Saturday, November 23, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Merehatkan MInda Sebentar



1.     Antara panas dan sejuk manusia tidak mahu membuat pilihan. Panas merimaskan. Sejuk pula membekukan. Cuma, manfaatkan keduanya. Di sana banyak keindahan di dalam panas dan sejuk.

2.     Setiap tempat ada kelebihannya. Berada di tempat yang berlainan memberi ruang untuk membesarkan Allah Yang Maha Kuasa untuk menciptakan berbagai-bagai perbezaan yang dapat ditatap dengan mengerti.

3.     Bagi yang berkeupayaan, kembara merentas benua adalah yang terbaik untuk melihat sendiri secara dekat apa sahaja yang menarik minat. Bagi yang lain peluang itu barangkali lebih murah. Banyakkan membaca dan menontonnya melalui media elektronik. Satu sahaja kekurangannya. Melihat sendiri berbeza dengan yang dilihat oleh orang lain.

4.     Tidak nampak bukan tidak tahu. Tidak tahu bukan bermakna tidak nampak. Nampak dan tahu tentulah berbeza. Namun nampak dan mengetahui tentulah yang terbaik.

5.     Memancarkan apa yang kita lihat kepada orang lain bukannya mudah. Kita hanya memancarkan apa yang kita fikir itulah yang orang lain ingin lihat. Kita lupa aspek tentang apa yang orang lain ingin lihat. Divergen itulah yang selalu tidak kongruen.

6.     Benarkah kita tidak banyak masa? Cuba fikirkan:
Kita bekerja orang lain bermain.
Kita sibuk orang lain santai sahaja.
Kita terkejar-kejar orang lain berehat.
Kita ke hulu dan ke hilir orang lain terpacak di tempat yang sama.
Kilang tidak pernah berhenti tetapi pekerjanya mencuri tulang.
Siang malam ayah mencari rezeki, anak-anak makan dan tidur.
Ramai orang yang ketawa, ramai lagi yang menangis.
Ramai yang makan sedikit bayarannya mahal, ramai yang tidak makan walaupun percuma.
Ramai yang kaya tetapi tidak makan, ramai yang tidak kaya bebelanja melebihi pendapatan.

Siapa yang banyak masa.
Siapa yang tiada masa.

Mereka yang banyak masa, masa hadapannya cerah.
Mereka yang bersungut tiada masa, tertimbus dalam timbunan sungutannya.

Siapa yang banyak kerja, rezekinya banyak.
Siapa yang kurang kerjanya, rezekinya menguncup.

Mereka yang menggunakan masa, lapang hidupnya.
Mereka yang tiada masa, hidupnya sempit dan perit.

Kebanyakan kita hanya bermain dengan kata-kata yang tidak dimengerti.

7.     Kita memilih yang terbaik tetapi pilihan kita tidak selalunya tepat. Ada orang tidak memilih tetapi mendapat apa yang dihajat. Jangan lupa menyebut insyaAllah setiap kali berhajatkan sesuatu.

8.     Dalam rugi ada untung. Pengalaman menerima kerugian adalah suatu keuntungan. Dalam untung ada rugi. Tidak mendapat lebih banyak dari yang sepatutnya seperti dijangka. Mengerti untung dan rugi penting untuk membuat perbandingan yang memberi keinsafan.

9.     Tidak sampai bermakna belum selesai agenda. Sudah sampai bermakna ada lagi tahap yang perlu dicapai. Yang belum dicapai bukan yang terakhir untuk dicapai pada masa hadapan.


10.          Agenda, untuk dicapai. Usaha, untuk menyusun agenda. Perubahan adalah agenda  yang paradigmanya membuka ruang untuk perubahan yang lebih banyak dan lebih baik.

No comments:

Post a Comment