Saturday, May 24, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Anak-Anak Dan Masjid

Pada zaman Nabi kanak-kanak adalah teman di masjid. Mereka dibawa ke masjid. Mereka ditarbiahkan di masjid. Membesar di masjid. Ilmu mereka diperkembangkan di masjid. Masjid dipanggil jami'. Universiti pula dipanggil jamiah. Universiti bermula dengan masjid. Hingga sekarang masjid al-Ahzar masih menjadi tumpuan penyebaran ilmu khususnya pada waktu petang hingga ke malam. Kelihtan juga di masjid al-Haram dan masjid al-Nabawiy. Banyak tiang yang disandari guru. Murid-murid membuat halaqah di sekeliling guru. Begitulah masjid di negara Arab yang fungsi tradisinya berkekalan. Tempat untuk belajar. Tempat ilmu. Tempat manusia dipandaikan secara tauhid. Secara muamalah. Mereka mendatangi guru yang berada di masjid. Guru pula melahirkan guru-guru lain untuk digurui oleh orang lain. Proses yang mutawatirah. Kelangsungan agama dan keindahannya. Di rumah Allah manusia dididik untuk kekal dekat dengan Allah. Kanak-kanak menjadi pelaboran jangkapanjang yang semakin besar kuantiti dan kualitinya. Namun begitu di Malaysia, cerita mengenai kanak-kanak di masjid ini tidak sudah-sudah diperkatakan orang. Seperti tiada formula untuk menyelesaikannya. Berlarutan dari satu generasi ke satu generasi yang lain. Anak-anak dipisahkan dari orang dewasa. Jauh di belakang dengan dunia mereka sendiri. Seolah-olah tanggungjawab mendidik mereka dilepaskan begitu sahaja.

Anak-anak lelaki perlu berada di samping bapanya. Perlu bersama orang dewasa. Mereka dilatih melalui contoh tauladan dari orang dewasa yang berada di sekeliling mereka. Yang mengajar mereka dari tidak tahu kepada tahu. Dari mula hingga nampak nyata. Latihan sepanjang masa itulah yang melekat dihati dan jiwa mereka untuk terus mencintai agama. Mencintai masjid. Mencintai mereka yang berilmu. Apabila itu berlaku maka yang kita lihat ialah anak-anak muda yang hatinya di masjid. Bukan di stadium. Bukan di konsert. Bukan di bangunan yang tiada nilai agama. Langkah mereka di atas sirot al-mustaqim. Jalan mereka lurus. Lari mereka deras. Singgah mereka di makam-makam yang berdarjat mulia. Orang dewasa yang boleh membimbing mereka. Asasnya dimulakan oleh bapa. Orang dewasa di sekeliling mereka. Masjid sewajarnya menjadi wadah indah memperkaya cinta anak-anak kepada agama. Kepada Allah. Kepada RasulNya. Kerana itu cerita anak-anak dan masjid seharusnya ada noktah. Ada langkah bijaksana demi membina mereka ke arah beragama. Beramal soleh. Menjadi pewaris anbia. Menjadi pejuang-pejuang yang matinya hanya mencari syahid.

Mengembara ke negara lain dapat juga menimba sedikit pengalaman yang berlainan. Di Malaysia kita melihat seakan-akan ada fobia untuk kita membawa anak-anak ke masjid. Ada jelingan mata yang tidak enak memandang anak-anak. Apatah lagi jika anak-anak itu bersolat di samping bapanya. Adat kita, penulis ulang, adat kita meletakkan anak-anak di saf paling belakang. Di saf yang diktiraf ulamak sebagai tempat yang banyak jin dan syaitan. Di saf yang mereka tidak dapat dipantau. Maka mereka ke masjid secara ritual. Untuk bertemu rakan. Untuk berbual. Bertukar-tukar gambar dan mesej. Untuk bermain. Kanak-kanak yang sudah berumur melebihi 10 tahun masih tidak dapat solat dengan betul. Belum lagi boleh khusyuk. Belum boleh jadi imam. Masjid bukan tempat untuk melaksanakan adat. Ia tempat beribadat. Bukan hanya untuk solat Jumaat bahkan untuk semua jenis solat. Semua jenis aktiviti yang patuh syarie. Termasuk untuk bersukan. Mengulangkaji. Berdiskusi. Tuisyen. Buatlah apa sahaja asalkan untuk memperbaiki akhlak agama. Memperbaiki ummah. Meningkatkan martabat agama.

Pendirian kit amasih belum mantap. Di mana sebenarnya hendak kita letakkan anak kita sewaktu kita solat. Di samping atau di belakang orang dewasa. Soalnya kenapa di belakang. Hanya kerana mereka kanak-kanak. Cuba fikirkan analogi ini:

1 Mereka ingin beribadat seperti orang dewasa tetapi terhalang kerana adat yang meminggirkan mereka.

2 Siapa yang boleh membimbing mereka jika bukan mereka yang dewasa. Meletakkan mereka di belakang menjengkelkan hati mereka. Mereka mahu bersama-sama orang lain. Berada di saf orang dewasa. Mengapa mereka dibelakangkan.

3 Adakah mereka tidak layak berada di saf orang dewasa? Benarkah kedudukan orang dewasa lebih mulia dari mereka. Buktinya? Dalilnya?

Penulis terkilan apabila melihat pelajar sekolah menengah dihalang dari bersama saf orang dewasa. Bukankah mereka telah baligh. Mukallaf. Remaja dan bukan kanak-kanak. Sebahagian dari mereka lebih berilmu agama dari orang dewasa yang lain. Tahu yang hak dan yang batil. Orang dewasa selalu beranggapan bahawa kanak-kanak letaknya di belakang. Tidak boleh melebihi orang dewasa. Sampai masa kita buang tanggapan salah terhadap kanak-kanak. Apatah lagi jika mereka sudah bersekolah menengah. Mereka sudah dikira dewasa untuk diri mereka sendiri. Di negara Arab umpamanya, kanak-kanak berada di samping bapanya. Bagi yang sudah boleh berdikari mereka sendirian berada dalam saf tanpa bapa mereka. Mari kita fikirkan sama-sama langkah-langkah yang boleh merubah lanskap beribadah di kalangan rakyat Islam Malaysia yang melibatkan kanak-kanak dan remaja.

1 Pihak yang berwajib tentang agama perlu mendidik pihak penguasa masjid supaya mesra kanak-kanak dan remaja. Jangan diskriminasi kanak-kanak semata-mata kerana mereka kanak-kanak.

2 Sebagai peringkat permulaan didik bapa supaya berada di hujung saf. Anak yang dibawa diletakkan di hujung sekali. Tujuannya untuk mendidik jemaah yang lain dari rasa tidak tenteram.

3 Ubah amalan berkhatan seperti sekarang. Maksudnya khatankan anak lelaki semasa mereka bayi lagi. Mereka sudah suci pada zaman kanak-kanak lagi. Itu yang selalu menghantui perasaan orang dewasa. Dikatakan kanak-kana belum suci. Kita ubah situasi supaya tanggapan itu hapus dengan sendirinya. Sampai masanya semua kanak-kanak adalah suci. Di masjid tiada lagi halangan ke atas mereka.

Tanggapan dan perubahan merupakan dua hal yang perlu digarap bersama. Jadikan keduanya lengkap-melengkapi. Jika kita pisahkan maka ianya menyusahkan kita juga. Masjid sunyi dari anak muda. Dari remaja. Dari kanak-kanak. Kita sewajarnya rindukan mereka. Gamit mereka ke masjid dengan penuh ramah mesra. Ada motivasi dari mereka yang dewasa. Letakkan mereka di saf hadapan. Diberi penghormatan sebagai sebahagian dari umat yang penting. Yang bakal menggalas tanggungjawab agama dan beragama. Tentu meriah apabila masjid dipenuhi dengan kanak-kanak yang bertanggungjawab kepada agamanya. Mereka datang bukan untuk menyibuk. Bukan untuk berbuat bising. Mereka datang ke masjid seperti juga orang dewasa. Untuk beribadat. Untuk mengimarahkan masjid. Untuk belajar jadi pewaris masjid itu sendiri pada masa hadapan. InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment