Sunday, December 15, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Mengundur Jangan Salah Undur



Selalu benar ibu atau ayah yang melanggar anak sendiri. Tempatnya pula tersangat istimewa. Di depan rumah sendiri. Rumah yang selalu kita sangka tempat yang paling selamat. Rupanya ibu dan ayah bukan orang yang belum tentu boleh menyelamatkan anak-anak mereka dari ancaman. Orang yang diharapkan melindungi anak-anak dari mara bahaya sebaliknya menjadi pembunuh. Paling kejam kerana membunuh anak sendiri. Anak yang masih kecil. Masih merangkak. Atau baru belajar bertatih. Atau sedang galak berjalan. Bila kita memajukan langkah ke hadapan mata kita melepas pandangan yang luas. Namun apabila kita mengundur maka segala-galanya menjadi kelam dan kabur. Pandangan haizat kita selalu membunuh. Mata kita melihat segala sudut tetapi tetap ada sudust yang terlepas pandang. Kita menganggap selalu yang terlepas pandang seperti kecil. Namun dalam banyak hal sesuatu yang terlepas pandang sebenarnya berimpak tinggi. Nilainya juga tinggi. Ada masanya critical and fatal. Sebab itu perlu pandangan orang lain sebelum membuat sesuatu keputusan. Takut ada yang terlepas pandang.

Mengundur adalah suatu proses kehidupan. Taking stok mengenai apa yang berkemungkinan di hadapan. Tanpa mengundur kita tidak dapat pula untuk maju ke hadapan.

1                 Mengalah seketika kerana tidak mahu menambah masalah.
2                 Mengundur untuk menyediakan serangan terbaru yang lebih menggugat.
3                 Mengundur untuk menyediakan diri menjadi lebih siaga dari segi fizikal, mental dan spiritual.
4                 Mengundur kerana jalan ke hadapan dimulakan dengan mengundur dahulu.
5       Menjadi asas untuk menerkam peluang yang melintas.

Lazimnya apabila kita hendak ke hadapan kita membuat banyak perancangan. Memandang apa yang ada di hadapan. Memandang ke kanan untuk bebas dari halangan. Memandang ke kiri untuk melihat sekiranya ada mara bahaya. Pandang lagi ke kanan untuk mengesahkan status keselamatan. Begitulah berulangkali kita ingin mempastikan keselamatan yang maksimum. Keselamatan ini pula selalu disalah anggap. Ianya situasi di luar rumah. Jauh dari rumah. Bukan berkaitan dengan rumah. Terlalu banyak mara bahaya di rumah tetapi penulis ingin mengungkapkan mengenai aspek undur mengundur sahaja. Ada pula kaitannya dengan pandangan haizat. Bahaya yang datang dalam keadaan terselindung. Wujud tetapi tidak disedari. Tahu tetapi tidak diketahui bentuknya. Pasti tetapi tidak ada kepastian bagaimana bentuknya.

Pandangan haizat merupakan sesuatu yang fitrah. Mata kita hanya boleh memandang ke hadapan. Ada antara kita yang tidak mempraktikkan matanya. Selalunya ekor mata terabai. Sekiranya ekor mata dimanfaatkan banyak kemalangan yang dapat dihindar. Hanya menggunakan sedikit ekor mata. Bukan memandang tepat. Hanya sipi-sipinya sahaja. Pemandu kenderaan umpamanya ada cermin hadapan. Ada cermin belakang. Ada cermin sisi. Kesemuanya dipasang untuk membantu pemandu mengawal perjalanannya dan tidak membawa kesusahan. Pandangan haizat yang selalu menimpakan masalah keselamatan di jalanraya. Kenderaan yang cukup persediaannya masih banyak aspek yang tidak selamat. Sebab itu pemandu bukan sebarang insan. Ada masanya ia menjadi selemah-lemah manusia. Mungkin lupa. Mungkin ambil mudah. Mungkin menganggap ringan. Mungkin kerana gangguan mental seketika. Atau kebiasaan yang diambil mudah. Faktor manusia yang banyak lemahnya.

Dalam setiap perancangan perlu dibuat pemeriksaan keselamatan. Dalam semua aspek yang berkaitan. Mungkin masa. Mungkin alat. Mungkin tempat. Mungkin petugas. Seperkara lagi ialah setiap aktiviti tidak boleh dianggap sama. Ada variabel yang berubah. Masa dan tarikhnya. Iklim. Keahlian. Alat. Bajet. Objektif. Banyak lagi jika ingin difikirkan dengan terperinci. Tapisan keselamatan boleh menjadi penentu sama ada sesuatu projek perlu dilancarkan atau dibatalkan. Perlu disegerakan atau perlu dihentikan sementara. Perlu ditambahbaik atau dikurangkan bajetnya. Sekadar contoh, dalam kenaikan pangkat penjawat awam penentu akhirnya ialah tapisan keselamatan negara. Jika kehadirannya tidak mengancam keselamatan negara maka pangkat yang lebih tinggi itu boleh menjadi miliknya. Kerana itu cadangan kenaikan pangkat mengambil masa yang lama. Kecualilah penjawat itu sudah sedia dimaklumi status keselamatannya kepada negara.

Keselamatan bukan terbina dalam setiap aktiviti. Kawalan naluri barangkali diperlukan untuk mengesan adanya kemungkinan ketidakselamatan dalam perlaksanaan sesuatu aktiviti. Apatah lagi jika aktivi itu kritikal kepada negara atau organisasi atau diri sendiri. Kesemua ini perlukan jangkaan bahawa selalunya bahaya menjengah datang jika kita tidak mengambil langkah berjaga-jaga.  Pengalaman masa lalu boleh mengajar kita untuk lebih berhati-hati. Berhemah dalam melaksanakan sesuatu yang ada kemungkinannya berisiko keselamatan. Sebelum melaksanakan sebarang aktiviti berundur sejenak. Berundur untuk menilai semula. Take stock. Kemungkinannya ada yang terlepas pandang. Yang sedikit itulah boleh mengakibatkan kemusnahan dan kerugian besar. Maknanya dalam apa hal sekalipun kita tidak boleh ambil mudah. Take for granted.  Sikap yang berbahaya. Sebagai manusia kita selalu alpa. Selalu lupa. Selalu terlepas pandang. Berundur boleh mengurangkan risiko yang lebih besar dan lebih parah.

Dari tadika ke sekolah kebangsaan ke sekolah menengah hingga ke IPT sebenarnya kita dididik untuk menyelesaikan masalah dan membuat keputusan. Lihat semula perjalanan hidup kita hingga sekarang. Benar kita bekerja dan berkerjaya. Namun minda kita telah sarat dengan ilmu pengetahuan, dengan maklumat, dengan latihan dan pengalaman akademik. Pendidikan membawa kita ke alam nyata bahawa dunia sebenar tidak semudah membaca buku rujukan. Tidak semudah di makmal. Tidak juga seindah bayang dan angan-angan. Untuk maju ke hadapan banyak laluan yang perlu dipilih. Pilihan itu bergantung kepada pendidikan yang kita lalui. Kecerdasan kita semasa menuntut. Kesediaan membina wawasan masa hadapan.

Sifat dan faktor manusia banyak menentukan maju dan mundurnya manusia. Mereka yang pernah terhimpit selalunya bangun gagah dan berjaya. Tetapi resepinya kesedaran, motivasi, jatidiri dan keberanian untuk memajukan diri. Jepun bangkit dari debu Perang Dunia II. Korea bangkit dari Perang Korea 1950. Pengalaman pahit itu menyedarkan mereka dari kekurangan. Mereka penuhi aspirasi diri dan negara mereka. Mereka jadikan diri mereka berada di hadapan. Bukan di belakang. Bukan ketinggalan sepanjang zaman. Bukan bickering hanya kerana sepotong kek yang sangat kecil.  Kek yang akirnya melaparkan orang kain yang begitu ramai. Jika kita tidak berundur kita tidak tahu kekuatan dan kelemahan yang menyelimuti diri kita. Tidak ramai antara kita yang mengetahui aura yang ada pada dirinya. Selalunya kita terperangkap dalam kotak yang sama. Berada dalam zon selesa yang sama.


Kerana itu pengalaman sangat banyak gunanya. Walaupun banyak ronanya, pengalaman tetap banyak manfaatnya. Darinya manusia mengukur kemampuan diri. Membuat bajet pencapaian yang mungkin dapat dicapai. Pengalaman membantu kita mencari tapak yang sewajarnya dalam kehidupan. Pengalaman lalu sahajapun tidak mencukupi. Banyak lagi pangalaman baru di luar sana yang kita perlukan. Pengalaman tidak mengira waktu. Tanpa usia. Tanpa tempat khusus. Ia datang dan pergi. Melintas di hadapan kita tanpa kita manfaatkan kehadirannya. Hanya yang arif sahaja mencari pengalaman yang diperlukan. Pengalaman yang membina dirinya untuk ke tahap yang arasnya lebih tinggi.  

No comments:

Post a Comment