Saturday, May 24, 2014

Bingkisan Daei Kaherah: Timba Lari Perigi Datang


Dalam kehidupan orang Melayu terdapat peribahasa: Perigi mencari timba. Kepada orang Melayu peribahasa ini memberi konotasi yang negatif. Dikatakan menyongsong arus. Dunia jadi terbalik. Maruah yang menghinakan. Tidak mungkin keluarga seorang gadis meminang bakal suaminya. Pendapat ini menjadi adat turun-temurun. Maka terlalu sedikit orang kita yang melepasi adat ini. Sesekali mungkin terjadi. Hanya sesekali. Apabila difikirkan lama-lama mungkin banyak silapnya pegangan kita selama ini. Sebagai Muslim kita tidak pula menjalankan sebahagian dari syariat seperti yang berlaku ke atas Nabi Muhammad dan Nabi Musa. Orang Melayu telah menjadi Muslim tetapi menyisih dari mengamalkan yang hak. Mungkin ada baiknya dalam konteks zaman yang berbeza. Tetapi sesuatu yang baik telah diabaikan. Ditolak ke tepi hingga seolah-olah menolak apa yang baik dari segi agama. Banyak yang perlu kita fikirkan semula untuk menilai perubahan zaman yang mungkin tidak relevan lagi.

Suatu ketika dahulu ramai keluarga Melayu yang mengamalkannya. Mereka menawarkan anak gadis mereka kepada mereka yang dianggap boleh melindungi anak mereka di dunia dan di akhirat. Pilihan utama mereka adalah alim ulamak yang ada di sekeliling mereka. Tidak hairan apabila ramai mereka yang berstatus demikin berumahtangga hingga empat orang isteri. Jika kita rajin menelusuri sejarah, sebenarnya banyak yang mampu kita lakukan seperti orang terdahulu. Di setengah negara, orang kaya juga mendapat tawaran sedemikian demi menjamin kehidupan anak bersama suami yang berkemampuan. Suatu ketika dahulu kesemua itu bukan asing dalam budaya Melayu. Selepas kita merasa semakin canggih kita tidak lagi mahu meneruskan budaya yang Islamik dan memenuhi syariat tersebut. Entahlah kita selalu terpengaruh dengan budaya Barat. Kita dimomokkan bahawa budaya mereka lebih baik. Kita lupa sunnatullah. Kita lupa sunnah dari Rasulallah. Melihat banyaknya mereka yang lebih ramai suka bercinta berbanding dengan yang memilih untuk berumahtangga. Ramai yang berpisah dari meneruskan tegaknya seri tiang rumahtangga hingga ke akhir hayat.

Rasulallah adalah insan dan makhluk paling agung di dunia dan seluruh alam ini. Khadijah meminangnya melalui Abu Talib. Sesungguhnya Rasulallah teramat menyintai dan menyayangi Khadijah. Dari hidup hingga ketiadaannya Rasulallah tetap mengingati Khadijah. Pinangan Kahadijah akhirnya memberikan kebahagiaan kepada Rasulallah. Abadi pengakhiran cintanya. Dunia dan akhirat. Demi sesungguhnya Khadijah amat mengerti pada diri Rasulallah itulah lelaki yang menjadi pelindung hidupnya. Dipercayai. Amanah dan setia. Membahagiakannya hingga ke akhir hayatnya. Tidak ada musibahnya wanita meminang lelaki. Semuanya kerana Allah. Untuk sesuatu yang suci dan syahdu. Apabila lelaki dipinang tidak bermakna dirinya menjadi hina. Tidak bermakna hilang harga dirinya. Tidak pula jatuh tertiarap menekup lumpur. Rasulallah berkabung sekian waktu apabila Khadijah meninggal dunia. Ianya bukan cinta Laila dan Majnun. Bukan Romeo dan Juliet. Ini adalah cinta antara pasangan yang jaminannya syurga. Allahuakbar.

Bacalah bagaimana Nabi Musa dipinang oleh Nabi Syuib untuk anak perempuannya. Ketika itu Nabi Musa dalam keadaan kerisauan kerana selepas lari dari meninggalkan Mesir. Baginda sedang diburu oleh Firaun dan tenteranya kerana Nabi Musa membunuh orang Firaun. Di Madyan hidupnya berubah. Baginda sedang berehat di bawah sebatang pokok yang besar. Terlihat olehnya dua orang gadis mengembala kambing. Mereka kesukaran untuk memberi minum kambing-kambing mereka. Nabi Musa memberikan pertolongan tanpa mengetahui siapa gadis-gadis itu. Mereka adalah anak-anak gadis Nabi Syuib. Cerita yang disampaikan oleh anak-anak gadisnya menjadikan Nabi Syuib maklum akan kehadiran Nabi Musa. Apabila keduanya bertemu, Nabi Syuib bukan sahaja menawarkan kerja kepada Nabi Musa bahkan menawarkan seorang dari anak gadisnya untuk dinikahkan dengan Nabi Musa. Seorang bapa perlu mengetahui ciri-ciri lelaki yang dimaklumi boleh menjamin kehidupan anak gadisnya pada masa hadapan apabila berumahtangga.

Ingat bagaimana Sayyidina Umar al-Khattab menawarkan Hafsah kepada Sayyidina Uthman. Sahabatnya sendiri. Uthman menolak. Umar mengadu kepada Rasulallah kerana keengganan Uthman. Kisah ini kelasik. Jawapan Rasulallah penuh tersirat. Sesungguhnya Hafsah akan mendapat suami yang lebih baik dari Uthman dan Uthman pula akan mendapat isteri yang lebih baik dari Hafsah. Rasulallah berkahwin dengan Hafsah dan Uthman berkahwin dengan Umi Kalthum. Begitu juga sejarah memaparkan bahawa ramai sahabat yang bersemenda antara mereka. Generasi waktu itu warak belaka. Menikahi mana-mana sahabat Nabi melegakan ibu dan bapa bahawa anak-anak mereka berada di bawah lindungan suami yang dijamin akhlaknya terhadap isteri.

Penulis teringat cerita Ahmad al-Bab arahan allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Filem tersebut melestarikan jauhnya wawasan P. Ramlee. Mesej agama yang jarang lagi dipertimbangkan pada tahun-tahun tersebut. Tradisi Islam yang sudah lama dibuang oleh orang Melayu. Syawal yang alang-alang pandainya ditawarkan menjadi suami Mastura. Syawal setuju. Jadilah mereka suami isteri yang akhirnya membina kebahagiaan. Mesej P. Ramlee sangat jauh, mendalam dan berwawasan. Mungkin setelah berpuluh tahun baru kita sedar banyaknya satira masyarakat yang dihidangkan olehnya. Pada waktu itu kesemuanya kita anggap hiburan semata-mata. Maslahah masyarakat yang dioleh ringan dalam lawak yang menghiburkan. Mesejnya dalam tanpa kita maklumi jika tidak difikirkan secara mendalam.

Cerita-cerita Melayu klasik menghidangkan kisah-kisah yang sama. Raja yang hanya memiliki seorang puteri sukar untuk menjodohkannya dengan putera atau lelaki pilihan yang boleh menjamin puterinya dan negaranya. Selalunya syembara diadakan sama ada pertandingan memanah atau sebagainya. Mana-mana jejaka yang berjaya menjadi suami sang puteri. Malah dinobatkan menjadi raja. Maknanya raja berwawasan jauh. Hanya seorang lelaki yang memiliki ciri-ciri tertentu sahaja layak menajdi suami kepada puterinya. Layak pula mengambilalih kerajaannya. Sebuah negara perlu diperintah oleh lelaki yang bukan sahaja gagah bahkan memiliki sikap pelindung dan boleh diharap. Dalam keadaaan sekarang syembara tentulah bukan lagi zamannya. Namun demikian, ciri-ciri lelaki yang baik masih ramai di sekeliling kita.

Di negara India dan bagi orang India dan Sri Langka, masih lagi diamalkan bahawa pihak perempuan yang meminang lelaki. Tetapi taruhannya harta benda. Mahar ditanggung oleh pihak perempuan. Bukan lelaki. Lebih tinggi kedudukan sang lelaki lebih besar maharnya. Adat itu sesuai bagai mereka tetapi mungkin bukan untuk kita. Di kampung penulis terdapat beberapa kes apabila pihak keluarga gadis mencadangkan supaya keluarga pihak jejaka bersetuju menjodohkan anak-anak mereka. Mereka tidak meminang secara langsung. Hanya mencadangkan sahaja. Apabila keluarga lelaki bersetuju maka pihak lelaki mengambil inisiatif menghantar rombongan peminangan. Bersatulah kedua keluarga aman bahagia. Tidak ada masalah apa-apa. Nostalgia zaman dan agama yang boleh difikirkan semula. Tugas kita mencari redha Allah.

No comments:

Post a Comment