Tuesday, June 12, 2012

Sungai Thames Nadi England Yang pulih Cemarnya


Jambatan di belakang kami dinamakan The Tower Bridge. Kapal boleh melaluinya. Jambatan itu tinggi. Di tengahnya boleh dipisahkan. Boleh dinaikkan. Sewaktu itu kapal boleh hilir mudik.


Big Ben dibina di tepi Sungai Thames. Begitu juga Parliment House. Banyak bangunan ternama berada di tepi sungai. Lambang pentingnya sungai itu.

Senibina di Barat berbukti nyata. Hebat binaan yang tertegak di bumi mereka. Kota-kota mereka diserikan dengan bangunan-bangunan yang kekal lama. Cantiknya meningkat semakin ianya berumur.



Bila dikenang kembali semuanya menenggelamkan khayalan. Ia benar. Ia realiti. Saya dan keluarga pernah berada di London. Di tebing Sungai Thames. Santai begini tidak mungkin berulang lagi. Kelima-lima anak saya sudah berkerjaya. Sudah berkeluarga. Zaman itu hanya mengembalikan kenangan. Imbauan masa lampau. Suatu perjalanan yang merentas masa. Telah berlalu. Mungkin akan diulang oleh orang lain. 

Dalam dunia ini sungai banyak fungsinya. Ada fungsi positif. Ada juga fungsi negatif. Sungai secara fitrahnya banyak manfaat. Keharusan menggunakannya sangatlah tidak terkira banyaknya. Pada asalnhya sungai adalah sumber air. Ianya  adalah sumber kehidupan. Airnya untuk minuman. Membasuh dan mandi manda. Sungai juga untuk sistem pengairan seperti di Lembah Nil di Mesir dan Lembangan Mississippi di USA. Banyak empangan yang hebat dan besar dibina di sungai-sungai. Dalam sejarah manusia Empangan Maarib di Yamen adalah empangan besar yang pertama seumpamanya dibina manusia. Kesuburan dan kemakmuran di selatan Semenanjung Arab bergantung kepada empangan itu. Kita mengkaji sejarah tentang tamadun yang dibina di sepanjang Sungai Indus di India, Sungai Furat di Iraq dan Sungai Yangtze dan Hwang Ho di Cina. Di Eropah tiada siapa yang dapat menidakkan besarnya sumbangan Sungai Danube yang merentas beberapa negara terutama Germany. Ada sebuah lagu klasik yang diberi nama Blue Danube.

Maka belayarlah manusia di sungai-sungai yang besar seperti Amazon di Brazil. Perahu, sampan, kolek, jalur dan lading mudik dan hilir mengikt arus air. Mereka menghilir bila air surut. Mereka mudik bila air pasang. Alam yang dikuasai Allah digunakan secara maksimum. Ikut alirannya. Dari sungai makanan bertimbun-timbun. Ikan tidak pernah habis dari dahulu hingga sekarang. Cuma kualiti dan kuantitinya sahaja semakin merosot. Sebab musabab kerana kerosakan yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia. Begitu juga sungai menjadi jalan pengangkutan yang tiada tandingannya. Kayu balak hanyut melaluinya. Sagu yang bertual-tual dihanyutkan mengikut arusnya. Malah buah kelapa juga diangkut melalui air. Maka kebaikan terlalulah banyaknya melalui air sungai yang ada si mana-mana negara. Sungai menjadi nadi. Menjadi punca kehidupan. Ada masanya sungai menjadi survival sesebuah komuniti. Sesebuah kelompok manusia. Sesebuah negeri atau negara.

Sungai sangat nostalgik kepada banyak bangsa. Tamadun dibina di tebing-tebing sepanjang sungai. Namun dalam apa keadaanpun setiap sesuatu ada kontranya. Ada paradoxnya. Allah menciptakan sesuatu ada lawannya. Sinonim dan antonimnya. Manfaat diringi juga dengan mudaratnya. Sungai menjadi tembok keselamatan. Perisai dari serangan musuh. Kebetulan sungai adalah jalan yang selalu menjadi jalan utama. Serangan dari musuh jarang datang dari darat. Semak, bukit-bukau, paya dan haiwan liar sukar diatasi. Hanya sungai yang memudahkan. Makan minum tiada pencemaran. Ikan dijala dan dipukat. Atau dikail. Mandi manda memang sangat memudahkan. Musuh juga berfikiran yang sama. Jalan mudah menyerang negara orang tentulah melalui sungai. Banyak bandar dibina di tebing sungai yang strategik kedudukannya. Kota yang dibina boleh dipertahankankan dari banyak penjuru. Kedatangan musuh dari sungai mudah dipatahkan. Banyak armada kalah dan berundur kerana kota yang dibina tidak berjaya ditembusi atau dilalui.

Kembara saya telah melalui beberapa sungai yang besar impaknya. Ada antara sungai-sungai itu yang sudah hilang peranannya. Ditukar pula menjadi tarikan pelancong. Ambil sahaja Sungai Melaka. Sudah menjadi terlalu tidak signifikan untuk apa sekalipun. Suatu ketika dahulu tertegak di muaranya sebuah kerajaan yang gah dan besar. Menyeberang Selat Melaka. Ke Selatan meliputi Riau. Sungai Melaka hanya menjadi kenangan. Nostalgik zaman. Malamnya sahaja yang menggamit keindahan. Malacca River Cruise barangkali sedikit menghilangkan kedukaan masa lampau. Ada kilauan cahaya yang beriak di air untuk melegakan kerisauan lalu. Masih ada harapan untuk kembali menegak kekuatan. Sungai-sungai lain di Semenanjung sudah hilang serinya. Sungai Pahang kekal dengan besar dan ganasnya pada musim tengkujuh. Sungai Klang hanya sampah. Mati segala impian. Sungai yang lain cemar dan kotor. Kita seperti tiada lagi perlukan sungai. Lupa dari sungai kita perlukan airnya. Dipam ke rumah untuk melestarikan kehidupan yang masih panjang di hadapan. Sangat mudah membunuh sungai. Sampah sarap menimbun dan menimbusnya. Alirannya terhalang. Kemusnahan kepada ekosistem. Membunuh tebing dengan banjir dan bah. Kemusnahan dari akibat tangan manusia tang tidak panjang. Benarlah kadang-kadang tangan kita hanya panjang sejengkal. Tidak mahu berfikiran jauh. Bahawa yang sedikit-sedikit itu lama-lama menghapuskan manfaat sungai. Tenggelam dalam sampah. Tenggelam dan bau busuknya. Tenggelam dalam hinanya.

Begitulah Sungai Thames di London. Antara kota besar yang juga besar sejarahnya. London jauh dari muara Sungai Thames yang menghala ke Laut Utara. Berliku tetapi di tebing Sungai Thames itu London ditegakkan. Kapal dagang berlabuh di tepiannya. London menjadi mewah sebagai kota dagangan. Rupanya kemewahan ada tabir musibahnya. Manusia tidak banyak mempertimbangkan akibat. Tidak memikirkan konsekuen. Yang difikirkan hanya diri sendiri. Falsafah nakal dari Barat yang menegakkan ekstensialism, materialism dan individualism. Idealism sudah tidak lagi menjadi pegangan. Paradigma berfikir manusia menjadi tumpul. Mereka menganggap bahawa laut adalah tong sampah besar. Mereka percaya sungai mengalirkan sampah ke laut. Mereka lupa bahawa sampah yang tidak sampai ke laut kembali ke hulu dibawa arus air pasang. Sampah itu terdampar di tebing-tebing sungai. Akhirnya sampah-sampah itu menjadikan sungai semuanha sampah-sampah belaka.

Di US umpamanya sungai sangat dimuliakan. Apabila ada sahaja bahan pencemar yang dikesan di sungai maka proses merawat air untuk minuman dan makanan dihentikan sertamerta. Langsung tiada kompromi. Pemerintah dan pihak berwajib tidak perlu menangguh berfikir. Kesejahteraan rakyat tidak pernah diperjudikan. Tidak pernah cuba dianiaya. Air yang sudah ditakung juga dibuang demi menjaga kesihatan rakyat. Produktiviti mereka dijaga. Dipertahankan. Rakyat dan negara adalah gandingan yang memberikan nilai positif. Menjana sinergi. Sebab itu di US rakyat selalu didahulukan. Air dari paip boleh terus diminum. Selamat kerana tiada pencemaran. Tiada bahan yang yang merbahaya. Suatu konsep yang berbeza dengan yang difikirkan di negara membangun. Negara yang belum maju. Yang masih mengejar banyak bayang-bayang elusif. Kita di sini air masih belum bersih dirawat. Klorinnya sangat tinggi. Air paip memang tidak layak diminum terus dari paip. Tidak wajar diminum terus begitu sahaja. Bila dibuat air teh tidak terasa tehnya. Air itu jadi birat dan mengeluarkan bau yang tidak enak.

Pihak berwajib di London mengalami pening kepala yang berpanjangan. Sungai Thames sudah terlalu tercemar. Airnya tidak layak langsung untuk diharungi oleh manusia. Tidak layak untuk direnangi. Kotor dan sampah yang mencengkam. Segala kehidupan air musnah sama sekali. Tiada apa yang boleh hidup. Manusia boleh berfikir. Manusia boleh mencari jalan yang terbaik. Keputusan dibuat. Peraturan digariskan. Perundangan digubal. Rakyat diperlukan menyumbang. Membantu. Memahami. Membari komitmen. Maka air kumbahan dirawat dahulu. Sisa dari kilang dirawat dahulu. Yang dilepaskan ke sungai adalah air yang sudah dirawat. Yang bersih. Yang tiada pollutant langsung. Jika ada hanya yang paling minimum. Tidak menambah untuk menjejaskan kualiti air. Prosesnya perlu kesabaran. Mengambil masa yang panjang. Namun usaha yang disegerakkan menampakkan kejayaan. Memberikan impak baik. Sungai Thames mencerahkan airnya. Pencemaran berkurangan. Akhirnya Sungai Thames menjadi bersih. Hidupan air kembali ceria. Merenangi dalamnya. Menyusup di bawah alirannya. Sesungguhnya alam ini untuk manusia. Jika musnah maka musnahlah manusia yang mengharapkan kesinambungannya. Kelestarian manusia itu sendiri.

Selagi orang Malaysia tidak berfikir untuk menjadi positif maka selagi itu kita berhadapan dengan masalah sungai. Pencemaran yang terus berpanjangan. Pelupusan sampah masih di tahap mencuba jaya. Belum ada sistem yang mantap.  Rakyat masih tumpul berfikir. Sungai bukan tong sampah. Longkang bukan tong sampah. Parit bukan tong sampah. Air bukan tong sampah. Banjir  bukan tong sampah. Laut bukan untuk tong sampah. Jika kita tidak menguba sikap maka sampah-sampah itu akan memusnahkan kiga semua. Sumber air akan tercemar semuanya. Malah air hujan bukan lagi bersih. Udara mencemarkannya. Manusia mencemarkan udara. Ke mana lagi untuk kita hidup. Inilah sahaja planet biru (blue planet) yang mengandungi air. Yang boleh dihuni manusia. Satu-satuna tempat yang boleh hidup. Tiada tempat lain. Tolonglah bantu diri kita sendiri. Kita sendiri yang boleh merubah semua ini. Diri kita sendiri. Hati kita. Jiwa kita. Semuanya kita. Tiada orang lain.

Thursday, June 7, 2012

Greenwich Meridian Time: Fakta Yang Banyak Tidak Benarnya

Abraj Al-Bait Towers juga dikenali sebagai Mecca Royal Clock Hotel Tower. Menara kedua tertinggi selepas saingannya di Dubai. Di puncaknya jam terbesar di dunia. Lebih besar dari saingannya di Turkey. Jauh lebih besar dari Big Ben di London. Inilah tanda pusat dunia. Jam sepatutya bermula di sini. Orientasinya perlu dimulakan oleh negara Islam sendiri.  

 

Semua waktu di dunia diset mengikut standard GMT. Greenwich Meridian Time. Greenwich dibunyikan Grinic. Orang British sangat kuat pada suatu waktu dahulu. Empayar mereka terlalu besar. Asia, Amerika, Afrika dan Australasia adalah tanah jajahan mereka. Amerika Utara dan Canada mereka miliki. Hampir seluruh Afrika di bawah genggaman mereka. India jajahan mereka. Begitu juga dengan Malaysia, Hong Kong dan British Surinam di Amerika Selatan. Malah negara Cina yang besar itu pernah berada di bawah cengkaman mereka. Benarkah Greenwich menjadi pusat dunia? Hakikat itu hanya mereka yang mengatakan benar. Islam tidak mengatakannya begitu. Sejarah Islam bermula sejak azali. Sebelum ada apa-apa Kaabah atau Baitullah sudah ada di tempatnya. Struktur binaannya sahaja tidak seperti sekarang. Sewaktu Siti Hajar dan Nabi Ismail dimukimkan di Makkah, Baitullah suadh ada. Telaga Zam-Zam sudah ada. Makkah atau disebut sebagai Bakkah di dalam al-Quran menjadi nadi dan pusat Islam. Semua hati mengarah hadapnya ke sana. Makkah menjadi pusat segala-galanya bagi umat Islam.

Teknologi dan satelit membuktikan bahawa Makkah adalah pusat dunia. Baitullah itu pusat dunia. Kaabah itu pusat dunia. Kita berkiblat ke pusat dunia. Manusia Islam dari seluruh penjuru alam menghadap ke Kaabah kerana itu adalah pusat dunia. Kelicikan British yang mengubah seluruh persepsi manusia yang dijajahnya. Semua orang mendokong persepsi itu. Asalkan bukan Islam semuanya mereka sokong. Hakikatnya ialah GMT bukan penentu waktu yang benar. Greenwich di London bukan pusat dunia. Apabila dilihat dari angkasa yang kelihatan memancarkan cahaya ialah dua tanah haram iaitu Makkah dan Madinah. Makkah lebih bercahaya antara keduanya. Sesiapa yang pernah mengerjakan umrah dan/atau haji tentu perasaan bahawa Kaabah berada di sebuah lembah. Dikelilingi bukit bukau di gurun pasir yang kering kontang pada asalnya sewaktu pada kali pertama Siti Hajar dan Nabi Ismail dimukimkan di situ oleh Nabi Ibrahim. Air Zam-Zam Allah jadikan sebagai penyubur tanah. Penyubur penghuni Makkah. Penyubur agama Islam. Kaum Jurhum yang berkelana setelah Empangan Maarib pecah di Yamen akhirnya menumpang bergabung dengan Siti Hajar dan Nabi Ismail. Itulah bermulanya manusia Arab Quraisy biak di situ.  Mereka akhirnya menjadi pendokong agama Islam yang kedudukannya tetap agung hingga akhir zaman.

Kota yang menjadi tumpuan seluruh umat Islam itu diberi berbagai kelebihan. Itulah pusat tumpuan. Kiblat orang Islam. Bukan Greenwich. Kerajaan Arab Saudi membina jam besar sebagai simbol bahawa Makkah adalah pusat dunia. Jika orang Barat mengganggap GMT itu garis pusat dunia maka semua orang Islam sewajibnya mempercayai bahawa Makkah adalah pusat segala pusat dunia. Mungkin belum sampai mesejnya untuk hal itu terjadi. Banyak yang perlu dibuat untuk membujuk orang Islam supaya percaya bahawa Islam itu memiliki segala-galanya. Tidak lagi perlu bersandarkan kepada yang cuba disalahalih oleh orang British khususnya. Terlalu banyak yang mereka buat tetapi diperakui oleh sekutu-sekutu mereka. Kita tidak lagi tahu tahap kebenarannya. Mereka palu genderang propaganda kita semua menari mengikut rentaknya. Kita semua mengikut dan terus mengikut. 

Di London dibina sebuah jam besar yang namanya The Big Ben. Jam itulah yang dirujuk sebagai aras penunjuk waktu. Ia bermula dari 0 jam. Semua waktu tempatan dirujuk kepada waktu pada The Big Ben. Jika kita sorot semua yang namanya British atau English banyak kerosakan fakta dan kecelaruan fikiran. Paling banyak ialah fakta sejarah. Bayangkan mereka dikatakan membuka Afrika. Bagaimana kita menjawab adanya Firaun beribu-ribu tahun sebelum kedatangan British. Bagaimana orang Barat menemui Amerika sedangkan di sana sudah ada tamadun Mayan dan Aztec. Begitulah mindset manusia diceroboh secara psilogikal. Pusat pemikiran ditumpukan untuk mengangkat tinggi warisan British. Walhal mereka hanya superimpose diri mereka ke atas orang lain. Mereka menumpang secara fizikal tetapi rohnya masih pada orang yang dijajah. Sebab itu semua orang percaya cakap British. Tiada yang benar kecuali British. Orang kita hingga sekarang masih berkepala British. Hatinya British. Lagaknya British. Mimpinya British. Amalannya British.

Amerika Syarikat sudah lama membuang apa sahaja yang namanya British. Hampir sudah tiada lagi. Sistem menulis sudah diubah. Night menjadi nite. Sistem pendidikan diubah seluruhnya. Makanan berubah. Adat kebiasaan beubah. Di Britain tiada Thanksgiving dan Turkey. Tiada Holloween. Ada usaha untuk mengikis semua tinggalan British. Mereka jadikannya American. Soccer mereka jadikan American Football. Campuran antara soccer dan ragbi. Sistem politik juga berbeza. Di Britain ada parlimen. Ada perdana Menteri. Di USA ada presiden. Politik bermula di negeri-negeri dengan Gabenor. Yang lebih tinggi ialah senator. Mereka bersidang di Capitol. Di Washington. British hanya kenangan. Sekarang Britain dipaksa mengikut telunjuk Amerika Syarikat. Britain bukan lagi kepala. Ia menjadi ekor dan pengikut. Amerika Syarikat berjaya mengangkat dirinya melebihi ketinggian Britain. Melebihi kehebatan Britain. Contoh tanah jajahan yang menunggangterbalikkan negara yang menjajahnya.

Sudah sampai masanya Big Ben di London diabaikan. Jam besar di Makkah akan merealisasikan fakta dan kebenaran itu. Menaranya sudah dibina tersergam gagah. Menaranya tertancap tinggi menungkah awan. Dapat dilihat berkilometer jauhnya. Semua negara Islam perlu akur dengan agamanya. Pusat dunia adalah Makkah. Itulah hak dan kebenaran hakiki. Barat harus kembali menerima kenyataan. Sejarah mereka semakin pudar.



Big Ben di London yang selalu dirujuk sebagai penentu waktu. Kelicikan orang British menipu kebenaran.

Walau apapun saya dan keluarga pernah menatapnya. Big Ben di belakang. Menara besar yang menjana tamadun Barat. Mana tahu suatu waktu nanti ianya bukan lagi signifikan. Mungkin tiada siapa lagi yang akan menjamah sejarahnya.

Sukar juga melupakan saat-saat begini. Pada suatu detik masa ada kenangan yang lama terpahat di qalbu. Waktu-waktu indah bagi anak-anak. Dunia menjadi milik mereka. Sesuatu yang tidak mungkin diulang lagi. Saya badikannya dalam paparan sedikit untuk memberi signifikan kepada diri. Masih nostalgik.






Friday, June 1, 2012

Madame Tussaud: Muzium Patung Lilin London

Kita biasa melihat patung-patung yang mengabadikan wira-wira. Ada juga yang mengabadikan tokoh-tokoh. pun begitu ada juga yang mengabadikan ilmuan-ilmuan. Pendek kata siapa sahaja yang ada nama kebarangkalian untuk dipatungkan dirinnya memang biasa di Barat. Di Timur ianya bukan perkara biasa. ada sekatan agama. Ada sekatan adat. Bukan kebiasaan. Jika ada sekalipun patung hanya untuk orang yang sudah tiada. Lain keadaannya di Barat. Banyak nama hebat yang boleh diabadikan. Tempat yang paling unik ialah di Museum Lilin - Madame Tussaud di London. Selalu disebut Wax Museum. Sebut sahaja nama manusia yang pernah disejarahkan ada di situ. Nama yang besar dalam apa bidang sekalipun ada di situ. Dari pemimpin negara dan politik hinggalah kepada selibriti dalam segala bidang. termasuk juga keluarga diRaja. Orang-orang glamour. Mereka yang terkenal dalam hal yang tidka wajar. Kesemuanya dipatunglilinkan.


Sayangsekali jika tiak singgah. Sememtelah sudah berada di London tinjau juga apa yang ada di dalamnya. Namanya sahaja ada istilah museum. Barangkali ada artifak lama. Cebisan sejarah lama. Tidak. Yang ada adalah patung-patung lilin. Di situlah saya menemui Napoleon (France), Hitler (Germany), Idi Amin (Uganda), Stalin (Russia), Queen Elizabeth II dan keluarganya, tokoh-tokoh filem, sasterawan  dan berbagai lagi orang-orang dijadikan terkenal pada zamannya. Itu yang saya dapati bahawa, jika benar ukuran saiznya, saya lebih tinggi dari Napoleon Bonaparte. Manusia kecil yang menggugat Eropah. Pendek kata saya menemui orang-orang yang pernah saya baca sejarahnya. Malangnya hanya lilin yang saya temui. Bukan tubuh sebenarnya. Tidaklah mereka bersuara. Tidaklah mereka menjabat tangan saya.  Tidak adas enyum tawa yang boleh didengar. Mereka dirakam mati tanpa gerak dan geri. Berdiri atau duduk di situ menunggu setia pengunjung yang menjengah. Pelancong yang datangnya dari mana-mana.




Barangkali pada tahun 80an dan 90an Puteri Diana adalah wanita paling dikenali di seluruh dunia. Lebih gah dari ibu mertuanya Queen Elizabeth II. Keayuan dan kelem butannya memikat dan memukau sesiapa saja. Lirikan matanya menikam-nikam. Senyumnya menusuk qalbu. Tinggi dan lampainya kalah model yang bergelar super model. Pakainya selalu menajdi trendy. Rabutnya diabadikan oleh semua orang yang memiliki miripnya. Patungnya di sebelah Queen. Walaupun Queen pernah muda dan pernah cantik, Diana dilihat lebih lagi cantiknya. Sayangnya hidupnya tidak bahagia. Ada sarang duka dan lara ceritanya. Merana kerana kebahagiaan yang tidak pernah kekal lama. Perceraian yang memeritkan. Hidupnya berakhir dengan tragedi bersama Dodi al-Fayed. Hingga sekarang inquestnya tidak pernah jelas. Apa sebenarnya yang terjadi. Apa motifnya.  

Ini patung seorang pelakon Hollywood yang melakonkan watak Kojek. watak keras dan menggerunkan penjenayah-penjenayah. Biasalah orang putih lebih tinggi dari saya. Namun saya masih boleh menyaingi ketinggiannya. Tidak semua orang putih besar dan tinggi. Cuma pada kebanyakan masa begitu gambaran yang dilihat. Jangan risau mereka ramai juga yang lebih rendah dan lebih kecil dari kita. Akhirnya bukan saiz yang penting. Taqwa lebih penting dari yang lain. Kembali kepada Islam tiada tandingan nikmat dan nyamannya.

Masyarakat mereka suatu ketika dahulu. Tidak Islam tetapi menutup aurat. Tubuhnya di tutup lingkup. jejari kaki atau tumit langsung tidak kelihatan. Sayang, kepala tidak ditudung. Jika tidak gambaran Islam tentu terserlah. Yang dipakai hanya topi hiasan. Bukan juga pelindung panas.

Iron Lady. Itulah gelae]ran Margaret Tacher, perdana menteri Britain suatu ketika dahulu. memimpin sebuah negara besar di Eropah mengujaka ramai orang ketika itu. Tinggi orangnya. penuh yakin dengan dirinya sendiri. Boleh mengawal dunia khususnya Commonwealth. Negara-negara bekas tanah jajahan Britain. Diabadikan juga dalam filem. 

Ini imej keluarga diRaja Englang dahulu kala. Pakaiannya yang lavish dan mahal. Mereka hidup penuh kemewahan. Namun di sebaliknya hidup mereka penuh dengan hasad dengki. Penuh dengan fitnah dan umpat keji. Pengkhianatan berlaku dalam keluarga sendiri. yang penting kuasa. Keluarga diRaja England yang mengimposekan kuasanya ke atas Scotland, Wales dan Ireland.

Anak-anak kecil selalu dihidangkan dengan cerita ini. Berzaman-zaman ianya diulang-ulang. Dari nenek kepada anak. Kepada cucu. Kepada cicit. The Sleeping Beauty. Tidaurnya sangat lama. Seorang putera berkuda datang terjumpa. Jatuh cinta pandang pertama. Kucupan azimat kali pertamanya membuka mata si cantik manis. Terjaga dari tidurny ayang panjang. Sumpahan si tukang sihir yang cair kerana sebuah ciuman. Berkahwinlah mereka dan bahagia ever after. Itu ceritanya. Patungnya di atas katil. Bukan di hutan belantara. Patungnya itu dipasang jantung palsu yang bercahaya seiring dengan degupan jantung. Bila kembang berwarna merah menyala. Bila kecut malap sedikit warnanya. Hiduplah patung itu bak puteri yang beradu. Nafasnya naik turun. Wajahnya sangat ayu. Beradunya sesejuk salju.

Rasanya ramai yang mengenal Agatha Christie. Penulis yang prolifik dengan novel penyaisatannya. Bukuna ada di perpustakaan sekolah. Diterjemahkan dalam banyak bahasa. Orangnya dilihat sangat simple. barangkali dalam jasadnya banyak isi untuk dikongsi.



Itulah cerita dari museum patung lilin Madame Tussaud, London. Banyak mengerti dengan melihat patung-patung lilin yang dipamer. Pakaian paling menonjol. Fizikal mereka dapat dilihat. Gambaran dari sejarah manusia. Kepada mereka semuanya boleh. Tiada sekatan mengabadikan kehidupan manusia dalam bentuk apa sekalipun. Itu baru lilin. Banyak lagi yang dibuat dari gangsa. Dari batu. Arca. Lukisan. Sekarang lagilah banyak. Teknologi menukar medium penyampaian kepada khalayak yang ramai dan pelbagai. Nyawa sahaja yang mereka tidak pandai. Mereka mencuba dengan robot. Tidak mungkin menyamai manusia yang memiliki roh dan perasaan. Replika itulah yang paling hampir dapat mereka lakukan.

Speakers’ Corner Hyde Park London


Mengunjungi Hyde Park seperti suatu mimpi. Lama sebelum itu saya dengar tentangnya. Dari guru yang baru pulang. Artikel dan berita mengenainya. Tidak pernah bahawa suatu saat kaki saya berpijak di situ. Di ruang yang sangat bebas untuk berkata apa sahaja. Tiada sekatan. Tiada intimidasi. Seolah-olah kebebasan menjadi sesuatu yang mutlak. Potret ini saksi kehadiran kami di situ. Suatu pengalaman mahal seorang anak kampung.

Kami santai seketika di sini. Entah apa yang ada di minda anak-anak kecil saya ketika itu. Kebebasan buka apa-apa kepada mereka. Mereka mendapatnya tanpa diminta. Tanpa disekat. Hanya orang dewasa yang inteleknya tinggi selalu menagih kebebasan. Kebebasan untuk berkongsi fikir. Berkongsi kehendak. Berkongsi keadilan. Berkongsi hidup yang saksama.


Suatu ketika dahulu di Universiti Malaya Kuala Lumpur terdapat sebuah ruang di hadapan pintu besar perpustakaannya. Hanya suatu ruang. Di ruang itulah ramai pelajar mengasah bakat dalam pengucapan awam mereka. Mereka berpidato. Berapi-api. Berbagai tajuk yang digarap. Cuba diketengahkan. Cuba mengusik hati. Cuba meggegar psikologi. Anak-anak muda di menara gading selalu ideal. Mereka selalu merasa mereka banyak tahu. Kerana itu mereka cuba menjadi dewasa. Menjadi juara. Membina realiti dari sesuatu yang selalu hanya kebarangkalian. Cerita sedikit yang menjadi besar. Menjadi idealisma. Namun suasana tidak mengizinkan. Iklim tidak membenarkan. Dalam dunia kita, kebebasan bersuara itu belum ada. Di parlimen sekali pun ada yang bersuara, ada pula yang mengganggu. Kebebasan bersuara tidak ada. Ramai pemimpin yang lahir dari speakers’ corner di UM itu. Sayangnya sewaktu saya sampai memulakan pengajian saya pada tahun 1975 sudut pidato itu sudah lengang. Ada larangan menggunakannya. Tidak ada lagi ruang bercakap tanpa had. Tanpa sensitiviti. Without fear. Nampaknya ada juga usaha untuk mewujudkannya di IPT namun terlalu ramai yang teragak-agajk. Kita selalu fobia dengan kritikan. Keterbukaan yang payah luasnya. Payah besarnya. Payah bebasnya.

Sudut pidato yang paling terkenal di dunia rasanya tetap di Speakers’ Corner di Hyde Park, London.  Di situ sesiapa sahaja boleh bercakap. Hanya dalam ruang itu. Ruang lingkup yang sangat kecil. Bebas untuk warga dunia. Bebas untuk siapa sahaja. Jun 1986 saya berada di ruang bebas itu. Saya jejak buminya yang bebas itu. Sesiapa sahaja boleh berada di sana. Tiada sekatan. Tiada halangan. Tiada apapun yang boleh menajdikan saya terasing di ruang yang gah dengan namanya. Kebebasan merpati putih yang selalu terbangnya sangat bebas. Bebas pergi dan bebas pulang. Bebas hinggap di mana kaki tersentuh. Layang dan terbang yang sama menurun dan menerpa angin tinggi. Beburung yang tiada mengenal tepi dan tinggi. Apatah lagi jauh. Semua ruang lapang untuk bebas menerawang segala ruang. Matanya luas menerawang segala yang boleh dipandang. Dalam ruang bebas itu ramai yang melepaskan apa sahaja yang terbuku di hati. Simpulannya dibuka dengan kata-kata. Kegeraman yang dilemparkan dari hati dan perasaan. Mencari kedamaian yang dipindahkan kepada orang lain. Tiada yang disimpan sendiri. Dikongsi untuk yang sama tahu.

Apa yang selalu tidak bebas pada manusia? Hanya fizikalnya. Penjara yang selalu menyekat pergerakan. Tembok tinggi yang sukar dipanjat. Yang mensesiakan usaha. Tembok tebal yang selalu membendung. Tembok keras yang tentu tidak mudah cair. Tembok kaku yang tidak ada belasnya. Tembok sejuk yang selalu tiada panasnya. Namun tembok bukan penghalang. Bukan penyekat mutlak. Bukan pembendung abadi. Allahyarham Hamka dipenjara bertahun-tahun. Dilingkungi tembok batu yang sejuk, keras, kaku dan tiada sayu. Dari tembok itu lahir Tafsir Azhar yang tebal berjilid-jilid. Menjadi rujukan besar pengamal agama. Yang dekat dengan Allah. Begitu juga dengan Ibn Taimiyyah yang usianya tamat di penjara. Tetapi namanya terbang. Tinggi. Semangatnya menerobos pencinta agama. Besar dan gah. Gemilang selalu. Penjara tidak menjerut kehebatan. Setengah orang menjadikan penjara ruang bebas untuk bersuara dari dalam. Melepasi tembok tinggi dan tebal. Sejauk dan kaku.

Begitu juga dengan Imam Hanafi. Imam Malik. Penjara bukan asing kepada pencinta Allah dan RasulNya. Kepada pencinta agama. Kehebatan nama manusia yang dicintai Allah tetap besar dan gah. Tetap besar dan terbilang. Tetap meniti di bibir mulut. Ilmunya menyebar. Ideanya melewati segala dinding. Saran dan cadangnya melebar ke seluruh alam. Saya teringat Nelson Mandela di Afrika Selatan.  20 tahun di penjara tidak melunturkan semangat dan idealismanya. Apabila aparteid terhapus ia bebas menjadi pemimpin negara yang memenjarakannya. Sesungguhynya manusia hanya boleh terpenjara jasad fizikalnya. Yang dipenjara langkahnya ialah kakinya. Yang tersekat untuk menggapai ialah tangannya. Yang dilindung untuk melihat ialah matanya. Yang tersekat untuk menghidu ialah hidungnya. Yang terhalang untuk mendengar ialah telinganya. Yang tiada lagi untuk dijamah ialah deria sentuhnya.

Tidak mungkin seluruh diri manusia itu dipenjara. Mindanya bebas bak alam luas. Mata hatinya pergi jauh ke mana sahaja boleh terbang. Rohnya ke mana sahaja bila ada tidur dan mimpi. Siang atau malam bukan sekatan apa-apa. Bibir dan lidah masih bebas berbicara. Berbicara secara intra-personal. Dengan tembok. Dengan ruang. Dengan angin. Dengan segala anggota tubuhnya. Mindanya masih boleh mengingat segala yang dicerita dari hati. Dari bibir dan lidah. Begitulah ungkapan mereka yang teraniaya. Kau hanya boleh memenjara fizikalku, tetapi kau tidak boleh memenjarakan fikiranku. Ideaku. Idealismaku. Malah kecintaaku tidak pernah boleh dirobek. Penjara bukan penyekat. Peraturan tidak pernah menyekat kebebasan. Undang-undang tidak boleh menyekat kebebasan. Setiap yang hak adalah bebas asalkan tidak melanggar syariat. Tidak melanggar adat yang bersandarkan syariat. Asalkan tidak melanggar norma dan kebiasaan. Asalkan tidak melanggar undang-undang yang adil. Yang saksama. Ada hemah dan sopan.

Semakin manusia melampaui zamannya semakin pula banyak alternatif bersuara. Terlalu banyak media untuk membebaskan suara. Speakers’ Corner seperti di Hyde Park bukan lagi pilihan. Tiada anak muda di situ. Tiada mereka yang terlalu ideal berada di situ. Pengalaman kadang-kadang seperti melucukan. Saya melihat rabi dan paderi dengan jubah hitam mereka. Dengan bible di tangan. Menyeru kepada agamanya. Semua yang disapa hanya berlalu tanpa henti. Tanpa menjeling. Tanpa minat walau sedikit. Agama bukan lagi tarikan manusia. Idealism seperti dokongan Socrettes sudah tiada. Sekularism sudah terlalu seru menjauhkan manusia dari agama. Tiada lagi ikatan kuat. Tiada lagi falsafahnya yang dituntut. Agama di barat sudah terlalu menipis. Terlalu cair. Manusia ramai yang atheis. Tiada tuhan untuk mereka. Di Malaysiapun agama selalu menjadi bahan yang kering. Layu dan sayu. Walaupun ada pihak yang mengimarah dan memartabatkannya, ada juga yang meruntuhnya. Yang mencairkannya. Mereka manganggap agama hanya sesuatu yang dogmatik. Bukan dianggap sebagai realiti. Kita semakin dangkal. Semakin hilang arah. Jalan lurus itu dilihat terlalu bengkoknya. Padahal yang bengkok adalah mata diri yang melihatnya. Demikianlah jika pendidikan agama selalu dipinggirkan. Jalan ke akhirat selalu tidak dilihat. Jalan ke syurga selalu tidak dinampak.

Pun begitu rabi dan paderi di Hyde Park tetap berdiri di situ. Mencuba dakwah yang tiada sambutannya. Kritikan sosial juga bukan lagi menjadi penting. Tiada sesiapa yang terlalu ghairah untuk mengikutinya. Selalunya orang tidak kisah dengan apa yang berlaku kepada orang lain. Masalah orang bukan masalah kita. Selagi tidak kena batang hidung sendiri maka itu bukan masalah diri sendiri. Biarkan orang lain dengan masalah mereka. Hidup nafsi nafsi. Apa yang saya lihat di Hyde Park menjadi lumrah di mana-mana. Topik politik menjadi selalu hangat. Ramai yang berminat. Ramai yang mengikutinya dengan teliti. Di Barat tiada sekatan bercakap. Tiada halangan apa sahaja topik yang hendak diungkapkan. Mereka boleh mencerca Queen dan keluarganya. Mereka boleh mencacai Perdana Menteri mereka. Boleh sahaja menjadi bahan lelucon. Pasti ramai yang ketawa. Di USA, mereka bebas berkata apa sahaja tentang Presiden Obama. Semua presiden mereka maklum akan perkara itu. Menjadi presiden atau perdana menteri bukan keistimewaan. Ianya suatu tanggungjawab. Suatu komitmen. Kesilapan mereka mendapat teguran kanan dan kiri. Hadapan dan belakang. Atas dan bawah. Tidak mengguris mereka. Tidak mencalarkan mereka. Tidak mengusik hati mereka. Sangat terbuka menerima kritikan. Lumrah kepda mereka. Jika diamati sangat Islamik. Dalam Islam makmum boleh menegur imam. Menjadi wajib jika kesalahan imam itu membatalkan solat. Jika imam tidak mahu ditegur, maka makmum perlu mufaraqah. Itu perkara ibadat. Perkara solat yang menjadi tiang agama.

Saya teringat sewaktu Sayidina Umar dilantik menjadi khalifah. Ia menyeru sahabat-sahabat supaya menegurnya jika ia membuat kesilapan. Bukan jawapan lisan yang menjadi reaksi harapan Umar. Sebaliknya seorang sahabat menghunus pedangnya sambil berkata bahawa sekiranya Umar menyeleweng pedangnya itu yang akan memenggal leher Umar. Itu kata rakyat kepada khalifahnya. Kepada pemerintahnya. Kepada imamnya. Kepada ketuanya. Umar bukan calang-calang sahabat. Syaitan takut kepadanya. Semua musuh gentar mendengar namanya. Sahabat masih lagi tidak takut menegakkan kebenaran. Menegakkan hak. Sesungguhnya Islam itu penuh dengan nasihat. Nasihat menasihati adalah kunci kebaikan bermasyarakat supaya semuanya selari dengan tuntutan syariat. Sentiasa menegakkan yang hak. Membuang yang batil. Kerana itu angin lalu seperti yang diungkapkan pujangga lama sudah berubah wajah. Orang dahulu berkirim salam di angin lalu. Manusia meneroka angin itu. Yang ditemui ialah gelombang yang boleh menghantar mesej. Menghantar berita. Menghantar gambar dan imej. Teknologi telah merubah segalanya. Bendungan telah pecah di mana-mana. Manusia tidak lagi terpenjara kecuali fizikalnya. Syu Ki akhirnya bebas juga. Mindanya telah lama bebas. Bicaranya telah lama terlepas keluar dari rumahnya. Nobel Prize menjadi miliknya. Pejuang kebebasan. Suaranya berada di luar rumah tahanannya. Dunia mendengarnya.

Kebebasan itu bak burung merpati yang keluar dari sarangnya. Terbangnya jauh. Hinggapnya tinggi. Tinjaunya meluas laut. Burung yang di dalam sangkar enak mematuk makanan dan menyedut minuman. Segalanya percuma. Ia menyanyi riang. Suaranya tetap keluar juga. Didengar orang. Didengar beberung lain. Pemilik sangkar yag semakin tua. Semakin lupa dan semakin lalai. Sampai masanya ia tidka lagi larat menutup pintu sangkar. Tuanya semakin nyanyok. Kealpaan yang datang menerjah. Keselesaan yang membuai lalainya. Akbhirnya sangkar itu terbiar bebas. Beburung terbang mencari bebasnya. Nyanyinya semakin riang. Ceritanya semakin banyak. Kebebasan ada di mana-mana. Penjara atau sangkar hanya memenjara fizikal. Tidak hati. Tidak minda. Tidak mata hati. Tidak juga semangat dan kehendak yang banyak. Tidak. Sesungguhnya kebebasan itu ada di mana-mana. Kita yang mentafsir dan menterjemahkannya. Terima kasih penjaga sangkar yang sudah tua. Terima kasih kerana akhirnya kau tidak lagi terpenjara aku. Selamat tinggal sangkar. Aku ingin hinggap di kehijauan yang merata di mana-mana. Yang dulunya tidak ku lihat kerana sempit sangkarku. Dunia dan teknologi sudah terbuka. Akan ku nikmati kebebasan ini. Nanti akan ku terjemahkan dalam sinaran cahaya yang lebih terang. Biar tumpah di bumi bertuah ini.

Kebebasan ada di mana-mana. Carilah ruangnya. Perhatikan peluangnya. Amati natijahnya. Membebaskan minda lebih mudah dari membebaskan fizikal yang terpenjara. Buka hati. Buka mata hati. Psikologi diri perlu diperkukuhkan. Hanya itu yang membebaskan diri dari terpenjara dengan segala hal yang bukan sewajarnya. Kesemua deria kita bebas sebebas-bebasnya. Belajarlah untuk menggunakan manfaatnya. Semua yahg Allah ciptakan tiada yang sia-sia.

Saturday, May 26, 2012

Good Practising Malay Vs Good Practising Muslim


Mengikut Perlembagaan Malaysia, Melayu memiliki ciri-ciri yang unik. Mereka bercakap Melayu, mengamalkan adat istiadat Melayu dan mereka beragama Islam. Apabila ada antara ciri tersebut tersisih maka dengan sendirinya manusia Melayu itu hilang kemelayuannya. Hilang segala hak istimewanya sebagaai Melayu. Malah anak lelaki Melayu ada bin di tengah nama lelakinya. Ada binti di tengah nama wanitanya. Keistimewaan yang tidak diberi kepada etnik lain di Malaysia. Tanda-tanda Melayu itu menjadi signifikan dalam banyak hal. Ianya terserlah dalam pendidikan. Dalam ekonomi. Dalam agama. Dalam pentadbiran. Dalam pemilikan harta.

Kerana itu dikatakan bahawa Melayu itu sinonim dengan Islam. Melayu dan Islam dilihat daripada nama, pakaian, makanan, ibadat dan amalan harian. Nama Melayu diambil dari nama-nama Rasul dan Nabi. Nama para sahabat. Nama tabi’in dan nama tabi’ tabi’in. Begitu juga nama-nama besar sarjana Islam. Maka nama seperti Adam, Idris, Nuh, Isa, Musa, Muhammad dan yang lain-lain biasa kepada nama Melayu lelaki. Juga Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali. Yang wanitanya mengambil nama-nama besar  isteri-isteri Rasulullah dan nama-nama lain seperti yang banyak diriwayatkan. Tidak hairan terdapat nama Hajar, Siti Sarah, Mariam, Kahadijah, Aisyah, Hafsah, dan ramai lagi. Nama ibu susuan Rasulullahpun sangat popular iaitu Halimahtul Saadiah.

Pakaian secara umumnya lebih mirip kepada Barat. Itulah pakaian kerja lelaki Melayu. Tetapi sangat biasa kita melihat lelaki Melayu berjubah, kopiah dan serban. Yang wanita pula berjubah juga, berjilbab, purdah dan memakai fesyen Arab. Makanan Melayu adalah makanan halal. Disembelih kerana Allah. Dengan nama Allah. Dihidangkan dengan konsep halal, bersih, suci dan toyyibah. Mereka diwajibkan menghindar yang haram, yang syubhah dan yang makruh.  Ibadahnya menyangkut rukun iman dan rukun Islam. Pada diri orang Melayu terdapat unsur akidah Islam, Ibadah Islam dan akhlak Islam. Ada kesempurnaan yang syumul. Yang kamil. Indah zahir dan batinnya. Begitulah amalan hariannya yang bersandarkan syariah. Menyahut tuntutan syariah. Memenuhi tuntutan agama. Mematuhi segala yang diperintah dan menjauhi segala yang dilarang.

Evolusi berlaku dalam sistem kehidupan orang Melayu Islam. Di luar sana didatangkan segala macam pengaruh Barat yang didalangi Yahudi. Mereka diasak dengan gangguan akidah (Faith). Disajikan banyak makanan yang meragukan status halalnya (Food). Banyak hiburan yang berupa hedonism menggila (Festival/Fiesta). Pakaian mereka dari yang menutup aurat menjadi terdedah, sendat dan menampakkan segala yang terlarang (Fashion). Akhirnya terjadi sesuatu yang asing dalam budaya Melayu Islam. Anak-anak remaja dan muda menuntut kebebasan (Freedom). Ini adalah lanjutan dari falsafah ekstensialism dan individualism. Ditambah pula dengan emansipasi wanita Barat.  Orang Melayu ramai kalah dalam hal ini. Dalam ekonomi pula kita selalu terpengaruh dengan sistem konvensional yang selalu pula menjebak riba’ (Finance). Sekarang ini sudah banyak diusahakan supaya terhapus sistem riba’ yang sudah merobek sistem kesejahteran ekonomi di Barat. 

Islam adalah agama. Mereka yang Islam memenuhi rukun Islam yang lima. Syahadah, solat, puasa, zakat dan menunaikan haji . Islam menekankan lima prinsip utama yang merangkumi agama (akidah), nyawa yang sangat berharga, harta yang halal, keturunan yang sah taraf dan maruah. Melayu dan Islam adalah dua entiti yang berbeza. Tidak semua  Melayu adalah Islam. Islam tidak dianuti oleh semua yang berketurunan Melayu. Melayu bukan hanya yang ada di Malaysia. Lihat ke Indonesia, New Zealand, Afrika Selatan, Sri Lanka, Madagaskar dan Surinam (Belanda) di Amerika Selatan. Orang Melayu sejarahnya bermula dari Yunan. Dalam Islam orang Melayu dari susur galur Yapith bin Noh. Anak Nabi Noh. Kita dalam kelompok Monggoloid. Kita berupa kacukan antara sawo matang dan bermata sepet. Hidung tidak mancung dan bertubuh agak kecil.

Orang Melayu di Malaysia yang tidak mangamalkan Islam dalam konteks Perlembagaan Malaysia bukan lagi Melayu. Tanpa mengamalkan adat resam mereka juga bukan Melayu. Maka yang tinggal ialah orang-orang berketurunan Melayu. Atau berdarah Melayu. Tetapi sifat-sifat Melayunya sudah terlalu banyak terhakis. Asakan hidup maju dan mewah banyak mendesak berubahnya paradigma Melayu. Ramai yang hilang punca menyeimbangkan keutamaan beragama. Keduanya tidak diharmonikan. Agama yang sepatutnya supreme tidak lagi berada di tempatnya. Kita lebih sekular. Terasing agama dari arus kehidupan. Lari dari konsep ad-din. Agama itu hidup dan kehidupan. Dalam banyak hal kita buang agama. Anak muda terlonta-lonta tiada arah yang ditunjukkan kepada mereka. Kegilaan kita lari dari agama semakin parah.

Siapakah yang lebih utama antara Melayu dan Islam? Allah hanya melihat mereka yang lebih baik taqwanya. Tiada pertimbangan tentang bangsa. Tentang keturunan. Tentang selain daripada taqwa.  Iman diikuti dengan Islam. Mereka diwajibkan berakhlak Islam. Maksudnya menjadi Islam adalah lebih utama dari menjadi Melayu. Kita bukan membincangkan tentang kehidupan di dunia. Kita hanya transit di dunia. Destinasi kita akhirat. Di akhirat tiada pengasingan bangsa. Tiada pengasingan keturunan. Tiada pengasingan warna kulit. Tiada dan tiada pengasingan dalam apa bentuk apapun. Yang berbeza tetap kembali kepada taqwa. Kerana itu memang kita berbangsa Melayu barangkali tetapi kepada Allah istilah Melayu itu tiada memberi apa-apa makna kecuali taqwanya.

Mungkin kita banyak bersasakan kepada keturunan, etnik dan bangsa. Namun itu hanya sebagai asas bertindak. Bukan matlamat. Menjadi Melayu hanya wacana. Hanya wahana. Platform untuk bergerak. Dalam berjemaah Melayu bukan penentu. Saf-saf yang diluruskan juga bukan kerana Melayu. Tinggi, rendah, jatuh dan  bangun kita bukan berasaskan Melayu. Jika kita kaji Al-Quran, terlalu banyak bangsa yang Allah hapuskan. Kaum Nabi Noh ditenggelamkan oleh banjir besar. Kaum Nabi Hud iaitu kaum ‘Ad Allah hapuskan dengan angin kencang yang kering dan sejuk. Allah timbus mereka di bawah timbunan pasir yang dipanggil al-Ahqaf. Tinggalannya ditemui di Selatan Yamen. Kaum  Thamud (Nabi Salleh) Allah hapuskan dengan satu pekikan yang menggempitakan. Ingat Firaun yang tenggelam di Laut Merah. Kaum Nabi Lut yang ditunggang terbalikkan bumi kediaman mereka. Begitu juga hapusnya kekuatan kaum Tartar. Empayar Rom. Empayar Farsi. Hapusnya kehidupan di Pompei, Itali. Barangkali kita masih terlalu ingat dengan jelas tentang hapusnya Banda Aceh ditelan tsunami. Manusia mati. Bangsa hapus. Namun agama Islam tetap mengikut landasannya sebagimana ditentukan Allah.

Sejarah manusia sudah terlalu panjang. Terlalu banyak bangsa yang telah Allah hapuskan. Melaluinya Allah gantikan pula dengan bangsa lain yang lebih baik. Proses itu bersilih ganti dari satu zaman ke zaman yang lain. Orang Barat yang kita katakan hebat sekarang ini sedang tenat ekonomi mereka. Greece sudah muflis. Iceland juga sudah muflis. Portugis, Sepanyol sedang mengikutinya. Amerika Syarikat sedang sesak nafas dengan hutang negaranya. Eropah juga sedang tenat. Hampir kesemua negara yang megamalkan sistem konvensional mengalami kepincangan ekonomi. Nampaknya sejak akhir-akhir ini negara-negara yang ada di Asia dilihat memiliki daya ketahanan yang lebih tinggi dari negara Barat. Penyelamat ekonomi nampaknya bukan lain melainkan sistem Islam.   Semua sistem buatan manusia tidak mungkin lebih baik dari yang dicipta Allah.

Di mana kedudukan Melayu dalam semua perspektif yang kita lihat. Yang kita amati. Yang kita sedari.  Sejarah telah memberikan bukti bahawa ramai manusia yang hebat tidak dilihat oleh dirinya. Tidak pada zamannya. Socrettes diketauhi kerana diberitakan oleh muridnya iaitu Plato. Orang dahulu diceritakan oleh orang terkemudian. Begitulah prosesnya. Mungkin kita boleh mengambil iktibar. Pakar bahasa Arab bukan orang Arab. Imam Bukhari bukan orang Arab. Maka kembalilah kita kepada Islam. Hanya itu yang akan kekal hingga ke akhirat. Yang lain kesemuanya tinggal di dunia. Jadilah good practising Muslim. Jadilah good practising Malay yang tidak melanggar syariat. Syariat menjadi perisai untuk menangkis asakan dan desakan yang menghakis kesucian agama. Kita tolak pluralism. Kita tolak liberalism. Islam bersifat adil dan mengambilkira semua aspek dengan saksama. Tanpa syariat segala-galanya hanya kebobrokan sahaja. 

Pilihlah sendiri. Hendak jadi Melayu atau hendak jadi Muslim. Pilihannya ialah dunia atau akhirat. Atau pilihan yang lebih baik iaitu dunia dan akhirat. Tepuk dada tanya iman.

Tuesday, May 22, 2012

Napoleon: Kecilnya Menggugat



Akhirnya saya menemui manusia bernama Napoleon. Dalam zaman yang berbeza. Dalam persekitaran yang berbeza. Pertemuan antara fizikal dan  jasad yang sudah tiada. Saya berdiri di sebelah patung lilin seorang manusia kecil. Kerdil mengikut standard orang Barat. Saya lebih tinggi daripadanya. Mungkin saya 8sm lebih tinggi daripadanya. Dalam tubuh kecil itu terserlah nama besar yang dikenang sejarahnya sepanjang zaman. Sejarah manusia Barat yang besar pengaruhnya. Yang merubah dunia. Bukan hanya sejarahnya sahaja. Malah kemanusiaan itu sendiri telah dirubahnya. Rupanya manusia bukan diukur dari saiznya. Bukan tinggi atau rendahnya. Bukan berat atau ringannya. Bukan besar atau kecilnya. Bukan usia tua dan mudanya. Manusia dikenang kerana impaknya. Impak positif yang lebih besar dari impak negatifnya. Manusia kecil yang bernama napoleon Bonaparte bukan orang besar. Bukan berdarah bangsawan. Bukan orang kaya. Tidak juga dikira sarjana. Namun tangannya menggugat dunia. Tindakannya menumbangkan suatu kerajaan mendahuluai zamannya. Daripadanya warisan dibina. Tamadun disebar. Manusia mengambil manfaat daripadanya. Siapa kata suatu revolusi tiada manfaatnya. Napoleon adalah buktinya. Masih ampuh hingga kini.

Napoleon menggerakkan hati manusia untuk memimpin suatu peristiwa yang belum ada sebelumnya. Ia menggemblingkan manusia Perancis menentang rajanya, Louis VI. Tumbang sebuah kerajaan beraja. Napoleon menjadi ikon sebuah revolusi. Maka berjajaranlah rentetan sejarah manusia. Hanya kerana seorang manusia kecil seperti Napoleon boleh merubah lanskap politik dunia. Sistem pentadbiran. Sebuah ideologi. Sistem pendidikan. Banyak sungguh impaknya. Firman Allah yang mafhumnya, yang lebih penting dilihat pada manusia ialah taqwanya. Saiz, keturunan, warna kulit dan lain-lain ciri bukan penentu. Dalam kes Napoleon yang membezakannya dengan mansuia lain ialah keupayaannya mencipta sesuatu yang baru. Yang belum pernah dilakukan orang. Yang belum ada saingannya. Ia mendahului zaman. Terkehadapan berbanding dengan orang lain. Ia berjaya. Hingga sekarang ia abadi dalam sejarah. Ia dikenang kerana terciptanya sistem demokrasi. Sistem metrik.

Dalam zamannya manusia tentu takut kepada pengaruhnya. Kemaraannya ke England tersekat kerana tentangan Lord Nelson yang mewakili raja England. Napoleon mara ke timur hingga ke Stalingrad di Russia. Salji dan frosbite yang menimpa askar-askarnya menggagalkan hasratnya menawan Russia. Negara besar Russia pernah kalah kepada Jepun dalam Sino-Japanese War. Seperti kegagalan Napoleon, Hitler juga gagal mengalahlan Russia kerana frosbite musim winter yang melanda askar-askarnya. Faktor Allah ju ayang menyelamatkan Russia. Namun begitu napoleon kembali ke Perancis membina negaranya. Ternyata semangat Perancis itu kental. Hingga sekarang ia menghebatkan dirinya. Dendamnya kepada British dan English masih berkekalan. Bercakaplah Inggeris dengan mereka. Maaf. Mereka pasti tidak melayan. Bukan sahaja di Perancis bahkan sewaktu saya di Canada dulu saya lalui pengalaman itu. Tidak dilayannya pertanyaan saya. Sapa saya tidak berjawab. Kata mereka yang ke Paris bercakaplah dalam bahasa Melayu nanti mereka sendiri yang meminta kita bercakap Inggeris. Sejarah dan suatu kebencian yang berpanjangan. Semangat sebuah bangsa yang merdeka dan berdaulat. Jati dirinya teguh. Entitinya pantang tercalar. Mereka pegang apa yang menjadi hak mereka. Warisan mereka. Sejarah mereka. Mereka tidak mengambil apa yang ada pada tangan orang lain sewenang-wenangnya. Mesti ada pertimbangan yang wajar. Kebijaksanaan yang memancar. Teringat saya tentan tulisan Jawi. Lara ia di Oxford Street, London. Warisan yang terbuang jauh.

Manusia seharunya mencipta sesuatu kejayaan dalam lingkungan keupayananya. Seorang lelaki sekurang-kurang hebat di mata isteri dan anak-anaknya.  Isteri hebat di mata dan hati suami dan anak-anaknya. Hebat di mata jiran-jiran. Di mata saudara mara. Di mata teman, taulan handai. Di mata masyarakat. Beruntunglah bagi yang mendapat peluang menjadi hebat di mata negara. Di mata bangsa. Di mata agama. Semua orang boleh menjadi hebat. Carilah. Kehebatan itu ada pada diri kita sendiri. Serlahkan tanpa malu yang tidak bertempat. Pancarkan dengan suluhan yang tanpa batas. Asah bakat itu dengan hati cekal. Biarlah hati itu untuk mengiringi bakti menyumbang kepada memberi yang terbaik untuk maslahah umum.  Ramai orang-orang yang menyumbang besar kepada persekitaran mereka. Diingat kerana memberi impak besar.

Sebenarnya setiap dari kita berbakat besar. Cumanya kita tidak boleh bandingkan diri kita dengan orang lain. Ada bidang yang sesuai dengan diri kita. Bakat-bakat itu diasah menjadi sesuatu yang besar. Bila waktunya sesuai akan ada menfaat yang dikongsi oleh orang lain. Tidak perlu untuk seramai mana sekalipun. Cukuplah untuk orang-orang yang tertentu. Berkongsikan apa yang kita ada membantu orang lain keluar dari kepompong masalah. Keluar dari sarung yang menghalang kejayaan. Lalu kita boleh membuka jalan untuk orang lain melalui susur kejayaan untui diri mereka. Seperti Napoleon, kejayaannya melakukan revolusi bukan untuk dirinya pun. Mungkin pada awalnya itulah yang mungkin dihasratkan. Ia menggelarkan dirinya raja. Tetapi akhirnya revolusi itu tidak menjanjikan kejayaan mutlak kepadanya.

Begitulah apabila sesuatu yang tinggi martabatnya perlu dijaga dengan rapi. Dari bawah kita selalu merangkak naik. Setapak demi setapak. Dari satu anak tangga kita naik hingga sampai di mercu tangga itu. Namun sesuatu yang di atas perlu dijaga dengan kerapian yang memanjang. Jika yang di bawah lambat naiknya lain pula bagi yang di atas. Jika jatuh terlalu pantas. Tiada akan ada penahan dan pengadang. Jatuh lepas melayang dan terhempas. Sakitnya juga terlalu. Sementelahan pula ditambah dengan rasa malu dan hina.  Begitulah yang terjadi kepada Napoleon. Rakusnya menggila tanpa batas. Namun semakin lama kudratnya semakin menurun. Keupayaannya semakin menipis. Nafsu besarnya untuk menguasai dunia terhalang. Akhirnya dia jatuh dan dijatuhkan. Dari seorang biasa yang tiada nama, dia mencipta kehebatan. Seorang raja gugur kerananya. Ramai yang gerun mendengar nemanya. Penentuan karma juga sudahnya. Ia ditahan, diadili dan dihukum  beberapa kali. Setiap kali hukumannya ke pulau di Laut Mediterranean. Akhirnya ia terdampar di pulau Elba. Riwayatnya tamat di situ. Namanya padam di situ.  Yang tinggal ialah kenangan sejarah revolusi Perancis. Revolusi awal yang menggegar dunia. Belum pernah dilakukan orang sebelumnya. Sistem demokrasi subur hingga sekarang. Sistem ukuran metrik hampir menghapus sistem British. Dinukilkan orang Able was I ere I saw Elba. Kata-kata hikmah seorang yang gagal. Itulah kata-katanya di hujung usia. Lemah dan tiada lagi pengharapan. Yang ada ialah lamunan maasa lalu yang sudah berlalu.

Sebab itu segala kejayaan atau usaha hendaklah selari dengan syariah. Tunduk kepada tuntutan agama. Mentarbiah manusia untuk kekal taat kepada Rabnya. Namun Napolen gagal dalam melestarikan kejayaannya. Tercampak ke pulau Elba yang mengenang sejarah dirinya. Di situ dia kembali kepada alam. Kembali bersendiri. Able was ere I saw Elba. Kata-kata hikmah ini sangat puitik. Jika dibaca terbalik bunyinya tetap sama. Ada irama yang sayu. Penuh dengan makna. Kegagahan dan kehebatannya bersandar pada kata-kata Able was I. Kegagalannya menyelubungi Elba. Di situ dia memulakan segala yang tidak pernah diimpikan. Dari istana dia turun ke pulau di tengah laut. Tiada hubungan dengan manusia lain.  Tiada siapa yang menghubunginya. Terpencil bak pulau Elba itu sendiri. Daratan terlalu jauh untuk direnang. Menjadi statik seperti pulau itu sendiri.



Tuesday, May 15, 2012

Trafalgar Square dan Beburung Merpati Yang Jinak-Jinak di Tangan


Andainya ada ruang di sini untuk memungkinkan merpati jinak di tangan. Dalam kesibikan manusia mengejar dunia meeka tidak melupakan alam dan persekitarannya. Berkongsi dengan penghuni alam yang lain. Mereka dijinakkan. Mereka menjinak kerana kebiasaan yang sangat biasa. berkongsi ruang yang sama.


Jinak-jinak merpati. Makan di tangan. Ditangkap jangan. Bukan larangan. Cuma sia-sia. Terlalu sukar menangkapnya. Di negara sendiri saya tidak ada kesempatan bersama merpati. Tiada tempat merpati bebas bermesra dengan manusia. Kita tidak memberi ruang untuknya. Ada yang membelanya tetapi bilangannya terlalu sedikit. Di luar negara banyak tempat untuk bersama merpati. Memberi makan apa yang ada. Ditabur dan diserak. Berkawan-kawan merpati itu datang. Datang dan datang. Warna yang berbagai tetapi tiada yang berwarna garang. Ada putih. Ada hitam. Ada biru. Ada cokelat. Mungkin campuran hijau. Ada yang berkombinasi antara warna-warna itu. Jinak-jinak belaka. Hinggap di kepala. Di lengan dan di bahu. Tidak ada yang takut. Bukan liar. Namun ditangkap sukar jua. Jinak-jinak merpati. Alangkah elok jika wanita begitu. Tentu tidak ramai yang dicemari tangan-tangan berdosa. Tetap suci. Tetap anggun. Tetap terpelihara. Terbangnya siang sahaja. Hinggapnya merata-rata tetapi sukar ditangkap orang. Bebas dan selalu bebas. Unggas tetap ke sarang bila datang malam.



Tiada kanak-kanak di Malaysia yang dibiasakan dengan burung. Semuanya seperti tabu. Anak keempat saya keliru dengan keadaan. Hanya burung yang jinak. Kanak-kanak Melayu yang selalu segan denga keadaan. Alhamdulillah besarnya berjaya sebagai wanita berkerjaya. Mencari tapak kejayaan dalam hidup.


Lama saya di situ. Hati saya terbang bersama burung-burung itu. Deramnya bergema kerana banyaknya. Kerana seronoknya makan percuma dari tangan-tangan manusia. Alangkah jika manusia diberi pilihan untuk menerima segalanya dengan percuma. Hanya perlu terbang dan hinggap. Makanan tersedia. Tetapi tidak. Manusia dengan futrahnya. Perlu berusaha. Mencari. Memadan dan mengukur kecukupannya. Belajar dan berkemahiran untuk kegunaan yang selari dengan kehendak. Akalnya digunapakai untuk mencari jalan terbaik bagi faedahnya dirinya. Di samping itu bertanggungjawab pula mengenai orang-orang, tumbuhan dan haiwan yang ada di sekelilingnya. Kitaran yang tidak boleh terputus. Yang mesti dilestarikan. Yang mesti diperpanjang. Yang mesti diperkasakan. Kesejagatan manusia yang mesti terpelihara.



Menara tinggi yang selalunya ada di kota-kota besar. Ada simbol Yahudi seperti yang selalu disebut. Nelson seorang wira. Tiangnya yang dipacak tinggi sebagai lambang kejayaannya. Itu yang dilihat secara fizikal. Pada psikologinya itulah keangkuhan bangsa yang mencacak egonya.


Trafalgar Square di tengah kesibukan kota London. Di tengahnya tertegak Nelson Column. Tiang yang disandarkan kepada Lord Nelson. Panglima perang British yang menewaskan Napoleon Bonaparte. Usaha Nepoleon menawan Britain gagal. Dua kali ia mencuba. Nelson mengalahkannya. Satu di Trafalgar dan keduanya di Waterloo. Napoleon yang gagah itu gagal. Kerana itu Nelson diabadikan jasanya. Trafalgar Square itu selalu mengingatkan sejarahnya. Tugunya juga ada di situ. Ingat merpati putih? Selalu dilambangkan kepada kemerdekaan. Kebebasan bernegara. Menjadi warganegara. Berdaulat. Dataran-dataran sepertinya banyak di barat. Trafalgar Square antara yang signifikan. Kawasannya luas. Di sekelilingnya berselirat jalanraya utama di London. Bunyi burung merpati dan deru engin kereta berselang-seli membising. Bunyi kereta yang membingit. Bunyi merpati yang serasi dengan alam. Kesejagatannya melampaui benua dan negara. Merpati tetap merpati.


Apalah seorang bapa. Anak-anaknya adalah permatanya. Pengalaman kebersamaan ini sukar dilupakan. Mereka merentas benua bersama saya. Alam luas yang terbentang sebagai pengalaman hidup. Seusia mereka banyak yang berbekas di hati. Selalu diingat lama. Singa di belakang saya adalah lambang kegagahan Britain walaupun pada dasarnya tiada singa yang hidup di britain. Kita semua tahu singa hanya ada di Afrika dan India. Mungkin lambang hanya lambang. Kekuatan dalaman sebuah kedaulatan.


Orang barat mengenang wira mereka. Ditunjukkan kepada generasai terkemudian dari mereka. Sejarahnya diabadikan. Tidak pula dimanipulasi. Bukan untuk ditokok tambah hingga bukan lagi hilang nilai sejarahnya. Dokumen mereka autentik. Dataran mereka real. Tugu mereka benar. Catatan-catatan mereka benar. Semuanya dibebaskan dari sandaran politik. Sejarah itu untuk iktibar. Untuk wawasan. Untuk merencanakan masa hadapan yang lebih wajar. Begitulah Trafalgar Square menjadi gah. Bukan Nelson wiranya. Medannya yang diabadikan. Wiranya hanya satu figura. Ia memenangkan negaranya. Akhirnya negara yang diberi keutamaan. Bukan wiranya. Tanggungjawab warganegara untuk menggemilangkan negaranya. Negaranya hanyalah tanahair dan hutan belantara. Gunung-ganang dan padang rumput. Warganya yang memanfaatkan segala sumber yang ada untuk maslahah manusia. Bukan untuk prutnya sendiri. Bukan untuk perut yang diketahuinya. Tetapi untuk sesiapa sahaja yang mahu. Yang menghendakinya. Yang memerlukannnya. Untuk sama-sama mencicip bahagian masing-masing mengikut kewajarannya.


Patung Nelson terlalu tinggi untuk dirakam bersama. Di ruang ini jauh sedikit dari pusat kesibukan burung merpati. Jinaknya tetap sama.


Sejarah Britain berwarna warni. Sejarahnya berperang dengan Perancis bukan hanya Napoleon dan Nelson sahaja. Lama sebelum itu kedua negara sentiasa tidak boleh bertentang mata. Banyak perang yang tidak decisive. Menang atau kalah di laut sahaja. Tanah jajahan tidak diperolehi. Namun impaknya besar. Walaupun Britain tidak menakluki Perancis ia berjaya menakluki sebahagian besar negara-negara di bumi ini. Seluruh Amerika Utara menjadi milik Britain. Begitu juga Afrika yang besar itu dijajahinya. Termasuk juga India dan Australia. Dalam kegagahannya itu Lord Nelson bukanlah individu yang disanjung tinggi melangit. Sebagai komander perang itu tanggungjawabnya. Menang atau kalah bergantung kepada strategi dan persekitarannya. Logistik memainkan peranan penting. Begitu juga latihan dan taktik berperang. Kelebihan itu yang dimiliki askar British. Dalam sejarahnya Perancis gagal menggugatnya. German gagal berbuat apa-apa. Yang gagal akhirnya ialah sistem hidup mereka. Falsafah meeka. Gaya hidup mereka. Sistem yang tidak ditebat dengan syariah selalu gagal. Sekarang mereka mencari alternatif. Ramai yang mengakui benarnya sistem Islam. Lestari dan benar sepanjang zaman. Itulah janji dan jaminan Allah.


Bangunan kukuh di belakang sana sudah ratusan tahun. Nampak daya tahannya dimamah zaman. Musim berganti dengan kitaran suhu dan panas sejuknya. Lambang tamadun yang utuh.


Kenapa merpati di Trafalgar Square tersangatlah jinaknya. Makan di tapak tangan sangat biasa kepada mereka. Manusia yang berada d situ bukan  untuk digeruni. Bahkan untuk dipaksa memberi makan.   Dijadikan sasaran untuk dihinggapi. Begitu dekatnya kita dengan makhluk-makhluk Allah yang lain. Kebiasaan menjadikan merpati-merpati itu menjinakkan diri. Tiada merpati yang disakiti. Tiada yang dizalimi. Tiada yang kelaparan. Masing-masing dilayan. Dimaniskan dengan kamanusiaan yang tiada batasan. Seumur hidup saya belum pernah mengalaminya. Merpati di Trafalgar Square itu menggamit saya untuk bersantai bersama mereka. Menerbangi angkasa London. Menghirup uradanya. Melintasi sejarahnya. Mengujakan diri untuk mengambil apa yang baik. Titipan pengajaran untuk anak cucu. Untuk genersai saya yang kemudian.


Pengunjung yang seorang ini sengaja melebihkan jinaknya burung merpati. Lihatlah. Merpati itu ada di bahagian atas badannya. Baik di kepala. Baik di bahunya. Di sekeliling kakinya bjuga berkerumun merpati itu mencari ruang untu mendekatinya. Rahsianya bukan apa-apa. Makanan yang sengaja ditabur di seluruh badannya.


Manusia yang bernama pelancong tidak henti mengunjungi square itu. Terasa aman berada di situ. Burung yang beribu-ribu banyaknya terlalu jinak untuk diajak bersama. Makannya yang terkedek-kedek. Jalannya yang berlenggok-lenggok. Patuknya yang tanpa henti. Kenyangnya entah bila. Tangan-tangan yang dihayun dan dipanjangkan menabur segala makanan yang enak bagi mereka. Boleh dibeli di sekeliling dataran itu. Dataran yang mengenang seorang wira menjadi produk pelancongan. Memberi impak ekonomi. Tempat orang mencari makan. Sesungguhnya yang namanya planet bumi ini asalnya kering kontang. Allah turunkan hujan. Basahlah bumi. Air meresap ke dalam mencambahkan biji benih yang Allah kirimkan ke bumi. Lalu tumbuhlah segala pokok. Yang besar dan yang renek. Yang mencakar langit dan yang menjalar di bumi. Yang dimakan buahnya dan yang dimakan daunnya. Lalu datanglah haiwan yang menjadi makanan dan tunggangan. Menyatu antara manusia dengan alam sekitarnya. Keharmonian yang Allah ciptakan untuk kelangsungan hidup manusia di bumi.





Di Trafalgar Square saya menemui tuntutan itu. Harmoni antara makhluk. Mensyukuri nikmat hidup. Memaklumi tanda-tanda kebesaran Allah. Dalam dunia yang semakin ke hujungnya ini apa lagi yang masih tinggal. Jika tidak kenal kebesaran Allah tiada lagi harapan untuk kembali kepadaNya dengan selamat. Realitinya kita bukan burung. Bukan merpati. Kita manusia yang tanggungjawabnya besar. Kesempurnaan tanggungjawab itu ditagih jawapannya di sana nanti. InsyaAllah kita mendokongnya.