti. Tiada kesudahannya.

Tuesday, May 27, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Menghalalkan Makanan Halal

Islam menyuruh kita makan makanan yang halal dan toyyibah. Garis pandauannya cukup jelas. Pemisah antara halal dan haram juga jelas. Malangnya kita kalah antara ilmu dan nafsu. Kita juga kalah apabila malas untuk berfikir. Apabila kesemua perkara diserahkan kepada ulamak agama maka tanggungjawab mengenai fardu ain yang sepatutnya digalas oleh ulamak sains tidak dilaksanakan. Malah kadang-kadang tidak difikirkan. Sejak dari dahulu lagi penulis selalu sangsi dengan produk makanan yang tidak dikeluarkan oleh usahawan Islam. Usahawan yang mengerti tuntutan Islam. Mengerti selok belok Islam. Patuh syarie. Mana mungkin produk makanan untuk orang Islam dibuat oleh mereka yang bukan Islam. Sepatutnya kita yang Islam sentiasa waspada. Perlu syak wasangka. Apabila produk makanan dikeluarkan oleh mereka yang bukan Islam banyak proses dan prosedur yang tidak patuh syarie. Kita menagambil mudah konsep bersih, suci dan halalan toyyibah. Sekarang kita terjebak dalam konflik yang dalam dan mengerikan.

Makanan yang tidak halal sudah menyerap dalam tubuh badan kita. Sudah mendarah daging. Menjadi tulang belulang. Mengalir dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Seluruh nafas kita mengandungi unsur-unsur yang haram. Natijahnya terlalu banyak. Implikasinya terlalu berat. Musibahnya terlalu mendesak. Sedikit demi sedikit anak-anak kita liar dari agama. Sukakan hal-hal yang tidak baik (sifat asal haiwan tersebut). Sifat mengawan yang melampaui batas halal (juga sifat asal haiwan tersebut). Berminat berkerumun menghurung hedonism. Apa yang tinggal? Makanan dan ubat-ubatan kesemuanya mengandungi bahan dari haiwan yang sama. Malah rokok yang jelas diharamkan tidak dipedulikan orang Islam. Sudah dijelaskan berkali-kali bahawa di dalamnya terdapat DNA haiwan yang sama. Selain daripada racun dan dadah berbahaya. Perokok tegar terus dengan hisapan haram. Di kampung merokok jadi adat. Jadi madat. Siapa pun tidak ada yang ambil pusing.

Dalam hal ini kita tidak boleh menuding jari kepada orang lain. Baik kita berhenti sejenak. Brek. Mungkin kita yang banyak melakukan kesalahan. Kesemua kita terlibat mengakibatkan kesemua mala petaka ini berlaku. Terlalu sedikit antara kita yang terlepas dari dakwaan tidak terlibat. Cuba fikirkan dari aspek usahawan, kepenggunaan, kepimpinan dan politik.

Usahawan:
1 Berapa ramai antara kita yang terlibat dalam industri makanan.
2 Jika terlibat, dalam sektor yang mana.
3 Setakat mana usaha untuk mengembangkan industri yang sudah diceburi.

Kepenggunaan:
1 Sejauh mana pengguna memahami konsep halal dan haram dalam makanan.
2 Kenapa pengguna lebih berminat dengan kelazatan yang tidak halal.
3 Kenapa mereka memilih produk yang perlukan logo halal sedangkan pembuatnya bukan Islam.
4 Kenapa terlalu prasangka dengan produk halal orang Islam sendiri.
5 Perlukah makanan dan minuman yang sifatnya mewah tetapi tidak tentu halalnya.
6 Bukankah makanan dan minuman import di luar kawalan halal.

Kepimpinan:
1 Apakah usaha untuk membawa umat ke arah berkecukupan dalam makanan halalan toyyibah.
2 Apakah dasar selamat untuk industri makanan untuk umat Islam.
3 Adakan pasukan pemantau dari kalangan ahli akademik yang ramai di IPT.
4 Wujudkan makmal kajian yang dapat melibatkan pelajar dan staf akademik di mana-mana institusi pelajaran sama ada di sekolah menengah atau di IPT.
5 Konsep mengekalkan bekalan makanan ini hendaklah berterusan. Tolong jangan hangat-hangat tahi ayam.

Politik:
1 Perlunya difikirkan dasar makanan halal.
2 Kembalikan kepada Islam.
3 Jawatankuasa patuh syarie dalam setiap kilang makanan halal.
4 Ramaikan pakar dalam kejuruteraan kimia khususnya untuk industri makanan.
5 Mula dan perluaskan industri yang mengeluarkan bahan atau unsur untuk membuat makanan halal dalam negara.
6 Kerjasama serantau atau dengan negara Islam yang lain demi ummah sejagat.
7 Beri definisi yang tepat dan terperinci mengenai berbagai bahan seperti pengawet, penaik, pewarna dan lain-lainnya.

Tidak cukup dengan hanya: Pewarna yang dibenarkan. Pengawet yang dibenarkan. Penaik yang dibenarkan. Nyatakan nama atau simbol saintifiknya supaya dapat dikesan dan disahkan status halalnya. Pengalaman penulis hanya di Amerika Syarikat sahaja label makanan sangat terperinci. Umpamanya dalam semua jenis roti terdapat berbagai bahan seperti minyak sayur atau haiwan, penaik sayur atau haiwan. Oleh kerana di sana label makanan dan minuma sangat jelas maka pengguna dapat memilih yang halal. Untuk makluman, orang Yahudi sangat teliti tentang makanan. Mereka mengelak dari bahan-bahan dari haiwan walaupun hati mereka tidak secantik makanan mereka. Memang benar hampir kesemua makanan mengandungi bahan dari haiwan yang sama. Ubt gigi, sabun mandi, ais krim dan lagi dan lagi dan lagi. Malangnya di Malaysia kita dihijab dari mengetahui yang mana halal dan yang mana halal. Kita menyangka logo halal Jakim dapat melidung dan menyelamatkan kita. Pada hakikatnya tidak begitu. Ilmu da agama yang lebih boleh diharap menjadi perisai dari cabaran makanan yang tidak halal.

Kita perlu menggerakkan seluruh kekuatan yang ada untuk reaktif dan proaktif dengan keadaan malang yang menimpa umat Islam. Keangkuhan kita menyebabkan kita terjebak dalam makanan dan minuman yang tidak halal. Jika langkah drastik tidak diambil maka isu ini akan berpanjangan. Ayuhlah sama-sama kita buka mata. Buka minda. Buka langkah yang boleh membawa kita keluar dari kemelut makanan ini. Bagaimana?

1 Pendidikan Islam diperkukuh supaya orang Islam sangat peka dengan ancaman di sekeliling mereka terutamanya makanan dan minuman yang tidak halal.
2 Pendidikan sains diperkukuh. Penulis mencadangkan supaya semua pelajar Islam diwajibkan mengambil matapelajaran kimia hingga ke peringkat SPM. Aspek makanan dan minuman diberi fokus yang utama. Apabila tamat sekolah ramai rakyat yang boleh menjalankan ujikaji sendiri untuk menentukan makanan dan minuman mereka halal atau tidak.
3 Wujudkan gadjet mudah dan murah untuk mengesan DNA haiwan haram dan alkohol. Mudah dibeli dan mudah digunakan.
4 JAKIM perlu mengedarkan senarai makanan dan minuman haram dari masa ke semasa. Pemimpin agama di negari, daerah dan kampung menampal senarai itu di premis idabat. Edarkan juga ke setiap tangan mereka yang Islam.
5 Ibu dan bapa pantau apa yang dimakan dan dimiunm oleh anak-anak.

Akhirnya yang perlu kita fikirkan ialah berfikir semula. Menilai semula. Menyenaraikan semula keutamaan kita. Kita bukan sahaja berhadapan isu halal dan haram bahkan juga melibatkan tempat makanan itu dijual atau dihidang. Premisnya juga perlu halal. Kehadiran haiwan haram selalu mengganggu sumber makanan halal untuk umat Islam. Bekas membungkus atau menghidang. Tempat menyimpan. Alat pengangkutan. Pengendalian dan penyusunan. Ada yang lebih utama:

1 Berhenti membeli makanan yang bukan produk Muslim.
2 Tidak membeli makanan dan minuman dari premis bukan Islam.
3 Logo halal hanya untuk usahawan Muslim kerana yang bukan Muslim sukar untuk patuh syarie.
4 Masak sendiri kebanyakan makanan. Ibu dan bapa serta anak-anak bergilir-gilir memasak di rumah.
5 Berhenti dari hidup secara Barat. Belum tentu makanan ala Barat nyata halalnya.

Makanan dan minuman halal sangat diperlukan. Ibadat kita berkait dengan makanan dan minuman itu. Bukan susah. Ingat Allah dan Rasulallah selalu. Jadikan ianya penghalang supaya kita tidak lagi menginginkan sesuatu yang belum tentu halalnya. Yang halal lebih banyak dari yang tidak halal. Jadikan diri kita panjang akal dan bukan pendek fikir. InsyaAllah kita berjaya kita ada usaha ke arah kebaikan.

Sunday, May 25, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Pahala Menyampai Atau Dosa Menyebar

Makhluk yang Allah ciptakan berpasang-pasangan. Setiap satu tajuk ada dua yang berlawanan. Paling jelas malam dan siang. Jauh dan dekat. Tinggi dan rendah. Tebal dan tipis. Apabila kita bincangkan tentang agama spektrumnya antara halal hingga haram atau wajib hingga haram. Bagi perbuatan atau makanan umpamanya spektrumnya ialah dari halal, sunat, harus, makruh dan haram. Dari segi arahan beramal spektrumnya dari wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Apa sahaja yang ada kaitannya dengan kita termasuk dalam mana-mana spektrum yang berkaitan. Mencari ilmu yang hak boleh jadi wajib atau sunat atau harus. Ilmu yang tidak baik seperti berjudi tentulah haram. Natijah dari apa yang berlaku melalui pancaindera kita tetap ada nilai-nilai di atas.

Dalam media sosial umpamanya kita mempunyai pilihan yang sangat banyak. Malangnya ramai antara kita yang menyebarkan yang bukan hak. Ada kerana kejahilan. Mungkin dianggap suka-suka. Mungkin juga kerana ingin meremehkan. Atau mungkin untuk mencela, menghina dan menjatuhkan maruah. Pilihan untuk berbuat baik sangat terbentang luas. Tiada halangan. Tiada sekatan. Tiada kekangan. Kita boleh memberi nasihat. Menyampaikan kebaikan walaupun sedikit. Memanjangkan sebarang ilmu bermanfaat. Mendidik. Memberi maklumat yang sebelum ini jarang dibaca atau belum pernah dibaca dan dilihat orang lain. Membawa pembaca ke arah membangun diri. Memberi motivasi. Melihat sesuatu dari sisi yang lain. Memberi hujjah alternatif. Membuka minda. Mengubah paradigma. Banyak lagi yang boleh kita lakukan dalam media sosial.

Alangkah malangnya apabila kita buka internet yang kita lihat adalah gambar yang bukan hak. Berita yang bukan hak. Apabila kita memegang sesuatu fahaman kita meremehkan mereka yang berfahaman sebaliknya. Apabila kita berfahaman kiri maka kita ambil peluang untuk menghentam mereka yang dalam fahaman kanan. Mari sama-sama kita nilai semula peranan kita yang agak bersekolah lebih tinggi dalam mendidik generasi masa hadapan. Kita ada peranan untuk merubah lanskap pemikiran dan tindakan ke arah yang lebih positif. Lebih bijaksana. Mengarah ke laluan menuju masyarakat ulul al-bab. Alangkah baiknya apabila kita share sesuatu yang berimpak ilmu. Memberi santapan jiwa. Menenangkan. Mendekatkan kepada Allah. Mencari yang benar. Mengingatkan. Tetapi banyak yang berlaku sebaliknya. Malah yang banyak adalah apa yang disebut dalam bahasa komputer sebagai garbage. Sampah yang langsung tiada nilainya. Sedikitpun tiada.

Bayangkan apabila seseorang memuatnaik gambar seseorang lain, biasanya artis, maka akan disambut oleh orang lain dengan share yang banyak. Maka berjalanlah gambar itu dari laman ke laman yang lain. Nah! Jika yang dishare itu baik maka baiklah jadinya. Menambah pahala. Mendapat ganjaran. Kebaikan itu berganda-ganda apabila disambut oleh orang lain. Mungkin hanya bait-bait doa yang mudah. Tanda-tanda kebesaran Allah. Atau berkongsi pengalaman yang bermanfaat. Ramai pembaca yang mengambil iktibar. Kita telah menyampaikan sesuatu yang bermanfaat. Menggembirakan orang lain. Memberi ketenagnan kepada mereka. Dari tidak tahu mereka menjadi tahu. Ganjaran kebaikan yang kita lakukan bertambah gandaannya apabila ada orang lain yang share sumbangan kita. Lebih banyak tentu lebih baik lagi.

Di mana kita apabila yang kita share ialah gambar orang lain yang tidak menutup aurat. Dengan sengaja bergambar tanpa pakaian yang cukup ukurannya. Atau yang tidak sesuai besar dan panjang saiznya. Atau yang tenunannya tidak telus dilihat hingga ke dalam. Kebanyakannya gambar artis. Penghibur. Cuba buat senarai semak. Ada atau tidak ciri-ciri berikut.

1 Mendidik.
2 Memberi nasihat.
3 Membuka minda ke arah kebenaran dan diredhai Allah.
4 Menyampaikan ilmu bermanfaat.
5 Boleh diambil sebagai teladan yang baik.
6 Menambah kebaikan dan mencegah kemungkaran.
7 Amal soleh atau maksiat.

Kita tidak boleh mengatakan bahawa perbuatan kita adalah untuk suka-suka. Perbuatan kita itu menzalimi diri kita sendiri. Apabila ada yang membaca kita mendapat dosa. Apabila ada yang melihat kita mendapat dosa. Apabila ada yang share kita mendapat dosa. Selagi ianya beredar kita mendapat dosa. Selagi ianya dishare kita mendapat dosa. Oleh kerana dosa itu tidak dapat dilihat maka kita tidak dapat menggambarkan azabnya nanti. Itu belum lagi aksi dalam gambar itu ditiru oleh orang lain. Fesyen yang tidak cukup kain ditiru pula oleh orang lain. Puncanya perbuatan kita. Sumbernya mungkin bukan dari kita. Kita telah mengutipnya dan menyebarkanya kepada orang lain. Sumber itu mendapat bahagiannya. Kita yang share mendapat bahagian kita. Tiada siapa yang terlepas di sisi Allah. Malaikat di kanan tidak pernah lalai. Malaikat di kira lagilah tiada lalainya. Kesemuanya dicatat. Akaunnya jelas. Tanpa apa-apa keraguan padanya.

Sewaktu kita melihat akaun kita tersebut kita sudah tidak berdaya untuk mengubah keadaan. Sekaranglah sewajarnya kita mengubah segala-galanya. Mulai saat ini. Sekarang. Lihat kembali apa yang telah kita lakukan. Pergi ke wall kita. Padam mana-mana yang bukan hak. Padam kata-kata yang bukan hak. Padam gambar yang bukan hak. Tugas kita kita susun semula.

1 Sebarkan yang hak, benar, baik dan bermanfaat.

2 Menasihat dan bukan menghina.

3 Mengajar dan bukan memperlekahkan orang lain.

4 Tidak ujub, takabbur atau riak. Sebaliknya sampaikan ilmu kerana itu tugas kita.

5 Berhemah dalam berbicara dan menulis. Mencela keburukan orang lain bukan penyelesaian. Ditakuti kembali kepada kita yang mencela.

6 Elakkan dari marah kerana orang lain tidak pandai seperti kita. Tidak berpengalaman seperti kita. Tidak belajar setinggi kita. Tidak berfahaman seperti kita. Tidak sejalan dengan kita. Marah bukan sikap yang terbaik. Mendidik dengan berhemah adalah pilihan yang lebih baik.

7 Belajar untuk menghormati pilihan orang lain. Berikan kepada mereka hak mereka kerana mereka tidak mengambil hak kita.

8 Tidak memaksa dalam memberi nasihat. Hidayah adalah milik Allah. Hak kita adalah menyampaikan. Berdakwah. Itu sahaja.

Dalam kebanyakan hal kita selalu memetik dari sumber sekunder. Sumber orang lain. Bukan sumber primer. Bukan dari kita yang memulakannya. Kebanyakan sumber itu belum tentu sahihnya. Dalam teknologi mungkin photoshop menghasilkan sesuatu yang bernatijah buruk. Sebaran mengenainya tentu hanya mengundang dosa. Masing-masing dengan pandangan yang berbeza. Kita perlu tahu membezakan antara yang hak dan yang batil. Laporan media perlu ditapis. Diperiksa. Disemak dengan ilmu dn dengan akal yang waras. Maka sifat dan sikap yang rasional atau waras diperlukan dalam mengurus diri kita dalam media sosial. Antara kita yang ada title seperti guru, ustaz dan ustazah, pegawai, tuan, encik dan sebagainya perlu menjaga martabat diri. Harga diri kita tinggi dan jangan dijatuhkan. Apatah lagi jika yang menjatuhkan itu tangan kita sendiri. Keghairahan menyatakan perasaan merosakkan imej diri kita sendiri. Ia seperti membunuh diri.

Saturday, May 24, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Anak-Anak Dan Masjid

Pada zaman Nabi kanak-kanak adalah teman di masjid. Mereka dibawa ke masjid. Mereka ditarbiahkan di masjid. Membesar di masjid. Ilmu mereka diperkembangkan di masjid. Masjid dipanggil jami'. Universiti pula dipanggil jamiah. Universiti bermula dengan masjid. Hingga sekarang masjid al-Ahzar masih menjadi tumpuan penyebaran ilmu khususnya pada waktu petang hingga ke malam. Kelihtan juga di masjid al-Haram dan masjid al-Nabawiy. Banyak tiang yang disandari guru. Murid-murid membuat halaqah di sekeliling guru. Begitulah masjid di negara Arab yang fungsi tradisinya berkekalan. Tempat untuk belajar. Tempat ilmu. Tempat manusia dipandaikan secara tauhid. Secara muamalah. Mereka mendatangi guru yang berada di masjid. Guru pula melahirkan guru-guru lain untuk digurui oleh orang lain. Proses yang mutawatirah. Kelangsungan agama dan keindahannya. Di rumah Allah manusia dididik untuk kekal dekat dengan Allah. Kanak-kanak menjadi pelaboran jangkapanjang yang semakin besar kuantiti dan kualitinya. Namun begitu di Malaysia, cerita mengenai kanak-kanak di masjid ini tidak sudah-sudah diperkatakan orang. Seperti tiada formula untuk menyelesaikannya. Berlarutan dari satu generasi ke satu generasi yang lain. Anak-anak dipisahkan dari orang dewasa. Jauh di belakang dengan dunia mereka sendiri. Seolah-olah tanggungjawab mendidik mereka dilepaskan begitu sahaja.

Anak-anak lelaki perlu berada di samping bapanya. Perlu bersama orang dewasa. Mereka dilatih melalui contoh tauladan dari orang dewasa yang berada di sekeliling mereka. Yang mengajar mereka dari tidak tahu kepada tahu. Dari mula hingga nampak nyata. Latihan sepanjang masa itulah yang melekat dihati dan jiwa mereka untuk terus mencintai agama. Mencintai masjid. Mencintai mereka yang berilmu. Apabila itu berlaku maka yang kita lihat ialah anak-anak muda yang hatinya di masjid. Bukan di stadium. Bukan di konsert. Bukan di bangunan yang tiada nilai agama. Langkah mereka di atas sirot al-mustaqim. Jalan mereka lurus. Lari mereka deras. Singgah mereka di makam-makam yang berdarjat mulia. Orang dewasa yang boleh membimbing mereka. Asasnya dimulakan oleh bapa. Orang dewasa di sekeliling mereka. Masjid sewajarnya menjadi wadah indah memperkaya cinta anak-anak kepada agama. Kepada Allah. Kepada RasulNya. Kerana itu cerita anak-anak dan masjid seharusnya ada noktah. Ada langkah bijaksana demi membina mereka ke arah beragama. Beramal soleh. Menjadi pewaris anbia. Menjadi pejuang-pejuang yang matinya hanya mencari syahid.

Mengembara ke negara lain dapat juga menimba sedikit pengalaman yang berlainan. Di Malaysia kita melihat seakan-akan ada fobia untuk kita membawa anak-anak ke masjid. Ada jelingan mata yang tidak enak memandang anak-anak. Apatah lagi jika anak-anak itu bersolat di samping bapanya. Adat kita, penulis ulang, adat kita meletakkan anak-anak di saf paling belakang. Di saf yang diktiraf ulamak sebagai tempat yang banyak jin dan syaitan. Di saf yang mereka tidak dapat dipantau. Maka mereka ke masjid secara ritual. Untuk bertemu rakan. Untuk berbual. Bertukar-tukar gambar dan mesej. Untuk bermain. Kanak-kanak yang sudah berumur melebihi 10 tahun masih tidak dapat solat dengan betul. Belum lagi boleh khusyuk. Belum boleh jadi imam. Masjid bukan tempat untuk melaksanakan adat. Ia tempat beribadat. Bukan hanya untuk solat Jumaat bahkan untuk semua jenis solat. Semua jenis aktiviti yang patuh syarie. Termasuk untuk bersukan. Mengulangkaji. Berdiskusi. Tuisyen. Buatlah apa sahaja asalkan untuk memperbaiki akhlak agama. Memperbaiki ummah. Meningkatkan martabat agama.

Pendirian kit amasih belum mantap. Di mana sebenarnya hendak kita letakkan anak kita sewaktu kita solat. Di samping atau di belakang orang dewasa. Soalnya kenapa di belakang. Hanya kerana mereka kanak-kanak. Cuba fikirkan analogi ini:

1 Mereka ingin beribadat seperti orang dewasa tetapi terhalang kerana adat yang meminggirkan mereka.

2 Siapa yang boleh membimbing mereka jika bukan mereka yang dewasa. Meletakkan mereka di belakang menjengkelkan hati mereka. Mereka mahu bersama-sama orang lain. Berada di saf orang dewasa. Mengapa mereka dibelakangkan.

3 Adakah mereka tidak layak berada di saf orang dewasa? Benarkah kedudukan orang dewasa lebih mulia dari mereka. Buktinya? Dalilnya?

Penulis terkilan apabila melihat pelajar sekolah menengah dihalang dari bersama saf orang dewasa. Bukankah mereka telah baligh. Mukallaf. Remaja dan bukan kanak-kanak. Sebahagian dari mereka lebih berilmu agama dari orang dewasa yang lain. Tahu yang hak dan yang batil. Orang dewasa selalu beranggapan bahawa kanak-kanak letaknya di belakang. Tidak boleh melebihi orang dewasa. Sampai masa kita buang tanggapan salah terhadap kanak-kanak. Apatah lagi jika mereka sudah bersekolah menengah. Mereka sudah dikira dewasa untuk diri mereka sendiri. Di negara Arab umpamanya, kanak-kanak berada di samping bapanya. Bagi yang sudah boleh berdikari mereka sendirian berada dalam saf tanpa bapa mereka. Mari kita fikirkan sama-sama langkah-langkah yang boleh merubah lanskap beribadah di kalangan rakyat Islam Malaysia yang melibatkan kanak-kanak dan remaja.

1 Pihak yang berwajib tentang agama perlu mendidik pihak penguasa masjid supaya mesra kanak-kanak dan remaja. Jangan diskriminasi kanak-kanak semata-mata kerana mereka kanak-kanak.

2 Sebagai peringkat permulaan didik bapa supaya berada di hujung saf. Anak yang dibawa diletakkan di hujung sekali. Tujuannya untuk mendidik jemaah yang lain dari rasa tidak tenteram.

3 Ubah amalan berkhatan seperti sekarang. Maksudnya khatankan anak lelaki semasa mereka bayi lagi. Mereka sudah suci pada zaman kanak-kanak lagi. Itu yang selalu menghantui perasaan orang dewasa. Dikatakan kanak-kana belum suci. Kita ubah situasi supaya tanggapan itu hapus dengan sendirinya. Sampai masanya semua kanak-kanak adalah suci. Di masjid tiada lagi halangan ke atas mereka.

Tanggapan dan perubahan merupakan dua hal yang perlu digarap bersama. Jadikan keduanya lengkap-melengkapi. Jika kita pisahkan maka ianya menyusahkan kita juga. Masjid sunyi dari anak muda. Dari remaja. Dari kanak-kanak. Kita sewajarnya rindukan mereka. Gamit mereka ke masjid dengan penuh ramah mesra. Ada motivasi dari mereka yang dewasa. Letakkan mereka di saf hadapan. Diberi penghormatan sebagai sebahagian dari umat yang penting. Yang bakal menggalas tanggungjawab agama dan beragama. Tentu meriah apabila masjid dipenuhi dengan kanak-kanak yang bertanggungjawab kepada agamanya. Mereka datang bukan untuk menyibuk. Bukan untuk berbuat bising. Mereka datang ke masjid seperti juga orang dewasa. Untuk beribadat. Untuk mengimarahkan masjid. Untuk belajar jadi pewaris masjid itu sendiri pada masa hadapan. InsyaAllah.

Bingkisan Daei Kaherah: Timba Lari Perigi Datang


Dalam kehidupan orang Melayu terdapat peribahasa: Perigi mencari timba. Kepada orang Melayu peribahasa ini memberi konotasi yang negatif. Dikatakan menyongsong arus. Dunia jadi terbalik. Maruah yang menghinakan. Tidak mungkin keluarga seorang gadis meminang bakal suaminya. Pendapat ini menjadi adat turun-temurun. Maka terlalu sedikit orang kita yang melepasi adat ini. Sesekali mungkin terjadi. Hanya sesekali. Apabila difikirkan lama-lama mungkin banyak silapnya pegangan kita selama ini. Sebagai Muslim kita tidak pula menjalankan sebahagian dari syariat seperti yang berlaku ke atas Nabi Muhammad dan Nabi Musa. Orang Melayu telah menjadi Muslim tetapi menyisih dari mengamalkan yang hak. Mungkin ada baiknya dalam konteks zaman yang berbeza. Tetapi sesuatu yang baik telah diabaikan. Ditolak ke tepi hingga seolah-olah menolak apa yang baik dari segi agama. Banyak yang perlu kita fikirkan semula untuk menilai perubahan zaman yang mungkin tidak relevan lagi.

Suatu ketika dahulu ramai keluarga Melayu yang mengamalkannya. Mereka menawarkan anak gadis mereka kepada mereka yang dianggap boleh melindungi anak mereka di dunia dan di akhirat. Pilihan utama mereka adalah alim ulamak yang ada di sekeliling mereka. Tidak hairan apabila ramai mereka yang berstatus demikin berumahtangga hingga empat orang isteri. Jika kita rajin menelusuri sejarah, sebenarnya banyak yang mampu kita lakukan seperti orang terdahulu. Di setengah negara, orang kaya juga mendapat tawaran sedemikian demi menjamin kehidupan anak bersama suami yang berkemampuan. Suatu ketika dahulu kesemua itu bukan asing dalam budaya Melayu. Selepas kita merasa semakin canggih kita tidak lagi mahu meneruskan budaya yang Islamik dan memenuhi syariat tersebut. Entahlah kita selalu terpengaruh dengan budaya Barat. Kita dimomokkan bahawa budaya mereka lebih baik. Kita lupa sunnatullah. Kita lupa sunnah dari Rasulallah. Melihat banyaknya mereka yang lebih ramai suka bercinta berbanding dengan yang memilih untuk berumahtangga. Ramai yang berpisah dari meneruskan tegaknya seri tiang rumahtangga hingga ke akhir hayat.

Rasulallah adalah insan dan makhluk paling agung di dunia dan seluruh alam ini. Khadijah meminangnya melalui Abu Talib. Sesungguhnya Rasulallah teramat menyintai dan menyayangi Khadijah. Dari hidup hingga ketiadaannya Rasulallah tetap mengingati Khadijah. Pinangan Kahadijah akhirnya memberikan kebahagiaan kepada Rasulallah. Abadi pengakhiran cintanya. Dunia dan akhirat. Demi sesungguhnya Khadijah amat mengerti pada diri Rasulallah itulah lelaki yang menjadi pelindung hidupnya. Dipercayai. Amanah dan setia. Membahagiakannya hingga ke akhir hayatnya. Tidak ada musibahnya wanita meminang lelaki. Semuanya kerana Allah. Untuk sesuatu yang suci dan syahdu. Apabila lelaki dipinang tidak bermakna dirinya menjadi hina. Tidak bermakna hilang harga dirinya. Tidak pula jatuh tertiarap menekup lumpur. Rasulallah berkabung sekian waktu apabila Khadijah meninggal dunia. Ianya bukan cinta Laila dan Majnun. Bukan Romeo dan Juliet. Ini adalah cinta antara pasangan yang jaminannya syurga. Allahuakbar.

Bacalah bagaimana Nabi Musa dipinang oleh Nabi Syuib untuk anak perempuannya. Ketika itu Nabi Musa dalam keadaan kerisauan kerana selepas lari dari meninggalkan Mesir. Baginda sedang diburu oleh Firaun dan tenteranya kerana Nabi Musa membunuh orang Firaun. Di Madyan hidupnya berubah. Baginda sedang berehat di bawah sebatang pokok yang besar. Terlihat olehnya dua orang gadis mengembala kambing. Mereka kesukaran untuk memberi minum kambing-kambing mereka. Nabi Musa memberikan pertolongan tanpa mengetahui siapa gadis-gadis itu. Mereka adalah anak-anak gadis Nabi Syuib. Cerita yang disampaikan oleh anak-anak gadisnya menjadikan Nabi Syuib maklum akan kehadiran Nabi Musa. Apabila keduanya bertemu, Nabi Syuib bukan sahaja menawarkan kerja kepada Nabi Musa bahkan menawarkan seorang dari anak gadisnya untuk dinikahkan dengan Nabi Musa. Seorang bapa perlu mengetahui ciri-ciri lelaki yang dimaklumi boleh menjamin kehidupan anak gadisnya pada masa hadapan apabila berumahtangga.

Ingat bagaimana Sayyidina Umar al-Khattab menawarkan Hafsah kepada Sayyidina Uthman. Sahabatnya sendiri. Uthman menolak. Umar mengadu kepada Rasulallah kerana keengganan Uthman. Kisah ini kelasik. Jawapan Rasulallah penuh tersirat. Sesungguhnya Hafsah akan mendapat suami yang lebih baik dari Uthman dan Uthman pula akan mendapat isteri yang lebih baik dari Hafsah. Rasulallah berkahwin dengan Hafsah dan Uthman berkahwin dengan Umi Kalthum. Begitu juga sejarah memaparkan bahawa ramai sahabat yang bersemenda antara mereka. Generasi waktu itu warak belaka. Menikahi mana-mana sahabat Nabi melegakan ibu dan bapa bahawa anak-anak mereka berada di bawah lindungan suami yang dijamin akhlaknya terhadap isteri.

Penulis teringat cerita Ahmad al-Bab arahan allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Filem tersebut melestarikan jauhnya wawasan P. Ramlee. Mesej agama yang jarang lagi dipertimbangkan pada tahun-tahun tersebut. Tradisi Islam yang sudah lama dibuang oleh orang Melayu. Syawal yang alang-alang pandainya ditawarkan menjadi suami Mastura. Syawal setuju. Jadilah mereka suami isteri yang akhirnya membina kebahagiaan. Mesej P. Ramlee sangat jauh, mendalam dan berwawasan. Mungkin setelah berpuluh tahun baru kita sedar banyaknya satira masyarakat yang dihidangkan olehnya. Pada waktu itu kesemuanya kita anggap hiburan semata-mata. Maslahah masyarakat yang dioleh ringan dalam lawak yang menghiburkan. Mesejnya dalam tanpa kita maklumi jika tidak difikirkan secara mendalam.

Cerita-cerita Melayu klasik menghidangkan kisah-kisah yang sama. Raja yang hanya memiliki seorang puteri sukar untuk menjodohkannya dengan putera atau lelaki pilihan yang boleh menjamin puterinya dan negaranya. Selalunya syembara diadakan sama ada pertandingan memanah atau sebagainya. Mana-mana jejaka yang berjaya menjadi suami sang puteri. Malah dinobatkan menjadi raja. Maknanya raja berwawasan jauh. Hanya seorang lelaki yang memiliki ciri-ciri tertentu sahaja layak menajdi suami kepada puterinya. Layak pula mengambilalih kerajaannya. Sebuah negara perlu diperintah oleh lelaki yang bukan sahaja gagah bahkan memiliki sikap pelindung dan boleh diharap. Dalam keadaaan sekarang syembara tentulah bukan lagi zamannya. Namun demikian, ciri-ciri lelaki yang baik masih ramai di sekeliling kita.

Di negara India dan bagi orang India dan Sri Langka, masih lagi diamalkan bahawa pihak perempuan yang meminang lelaki. Tetapi taruhannya harta benda. Mahar ditanggung oleh pihak perempuan. Bukan lelaki. Lebih tinggi kedudukan sang lelaki lebih besar maharnya. Adat itu sesuai bagai mereka tetapi mungkin bukan untuk kita. Di kampung penulis terdapat beberapa kes apabila pihak keluarga gadis mencadangkan supaya keluarga pihak jejaka bersetuju menjodohkan anak-anak mereka. Mereka tidak meminang secara langsung. Hanya mencadangkan sahaja. Apabila keluarga lelaki bersetuju maka pihak lelaki mengambil inisiatif menghantar rombongan peminangan. Bersatulah kedua keluarga aman bahagia. Tidak ada masalah apa-apa. Nostalgia zaman dan agama yang boleh difikirkan semula. Tugas kita mencari redha Allah.