Sunday, July 17, 2011

Pandai dan Tahu

Orang dewasa pasti mahukan anak-anak mereka pandai dan serba tahu. Pandai sahaja  tidak mencukupi. Tahu sahaja tidak menjamin apa-apa. Kedua-duanya perlu digarap untuk menjadikan bakal warganegara yang serba boleh. Serba berketrampilan. Serba menjadi cakap dan tindakannya. Mengotakan segala janji yang pernah diungkap. Dinyatakan. Disebut. Diulang. Digahkan. Dijadikan simbol mendabik dada. Anak-anak ingin dijadikan serba produktif untuk menjadikan alam sekelilingnya sentiasa berdaya saing. Berdaya maju. Mana mungkin anak-anak yang sangat disayangi ini dibiarkan menjadi tidak tahu. Menjadi tidak pandai. Serba tidak menjadi. Ketinggalan dalam serba serbi. Amat malang jika sesudah memandaikan anak-anak, sesudah menjadikan anak-anak serba tahu ibu bapa pula mengatakan anak-anaknya derhaka. Anak-anaknya tidak mengenang jasa. Anak-anaknya lupakan diri. Anak-anaknya tidak menghargai perjuangan ibu bapa. Anak-anak lupa penderitaan orang tua-tua dahulu. Hanya kerana berlainan bicara. Berlainan cerita. Berlainan cita-cita.

Ibu dan ayah, anak-anakmu bukan set warganegara yang dulu. Mereka benar sudah pandai. Memang benar mereka sudah tahu. Mereka telah diperlihatkan kepada kebenaran. Ketulusan. Ketelusan. Kejujuran. Zamannya adalah zaman langit terbuka. Jangkauan fikirannya tidak berufuk. Jauh merentas alam. Bukan sekadar dunia yang fana ini. Anak-anakmu ini ingin melihat kota apa yang kau kata. Bukankah perjuanganmu untuk membela mereka. Anak-anakmu sendiri. Anak-anak yang nanti menggantikanmu. Yang nanti melestarikan bangsamu. Yang nanti mengambilalih negara ini dari tanganmu. Mereka perlukan asuhan. Perlukan bimbinganmu. Sangat tidak betul jika kau nanti pergi dengan mencuci tangan. Bahawa masa depan negara ini bukan agendamu lagi.  Sebagai ibu bapa tanggungjawab kau berpanjangan walaupun kau sudah berada di alam barzah. You are still accountable even after you have gone. Saham kebaikan yang namanya amal jariah itu tidak akan kau kecapi. Semuanya akan menyeksakan. Azabnya terlalu pedih. Selama-lamanya. Tiada cuti dan tiada time- off. Tiada pelepasan dan tiada pengurangan azab itu.

Bagi anak orang Amerika tiga perkara menjadi fokus mereka. Thinking, research and reasoning. Intelek mestilah dimanifestasikan melalui pemikiran yang kritis. Thinking mestilah menjurus untuk masa hadapan. Bukan sekadar Wawasan 2020 bahkan melebihi daripadanya. Masa hadapan yang gemilang yang menjadi cita-cita abadi. Research menjadi wadah untuk mencari kebenaran. Mengumpul maklumat. Bukan sahaja kuantitinya tetapi juga fakta-fakta yang sahih. Ada dasar dan strategi. Ada prosedur dan segala macam peraturan. Lazimnya undang-undang tubuh dirujuk. Perlembagaan diteliti. Ya! Anak-anakmu  yang sudah terdedah dan terdidik tidak menerima bulat-bulat apa sahaja yang mereka dengar, yang mereka lihat. Semua arahan dan tegahan mesti melewati beberapa garis panduan mengenai  peraturan yang digarispandukan. Itulah janji termaktub. Janji yang diperuntukkan. Janji yang telah dijanjikan.

Tidak benar bahawa anak-anakmu menentangmu. Yang mereka mahukan ialah hanya sesuatu yang hak. Yang menjadi hak mereka. Bukan keistimewaan yang melebihi had. Bukan meminta yang bukan-bukan. Lihat kembali anakmu sewaktu mereka kecil dahulu. Banyak mintanya. Banyak mahunya. Banyak ragamnya. Banyak tangisnya. Banyak hentak kuat kakinya. Banyak amuknya. Banyak rajuknya. Tidak mungkin mereka kau katakan bahawa mereka adalah nakal. Jauh sekali jahat. Jauh sekali mereka dikatakan menjadi pengkhianat keluarga. Pengkhianat kepada ibu dan bapanya sendiri. Tidak pernah kau katakan mereka adalah tidak mengenang budi. Tidak tahu di untung. Mereka hanya sebagai anak-anak. Meminta adalah fitrah mereka. Meminta yang sesedap di mata dan di hati. Tahunya hanya main dan mainan. Tetapi kau menerima keadaan itu kerana itu adalah proses membesar. Proses menjadi berakal. Proses mencari jati diri. Proses mencari warisan manusia dan kemanusiaannya. Hak asasinya. Sebagai ibu bapa kau akur  mengenainya. Cuba memenuhinya kerana kau sayangkan mereka. Tidak pernah pilih kasih walaupun anakmu 13 orang. Kesemuanya dilayan sama. Tidak kira siapa mereka. Tidak kira di mana mereka. Tidak kira waktunya.

Bila mereka dewasa sifat meminta adalah fitrah manusia. Semuanya begitu. Sifat itu ada pada diri mereka. Tetapi mereka meminta yang hak. Yang telus. Yang tulus. Mereka mahukan ibu bapa mereka mengerti bahawa yang mereka minta adalah hak mereka. Yang dibenarkan. Yang sudah diperuntukkan. Yang sudah diperlembagakan. Yang sudah termaktub. Yang sudah dimanifestokan. Yang sudah benar-benar selalu dilaung disebut diwar-war dipanjang-panjang dan dijadikan senjata meraih kekuatan dan sokongan. Mereka meminta bukan yang berlebihan.  Bukan yang bukan-bukan. Yang mereka minta itulah yang akhirnya nampak menyusahkan ibu bapa. Mereka tidak minta mainan. Mereka bukan lapar makanan. Jiwa mereka berontak kerana keperluan asasi orang dewasa tidak dipenuhi. Mainan mereka bukan anak patung. Bukan kereta mainan. Tetapi mereka meminta mainan orang dewasa. Satu ruang menggunakan hak mereka. Anak-anakmu sudah pandai berfikir. Sudah pandai mencanai minda. Inteleknya sudah terbangun. Jangan menolak tanpa sebab. Mereka perlukan jawapan yang hak. Yang rasional. Yang waras. Mereka tidak mahukan marah. Bukan tempelak. Bukan ugutan. Bukan diperlekeh. Bukan diperkecilkan. Bukan diperbudakkan. Bukan diperkotakkatikkan. Jangan dinafikan minta mereka tanpa memberi alasan yang menasabah. Alasan yang hak. Alasan yang boleh diterima akal. Yang sepadan dengan garis-garis yang benar. Yang ada dalam perlembagaan. Jika boleh seperti yang digariskan dalam al-Quran dan al-Hadith alangkah baiknya. Alangkah luhurnya. Alangkah tersangat sesuainya.

Anak-anakmu bukan boleh diperkuda.  Bukan boleh diperlekeh.  Bukan semuanya menurut tanpa protes. Yang tidak benar tetap tidak benar. Yang salah tetap salah. Yang tidak diterima tetap tidak diterima. Mereka mahukan kewarasan. Mereka mahukan kebenaran itu diberi dilihat didengar demi kebenaran. Jangan tari bersilang tingkah. Jangan lantai tidak diratakan. Jangan irama disumbang-sumbangkan. Jangan dipincangkan rima yang sudah cantik langkah-langkahnya. Anak-anakmu minta irama cantik ditarikan dengan iringan kemesraan senyum tawa ibu bapanya.  Mereka anak-anakmu. Mereka generasimu. Mereka susur galurmu. Mereka nanti yang akan menjadi pewarismu. Masa hadapan yang mesti dipelihara. Yang mesti diperpanjangkan. Andainya boleh dipanjangkan kata-kata Hang Tuah, ‘Takkan Melayu hilang di dunia.’ Jangan tidak dimengerti harapan dan hasratnya itu. Malang sungguh Melayu yang telah lama ditinggalkan Hang Tuah ini.

Ingat Portugis yang datangnya kerana Melayu sudah lupakan Hang Tuah. Yang lemah kerana dunia yang lebih diutamakan. Hanya kekayaan yang menjadi fokus. Yang  melihat kemewahan sahaja. Bukan perpecahan yang yang menjadi isu. Ada antara orang Melaka yang melebihkan dunia dari akhirat. Diri dilebihkan berbanding maslahah umum. Tidak membuat pertimbangan agama. Nafsu mengatasi akal. 1511 titik hitam yang memanjang berzaman-zaman. Ingat  datangnya Belanda kerana pertolongan Melayu. Tetapi Belanda ketepikan Melayu bila Portugis dikalahkan. 1640 juga titik hitam yang bertambah panjangnya. Ingat Inggeris yang licik menjajah minda orang Melayu. Longlai seluruh jiwa raga Melayu kerana lembutnya Inggeris. Kerana  bijaknya psikologi mereka. Kerana mereka sudah masak sifat-sifat Melayu. Sultan Hussin Shah di Temasik terperosok lemah membaca warkah indah Raffles yang ditulis dalam Jawi. Orang Melayu sendiri lupakan Jawi. Buang Jawi. Tidak komersil katanya. Tidak sejajar dengan dinamika dunia. Warisan yang terbuang jauh menghampakan dinyahkan kerana ragaman kehendak yang tidak mengerti nikmat dan nilai.

1819 titik hitam pekat yang kekal dalam minda orang Melayu. Tidak banyak tinggalan Portugis yang kekal. Tidak banyak tinggalan Belanda yang abadi. Tetapi warisan Inggeris kekal berzaman-zaman. Bahasanya. Budayanya. Sosialnya. Dan banyaknya aspek lain yang mencengkam sehingga orang Melayu hilang identiti. Hilang jati diri. British berada di minda dan hati kita. Payah sungguh hendak hilang. Melekat hingga kita rasakan Inggeris itu kita dan kita ini Inggeris. Untuk keluar dari kepompong itu juga tersangatlah payahnya. Kita merdeka secara fizikal. Masih banyak penjajahan minda yang berkekalan dalam diri kita. Kita hampir sahaja gila kerana kuatnya Inggeris dalam minda dan dada kita. Semuanya mahu diatur seperti Inggeris. Hilang kita yang dulunya pernah gah dan hebat di nusantara. Mana perginya darah Sri Vijaya? Mana perginya nafas Melaka? Mana perginya segala saraf Islam yang dimulai oleh Parameswara?

Wahai ibu bapa yang budiman, anak-anakmu laparkan keindahan bersuara. Kebagusan menyatakan perasaan. Menyerlahkan jati diri. Mereka mengerti masalahmu. Tetapi mereka inginkan kau mengerti mereka. Mereka anak-anakmu. Mereka warismu. Mereka darah dagingmu. Usia mereka sekarang terlalu dewasa. Sudah menghampiri 55 tahun. Sudah warga emas. Ingat dulu sewaktu kecilnya kau bermain dengan mereka. Memanjakan mereka. Menyayangi mereka sekuat tenaga. Tubuh badanmu galang ganti jika ada sakitnya. Kanak-kanak yang kau didik untuk mematuhi perintah Allah. Mendidik mereka berakal. Berdisiplin. Berwawasan. Ada misi dan visi yang perlu dicapai. Remaja mereka kau jadikan teman dan rakan. Untuk bersama melestarikan warisan yang lama berterusan hingga ke akhir zaman. Dewasanya kau biarkan anak-anakmu menjadi individu yang punya arah tersendiri. Yang mindanya mahu bebas. Yang suaranya mahu didengar. Yang kebebasannya tidak mahu tersekat dikongkong dipenjara dikepung ketat.

Kenapa tidak kembali menjadi damai dalam keluarga yang besar?  Bahawa dulunya kau dan anak-anakmu adalah sama.  Dunianya sama. Alamnya sama. Mahunya sama. Dunia yang semakin fana memisahkan kau dan anak-anakmu. Mencari jalan sendiri-sendiri. Bukan mencari kesesatan tetapi mencari kebenaran. Pasti kau sebagai ibu dan bapanya mengerti yang terbaik untuk anak-anakmu. Cuma hatimu kering. Sanubarimu kontang. Benakmu kemarau. Seluruh jiwa ragamu sudah hangus semuanya. Darah merah yang mengalir sudah terlalu pekat hitam dengan dendam. Hanya kepada anak-anakmu sendiri. Warismu sendiri. Keturunanmu sendiri. Duniamu dan dunia anak-anakmu bukan lagi sama.

Wednesday, July 13, 2011

Tirai Yang Berlabuh

Shakespeare pernah mengungkapkan bahawa dunia ini adalah pentas. Manusia pula adalah pelakon-pelakonnya. Maka telah berlakonlah saya dengan berbagai peranan untuk melestarikan watak pendidik yang berbagai corak. Saya rentas masa selama 42 tahun. Masa panjang yang selalu saya rindu. Dalam hati hanya kecintaan untuk mendidik anak bangsa yang mengerti akan dirinya. Menegrti akan ibu bapanya. Mengerti akan sanak saudaranya. Mengerti akan induk semangnya. Mengerti akan masyarakatnya. Mengerti akan bangsanya. Mengerti akan negaranya. Mengerti yang terpayah. Mengerti akan tanggungjawabnya yang paling didambakan akan keutuhan agamanya. Menjadi Muslim yang penuh jihad dalam dadanya. Dalam semangatnya. Dalam darah yang mengalir penuh menyirami dirinya.

Hari ini Khamis 14 Julai 2011 genaplah kontrak saya sebagai pensyarah di UTHM. Sebuah institusi yang saya huni sejak 16 Disember 1990 hingga saat ini. Namanya yang panjang bersenarai dari Politeknik Batu Pahat (PBP) menjadi Pusat Latihan Staf Politeknik (PLSP), Institut Teknologi Tun Hussein Onn (ITTHO), Kolej Universiti Tun Hussein Onn (KUiTTHO) dan akhirnya menjadi gah dengan nama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia – Johor (UTHM). Saya datang menjejak kaki ke PBP sebagai Ketua Bahagian Perdagangan. Kemudiannya pada tahun 1993 memangku jawatan Pengetuanya. Pada akhir tahun itu lahirnya  PLSP. Pertukaran status menyebabkan saya beredar ke Sekolah Menengah Teknik Johor Bahru sebagai Penolong Kanan HEM dari Oktober 1993 hingga September 1994.

Pada bulan September 1994 saya kembali ke UTHM untuk menjadi Ketua Bahagian HEP sehingga akhir tahun 1990. Bermula pada 1 Januarai 2000 saya menjadi pensyarah pendidikan sehingga saya bersara wajib pada 23 Julai 2001. Selepas itu saya menjadi pensyarah sambilan dan pensyarah kontrak hinggalah hari ini. Sebelum tahun 1990 saya telah berada di berbagai institusi pendidikan dan di berbagai negeri di Malaysia. Dari sekolah rendah ke menengah rendah, menengah atas, sekolah berasrama penuh, sekolah teknik, politeknik dan pernah menjadai pensyarah sampilan di Yayasan Perak dan USM cawangan Perak di Ipoh.  

Kemudiannya saya merasa terbang jauh ke Amerika Syarikat dan Canada. Saya rentas pula dunia kita yang bulat ini dari Kuala Lumpur merentas lautan Pasifik, benua Amerika, Lautan Atlantik, Benua Eropah, Benua Asia dan akhirnya berlabuh semula di bumi tercinta yang bernama Malaysia. Saya mungkin mencari pelengkap diri. Mencari kesempurnaan diri. Mencari pengubat diri. Mencari rempah ratus mengenakkan diri. Mencari ramuan-ramuan yang membahagiakan diri, isteri dan anak-anak yang ada ketika itu. Bak jaring yang ditebar saya kaut apa yang dapat. Bak mata kail yang berjajaran saya sentap apa sahaja yang memakan mata kail itu. Terhimpunlah apa sahaja pengalaman. Pengalaman masa. Pengalaman benua. Pengalaman manusia  yang berbagai. Ada manis dan ada pahitnya.

Apa yang saya cari? Bukan pangkat kerana saya tidak ke arah itu. Bukan kekayaan kerana saya tidak kaya. Sekadar hidup tidak menyusahkan sesiapa. Bukan terlalu berkelapangan. Saya selalu bertemu dengan bekas pelajar. Ramai yang saya tidak kenal. Terlalu lama melahirkan anak-anak bangsa. Terlalu ramai dan ada di mana-mana. Secara jujurnya saya banyak melupakan mereka kerana yang di depan mata lebih menuntut perhatian. Lebih banyak perlu di belai dan dididik. Pertemuan-pertemuan sesekali kadang-kadang memeranjatkan. Ramai yang memanjat jaya. Ramai yang membina kerjaya dalam berbagai bidang. Yang jauh kedudukannya lebih tinggi dari saya. Dalam kegilaan teknologi seperti sekarang ini ramai yang menemui saya melalui facebook atau melalui blog saya.

Bila saya lawati blog saya kadang-kadang saya terharu kerana pembacanya merentas dunia. Mungkin mereka bekas pelajar saya walaupun mereka tidak mengenalkan diri. 23 Julai ini bekas pelajar yang menganggotai Alumni PUO mengundang saya untuk majlis makan malam mereka. Reunion barangkali. Bagi yang pernah belajar dari saya sejak awal tahun 1980an dahulu tentu sudah berumah tangga. Sudah beranak pinak. Sudah ada cucu barangkali. Ada antaranya yang sudah menjadi timbalan pengarah di politeknik. Time really flies. Saya lepsakan anak-anak didik saya merentas ala mini mencari tapak masing-masing. Mencari asas dan dasar memperkasa diri. Banyak di luar sana yang menuntut kerlibatan diri.

Hari ini saya berundur lagi. Kebetulan ketika saya menulis ini hujan sangat lebat di Parit Raja. Di kampus bandar UTHM. Bukan menangis. Bukan hiba. Bukan rawan. Bukan ada gundah gelana. Cuma perpisahan dengan kerjaya yang sangat saya cintai. Yang menjadi darah daging saya. Yang setiap intipatinya menyerap dalam darah. Dalam saraf. Dlam setiap nafas saya. Seolah-olahnya saya hidup kerananya. Mungkin saya terlalu. Kena ada batas-batas yang perlu dipasangkan. Suatu sempadan antara sampai dan tiba. Antara boleh dan perlu. Saya akur bahawa setiap sesuatu ada hujungnya. Sampainya. Tibanya. Penyudahnya. Tepiannya.  Bak belut pulanglah ke lumpur. Bak bangau pulanglah ke belakan kerbau. Di situ tempat yang paling semadi. Asal kita di situ.

Dari stesen ke setesan telah saya lalui. Perhentian dan destinasi yang berbagai. Mungkin destinasi ini sangat nostalgik nantinya. Sentimental untuk diingat. Tempat bercanda minda. Tempat memainkan emosi. Tempat menduga intelek. Tempat membina modal insan yang berimpak tinggi. Tempat santai berdakwah supaya tidak pernah lupa kepada Yang Khaliq. Bahawa setiap perjalanan pasti ada penamatnya. Ada penyudahnya. Ada perhentiannya. Ada pelabuhannya. Ada stesennya. Persimpangan yang sudah ditentukan sampainya. Saya perlu membelok ke arah lain. Ke simpang lain. Memulakan perjalanan semula. Perjalanan lain yang mungkin jauh lebih panjang secara spiritual dan psikologinya.

Meninggalkan sesuatu yang sangat intim dan dekat di hati perlu kekuatan. Namun walau dibina sekuat mana sekalipun kekuatan itu runtuh juga kerana saya ada perasaan. Ada kelemahan menahan perasaan itu. Rempuhan perasaan ini lebih hebat dari tsunami kerana lambakan dan terjahannya sangat kuat sekali. Apapun boleh rebah jika perasaan itu tidak dapat diatasi. Saya beruntung barangkali kerana pendidikan saya membantu menguasai kecerdasan emosi saya. EQ. Kesedaran yang jauh lebih difahami bahawa all good things must come to an end. Saya akan terus beredar kerana di luar sana masih banyak lagi agenda diri yang belum terlaksana. Menamatkan satu perjalanan bukan penamat segala-galanya. Ada perjalanan lain yang telah Allah rancangkan untuk setiap makhluknya.

Bagai burung yang sudah biasa terbang, saya akan terbang selalu. Enak melihat dari atas. Panorama yang selalu indah. Melayang lalu dan mengimbas tentu lebih enak. Lebih santai. Lapang dada dan fikiran dari banyak kekalutan yang selalu mengimbau. Melayang dengan rehat yang panjang mencari tapak baru untuk memulakan sesuatu yang mencapah ke arah lain. Ada hasrat lain yang ingin dicapai. Bukan sekarang sahaja harus berkongsi apa yang ada. Saya merasakan masih banyak yang ingin saya kongsikan. Pengalaman yang dulu-dulu masih banyak yang belum dapat saya nukilkan. Rasanya terlalu banyak lagi. bersusun untuk diluahkan melalui maya ini.

Sudah terlalu lama menyatu dengan alam pendidikan ini. Terlalu banyak yang dilalui. Direntasi. Banyak yang berubah. Banyak yang kalut. Banyak yang bertambah kompleks. Kesantaian mengajar dan mendidik kadang-kadang menjadi robotik. Kemanusiaannya banyak yang terhakis. Sukar membangunkan kemanusiaan yang banyak bersalut teknologi. Semakin tinggi semakin tinggi pula manusia mendongak ke langit. Banyak realiti yang terlihat ganjil. Sesuatu yang tidak lagi dipandang penting. Namun kemanusiaan adalah kemansiaan. Fitrah manusia yang memang begitu. Maka mendidik semakin payah. Inteleknya payah dibangunkan kerana guru banyak sibuk dengan hal-hal yang lain. Emosi juga payah dibangunkan kerana hak asasi kadang-kadang menghalang pendidik bertindak. Ibu bapa ada kodnya yang tersendiri. Sukar mematuhi sekolah atau guru-gurunya. Rohani sukar dibangunkan kerana  persekitaran yang mereput dengan budaya dan amalan hidup yang asing. Berubah  dari zaman nenek moyang dahulu. Jasmani juga semakin sukar diurus kerana kimia dan bahan toksid yang banyak dalam makanan. Penyakit berbagai yang dihidapi.

Tirai saya sudah berlabuh. Dua minggu ini pastinya menjadi suatu whirlwind bagi saya. 14 Julai tamat kontrak. 23 Julai hari lahir saya yang ke 65. 2 Ogos aniversary perkahwinan saya yang ke 40. Dalam usia 65 tahun ini saya sempurnakan kitaran kerjaya saya sebagai pendidik. Kepada yang pernah berguru dengan saya, mohon maaf kiranya tidak cukup apa yang saya beri. Atau mungkin tidak menepati rasa dan cita. Mohon maaf kerana kadang-kadang hilang kesabaran kerana memandang yang tidak menyenangkan mata dan hati. Bagi yang terasa ambillah iktibar bahawa kesemuanya untuk kebaikan. Apa-apa yang boleh dipakai panjang-panjangkanlah. Ianya menjadi saham saya kerana ilmu yang bermanfaat itu amal jariah. Kepada semua yang pernah mendengar celoteh saya, terimalah. Kepada semua yang pernah melihat dan memandang saya, ambillah iktibar yang baik. Sesungguhnya ada sebahagian diri saya dalam diri anda semua. That part will always be there. Paling kurang dalam ingatan. Kepada semua yang pernah bersama saya insyaAllah di akhirat nanti kita bersua jua.

Saya akan pergi sendirian. Tetapi saya membawa banyak kenangan. Imbauan-imbauan masa akan datang pastinya melunakkan fikiran. Pada kebanyakannya kita masih akan terus bertemu.  Bagi yang terus terputus apakan daya. Hendak ku bawa perahuku sempit, tinggallah kasih tinggallah junjungan. Setiap yang bertemu pasti berpisah. Setiap yang bersama pasti berjauhan juga sudahnya. Tidak ada yang kekal abadi selagi kita di dunia yang fana ini. Jika kita tidak pergi orang lain pula yang akan pergi meninggalkan kita. Selagi hayat ini masih ada saya tetap ada di sini. Di alam maya ini kita selalu bersama. Saya akan berada di belakang tirai yang sudah dilabuhkan.

Wednesday, July 6, 2011

Life Is A Passing Game

Day in day out life just goes on. Is there any changes? For the better? Just check for a moment. What have transfired all this while? When each day comes we get up. The sun is precisely rising from the east. Big and bright. Life is pronounced to be full of zest. We prepare to go to work. Countless activities for a particular day. We are almost paralysed at the end of the day. What a rest in the evening. A sound sleep and dream of all the goodies. A predictable routine. Nevertheless that is not always the case. Each day is unique by itself. In fact we are always playing with a game. The game of life. Maybe the gem of our lives.

As Moslems we abide by the bidding of Allah. Fulfilling His commands. Thus we pray five times everyday. Each time at an interval so devine and spaced out that the call for prayers never interfere with the schedules of our lives. The Subh is so appropriate because it cajoles us to get up early. To feel the freshness of the day. To begin life on a positive note. The coolness of the morning. The early breeze. The stirring and chirping of birds. The much anticipated tonic of life. Another day. We then set forth to indulge in everending work. Making a name. Making an impact. Making a day. Rendering our services to whoever that may be. Either untoself or to others. Discharging our professional services.

A long stretch of work. We are so attached to it. Engrossed with all the dear commitment. Deemed concentration. Eager to come up with something worth. Value added. A space of time so hectic. There are meetings to be attended to. Clients to be entertained. Consultations being arrangerd. Appointments to be met. Schedules so arranged at a bewildering pace. The best part of the day. By afternoon we will be almost exhausted. Every energy being sapped away. Just like a battery, it needs recharging. That is exactly why Allah commands us to perform the Zuhr. A charging time. Regrouping our energy. Our effort. The next part of the day is even more gruelling. The penetrating sun sort of slows us down. Its burning. Its enormous heat floored us for the next three hours.

Those moments make us realise that life is full of endeavours. The unexpected. On the other hand we expect the next big thing. Yet at most times that never happen. It makes us think that the best thing is to do something worthwhile. Something that others feel deserving. Entertaining maybe. But never something that lead to destruction. Out of harms way. The day is even warmer. The tilting sun rays and its scantilating heat is difficult to bear. How lucky. Without the dependable air conditioning we could never perform. Our work will be very mediocre. Very little. Unproductive. If we go to the middle-east people take their nap in the afternoon. Too hot. The heat is so unbearable. When the British were here, they make it a point to sleep in the afternoon. A habit. Late in the afternoon they resume work. At a time more bearable. Less heat. A bit breezy maybe. Out of the sun’s glare. In between that we do our ‘Asr.  Another session of recharging our energy.

The day drags on. The sun starts setting in  the West. Cooling off begins. Birds flock to their nests. The hectic day subsides. Things starts to settle down. The day become darker and darker. The fire in ourselves dies down. The zest loses its power. The Maghrib settles the day. Everything that has been set comes to rest. An important part of our time. The part that we should be with our beloved ones. Spending time together. Exchanging news of the day. Catching up especially with the younger ones. Quality time. Creating that athmosphere of baiti jannati. Recharging the family zest. The light. The torch.

Time to rest for the day. Preparing for another gruelling day. The ‘Isya’ closes the day. The time for soulsearching. Listing the good deeds achieved. Taking stock.  Evaluating the day’s work. Are they of  any significance? Listing all the bad things that should be avoided in  the future. Alas the day comes to an end. The dust is settling in. The sleep. The dream. Tomorrow is another day to be dealt with. The day to be taken care of. To lead us to something pleasing Allah. The Almighty. He who bestows upon us all the dear blessings. All the good things in life. Alhamdulillah.

The day in a Moslem lefe is crucial. The non-believers can never understand it. Something not easy to consume. Our prayers are so designed by Allah not to interfere with our working schedules. The Subh is early in the morning. Before we go to work. The Zuhr is at a time during lunch break. The ‘Asr is after we completed the day’s work. The Maghrib is a time to welcome the night. The ‘Isya’ is before we rest for the day. If only the non-believers understand this. Allah is Great. His commands is beyond our understanding. Yet we feel His greatness. We are powerless without Him. Our life and our souls are only for Him. The ultimate Him. Allah is the Greatest. He rules the game. We are only players.

Monday, July 4, 2011

Peperiksaan


Peperiksaan adalah sesuatu yang menggerunkan. Benarkah begitu? Semua orang berperasaan begitu. Kerananya ramai orang yang beria-ia menghadapi peperiksaan. Bimbang yang bukan kepalang. Ngerinya rasa di hati jika gagal. Harapan besar menggunung untuk lulus. Ada yang mengembangkan hasrat mencapai yang terbaik. Four flat jika boleh. Sebenarnya persepsi tentang peperiksaan itu yang mengerikan. Jika kita memahami tentang peperiksaan itu rasanya tidak ada apa yang perlu dibimbangkan. Saya teringat sewaktu saya di Politeknik Ungku Omar dahulu. Antara tahun 1979 hingga tahun 1990. Jangkamasa 12 tahun yang agak lama. Saya banyak berceramah dengan pelajar saya. Nasihat dan motivasi. Saya jarang memberi nota. Menulis di papan tulis ala kadar sahaja. Lazimnya saya banyak berbincang. Saya bertanya pelajar. Ada masanya pelajar tujukan pertanyaan kepada saya. Saya tidak cepat memberi jawapan. Saya pulangkan soalan itu kepada pelajar-pelajar yang lain. Minta mereka memberi jawapan.

Mata saya mencari-cari siapa yang saya jangka boleh memberi jawapan. Dua atau tiga orang diminta mencuba. Dengan mengungkapkan semula soalan yang dikemukakan, selalu benar saya mendapat jawapan yang hampir tepat dari pelajar-pelajar. Saya sudah tidak perlu lagi memberi jawapan. Cuma pelajar-pelajar di Malaysia sudah biasa disuap. Kepada mereka hanya jawapan guru sahaja yang boleh diterima benar. Jawapan dari teman sekelas payah untuk memenuhi keperluan jawapan. Suatu persepsi yang salah. Siapa sahaja boleh memberi jawapan asalkan jawapan itu menjawab soalan. Siapa yang menjawab bukan isu. Suatu ketika seorang pelajar perempuan menyatakan rasa tidak puashatinya. Katanya, “Kenapa encik tidak menjawab soalan yang dikemukakan?” Saya hanya mampu tersenyum. Saya katakan kepadanya bahawa rakannya tadi telah menjawab soalan. Jika saya berikan jawapan, jawapannya adalah sama atau hampir sama. Lagipun saya kata bahawa yang belajar adalah ahli kelas itu dan bukan saya.

Saya selalu berpesan, tanyalah apa sahaja berkaitan matapelajaran itu. Tetapi saya sangat-sangat berpesan jangan tanya apa-apa lagi tentang matapelajaran itu sebulan menjelang peperiksaan. Prinsip yang saya tanam ialah belajar setiap hari. Setiap minggu. Setiap bulan. Bertanya. Mencari maklumat tambahan. Berbincang. Berdebat. Membuat rujukan. Menjelang tarikh peperiksaan mereka kesemuanya sudah bersedia. Adalah beberapa prosedur yang saya sarankan semasa menjawab soalan esei. Antaranya ialah gariskan katakunci dalam setiap jawapan. Mudah untuk saya mengesan jawapan yang dikehendaki. Apa yang selalu mengejutkan saya ialah walaupun saya tidak pernah membincangkan soalan-soalan peperiksaan secara terbuka pelajar-pelajar dapat menjawab dengan  baik. Ramai yang mampu meraih A. Mereka menjawab penuh seperti yang saya jangkakan. Latihan kadang-kadanag diperlukan untuk membiasakan sesuatu. Mengajar secara lisan mungkin baik untuk pendengaran. Atau untuk penglihatan. Penyerapannya tidak kesampaian.

Ada juga ketikanya pelajar tidak dapat menimbangkan mana yang baik dan mana yang buruk. Mana yang sesuai dan mana tidak. Mana yang boleh dan mana yang tidak. Mana yang layak dan mana yang tidak. Guru atau pensyarah selalu berhadapan dengan situasi yang merumitkan. Pelajar bertanya soalan yang akan masuk dalam periksa. Di kelas tiada masalah jika soalan itu ditanya. Di makmal  boleh. Di bengkel  boleh. Di kawasan kampus boleh. Bayangkan soalan itu ditanya di pasar petang. Di pasar malam. Didengar orang yang lalu lalang. Tentu orang awam beranggapan bahawa kerahsiaan tidak ada  nilai yang tinggi. Sedangkan kerahsiaannya termaktub dalam Akta 174. AUKU. Diluluskan oleh Parlimen. Disahkan oleh DYMM Yang DiPertuan Agung. Saya hanya mampu berkata, “Bacalah apa yang sudah diberi. Sudah diajar. Sudah dibincangkan dalam kelas.”  Soalannya tunggu nanti waktu periksa.

Belajar adalah kebaikan. Ada  nilai ilmu. Malah fardhu ain. Banyak juga yang fardhu kifayah. Wajib menjadi orang yang mengetahui. Memahami. Mengerti. Soalannya adalah proses penting penilaian. Untuk mengetahui kedudukan diri. Kehebatan berfikir. Menerobos halangan berfikir. Merentas halangan paradigma. Melahirkan kehebatan potensi diri. Peperiksaan itu menguji segala yang kita banggakan. Benarkan bagai dikata. Atau hanya luarnya sahaja kelihatan hebat tetapi dalamannya tiada nilai tinggi yang boleh menggugat. Yang dapat dilihat sebagai menjadi panduan menempatkan diri ke taraf tinggi. Takut-takut tidak menyengatpun.

Peperiksaan di Malaysia benar-benar menguji calon. Jika gagal calon itu diangap ‘bodoh’. Kita lupa yang pelajar itu telah belajar dalam jamgkamasa yang lama. Dia mungkin terlupa. Dia gugup. Dia lalai. Salah baca soalan. Salah memahami soalan. Mereka memberi jawapan yang tidak menepati soalan. Pelajar itu mungkin pandai sebenarnya tetapi waktu peperiksaan yang singkat itu dia gagal. Terlalu tertekan kerana jangkamasa yang singkat. Semua hal tentang peperiksaan adalah paradox. Semasa peperiksaan semua pelajar dipaksa untuk mengingat segala macam benda yang telah dibaca, dikira, dilihat, dieksperimen dan sebagainya. Sepanjang tiga jam itu semuanya perlu dikeluarkan semula. Tambah pula dengan hiasan. Dengan fakta. Dengan pendapat. Dengan ulasan. Dengan kritikan. Dengan penyelesaian. Dengan cadangan lagi.

Memang bagai hendak gila bila sampai waktu peperiksaan. Baca sana baca sini. Masih banyak belum dibaca. Yang ini belum dibaca. Yang itu belum difahami. Alamak macamana formula yang ini. Panjang pulak. Ini simbol apa. Ini apa hendaknya. Mulalah badan tidak terurus. Makan minum kira masuk perut. Tidur malam terjaga-jaga. Mungkin ada yang menahan-nahan mata supaya jangan terkatup. Semua ini berlaku bagi yang tidak menyediakan dirinya sejak dari awal. Tidak memahami kerangkanya. Tidak memahami perosedurnya. Tidak memahami susnaturnya. Tidak memahami prosesnya. Tidak memahami cabang dan pecahannya. Jika semua dapat dikuasai sejak dari mula soalan peperiksaan bukan masalah. Apa jawapanpun boleh disusun. Yang membezakan ialah pendekatan. Istilah yang betul. Isi yang diperlukan. Formula mana yang sesuai.

Banyak bezanya antara peperiksaan secara American dan secara British. Kita mengikut cara British. Semuanya perlu dihafal. Diingat. Difahami luar dan dalamnya. Dari sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar perkara. Di US banyak proses dan prosedur yang berbeza dengan Brirish. Belajar sangat santai dan ringan. Bila peperiksaan pensyarah hanya uruskan permulaannya sahaja. Bila semua sudah set, pensyarah beredar sambil berkata, “Please don’t copy. If you do you’re cheating yourself!” Ungkapan yang sama walau apapun peperiksaan yang kita duduki. Orang Malaysia menjawab soalan peperiksaan hingga ke detikan saat terakhir. Seperti hidup mati kita bergantung kepadanya. Semua yang terlintas di kepala ditulis. Semua yang diingat ditulis.

Lain sungguh dengan orang Amerika. Peperiksaan yang sepatutnya berlangsung selama tiga jam mungkin disudahkan selama sejam sahaja. Bila keputusan diisytiharkan mereka mendapat A juga. Kita yang lenguh-lenguh satu badan selama tiga jam A juga. Apa bezanya? Cuba renungkan. Bila kita menjalankan tugas harian semua masalah harian kita selesaikan berdasarkan pengalaman yang kita ada. Bagaimana jika berhadapan dengan masalah baru? Tentu kita merujuk buku. Bertanya kepada orang yang lebih tahu. Melayari internet. Menghubungi rakan taulan. Maknanya untuk hidup kita tidak perlu tahu kesemua perkara. Yang penting kita tahu apa patut dilaksanakan untuk mendapatkan jawapan. Untuk membuat rujukan. Untuk mencari maklumat. Itulah jawapan pelajar Amerika. Mereka tahu what to do in tight situation. Wriggling through. Tidak perlu tahu semua perkara. Terlalu inhuman jadinya. Tidak semua perkara dapat diprogram kepada minda dan diri kita. Hanya mereka yang istimewa sahaja dapat berbuat begitu. Kita yang kebanyakan ini perlu melalui proses biasa. Lambat. Slow. Perlu kesabaran.

Seorang calon PhD dari Malaysia menjadi tutor di University of Pittsburgh. Bila menyemak skrip peperiksaan dia mengikut kebiasaan. Seperti orang Malaysia. Semuanya perlu dijawab selengkapnya. Menguji intelek peringkat tinggi. Tidak boleh skrip jawapan yang ala kadar sahaja. Tidak cukup. Tidak sempurna. Bila keputusan diisytiharkan ramai pelajar yang mendapat B dan C. Mengamuk pelajar Amerika. Keputusan peperiksaan di luar kebiasaan. Hanya mereka yang benar-benar tidak menjawab sahaja yang mendapat gred rendah. Yang lain semuanya mendapat gred tinggi. Kenapa? Sebelum mereka masuk ke university meeka sudah mengambil college entrance examination. Bagi pelajar asing mengambil TOEFL (Teaching of English as Foreign Language). Maknanya standard mereka sudah diatur. Ditentukan hampir sama antara satu sama lain. Belajar adalah proses. Peperiksaan adalah juga proses. Mengajar untuk berhadapan dengan situasi tertentu yang perlukan penyelesaian maslalah. Perlukan keputusan yang logikal. Yang ekonomikal. Yang berimpak sosial. Aspek legalnya difikirkan. Dan dalam keadaan sekarang impak politiknya juga perlukan pertimbangan.

Sampai bilapun peperiksaan adalah aktiviti yang tidak mungkin berakhir. Hidup kita penuh dengan peperiksaan. Setiap saat kita melaluinya. Sebahagian besarnya kita sedar. Tetapi ada sebahagiannya tanpa kita sedari. Ada orang lain yang memeriksanya. Yang menilainya. Yang menentukan baik dan buruknya. Cantik dan hodohnya. Tinggi atau rendahnya. Boleh dicontohi atau tidak. Kadang-kadang kita tidak sedar ada sesuatu pada diri kita yang tidak elok. Ada gerak laku yang tidak menyenangkan orang lain. Kita bercakap tetapi bahasanya menyentap hati orang lain. Menasihat tetapi bahasanya pedas menyakitkan. Mengguris rasa di dada. Bercakap tetapi intonasi suara yang digunakan mencederakan perasaan. Mimik muka yang dilihat ada sindiran. Ada tempelak. Dilihat sinis. Ada rupa marah dan geram. Ada wajah dendam di dalam. Akibatnya peperiksaan yang dipantau orang tidak memberikan gambaran yang terbaik. Banyak cacat cela yang ada pada kita.

Cermin juga yang selalu memberikan gambaran benar. Itupun hanya yang di hadapan. Yang di luar. Malangnya tidak dapat dilihat yang di dalam. Tidak juga dilihat yang di belakang. Sebagai manusia kita tidak boleh menghias yang di hadapan sahaja. Yang dilihat sahaja. Dalam jangkapanjang bahagian dalaman kita diperiksa orang. Yang di belakang di selongkar orang. Sejarah kita dibaca orang. Riwayat hidup kita disusur orang. Masa lampau kita ditinjau orang. Yang dalaman kita dibuka orang. Dilihat kemurniannya jika ada. Keindahannya jika boleh meyerlah. Kedamaiannya jika boleh dipancarkan. Cahaya dalaman yang dimanifestasikan untuk dinikmati orang sekeliling. Jangan lupa kita bukan milik diri kita sendiri secara eksklusif. Diri kita milik Allah. Milik alam. Milik keluarga. Milik saudara mara. Milik sahabat handai. Milik semua orang.

Peperiksaan akademik mungkin lebih mudah. Skripnya jelas sejak dari awal. Skrip hidup lebih sukar. Tiada standard khusus kecuali yang berpandukan al-Quran dan al-Hadith. Yang menjadi amalan para sahabat. Yang menentukan pahala dan dosa. Yang membawa kita ke syurga. Hadapilah peperiksaan itu dengan semangat al-Quran. Sesungguhnya kita akan dikembalikan kepada Allah. Mudah-mudahan kita semua lulus peperiksaan yang diberikanNya setiap nafas kita dihela. InsyaAllah.

Thursday, June 30, 2011

Kennywood

Di negara beriklim sederhana, musim  berubah setiap tiga bulan. Winter, spring, summer dan fall/autumn. Setiap musim unik untuk musim itu. Malah winter tahun ini mungkin tidak sama dengan winter tahun yang lalu. Mungkin juga tidak sama dengan winter tahun hadapan. Saat dan ketika snow melayang turun berjurai tidak sama. Windchillnya berbeza. Blizzardnya berbeza. Tebal atau nipis snownya tidak sama. Sebab itu orang putih mengharapkan White Christmas. Snow turun pada 25 Disember. Lazimnya bila snow memutih terasa damai yang mendalam. Halus menusuk qalbu. Dalam keadaan snow yang memutih tebal itu terasa damai dan hening.  Kosong dan melapang. Sebenarnya sukar dinukilkan. Tiada bahasa untuk mengungkapkannya.  Hanya yang mengetahui sahaja. Subhanallah. Begitulah kebesaran Allah. Kita hanya mampu melihat dan mengalami tanda-tanda kebesaranNya. Untuk mengerti ke arah mana kita menuju destinasi yang ditentukanNya.


Begitu juga dengan musim-musim yang lain. Di penghujung winter sejuk tetap ada. Cuma snow bertukar memercupkan segala aneka bunga. Snow yang dahulunya berjurai berterbangan, diganti dengan hujan yang sangat menyejukkan. Suhu sekitar belasan darjah tentu masih asing bagi yang belum biasa. Namun dari hari ke hari yang berikutnya benarlah suhu naik dan turun seperti spring. Cuma naiknya lebih besar dari turunnya. Hingga suatu saat di penghujung spring suhu meningkat ke paras sederhana. Sudah boleh menanggalkan jaket tebal. Ocercoat. Bertukar memakai jaket biasa. Yang lebih santai. Suhu kira-kira 18 hingga 25 darjah selsius. Sungguhlah orang barat bukan jenis yang boleh diam. Dalam musim apapun mereka banyak agenda. Ada untuk diri sendiri. Ada untuk keluarga. Ada untuk komuniti. Ada untuk korporat. Dan banyak lagi. Semakin tinggi suhu semakin mereka tidak lekat di rumah.


Dari fall hingga awal spring mereka bekerja. Terperuk di pejabat. Di sekolah. Di rumah. Di dalam bangunan. Atau mereka berada di negara beriklim panas. Tentu sahaja mereka mengidamkan to be in the sun. To be tanned. Basking like nobody's business. Maka apabila matahari semakin memanas, semakin terik, ereka mula keluar dari perlindungan mereka. Sama seperti makhluk lain. Semasa winter kebanyakannya tidur. Hibernate. Seperti mematikan diri. Tidur sepuas-puasnya. Memakan lemak yang sudah disimpan berbulan-bulan lamanya. Bila spring tiba mereka mula terjaga. Kembali aktif menerjah alam. Kembali semula menjelajah dan menjajah. Bermulalah episod outdoor life. Bahagian penting dalam pembinaan bangsa mereka. Dalam tamadun mereka.


Sukar memahami jika ridak berada bersama mereka. Jika tidak merasa peritnya winter. Jika tidak merasa sejuknya spring. Jika tidak merasa sejuknya fall. Pancaran matahari dan suhu yang sederhana-panas adalah nikmat yang selalu mengujakan mereka. Yang selalu dinanti-nantikan. Terlalu banyak aktiviti di luar rumah yang dapat mereka lakukan. Camping, hiking, fishing, mountain climbing, rafting,  cross country, travelling, barbecue, partying, hunting. And a host of others. Apa sahaja yang teringat mereka lakukan. Melepas geram yang selama ini terpendam. Sebab itu orang putih merancang jauh ke hadapan. Di hujung summer mereka sudah merancang untuk summer tahun hadapan. Fesyen summer tahun hadapan sudah diperagakan. Menunggu tempahan. Advanced booking. Kelihatan sangat ligat putaran ekonomi mereka. Pemikiran mereka. Hidup dalam rat race.


Spring biasanya belum begitu rancak. Kerancakan lazimnya pada musim panas. Walaupun begitu seawal spring berduyun-duyun keluarga yang keluar dari rumah. Mencari kehidupan di luar rumah. Antara yang popular ialah amusement park (taman rekreasi) atau theme park (taman tema). Di Pittsburgh satu-satunya taman rekreasi cum taman tema ialah di Kennywood. Kira-kira sejam perjalanan dari University of Pittsburgh. Di sinilah mereka melepas geram. Bermain apa sahaja yang boleh. Makan apa sahaja yang boleh. Bila minum tentu sahaja kesukaan mereka iaitu coke - coca cola. Satu lagi ialah pepsi cola. Pada tahun 1985, Michael Jackson menjadi duta pepsi cola. Nak tahu berapa dia dapat? USD15juta. Hampir RM50juta. Hanya membenarkan dirinya digunakan sebagai selebriti yang menghiasi iklan. Dalam istilah pemasaran dinamakan celebrity advertising.


Outdoor life sangat besar impaknya kepada orang barat. Keluar dari rumah inilah digunakan sebagai pengikat hubungan keluarga. Doing things together. Mereka mengenali hati budi masing-masing. Ibu bapa memberikan input alam kepada anak-anak mereka. Menguji bakat dan potensi yang ada. Membina keyakinan diri. Hingga akhirnya mereka tahu apa yang terbaik untuk setiap anak mereka. Keluar itu sambil mengenal aptitude anak-anak. Lain anak lain aptitudenya. Hanya orang-orang yang hampir sahaja yang lebih megenalinya. Lagipun inilah masanya menyatu dengan alam. Memahami alam sekitar. Menghalusi sifat-sifat kemanusiaan yang mesti dibina supaya menjadi bakal warganegara yang all-rounded. Serba boleh dalam banyak hal. Hidup mereka lebih versatile.  Tidak jumud. Tidak beku. Tidak kaku. Tidak terperosok ke dalam diri sendiri. Membina kotak dan tembok hingga hilang begitu sahaja kemanusiaan yang ada.


Spring adalah waktu santai yang awal untuk memanfaat suasana alam yang terbentang luas ini. Kami pelajar-pelajar Malaysiapun mengambil kesempatan untuk meramaikan suasana. Bukan sahaja pengalaman diri bahkan juga memberi input berguna kepada anak-anak. This is life in a far away land.  Away from home. 




Bergambar di hadapan pintu masuk. Kami baru kira-kira empat bulan di Pittsburgh. Masih banyak yang perlu dipelajari.  Belajar dengan melihat dan membuat pengamatan. Tentu sahaja mengalaminya sendiri.
Posing sendiri. Masih muda lagi. Baru 39 tahun. Tengah ranum. Masih kurus lagi langsing. 

Semasa menunggu bas. Anak mash kecil-kecil. Tetapi seronok dengan kehadiran mereka.

Pokok bunga memang banyak. Yang itu mungkin tulip. Walaupun di Holland paling gah dengan tulipnya tetapi ianya hidup dalam iklm yang serupa.

Sebuah lokasi yang santai. Air terjun bikinan. Jambatan. Lihat anak-anak saya sudah selesa tanpa baju tebal. Suhu sangat nyaman ketika ini. Sekarang kesemua mereka sudah berkerjaya dan berumahtangga.

Antara lokasi yang agak sesak dengan manusia. Laluan dari satu tema ke lokasi tema yang lain.

Budak-budak seronok dengan apa sahaja yang disogokkan kepada mereka. Round and round. Merry go round. Berlagaklah menunggang motorsikal.

Tasik  buatan. Aktiviti air. Pada musim sebelumnya tasik ini beku dan boleh meluncur ais di atasnya. Di sini ada perahu. Ada jetski. 

Airpancut. Fountain of life. Hanya pada musim panas sahaja suasana sebegini dapat dinikmati. Pada musim sejuk Kennywood ini lengang. Beku. Sunyi.

Laluan luncuran air. Tempat mulanya jauh di belakang sana.

Isteri saya masih muda juga. Baru 35 tahun. Langsing seperti saya juga. Waktu kami berkahwin dahulu tidak pernah terfikir akan bersama-sama merentas dunia. Mengelilinginya bersama. Meriah dengan anak-anak pula.

Anak yang kelima. Baru kira-kira 16 bulan. Lahirnya 3.12.83. 

Anak-anak menikmati apa yang ada bersama ibunya. Gambar ini hanya mengingatkan mereka bahawa suatu ketika dahulu mereka pernah berada di sini.


Sesudah keletihan. Berehat dahulu. Di kanan Datin Sharifah Fatmah, Hajjah Noraini. Nombor dua dari kiri Juliza Adzlizan. Di sebelahnya rasanya bekas suaminya yang pertama dahulu. Murtaza namnya. Gelarannya Achik.

Keretapi.

Kita rehat dan makan dulu. Nanti sambung lagi. Biasalah orang Melayu. Bawa bekal sendiri. Jamin halal. Selera pula tidak patah.

Seronok makan beramai-ramai. Selera bertambah. Berpinggan-pinggan makan. Kebetulan memang disediakan ruang untuk makan. Ada meja. Ada kerusi. Ada tempat membasuh tangan. Lengkap. Sangat memudahkan.

Sambung main. Naik kuda pula.

Mula sejuk sedikit. Selepas tengahari. Suhu boleh bertukar bila-bila masa sahaja. Nurin sudah mula memakai baju panasnya warna hijau dan kuning.

Yang ini masih dalam suasana menjamu selera. 

Zaza posing seorang diri. Nampak agak panas terik.

Yang di hadapan sekali mendiang Virat Dinrat. Ligat dia ketika itu. Orang bujang katakan. Saya masih ingat baiknya. Suka menolong orang. Mesra dengan yang lain-lain. Kebaikan merentas budaya. Agama. Bangsa. Masa dan tempat.

Budak-budak mana puas bermain. Biarkan mereka berseronok. Pengalaman yang tidak mungkin berulang lagi.

Wednesday, June 29, 2011

Memanfatkan Perjalanan Bas


Saya menulis tentang bas dan penjalanannya bukan salah eja. Saya maksudkan penjalanan sebagai routing. Arah perjalanan dan penjadualannya. Seperti telah saya katakan pengangkutan awam adalah sebahagian dari agenda penting ekonomi dan kemajuan negara. Termasuk juga teknologinya. Ianya bukan perkara remeh temeh. Bukan idea picisan. Bukan murahan. Di US umpamanya sesuatu pembinaan jalanraya mengambilkira unjuran jangkapanjang. Sebatang jalanraya yang dibina hari ini mungkin untuk jangkamasa 20 tahun. Baru nanti jika nampak ada masalah mula menjelang. Mereka jadi proaktif. Sudah menjangka kedatangan masalah. Sebelum menjadi parah, malah sebelum menjadi masalah, sudah dilaksanakan penyelesaiannya. Dicari alternatif untuk menyahkan masalah. Untuk mengurus hal-hal lain yang juga penting.

Kita di Malaysia  banyak dilakukan kempen penggunaan pengangkutan awam. Kadang-kadang hanya pembaziran sahaja. Budaya belum ada. Amalan belum melekat. Intipatinya tidak diteliti. Dalam kehidupan kita banyak yang mesti dimulakan dari rumah. Semasa anak-anak masih kecil-kecil belaka. Paling lewat sewaktu usia anak-anak tujuh tahun. Begitu Islam memberi panduan. Tujuh tahun solat. Kita cuba naqlkan (bunyikan naqolkan) -pindahkan panduan tersebut ke dalam hal yang lain. Didik anak-anak supaya tinggi minat membaca sejak mereka kecil lagi. Sejak mrreka tahu mengenal huruf. Mengenal angka. Mengenal gambar. Mengenal warna. Boleh dimulakan seawal usia mereka setahun setengah. Jangan sekadar ajatr menari. Gelak sana gelek sini. Alihkan kepada hal yang lebih membina dirinya sebagai Muslim dan Muslimat yang hebat. Jangan biarkan anak-anak dengan kebiasaan lama yang adat beradat. Hana seronok dipandang tetapi nanti bila mereka membesar menyakitkan mata. Mencucuk mata. Menyilaukan mata. Memedihkan mata.

Latih mereka dengan ditunjukkan sesuatu huruf, angka, warna dan gambar. Belikan buku yang berkulit tebal. Latih untuk memegang. Latih untuk menyelak. Latih untuk meletak. Latih untuk membawa. Latih untuk membelek-belek.   Bunyikan apa yang ditunjuk. Sebut hurufnya. Sebut angkanya. Sebut gambarnya. Sebut warnanya. Lakukan berulang-ulang kali hingga anak-anak itu boleh menyebutnya. Boleh mengenalnya. Boleh mencarinya. Boleh menunjuknya. Tingkatkan setahap lagi. Belikan buku-buku yang mengandungi suku kata. Perkataan yang mempunyai dua suku kata. Meningkat lagi yang tiga suku kata. Seterusnya yang mengandungi imbuhan di hadapan. Imbuhan di belakang. Ibuhan di hadapan dan belakang. Kemudian lanjutkan dengan cerita yang senang-senang. Prasekolah. InsyaAllah sebelum umurnya lima tahun dia sudah boleh membaca. Tidak perlu diajar menulis. Kemahiran itu akan datang sendiri bila dia sendiri mahir membaca. Mengenal huruf dan angka. Mindanya akan memandunya untuk mengetahui.

Orang Melayu mengabaikan hal ini. Bagi pasangan muda, berusahalah bersungguh-sungguh. Bina kehidupan yang melepasi tahap kemiskinan. Jadi sekurang-kurangnya golongan pertengahan. Beli rumah yang sederhana besar. Jika ada kemampuan yang terancang, beli rumah yang besar. Jika mampu menhhimpun wang,  buat rumah yang besar. Kita kena keluar dari belenggu kemiskinan kerana kemiskinan mencambahkan banyak masalah kemiskinan yang bertambah-tambah. Semakin melemaskan. Bila sudah ada rumah yang agak selesa, pastikan ada bilik yang dinamakan perpustakaan. Jika boleh jadikan ia suatu perkara wajib. Suatu kemestian untuk setiap keluarga Melayu. Isilah perpustakaan keluarga itu dengan bahan-bahan bacaan yang boleh merangsang minda anak-anak untuk membaca. Supaya mereka keluar dari kepompong kejahilan. Kemiskinan. Kedaifan. Kejumudan. Kemunduran.

Perpustakaan itu gedung ilmu. Biarkan anak-anak berada di dalam gedung itu sesuka mereka. Ajar mereka cara menyususn bahan bacaan yang ada. Cara membaca. Cara menjaga buku dan majalah. Waktu mereka mengulangkaji, lakukan di perpustakaan. Waktu mereka membuat kerja rumah, lakukan di perpustakaan. Bahan-bahannya ditambah dari masa ke masa. Majalah setiap bulan. Latihan sebegini perlu untuk membiasakan mereka dengan membaca.  Jadikan membaca sebagai amalan yang dimestikan. Mandatory. Jangan biarkan anak-anak termenung. Termangu-mangu. Mengelamun. Dalam perjalanan pastikan buku dibawa. Bila berada di mana sekalipun, bekalkan dengan buku. Pendek kata buku sentiasa ada di sisi. Di samping. Hanya dengan jangkauan tangan sahaja.

Begitulah orang yang bertamadun dididik. Buku adalah khazanah ilmu. Penjana pemikiran. Penerokaan yang dikongsi bersama. Pengalaman yang dikongsi bersama. Pencetus untuk pemikiran-pemikiran lain. Saya melihat hanya orang Melayu yang lemah dalam hal ini. Ibu-ibu yang mengandung termangu di pusat-pusat kesihatan. Membosankan diri mereka kerana menunggu giliran yang berjam-jam lamanya. Jika membaca surah Yasiin tentu berpuluh kali khatam. Jika membaca al-Quran tentu sejuzuk dua. Jika membaca majalah tentu dua atau tiga. Jika membaca novel mungkin habis setebal 300 mukasurat. Jka membaca buku tentu mendapat berbagai ilmu, maklumat dan fakta. Rugi, rugi dan rugi kerana tidak menggunakan masa untuk membaca. Anak yang dikandung tidak melihat ibunya menjadi kreatif. Tidak memberi input intelektual. Derianya tumpul.

Semasa menunggu bas tidak membaca. Menunggu keretapi tidak membaca. Menungu kapalterbang tidak membaca. Sayangnya masa yang terbuang. Kosong sekosongnya. Sibuk kerana tidak melakukan sesuatu. Tidak ada masa untuk membaca kerana lebih suka begitu. Amalan hidup yang serba serbi tidak kena. Berfikiran jumud. Membaca menjadi agenda yang sangat berat dan memberatkan. Membaca menjadi sesuatu yang menyeksakan. Menjadi azab jika digalakkan membaca. Salahnya ibu bapa. Salahnya rumah. Salahnya keluarga. Sepatutnya budaya membaca diterapkan dalam ilmu keibu bapaan. Semasa Kursus praperkahwinan dahulu. Menjangkau jauh ke hadapan. Perkahwinan bukan perkara remeh temeh. Bukan sekadar memenuhi tuntutan agama. Perkahwinan adalah membina masjid. Membina keluarga Islam. Membina negara. Keutuhan keluarga adalah keutuhan agama. Keutuhan  negara. Keutuhan masyarakat. Keutuhan ummah.

Pengalaman saya di US dan di Canada sangat mencabar kebiasaan. Apa yang saya perhatikan semua agenda perjalanan direncanakan dengan betul. Semua agenda pengangkutan disempurnakan dengan betul.  Di tempat-tempat bas berhenti dipamerkan jadual ketibaan bas di pondok atau di kedudukan itu. Kadang-kadang ada pondok menungu. Kadang-kadang hanya ada sebatang tiang sahaja. Pada tiang itulah ditulis jadual ketibaan bas. Semua pengguna boleh merancang dengan tepat setepat-tepatnya bas mana yang perlu mereka pilih. Jika mereka ingin menaiki bas pada pukul 2.00 petang, mereka boleh mula menunggu bas itu pada pukul 1.58 petang. Apa yang saya katakan ini adalah fakta kerana sewaktu saya di Toronto, Canada dahulu tempat bas berhenti itu betul-betul di hadapan rumah yang saya duduki. Saya boleh kunci pintu pada pukul 1.57, turun tangga, dua minit kemudian bas sampai. Sesiapapun melakukannya begitu. Ketiaan bas sangat menepati jadual. Dibudayakan begiti. Sudah menjadi amalan hidup. Falsafah kehidupan yang difikirkan sedalam-dalamnya.
 Tiang berwarna merah itu adalah tempat bas berhenti. Di sebelah kiri tangga rumah. How convenient. Turun sahaja tanggu terus naik bas.

Jalanrayanya sangat luas. Sangat memudahkan. Agak jauh juga dari pusat bandaraya Toronto. Kena naik bas. Kemudian keretapi. Kira-kira 40 minit perjalanan. Tetapi jalanraya di hadapan rumah sangat luas.

Mungkin ada hubungannya dengan iklim. Dengan cuaca. Pada musim sejuk yang penuh dengan snow dan ais, penumpang tidak betah lama-lama menunggu bas. Sejuknya memang teramat sangat. Beku dan membekukan. Begitu juga pada musim hujan. Maka pemerintah memikirkan cara terbaik menolong rakyatnya. Maka mereka mendahulukan kebajikan rakyatnya. Jadual bas mesti ditepati. Dijamin tepat. Bukan sahaja tepat malah basnya dideretkan supaya ketibaannya berturut-turut mengikut jadual yang sudah tersedia. Hal-hal yang kecil begitu jika tidak diambil perhatian, kerajaan yang memerintah boleh bertukar dalam pilihanraya yang akan datang. Impaknya sangat besar. Kuasa rakyat. Kerajaan per;u memikirkan hingga perkara-perkara yang sekecil-kecilnya. Diterjemahkan dalam bentuk amalan harian. Amalan hidup.

Penumpang bas atau tram atau keretapi atau kapalterbang di negara maju tidak membuang masa semasa menunggu atau semasa berada dalam perjalanan. Budaya ini mungkin terlalu asing kepada kita. Jika kita biasa ke lapanganterbang, kedai buku mesti ada. Yang ramai di dalamnya ialah pelancong asing. Orang Malaysia hanya lalu di hadapannya sahaja. Atau membeli akhbar dan majalah sahaja. Jarang yang membeli bahan bacaan yang berat. Yang sarat dengan ilmu. Saya sarat dengan penemuan-penemuan baru. Kenapa? Dianggap bukan budaya kita. Bukan amalam.  Bukan kebiasaan. Kita terlepas sesuatu yang sangat berharga. Yang lumayan hasilnya. Yang selalu membezaka antara orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui.

Orang barat umpamanya bila mereka naik bas mereka sudah tahu berapa lama mereka akan sampai di destinasi mereka. Mungkin 20minit. Mungkin 30 minit. Mungkin 5 minit sahaja. Pada ketika sebelah tangan mereka memegang besi penggayut, sebelah tangan lagi pasti menyeluk saku. Keluarlah buku. Ada yang baru dan ada yang sudah lusuh. Mereka terus mambaca tanpa mempedulikan orang di sebelah menyebelah. Itu budaya mereka. Berapa banyak mereka membaca? Berapa lama mereka membaca? Cuba bayangkan. Tidakkah nanti terlepas tempat berhenti? Terlajak stesen? Tidak mungkin. Kenapa? Inilah kebiasaan yang tidak ada pada kita. Amalan yang tidak ada pada kita. Kita tidak memikirkannyapun.

Dalam amalan, mereka menjaga sangat masa yang ada. Sangat, sangat penting. Mereka sangat peka dengan masa kerana pengalaman mereka menentukan segala-galanya. Walau sesaatpun tetap ada kepengtimgannya. Suhu dari panas boleh menjadi sederhana hanya dalam perpuluhan saat sahaja. Sekelip magta. Dari sederhana menjadi sejuk beku jauh di bawah paras beku hanya dalam masa beberapa saat sahaja. Bagi tentera peluru boleh datang terbang membunuh hanya dalam beberapa saat sahaja. Tidak sempat untuk merebahkan badan. Peluru sudah sampai. Ada kita kisah tentang pentingnya masa ini? Tidak terfikirpun kan? Bagi penupang bas kerana mereka sudah biasa menyukat lama perjalanan, mereka tahu berapa mukasurat yang perlu dibaca. Jika 10 mukasurat yang mesti dibaca, cukup 1o mukasurat mereka tutup buku. Masukkan dalam poket. Sesaat dua selepas itu bas berhenti. Turun di destinasi yang dihajatkan. Sangat cantik. Ngam kata orang Cina. Everything is just so beautiful. Perfect.

Aduhai! Bila agaknya kita boleh sampai ke tahap itu? Selagi belum nampak bayangnya maka kita akan terus menerus jauh tertinggal di belakang. Kemajuan yang kita ada banyak menjurus kepada kebendaan. Very materialistic. Tiada ramuan lain yang membina minda dan pemikiran. Tamadun dan budaya. Yang diperlihatkan ialah fizikalnya. Kita kidak membina roh ilmu kepada orang kebanyakan. Kepada orang kampung. Kepada orang Melayu. Orang Islam.  Lalai dan dilalaikan. Hedonism yang banyak. Hiburan, gelak ketawa. Tidur lena. Yes! Yang lain-lain terhakis semuanya. Kembalilah kepada tabiat membaca demi agama. Demi keluarga. Demi masyarakat. Demi bangsa. Demi negara. Kita perlu mencari jalan-jalan yang lebih baik. Lebih lurus.

Sambal Kicap


Bagi orang Johor sambal kicap sinonim dengan banyak jenis makanan. Banyak hidangan yang dikaitkan dengan sambal kicap. Di luar negeri Johor mungkin asing. Namun begitu sesiapa yang sudah biasa dengan sambal kicap pasti ketagih. Maaflah. Jika dicari sekalipun sukar mendapatkannya. Alternatifnya ialah membuatnya sendiri. Terlalu mudah jika sudah biasa. Tiada langsung kompleksnya. Semua orang boleh membuatnya. Saya perturunkan resepinya:

Resepi Sambal Kicap:

1          Segenggam cili api (saiz dan jenis tidak mengapa) – boleh banyakkan jika jamuan besar
2          Sebuku bawang merah
3          Dua ulas bawang putih
(Tumbuk kesemuanya hingga lumat. Boleh gunakan blender tetapi menjadi terlalu halus dan lumat. Rasanya tidak memenuhi selera Jawa. Maaflah sambal ini lebih menjadi hak milik orang Jawa Johor. Khususnya Batu Pahat)
4          Sesudah agak lumat curah dengan kicap. Jika suka masin, curah kicap masin. Jika suka manis, curah kicap manis. Kuantiti kicap bergantung kepada ketahanan pedas orang-orang yang memakannya.

Panduan makan:

1          Ambil sedikit dahulu untuk menguji kepedasannya. Jika terasa menyengat, cukuplah dahulu. Jika masih belum terasa pedasnya, tambahlah seberapa banyak yang diperlukan.
2          Sediakan tisu sebelum makan. Sediakan banyak-banyak. Yang pasti hingus akan laju menderas keluar.
3          Sediakan juga air minum untuk mencairkan pedas.

Di negeri Johor antara makanan yang popular ialah soto dan lontong. Soto mengandungi nasi impit, suun goreng, tauge, bawang goreng, kacang tanah goring (ditumbuk atau dikisar). Mungkin ditambah daging rebus (dipotong nipis-nipis) atau ayam goring dicarik-carik. Kuahnya hampir penuh semangkuk. Lebih berkuah lebih sedap pula. Penyedap terakhirnya ialah sambal kicap. Maka berentaplah rasanya. Bercampur baur antara lemak dan masin. Antara pedas dan manis. Antara minyak dan air. Jika kena kuah dan sambalnya pasti terangkat. Kembang kempis hidung. Mata mungkin memerah dan berair. Air liur memang sudah lama kecur. Tunduk dan memakannya. Ibu mertua lalu di belakang pasti tidak nampak. Sombong kerana terlalu asyik makan soto. Memang tidak nampakpun kerana di bahagian belakang.

Di Batu Pahat khususnya sambal kicap di makan dengan beberapa makanan lain. Kebanyakan makanan bergoreng dicecah dengan kicap. Ada yang dicurah dengan sambal kicap. Tauhu goreng atau tempe goreng dipotong-potong. Dibubuh tauge dan timun. Tabur dengan kacang tanah goreng yang dikisar atau ditumbuk lumat. Curah sambal kicap sesedap rasa. Puh! Memang terliur. Terjungkit bibir menikmatinya. Paling kurang pasti dua keping tauhu yang bersaiz sederhana.

Namakan apa sahaja makanan goreng. Pisang. Keladi. Sukun. Keledek. Jemput-jemput (cekodok). Kuih bom (cekodok manis seperti untuk pasembur). Ikan goreng. Udang. Sotong. Semuanya akan bertambah lazat jika dicecahkan sambal kicap. Manis-manis pedas. Jika sambal itu diperahkan sedikit limau kasturi pasti rasanya bertambah menggilakan. Sasau jika tidak mendapatnya. Tersa-rasa di mulut. Di hati lagilah kuat berpaut. Hatta mi atau bihun goreng boleh juga ditambah dengan sambal kicap.

Sambal kicap sangat kuat kaitannya dengan sup. Tidak kiralah sama ada sup daging atau tulang. Ayam atau apa sahaja jenis sup. Tanpa sambal kicap rasanya tidak menyerlah. Tidak di mulut. Tidak di bibir. Tetapi jika ditambah dengan sambal kicap rasanya bertukar menjadi sangat mengasyikkan. Sup dan sambal kicap menjadi pasangan yang sangat akrab. Sangat dekat. Sangat berkait rapat. Walaupun sup boleh berdiri sendiri. Menjadi variable bebas. Namun tanpa sambal kicap ianya agak hambar. Ada kekosongan dari dari rasa.

Bila teringatkan sambal kicap kadang-kadang kami orang Batu Pahat terbawa-bawa ke mana-mana. Kadang-kadang bila di Kuala Lumpur bertanyakan sambal kicap. Biasanya waktu membeli pisang goreng. Tanya kepada penjual sambalnya mana? Terlupa ketika itu bukan di Batu Paahat. Tercengang sipenjual. Bila tersedar khilap terpaksalah meminta maaf. Rasanya budaya sambal kicap ini semakin menular. Ada juga di bahagian-bahagian tertentu di Kuala Lumpur yang menjual pisang goreng bercecahkan sambal kicap. Ramai bukan orang Batu Pahat yang mengimport keenakan sambal kicap kembali ke kampung halaman mereka.  Pertamanya graduan dari UTHM yang ribuan jumlahnya di seluruh pelosok tanahair. Keduanya graduan Institut Pendidikan Guru Tun Hussein Onn Batu Pahat (IPTHO) yang menjadi guru di seluruh tanahair..

Saya teringat sewaktu di Amerika dahulu. Kadang-kadang saya dan isteri menjemput teman-teman sesama pelajar untuk makan-makan di rumah. Suatu ketika isteri saya menyediakan soto. Seorang pelajar bernama Imran (Anak mantan wakil rakyat Lembah Pantai – Abdul Razak rasanya) mungkin kali pertama makan soto bercampur sambal kicap. Saya peringatkan dia supaya mengambil sedikit sahaja sambal itu. Mungkin terpedaya dengan rupa sambal itu dia mengambil mungkin tiga sudu besar untuk satu mangkuk soto. Apa lagi suapan yang pertama sahaja dia sudah menggelupur. Mukanya merah padam hingga ke telinga. Cuma tidak berasap. Air matanya banyak merembas deras membasahi pipinya. Matanya merah. Mulutnya ternganga menahan pedas. Menganginkan mulutnya. Entah berapa banyak air yang ditelannya. Lama dia menderita. Ramai yang gelak dengan lakunya kepedasan. Terpaksa menukar mangkuk dan mengambil sedikit sahaja sambal kicap itu sebagai penambah rasa.

Begitulah. Bila kita tidak tahu, banyakkan pemerhatian terlebih dahulu. Lihat bagaimana ianya dilakukan. Bertanya jika perlu. Cuba dari awal. Dari sedikit. Dari yang paling dasar. Bila sudah tahu bolehlah merancang mempelbagaikannya. Menerjah tidak tentu pasal memudaratkan diri. Banyak yang tidak kena. Kerugian akhirnya.