Thursday, January 31, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Yang Baru dan Yang Lama



Banyak berjalan banyak pemandangan. Mungkin banyak pandangan. Terbuka penglihatan. Di tempat baru terdapat sesuatu yang baru. Pengalaman sebegini sudah saya alami bekali-kali. Di negara sendiri sukar kita jumpa hal yang sama. Bila kita ramai kita lupa yang sedikit.  Di tempat sendiri kita dianggap bukan siapa-siapa. Kehadiran kita seperti juga orang lain yang ada. Tiada bezanya. Kita wujud tetapi tidak signifikan. Berbeza apabila kita berada di negara orang. Beberapa orang kita yang ada itulah saudara kita. Jiran kuat kita. Lebih dari darah daging kita sendiri. Tempat bergantung harap. Mereka yang akrab kerana situational. Situasi kerana bilangan yang kecil menjadikan sesama sendiri wujud rasa ingin selalu bersama. Terbina ukhwah yang kukuh sesama sendiri. Kedatangan dinanti dengan minat. Pemergian dihantar dengan mata sayup di kejauhan.
Sebelum seseorang itu datang tentulah banyak jangkaan kita mengenainya. Bagaimana orangnya. Yang penting bolehkah dibuat kawan. Dijadikan saudara. Boleh diajak berunding. Boleh bertolak ansur. Boleh berkompromi. Boleh menolong semasa susah. Boleh manangis semasa senang. Kehadirannya menyenangkan. Menghibur barangkali. Memberi semangat. Merangsang untuk kita melakukan sesuatu yang lebih baik dan lebih besar. Kali pertama bertemu tentulah ada riak-riak positif atau negatif. Bahasa tubuh memainkan banyak peranan. Mimik muka terutama sekali memberikan petunjuk sama ada pertemuan itu memberi kebaikan atau sebaliknya.  Ungkap dan bicara lazimnya menyerlahkan jatidiri seseorang. Cinta pandang pertama terbina atau sebaliknya. Sama ada dalam jangkapanjang terbentuk persamaan dan mengasingkan perbezaan bergantung  kepada keadaan. Bergantung kepada bagaimana semua yang terlibat mengadun persahabatan.
Semuanya bergantung kepada pengalaman. Islam memerlukan kita menjadi manusia yang baik. Yang berakhlak mulia. Bila kita bersama orang lain ada adab dan tatalaku yang perlu diambilkira. Sebenarnya diri kita tidak pernah terlepas dari perhatian orang lain. Dari perhatian malaikat. Dari perhatian Allah. Maknanya pada setiap masa sewajarnya kita berakhlak baik. Mulia. Bukan di hadapan manusia sahaja. Kita selalu lupa perhatian yang ghaib bentuknya. Malaikat ghaib. Allah juga dalam bentuk ghaib. Ada hijab yang memisahkan pandangan kita. Jika kita hanya memikirkan tentang manusia semata-mata maka kita kehilangan sesuatu yang kebih hakiki. Kita  kena selalu bersama Allah. Allah adalah segala-galanya bagi kita. Kita pasti kembali kepadaNya.
Pertemuan dan perpisahan adat manusia biasa. Hari ini kita bersama orang lain. Esok kita bersama yang lain. Kitaran hidup kita tidak pernah sunyi menemui orang baru. Dengannya menambahkan skop orang yang kita kenali. Sahabat di sekeliling. Saudara yang mendatang. Apabila kita menerima mereka yang sehaluan selalunya hidup bertambah sinarnya. Ada orang yang boleh diajak berbicara dengan tajuk-tajuk yang santai atau berat. Dari sekecil-kecil topik hinggalah topik besar seperti politik, agama, pendidikan, keselamatan, ekonomi dan berbagai lagi topik semasa. Dalam keadaan seperti itu otak kita sebenarnya menjadi segar. Banyak input yang memutarkan aras pemikiran kita ke arah yang lebih tinggi dan lebih halus. Kita tidka lagi melangkah di bawa timbunan akar-akar lama. Tidak juga di bawah rimbunan pohon yang tidak berbuah.
Kadang-kadang berada di negara orang bukan terasaing dengan negara sendiri. Sekarang ini alam maya hanya di jari tangan. Selagi jari boleh menekan, memetik dan menggelintar maka duni aberada di tapak tangan. Yang jauh terasa dekat. Terasa berada di samping. Boleh dilihat dan boleh didengar. Sayangnya tidak boleh disentuk sahaja. Maka yang hampir adalah orang-orang kita yang ada di sekeliling. Jika kita duduk lama di luar negara maka orang setempat yang ada di sekeliling menjadi saudara kita. Banyaklah input budaya yang boleh diambil. Dibawa pulang untuk memperkayakan budaya keluarga kita. Keragaman gaya hidup. Yang penting ianya tidak menyalahi syariat. Tidak menentang dasar dan ajaran agama. Kita ambil yang baik kerana ianya lebih baik dari yang kita ada.
Proses belajar tidak boleh banyak hijab. Jangan menghijab diri. Jangan halang diri kita dari menerima yang baru. Jika kita pernah belajar bermakna kita sudah mengamalkan sesuatu dalam suatu jangka waktu tertentu. Apabila kita belajar dari orang lain kita dihidangkan dengan kelainan-kelainan yang baru. Mungkin kebanyakan kita akan menolak yang baru dengan  andaian ianya bertentangan dengan yang lama. Cuba kita periksa. Adakah yang lama itu sempurna. Atau ianya hanya satu antara cabangnya sahaja. Belajar dari berbagai sumber sebenarnya suatu tuntutan. Kita belajar dari mereka yang arif dalam bidang mereka. Ada kelainan kerana pengalaman yang berbeza. Bukan bertentangan tetapi suatu alternatif. Kelainan yang positif. Meraikan kelainan bukan membebankan pemikiran sangat. Terima seadanya. Buat tapisan dengan teliti. Akan nanti ada manfaat besar mennanti. Kebenaran yang hakiki terserlah.
Menyerap sesuatu yang baru menjadi lumrah dalam hidup kita. Andainya kita boleh berlapang dada banyak input baru yang perlu kita fikirkan. Sekali lagi, asalkan ianya tidak bertentangan dengan syariat. Sesuadah kita membariskan semua input-input yang kita miliki, kita buat rumusan yang terbaik. Yang logikal. Yang ekonomikal. Yang hak. Yang sesuai dengan hukum dan hakamnya. Maknanya setiap yang kita lakukan ada rujukannya. Kita ada guru yang jelas susur galurnya. Belajar wajib berguru supaya jelas ambilan dan amalannya. Ingat cerita Ali Baba Bujang lapuk. Kerana berguru kepalang ajar, Kassim Baba terperangkap dalam gua. Dia tidak tahu mantera untuk membuka gua. Dia hanya mendengar mantera membukanya sahaja. Mudah-mudahan kembara usia kita banayk barakahnya.
Satu lagi perkara yang perlu kita ingat apabila berada di tempat baru kita kena jaga pantang larang budaya. Budaya kita tidak sama dengan budaya orang. Di negara sendiri kita dominan dengan budaya kita. Apabila di negara orang kita kena jaga banyak perkara. Ada istilah dan kalimah yang tidak boleh diungkapkan sewenang-wenangnya. Ia mencemaskan orang yang mendengarnya. Resmi dan pembawaan kita hendaklah kita simpan di Malaysia. Simpan di rumah sewa kita. Kita pelajari budaya orang. Usia kita bukan penentu bahawa kita boleh meminta orang menghormati kita. Semua pergerakan mestilah dengan berhemah. Menghormati orang lain. Jidak mengganggu mereka kerana kelainan yang kita tunjukkan. Yang kita amalkan. Kita rasa tidak ada salahnya. Jangan. Jangan. Gangguan perasaan kadang-kadang menjengkelkan orang lain. Orang melarikan diri dari kita. Ukhwah tidak terbina mengikut adatnya. Terlalu banyak yang saya alami. Saya lihat dan bersama mereka yang tenggelam dalam diri mereka sendiri. Akibatnya ramai orang menyingkir. Mungkin tidka secara fizikal tetapi menyingkir secara perasaan. Halus tetapi menyesakkan.

No comments:

Post a Comment