Monday, December 2, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Karpet Karpet Merah Terbangnya Ke Mana?




Menurut riwayat, Rasulullah saw menyukai empat warna iaitu putih, hitam, hijau dan merah jambu. Itulah sunnah. Kerana itu apa-apa yang dikaitkan kepada Islam lazimnya dihubungkan dengan warna hijau. Ia sinonim dengan alam. Pepohon yang menghijau membekalkan sumber oksigen kepada semua kehidupan khususnya manusia. Manusia pula dicipta untuk memakmurkan dunia. Terikat dengan “Tidak Ku (Allah) jadikan jin dan manusia kecuali untuk beribadat kepadaKu”. Kita dalam kerangka iman dan Islam. 24 jam diri kita dikawal oleh masa yang mesti diisi dengan aktiviti syarie. Aktiviti yang dalam redha Allah. Yang memberikan natijah positif dari segi agama. Dari segi ammar maaruf nahi mungkar.


Sejak kebelakangan ini orang kerap benar menyebut karpet merah. Berulang-ulang. Ulangannya seperti semakin kerap. Sama ada kita diseronokkan untuk mengejar karpet itu atau dunia sudah semakin pendek masanya. Sudah semakin mengejar akhirat. Manusianya sahaja mengejar dunia yang semakin jauh. Setiap media sosial tidak lekang dari membicarakan tentang dunia hiburan. Teringat nukilan allahyarhan Ahmad Ammar. Berhibur dengan al-Quran di kala gusar dan kerungsingan memanjat hati. Alangkah indahnya. (1) Kalam Allah yang diwahyukan kepada (2) penghulu segala Nabi melalui (3) penghulu segala malaikat. (4) Tertulis dalam mushaf. (5) Bermula dari al-Fatehah dan diakhiri dengan surah an-Nas. (6) Disampaikan kepada kita  secara mutawatirah dan (7) membacanya diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT.


Kita selalu mencari alternatif selain dari yang diredhai oleh Islam. Kita mengejar sesuatu ilusi yang dimayakan. Digambarkan seperti realiti. Seperti benar dan hak. Kita tahu dunia hiburan dengan artistenya. Dengan selebritinya.  Dengan fesyen pakaiannya. Mereka yang terlibat adalah insan-insan seperti kita juga. Mencari alternatif yang dikira boleh. Yang dikira halal. Ada pertimbangan yang lebih wajar. Yang halal jelas halalnya. Yang haram jelas haramnya. Yang berada di tengah-tengah pastinya meragukan. Kepada mereka yang beriman, yang meragukan hendaklah ditinggalkan. Bukan dipertimbangkan lagi. Bukan dicari nas lain untuk menghalalkannya. Yang lebih baik tentunya yang jelas halalnya. Senang rasa di dada. Lapang minda. Boleh senyum ketika tidur. Bangkit waktu pagi segar fikiran. Tidak perlu serabut kerana dibuat-buat. Apabila kita sudah dihadiahkan dengan warna hijau oleh Rasulullah saw kenapa pilih yang merah? Yang putih jelas memang akan dipakai oleh semua orang. Tiada siapa yang boleh mengelak. Pakaian terakhir yang terbaik untuk manusia. Tiada jenama. Bukan dari gedung membeli belah yang tersohor. Hanya dari kedai biasa. Kain biasa. Harganya biasa. Apabila sampai masanya kita semua menjadi jenazah yang biasa-biasa sahaja. Hanya mereka yang sewaktu hidupnya membezakan diri, jenazahnya berlainan dari orang biasa. Banyak keistimewaannya berbanding dengan orang lain. Laluan mereka warna yang dipilih untuknya. Bukan merah.


Apabila bercerita mengenai karpet merah tergambar suasana yang rasanya kurang syarie. Mengerikan bila diingat-ingat. Cuba pejam mata seketika. Bayangkan sebuah dewan besar. Ramai orang di dalamnya. Bergemerlapan pakaian masing-masing. Hingar sedikit. Bercampur baur sesama mereka. Pegang, sentuh dan peluk antara bukan mahram seperti lumrah. Agama semuanya ditolak tepi. Sesuatu yang serong dari hak. Lelaki dan perempuan yang bukan mahram wajib diasingkan. Bukan harus. Wajib. Siapa yang boleh menguatkuasakannya? Yang hadir tidak mampu melakukannya. Hanya iman sahaja yang boleh mencerahkan keperluan sebegitu. Tanpa iman yang kukuh banyak yang pasti dilanggari dan dianggap biasa.


Dalam suasana seperti itu ramai yang memperagakan fesyen pakaian terbaru. Siapa penciptanya? Ramai yang bukan Islam. Yang memakainya Muslimah. Fesyen itu komersil. Maaf tentu sahaja menampakkan aurat yang sewajibnya ditutup dengan rapi. Untuk suami sahaja. Simpan untuk suami atau bakal suami. Orang lain tidak boleh melihatnya. Tidak ada mata lain yang berhak melihatnya. Berbagailah fesyen yang peragakan. Maaf sekali lagi. Cirri-cirinya tentu banyak yang tidak Islamik. Ketat. Terbelah. Singkat. Mendedahkan. Ramai pula yang tidak memakai tudung. Aurat yang paling banyak didedahkan. Itu belum jarang. Ada pula yang terlalu plunging neckline. Konsepnya Hollywood is here. Atau Bollywood is here. Untuk menulis inipun boleh semput. Apatah lagi berada dalam suasana mereka. Kita tetap sayangkan orangnya. Cuma kita tidak setuju dengan suasana yang dibina untuk mereka. Mereka sedang meniti kaca yang tipis dan rapuh. Bukan konkrit. Bukan besi waja yang kukuh menegak dan menjulang. Mendatarnya boleh dipijak dan diinjak.


Muzik bukan tidak ada keharusannya. Cuma dalam suasa karpet merah muziknya bukan untuk menenangkan fikiran seperti tiupan seruling Jalaluddin al-Rumi. Bukan gendang dan rebana sambutan kaum Ansar ke atas kedatangan Nabi ke Madinah. Hijrah yang payah dan menyeksakan. Biasalah muzik yang didengarkan. Bising dan bingit. Kesemuanya kegilaan orang muda. Tidak ada usaha untuk membawa pesta seperti itu yang berpadanan dengan syarie. Orang tua boleh menontonnya tanpa rasa berdosa. Tidak ada yang memikirkan bahawa yang menonton di rumah bukan kesemuanya orang muda-muda. Seisi keluarga. Dari datuk hingga ke cucu. Mereka perlukan hidangan yang santai. Menghiburkan. Yang paling penting menenangkan fikiran. Menghilangkan kerungsingan. Memberikan idea dan harapan untuk berbuat yang lebih baik selepas ini.  


Dalam suasana seeprti itu senikata lagu banyak yang tersasar dari zikir. Dari mengingat Allah. Ingat akan mati. Senikata yang meginsafkan diri. Orang boleh lupa siapa dirinya. Siapa yang memiliki dirinya. Siapa yang memiliki hidup dan matinya. Siapa yang memiliki jasad dan rohnya. Kesemuanya pinjaman sementara. Sementara sahaja. Sementara dengan izinNya. Itu belum tarian yang sukar difahami rentak dan geraknya. Tiada pengajaran yang menginsafkan. Hanya ekspresi diri dan suasana yang sukar difahami. Ke kanan dan ke kiri. Melonjak dan berlari. Bukan pula seperti ballet yang ceritanya penuh dimengerti. Kenapa ya? Kenapa? Siapa yang boleh memberikan nafas baru yang menyegarkan. Mengolah hiburan yang layak untuk semua orang. Bukan kegilaan yang menolak ruang untuk orang lain yang juga ada haknya.


Waktu aturcaranya mungkin pukul 8.30 malam. Memang benar selepas waktu Isya’. Berapa ramai antara kita yang berani mengangkat tangan bahawa dia  mengaku terlepas solat Maghrib. Waktu Isya’ mungkin panjang masanya. Waktu Maghrib terlalu singkat. Yang bersolek tentu sahaja tidak mungkin mengambil wudu’ sebelum majlis bermula. Untuk memakai pakaian terbaru sahaja mungkin berjam-jam lamanya. Pakai. Lihat cermin. Tidak kena. Cermin lagi. Betulkan di sana. Betulkan di sini. Cermin lagi. Tidak sama tinggi. Terketat di bagaian tertentu. Cermin. Solek pula dibetulkan. Rambut diurus selalu. Solatnya bila. Tidak mungkin jamak taqdim. Tidak mungkin juga jamak takhir. Tiada keperluan syarie untuk berbuat begiru.



Rasanya kesemuanya hanya pembaziran yang disukai syaitan. Jutaan ringgit dibuang begitu sahaja. Selepas karpet merah akan banyak cerita negatifnya. Yang kalah tidak puas hati. Ada nada cemburu. Ada yang sinis. Banyak cacat celanya. Setiap tahun ada sahaja yang tidak kena. Maknanya pembaziran mengakibatkan pembaziran yang bersiri pula jadinya. Alangkah baiknya wang sebanyak itu disumbangkan untuk dana melanjutkan pelajaran. Membela orang yang miskin dan papa kedana. Memberi makan kepada yang memerlukan. Ramai yang bersyukur. Ramai pula yang mendapat nikmat berganda. Ke mana terbangnya karpet merah? Kita terlalu mudah berada dalam situasi yang bukan syarie. Esok lusa mungkin terlalu lama untuk menunggu ajal kita.  

Saturday, November 30, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Pakaian Dalam Penyamaran Penjajahan





Sejarah yang merakamkannya



Terusan Suez terletak di Mesir. Di kanan muara Sungai Nil. Lebih tepat nama kawasan itu sendiri ialah Suez. Berhampiran juga dengan Sinai. Tanah yang selalu dicemburui Israel. Penguasaan ke atas Terusan Suez adalah fundamental ke atas ekonomi Mesir. Begitu juga Terusan Suez menjadi sangat selalu diberi perhatian oleh Barat dan Amerika. Melaluinya terpisah antara Asia dan Afrika. Pada hakikatnya terusan itu berada di Afrika kerana ianya di Mesir. Negara bumi anbia ini menguasai Terusan Suez walaupun banyak campur tangan dari negara luar mengenainya. Mesir bermati-matian mempertahankannya dari serangan Israil seperti dalam perang antara kedua negara pada tahun 1967. Ketika itu Presiden Mesir ialah allahyarham Anwar Sadat. Sejarahnya panjang. Ceritanya bukan sahaja mengenai ekonomi. Ianya mencakup juga mengenai politik, penjajahan, penyebaran agama Kristian dan lain-lain hal yang menyakitkan umat Islam sekian zaman.


Hakikatnya mungkin tidak ramai yang mengetahui secara jelas. Sejarah merakamkan bahawa terusan itu dibina oleh Inggeris. Tentu sahaja dibiayai banyak kuasa besar di Barat. Tentu juga ada sumbangan Israel. Andainya kita teliti lembaran sejarah dengan sabar akan kita dapati bahawa idea untuk membina terusan itu sudah dikemukakan pada zaman Sayyidina Umar Al-Khattab menjadi Khalifah al-Rasyiddun yang kedua. Sekitar antara tahun 634M hingga 644M. Terusan itu pula dibina pada kurun ke-19. Pada tahun 1869 setelah 10 tahun dalam pembinaan. Sekarang panjangnya 193 km dan lebarnya 205 meter. Seperti juga terusan-terusan lain di dunia untuk melaluinya terdapat petak-petak yang berperingkat-peringkat dipanggil lock dalam bahasa Inggeris. Di utaranya Pelabuhan Said dan di selatannya Pelabuhan Tawfiq. Terusan ini diletakkan di bawah perjanjian antarabangsa. Maksudnya ianya boleh digunakan semasa perang sama seperti penggunaannya dalam masa aman. Pemerintahan Islam di zaman Sayyidina Umar menolak pembinaan Terusan Suez kerana firasat bahawa terusan itu membawa petaka kepada Islam, umat Islam dan negara Islam pada keseluruhannya. Madinah yang ketika itu sedang dibangunkan dikhautiri akan terancam dari laut. Dari Barat dan Timur.


Terusan itu digunakan untuk membangunkan Barat dan Timur. Tetapi, tetapi tidak untuk membangun negara yang memiliki terusan itu. Tidak juga untuk membangun negara-negara yang berhampiran dengan terusan itu. Negara Mesir tidak memiliki terusan itu secara mutlak. Terusan itu di tanah Mesir. Mengalir di bumi Mesir. Tetapi bukan hak mutlaknya. Ianya dibina dengan bersyarat. Pebinaannya sewaktu Mesir dalam keadaan lemah. Dikuasai oleh Inggeris walaupun tidak dijajah secara mutlak. Bacalah sejarah ini dengan memahami intipatinya yang tersirat. Hinanya tanah yang dijajah. Kelemahan Islam ketika itu memungkinkan banyak hal-hal yang sukar difahami. Permainan Barat sangat licik. Dendam mereka kepada Islam cukup membara. Namun permainannya sangat licik. Subtle. Firasat Sayyidina Umar sangat jauh. Kata orang sekarang wawasan. Wawasan kita mungkin beberapa dekad. Wawasan Sayyidina Umar lebih 1,200 tahun. 12 kurun. 120 dekad.


Mungkin banyak kebenarannya. Apabila terusan itu direalisasikan Barat dan Timur menjadi dekat. Terusasn itu sibuk kerana memendekkan perjalanan yang selaluya menggunakan Tanjung Harapan (Good Hope) di selatan Afrika Selatan. Lama sebelum itu Barat telah menjajah dunia. Tidak banyak negara yang benar-benar bebas dari penjajahan. Jika tidak dijajah sekalipun mereka dinasihati oleh penasihat-penasihat Barat. Ada sahaja ruang untuk mereka meresapkan berbagai agenda. Memang mereka datang memperlihatkan kemajuan. Mereka datang membawa kemewahan. Mereka datang membawa keindahan. Banyak negara yang terpukau mata dan hati. Hanyut dalam kemilau yang mereka persembahkan. Akhirnya lalai dan leka hingga tanah milik menjadi hak orang. Dalam kelembutan mereka ada racun berbisa. Dalam bahasa dan penyakit. Dalam tindakan ada musibah. Kita hanya melihat yang indah. Jarang melihat yang terlindung. Yang tersirat. Yang terhijab. Lupa yang beriman berbeza dengan yang tidak beriman.


Alhamdulillah umat di nusantara lebih dahulu meengenal Islam. Iman mereka telah sebati. Sudah mendarah daging. Maka kedatangan Barat sejak dari Portugis lagi tidak merosakkan akidah mereka. Begitu juga Belanda dan Inggeris. Jepun tidak membawa agenda agama. Penjajah tidak pernah berjaya merosakkan akidah warganegara tanah jajahannya. Di nusantara ini khususnya di Malaysia. Cuma penulis sukar hendak berbicara mengenai mereka yang berada di negara yang berjiran dengan Malaysia. Situasinya berbeza. Latar belakang hidup dan budaya juga berbeza. Penjajahan memang membawa agenda Kristian. Mubaligh mereka bekerja keras berusaha ke arah itu. Pertahanan kita kuat ketika itu. Kesemuanya dapat ditangkis. Benarkah begitu? Nanti dulu. Barat rupanya mengagendakan Kristian mereka secara subtle. Tidak melalui agama secara jelas. Tidak fizikal. Pendekatannya bukan  agama per se. Mereka merosakkan Islam melalui gangguan akidah (faith), kebebasan (freedom -hak asasi), makanan (food), pakaian (fashion), hiburan (fiesta) dan kewangan (finance). Banyak hal yang diragukan dari akidah umat Islam. Kebebasan tanpa batas syarie. Makanan sukar dilihat halal dan haramnya. Pakaian pula mencabar aurat. Hiburan menjadi songsang walaupun asalnya ada kaharusan menurut syarie. Ianya bukan zikir kerana mengingat Allah. Dalam kewangan pula ada riba.



Islam terkepung dari segenap penjuru. Kita termakan racun di sebalik madu yang dihidangkan oleh Barat dalam bentuk cebisan-cebisannya. Enam F yang disenaraikan di atas menjauhkan kita dari Islam yang sejati. Tetapi itulah yang menjadikan kita terfana. Kita melihat kemilau yang menyembunyikan bahaya di sebaliknya. Pembangunan yang melupakan syarie. Kemajuan yang bukan berlandaskan Islam. Dilihat cantik tetapi  banyak duri dan racun serta membakar umat Islam perlalan-lahan. Lihatlah media sosial yang memperlihatkan rosaknya umat Islam dari banyak aspek. Akidahnya diserang bertubi-tubi. Ramai yang kecundang. Kita diberi banyak pilihan yang halal. Banyak makanan yang jelas halalnya. Hiburan yang selari dengan syarie. Ekonomi yang menjauhi riba. Pakaian yang sesuai menutup aurat. Pilihan itu ada. Banyak. Kembalilah memilih yang hal. Yang hak. Yang diajarkan kepada kita. Yang tidak ada keraguan padanya. Tolaklah apa-apa yang bukan hak. Kerana itu banyaklah berguru. Banyak bertanya. Banyak mengkaji. Mereka yang mengetahui tentu lebih baik dari yang tidak mengetahui.

Beberapa imej Terusan Suez yang memendekkan perjalanan dunia.


Lebarnya 250 meter.


Ada pelabuhan antaranya.





Antara sekatan-sekatan (lock) yang terdapat di terusan ini.

Friday, November 29, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Menyumbang Bukan Selalu




Dalam kehidupan kita banyak perkara yang pada pendapat kita tidak dirancang. Banyak keadaan yang memerlukan kita memberi sumbangan. Memberi bantuan. Menghulurkan tangan kepada yang memerlukan. Bentuknya tidak pasti. Mungkin kewangan. Mungkin nasihat. Mungkin idea. Mungkin juga sedikit pengalaman masa lalu untuk dikongsi oleh orang lain. Semasa kita masih berkerjaya kita dituntut untuk menimba pengalaman. Seperti kata Piaget kita bergerak dari yang mudah kepada yang sukar. Dari yang kita ketahui kepada yang tidak kita ketahui. Dari yang kita yakini hinggalah kepada yang meragukan. Tidak kurang juga yang mencabar. Bagi yang ingin memanjat tangga kejayaan, pengalaman adalah mutiara yang perlu dikutip. Digilap. Digunapakai pada bila-bila masa apabila keadaan memerlukan. Masanya tidak diketahui. Tempatnya kita tidak maklum. Yang menjadi hakikat ialah keperluan menuntut kita memberikan apa yang ada. Mungkin sedikit. Mungkin banyak. Mungkin tidak seberapapun.


Allah merancangkan banyak untuk kita. Banyak masa kita disediakan untuk suatu keadaan yang tidak kita ketahui masa dan tempatnya. Apa-apa yang Allah galaskan kepada kita kesemuanya bersesuaian dengan diri kita. Siapa kita. Untuk apa kita dipersiapkan sekian tahun yang panjang. Qada’ dan qadar kesemuanya menasabah. Tidak berat dan tidak menyulitkan. Kita yang perlu menyediakan diri untuk memandang dengan pengamatan yang tajam. Bercakap dengan teratur. Mendengar dengan teliti. Berfikir dengan wawasan yang jauh. Dengan kewarasan yang wajar. Dari suatu tahap ke suatu tahap kita mendepani masalah dan isu. Tidak pernah ada hentinya. Kerja kita adalah menyelesaikan masalah. Kerja rutin adalah untuk orang biasa-biasa sahaja. Kerja-kerja yang berulang-ulang tanpa perlu berfikir. Jejari bergerak tanpa perlu dilihat. Tangan bergerak tanpa perlu prosedur yang dirujuk. Tetapi itu bukan pengalaman yang serius. Tiada perlukan pemikiran kritis. Tiada keperluan untuk memerah otak. Gunakan alat yang ada. Itu sahaja. Tanpa alat kesemua proses terhenti begitu sahaja. Maka orang di atas yang perlu memandang ke bawah untuk menyelesaikan hal-hal yang kadang-kadang terlalu mudah tetapi dilihat payah. Hanya kerana tiada pengalaman.


Itu cerita semasa berkerjaya. Kursus tidak pernah berhenti. Bengkel dihadiri tanpa cuti. Mesyuarat panjang jamnya. Malah kadang-kadang tidak diketahui bila siang dan malamnya.  Itulah bebanan kerana berkerjaya. Tekanan yang bertimpa-timpa. Kebanyakan pengkerjaya selamat dari berbagai petaka. Berat dipikul. Ringan dijinjing. Ocupation hazard hanya suatu halangan yang datangnya bukan berkala. Ikut rezeki masing-masing. Bukan tidak ada yang tumbang semasa bekerja. Bukan tidak ada yang ajalnya tiba semasa bertugas. Kesemuanya ketentuan Allah belaka. Masing-masing kita ada bahagian yang berbeza. Yang berlainan bentuknya. Datangnya memberi rahmat. Memberi keindahan menjadi insan yang menjadi hamba Allah. Cuba renung sebentar. Kesemua yang kita alami adalah keindahan yang tersendiri. Mempelbagai dan memperkayakan uisa dan kedudukan kita. Status kita sebagai siapa kita yang sebenarnya. Status kita menjadi unik jika kita mengungguli pengalaman yang terhimpun menjadi suatu senarai yang bermanfaat.


Penulis sudah bersara selama 12 tahun. Sudah melalui transisi antara berkerjaya dan bersara. Perubahan yang dirancang. Yang dijangka. Yang diambilkira sebagai suatu yang pasti. Allah memberikan peluang untuk menyediakan diri supaya persaraan bukan suatu setback. Bukan kemurungan yang datang secara tiba-tiba. Bukan menjangkakan ketidakseimbangan dalam kehidupan. Seharusnya transisi antara berkerjaya dan bersara mestilah santai. Licin dan tidak mendebarkan. Hanya mereka yang melalui proses bersara mengetahui dengan pasti bahawa transisi itu bukan semua orang dapat melaluinya. Bukan semua orang dapat bertahan lama. Bukan semua orang dapat selesa dengan keadaan. Percayalah, bahawa kesemuanya Allah yang tentukan. Kita hanya menerima ketentuan itu. Kena banyak bersyukur. Kena banyak berdoa. Kena banyak memohon ampun dariNya. Menerima dengan redha apa sahaja yang didatangkan kepada kita kerana itulah yang paling baik untuk kita mengikut ukuran Allah. Bukan ukuran kita. Ukuran manusia terlalu daif. Terlalu shelfish. Kita pentingkan diri kita sendiri.  Allah pula memberikan keadilan yang sesuai dengan diri kita pada hakikatnya.


Kembara penulis bukan untuk diri sendiri. Selagi bersama sesama yang memerlukan ada sahaja sumbangan yang perlu dihulur. Siapapun tidak menjangka bahawa persaraan bukan penamat segala-galanya. Masih banyak yang perlu dibuat. Kata orang agenda belum tamat. Perjuangan belum selesai kata orang pamdai-pandai. Malah kadang-kadang hal dunia yang menggamit keperluan diri. Begitulah apabila penulis berada di bumi anbia ini. Rupanya Mesir memerlukan sumbangan. Kaherah menjengah pengalaman lama. Minggu lalu (hari Selasa 12 November 2013) penulis berada di Kedutaan Besar Malaysia bersama isteri dan beberapa orang pelajar Malaysia di Kaherah. Membantu mereka meluruskan liku dan sudut yang dihadapi mereka sebagai pelajar. Hampir sehari suntuk bersama Pengarah EME (Education Malaysia Egypt). Pada awal pagi diadakan pertemuan di kedutaan. Kemudian pada tengaharinya dari kedutaan terus ke Universiti Al-Azhar. 


Berada di luar negara bukan suatu keistimewaan. Bukan juga terpinggir. Kesemuanya terpulang kepada apa yang dapat kita sumbangkan. Kita tidak boleh membawa ukuran kita apabila di tempat orang. Ada budaya dan resamnya yang tersendiri. Hal-hal yang sudah mendarah daging kepada orang lain tidak mudah dikikis.  Tidak mudah untuk melunturkannya. Benang yang dalam tepung jangan menyerakkan tepung apabila ditarik benang itu. Kebiasaan di negara kita tidak biasa di negara orang. Sistem kita yang terkehadapan tidak berada di negara ini. Rasanya tidak ada IPT di Malaysia yang membebankan pelajar. Urusan pentadbiran mungkin ada cacat celanya di sana sini tetapi itu hanya kecelaruan sementara. Tidak berkekalan. Ada inovasi. Ada kreativiti. Ada inisiatif untuk berubah. Di negara maju banyak hal yang dilihat terlalu sempurna. Cantik dipadang. Sedap didengar. Itupun mereka masih mencari ruang untuk memperbaiki keadaan. Tidak kekal duduk dalam zon selesa. Terus menjana idea baru. Menjual pendapat baru. Bila ada peluang mengkomersilkan apa sahaja yang baru.



Alhamdulillah sumbangan yang sedikit memberi manfaat. Mengubat sedikit kemurungan pelajar. Tanpa perancangan yang tertentu rupanya penulis dan isteri mewakili ibu bapa yang berada di Malaysia. Mereka tidak tahupun apa yang berlaku. Rombongan kami dilayan serapinya oleh Pengarah EME. Datuk Prof Madya Dr. Hj. Su’aidi Dato’ Hj. Safei  dan pembantunya melayan kami dengan sempurna. Makan sawarna hingga kenyang. Tidak terdaya lagi menjamah donat. Kami ingin dijamu makan nasi tetapi waktu terlalu awal. Restoran orang Mesir lewat dibuka. Terima kasih banyak-banyak Datuk. Terima kasih EME dan Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah.

Thursday, November 28, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Mercutanda Yang Merobohkan




Apabila disebut pembangunan yang terlintas di minda kita ialah lebuhraya yang besar dan panjang. Bangunan yang gah dan tinggi. Kecantikan dan keceriaan yang bergemerlapan. Lampu neon yang berjajaran. Terang dan pancawarna. Pepohon dan bunga-bungaan berselang seli di taman dan di tepian jalanraya. Rumah tersergam besar. Kenderaan panjang dan besar. Pakaian berjenama yang dinilai cantik. Begitu juga pejabat kerajaan yang agam. Gedung perniagaan yang berbentuk mega.  Hospital yang bertingkat-tingkat. Sekolah dan institusi pendidikan yang penuh teknologi. Hotel menjulang langit. Pusat hiburan berceracak. Maka manusia berpersepsi  bahagia dalam kegemerlapan itu. Mereka menyangka yang terang itu bersuluh. Yang gemerlapan itu menyinar. Mereka menyangka mentari terang hingga ke petang. Ramai yang lupa bahawa hari ada dua bahagiannya. Siang dan malam. Siang tidak berpanjangan. Malam juga ada gilirannya. Begitu juga mendung dan hujan menyelangi masa. Maka yang terang terlindung jua. Begitu juga rasa bahagia kadang-kadang banyak terlindungnya. Kita banyak bayang-bayang hingga kita tidak tahu bayang-bayang siapa yang kelihatan jelas. Malah mungkin kadang-kadang kita menjadi takut dengan bayang-bayang kita sendiri.


Kita membangun tetapi banyak dasar yang tidak jelas. Kita tahu bahawa Islam adalah agama Persekutuan tetapi kadang-kadang banyak yang tidak menampakkan budaya dan tradisi Islam. Tidak diterapkan dalam kehidupan yang pelbagai budaya. Kadang-kadang seperti terpinggir Islam itu dalam kebanyakan masa. Kita ambil contoh yang sangat praktikal. Umat Islam solat lima waktu. Perlu ada bilik air dan tempat berwuduk. Malangnya tiada standard yang benar-benar standard. Ukuran musollah tidak ada standard. Bilangan pili air tiada standard. Kawalan syarie kadang-kadang tiada di bilik air. Pengguna Muslim kesukaran untuk beristinjak. Untuk membersihkan najis. Dalam pasaraya yang begitu besar tiada musollah yang sepadan dengan pengguna yang sangat ramai. Jemaah terpaksa bersesak-sesak untuk wuduk. Bersesak dan menunggu giliran untuk solat berjemaah. Yang wanita lebih teruk lagi sebab fitrah mereka hendak bersetokin, memakai tudung atau telekung dan berbagai hal yang lain.

Ada yang lebih baik seperti yang penulis perhatikan seperti di Mesir dan Jordan. Masjid atau surau dibina sebanyak mungkin sebagai sebahagian daripada perancangan bandar. Apabila masuk waktu solat, tempat untuk dituju sudah ada. Standardnya boleh ditentukan. Saiznya, bilik air dan keperluannya. Antara pengguna lelaki dan wanita harus ada keupayaan dikenalpasti keperluannya yang khusus. Lelaki dan wanita tidak sama. Hormati dan raikan perbezaan itu. Bilik air wanita umpamanya elok lebih besar sebab mereka perlu masa yang lebih lama. Yang menunggu giliran ramai. Penguna lelaki ringkas masanya kecuali hal-hal yang darurat. Ada dua pendekatan. Pertamanya pihak penguasa atau pemerintah menyediakannya berhampiran dengan premis perniagaan. Atau keduanya, premis perniagaan menyediakan musollah dengan standard yang ditentukan. Ianya suatu keperluan pelanggan Islam yang jumlahnya juga ramai walaupun kuasa beli mereka mungkin tidak sehebat mereka yang bukan Islam. Ianya juga untuk menghormati Islam sebagai agama Persekutuan dan untuk meraikan pengguna Islam.


Agama Islam hendaklah dijadikan agama pelindung. Budaya dan tamaddun Islam diperkembangkan secara praktikal. Hal-hal yang sekecil-kecilnya diambil kira. Difikirkan sehingga yang terlalu kecil. Ia menjadi didikan. Menjadi ikutan. Menjadi sesuatu yang dilumrahkan. Di Barat banyak konsep yang islamik walaupun mereka bukan berkerajaan Islam. Walaupun di negara mereka Islam bukan agama negara mereka. Pergilah ke Jepun. Pergilah ke Korea. Pergilah ke USA atau Canada. Persekitaran tuntutan Islam banyak dilihat. Kita tidak bincangkan maksiat. Kita fokus kepada sistem hidup mereka yang sistemik. Budaya mereka yang banyak luhurnya seperti pentingnya menjaga kebersihan dan kemurnian alam sekitar. Susunatur persekitaran. Pemeliharaan persekitaran. Banyak lagi yang perlu dilaksanakan di negara kita. Ianya menjadi ukuran maju dan terkehadapan. Mercutanda hanya binaan kaku dari batu. Dari konkrit. Dari besi. Dari kayu. Banyak bahan lain yang kaku. Penghuninya dan pengunanya yang perlu dijadikan insan-insan penyayang, peka dan berinisiatif untuk menjadikan persekitaran lebih bersih. Lebih murni. Lebih selesa. Lebih membahagiakan.


Bangunan tinggi sudah menjadi suatu trend. Tanah semakin mahal. Ruang semakin sempit. Maka mereka yang tinggal di menara-menara tinggi harus berubah paradigmanya. Berbudaya seperti orang di kayangan. Menjaga keperluan berumah tinggi. Sampah diurus seperlunya. Tidak boleh dicampak keluar melalui tingkap dan pintu. Tidak boleh mencurah air sesuka hati. Apabila rumah tinggi maka angin juga bertiup lebih kencang. Apa-apa yang dilempar keluar ditiup masuk ke rumah orang kain di tingkat yang lebih rendah. Termasuk juga air, puntung rokok dan air dari sidaian kain. Jika orang di atas menjaga hal-hal sepertinya maka orang di bawah menikmati hidup yang lebih selesa. Lebih terjamin selamatnya dari gangguan yang menyesakkan hati dan nafas. Gangguan social yang tidak menentu sebegitu perlu dihindarkan untuk hidup bersama. Belajar untuk hidup bersama.


Banyak mercutanda yang berbentuk mega. Kosnya jutaan ringgit. Bukan puluh juta tetapi ratusan juta. Mercutanda seharusnya membangunkan pemikiran mereka yang melihatnya. Mencetuskan keinginan untuk mengembangkan pendidikan. Membesarkan ruang keusahawanan. Berfikiran jauh melangkah ke hadapan. Mercutanda itu bukan sebagai pameran mati dan kaku. Harus ada gagasan untuk membina budaya positif. Tinggi, besar dan pancaguna. Jika besar hanya besar dari segi saiz maka manfaatnya terlalu kecil. Hanya penggunanya sahaja yang naik dan turun. Ianya tidak memberikan impak pendidikan, keusahawanan atau pelacongan. Penulis teringat kaum ‘Ad iaitu kaum Nabi Hud di selatan Yamen. Mereka membina tiang dan menara sebagai mercutanda yang hebat. Tinggi dan mengkagumkan. Lambang kehebatan senibina mereka. Juga lambang ego mereka. Lambang dan ego tidak memberi manfaat. Allah musnahkan kesemuanya. Tertimbus di bawah pasir selama beribu-ribu tahun. Apabila mercutanda dibina tanpa syarie maka kemusnahan menanti. Sewajarnya setiap sesuatu itu ada gunanya. Banyak manfaatnya. Memberi kewajaran pembinaannya atau kewujudannya. Jika tidak Allah yang berhak ke atas binaan dan mercutanda itu.


Kita sudah lama bercerita tentang yang besar, gah dan mega. Apabila kita dekati banyak lompang agama dan budaya yang terpinggir. Jika dasar tidak digubal maka hal-hal yang tertinggal itu semakin jauh di belakang. Jika tidak difikirkan sekarang maka ianya menjadi sesuatu yang asing bila tiba keperluannya. Kadang-kadang kita hanya perlu duduk sebentar. Pandang kanan dan kiri. Apa masalah yang kita hadapi secara peribadi. Itu juga yang dihadapi oleh orang lain. Maka masalah seperti itu yang perlu kita selesaikan. Tidak perlu yang mega-mega. Kita solat di ruang yang sempit. Perlu diperluaskan. Untuk wuduk tidak banyak pili air. Perlu dibanyakkan. Tidak ada selipar untuk wuduk. Beli dan tambah. Bilik wuduk wanita mestilah di dalam kawasan musolla itu sendiri. Kita membantu wanita melindungi aurat mereka. Bukan di luar. Terlalu ramai yang terdedah auratnya.



Majulah. Binalah mercutanda pembangunan yang gah dan mega. Yang besar dan menjulang langit. Tetapi jangan lupa yang dasar. Hukum yang asasi. Praktiliti yang paling kecil. Mudah-mudahan Islam bukan hanya pada nama tetapi dilihat dan ada dalil kewujudannya selain dari masjid, Al-Quran, pakaian dan makanan umpamanya. Fikir dan fikirkan. Pengguna lebih tahu dari perancangnya. Beri input yang positif dan membina. InsyaAllah akan banyak kebaikannya kepada kita semua. Yang paling diperlukan ialah political will.

Saturday, November 23, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Merehatkan MInda Sebentar



1.     Antara panas dan sejuk manusia tidak mahu membuat pilihan. Panas merimaskan. Sejuk pula membekukan. Cuma, manfaatkan keduanya. Di sana banyak keindahan di dalam panas dan sejuk.

2.     Setiap tempat ada kelebihannya. Berada di tempat yang berlainan memberi ruang untuk membesarkan Allah Yang Maha Kuasa untuk menciptakan berbagai-bagai perbezaan yang dapat ditatap dengan mengerti.

3.     Bagi yang berkeupayaan, kembara merentas benua adalah yang terbaik untuk melihat sendiri secara dekat apa sahaja yang menarik minat. Bagi yang lain peluang itu barangkali lebih murah. Banyakkan membaca dan menontonnya melalui media elektronik. Satu sahaja kekurangannya. Melihat sendiri berbeza dengan yang dilihat oleh orang lain.

4.     Tidak nampak bukan tidak tahu. Tidak tahu bukan bermakna tidak nampak. Nampak dan tahu tentulah berbeza. Namun nampak dan mengetahui tentulah yang terbaik.

5.     Memancarkan apa yang kita lihat kepada orang lain bukannya mudah. Kita hanya memancarkan apa yang kita fikir itulah yang orang lain ingin lihat. Kita lupa aspek tentang apa yang orang lain ingin lihat. Divergen itulah yang selalu tidak kongruen.

6.     Benarkah kita tidak banyak masa? Cuba fikirkan:
Kita bekerja orang lain bermain.
Kita sibuk orang lain santai sahaja.
Kita terkejar-kejar orang lain berehat.
Kita ke hulu dan ke hilir orang lain terpacak di tempat yang sama.
Kilang tidak pernah berhenti tetapi pekerjanya mencuri tulang.
Siang malam ayah mencari rezeki, anak-anak makan dan tidur.
Ramai orang yang ketawa, ramai lagi yang menangis.
Ramai yang makan sedikit bayarannya mahal, ramai yang tidak makan walaupun percuma.
Ramai yang kaya tetapi tidak makan, ramai yang tidak kaya bebelanja melebihi pendapatan.

Siapa yang banyak masa.
Siapa yang tiada masa.

Mereka yang banyak masa, masa hadapannya cerah.
Mereka yang bersungut tiada masa, tertimbus dalam timbunan sungutannya.

Siapa yang banyak kerja, rezekinya banyak.
Siapa yang kurang kerjanya, rezekinya menguncup.

Mereka yang menggunakan masa, lapang hidupnya.
Mereka yang tiada masa, hidupnya sempit dan perit.

Kebanyakan kita hanya bermain dengan kata-kata yang tidak dimengerti.

7.     Kita memilih yang terbaik tetapi pilihan kita tidak selalunya tepat. Ada orang tidak memilih tetapi mendapat apa yang dihajat. Jangan lupa menyebut insyaAllah setiap kali berhajatkan sesuatu.

8.     Dalam rugi ada untung. Pengalaman menerima kerugian adalah suatu keuntungan. Dalam untung ada rugi. Tidak mendapat lebih banyak dari yang sepatutnya seperti dijangka. Mengerti untung dan rugi penting untuk membuat perbandingan yang memberi keinsafan.

9.     Tidak sampai bermakna belum selesai agenda. Sudah sampai bermakna ada lagi tahap yang perlu dicapai. Yang belum dicapai bukan yang terakhir untuk dicapai pada masa hadapan.


10.          Agenda, untuk dicapai. Usaha, untuk menyusun agenda. Perubahan adalah agenda  yang paradigmanya membuka ruang untuk perubahan yang lebih banyak dan lebih baik.

Friday, November 22, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Mencari Ahmad Ammar Yang Syahid




Rasanya penulis bukan bersendirian. Semasa hidupnya penulis tidak pernah kenal pemuda yang bernama Ahmad Ammar. Hanya setelah dia tiada beritanya dibaca. Gambarnya ditatap. Videonya diulang tonton. Namanya diulang sebut. Imej dirinya bermain di minda.  Sebaknya hati tiada siapa yang melihat. Debarnya yang menggoncang perasaan tiada siapa yang merasa. Penulis kira ramai pembaca yang merasai perasaan yang sama. Kita kehilangan seorang Ahmad Ammar yang besar namanya. Namanya yang ditinggalkan menyuburkan semangat manusia lain yang jauh dari negaranya. Jauh dari kampung halamannya. Jauh dari keluarganya. Jauh dari orang-orang yang pernah dekat darinya. Hatta rakan-rakannya. Hatta guru-gurunya. Hatta jiran tetangganya.


Apabila seorang insan disayangi Allah, maka malaikat menyayanginya. Maka manusia juga menyayanginya. Kita tidak tahu sayang Allah kecuali rohnya diangkat ke sisiNya. Kita tidak tahu sayang malaikat kerana kita tidak melihatnya. Tetapi Allah perlihatkan sayang Allah melalui manusia. Waktu matinya namanya menyegar. Namanya mewangi. Orang tidak kenal semasa hidupnya tetapi orang lain menjadi gempar ketika matinya. Mereka yang kenal belum tentu dapat bersama jenazahnya. Namum Allah memperlihatkan bagaimana jenazahnya disolatkan oleh ulamak. Diimamkan oleh imam yang hebat. Dikhutbahkan oleh ulamak yang terkenal. Air mata yang hadir berjurai-jurai membasahi namanya yang ditinggalkan. Mereka yang tidak kenal Ahmad Ammar menangis kerana gembira atas pemergiannya yang diredhai Allah. Gembira kerana Allah menyayanginya. Insan pilihan yang diaksihi Allah. Diambil rohnya ketika perjuangannya segar di hati manusia. Manfaat yang disebarkan melampaui taraf sosial. Melampaui tembok bangsa. Melampaui tembok politik negara. Menginsafkan yang tua, dirindui oleh yang dewasa. Menjadi penjana semangat kepada yang muda.


Allah Akbar. 1 Muharram 1435H. Pusaranya luarbiasa. Rakyat Turki sendiri tidak semudah itu dimakamkan di permakaman ternama yang dikhususkan untuk para sahabat Rasulullah saw. Para syahada’ yang perjuangan mereka tidak lagi tergambar besarnya di mata kita. Kita sendiri jarang mengingati mereka. Tidak tahu kewujudan mereka di bumi Turki. Bumi yang meramaikan anak-anak Nabi Nuh as. Bumi yang darinya melangsungkan ramainya anak keturunan Ham yang ke Afrika. Keturunan Yapith yang ke timur. Keturunan Sam yang kekal di Jazirah Arab dan ke Eropah. Keistimewaan Jenazah Ahmad Ammar sangat luarbiasa di Turki. Diberi penghormatan yang teristimewa. Jasadnya disemadikan di Perkuburan Eyub Sultan. Suatu tanah perkuburan yang menempatkan lebih 60 jasad para sahabat Rasulullah saw. Yang lebih istimewa ialah jasadnya bersebelahan Abu Ayub Al-Ansari, sahabat istimewa Rasulullah saw. Sesungguhnya manusia yang istimewa diberi keistimewaan yang sememangnya istimewa.


Seorang pemuda yang merantau jauh dari kampung halamannya menempa nama yang tidak pernah terlintas oleh orang lain. Usia 20 memperlihatkan kehebatan sumbangannnya kepada manusia lain. Tangan yang mengusung jenazahnya terlalu banyak. Bersilih ganti ingin bersamanya. Kebersamaam yang terakhir bagi keberadaannya di dunia yang terlalu fana ini. Sentuhan tangan yang begitu banyak ke keranda jenazahnya tidak lagi terbilang. Air mata dan genangannya mengiring sepanjang perjalanan terakhirnya. Yang hadir di permakanannya terlalu ramainya. Seorang pemuda yang dikasihi Allah melampaui seorang ternama. Melampaui seorang yang kehebatannya telah diwar-warkan. Mereka yang tidak mengenalinya ingin bersamanya pada kali terakhir perjalanannya menemui Yang Khaliq. Allah Rabbul Jalil yang menantinya. Hati siapa yang tidak sebak mengiringi perjalanannya ke alam barzah. Meninggalkan kesemuanya yang fana di dunia ini. Meninggalkan segala-galanya yang dikasihinya. Tetapi sewaktu hidupnya dia tidak mengimpikan balasan. Dia hanya ingin berbakti dengan kudrat yang ada. Dengan masa yang ada. Dengan ruang dan peluang yang ada. Ke mana kaki dilangkah ada jasa yang ditinggalkan. Di mana dia berada ada orang yang lain yang menerima manfaat kehadirannya. Dia mencipta kehebatan. Dia membina kemanusiaan yang tidak ada tolok bandingnya. Hanya pada usia 20 tahun.


 Penulis teringat seorang lagi Ammar pada zaman sahabat. Pada waktu Islam mula didakwahkan di Kota Mekah. Imannya menyubur kuat. Akidahnya tinggi mengawan. Mengharap hanya kepada Yang Maha Kuasa. Didampinginya agama yang menolak anutan datuk neneknya. Berbagai halangan dan cabaran kaum Quraisy dihadapinya. Kedua ibu dan bapanya diseksa dan dibunuh dengan kejam oleh kaum musyrikin. Pembunuhan itu pula di hadapan matanya sendiri. Ditatap dengan kedua matanya sendiri. Dihadap sendiri. Ibu dan bapanya yang dikasihi dibunuh tanpa belas kasihan. Namun imannya tidak goncang. Barangkali ada persamaan antara keluarga Yasir bapa Ammar dengan keluarga Tuang Haji Ahmad Azam. Keluarga adalah tonggak yang menegakkan anak-anak ke jalan yang diredhai Allah. Memberi manfaat kepada manusia. Benarlah bagaimana acuan begitulah kuihnya. Acuan keluarga Yasir dan keluarga Tuan Haji Ahmad Azam menatijahkan anak lelaki yang tinggi perjuangannya. 


Zaman kini seperti menghadirkan suatu keganjilan apabila kita dimaklumkan adanya seorang pejuang yang syahid. Kita selalu hanya tergambar syuhada’ yang gugur  di medan perang. Kita lupa bahawa medan perjuangan terlalu banyak selain dari berperang. Sebagai ibu dan bapa kita selalu lupa untuk melahirkan pejuang sehebat Ahmad Ammar. Kita selalu berjangka pendek. Wawasan kita tidak jauh. Kita melahirkan anak-anak hanya untuk berkerjaya. Hidup senang di dunia. Kita lupa ada kehidupan yang lebih lumayan dari hanya berkerjaya. Keluarga Tuan Haji Ahmad Azam telah berusaha ke arah itu. Hasilnya sangat mengujakan. Satu-satunya anak lelakinya diangkat Allah setinggi itu. Anak lelaki tunggal yang selalunya diletakkan sepenuh harapan. Allah memberikan rezeki syuhada’ pada anaknya. Ahmad Ammar tidak akan hilang dari ingatan. Tidak akan dilupakan oleh bakal pejuang yang lain. Penulis sangat yakin Ahmad Ammar terus hidup bagi seluruh keturunan Tuan Haji Ahmad Azam.


Pemergian Ahmad Ammar seharusnya menjana lebih banyak usaha untuk melahirkan lebih ramai lagi anak-anak muda sehebat Ahmad Ammar. Anak-anak muda seangkatan sepertinya tidak dilahirkan terus menjadi hebat secara automatik. Ia melalui didikan dan asuhan. Ada sentuhan ibu bapa yang perihatin. Yang memandang jauh ke hadapan untuk melestarikan kehadiran anak-anak yang perjuangannya untuk Allah dan kerana Allah. Ibu bapa berperanan besar untuk melahirkan anak-anak yang hebat agamanya. Hebat perjuangan dakwahnya. Peranan ibu bapa sangat besar untuk mencorakkan masa hadapan anak-anaknya. Masa hadapan harapan keluarganya. Perlu ada agenda yang matang. Agenda yang hebat. Agenda yang membawa anak-anak merentas sebarang halangan demi agama dan kelangsungannya. Demi Allah Yang Maha Pencipta.


Seorang Ahmad Ammar telah menunjukkan jalan yang perlu dituruti oleh ramai lagi bakal-bakal terciptanya Ahmad Ammar yang lain. Yang semangatnya membakar perjuangan agama. Perjuangan kerana Allah dan RasulNya. Kita tidak membiarkan semangat Ahmad Ammar yang ditinggalkan diabaikan sebegitu sahaja. Perlu ada yang mengusahakan untukk memperbanyakkan dokumentari mengenai allahyarham. Dokumentari yang memperincikan asuhan dan sentuhan hebat Tuan Haji Ahmad Azam. Kejayaannya membangun seorang anak lelaki sehebat Ahmad Ammar. Perlu ada suatu sudut di mana-mana yang menempatkan sejarah Ahmad Ammar. Sejarah yang menjadi gamitan anak-anak muda lain supaya membina kehebatan seperti Ahmad Ammar. Dalam zaman teknologi yang penuh fitnah ini kesedaran tinggi perlu dideduktikkan dari kepergian Ahmaad Ammar.


Semangat seperti yang dilakarkan oleh allahyarham Ahmad Ammar bukan semestinya untuk orang muda sepertinya sahaja. Orang dewasa juga perlu mengambil semangatnya supaya usia bukan penghalang. Tua bukan penamat untuk menjadi seperti Ahmad Ammar. Banyak kelekaan yang mengekang kita. Banyak kealpaan yang menyungkup kita. Ruang lingkup kita telah lama disempitkan. Banyak yang terhijab dari pandangan mata kasar kita. Mata kita teralih memilih yang lain. Yang bukan hak. Yang bukan hakiki. Yang lumrahnya biasa. Barangkali antara hijab yang sangat besar ialah hedonism. Hidup berhibur hanya untuk memuaskan diri. Mencari kepuasan sementara. Dunia apabila dikejar semakin menjauh. Semakin sukar dikejar. Semakin sedikit yang dikecap. Barangsiapa mengejar akhirat sangat cepat dekatnya. Sangat banyak himpunannya. Sangat membahagiakan kesudahanannya. Allahu Akbar.



Penulis ingin berpesan kepada seluruh keturunannya supaya membentuk semangat Ahmad Ammar. Semangat Bilal. Semangat Ammar bin Yasir. Semangat pejuang-pejuang terdahulu yang namanya terpahat indah menebari zaman. Hidup perlu banyak perjuangan. Perlu banyak yang dikongsikan dengan orang lain. Perlu mencari apa sahaja yang bermanfaat untuk dicurahkan kepada orang lain. Kita hanya mampu mencari yang sedikit. Kepada orang lain ia kelihatan banyak. Cucu-cucu atuk semua, hidup bukan sekadar bersenang-senang. Banyak yang perlu dilaksanakan. Pelru banyak yang diusahakan. Perjuangan ke jalan Allah sebenarnya banyak senang dari susahnya. Yang penting ialah pengertian bahawa akhirat adalah lebih lumayan dari dunia. Akhirat adalah hakiki. Dunia hanya kilauan dan banyak ilusinya.

Tuesday, November 19, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Selamatkah Yang Namanya Aman?




Apabila dikatakan KL antara bandaraya tidak selamat di dunia tentu kita rasa tersentak. Penghuni KL seperti tidak merasa apa-apa. Kehidupan seperti biasa. Kesemuanya mesti diteruskan. Kelangsungan hidup. Di sebalik ketenangan itu pelancong mengelak dari datang ke KL. Destinasi yang sedang gagah dibangunkan. Apabila jenayah tidak dapat dibendung maka akibatnya semua rakyat Malaysia yang menanggungnya. Aibnya. Ruginya. Masa hadapannya. Apabila keadaan dikatakan tidak selamat tentu ada indeksnya. Ada petunjuknya. Rakyat biasa tidak dapat melihat indeks itu. Tidak mengetahui apa sebenarnya jenayah yang disenaraikan sebagai jenayah. Apa jenis jenayah yang meningkat. Kerana tidak mengetahui, rakyat tidak juga mengetahui kaedah terbaik untuk membendungnya. Atau untuk mengelak dari ditimpa tempias jenayah itu sendiri. Berita yang terpapar di media cetak dan media elektronik hanya cebisan kisah jenayah yang bilangannya sukar dikira. Kita hanya diberitahu mengenai statistiknya sahaja. Angka yang sukar diterjemahkan bilangannya yang sebenar. Data mentahnya tiada. Jenayah yang mana paling kritikal. Jenayah mana yang kian meningkat. Kadang-kadang berita terpilih yang kita dengar atau baca tidak membantu untuk membina pertahanan diri untuk keluarga. Untuk anak-anak. Untuk kejiranan kita.


Penulis tidak pasti apa impaknya apabila KL diletakkan di tempat keenam bandaraya paling tidak selamat di dunia. Kita juga tidak tahu kayu ukur yang digunakan. Variabel yang dikaji. Apabila setiap hari ada pembunuhan mungkin dakwaan itu benar. Pembunuhan pula bukan calang-calang. Kekejaman yang melampau. Apabila kes ragut menjadi-jadi tentu sahaja ramai orang yang rasa tidak selamat. Senarainya terlalu panjang. Untuk membacanya kelu lidah. Untuk memandangnya mata berpinar sebentar. Semakin hari jenayah yang berlaku semakin menggugat. Jika dahulu jenayah ini dilakukan warganegara, sekarang ramai pula pendatang yang galak melakukannya. Lalu kita bertanya, setakatmana keselamatan kita semua. Kita pun bukan perlukan jawapan. Tiada jawapan yang boleh memberi kepastian. Pada hakikatnya banyak benar yang menjadikan kita terlalu bimbang tentang keselamatan diri kita. Jika kita membuka teropong jauh kita, akan kita dapati bahawa  masalah keselamatan ini sudah membiak dan menyulitkan untuk dibanteras. Mungkin kita boleh fikirkan dari dasar. Melihat isu ini dari peringkat yang paling dasar. Peringkat mulanya.


Penulis merasa kesemuanya bermula dari rumah. Dari rumahtangga. Istilah rumahtangga ini pula memberikan konotasi yang berbagai. Sebuah rumah adalah rumahtangga sepasang suami dan isterinya. Sebuah taman atau kampung adalah rumahtangga sebuah kariah. Mukim adalah rumahtangga seorang penghulu. Daerah adalah rumahtangga kepada seorang Pegawai Daerah. Negeri adalah rumartangga seorang Menteri Besar atau Ketua Menteri. Sebuah negara tentunya menjadi rumahtangga seorang Perdana Menteri atau Presiden. Maknanya jika semua rumahtangga tersebut terjaga maka amanlah negara. Dalam setiap rumahtangga ada pula pembantu-pembantu dalam berbagai kapasitinya. Ada yang khusus menjaga keamanan. Khusus menjaga keselamatan. Seorang bapa adalah segala-galanya kepada sebuah rumahtangga.  Mungkin ibu tunggal memainkan peranan itu. Mungkin abang. Mungkin kakak. Semua warganegara datangnya dari sebuah keluarga kecil. Terceruk di sudut desa. Di penjuru sebuah taman. Sebuah pangsapuri. Sebuah banglow di atas bukit. Sebuah villa di tepian pantai. Atau mungkin juga sebuah pondok yang memangnya tidak selamat dari segala ancaman.


Semua yang menjadi warganegara dilahirkan dari perut ibu. Dibelai dari kecil. Membesar menjadi kanak-kanak, remaja dan dewasa. Seorang insan dipengaruhi oleh nasab keturunannya dan alam sekitarnya. Seharusnya sebuah rumahtangga boleh membentuk seorang bakal warganegara yang bermanfaat. Selama anak-anak masih duduk bersama ibu bapa selama itulah peluang besar yang perlu dimainkan oleh ibu dan bapa untuk memberi warna kepada anak. Memberi corak yang diidamkan. Memberi nilai kepada harga dirinya. Nilai entitinya. Nilai jati dirinya. Banyak yang perlu dibuat. Bukan sahaja membesarkan tubuh fizikalnya bahkan minda sihatnya. Akhlaknya. Jalan fikirnya. Keperihatinannya tentang kelangsungan keturunannya. Tentang bangsanya. Tentang agamanya. Tentang masa hadapan negaranya. Apabila anak-anak itu diserahkan kepada guru-guru maka guru-guru menambahkan peranan itu. Memperkukuh usaha ibu bapa. Kedua pihak perlu segerak. Bukan bercapah mengikut haluan masing-masing. Ibu bapa pula tidak boleh lepas tangan ketika anak-anak di bawah kendalian guru. Pengawasan dalam proses membina minda intelek tidak boleh dipindahkan kepada sesiapa. Tetap kekal di bahu ibu dan bapa. Sebab itu bakal ibu bapa perlu banyak belajar. Ibu bapa muda perlu banyak belajar. Ibu dan bapa pada setiap fasa kehidupan mereka perlu banyak belajar dari pengalaman orang lain. Juga berkongsi pengalaman diri bersama orang lain.


Anak kita yang pertama kali melangkah keluar dari rumah secara rasmi kerana pergi ke sekolah perlu dilengkapi dengan “amal ma’ruf nahi mungkar”. Beramal dengan yang baik dan mencegah kemungkaran. Paling besar ialah mencegah kemungkaran dari dirinya. Anak-anak Muslim seharusnya kebal kerana telah dibina dinding agama. Bagi yang bukan Muslim pendidikan Moral perlu dijadikan instrumen penting membina warganegara masa hadapan yang ampuh. Menghargai alam sekitarnya. Semua yang perlu dikongsi bersama warganegara yang lain. Penulis ingin mengulang kata. Tanggungjawab membina akhlak mulia ditanggung oleh ibu dan bapa. Guru-guru hanya membantu. Anak-anak kita tidak lama di sekolah. Mereka banyak bersama ibu dan bapa. Di rumah. Di sekeliling kita. Maknanya anak-anak kita hendaklah kita yang mengawal. Bukan jiran. Bukan guru. Bukan polis. Bukan siapa-siapa kecuali ibu dan bapa. Tanggunhgjawab itulah yang perlu dipikul semasa melafazkan “Aku terima nikah ………” dahulu. Tanggungjawab besar meramaikan umat terdidik yang berakhlak mulia. Warganegara yang membina.



Ramai anak-anak yang pintar berlakon di hadapan ibu dan bapa. Di sekolah perangainya berlainan. Bersama rakan-rakannya dia berubah menjadi anak yang lepas bebas tanpa akhlak. Ibu bapa seharusnya perlu menjadi perisik untuk memantau anak-anak yang berada di luar rumah. Percayalah apabila guru memperkatakan tentang anak kita. Guru menghadapinya setiap hari. Memang berlian itu bercahaya tetapi ada ketikanya ia kusam perlu digilap. Siapa yang perlu menggilapnya. Tentunya pemilik berlian itu. Jika berlian itu anak yang kita kasihi maka sebagai pemiliknya ibu bapalah yang perlu sentiasa menggilapnya. Bukan orang lain yang bukan pemiliknya. Bukan hak mereka untuk melakukan sedemikian. Sebab itu sebagai ibu bapa peranan membina akhlak anak tidak pernah sudah. Tidak pernah habis. Tidak ada noktahnya. Malah yang sudah berumahtangga perlu dilihat dari dekat dan jauh. Perlu ada pesanan-pesanan sebagai bekalan hidup masa hadapan. Allahu Akbar, ibu dan bapa tidak pernah terlepas dari tanggungjawab itu. Banyak disoal di akhirat nanti. Allah yang menyoalnya. Oleh itu sediakanlah jawapan sebelum sampai waktunya nanti kita dihadapkan kepadaNya.