Friday, February 1, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Saat Pertama Yang Selalu Mendebarkan

Terbang jauh beribu-ribu kilometer bukan calang-calang kembara. Apatah lagi kembara ke bumi anbia bukan sekadar makan angin. Jihad besar berhijrah mencari diri yang sebenar. Berhajat benar mempelajari bahasa Arab. Fasih menuturkannya. Boleh menyandar harapan menambah ilmu agama. Bagi siapa sahaja yang memulakan sesuatu pasti terasa simpang siur fikiran. Terasa banyak yang perlu direntas. Yang perlu digagahi. Saya pernah belajar bahasa Arab sewaktu mengikuti kursus Sijil Pengajian Al-Quran di Universiti Malaya. Begitu juga sewaktu mengikuti kursus Diploma Eksekutif Pengajian Usuludin. Belajar juga selama 80 jam di Al-Baian yang berpusat di Universiti Malaya. Barangkali belajar sambilan tidak menepati hasrat yang tersimpul di hati. Dalam kelas berusaha menguasai bahasa tersebut. Keluar dari kelas tidak ada suasana yang kondusif untuk mengamalkannya secara istiqamah. Belajar lalu disimpan. Belajar lagi, simpan lagi. Mendap begitu sahaja. Sesekali keluar juga bila keadaan memerlukan.
Untuk memulakan kelas di Jordan ini libang libu juga hati. Bolehkah? Hati ditenteramkan sendiri. InsyaAllah boleh. Jika orang lain boleh tentu saya juga boleh. Masuklah ke kelas dengan berbagai perasaan. Buku teks yang sepatutnya dikaji dari awal sudah masuk mukasurat kelimapuluh. Sudah jauh juga tertinggal berbanding dengan beberapa pelajar yang sudah ada. Banyak kalimah yang tidak diketahui maknanya. Hanya setelah beberapa hari barulah dapat mengulangkaji helaian-helaian yang awal. Di situ banyak kalimah-kalimah yang dibawa ke halaman-halaman  seterusnya. Maknanya kalimah itu diulang-ulang untuk menjadi latihan tubi. Kalimah yang diulang-ulang diharapkan dapat lebih mudah diingat. Begitulah orang yang menghafal al-Quran atau apa sahaja hal yang perlu diingat. Setelah diingat ianya menjadi darah daging. Boleh disebut pada bila-bila masa. Boleh dikeluarkan bila diminta.  Tidak perlu diingat-ingat. Ianya sentiasa berada di bibir. Menunggu untuk disebut.
Berada di bumi anbia ini bahasa Arab menjadi kemestian dalam kelas. Sementelahan pula kelas itu kelas bahasa Arab. Guru yang mengajar boleh berbahasa Inggeris. Hanya sesekali apabila keadaan menyulitkan barulah ia menggunakan bahasa Inggeris. Membantu juga dalam keadaan yang memerlukan. Bermula dari 16.1.2013 kelas baru sebanyak 9 hari. Maknanya sudah 36 jam kerana sehari 4 jam. 3 jam belajar berpandukan buku teks. Membaca dan menulis. Memahamkan karangan. Mengenal pernyataan yang benar dan salah. Setiap hari diadakan (khiwar) perbualan selama sejam. Berganti-ganti guru. Berbagai topik yang dibincangkan. Jadilah seperti siri TV Mind Your Language suatu ketika dahulu. Tunggang langgang menukar dari saya kepada dia (lelaki) dan dia (perempuan). Itu belum yang lalu (madhi) dan arahan (amr). Bagi yang kali pertama mempelajari bahasa Arab mereka sukar memahami bahawa bahasa Arab selalu dikaitkan dengan gender. Anta dan anti berbeza. Ka dan ki berbeza. Mesti ada mudzakar (lelaki) dan mu’annas (perempuan). Susuk bahasa Arab memang begitu. Bila sudah mengenal susuk bahasanya barulah terasa lega sedikit.
Ada kelebihannya belajar di Jordan ini. Di tanahair guru selalu terikat dengan nahu dan sorof. Balik-balik akan pergi ke situ. Pelajar selalunya sukar memahami perlunya menukar itu dan ini. Di Jordan kita membaca buku teks. Dilatihtubi untuk mendengar, mengingat dan mempraktikkannya. Nahu dan sebagainya tidak pernah disentuh. Bila ada pertanyaan guru menerangkan tanpa menyentuh nahu. Lazimnya dikatakan itulah kaedah bahasa Arab. Taukifi. Konsentrasi perlu dalam mendengar. Bunyi-bunyi yang dihasilkan perlu dinisbahkan kepada huruf dan kalimah yang betul. Kadang-kadang perlu teliti antara kalimah yang mengandungi ta marbutoh ( dan) atau tidak. Sebutan guru seperti tidak ada ta tersebut. Apabila sudah dapat menjejak kalimah itu pelajaran menjadi senang. Boleh mengeja dan boleh menyebutnya. Suatu kelainan mempelajari bahasa Arab ialah ejaan seperti sebutan. Tiadan yang lebih dan tiada yang kurang. Bila sukukata itu dipanjangkan sedikit bermakna wujud  , dan . Jika disebut laju bermakna tiada huruf mad. Tidak ada kekeliruan mengenai perkara itu.                    
Lemak manis bahasa Arab hanya mereka yang menguasainya sahaja yang mengetahui. Yang baru bertatih seperti saya hanya baru berharap dapat bermimpi menggunakan bahasa Arab. Bila sudah boleh bermimpi nanti insyaAllah lebih kuat lekatnya. Banyak kalimah dalam bahasa Arab yang disambung dari beberapa kalimah seperti يَٰبُنَيَّ (al-Quran 31:16). Bila disebut sangat lembut bunyinya. Sangat beradab. Sangat mendidik.  Nampak seperti satu kalimah. Sebenarnya ada tiga kalimah yang bercantum.  , ﺒﻨ dan . Ya maksudnya wahai. Ba dan nun maksudnya anak lelaki kesayangan. Ya di hujung bermaksud saya. Dalam bahasa yang dekat, “Wahai anak lelaki kesayanganku.” Dalam bahasa harian kita hatta bahasa rasmi kita tidak pernah bercakap begitu. Itulah bahasa Luqman al-Hakim yang Allah rakamkan dalam al-Quran. Seorang bapa yang mendidik anak lelakinya dengan teladan akhlak yang tinggi. Dalam cerita atau persembahan bangsawan sahaja kadang-kadang kita dengar sultan bertitah dengan kasih sayang kepada anakndanya. Orang awam tunggang langgang bahasa yang digunakan. Tiada akhlak dalam berbahasa. Kelemahan kita mendidik anak.
Mempelajari bahasa Arab, mengkaji al-Quran, mengkaji hadith dan mengkaji ilmuan dan sarjana Islam menemukan kita kepada  akhlak Islamiah yang unggul. Semuanya demi kecintaan kepada Allah kerana Allah menyukai yang baik-baik belaka. Begitu juga tingginya akhlak yang dipamerkan oleh Rasulullah kepada sahabat-sahabatnya. Umar yang begitu bengis menjadi orang yang disegani. Bayangkan syaitan tidak berani mendekatinya. Mafhum sebuah hadith. Apabila orang Islam berakhlak mulia musuh-musuh Islam mati  akal untuk memperlekehkan Islam. Islam sangat sempurna. Allah memperakui Islam agama Muhammad dan umatnya. Jika kita mendalami Islam maka kita pasti menjadi umat yang paling unggul di dunia. Malangnya kita terabai dengan  keasyikan yang dibina oleh musuh-musuh Islam. Mereka mencari jalan menjauhkan kita dari al-Quran. Menjauhkan kita dari bahasa Arab. Mereka menghijab kita dengan berbagai cara dari melihat keindahan Islam.
Marilah kita nilai semula diri kita dalam konteks Islam. Dalam konteks umat Muhammad. Di sana nanti perlu ada usaha untuk kembali membetulkan landasan kita supaya sama lurus  dengan titian sirat. InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment