Wednesday, December 18, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Ziarah Yang Sedikit Kewajarannya



Suatu senario yang biasa di hospital. Seorang pesakit dikelilingi oleh ahli keluarga, saudara mara dan sahabat handai. Kadang-kadang sahabat kepada sahabat. Sahabat kepada saudara mara. Sahabat kepada ahli keluarga. Termasuk juga raka sekeluarga. Suasana meriah itu ditamba pula dengan khadiran kanak-kanak. Ruang katil tidak cukup menampung penziarah yang ramai. Melimpah ke ruang katil pesakit yang bersebelahan. Di hospital kerajaan jangkamasa dua jam sama ada pada waktu tengahari atau sebelah petang penuh dengan pengunjung. Kedengaran banyak pertanyaan. Ingin tahu kedudukan perkara. Anak-anak menangis kerana letih. Kerana lapar susu. Kerana kehausan. Riuh pula dengan anak-anak yang berkejar-kejaranan. Ramai yang berbual kerana bertemu rakan lama atau saudara yang lama tidak bertemu.

Sesungguhnya budaya menziarahi pesakit kadang-kadang melebihi tuntutannya. Seorang isteri bekas menteri menceritakan tentang kejutan budaya yang dialaminya sewaktu mula berhijrah ke Malaysia. Mana mungkin seramai itu penziarah di hospital. Atas alasan apapun di negara lain seperti di Eropah dan Amerika mengunjungi pesakit di hospital bukan budaya utama. Hatta di negara Arab Islam menziarahi pesakit bukan secara besar-besaran. Di Malaysia ada rombongan menggunakan bas atau kereta yang banyak jumlahnya. Di negara lain menziarahi orang sakit dibuat ala kadar. Mungkin kita boleh menilai semula budaya kita. Dari satu sisi ianya amalan baik. Perihatin. Suka terlibat. Menunjukkan rasa ambil tahu. Merapatkan silaturrahim. Ukhwah.  Namun begitu dari sisi lain ianya bukan amalan yang terbaik. Ada adab Islamiyyah yang lebih bermanfaat semasa sessi menziarahi pesakit sama ada di hospital atau di rumah. Pada lazimnya:

1       Pesakit adalah sedang sakit. Fizikalnya lemah. Jiwanya lemah. Semangatnya rendah. Psikologinya terkesan. Kegembiraan lazimnya hilang dari diri dan perasaan pesakit. Maka berpada-padalah semasa menziarahi pesakit.
2       Ia perlu banyak berehat. Banyak tidur. Ubat yang dimakan mungkin menjadikan pesakit mengantuk. Ketika itu waktu menziarahinya perlu disingkatkan.
3       Ada masanya yang berjadual ia perlu menerima rawatan jururawat atau doktor. Ketika itu jika terlalu ramai penziarah memang keadaan menyulitkan. Ruang menjadi sesak. Hospital sudah bukan hospital lagi.
4       Ia mungkin perlu ke bilik air. Maklum sahajalah pesakit. Lambat. Lemah. Perlu banyak bantuan dari penjaganya atau jururawat.
5       Ia perlu bersendirian dengan orang yang terdekat seperti ibu atau isteri atau suami atau anak atau adik beradik. Sebab itu menjengah pesakit tidak boleh terlalu lama.
6       Ada masanya ia perlu mendedahkan aurat kepada mahramnya atau kepada jururawat atau kepada doktor bertugas. Jika diziarahi tentulah menyulitkan yang sakit dan yang menziarahinya.
7       Ia perlu makan seperlunya mengikut jadual yang telah ditentukan. Ketika diziahari makannya terganggu. Malu ada. Terganggu ada. Kasihan pesakit.
8       Jangan lupa. Penjaganya juga perlu rehat. Waktu malamnya dia kurang tidur. Siangnya membantu pesakit mana yang perlu. Jika penziarah terlalu ramai dan terlalu lama kasihan penjaganya. Mungkin dia juga sudah berumur. Dia juga menjadi kurang sihat.

Kerana itu penziarah perlu pula mengetahui bila waktu yang sesuai dan bila pula waktu yang tidak sesuai. Begitu juga adab ziarah yang perlu dijadikan panduan. Antaranya:

1       Jangan terlalu lama. Melebihi jangkamasa 15 minit sangat lama. Ramai lagi penziarah lain yang juga ingin berkesempatan menjengah pesakit.  Tujuan ziarah sudah mencukupi dalam masa yang singkat. Banyak yang boleh dilakukan dalam masa yang singkat. Jangkamasa yang lama belum tentu banyak manfaatnya.
2       Yang penting ialah menemui pesakit secara peribadi. Menjabat tangannya. Bertentang mata dengannya. Mendengar suaranya. Mungkin sedikit ceritanya. Mungkin lama jika pesakit yang meminta penziarah berbuat demikian.
3       Bawalah hadiah yang sesuai seperti barang-barang yang menceriakan. Sejambak bunga umpamanya. Buah-buahan.
4       Datang dengan doa dan balik dengan doa. Doakan semoga Allah segera menyembuhkannya.
5       Tanya hal-hal yang ringan. Banyak bertanya tentang sakitnya mungkin menjadikannya sebak. Mungkin juga menjadikannya hiba. Ada masanya ia sudah jemu dengan pertanyaan yang sama dari orang yang berlainan. Berulang-ulang pertanyaan yang sama.
6       Bercakap secara perlahan. Selain untuk tidak mengganggu ketenteraman diri pesakit, penziarah yang lain tidak pula mahu diganggu. Pesakit yang berada di sebelah menyebelah apatah lagi. Mereka tidak mahu terganggu.
7       Tidak terlalu banyak bertanya dan bercakap. Pesakit bukan gemar bercakap semasa sakit. Keinginan untuk bercakap terhenti seketika. Sakit yang dirasa. Bersembang nantilah dahulu setelah sembuh dari penyakitnya. Bertanya bermacam-macam perkara hanya akan menjadikannya gelisah.
8       Jangan pula gelak ketawa. Tidak pula berbual dengan penziarah yang lain hingga mengganggu pesakit dan penziarah yang lain. Bolehlah mengusik pesakit tetapi tidak keterlaluan. Takut menyakitkan hati atau menyentuh perasaan.
9       Jangan menghalang pesakit lain yang sedang berehat. Jangan duduk di birai katil pesakit lain. Mengganggu ketenteramannya. Pesakit lain ada penziarah mereka sendiri.
10  Jangan mengganggu petugas hospital. Ada sahaja yang perlu mereka lakukan. Mungkin berkemas. Mungkin mengurus pesakit.
11  Jangan bawa orang yang sedang sakit seperti selsema, batuk atau penyakit yang mudah berjangkit. Kita ke hospital untuk menziarahi pesakit bukan untuk menambahkan penyakit lain. Tidak juga menjangkitkan penyakit kepada penziarah lain.
12  Jangan bawa anak-anak kecil kerana sistem ketahanan diri mereka belum kuat. Ditakuti mereka terjangkit berbagai penyakit yang tidak sepatutnya terkena kepada mereka.
13  Jangan bawa makanan yang bukan-bukan dari rumah. Ahli keluarganya yang mengetahui apa yang boleh dimakan dan apa yang dilarang. Penziarah tidak tahu alahan pesakit. Atau keperluan pesakit yang sebenarnya.
14  Tentu dilarang membawa berita yang mengejutkan. Berita yang negatif. Berita yang menyedihkan.
15  Jangan juga memandai-mandai mencadangkan ubat-ubatan yang belum tentu mujarrab tanpa kebenaran doktor. Membahayakan pesakit.


Pesakit hendaklah dilayan sebagai pesakit. Ketika itu ia perlu layanan istimewa. Layanan sepenuhnya. Ia perlukan perhatian yang sekecil-kecilnya. Ada ketikanya pesakit menjadi anak-anak kecil. Bukan manja tetapi keperluan nalurinya yang sangat tinggi. Seolah-olahnya dia memerlukan orang lain boleh membaca apa yang ada dalam fikirannya. Dia mungkin tidak mahu meminta atau menyuruh-nyuruh. Yang menjaganya perlu maklum apa kehendaknya pada ketika-ketika tertentu.  Kebiasaan yang orang lain tidak tahu kecuali orang-orang yang terdekat sahaja. Kita boleh mendoakannya dari jauh. Solat hajat untuknya. Bacakan al-Quran dan pahalanya disedekahkan kepadanya. Ceritakan kebaikannhya kepada orang lain. Ajak orang lain mengaminkan doa untuknya. InsyaAllah kita boleh membentuk budaya yang lebih segar pada masa hadapan. 

Sunday, December 15, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Mengundur Jangan Salah Undur



Selalu benar ibu atau ayah yang melanggar anak sendiri. Tempatnya pula tersangat istimewa. Di depan rumah sendiri. Rumah yang selalu kita sangka tempat yang paling selamat. Rupanya ibu dan ayah bukan orang yang belum tentu boleh menyelamatkan anak-anak mereka dari ancaman. Orang yang diharapkan melindungi anak-anak dari mara bahaya sebaliknya menjadi pembunuh. Paling kejam kerana membunuh anak sendiri. Anak yang masih kecil. Masih merangkak. Atau baru belajar bertatih. Atau sedang galak berjalan. Bila kita memajukan langkah ke hadapan mata kita melepas pandangan yang luas. Namun apabila kita mengundur maka segala-galanya menjadi kelam dan kabur. Pandangan haizat kita selalu membunuh. Mata kita melihat segala sudut tetapi tetap ada sudust yang terlepas pandang. Kita menganggap selalu yang terlepas pandang seperti kecil. Namun dalam banyak hal sesuatu yang terlepas pandang sebenarnya berimpak tinggi. Nilainya juga tinggi. Ada masanya critical and fatal. Sebab itu perlu pandangan orang lain sebelum membuat sesuatu keputusan. Takut ada yang terlepas pandang.

Mengundur adalah suatu proses kehidupan. Taking stok mengenai apa yang berkemungkinan di hadapan. Tanpa mengundur kita tidak dapat pula untuk maju ke hadapan.

1                 Mengalah seketika kerana tidak mahu menambah masalah.
2                 Mengundur untuk menyediakan serangan terbaru yang lebih menggugat.
3                 Mengundur untuk menyediakan diri menjadi lebih siaga dari segi fizikal, mental dan spiritual.
4                 Mengundur kerana jalan ke hadapan dimulakan dengan mengundur dahulu.
5       Menjadi asas untuk menerkam peluang yang melintas.

Lazimnya apabila kita hendak ke hadapan kita membuat banyak perancangan. Memandang apa yang ada di hadapan. Memandang ke kanan untuk bebas dari halangan. Memandang ke kiri untuk melihat sekiranya ada mara bahaya. Pandang lagi ke kanan untuk mengesahkan status keselamatan. Begitulah berulangkali kita ingin mempastikan keselamatan yang maksimum. Keselamatan ini pula selalu disalah anggap. Ianya situasi di luar rumah. Jauh dari rumah. Bukan berkaitan dengan rumah. Terlalu banyak mara bahaya di rumah tetapi penulis ingin mengungkapkan mengenai aspek undur mengundur sahaja. Ada pula kaitannya dengan pandangan haizat. Bahaya yang datang dalam keadaan terselindung. Wujud tetapi tidak disedari. Tahu tetapi tidak diketahui bentuknya. Pasti tetapi tidak ada kepastian bagaimana bentuknya.

Pandangan haizat merupakan sesuatu yang fitrah. Mata kita hanya boleh memandang ke hadapan. Ada antara kita yang tidak mempraktikkan matanya. Selalunya ekor mata terabai. Sekiranya ekor mata dimanfaatkan banyak kemalangan yang dapat dihindar. Hanya menggunakan sedikit ekor mata. Bukan memandang tepat. Hanya sipi-sipinya sahaja. Pemandu kenderaan umpamanya ada cermin hadapan. Ada cermin belakang. Ada cermin sisi. Kesemuanya dipasang untuk membantu pemandu mengawal perjalanannya dan tidak membawa kesusahan. Pandangan haizat yang selalu menimpakan masalah keselamatan di jalanraya. Kenderaan yang cukup persediaannya masih banyak aspek yang tidak selamat. Sebab itu pemandu bukan sebarang insan. Ada masanya ia menjadi selemah-lemah manusia. Mungkin lupa. Mungkin ambil mudah. Mungkin menganggap ringan. Mungkin kerana gangguan mental seketika. Atau kebiasaan yang diambil mudah. Faktor manusia yang banyak lemahnya.

Dalam setiap perancangan perlu dibuat pemeriksaan keselamatan. Dalam semua aspek yang berkaitan. Mungkin masa. Mungkin alat. Mungkin tempat. Mungkin petugas. Seperkara lagi ialah setiap aktiviti tidak boleh dianggap sama. Ada variabel yang berubah. Masa dan tarikhnya. Iklim. Keahlian. Alat. Bajet. Objektif. Banyak lagi jika ingin difikirkan dengan terperinci. Tapisan keselamatan boleh menjadi penentu sama ada sesuatu projek perlu dilancarkan atau dibatalkan. Perlu disegerakan atau perlu dihentikan sementara. Perlu ditambahbaik atau dikurangkan bajetnya. Sekadar contoh, dalam kenaikan pangkat penjawat awam penentu akhirnya ialah tapisan keselamatan negara. Jika kehadirannya tidak mengancam keselamatan negara maka pangkat yang lebih tinggi itu boleh menjadi miliknya. Kerana itu cadangan kenaikan pangkat mengambil masa yang lama. Kecualilah penjawat itu sudah sedia dimaklumi status keselamatannya kepada negara.

Keselamatan bukan terbina dalam setiap aktiviti. Kawalan naluri barangkali diperlukan untuk mengesan adanya kemungkinan ketidakselamatan dalam perlaksanaan sesuatu aktiviti. Apatah lagi jika aktivi itu kritikal kepada negara atau organisasi atau diri sendiri. Kesemua ini perlukan jangkaan bahawa selalunya bahaya menjengah datang jika kita tidak mengambil langkah berjaga-jaga.  Pengalaman masa lalu boleh mengajar kita untuk lebih berhati-hati. Berhemah dalam melaksanakan sesuatu yang ada kemungkinannya berisiko keselamatan. Sebelum melaksanakan sebarang aktiviti berundur sejenak. Berundur untuk menilai semula. Take stock. Kemungkinannya ada yang terlepas pandang. Yang sedikit itulah boleh mengakibatkan kemusnahan dan kerugian besar. Maknanya dalam apa hal sekalipun kita tidak boleh ambil mudah. Take for granted.  Sikap yang berbahaya. Sebagai manusia kita selalu alpa. Selalu lupa. Selalu terlepas pandang. Berundur boleh mengurangkan risiko yang lebih besar dan lebih parah.

Dari tadika ke sekolah kebangsaan ke sekolah menengah hingga ke IPT sebenarnya kita dididik untuk menyelesaikan masalah dan membuat keputusan. Lihat semula perjalanan hidup kita hingga sekarang. Benar kita bekerja dan berkerjaya. Namun minda kita telah sarat dengan ilmu pengetahuan, dengan maklumat, dengan latihan dan pengalaman akademik. Pendidikan membawa kita ke alam nyata bahawa dunia sebenar tidak semudah membaca buku rujukan. Tidak semudah di makmal. Tidak juga seindah bayang dan angan-angan. Untuk maju ke hadapan banyak laluan yang perlu dipilih. Pilihan itu bergantung kepada pendidikan yang kita lalui. Kecerdasan kita semasa menuntut. Kesediaan membina wawasan masa hadapan.

Sifat dan faktor manusia banyak menentukan maju dan mundurnya manusia. Mereka yang pernah terhimpit selalunya bangun gagah dan berjaya. Tetapi resepinya kesedaran, motivasi, jatidiri dan keberanian untuk memajukan diri. Jepun bangkit dari debu Perang Dunia II. Korea bangkit dari Perang Korea 1950. Pengalaman pahit itu menyedarkan mereka dari kekurangan. Mereka penuhi aspirasi diri dan negara mereka. Mereka jadikan diri mereka berada di hadapan. Bukan di belakang. Bukan ketinggalan sepanjang zaman. Bukan bickering hanya kerana sepotong kek yang sangat kecil.  Kek yang akirnya melaparkan orang kain yang begitu ramai. Jika kita tidak berundur kita tidak tahu kekuatan dan kelemahan yang menyelimuti diri kita. Tidak ramai antara kita yang mengetahui aura yang ada pada dirinya. Selalunya kita terperangkap dalam kotak yang sama. Berada dalam zon selesa yang sama.


Kerana itu pengalaman sangat banyak gunanya. Walaupun banyak ronanya, pengalaman tetap banyak manfaatnya. Darinya manusia mengukur kemampuan diri. Membuat bajet pencapaian yang mungkin dapat dicapai. Pengalaman membantu kita mencari tapak yang sewajarnya dalam kehidupan. Pengalaman lalu sahajapun tidak mencukupi. Banyak lagi pangalaman baru di luar sana yang kita perlukan. Pengalaman tidak mengira waktu. Tanpa usia. Tanpa tempat khusus. Ia datang dan pergi. Melintas di hadapan kita tanpa kita manfaatkan kehadirannya. Hanya yang arif sahaja mencari pengalaman yang diperlukan. Pengalaman yang membina dirinya untuk ke tahap yang arasnya lebih tinggi.  

Thursday, December 12, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Mematangkan Yang Masih Diasuh



Berlian yang mahal apabila disarungkan di jari manis bukan dalam bentuknya yang asli. Ianya telah dicanai. Dipotong. Di asah. Diberi bingkai yang sepadan dengan fitrahnya. Diikat dengan emas yang menguning. Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa berlian ialah pepejal yang paling keras. Namun ianya masih boleh dipotong. Masih boleh dicanai. Jika ianya paling keras bermakna tidak ada alat yang boleh digunakan untuk membentuknya. Semua alat pasti rosak. Alah dengan kekuatan berlian. Maka kerana itu berlian hanya boleh dicanai dengan berlian juga. Pemotong cermin dibuat dari berlian. Jam tangan yang mahal seperti Rolex bertatahkan berlian. Berlian dengan berlian. Ruas bertemu dengan buku. Allah Maha Besar. Setiap sesuatu alah kepada sesuatu yang lain. Berlian yang sudah tercanai, berkilau dipandang mata. Gemerlap dipanah cahaya. Molekulnya tersusun cantik. Lebih mahal tentunya lebih cantik. Hanya yang kualitinya tinggi nilainya mengatasai yang lain.

Intan berasal dari arang batu. Jutaan tahun di dalam bumi. Pemampatan yang berlaku menjadikannya berlian. Tidak banyak dilombong di dunia. Paling banyak barangkali di Afrika Selatan. Syarikat De Beers antara yang masyhur. Banyak berlian dari syarikat ini diedarkan ke seluruh dunia. Antara berlian yang terkenal ialah Ku-hi-nur. Berasal dari India. Sekarang ditatahkan pada mahkota diraja England. Ironiskan? Begitulah penjajah merampas hak milik anak watan menjadi haknya. Negara yang dijajah hanya menganga melihat warisan yang hilang. Diperlihatkan pula di negara orang. Milik orang lain. Bila bercerita mengenai berlian atau intan kepada orang biasa maka selalu kita dengar perbandingan antara kaca dan intan. Ada keserupaan tetapi hanya jauhari yang mengenal manikam. Yang mengetahui sahaja dapat membezakan antara keduanya.

Sifat luaran intan adalah penuh dengan kotoran. Kusam. Kelam. Tidak cantik walaupun bercahaya apabila terkena sinaran. Perlombongannya jauh ke dalam bumi. Memakan masa yang lama untuk mendapatkan ketulan-ketulan yang bernilai tinggi. Pemeriksaan dan penilaiannya lama. Apabila dicanai barulah terserlah kegemilangannya. Berlian berada di limbangan kekotoran sepanjang berada di dalam bumi. Hanya apabila dikeluarkan dan dicanai baru terlihat keindahannya. Kekasaran perlu juga ditangani dengan keras untuk menjadikannya baik. Maka terserpihlah bahagian-bahagian yang mengganggu kebaikannya. Untuk menghalusi kecantikannya. Mencerahkan kekusamannya. Begitulah seorang insan yang berada pada aras paling dasar. Banyak pada dirinya perlu digilap. Dicanai. Dipotong mana-mana bahagian yang tidak diperlukan. Seperti berlian, bahagian-bahagian yang terpotong itupun masih tinggi nilainya. Rupanya mungkin tidak cantik. Tidak dapat dicantikkan kerana terlalu kecil. Terlalu tidak berbentuk.  Tiada ruang untuk memperbaikinya. Namun masih banyak gunanya. Bukan untuk industri perhiasan wanita tetapi untuk industri lain yang memerlukan ketahanan berlian. Selain daripada jam tangan mungkin komputer berkuasa tinggi. Atau peralatan lain yang penting dalam industri pembuatan.

Insan manusia yang menjadi graduan sebuah IPT umpamanya perlu digilap. Lulus dari pengajiannya masih menampakkan banyak kekusaman. Kekelaman. Kesuraman. Nilai yang sebenar belum diperlihatkan lagi. Kata orang belum teruji. Not tested. Banyak laluan berliku yang belum diterokai. Pengalaman yang banyak perlu ditimba. Segala-galanya yang terbina pada dirinya perlu dilihat satu persatu. Arasnya mestilah tinggi. Setiap seorang diperlukan untuk berada di aras tinggi. Berdaya saing yang melampaui usia, jantina dan faktor demografi yang lain. Bangun tubuhnya dinilai. Kesihatannya diberi markah tertantu. Ideanya disenaraikan. Hujjahnya ditimbang. Perancangannya diletakkan di aras yang melintasi edaran masa. Maka apabila kesemua keperluan menggilap itu mencukupi barulah tertanggung ke atas pundaknya tanggungjawab besar untuk membela agama, bangsa dan tanahair. Seorang pejuang hendaklah memiliki keberanian yang menggetar. Tetapi berhebah mengambil tindakan. Marahnya lembut dalam senyum. Semangatnya bergema di dada dengan langkah derap yang teratur. Fokusnya ke hadapan untuk memperbaiki keadaan. IPT hanyalah tempat singgah sementara untuk membawa bekal akademik yang tidak seberapa. Soft skill berada di luar sana selepas IPT. Pengalaman memungkinkan soft skill itu menyempurnakan keupayaan sebagai penjawat.

Kita ingin melahirkan anak-anak muda yang panjang langkahnya. Panjang akalnya. Panjang jangkauan fikirnya. Mengufuk wawasannya. Melangit harapnya. Ke hadapan langkahnya deras.  Garapan tangannya menggapai awan. Kita tidak mahu hanya lahir yes-man. Yang menurut perintah. Didokumenkan supaya sentiasa patuh. Istilah insubordination terlalu suibjektif. Banyak yang tidak jelas. Mengikut pengamatan penulis orang Melayu memiliki dua sifat yang saling melengkapi. Kedua-duanya tidak positif. Tidak semestinya benar. Persepsi penulis ini hanya secara peribadi. Dalam berketua dan berpengikut terdapat dua perkara ini:

1                  Pendendam
2                  Takut didendami

Kedua-dua sifat ini merosakkan minda orang kita. Implikasinya:

1                  Takut bersuara. Ditakuti menentang arus.
2                  Berdiam diri. Hanya menerima qada’ dan qadar yang ditimpakan ke atas bahu masing-masing.
3                  Kebaikan tidak dapat diperbaiki. Tidak dapat dipertingkatkan.
4                  Yang salah berkekalan. Mengundurkan segala-galanya ke belakang. Walaupun secara hakikinya tidak mengundur tetapi apabila orang lain bergerak ke hadapan maka kita dilihat mengundur secara relative.
5                  Ketua selalunya dianggap pandai. Maaf, beraksi pandai. Menyembunyikan ketidakpandaiannya.
6                  Sifat professionalism selalunya tidak diamalkan. Perasaan melebihi kebijaksanaan. Nafsu mengatasi akal.

Maka banyak yang hanya patuh. Akhirnya jiwa terseksa. Menurut perintah tanpa beranai membuat cadangan yang bernas. Tidak mengapa cadangan ditolak. Pada waktu lain cadangkan semula. Biarlah orang ketawa asalkan cadangan itu sudah diresearch. Sudah buat kerja rumah. Data-datanya sudah terkumpul. Bentang kemudian ditolak adalah perkara biasa. Ketua selalu drop-error. Dia lebih suka go-error kerana tiada akauntabiliti dari dirinya yang dipersoalkan orang lain. Dendam mendendam ini spektrumnya dari bawah ke atas. Dari yang statusnya rendah hingga yang paling. Dalam semua bidang. Dalam semua urusan. Yang patuh menerima habuan. Yang membantah terabai. Alangkah baikinya jika kedua sifat ini terurai. Terungkai. Tercampak jauh dari hati dan sanubari kita. Barangkali jika dendam-mendendam ini terhindar:

1                  Anak-anak muda banyak cadangnya. Ideanya mungkin tidak seberapa tetapi apabila dihimpunkan banyak juga manfaatnya. Bak berlian yang digilap. Tidak takut dicanai. Yang mencanai juga berhemah.
2                  Anak-anak muda perlukan latihan. Perlukan gilapan. Perlukan bimbingan. Mereka bakal pengganti. Tidak mungkin yang baru setahun jagung merampas kedudukan ketua yang sudah bertapak lama. Ketua pasti akan pergi. Pasti. Yang ditinggalkan perlu dididik utuk mengendung warisan yang sudah terbina.
3                  Anak-anak muda adalah berlian di perlimbangan. Perlu dikutip. Dibersihkan. Dicabai. Dipotong bahagian diri yang tidak bermanfaat. Dilahirkan sebagai penjawat yang gagah. Yang berpandangan jauh. Yang besar jiwanya. Yang tinggi harapannya.
4                  Anak-anak muda perlu dibantu. Ditunjukajar. Bukan dijerkah atau ditolak semua cakapnya. Bukan tidak diberi peluang untuk hanya bersuara yang tidak mendatangkan musibah apa-apa.

Alangkah indahnya bangsa tanpa dendam. Bangsa tanpa mendendami. Bangsa yang tidak takut didendami. Apa-apa masalah disesesaikan there and then. Apabila berjabat tangan segala-galanya selesai. Hormati perbezaan pendapat. Kata orang putih, let us agree that we disagree. We are friend forever. Let us have a drink together.  Bincang tajuk lain. Tiada perasaan dizahirkan secara negatif. Yang lepas jangan dikenang. Memang luka di dalam. Belajar untuk menerima keadaan. Bila agaknya situasi ini boleh berlaku dalam masyarakat kita? mungkin esok atau lusa jika ada kelapangan dada untuk menerima perubahan. A great paradigm shift. Ayuh kita bergerak bersama-sama.

Monday, December 9, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Landasan Mana Perginya Kita



Sebelum kedatangan penjajah, Kesultanan Melaka adalah sebuah kerajaan yang besar. Islam tertegak bersama kanun Melaka yang sangat terkenal. Ada kanun Shahbandar bagi mengawal perdagangan antarabangsa. Semuanya dalam tulisan Jawi. Tulisan yang menggabungkan huruf Arab dan huruf Farsi (Iran sekarang). Bahasa dan agama yang sudah mendarah daging selama berkurun-kurun lamanya digelapkan sehingga sekarang ini bahasa Arab bukan bahasa tuntutan. Agama sangat cair di mata dan di hati anak-anak kita. Ramai yang sudah keliru antara tuntutan akhirat dan tuntutan dunia. Tidak tahu mengharmonikan antara keduanya. Kepimpinan kita mengarah dunia dan membawa semuanya menikmati dunia tanpa batas waktu. Tanpa batas laku. Landasan kita sudah terlalu tersasar. Destinasi hidup kita tiada noktah. Seolah-olah kita akan hidup seribu tahun lagi tanpa perlukan agama. Landassan yang kita pilih menyimpang jauh. Kawalan sudah hampir tiada.

Apabila penjajah datang bahasa Inggeris diberi nilai ekonomi. Tidak pandai tidak apa asalkan boleh bercakap dalam bahasa Inggeris. Tidak ke IPT tidak mengapa asalkan boleh bekerja dengan Orang Putih. Hidup senang. Ini yang ditekankan. Hidup senang. Jauh dari susah hidup di kampung. Di luar bandar. Jadi peonpun jadilah. Pendapatan tetap setiap bulan. Hujan atau panas kerja berjalan. Gaji diterima pada akhir bulan. Dari bahasa Inggeris kegilaan kita melarat kepada semua yang didatangkan dari “England”. Konotasi yang dikaitkan dengan penjajah. Hanya sekarang kita memilih barangan Jepun atau Korea. Pada tahun 60an kereta Jepun menjadi cebikan sahaja. Dibuat dari tin Milo kata orang. Bagi orang Jepun atau Korea bahasa Inggeris bukan penentu ekonomi mereka. Mereka gagah mempertahankan bahasa mereka sendiri. Bukan bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris dipelajari untuk perdagangan antarabangsa dan perhubungan antarabangsa. Cukup setakat itu sahaja.

Nilai akhirat kita terlalu rendah kerana kita lebih memihak kepada Inggeris dan Barat. Kita tahu kelicikan Barat adalah untuk melemahkan kita. Menghilangkan jatidiri kita sebagai umat Islam. Banyak perkara yang melintasi benak penulis.

1                 Kenapa bahasa Arab tidak menjadi bahasa kedua selepas bahasa ibunda kita. Kenapa bahasa Inggeris yang terletak di tempat kedua. Terlalu banyak dikatakan bahawa bahasa Arab adalah bahasa syurga. Bahasa Rasulullah. Bahasa al-Quran. Maknanya mempelajari bahasa selain daripada bahasa Arab hanyalah untuk kegunaan dunia. Cukup. Berhenti setakat itu. Bahasa Arab pula pergi jauh. Dari dunia hingga ke akhirat. Yang ini kita tinggalkan kerana mengejar habuan dunia sahaja.
2                 Tulisan Jawi kita lemahkan. Bukan lagi khazanah  yang menjadi warisan turun temurun. Penulis pernah menulis hal ini. Stanfford Raffles menulis dalam tulisan Jawi semasa berhubung dengan Sultan Husin Shah di Singapura dahulu. Di Temasik secara tepatnya. Pada tahun 1986 penulis masih melihat tulisan Jawi di sebuah kedai di Oxford Street, London. Jalan yang sinonim dengan Harrod. Pusat membeli belah yang terkenal di seluruh dunia. Di Malaysia anak-anak muda hilang kecelikan mereka dalam tulisan Jawi.
3                 Sangat memilukan ialah kita kehilangan keghairhan menghafal al-Quran. Tradisi agama ini kita abaikan. Sewajarnya anak-anak yang berusia 6 hinga 8 tahun sudah hafal al-Quran. Pada usia 10 tahun sudah mahir mengenai ulum al-Quran. Di mana silapnya. Pada usia muda kita ajar anak-anak menyanyi. Berjoget di hadapan TV. Ibu dan bapa pula bertepuk tangan memberi semangat. Menggelincirkan anak itu dari landasan hak. Tidak ramai ibu bapa yang mengetahui bahawa anak-anak yang hafal al-Quran memiliki otak yang cerdas. Jika di sekolah mereka boleh menghafal buku teks. Ingatan mereka kuat. Hafalan mereka mantap.
4                 Penulis merasakan suatu perubahan paradigma perlu dibuat. Kita perlu berbuat sesuatu yang ekstrim seperti di Brunei.
4.1            Asingkan sekolah. Pelajar lelaki di sekolah lain dan pelajar perempuan di sekolah yang lain.
4.2            Aktiviti yang bercampur baur antara lelaki dan wanita hendaklah diberhentikan. Asingkan aktiviti.
4.3            Majlis-majlis yang selalunya mencampurkan lelaki dan wanita hendaklah dikaji semula. Hatta di tempat kenduri kahwin sekalipun pengasingan itu sangat perlu.  Suami dan isteri duduk berasingan. Anak lelaki bersama bapa. Anak perempuan bersama ibunya.
5                 Perlu ada ketegasan mengenai keperluan menutup aurat. Semua wanita Islam hendaklah menutup aurat. Berpakaian yang menutup bentuk tubuh badan. Tiada tempat pakaian seksi kecuali di rumah. Hanya untuk suami sahaja. Suami sahaja dan bukan di luar rumah.
6                 Hiburan kita sudah menjadi hedonmism. TV dan filem sudah melampaui peranannya. Tidak banyak yang mendidik. Yang mentarbiah umat. Yang memberi pengajaran. Rancangan realiti seperti tidak masuk akal. Terlalu banyak juara.  Juara-juara ini dijulang sementara waktu. Paling lama setahun atau dua tahun. Selepas itu juara ini hilang. Hilang seperti buih yang tidak nampak isinya. Dunia realiti yang menghambat pergi hak yang wajar.  

Ibu dan bapa hendaklah kembali memainkan peranan mereka. Mengejar ekonomi yang semakin menghimpit tidak juga cukup-cukup. Masih banyak yang kurang. Tetap kurang. Mulakan aktiviti anak-anak dengan al-Quran. Jika ibu dan bapa kekurangan ilmu al-Quran, carilah guru supaya ibu dan bapa boleh mengajar sendiri anak-anak mereka. Al-Quran banyak barakahnya. InsyaAllah mereka yang dekat dengan al-Quran murah rezekinya. Barakah rezekinya. Sedikit yang mencukupi. Bukan banyak yang tidak pernah cukup. Masih ada peluang. Masih ada masa. Masih ramai yang boleh bantu membantu ke arah agama dan al-Quran.


Penulis tidak dapat mengelak dari memperkatakan bahasa Arab. Orang Mesir bertanya. Anda Muslim tetapi kenapa tidak memahirkan diri dalam bahasa Arab. Bahasa Arab bukan bahasa orang Arab per se. Ia bahasa umat Islam. Bahasa seperti yang tersebut di atas. Kewajarannya untuk dipelajari. Sesama umat Islam kita guna bahasa selain dari bahasa Arab. Sesama Islam tidak berkomunikasi dalam bahasa Arab. Tidak mungkin kita menghambat untuk memutarkan kembali jam waktu. Kembali sebelum dijajah fizikal dan minda kita. Terperangkap dalam tamadun yang terkeluar dari ladasan yang hak. Yang kita hadapai ialah masa hadapan. Masa yang masih ada untuk bertindak positif. Kembali ke landasan. Untuk anak cucu kita yang perlu diselamatkan. Yang perlu dibawa ke jannah. InsyaAllah.

Sunday, December 8, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Arus Masa Yang Menghilir Deras



Pernah melihat sungai. Penulis biasa bermain di sungai sewaktu remaja dahulu. Bersampan di tepiannya. Mandi manda bersaama rakan. Mengail udang galah semasa air pasang. Pada tahun-tahun 60an Sungai Simpang Kiri di Batu Pahat masih cantik. Airnya bersih. Bila air pasang lagilah menyeronokkan. Anak-anak bermandian di parit yang penuh airnya. Jernih. Di parit itulah kami belajar berenang. Menyelam lama. Bermain di parit. Nostalgia. Apabila penulis kembali ke kampung asal, parit yang dahulunya meriah hanya tinggal air yang mengalir lesu. Merah pekat tidak menentu warna. Hilang ikan dan udang. Lesu selesunya. Pada waktu air pasang tiada didengar lagi suara anak-anak dan remaja bermandian di parit. Segala-galanya berubah demi kemajuan. Demi pembangunan. Demi masa hadapan sebuah bangsa yang merdeka.

Setelah lebih setengah abad lamanya, terasa pembangunan tersangatlah mahalnya. Kemajuan rupaya mengundurkan ekonomi. Program bergerak ke hadapan tetapi terheret ke belakang. Banyak malangngnya dalam negara yang tercinta. Portugis datang membawa petaka kepada bangsa. Belanda datang membawa derita kepada nusantara. Inggeris datang menjajah segala-galanya. Jepun datang tidak pula ke mana. Apabila merdeka  kita dijanjikan kehidupan untuk membangun diri. Tanpa telunjuk orang lain. Benarkah begitu? Yang nyata banyak telunjuk berkait yang menyakitkan. Yang menyulitkan. Saban masa ada sahaja telunjuk berkait itu mencarik perasaan. Mencuri nafas yang banyak hentinya. Minda tidak sempat berfikir untuk menghilangkan resah kerana himpitan ekonomi.

Bumi tercinta ini terlalu kaya. Terlalu banyak hasil buminya. Terlalu banyak sumber aslinya. Kemerdekaan hanya istilah yang diberi makna. Nikmat kemerdekaan itu tidak sampai kepada yang dimerdekakan. Yang berada  di taraf soaial yang rendah tetap seperti dahulu juga. Jika kita grafkan maka mereka masih berada seperti pada zaman sebelum datangnya Portugis. Suatu analogi yang dasar. Dunia semakin kecil. Kepayahan semakin berkekalan. Memang kita dilambakkan dengan wang ringgit. Tetapi kuasa belinya menipis. Wang yang banyak hanya sekadar membeli untuk mengisi perut. Kebajikan yang dahulunya banyak dibajetkan kurang. Apabila segala-galanya menjadi mahal maka secara ekonominya kemajuan akan menguncup. Inflasi yang berantai lebih menguncupkan lagi keadaan. Makanan semakin kurang dan bertambah mahal. Penduduk semakin ramai. Semakin padat. Ramai pula yang bukan warganegara perlu diberi makan. Sebaliknya mereka membawa keluar keupayaan membeli dalam negara. Kita turut memberi makan kepada jiran-jiran kita di negara-negara lain.

Di sana sini keborosan melanda. Kemewahan menjadikan kita boros. Tidak berjimat-cermat. Tidak memberi nilai yang wajar bahawa harta yang ada bukan untuk selamanya. Banjir yang baru berlaku menampakkan lemahnya pengurusan negara. Pengurusan warganegara. Bukan sahaja pemimpin tidak menanangi kesengsaraan rakyat, bantuan kemanusiaan yang hendak diberi banyak protokolnya. Banyak birokrasinya. Banyak red-tapenya. Banyak halangan-halangan pentadbiran. Darurat adalah darurat. Perlu segera. Tanpa menungu arahan. Tanpa menunggu mesyuarat. Tanpa menunggu penaja. Tanpa menunggu lampu isyarat. Yang menderita tertunggu-tunggu. Apa pula jabatan yang mengatakan bahawa kelewatan itu bukan disengajakan. Aduhai. Apabila semua aktiviti dikomersilkan inilah jadinya. Professionalism yang menelan bajet berjuta-juta ringgit hanyut lebih deras dari air banjir itu sendiri. Politik adalah suatu hal. Pentadbiran kerajaan tidak boleh seperti parti politik. Semuanya wajib segera. Yang tenggelam itu mungkin bukan saudara kita. Tetapi mungkin sahabat kita sekelas dahulu. Teman kita semasa menunaikan haji. Besan saudara kita. Menantu jiran kita. Saudara staf kita.  Jangan ambil mudah bahawa di tempat banjir itu tiada orang yang kena mengena dengan kita.

Derita rakyat semakin menjadi-jadi. Bertimpa-timpa. Apabila minyak naik sebanyak 20 sen ramai yang sinis. 20 sen pun bising kata mereka. Sekarang rantainya muncul dari segenap penjuru. Apa barang yang tidak naik harganya. Waktu penulis kecil dahulu ikan bilis adalah makanan orang miskin. Orang kampung yang tidak mampu. Sekarang ikan bilis adalah makanan orang kaya. Makanan jutawan. Hanya hartawan yang mampu makan ikan bilis dengan mewah. Jika dahulu ikan bilis dilabelkan kepada orang miskin dan orang biasa, maka istilah itu sekarang berbalik kepada mereka yang kaya. Orang besar. Orang senang lenang. Begitulah masa membawa kita beralih tempat. Tetapi yang miskin dan susah tetap berterusan begitu.

Perindustrian telah mengubah lanskap kehidupan rakyat Malaysia. Rakyat kampung khsusunya. Tanah di sekeliling rumah masih luas. Masih ada ruang untuk bercucuk tanam. Malangnya tanah penuh racun rumput. Membersihkan kebun yang tidak seberapa. Sayur-sayuran sudah tidak boleh hidup. Orang kampung sudah tidak lagi makan pucuk ubi, jantung pisang, pucuk paku, pucuk manis, nangka muda, pisang muda, betik muda, rebung dan umbut pokok kelapa, tukas atau hempulur batang pisang. Mereka makan kobis, bunga kobis, sawi dan sayuran yang diimport. Pembaziran sumber. Ingin senang dan mudah segera. Membazirkan kewangan yang banyak tetapi kuasa belinya kecil. Warga desa bekerja di kilang-kilang. Jadual dan gaya hidup mereka berubah. Sudah tidak betah lagi ke sekeliling rumah. Waktu senggang lebih banyak berehat. Menyediakan diri untuk rutin harian di kilang-kilang. Kecintaan kepada tanah sudah hilang. Sudah tidak lagi berbudi kepada tanah.

Sebelum banjir harga barang melambung naik. Apabila dilanda banjir banyak pula harta benda yang musnah. Selepas banjir harga barang bertambah naik. Apa yang tinggal. Belum tentu mereka yang musnah rumahnya akan dapat membangunkan semula rumah baru. Jika berjaya sekalipun ramai yang rumahnya lebih kecil dari dahulu. Terhakis lagi keselesaan yang sudah terbina selama ini. Penulis pasti harga bahan binaan akan melambung naik. Adat orang berniaga. Apabila permintaan meningkat maka harga pasti meningkat. Hukum permintaan dan penawaran dalam ekonomi dalam keadaan normal. Tanpa campur tangan kerajaan. Bertambah perit keperitaan yang sudah menyesakkan nafas.


Dari mana agaknya putera raja yang menunggang kuda putih akan muncul? Membawa harapan baru sebagai penyelamat keadaan. Sakit yang perlu rawatan. Lemah yang perlu pemulihan. Sesat yang perlu dikembalikan ke pangkal jalan. Ramai yang menunggu. Penantian yang tidak mungkin kesampaian. Kita perlu mencari putera itu. Bawa ke khalayak. Letakkannya dalam arus perdana. Biarlah akalnya tidak sepanjang mana asalkan ada ketulusan memberi bakti. Ada political will untuk memberi yang terbaik untuk yang mengharap. Derita ini perlu ada tanda hentinya. Perlu dicari noktahnya.

Saturday, December 7, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Apabila Pengurusan Pendidikan Lebih Sudu Dari Kuah





Sudah lebih setengah abad kita merdeka. Bukan satu tarikh. Malah dua tarikh. 31 Ogos 1957 dan 16 September 1961. Pilihlah yang mana satu. Yang pentingnya kita sudah merdeka. 56 tahun belum lama. Baru dewasa. Belum lagi warga emas. Pejuang-pejuang kemerdekaan telah lama berlalu dalam sejarah. Yang tinggal kita-kita ini sahaja. Dalam melayari bahtera kemerdekaan kita membentuk sistem pendidikan kita sendiri. Dulu dikatakan mengikut acuan kita sendiri. Acuan siapa penulis tidak pasti. Sejak 1957 banyak sudah direncanakan sistem pendidikan yang selalu didakwa bertaraf dunia. Kita gamit pelajar antarabangsa supaya memilih Malaysia untuk mendapat pendidikan IPT. Pendidikan peringkat tinggi. Tiba-tiba kita dikejutkan bahawa sistem pendidukan kita bukan yang terbaik. Malah yang kedua tercorot antara negara-negara Asean. Kedua tercorot. Penulis tidak pasti sama ada semua pembaca memahami istilah corot. Jika faham tentu pedih rasanya di hati. Tertampar di muka sendiri. Hendak tampar dahi sendiri tentu sakit juga. Mengapa kita corot. Angkara siapa. Tidak mungkin angkara Pak Leman yang rumahnya dilanda banjir di Kuantan. Tidak mungkin angkara Mak Timah yang terataknya dihanyutkan air di Kemaman.


Bayangkan ada yang hanya berani menunjuk salah orang. Siapa salah? Lihat senarai di bawah:

1.     Sikap murid yang menganggap penilaian itu tidak serius.
2.     Format soalan teks panjang yang memerlukan pemahaman.
3.     Terjemahan dan refleksi dengan kehidupan sebenar.
4.                 Guru-guru lebih mengutamakan untuk menghabiskan sukatan pelajaran berbanding menerapkan pemahaman konsep kepada pelajar.

Penulis merasakan bahawa lemparan telunjuk ini sangat tidak wajar. Hanya melepaskan tengkok sendiri. Tengkok orang lain dikelar. Atau telinga orang kain yang dipulas. Penulis ingin menganalisis sebentar mengenai kelima-lima pernyataan di atas.

Sikap murid yang menganggap penilaian itu tidak serius:

Siapa murid. Setahu penulis mereka di sekolah rendah. Sekolah kebangsaan. Antara usia 7 tahun hingga 12 tahun. Rasanya tidak waras mengatakan bahawa murid menganggap penilaian itu tidak serius. Tidak adil. Apalah sebenarnya yang diketahui oleh murid di sekolah kebangsaan. Mereka tahu matematik. Rasanya mereka tidak tahu statistik. Mereka tidak tagu ranking. Mereka tidak tahu yang sekolah mereka dinilai. Guru mereka dinilai. Peperiksaan mereka dinilai. Buku teks mereka dinilai. Mereka hanya dipaksa menggalas beg besar dan berat. Sudah berdekad-dekad lamanya perkara itu diberi teguran. Namun murid terus-terusan menggalas beg mereka ke sekolah. Ironisnya mahasiswa di IPT terlalu sedikit buku yang mereka bawa. Tidak sampai seperempat seperti yang dibawa oleh murid sekolah kebangsaan. Malangnya mereka yang dewasa menafikan kelemahan mereka. Mereka yang lemah menyalahkan murid yang tidak tahu apa-apa. Yang berhingus dengan gelombang kehidupan. Salah mereka. Maaflah. Cuba cari alasan lain yang lebih menasabah. Yang masuk akal.

Format soalan teks panjang yang memerlukan pemahaman:

Jika ini masalah memang sistem pendidikan kita bermasalah. Kita hanya melahirkan robot yang tidak ada perasaan. Tidak tahu berbahasa. Tidak tahu menggunakan bahasa. Tidak tahu gunanya bahasa. Seolah-olah sekolah hanya mengajar bahasa isyarat. Dari tadika anak-anak kita diajar membaca. Mereka boleh membaca. Mereka celik bahasa. Media cetak dan media elektronik menggunakan bahasa. Bahasa yang dibaca. Bahasa yang didengar. Tidak mungkin sehingga darjah enam anak-anak kita tidak tahu  membaca. Tidak tahu memahami bahasa Melayu. Bahasa mereka sendiri. Ironis juga kerana setiap tahun dikatakan prestasi peperiksaan meningkat. Dengan bangganya diumumkan bahawa peratusan lulus peperiksaan meningkat. Inilah masalahnya apabila terlalu banyak hiasan. Banyak kosmetik. Keputusan peperiksaanpun dihias cantik. Masing-masing memakai jaket perlindungan yang kalis teguran.


Terjemahan dan refleksi dengan kehidupan sebenar:

Penulis pernah menjadi guru. Pernah menjadi pemeriksa kertas soalan peperiksaan SPM. Terasa banyak kejanggalan. Sekolah dan dunia komersil terlalu divergent. Kemahiran di sekolah tidak direlevankan dengan teknologi dalam pengurusan. Dalam pengurusan pejabat. Dalam pengurusan ekonomi. Untuk menulis surat rasmi masih lagi digunakan format zaman Stanford Raffles. Komputer sudah terlalu lama dan terlalu jauh meninggalkan tradisi untuk maju dalam teknologi. Dalam bisness antarabangsa. Tradisi yang jumud sudah tidak lagi dipandang orang. Yang dikejar ialah kepantasan. Ergonomik dalam menggunakan teknologi yang memang untuk memudahkan manusia. Sudah sewajarnya realiti di dunia luar dibawa masuk ke dalam sekolah. Sekolah adalah realiti masyarakat. Jika terasing, maka sekolah menjadi luncai yang terjun dengan labu-labunya. Tidak tahu kenapa terjun. Tidak tahu kenapa membawa labu.

Penulis pernah menjadi Yang DiPertua PIBG  beberapa buah sekolah kebangsaan. Biasa juga menjadi AJKnya. Selalu dicadangkan supaya guru memberikan gambaran realiti hakikat hidup kepada murid. Mengajar matematik jika hanya bergantung kepada buku teks maka banyak teori yang tidak difahami pelajar. Tambah, tolak, darab dan bahagi bukan teori. Bukan ilusi. Ianya realiti jika guru bijak menggunakan kebestariannya di dalam kelas. Tulisan, istilah dan angka yang tercetak diterjemahkan dalam situasi yang difahami murid. Jika guru sendiri gagal menterjemahkannya dalam realiti kehidupan apatah lagi murid-muridnya. Satu lagi jawapan yang standard ialah bila hendak menghabiskan silibus jika asyik merealitikan apa yang hendak diajar.


Guru-guru lebih mengutamakan untuk menghabiskan sukatan pelajaran berbanding menerapkan pemahaman konsep kepada pelajar:

Menarik bukan. Guru tentu memahami tuntutan sekolah. Tuntutan Pejabat Pendidikan Daerah. Jabatan Pendidikan Negeri. Sektor dan Jabatan di Kementerian. Kementerian Pelajaran sendiri. Kesemuanya mengejar KPI masing-masing. Pada peringkat dasar, guru diwajibkan menghabiskan silibus masing-masing. Kesalahan besar jika arahan itu gagal dilaksanakan. Sama ada muridnya di kelas A atau di kelas Z, silibus mesti habis apabila cukup masa. Bukan akhir tahun tetapi sebelum tarikh peperiksaan akhir. Murid tiada pilihan. Mereka mengejar guru. Yang bijak selesa di dalam kelas. Yang kurang inteleknya jauh tertinggal. Dilabel sebagai bodoh. Lemah. Lemban. Malas. Tiada harapan. Tiada masa hadapan. Siapa yang melabel. Sistem. Guru mereka. Sekolah mereka. Hilang semangat membina. Semangat kejurulatihan. Membimbing. Menyuluh kegelapan. Menerangi jalan yang maju ke hadapan. Kesemuanya gila mengejar silibus.


Apabila ada orang mengenalpasti sistem yang ada sangat lemah, guru juga yang salah. Mereka yang di PPD juga guru. Yang di JPN juga guru. Yang di KPM lagilah guru. Jika hanya KPI yang dikejar maka murid yang diharap untuk masa hadapan kita dan negara terabai keperluan mereka. Sistem tidak memberikan yang terbaik untuk mereka. Sistem kita tidak sistemik. Dasar kita terperangkap dalam kotak lama yang kumal dan lusuh. Tidak menjenguk keluar untuk melihat kemajuan orang lain. Kita mabuk sendiri dalam kotak lapuk yang lama. Tidak ada urgency untuk memperbaiki keadaan. Tidak melihat sistem kita dalam krisis. Mungkin kayu ukur kita hanya sejengkal. Orang berlari kita masih berjalan santai. Jika paradigma tidak diubah, padah yang akan datang. Jika sikap tidak diubah parah yang menimpa. Jika apapun tidak dijiwai maka jiwa kita kosong. Bunyinya kuat. Sayangnya isinya hanya kelongsong.

Friday, December 6, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Banjir Yang Bermaruah




Banjir selalu berlaku. Ia datang lagi. Memang selalu dijangka bila tiba musim tengkujuh. Ramai orang yang dengan mudah mengatakan ianya bencana alam. Pernyataan yang selalu keliru. Bila kita kata bencana alam seolah-olah alam yang mendatangkan bencana. Pada hakikatnya alam adalah makhluk. Antara makhluk-makhluk Allah seperti kita. Alam tiada kuasa apa-apa. Yang Maha Berkuasa ialah Allah SWT.  Memiliki kuasa mutlak. Terjadi sesuatu hanya dengan   ﴿ﻛﻦﻓﻴﻜﻮﻦ
Maka apabila banjir datang, ia didatangkan oleh Allah. Terus-terusan mengatakan banjir ialah bencana alam sudah menyentuh Qada’ dan Qadar Allah. Kita menafikan kuasa Allah. Cuba ingat banjir besar Nabi Nuh as. Banjir yang menenggelamkan gunung-gunung yang tinggi. Masih ada manusia ketika itu yang menafikan kuasa Allah. Mereka masih menyangka yang gunung boleh menyelamatkan mereka. Mereka lupa bahawa yang menyelamatkan mereka hanya Allah. Tiada yang lain melainkan Allah.

Banjir adalah suatu ketentuan Allah. Ia pasti datang kerana kita selalu dirahmati dengan air yang melimpah ruah. Tetapi kita selalu tidak pasti bila ianya akan datang. Setakat mana besarnya. Setakat mana kemusnahan yang mungkin berlaku. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Ada  dua perkara yang boleh kita maklumi. Banjir Allah yang datangkan. Tidak ada dalam kekuasaan manusia untuk menolak kehadirannya. Buatlah apa sahaja. Banjir itu pasti datang kerana ianya dari Allah. Tembok besar dan tinggi dibina di Fukushima di Jepun. Andaian kejuruteraan yang menafikan kuasa Allah. Tsunami tidak akan menghempas pantai dan memusnahkan sebuah tamadun. Kuasa milik Allah. Tembok tidak dapat menghalang tsunami. Saya teringat terowong SMART di Kuala Lumpur. Diwar-warkan di National Geography  sebagai penamat banjir. Sekali lagi kuasa Allah berlaku. Banjir tetap berlaku. Jangan lupa kuasa Allah.

Banjir di Malaysia berlaku di tempat-tempat yang memang lazimnya cenderung untuk banjir. Tempat-tempat yang landai. Di tepian sungai. Di kaki bukit. Di kawasan paya. Budaya kita pula memilih kawasan penempatan yang cenderung untuk berlaku banjir. Mungkin ada pilihan lain yang boleh mengelakkan musibah banjir. Kawasan yang sedia tinggi seperti di bukit dan gunung. Atau kawasan yang ditambak tinggi. Ini pilihan yang ada. Mungkin kita berpeluang membuat pilihan itu dengan izin Allah. Selain daripada itu ada aspek lain yang perlu diurus. Ada tempat-tempat yang salirannya tidak terurus. Walaupun saban tahun terjadi banjir, saliran itu kekal dirancang untuk diurus. Bila banjir berlaku maka ada cakap-cakap ianya dirancang lagi. Bertahun-tahun yang berulang-ulang salirannya kekal dirancang. Mungkin secara ekstrimnya paksa orang yang merancang tinggal di kawasan yang selalu banjir. Biar dia rasakan setiap tahun menghadapi musibah banjir. Pengalaman peribadi boleh mengejutkan urat sarafnya yang selalu kendur.

Banjir adalah kejadian yang berulang-ulang. Di mana sahaja yang Allah kehendaki, berlakulah banjir itu. Ia tiada kena mengena dengan politik. Tiada kena mengena dengan mana-mana parti. Tiada kena mengena dengan negara-negara terpilih. Tidak mengira status sosial penduduknya. Pengalaman yang lama seharusnya digunapakai. Tempat banjir sudah dimaklumi. Kekerapannya sudah dimaklumi. Tempat pemindahan sudah dimaklumi. Cara memindahkan penduduk terbabit sudah dimaklumi. Keperluan di tempat penempatan mangsa banjir sudah dimaklumi. Apa lagi yang belum dimaklumi. Mungkin ulasan selanjutnya mencakup aspek ini. Maknanya apabila banjir berlaku buang semua bentuk perbezaan. Yang menjadi mangsa perlukan bantuan. Cuba empati. Bukan simpati memanjang tanpa berbuat sesuatu. Mereka semua cemas. Takut. Hendak menyelamatkan keluarga. Bukan harta benda. Nyawapun tidak dipandang lagi sekarang ini. Seolah-olahnya masing-masing menunggu ilham. Ilham itu pula ditepis supaya tidak datang. Malang sungguh menjadi rakyat marhaen. Jadi timun memanjang. Hatinya luka. Perasaannya lara. Jiwanya derita. Psikologinya tercalar. Tangan sendiri tiada upaya dan kuasa.

Menangani banjir bukan semestinya hingga sempurna (perfect). Namun usaha  mestilah dijalankan dalam bentuk mencegah dan merawat.

1.     Kita ada Jabatan Kaji Cuaca. Banyak data yang boleh membantu jangkaan cuaca. Bukan tiba-tiba. Perubahan cuaca diramalkan dalam beberapa minggu. Beberapa hari. Bukan serta merta. Maknanya hujan lebat yang mengundang banjir dapat dijangka setakat teknologi yang diizinkan Allah. Soalnya kenapa tiada makluman. Tiada persediaan. Tiada aktiviti menyelamat. Pemindahan mangsa banjir boleh dibuat lebih awal. In advance. Mengapa?
2.     Kita dimaklumkan bahawa semua jenis alat amaran sudah tersedia. Alat amaran tsunami. Alat amaran banjir. Di mana semua alat ini. Wujud atau tidak. Jika ada, disenggara atau tidak. Adakah ujian dibuat sebagai langkah berjaga-jaga.
3.     Kita ada media elektronik. Ada milik kerajaan. Ada milik swasta. Ada media sosial. Sekali lagi mengapa tidak dijadikan alam amaran. Alat penyelamat.

Prasarana elektronik sudah lama tersedia untuk digunakan untuk berbagai keperluan. Sungai dan taliair masih ditakuk lama. Selepas banjir pastinya semua orang akan sibuk untuk membersihkan sungai. Membersihkan taliair. Membersihkan longkang. Membersihkan parit. Kita selalu lupa membersihkan tindakan. Kesemuanya itu perlukan penyenggaraan berkala. Bukan setelah banjir berlaku. Bukan pula semasa banjir berlaku. Bukan setahun sekali. Bukan dua kali setahun. Bajet khusus perlu untuk penyenggaraan empat kali setahun. Sekadar perbandingan mana lebih penting antara BRIM dengan keselamatan harta benda. Kemusnahan yang melampaui mungkin 20 kali ganda nilai BRIM. Kemusnahan untuk sebuah keluarga.

Dalam pengurusan kebajikan rakyat sikap politik perlu positif. Usah selalu fikirkan political mileage. Tidak ke mana perginya. Ramai rakyat yang berkeupayaan menilai politik di Malaysia. Mereka celik politik. Sebagai rakyat mereka perlukan perlindungan. Perlukan jaminan kebajikan dari banyak perkara. Pilihanraya sekali setiap lima tahun sedangkan banjir mungkin melebihi lima kali selama lima tahun. Maksudnya politik adalah suatu perjuangan lain. Kemanusiaan adalah perjuangan lain. Itu belum sebut agama. Belum keperluan beragama. Kita memiliki political will. Will power yang tiada. Menjaga kepentingan yang tidak selari dengan keperluan manusia pada umumnya. Sikap masyarakat juga mungkin menyumbang. Tidak mengendahkan amaran yang diberi. Bayang-bayang bahaya sudah diberi. Apabila hujan berterusan dalam kadar yang lebat dan berpanjangan, maka banjir tentu dijangka. Tinggalkan segera segala kecintaan yang ada di rumah. Selamatkan keluarga. Menunggu bermakna mengundang bahaya. Banjir datang sengan segera tanpa amaran panjang. Limpahan air pasti membuak-buak apabila di bahagian hulu sungai sudah tidak dapat menampung air yang turun dan mendesah lalu. Air tidak ada jalanraya. Apabila sungai penuh, setiap tebing sungai menjadi laluanya.


Bagaimana mengangkat martabat rakyat semasa banjir. Satu cerita yang kadang-kadang derita panjang. Dewan sekolah yang terbuka lapang. Tiada langsung privacy antara keluarga yang ditimpa malang. Memang mereka tidur lena tetapi terdedah kepada pemandangan semua orang. Langsung tiada yang menjadi rahsia. Fikirkanlah suami isteri yang berada di situ. Masih muda kebanyakannya. Setiap masa menjadi tontonan dan tatapan mereka yang bukan mahram. Darurat? Mungkin tetapi masih boleh diurus. Boleh ambil iktibar seperti di Thailand atau Jepun. Sediakan khemah plastik muatan dua atau empat orang. Keadaan menjadi kemas. Tidak bersepah. Setiap keluarga ada ruang peribadi. Yang lebih penting ialah penyakit berjangkit boleh dielakkan. Khemah sementara ini boleh digunakan lagi apabila diperlukan pada waktu lain. Untuk keperluan lain. Untuk aktiviti lain. Apabila diperlukan ianya tersedia.


Jadikan banjir sebagai peristiwa semua orang menginsafi diri. Musibah yang dikongsi oleh semua rakyat yang diketuai oleh semua pemimpin yang telah diangkat rakyat. Berhenti sejenak untuk berfikir. Untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat. Rakyat perlukan sedikit dari banyak. Sekejap dari lama. Kadang-kadang bukan selalu. Jangan palingkan perhatian. Pendanglah yang hak. Hulurkan hak mereka yang menunggu penuh harap. Jika yang sedikit itupun tidak dapat menyejukkan hati, apa lagi yang dapat diharap. Berdoalah supaya musibah banjir ini menjadi pengajaran seumur hidup yang panjang. Mengambil iktibar. Cubaan dan peringatan dari Allah. Mengingatkan yang terlupa.