Sebelum kedatangan penjajah, Kesultanan Melaka
adalah sebuah kerajaan yang besar. Islam tertegak bersama kanun Melaka yang
sangat terkenal. Ada kanun Shahbandar bagi mengawal perdagangan antarabangsa. Semuanya
dalam tulisan Jawi. Tulisan yang menggabungkan huruf Arab dan huruf Farsi (Iran
sekarang). Bahasa dan agama yang sudah mendarah daging selama berkurun-kurun
lamanya digelapkan sehingga sekarang ini bahasa Arab bukan bahasa tuntutan. Agama
sangat cair di mata dan di hati anak-anak kita. Ramai yang sudah keliru antara
tuntutan akhirat dan tuntutan dunia. Tidak tahu mengharmonikan antara keduanya.
Kepimpinan kita mengarah dunia dan membawa semuanya menikmati dunia tanpa batas
waktu. Tanpa batas laku. Landasan kita sudah terlalu tersasar. Destinasi hidup
kita tiada noktah. Seolah-olah kita akan hidup seribu tahun lagi tanpa perlukan
agama. Landassan yang kita pilih menyimpang jauh. Kawalan sudah hampir tiada.
Apabila penjajah datang bahasa Inggeris diberi nilai
ekonomi. Tidak pandai tidak apa asalkan boleh bercakap dalam bahasa Inggeris. Tidak
ke IPT tidak mengapa asalkan boleh bekerja dengan Orang Putih. Hidup senang. Ini
yang ditekankan. Hidup senang. Jauh dari susah hidup di kampung. Di luar
bandar. Jadi peonpun jadilah. Pendapatan tetap setiap bulan. Hujan atau panas
kerja berjalan. Gaji diterima pada akhir bulan. Dari bahasa Inggeris kegilaan
kita melarat kepada semua yang didatangkan dari “England”. Konotasi yang
dikaitkan dengan penjajah. Hanya sekarang kita memilih barangan Jepun atau
Korea. Pada tahun 60an kereta Jepun menjadi cebikan sahaja. Dibuat dari tin
Milo kata orang. Bagi orang Jepun atau Korea bahasa Inggeris bukan penentu
ekonomi mereka. Mereka gagah mempertahankan bahasa mereka sendiri. Bukan bahasa
Inggeris. Bahasa Inggeris dipelajari untuk perdagangan antarabangsa dan
perhubungan antarabangsa. Cukup setakat itu sahaja.
Nilai akhirat kita terlalu rendah kerana kita lebih
memihak kepada Inggeris dan Barat. Kita tahu kelicikan Barat adalah untuk
melemahkan kita. Menghilangkan jatidiri kita sebagai umat Islam. Banyak perkara
yang melintasi benak penulis.
1
Kenapa bahasa Arab tidak menjadi bahasa
kedua selepas bahasa ibunda kita. Kenapa bahasa Inggeris yang terletak di
tempat kedua. Terlalu banyak dikatakan bahawa bahasa Arab adalah bahasa syurga.
Bahasa Rasulullah. Bahasa al-Quran. Maknanya mempelajari bahasa selain daripada
bahasa Arab hanyalah untuk kegunaan dunia. Cukup. Berhenti setakat itu. Bahasa Arab
pula pergi jauh. Dari dunia hingga ke akhirat. Yang ini kita tinggalkan kerana
mengejar habuan dunia sahaja.
2
Tulisan Jawi kita lemahkan. Bukan lagi khazanah yang menjadi warisan turun temurun. Penulis pernah
menulis hal ini. Stanfford Raffles menulis dalam tulisan Jawi semasa berhubung
dengan Sultan Husin Shah di Singapura dahulu. Di Temasik secara tepatnya. Pada tahun
1986 penulis masih melihat tulisan Jawi di sebuah kedai di Oxford Street,
London. Jalan yang sinonim dengan Harrod. Pusat membeli belah yang terkenal di
seluruh dunia. Di Malaysia anak-anak muda hilang kecelikan mereka dalam tulisan
Jawi.
3
Sangat memilukan ialah kita kehilangan keghairhan
menghafal al-Quran. Tradisi agama ini kita abaikan. Sewajarnya anak-anak yang
berusia 6 hinga 8 tahun sudah hafal al-Quran. Pada usia 10 tahun sudah mahir
mengenai ulum al-Quran. Di mana silapnya. Pada usia muda kita ajar anak-anak
menyanyi. Berjoget di hadapan TV. Ibu dan bapa pula bertepuk tangan memberi semangat.
Menggelincirkan anak itu dari landasan hak. Tidak ramai ibu bapa yang
mengetahui bahawa anak-anak yang hafal al-Quran memiliki otak yang cerdas. Jika
di sekolah mereka boleh menghafal buku teks. Ingatan mereka kuat. Hafalan mereka
mantap.
4
Penulis merasakan suatu perubahan paradigma
perlu dibuat. Kita perlu berbuat sesuatu yang ekstrim seperti di Brunei.
4.1
Asingkan sekolah. Pelajar lelaki di
sekolah lain dan pelajar perempuan di sekolah yang lain.
4.2
Aktiviti yang bercampur baur antara
lelaki dan wanita hendaklah diberhentikan. Asingkan aktiviti.
4.3
Majlis-majlis yang selalunya mencampurkan
lelaki dan wanita hendaklah dikaji semula. Hatta di tempat kenduri kahwin
sekalipun pengasingan itu sangat perlu. Suami
dan isteri duduk berasingan. Anak lelaki bersama bapa. Anak perempuan bersama
ibunya.
5
Perlu ada ketegasan mengenai keperluan
menutup aurat. Semua wanita Islam hendaklah menutup aurat. Berpakaian yang
menutup bentuk tubuh badan. Tiada tempat pakaian seksi kecuali di rumah. Hanya untuk
suami sahaja. Suami sahaja dan bukan di luar rumah.
6
Hiburan kita sudah menjadi hedonmism. TV
dan filem sudah melampaui peranannya. Tidak banyak yang mendidik. Yang mentarbiah
umat. Yang memberi pengajaran. Rancangan realiti seperti tidak masuk akal. Terlalu
banyak juara. Juara-juara ini dijulang
sementara waktu. Paling lama setahun atau dua tahun. Selepas itu juara ini
hilang. Hilang seperti buih yang tidak nampak isinya. Dunia realiti yang
menghambat pergi hak yang wajar.
Ibu dan bapa hendaklah kembali memainkan peranan
mereka. Mengejar ekonomi yang semakin menghimpit tidak juga cukup-cukup. Masih banyak
yang kurang. Tetap kurang. Mulakan aktiviti anak-anak dengan al-Quran. Jika ibu
dan bapa kekurangan ilmu al-Quran, carilah guru supaya ibu dan bapa boleh
mengajar sendiri anak-anak mereka. Al-Quran banyak barakahnya. InsyaAllah mereka
yang dekat dengan al-Quran murah rezekinya. Barakah rezekinya. Sedikit yang
mencukupi. Bukan banyak yang tidak pernah cukup. Masih ada peluang. Masih ada
masa. Masih ramai yang boleh bantu membantu ke arah agama dan al-Quran.
Penulis tidak dapat mengelak dari memperkatakan bahasa
Arab. Orang Mesir bertanya. Anda Muslim tetapi kenapa tidak memahirkan diri
dalam bahasa Arab. Bahasa Arab bukan bahasa orang Arab per se. Ia bahasa umat
Islam. Bahasa seperti yang tersebut di atas. Kewajarannya untuk dipelajari. Sesama
umat Islam kita guna bahasa selain dari bahasa Arab. Sesama Islam tidak
berkomunikasi dalam bahasa Arab. Tidak mungkin kita menghambat untuk memutarkan
kembali jam waktu. Kembali sebelum dijajah fizikal dan minda kita. Terperangkap
dalam tamadun yang terkeluar dari ladasan yang hak. Yang kita hadapai ialah
masa hadapan. Masa yang masih ada untuk bertindak positif. Kembali ke landasan.
Untuk anak cucu kita yang perlu diselamatkan. Yang perlu dibawa ke jannah.
InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment