Friday, February 1, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Saat Pertama Yang Selalu Mendebarkan

Terbang jauh beribu-ribu kilometer bukan calang-calang kembara. Apatah lagi kembara ke bumi anbia bukan sekadar makan angin. Jihad besar berhijrah mencari diri yang sebenar. Berhajat benar mempelajari bahasa Arab. Fasih menuturkannya. Boleh menyandar harapan menambah ilmu agama. Bagi siapa sahaja yang memulakan sesuatu pasti terasa simpang siur fikiran. Terasa banyak yang perlu direntas. Yang perlu digagahi. Saya pernah belajar bahasa Arab sewaktu mengikuti kursus Sijil Pengajian Al-Quran di Universiti Malaya. Begitu juga sewaktu mengikuti kursus Diploma Eksekutif Pengajian Usuludin. Belajar juga selama 80 jam di Al-Baian yang berpusat di Universiti Malaya. Barangkali belajar sambilan tidak menepati hasrat yang tersimpul di hati. Dalam kelas berusaha menguasai bahasa tersebut. Keluar dari kelas tidak ada suasana yang kondusif untuk mengamalkannya secara istiqamah. Belajar lalu disimpan. Belajar lagi, simpan lagi. Mendap begitu sahaja. Sesekali keluar juga bila keadaan memerlukan.
Untuk memulakan kelas di Jordan ini libang libu juga hati. Bolehkah? Hati ditenteramkan sendiri. InsyaAllah boleh. Jika orang lain boleh tentu saya juga boleh. Masuklah ke kelas dengan berbagai perasaan. Buku teks yang sepatutnya dikaji dari awal sudah masuk mukasurat kelimapuluh. Sudah jauh juga tertinggal berbanding dengan beberapa pelajar yang sudah ada. Banyak kalimah yang tidak diketahui maknanya. Hanya setelah beberapa hari barulah dapat mengulangkaji helaian-helaian yang awal. Di situ banyak kalimah-kalimah yang dibawa ke halaman-halaman  seterusnya. Maknanya kalimah itu diulang-ulang untuk menjadi latihan tubi. Kalimah yang diulang-ulang diharapkan dapat lebih mudah diingat. Begitulah orang yang menghafal al-Quran atau apa sahaja hal yang perlu diingat. Setelah diingat ianya menjadi darah daging. Boleh disebut pada bila-bila masa. Boleh dikeluarkan bila diminta.  Tidak perlu diingat-ingat. Ianya sentiasa berada di bibir. Menunggu untuk disebut.
Berada di bumi anbia ini bahasa Arab menjadi kemestian dalam kelas. Sementelahan pula kelas itu kelas bahasa Arab. Guru yang mengajar boleh berbahasa Inggeris. Hanya sesekali apabila keadaan menyulitkan barulah ia menggunakan bahasa Inggeris. Membantu juga dalam keadaan yang memerlukan. Bermula dari 16.1.2013 kelas baru sebanyak 9 hari. Maknanya sudah 36 jam kerana sehari 4 jam. 3 jam belajar berpandukan buku teks. Membaca dan menulis. Memahamkan karangan. Mengenal pernyataan yang benar dan salah. Setiap hari diadakan (khiwar) perbualan selama sejam. Berganti-ganti guru. Berbagai topik yang dibincangkan. Jadilah seperti siri TV Mind Your Language suatu ketika dahulu. Tunggang langgang menukar dari saya kepada dia (lelaki) dan dia (perempuan). Itu belum yang lalu (madhi) dan arahan (amr). Bagi yang kali pertama mempelajari bahasa Arab mereka sukar memahami bahawa bahasa Arab selalu dikaitkan dengan gender. Anta dan anti berbeza. Ka dan ki berbeza. Mesti ada mudzakar (lelaki) dan mu’annas (perempuan). Susuk bahasa Arab memang begitu. Bila sudah mengenal susuk bahasanya barulah terasa lega sedikit.
Ada kelebihannya belajar di Jordan ini. Di tanahair guru selalu terikat dengan nahu dan sorof. Balik-balik akan pergi ke situ. Pelajar selalunya sukar memahami perlunya menukar itu dan ini. Di Jordan kita membaca buku teks. Dilatihtubi untuk mendengar, mengingat dan mempraktikkannya. Nahu dan sebagainya tidak pernah disentuh. Bila ada pertanyaan guru menerangkan tanpa menyentuh nahu. Lazimnya dikatakan itulah kaedah bahasa Arab. Taukifi. Konsentrasi perlu dalam mendengar. Bunyi-bunyi yang dihasilkan perlu dinisbahkan kepada huruf dan kalimah yang betul. Kadang-kadang perlu teliti antara kalimah yang mengandungi ta marbutoh ( dan) atau tidak. Sebutan guru seperti tidak ada ta tersebut. Apabila sudah dapat menjejak kalimah itu pelajaran menjadi senang. Boleh mengeja dan boleh menyebutnya. Suatu kelainan mempelajari bahasa Arab ialah ejaan seperti sebutan. Tiadan yang lebih dan tiada yang kurang. Bila sukukata itu dipanjangkan sedikit bermakna wujud  , dan . Jika disebut laju bermakna tiada huruf mad. Tidak ada kekeliruan mengenai perkara itu.                    
Lemak manis bahasa Arab hanya mereka yang menguasainya sahaja yang mengetahui. Yang baru bertatih seperti saya hanya baru berharap dapat bermimpi menggunakan bahasa Arab. Bila sudah boleh bermimpi nanti insyaAllah lebih kuat lekatnya. Banyak kalimah dalam bahasa Arab yang disambung dari beberapa kalimah seperti يَٰبُنَيَّ (al-Quran 31:16). Bila disebut sangat lembut bunyinya. Sangat beradab. Sangat mendidik.  Nampak seperti satu kalimah. Sebenarnya ada tiga kalimah yang bercantum.  , ﺒﻨ dan . Ya maksudnya wahai. Ba dan nun maksudnya anak lelaki kesayangan. Ya di hujung bermaksud saya. Dalam bahasa yang dekat, “Wahai anak lelaki kesayanganku.” Dalam bahasa harian kita hatta bahasa rasmi kita tidak pernah bercakap begitu. Itulah bahasa Luqman al-Hakim yang Allah rakamkan dalam al-Quran. Seorang bapa yang mendidik anak lelakinya dengan teladan akhlak yang tinggi. Dalam cerita atau persembahan bangsawan sahaja kadang-kadang kita dengar sultan bertitah dengan kasih sayang kepada anakndanya. Orang awam tunggang langgang bahasa yang digunakan. Tiada akhlak dalam berbahasa. Kelemahan kita mendidik anak.
Mempelajari bahasa Arab, mengkaji al-Quran, mengkaji hadith dan mengkaji ilmuan dan sarjana Islam menemukan kita kepada  akhlak Islamiah yang unggul. Semuanya demi kecintaan kepada Allah kerana Allah menyukai yang baik-baik belaka. Begitu juga tingginya akhlak yang dipamerkan oleh Rasulullah kepada sahabat-sahabatnya. Umar yang begitu bengis menjadi orang yang disegani. Bayangkan syaitan tidak berani mendekatinya. Mafhum sebuah hadith. Apabila orang Islam berakhlak mulia musuh-musuh Islam mati  akal untuk memperlekehkan Islam. Islam sangat sempurna. Allah memperakui Islam agama Muhammad dan umatnya. Jika kita mendalami Islam maka kita pasti menjadi umat yang paling unggul di dunia. Malangnya kita terabai dengan  keasyikan yang dibina oleh musuh-musuh Islam. Mereka mencari jalan menjauhkan kita dari al-Quran. Menjauhkan kita dari bahasa Arab. Mereka menghijab kita dengan berbagai cara dari melihat keindahan Islam.
Marilah kita nilai semula diri kita dalam konteks Islam. Dalam konteks umat Muhammad. Di sana nanti perlu ada usaha untuk kembali membetulkan landasan kita supaya sama lurus  dengan titian sirat. InsyaAllah.

Thursday, January 31, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Yang Baru dan Yang Lama



Banyak berjalan banyak pemandangan. Mungkin banyak pandangan. Terbuka penglihatan. Di tempat baru terdapat sesuatu yang baru. Pengalaman sebegini sudah saya alami bekali-kali. Di negara sendiri sukar kita jumpa hal yang sama. Bila kita ramai kita lupa yang sedikit.  Di tempat sendiri kita dianggap bukan siapa-siapa. Kehadiran kita seperti juga orang lain yang ada. Tiada bezanya. Kita wujud tetapi tidak signifikan. Berbeza apabila kita berada di negara orang. Beberapa orang kita yang ada itulah saudara kita. Jiran kuat kita. Lebih dari darah daging kita sendiri. Tempat bergantung harap. Mereka yang akrab kerana situational. Situasi kerana bilangan yang kecil menjadikan sesama sendiri wujud rasa ingin selalu bersama. Terbina ukhwah yang kukuh sesama sendiri. Kedatangan dinanti dengan minat. Pemergian dihantar dengan mata sayup di kejauhan.
Sebelum seseorang itu datang tentulah banyak jangkaan kita mengenainya. Bagaimana orangnya. Yang penting bolehkah dibuat kawan. Dijadikan saudara. Boleh diajak berunding. Boleh bertolak ansur. Boleh berkompromi. Boleh menolong semasa susah. Boleh manangis semasa senang. Kehadirannya menyenangkan. Menghibur barangkali. Memberi semangat. Merangsang untuk kita melakukan sesuatu yang lebih baik dan lebih besar. Kali pertama bertemu tentulah ada riak-riak positif atau negatif. Bahasa tubuh memainkan banyak peranan. Mimik muka terutama sekali memberikan petunjuk sama ada pertemuan itu memberi kebaikan atau sebaliknya.  Ungkap dan bicara lazimnya menyerlahkan jatidiri seseorang. Cinta pandang pertama terbina atau sebaliknya. Sama ada dalam jangkapanjang terbentuk persamaan dan mengasingkan perbezaan bergantung  kepada keadaan. Bergantung kepada bagaimana semua yang terlibat mengadun persahabatan.
Semuanya bergantung kepada pengalaman. Islam memerlukan kita menjadi manusia yang baik. Yang berakhlak mulia. Bila kita bersama orang lain ada adab dan tatalaku yang perlu diambilkira. Sebenarnya diri kita tidak pernah terlepas dari perhatian orang lain. Dari perhatian malaikat. Dari perhatian Allah. Maknanya pada setiap masa sewajarnya kita berakhlak baik. Mulia. Bukan di hadapan manusia sahaja. Kita selalu lupa perhatian yang ghaib bentuknya. Malaikat ghaib. Allah juga dalam bentuk ghaib. Ada hijab yang memisahkan pandangan kita. Jika kita hanya memikirkan tentang manusia semata-mata maka kita kehilangan sesuatu yang kebih hakiki. Kita  kena selalu bersama Allah. Allah adalah segala-galanya bagi kita. Kita pasti kembali kepadaNya.
Pertemuan dan perpisahan adat manusia biasa. Hari ini kita bersama orang lain. Esok kita bersama yang lain. Kitaran hidup kita tidak pernah sunyi menemui orang baru. Dengannya menambahkan skop orang yang kita kenali. Sahabat di sekeliling. Saudara yang mendatang. Apabila kita menerima mereka yang sehaluan selalunya hidup bertambah sinarnya. Ada orang yang boleh diajak berbicara dengan tajuk-tajuk yang santai atau berat. Dari sekecil-kecil topik hinggalah topik besar seperti politik, agama, pendidikan, keselamatan, ekonomi dan berbagai lagi topik semasa. Dalam keadaan seperti itu otak kita sebenarnya menjadi segar. Banyak input yang memutarkan aras pemikiran kita ke arah yang lebih tinggi dan lebih halus. Kita tidka lagi melangkah di bawa timbunan akar-akar lama. Tidak juga di bawah rimbunan pohon yang tidak berbuah.
Kadang-kadang berada di negara orang bukan terasaing dengan negara sendiri. Sekarang ini alam maya hanya di jari tangan. Selagi jari boleh menekan, memetik dan menggelintar maka duni aberada di tapak tangan. Yang jauh terasa dekat. Terasa berada di samping. Boleh dilihat dan boleh didengar. Sayangnya tidak boleh disentuk sahaja. Maka yang hampir adalah orang-orang kita yang ada di sekeliling. Jika kita duduk lama di luar negara maka orang setempat yang ada di sekeliling menjadi saudara kita. Banyaklah input budaya yang boleh diambil. Dibawa pulang untuk memperkayakan budaya keluarga kita. Keragaman gaya hidup. Yang penting ianya tidak menyalahi syariat. Tidak menentang dasar dan ajaran agama. Kita ambil yang baik kerana ianya lebih baik dari yang kita ada.
Proses belajar tidak boleh banyak hijab. Jangan menghijab diri. Jangan halang diri kita dari menerima yang baru. Jika kita pernah belajar bermakna kita sudah mengamalkan sesuatu dalam suatu jangka waktu tertentu. Apabila kita belajar dari orang lain kita dihidangkan dengan kelainan-kelainan yang baru. Mungkin kebanyakan kita akan menolak yang baru dengan  andaian ianya bertentangan dengan yang lama. Cuba kita periksa. Adakah yang lama itu sempurna. Atau ianya hanya satu antara cabangnya sahaja. Belajar dari berbagai sumber sebenarnya suatu tuntutan. Kita belajar dari mereka yang arif dalam bidang mereka. Ada kelainan kerana pengalaman yang berbeza. Bukan bertentangan tetapi suatu alternatif. Kelainan yang positif. Meraikan kelainan bukan membebankan pemikiran sangat. Terima seadanya. Buat tapisan dengan teliti. Akan nanti ada manfaat besar mennanti. Kebenaran yang hakiki terserlah.
Menyerap sesuatu yang baru menjadi lumrah dalam hidup kita. Andainya kita boleh berlapang dada banyak input baru yang perlu kita fikirkan. Sekali lagi, asalkan ianya tidak bertentangan dengan syariat. Sesuadah kita membariskan semua input-input yang kita miliki, kita buat rumusan yang terbaik. Yang logikal. Yang ekonomikal. Yang hak. Yang sesuai dengan hukum dan hakamnya. Maknanya setiap yang kita lakukan ada rujukannya. Kita ada guru yang jelas susur galurnya. Belajar wajib berguru supaya jelas ambilan dan amalannya. Ingat cerita Ali Baba Bujang lapuk. Kerana berguru kepalang ajar, Kassim Baba terperangkap dalam gua. Dia tidak tahu mantera untuk membuka gua. Dia hanya mendengar mantera membukanya sahaja. Mudah-mudahan kembara usia kita banayk barakahnya.
Satu lagi perkara yang perlu kita ingat apabila berada di tempat baru kita kena jaga pantang larang budaya. Budaya kita tidak sama dengan budaya orang. Di negara sendiri kita dominan dengan budaya kita. Apabila di negara orang kita kena jaga banyak perkara. Ada istilah dan kalimah yang tidak boleh diungkapkan sewenang-wenangnya. Ia mencemaskan orang yang mendengarnya. Resmi dan pembawaan kita hendaklah kita simpan di Malaysia. Simpan di rumah sewa kita. Kita pelajari budaya orang. Usia kita bukan penentu bahawa kita boleh meminta orang menghormati kita. Semua pergerakan mestilah dengan berhemah. Menghormati orang lain. Jidak mengganggu mereka kerana kelainan yang kita tunjukkan. Yang kita amalkan. Kita rasa tidak ada salahnya. Jangan. Jangan. Gangguan perasaan kadang-kadang menjengkelkan orang lain. Orang melarikan diri dari kita. Ukhwah tidak terbina mengikut adatnya. Terlalu banyak yang saya alami. Saya lihat dan bersama mereka yang tenggelam dalam diri mereka sendiri. Akibatnya ramai orang menyingkir. Mungkin tidka secara fizikal tetapi menyingkir secara perasaan. Halus tetapi menyesakkan.

Wednesday, January 30, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Bahasa Arab dan Bahasa Al-Quran

Semua pelajar bahasa Arab dimaklumi bahawa mempelajarinya adalah usaha yang sangat diredhai Allah dan rasuNya. Limadza. Mengapa. Rasululllah bersabda bahasa Arab adalah bahasanya, bahasa al-Quran dan  bahasa di Jannah. Orang dahulu berkampung di Makkah atau Madinah. Ramai yang menetap di Mesir. Mereka menguasai bahasa Arab. Boleh menulis kitab. Membuka sekolah pondok. Membuka madrasah. Menjadi alim kerana keupayaan mereka membaca dalam bahasa Arab. Sumber agama yang autentik ditulis dalam bahasa Arab. Sumber rujuka utama ialah al-Quran. Dalam bahasa Arab. Al-Sunnah. Dalam bahasa Arab. Kitab-kitab karangan tabi’ien dan tabi’ tabi’ien semuanya dalam bahasa Arab. Tafsir yang masyhur semuanya dalam bahasa Arab.
Selama 1,000 tahun dunia barat dalam kegelapan ilmu. Gelap teknologi. Gelap kemahiran muamalat. Selama itu Islam telah membina tamadun. Sewaktu orang Barat belum tahu apa-apa sarjana Islam menyempurnakan angka dari 1 hingga 0. Terbina geometri, senibina, falaq, perubatan, pembedahan, algebra, sains, fizik, kimia, geografi, sosiologi, falsafah dan banyak lagi ilmu yang telah diperkembangkan oleh sarjana Islam. Apabila Richard the Lion Heart  dari England tewas kepada Sallahuddin al-Ayyubi dendam orang Barat direncanakan secara halus. Hingga sekarang kita sebagai orang Islam terlalu terpedaya. Teknologi dari barat banyak meruntuhkan kehebatan Islam. Antaranya ialah bahasa, pendidikan, politik dan gaya hidup. di mana-mana sekalipun kita berada ramai orang yang berusaha bercakap dan bahasa Inggeris. Mereka semua berbagai bangsa. Jaminan bahawa bahasa Arab adalah bahasa Jannah tidak memberi lagi pemerhatian. Ada pula negara menjadikan bahasa Inggeris bahasa rasmi negara itu. Ironinya bahasa Inggeris bukan bahasa ibunda negara itu.
Berada dalam kelas bahasa Arab memberikan banyak keinsafan kepada saya. Benar kita belajar bahasa Arab. Jangan lupa bahasa Arab sinonim dengan bahasa al-Quran. Mereka yang belajar bahasa Arab tidak dapat lari dari merujuk al-Quran dan al-sunnah. Sesuatu ungkapan atau istilah didatangkan dari al-Quran. Dalam bertatih-tatih dengan bahasa Arab tidak boleh tidak kita membaca ayat-ayat al-Quran. Kita tidak lari dari huruf Arab. Dari al-Quran kita menemui huruf-huruf itu. Pasti juga perlu dikatahui makhraj huruf. Sifat huruf. Kalimah-kalimah yang mengandungi huruf mad. Walaupun dalam percakapan tiada mad muttasil atau mad munfasil atau mat lazim kalimah-kalimah yang mengandungi mad-mad tersebut wujud. Cuma dalam percakapan hanya ada satu harakat atau dua harakat sahaja.  Bila hadir sahaja   ,   dan                      maka kalimah-kalimah itu mengandungi suku kata yang panjang. Di sinilah perlunya disiplin mempelajari bahasa Arab. Pertama sekali ialah pendengaran. Zaman Rasulullah dahulu ramai sahabat yang tidak tahu membaca dan menulis. Namun mereka boleh menghafal al-Quran. Pendengaran mereka kuat, teliti dan tajam. Keduanya ingatan. Dengar dan ingat menjadi dua elemen yang penting. Tanpa keduanya sukar untuk mengeluarkan semua apa yang telah dipelajari.
Lalu kita sampai kepada proses membaca. Maksudnya membaca tanpa teks. Iaitu membaca semula apa yang telah didengar sebelumnya. Bagi yang boleh menulis mereka menulisnya untuk dirujuk kemudian. Dengar, ingat dan baca menjadi satu proses yang berulang-ulang. Alhamdulillah ramai orang Islam yang Allah anurerahkan dengan kekuatan pendengaran, ingatan dan bacaan. Kerananya ramai Muslim yang hafal al-Quran. Kita yang banyak bergantung kepada membaca dan menulis sukar mengingat. Bila kita lupa kita rujuk balik catatan kita. Tidak terus keluar di bibir. Itupun kadang-kadang kita tidak membaca semula apa yang kita tulis. Catatan kita tidak dijadikan manuskrip yang akhirnya boleh diperincikan untuk menjadi buku atau kitab. Oleh kerana catatan sekadar catatan maka ianya tidk diberi nilaian yang wajar dan tinggi. Di mana sekalipun kita belajar bahasa Arab pasti gurunya megetahui al-Quran dan al-Sunnah. Guru bahasa Arab pasti boleh mengaji. Mengetahui apa yang dibaca. Boleh mentafsir.
Sayangnya jika kita tidak mengetahui bahasa Arab. Banyak al-Quran terjemahan. Harus diingat tiada ada bahasa yang sangat mirip. Seorang dari guru bahasa Arab saya, Dr Mohamad said sedang membuat perbandingan bahasa. Umpamanya dari mana datangnya  one, lima dan wahid. Sekadar perbandingan. Kita dari Adam dan Hawa. Bagaimana sesuatu kelompok manusia mencipta bahasa dan istilah. Apa yang mendorong terciptanya perkataan atau istilah itu. Maka sesuatu bahasa itu khusus untuk sesuatu bangsa. Walaupun bangsa lain mungkin menggunakan istilah yang sama tetapi dimaksud yang berbeza. Usaha menterjemah al-Quran memanglah baik. Memudahkan orang lain memahami isi al-Quran. Apa yang hendak saya sampaikan di sini ialah bahawa semua terjemahan tidak dapat menepati maksud al-Quran yang sebenar-benarnya. Bahasa kita dan bahasa al-Quran berbeza. Malah banyak kalimah hatta huruf yang tidak dapat diterjemah atau ditafsir.
Memahami bahasa Arab memberi ruang untuk kita memahami bahasa al-Quran secara primer. Apabila kita memahami bahasa itu kita dapat memberikan intipatinya dengan lebih segar. Lebih tepat. Lebih memberi maksud yang difahami. Suatu usaha besar jika dapat  menterjemah atau mentafsir al-Quran. Mempelajari bahasa Arab memberi kesempatan kepada kita untuk lebih arif tentang al-Quran dan al-Sunnah. Jika hafal al-Quran tugas mempelajari bahasa Arab lebih mudah lagi. Banyak ilham yang datang apabila kita tercari-cari kosa kata. Walau bagaimanapun menghafal al-Quran bukan prasyarat untuk mempelajari bahasa Arab. Minat, kesungguhan dan usaha keras yang penuh kesabaran diperlukan. Cuma nasihat yang mungkin boleh membantu ialah belajar dahulu al-Quran sebelum belajar bahasa Arab. Ianya banyak membantu. Proses belajar menjadi lebih deras.

Salam Dari Amman Jordan: Islam Yang Aman dan Selamat

Isteri penulis, Maznah dan Amatullah.

Orangnya secantik namanya. Dia memilih nama Islamnya Amatullah. Bermakna hamba Allah. Walauoun tidak dilahirkan sebagai Islam, pencariannya menemukan dia dengan Islam. Telah berjaya pula mengislamkan bapanya. Kita yang dilahirkan Islam  tidak banyak menjalankan tugas dakwah. Peluang kita terlalu banyak. Di sekeliling kit aterlalu ramai orang yang boleh kita dakwah. Malangnya kita leka nafsi nafsi.
Cerita Amatullah ini dirakamkan melalu perbualannya dengan isteri penulis.  Sebak mendengarnya. Seorang kembara mencari agama yang syumul. Pencarian dengan hadayah Allah.

Ada dua penganut Islam di sunia ini. Yang pertama Islam kerana keturunannya. Ibu bapanya melahirkannya dalam Islam. Dilahirkan dalam keluarga Islam. Namanya Islam. Suasananya Islam. Berbahagialah insan itu jika keluarganya membesarkannya dengan kaedah Islam. Ditanam dengan kuat akidahnya dengan Islam. Darah dan dagingnya Islam. Hatinya Islam. Perasaannya Islam. Mimpi dan jaganya Islam. Dia berasa aman dan selamat berada di dunia ini. Dia berasa tenang kerana akhirat menantinya dengan selamat. Maka segala usahanya tentulah untuk Islam. Menjaganya dengan sepenuh kerelaan hati. Mempertahankannya  apabila keadaan memerlukan tenaga dan fikirannya. Tidak ada tolak ansur dalam memberikan yang terbaik untuk agamanya. Sebagai penganut agamanya adalah segala-galanya. Pilihannya sudah tertanam ke dasar. Akidahnya dijaga sepenuh hati. 
Yang keduanya adalah mereka yang dengan sengaja menjadi penganut islam. Asal keluarganya telah tidak Islam. Sejarah keluarganya telah terdahulu tidak menemui Islam. Atau mungkin telah tekeluar dari Islam. Dia mencari. Dia mengkaji. Dia membuat perbandingan antara agama. Setiap satunya dicanai dan diteliti. Hatinya dibuka untuk memperinci persoalan-persoalan yang memerlukan pemikiran tahap tinggi. Akhirnya dia menemui apa yang dicari. Kepadanya Islam mengatasi segala yang dicari. Hatinya damai. Sejuk bak salju yang selalu memutih hamparannya. Sejuk jatuhnya. Sejuk sifat dan fitrahnya.  Lalu Islam memberikan kedamaian. Kebahagiaan dan ketenangan. Laluan di hadapan seperti terbuka luas. Lurus dan ada cahaya terang yang menyuluh jalan ke hadapan. Tiada lagi simpang siur pemilihan jalan. Yang dipilih akhirnya menemukan dia kepada Yang Khaliq. Hati dan perasaannya bulat kepada Islam. Tekadnya hanya satu. Mahu hidup dan mati dalam Islam.
Seorang yang bernama Amatullah berada bersama saya dalam kelas Bahasa Arab permulaan. Orangnya cantik. Masih dalam 20an. Bersasal dari Denmark. Sukar untuk percaya bahawa di Denmark ada orang yang mencari Islam. Lama dia membuat  perbandingan antara agama. Akhirnya dia menemuinya dalam Islam. Telah direntasinya berbagai agama besar di dunia ini. Jawapan-jawapan kepada kemusykilan tentang banyak hal ditemui dalam Islam. Lalu kembaralah dia secara spiritual melayari agama baru yang asing di Denmark. Di sana Islam sangat baru. Menjadi minority. Terlalu sedikit untuk didengar suara mereka. Laungan azan tidak diizinkan dikumandangkan. Agama lain bebas dengan apa acara yang mereka mahu. Tetapi tidak islam. Sekatan ke atasnya sangat banyak. Terlalu banyak. Ia mendalami Islam untuk menjadi penganut yang taat. Bersedia berkorban demi agama tercinta. Setahun setengah selepas pengislamannya dia bertemu jodoh dengan seorang pemuda Palestin. Seorang peniaga yang hafiz al-Quran. Sekarang mereka menghuni bumi Jordan. Mereka menunggu untuk kembali ke Palestin seperti juga jutaan pelarian yang berada di negara-negara sekitar.
Bersama-sama suami Amatullah membina keluarga Islam. Allah kurniakan kepadanya tiga orang anak. Tentunya dibesarkan anak-anak itu dengan Islam sebagai gaya hidup. Setelah menjadi Islam Amatullah merasakan banyak tugas agama yang perlu dilaksanakan. Yang pertamanya ialah dakwah. Dan mereka yang paling dekat untuk didakwah ialah kedua ibu bapanya. Alhamdulillah bapanya telah redha menerima islam segabai agamanya. Sebagai pegangannya. Suatu kejayaan besar terhadap keluarganya. Namun untuk membujuk ibunya bukan suatu tugas yang ringan. Ibunya masih terus menolak dakwahnya. Kehadiran menantu dan cucu belum lagi dapat melembutkan hati ibunya. Adik lelakinya juga belum dapat dijinakkan lagi. Usahanya msih semakin kencang semakin ia mendalami baru yang dicintainya. Dakwahnya mungkin belum berjaya 100%. Allah masih lagi memerlukan Amatullah untuk terus berusaha ke arah itu.
Seperti kebanyakan orang Islam ajam (bukan Arab) kerungsingan yang dialami Amatullah ialah membaca al-Quran tanpa mengetahui makna dan maksudnya. Semuanya kerana mereka tidak memahami dan tidak menguasai Bahasa Arab. Keadaaan ini bukan sesuatu yang dipandang enteng. Tidak boleh dipandang sebelah mata. Tidak boleh diserahkan kepada orang lain. Kita menganggap  ianya tugas orang lain. Fardhu kifayah. Kita mengelak untuk mendukung hak kita sendiri. Kita cuci tangan kita. Kita lap bersih-bersh. Kita masukkan tangan kita ke dalam poket. Tenang dengan kehangatan yang dinikmati. Lupa bahawa tangan itu akan ditanya akan usahanya. Akan disoal peranannya. Akan diminta akaun yang dibuka tetapi belum diaudit. Maka Islamlah kita dengan andaian bahawa semuanya meluncur baik hingga ke akhir hayat. Apabila kita belajar banyak ketidak sejajaran antara ajaran dan amalan. Ketidak selarian antara akidah dan kepercayaan.  Antara pokok dan falsafah agama dengan amalan.
Banyak yang kita lakukan adalah adat. Apabila adat tidak bercanggah dengan syariat tidak ada salahnya. Tetapi kita tidak boleh bertaqlid semata-mata. Kita ikut apa orang buat. Ikut seperti datuk nenek kita buat. Tanpa belajar mungkin ada cacat cela ibadat kita. Tanpa mengaji kita tidak mendapat sumber rujukan yang hak. Tanpa mengkaji kita selau beranggapan bahawa yang kita lakukan adalah benar. Tanpa berguru kita rasa semuanya betul. Belajar agama tidak boleh hanya melalui bahan-bahan sekunder. Hanya sesudah kita belajar barulah kita boleh merujuk bahan sekunder. Untuk menjadi alim (maksudanya mengetahui yang benar) kita perlu mencari guru. Perlu berguru. Duduk mengadap guru. Memandang dan bertentang mata dengannya. Dengar dengan telinga sendiri. Pandang dengan mata sendiri. Sentuh dengan tangan sendiri. Bergaul dengan mereka yang mengetahui.
Begitulah orang mengkaji hadith. Apabila dikaji, hadith-hadith yang sahih bermula dengan, “Aku mendengar”. Atau “Aku melihat”. Atau “Aku bersama Rasulullah”. Jika orang kedua hadith itu bermula dengan, “ Bapaku nampak”. Atau “Datukku melihat”.  Analogi itu boleh kita rujuk dalam perbicaraan di mahkamah. Sama ada mahkamah Syariah atau mahkamah Sivil. Saksi mestilah orang yang nampak atau mendengar atau bersama. Saksi tidak boleh mengatakan, “Saya diberitahu oleh ...”. Mahkamah akan mengatakan  semuanya hearsay. Persaksiannya akan ditolak. Saksi itu tidak ada kreditibiliti. Tidak boleh diperakui kesaksiannya. Hanya dengan menkaji Islam kita akan menemui kebenaran. Selalunya kebenaran itu memberikan madu manis keindahan dalam beragama.
Di Barat manusia berlumba-lumba cuba mengenal Islam. Agama yang selalu menjadi fobia kepada masyarakat di sana. Islamofobia diledakkan pengendali politik di Barat dengan  niat untuk menakutkan orang barat tehtang Islam. Lalu dicipta label-label fundamentalist dan terrorist.  Banyak watak dan keadaan dicipta untuk mengesahkan keadaan itu. Apabila mereka membuka mata barulah anak-anak di Barat mengenal Islam. Apabila Allah mencampakkan hidayah tiada siapa boleh menghalangnya. Peristiwa September 11 di New York sebenarnya suatu hikmah. Runtuhnya World Trade Centre membina kekuatan baru untuk Islam. Amatullah berjuang mempelajari Bahasa Arab untuk menepis ikap negatif Barat terhadap Islam. Di Jordan usaha dakwahnya digandakan. Sasarannya ialah mereka yang bukan Islam. Khususnya mereka yang datang dari Denmark dan menetap atau menghuni bumi Jordan.
Dirgahau Amatullah. Semoga Allah memberkatimu. Memberkati keluargamu. Memberkati Islammu. Kita yang selamanya Islam setakat mana usaha kita. Renunglah bersama. Islam hak kita. Tanggungjawab kita bersama. Tiada siapa yang berada di sisi.

Saturday, January 26, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Satu Dalam Sibuk Bersatu




Beginilah plet kenderaan di Jordan. Sekali pandang kita tahu ini kereta Jordan.   ﺍﻷﺭﺩﻥ  dan Jordan. Mereka yag berbahasa Arab maklum kehadirannya. Mereka yang berbahasa Inggeris juga mengetahuinya. Tidak perlu bertanya dari mana datangnya kereta itu. Bayangkan seorang pelancong tercegat di tengah-tengah Kuala Lumpur. Ia pasti tidak tahu dari mana kenderaan yang lalu di hadapannya.


Ada sesuatu yang menarik perhatian saya di Amman. Kenderaan negara Jordan pletnya standard. Nombornya banyak tetapi yang dirujuk ialah negara Jordan. Tidak ada yang berkaitan dengan kawasan atau daerah. Jordan maknanya hanya Jordan. Plet kenderaannya dimulakan  dengan dua perkataan    ﺍﻷﺭﺩﻥ  dan Jordan. Diikuti dengan tujuh nombor. Umpamanya 11.32118. Kereta di seluruh Jordan menggunakan sistem ini. Maksudnya kereta ini milik orang Jordan atau didaftarkan di Jordan. Dua nombor yang awal tentulah menunjukkan kawasan atau zon tempat tinggal pemiliknya yang asal. Apabila menjadi kereta terpakai konsep pemilik asal sudah tidak wujud lagi. Kereta itu berpindah ke kawasan lain mengikut pemiliknya yang baru.
Di mana sekalipun kereta itu berada orang dapat mengenal bahawa itu kereta Jordan. Nombor menjadi isu kedua. Yang pasti kereta itu didaftarkan di Jordan. Jika kereta itu berada di Jordan barulah orang mengenalpasti dari kawasan mana kereta itu. Jika kereta itu berada di Arab Saudi atau Syria, atau Turki atau Lebnon atau sebarang negara lain di sekitar Timur Tengah orang mengenalnya dengan serta merta bahawa kereta itu dari Jordan. Pengenalan negara lebih utama. Negara lebih penting. Lambang kesatuan sebuah negara. Tanpa sibuk. Tanpa kecoh. Tanpa banyak cerita. Tanpa banyak slogan. Tanpa banyak kempen. Tiada mesej tertentu. Plet kereta itu sudah cukup menjadi lambang kesatuan. Lambang bersatunya seluruh pemikiran. Tanpa kos. Tanpa banyak bercerita yang panjang-panjang.
Cuba kita tinjau kembali di negara kita. Semua negeri diperuntukkan dengan pletnya yang tersendiri. Malah tentera memiliki pletnya sendiri. Plet A untuk negeri Perak. B untuk Selangor. C untuk Pahang. Tiga plet ini cukup sinonim dengan suatu perlambangan yang memedihkan. Lambang duka lara sebuah negara. Lambang suram sebuah kehilangan harga diri. Pasti orang lama teringat Raja Abdullah dan Datuk Maharaja Lela di Perak. Datuk Bahaman di Pahang. Ramai lagi pejuang di selangor. British membariskan plet kereta kita dengan sejarah mereka. Kita terperangkap dalam sejarah itu. Plet-plet yang lain hanya mengikut huruf awal ejaan negeri itu. Kecuali D untuk Kelantan dan R untuk Perlis. Sarawak dan Sabah kekal dengan Snya. Kadang-kadang kita terkial-kial mengingat sesuatu plet kereta. Walaupun nombornya hanya empat digit tetapi untuk mengingat huruf di hadapannya cukup susah.
Berada di luar negara barangkali memberi lontaran idea yang boleh dipraktikalkan. Mungkin plet kereta di negara kita boleh mengikut  nombor telefon. Pangkalnya semua Malaysia. Diikuti dengan nombor seperti zon telefon. Secara automatik kita tahu kenderaan itu dari mana datangnya. Dua nombor yang awal merujuk negeri. Tiga nombor yang kedua merujuk daerah atau kawasan. Empat nombor yang akhir nombor pendaftaran kenderaan itu. Rasanya jika kita membuat perubahan yang wajar insyaAllah banyak manfaatnya. Kita berada dalam sebuah persekutuan tetapi terlalu banyak kepelbagaian. Kadang-kadang kita menjadi kedaerahan dan kenegerian. Terlalu banyak yang tidak menyatukan kita. Hati kita tidak pada negara yang satu. Balik-balik kita kembali kepada negeri. Sekali lagi kita terperangkap dengan falsafah pecah dan perintah. Legasi British tidak pernah habis terhakis.
Banyak lagi yang perlu diambilkira untuk keselamatan di jalaraya kita. Umpamanya lampu hadapan dan belakang. Di USA setiap kenderaan yang berada di jalanraya pada waktu malam diwajibkan memasang lampu-lampu tersebut. Apabila sesebuah kenderaan tidak hidup mana-mana lampunya polis trafik akan memberhentikan kereta itu. Pemandunya diminta pulang menaiki teksi. Esoknya kereta itu boleh diambil untuk diperbaiki lampunya. Di TV atau filem Hollywood selalu kita lihat apabila seseorang watak itu tidak mahu dikejar atau diekori pada waktu malam maka tindakannya senang sahaja. Pecahkan mana-mana lampu kereta yang dimaksudkan. Di Canada pula semua kenderaan wajib dinyalakan lampunya walaupun dalam keadaan terang benderang musim summer. Kajian menunjukkan cahaya lampu banyak menyelamatkan nyawa apabila pemandu terleka. Cahaya lampu menjadikan mereka lebih siap siaga ketika memandu.
Di luar negara keselamatan jalanraya seperti juga keselamatan yang lain. Ianya diberi perhatian berat. Penguatkuasananya tiada kompromi. Mereka yang kena tidak dikira siapa. Orang biasa atau orang kaya sama sahaja layanannya. Orang kecil atau orang besar dilayan sama rata. Konsep keadilan tiada perbezaan. Islamik. Lebih islamik. Kita perlu banyak belajar dalam penguasaan undang-undang jalanraya. Lampu motorsikal yang wajib dihidupkan terlalu banyak yang ingkar. Bukan siang sahaja tidak hidup malah pada waktu malampun banyak yang tidak hidup.  Jalanraya menjadi kuburan yang banyak tidak bertanda. Banyak kawasan yang dikira zon maut. Malangnya orang Melayu mengatakannya keras. Naudzubillah. Kita kena lihat kembali diri kita. Apa yang kita buat. Apa yang diatur untuk kita. Kembali susun keutamaan kita. Pembangunan tidak semestinya membunuh diri. Tidak wajar sama sekali.
Keinsafan untuk membina yang lebih baik mestilah dalam bentuk kesejagatan. Tidak ada pandangan peribadi atau keuntungan peribadi. Semuanya perlu dilakukan demi kesejahteraan semua orang tanpa apa-apa perbezaan. Jika kita boleh sampai ke aras itu barangkali kita boleh menjadi lebih unggul. Bangsa yang lebih hebat. Negara yang lebih menonjol.  Tidak perlu tepuk apa-apa. Lapangkan fikiran. Buat kerana Allah. InsyaAllah.

Friday, January 25, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Belajar Suatu Jihad

Jika kita tanya diri kita sendiri ada perkara yang dapat kita jawab dan ada perkara yang tidak dapat kita jawab. Jika orang lain yang bertanya lagilah banyak yang tidak dapat kita jawab. Maknanya ada yang kita ketahui dan ada yang tidak kita ketahui. Apabila kita timbang dengan saksama yang kita ketahui sebenarnya tersangatlah sedikit. Malu hendak menyenaraikan apa yang kita ketahui berbanding dengan banyaknya yang tidak kita ketahui. Kita sekarang semakin mengkhusus. Skop yang kita ketahui semakin mengecil. Semakin lurus. Semakin banyak yang kita tinggalkan. Kita menganggap kita hanya layak megetahui apa yang perlu kita ketahui sahaja. Yang lain  biarlah untuk orang lain sahaja. Lalu kita keliru antara fardhu ain dengan fardhu kifayah. Bukankah keduanya perlu berjalan serentak. Islam tidak tertegak atas satu daripadanya sahaja. Kedua-duanya tanggungjawab setiap umat Islam. Menjadi kewajipan. Menjadi wajib
Islam menjadi kuat jika kedua-dua bidang tersebut dikuasai. Pada peringkat awalnnya fardhu ain untuk diri sendiri. Memang benar syahadah, solat, puasa, zakat dan haji itu fardhu ain. Setiap individu wajib menunaikannya dalam apa keadaan sekalipun. Tetapi, tetapi tidak ada individu yang pandai sendiri. Yang tahu sendiri. Yang mahir sendiri. Yang menjadi pakar dengan sendirinya. Manusia mengetahui sebab diberitahu. Diajar. Dididik. Dibimbing. Diasuh. Dimaklumi. Maknanya ada guru yang bertugas untuk itu. Menjadi guru mungkin dalam kebanyakan masa dan hal adalah fardhu kifayah. Apabila tiada yang tampil ke hdapan kerananya tugas itu menjadi fardhu ain kepada individu yang terlibat. Membiarkan masyarakat tidak mengetahui juga suatu kesalahan. Mungkin berdosa.  Bukankah Rasulullah SAW bersabda bahawa kita yang berilmu wajib menyampaikan ilmu yang ada walaupun satu ayat. Atau satu kalimah. Dalam Islam tiada ilmu yang rahsia. Menyalahi prinsip dan falsafah ini bermakna ilmu itu salah. Menyalahi agama. Sesat barangkali. Ilmu Allah adalah ilmu manfaat.
Semua orang memperakui bahawa ilmu itu penting. Pandai itu penting. Tahu itu penting. Namun hakikatnya tidak semua orang memiliki segala-galanya seperti yang dapat memuliakan dirinya. Hatta di USA sekalipun ramai rakyatnya yang buta huruf. Realiti hakiki. Negara terhebat di dunia gagal mencelik huruf semua rakyatnya. Sebab itu di sana banyak program back to school. Di negara kita fenomena itu masih berlaku secara terpencil. Anak-anak kita bersekolah. Hanya segelintir yang tidak terbaris dalam arus perdana. Mungkin anak-anak pendatang seperti Rohinya, Myanmar, Indonesia dan Filifina ada yang termasuk dalam golongan ini. Dalam jangka panjang jika ianya tidak diurus negara yang akan terancam dari segi ekonomi, keselamatan dan teknologi. Di negara mana sekalipun pendidikan menjadi nadi penggerak masa hadapan. Nadi untuk ke hadapan. Pengemudi dan jurumudi yang mengetahui arah destinasi.
Barangkali sikap kita perlu diubah. Ilmu dan kemahiran bukan sahaja untuk berkerjaya. Ilmu penting sebagai lambang kejayaan diri. Penyukat kemajuan keluarga. Penimbang masyarakat. Ikon negara. Bagaimana kita boleh menarik pelajar asing ke Malaysia jika kita sendiri banyak tidak arif tentang banyak perkara. Semua bakat dan potensi yang ada perlu diperkukuh dan disebarluas. Kita ingin melihat orang kita memiliki segala yang diperlukan oleh orang lain. Orang ke USA kerana prinsip mereka senang. You ask for it, you get it. Mereka Cuma melindungi teknologi peringkat tinggi sahaja. Yang lain disebarkan kepada semua orang yang berminat. Pendidikan mengikat graduannya dengan pemikiran dan keterikatan kepada teknologi yang biasa pada dirinya dan mindanya.  Pada kebiasaan dan perasaan sayang kerana sudah tertanam dalam silibus dan amalan. Pelajar asing yang berada di Malaysia mesti diikat perasaan mereka. Diikat minda mereka. Dedahkan mereka dengan teknologi kita. Dengan budaya kita. Dengan keterbukaan kita. Mereka adalah penyambung dan penghubung kita. Mereka menajdi jambatan kita untuk merentas benua.
Ilmu menjadi penyambung hayat sesuatu bangsa. Individu yang terhakis ilmunya menjadi daif. Lemah. Layu. Lesu. Mereka yang tidak jemu menambah value added pada dirinya sentiasa terkehadapan. Namun begitu mencanai ilmu bukan sesuatu yang indah bak dikata. Banyak yang perlu dibuat. Yang perlu dikorbankan. Kita mendapat pendidikan hingga ke peringkat IPT. Membina kerjaya dan hidup dalam selesa. Di mana kita ketika itu. Lihat kata Abraham H. Maslow. Antara kemuncak kejayaan manusia ialah self actualisation. Ketika itu wang bukan lagi isu. Tidka dicari. Tidak diperlukan. Pangkat bukan hambatan lagi. Nama bukan untuk sanjungan. Barangkali boleh saya pinjam falsafah Ustaz Hasrizal, hidup ini lebih baik banyak memberi. Apabila kita sampai pada peringkat itu barulah kita rasa bahawa nikmat itu bukan kerana memiliki. Nikmat lebih kerana memberi.
Soalan berikutnya. Apa yang hendak kita beri jika kita tidak memiliki. Untuk memberi kita perlu memiliki. Bersedekah sebab kita ada harta. Memberi maklumat sebab kit ada maklumat. Mengajar sebab kita ada ilmu. Berkongsi sebab kita memiliki sesuatu yang boleh dibahagi-bahagi. Harta yang dibelanjakan bertambah dengan kuasa Allah. Ilmu yang disebarkan bertambah kerana kita belajar menambahkannya. Guru tidak pernah puashati dengan ilmu yang dimilikinya. Ia ingin memberi yang terbaik untuk anak didiknya. Keran itu guru selalu memberi motivasi kepada anak-anak didiknya supaya sentisa menambah ilmu. Menambah apa yang perlu diketahui. Mengembangkan apa yang sudah banyak. Limpahkan kepada orang lain yang memerlukannya.
Paling seronok sebenarnya ia lah menikmati waktu lapang yang santai. Berlingkar di tempat tidur. Berkisar di hadapan TV. Berjalan-jalan menyedut udara segar. Tetapi rutin yang sama tidak mungkin kita lakukan berulang-ulang berhari-hari. Berminggu-minggu. Berbulan-bulan. Bertahun-tahun. Ada yang lebih penting yang perlu kita lakukan. Fizikal kita tidak boleh dimanjakan tanpa menggunakan mindea kita. Minda yang statik melemahkan sistem pertahana fizikal. Berapa ramai orang yang tewas kesihatannya kerana tidak membuat apa-apa yang berbentuk fizikal dan berfikir. Lebih banyak aktiviti adalah lebih baik. Lebih lasak selayaknya adalah lebih baik.
Tidak semua ilmu berada di hadapan mata. Kadang-kadang lama masa yang diperlukan. Kadang-kadang jauh tempatnya. Jadual hidup kita Allah yang merancang. Kita hanya merancang. Allah yang menentukan makbulnya. Tidak ada jalan pintas untuk memiliki ilmu. Jika ada hasrat yang ikhlas insyaAllah Allah memberi jalan. Allah memberi jalan keluar. Allah memberi pertolongan. Betulkan niat. Luruskan perjalanan hidup. Tingkatkan usaha. Tidak ramai antara kita yang sanggup berjihad dalam peperangan bersenjata. Tetapi ramai yang berani berjihad mencari ilmu. Tidak kira banyak atau sedikit ilmu itu. Yang penting ianya memberi manfaat. Andai tidak kepada orang lain cukuplah kepada anak cucu sendiri. Semuanya di hati kita. Pada fikiran kita. Mudah-mudahan kita direhatkan dalam aman untuk selama-lamanya.

Thursday, January 24, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Makan Untuk Hidup

Saya pernah ke rumah seorang sahabat. Kebetulan tengahari. Lalu dihidangkan makan tengahari. Mudah sahaja. Nasi , sayur dan ayam goreng. Tiada masalah. Selera saya dan isteri saya makan. Kita baca hikayat lama. Mungkin Hikayat Awang Sulong Merah Muda. Raja makan sangatlah sopannya. Sesuap dua ketiga sudah. Raja makan hanya tiga suap. Rasulullah SAW pula makan lagilah mudah. Kenduri Rasulullah SAW hanya sedulang buah kurma. Orang Islam dituntut makan tetapi berhentilah sebelum kenyang. Yang penting makan.  Bukan kenyang. Bukan juga kekenyangan. Jika sampai sesak nafas bukan makan namanya. Ada istilahnya yang tersendiri. Mungkin dalam situasi lain. Tidak sopan menyebutnya.
Bila jauh dari kampung halaman makan dan minum bukan perkara yang menyusahkan. Apa sahaja boleh dimakan asalkan halalan toyyibah. Sebenarnya kita perlu banyak berada dalam situasi yang berbeza. Kita belajar menyesuaikan diri melalui situasi-situasi tersebut. Ramai antara kita yang berkerjaya. Masak memasak bukan lagi budaya yang unggul tuntutannya. Makan selagi ada makanan yang boleh dimakan. Saya bina keluarga saya bukan terlalu menuntut mereka makan makanan ruji. Memanglah orang Melayu sukar memisahkan diri mereka dari nasi dan lauk pauk.  Namun anak-anak kita perlu dilatih supaya mengenal diri. Makan kenyang bukan satu keperluan. Makan sahaja yang diperlukan. Tidak semestinya nasi. Banyak makanan lain yang mengenyangkan. Malah lebih baik dari nasi.
Saya cenderung kepada makan yang memudahkan. Selama di Amman Jordan ini saya hanya makan nasi sekali sehari. Alhamdulillah seluar sudah mula longgar. Pagi saya makan roti dengan air kopi. Di kampus jarang juga makan. Minum teh atau kopi percuma di pejabat. Balik dari kampus pukul 1.45 petang sampai di rumah. Tanak nasi sementara kami mengerjakan solat Zohor. Selepas solat mungkin goreng telur. Kadang-kadang telur dadar dicampur sayur, daun bawang, bawang besar dan putih, cili hijau (merah belum jumpa). Cukuplah nasi dan telur dadar. Sesekali makan berlaukkan ikan. Daging dan ayam agak mahal. Makannan laut tersangat mahalnya.  Dirancang untuk berjimat. Udang beku sebesar jari kelingking kira-kira RM25. Bila gian beli juga.
Kebanyakan masa saya makan roti. Namun begitu isteri saya suka benar makan lempeng. Lempeng Melayu. Lempeng kosong. Cecah dengan sayur campur. Cili hijau campur bawang besar dan putih, kentang, daun bawang dan sedikit ikan bilis yang kami bawa. Mungkin dua atau tiga ekor. Sudah cukup banyak. Sesudah digoreng percikkan kicap manis yang kami bawa. Aduhai menyelerakan sungguh. Ada sesuatu yang istemewa tepung di sini. Tepungnya segar dan bila dimasak terasa tepung. Tiada campuran. Empat kilogram kira-kira RM6. Lembut bila dibuat lempeng. Roti yang saya beli berhari-hari tidak keras walaupun dalam winter. Kulit muka saya keras tetapi roti tidak keras.  
Pelajar Jordan sangat ringkas. Urusan makan mereka. Seperti juga orang barat. Kebanyakan mereka makan roti sandwic sahaja. Sandwic mereka  roti panjang 10cm. Dibelah dan diisi sama ada dengan daging, ayam atau sayur-sayuran. Sandwich itu dibalut dengan alluminium foil dan dimasukkan dalam beg plstik.   Tangan tidak kotor. Serpihan makanan jatuh dalam beg plastik. Bila siap makan bungkusan plastik itu terus dibuang ke dalam tong sampah. Pada dasarnya praktikal. Di universiti amalan kebersihan terurus dengan baik. Di kalangan masyarakat awam ianya agak bertentangan. Sensitif juga hal kebersihan ini. Mungkin nanti ada kesempatan lain saya menulis mengenainya.
Berada di luar negara tidak  boleh asyik menjaga selera biasa. Banyak yang perlu ditukar gayanya. Bekalan makanan banyak. Bolehlah tahan murahnya. Boleh makan kentang, tomato, kobis, kobis bunga, brocolli, timun, bayam, kacang buncis, kobis ungu dan berbagai lagi. Santan kelapa dalam tin ada dijual. Kelapa ada juga dijual sebiji, sebiji tanpa sabut. Gulai lemak atau kari bukan lagi satu kerinduan. Selasa malam yang lalu kami masak gulai ayam untuk dimakan dengan roti. Anas yang datang dari Britain selera sungguh menikmatimnya. Berulang-ulang kali dia menambah kuah kari ke dalam pinggannya. Katanya makanan Melayu bukan asing kepadanya. Rakannya datang dari Brunei dan nusantara.
Malam ini kami ada tuisyen Bahasa Arab di rumah. Waktu saya menulis ini (pukul 6.00 petang di Amman) sudah siap pengat keledek campur pisang dan jagung. Keledek banyak di sini. Keledek merah. Pisang memang kegemaran. Di mana-mana ada buah pisang. Mungkin dari Afrika. Pendek kata makanan bukan masalah bagi orang Malaysia. Selagi kita boleh fleksibel tiada apa yang menjadi masalah. Kecualilah kita alah dengan sesuatu jenis makanan. Jika berlaku begitu sukar mengatasinya.  Namun begitu banyak makanan halal yang tidak menyusahkan. Cumanya kita kenalah menukar selera. Menukar kebiasaan. Yang penting sihat walafiat. Boleh menyempurnakan hajat di hati. Diredhai Allah. Makanlah selagi larat. Berhenti makan jika ada mudarat. InsyaAllah kita dalam peliharaan Allah.