Tuesday, November 18, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Mengapa Lihat Orang Lain?



Kita selalu terperangkap dengan pendapat orang lain. Dengan pandangan orang lain. Takut, apa pula kata orang nanti. Betapa kita kadang-kadang tidak memiliki pendirian kita sendiri. Kita bersandar kepada orang lain. Kenapa tidak berdiri sendiri. Bahawa ini adalah pilihan kita yang terbaik. Adakah bangsa kita tidak memiliki sifat dan sikap mandiri. Perlukan pendapat orang lain. Yang kita lihat begitulah. Yang kita dengar begitulah. Yang kita baca begitulah. Kita seperti ketagih untuk bersandar kepada orang lain. Hampir dalam semua hal kita bersikap begitu. Paling mengecewakan ialah apabila kita melakukan yang hak tetap dipersoalkan. Malah dipersalahkan. Aduhai! Seorang yang solat kerana Allah dipersalahkan kerana tidak solat di ruang yang khusus seperti rumah, surau atau masjid. Solat berjamaah memanglah di tempat sebegitu tetapi apabila solat bersendirian di mana-mana sahaja adalah bumi Allah. Sah solatnya. Mungkin di ruang yang paing sempit sekalipun. Asalkan bersih dari najis. Diyakini suci. Memenuhi syarat dan rukun solat itu sendiri. Heboh seorang artis solat di parkir kereta. Tidak pula orang sibuk dengan mereka yang tidak solat. Bak kata seseorang kenapa yang hak selalu dipersoal. Yang batil dinyahfikir.

Seorang pemimpin mengatakan bahawa harga barang di negara kita masih rendah berbanding dengan harga barang di negara lain. Suatu perbandingan yang simplistik. Kita perlu melihat KNK. Produktiviti. Stok yang ada. Usaha mengurangkan kos. Dan banyak lagi indek ekonomi. Bukan angka semata-mata. Kita mempelajari ekonomi dari negara maju tetapi implimentasinya lebih banyak atas pertimbangan politik dan bukan pertimbangan ilmu dan ekonomi itu sendiri. Pembangunan dan pelaburan apa sahaja sekalipun bukan dengan sengaja untuk membebankan. Bukan pula dikatakan tidak disangka. Pakar-pakar yang terlibat mengerti risiko dan unjuran-unjuran yang terlibat. Jika sesuatu dasar dilaksanakan memang kesemua aspek telah dilihat dengan saksama. Sekiranya beban dan risiko diambil juga maka ilmu dan ilmiahnya telah diketepikan. Manusia menjadi rakus dengan pertimbangannya sendiri.

Penulis pernah di USA pada tahun 1985 dahulu. Suatu ketika sebuah syarkat yang membekalkan telur ingin menaikkan harga telur sebanyak USD 0.01. Satu sen sahaja. Bukan banyakpun. Bukan hingga berpuluh sen. Syarikat tersebut telah membeli center page (dua muka tengah) akhbar untuk menerangkan rasional mengapa harga telur terpaksa dinaikkan. Penulis ulang. Istilahnya terpaksa kerana kenaikan kos yang tidak dapat dihalang. Bukan atas dasar syarikat lain menaikkan harga maka syarkat yang lain turut menaikkan harga. Penulis pernah menulis tentang hal setesen minyak yang berbeza harga minyaknya. Yang membezakan antara mereka ialah usaha mengurgkan kos. Segala-gala kos diakaunkan. Mana-mana kos yang boleh dikurangkan perlu dikurangkan. Pengurangan itu dikembalikan kepada pengguna. Walaupun hanya satu sen. It goes a long way. Bayangkan setesen minyak yang bersebelahan harga minyaknya berbeza sedangkan grednya sama.

Kawalan harga bukan penyelesaian masalah yang utama. Malah ianya menjadi pelindung kepada “kemalasan” industri untuk mengurangkan kos. Untuk menambah kecekapan. Untuk menambah produktiviti. Yang lebih penting ialah pengguna. Mereka yang sewajarnya benar-benar dididik untuk mengerti indek-indek ekonomi. Mengetahui kitarannya. Tahu peranannya. Pengguna di negara membangun hanya menurut apa yang disajikan. Menu yang disediakan. Percaya kepada apa sahaja yang dihidangkan. Tidak di negara maju. Pengguna adalah raja. Supreme. Atau sovereign.

1                   Wang di tangan mereka.
2                   Pilihan pada mereka.
3                   Kuasa beli pada mereka.
4                   Kehendak dan keperluan pada mereka.
5                   Bilangan mereka menenggelamkan usahawan.
6                   Bila-bila masa pengguna dan persatuan pengguna bertindak ke atas sesuatu barang yang dinaikkan harganya boleh melumpuhkan usahawan yang terlibat.

Kita tidak ada kekuatan peribadi. Tidak ada kekuatan persatuan. Teori ekonomi sejagat seperti tidak relevan di Malaysia. Harga sepatutnya ditentukan oleh penawaran dan permintaan tetapi ianya seperti tidak berlaku. Harga yang naik tidak mengurangkan permintaan. Pertimbangannya senang sahaja. Jika tidak dibeli barang itu susahlah kita. Yang ironisnya harga mahal dikatakan menyusahkan. Membeli seolah-olah tiada pilihan. Kerana itu pengguna di Malaysia mudah diancam dan mudah terancam. Akhirnya mereka menurut apa sahaja kehendak pasaran. Ramai orang lain yang perihatin dengan kesusahan orang lain tetapi daya untuk membantu terbatas. Kadang-kadang usahawan dan industrialis di negara kita tidak meningkat dan menunaikan tanggungjawab sosial mereka kecuali yang menguntungkan dengan segera.

Soalnya, mengapa pengguna di negara terlalu malas untuk menjadi perihatin. Bestari dalam ekonomi. Berupaya mendidik usahawan dan industrialis yang terlalu mengejar keuntungan. Mengapa keuntungan itu tidak dikembalikan kepada pengguna. Suatu contoh klasik ialah apabila sebuah korporat yang untung tahunannya berbilion-bilion ringgit masih mengatakan harga perkhidmatannya perlu dinaikkan untuk membiayai pembangunannya. Bukankah keuntungan dipermodalkan semula untuk menjana keuntungan lain yang dirancang dan dijangka. Apabila khalayak tidak arif tentang ekonomi maka usahawan lebih senang mendesak harga melambung ke atas. Apabila khalayak tidak arif tentang mainan hidup bernegara maka mereka terus-terusan dimangsakan. Tiada pembelaan. Tiada pembetulan. Tiada siapa mendengar suara pengguna kerana mereka lemah. Di USA umpamanya pengguna menyokong antara satu sama lain untuk mendapatkan faedah yang sama. Kos diturunkan. Harga diturunkan. Keuntungan syarikat tidak terjejas walau sedikitpun. Masih dalam unjuran yang sama. Bila kita bercakap tentang ekonomi hendaklah dalam konteks yang melingkari teori dan amalan ekonomi. Walaupun politik mempengaruhi ekonomi tetapi bukan penentu sebenar ekonomi dalam negara demokrasi atau laissez-faire economy. Politik menjadi regulator bukan pemain utama.

Samalah apabila simbol penerbangan kita yang menghidangkan minuman terlarang dalam penerbangannya. Yang dihidangkan menikmatinya. Sementara yang tidak memerlukan hidangan didapati telah membayarnya secara percuma. Alasannya cukup dangkal:

1                   Penerbangan ini antarabangsa,
2                   Kita ambil kira penumpang bukan Islam.
3                   Semua penerbangan dasarnaya serupa.

Yang membayar penumpang. Yang rugi penumpang. Rasionalnya tiada. Hanya kerana bersandar kepada amalan orang lain. Ikut trend. Kebiasaan. Sudah sampai masanya kita berdiri atas kapasiti kita sendiri. Membina pendirian sendiri. Untuk itu banyak yang perlu dilakukan. Antaranya:

1                   Rakyat kebanyakan hendaklah meningkatkan diri dari segi pendidikan. Dari segi ilmiah. Dari segi maklumat. Dari segi kepedulian tentang persekitaran mereka. Khususnya tentang agama.
2                   Ilmu peringkat tinggi hendaklah dipelajari supaya  kita dapat berfikir peringkat tinggi. Melihat agama pada paras tinggi. Melihat politik pada tahap tinggi. Berfikir pada aras yang melebihi kebiasaan sahaja. Bukan lagi biasa-biasa sahaja.
3                   Mengambil tahu hal-hal di sekeliling. Memahaminya. Menggarap natijah atau konsekuennya.
4                   Merancang masa hadapan yang lebih efektif dari segi agama, politik, ekonomi, pendidikan, teknologi dan lain-lain yang berkaitan dengan kehidupan pada masa hadapan.


Kita tidak boleh ikut-ikutan terus-terusan dalam persekitaran yang terlalu laju pergerakannya. Setiap dari kita perlu berfikir di luar kotak kehidupan kita sekarang. Di luar kepompong lama yang menjadikan kita terlalu selesa. Semoga ilmu membezakan kita dengan mereka yang terlalu bersandar kepada keadaan. Kita bina harapan melalui ilmu, maklumat dan pemikiran peringkat tinggi. Insyaallah kita akan berjaya dengan izin Allah.

Bingkisan Dari Kaherah: Bahasa Cerminan Bangsa



Bahasa adalah alat komunikasi. Ianya dalam bentuk perkataan, ungkapan, istilah, simbol, warna, bunyi, isyarat atau apa sahaja yang menjadi medium komunikasi. Hijau jalan, kuning sedia berhenti dan merah berhenti. Warna-warna lampu isyarat. Dua pihak seharusnya faham-memahami kerana mereka dalam kelompok budaya yang sama. Mereka yang terlibat dengan Matematik, bahasanya istilah-istilah Matematik. Ahli komputer menggunakan istilah komputer. Begitu juga dengan profesional yang lain. Mereka menggunakan istilah-istilah yang sinonim dengan bidang tugas mereka. Orang tua-tua selalu menyebut bahasa menunjukkan bangsa. Sekilas kata ia bermakna bahawa setiap bangsa memiliki bahasanya yang tersendiri. Mungkin ada persamaan dengan bahasa lain. Mungkin juga tiada kaitan langsung.

Untuk kali ini marilah kita tatap bahasa kita. Mengapa dihubungkan bahasa dengan bangsa. Apa makna bangsa dalam hubungan ini. Dalam istilah orang Melayu bangsa bukan bermakna penduduk sesuatu kawasan atau warganegara sesebuah negara berdaulat. Dalam bahasa Inggeris disebut nationality (bangsa). Anak watan sesebuah negara. Namun begitu bangsa memberikan konotasi yang berbeza dari konteks bangsa yang kita maklumi. Bangsa dikaitkan dengan keturunan atau keluarga. Pada zaman klasik, bangsa ada kaitannya dengan bangsawan. Maksudnya berdarah “putih”. Untuk bacaan kali ini bangsa dihadkan kepada keluarga dan keturunan sahaja. Lazimnya bahasa dikaitkan dengan pendidikan. Anak golongan bangsawan pada suatu waktu dahulu lebih terdidik. Lebih tinggi sekolahnya. Natijahnya:

1                    Bahasa yang mereka gunakan berstatus tinggi. Cantik berseni.
Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga;
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.

2                    Semakin tinggi pendidikan semakin berseni bahasanya. Pantun, sajak, gurindam, seloka, syair dan sebagainya adalah menifestasi keindahan berbahasa itu.
(Ingin memetik/menyunting kembang di taman bermaksud ingin meminang gadis anak tuan rumah.)

3                    Lantunan suara yang lunak. Intonasi yang lembut. Lontaran kata-kata yang menusuk.
(Sepekan sudah terlalu lama inikan pula tiga purnama.) Sepekan bermakna seminggu. Purnama pula adalah bulan.

4                    Diolah dengan anyaman kata-kata yang penuh kias.
(Di mana saya boleh ke sungai besar? Maksudnya di mana bilik air?)
5                    Mereka yang status sosialnya lebih tinggi dianggap bahsanya lebih tinggi.
(Di mana boleh saya basuh muka? Dimaksudkan di mana bilik air?)

Barangkali bahasa dan bangsa masih relevan hingga bila-bila masa sekalipun. Selagi ianya alat komunikasi. Namun begitu kadang-kadang kita berhadapan dengan situasi yang menjadikan kita kurang selesa. Contohnya:

1                    Orang muda yang lancang mulutnya sewaktu berbicara dengan orang tua. Perkataan yang keluar tidak enak didengar. Intonasi suaranya terlalu tinggi. Terungkap kata-kata menghina. Berbaur bongkak, riak dan takabbur. Tentulah tidak wajar seorang muda mengatakan mereka yang jauh lebih tua dengan ‘bodoh’ kerana mereka tidak maklum. Sangat-sangat tidak wajar. Dirinya akan tua. Suatu ketika nanti ungkapan sebegitu mungkin Allah kembalikan kepadanya.
2                    Seorang ketua tidak berhak menggunakan perkataan yang menghina atau lucah terhadap mereka yang di bawahnya. Penghinaan itu kembali kepadanya kerana mereka yang di bawah adalah cermin kepada seorang ketua. Penulis teringat kata-kata almarhum Habib Ali:
2.1                   Anak-anak jangan dipanggil bodoh. Tanggungjawab yang lebih tua untuk memandaikannya.
2.2                   Mereka yang miskin jangan dipanggil bodoh. Tanggungjawab yang kaya dan pandai untuk menaiktaraf kehidupan mereka.
2.3                   Yang tidak tahu jangan dikata bodoh. Tanggungjawab yang tahu untuk memaklumkan apa yang diketahui.
3                    Jagalah bahasa kita kerana ianya sangat berkaitan dengan keturunan dan keluarga kita, taraf pendidikan kita, jawatan kita, organisasi yang kita wakili dan kelayakan akademik yang kita miliki.

Seharusnya intelek dan bahasa beriringan. Intelektual bahasanya tepat dengan istilah, profesional, beradab dan berakhlak mulia. Ramai antara kita yang mempelajari psikologi dalam berbagai bentuk. Mungkin kaunseling. Mungkin dakwah. Mungkin motivasi. Mungkin dakyah. Mungkin perang saraf. Mungkin iklan. Mungkin promosi. Mungkin propaganda. Mungkin juga politik. Kalimah, istilah, ungkapan yang dilontarkan, intonasinya yang sesuai dengan keadaan dituntut teramat sangat. Audien kita adalah insan yang memiliki perasaan. Yang sensitif perasaannya apabila tersentuh. Goresan yang sedikit panjang kesan negatifnya.

1                    Tidak ada kewajaran langsung seseorang melontarkan kata-kata kesat atau celupar. Imej dirinya hilang ranap sekelip mata.
2                    Mereka yang berlatarbelakangkan agama seharusnya lebih teliti ketika berbahasa. Sebarang kesilapan mencacatkan kelayakan akademik yang dimiliki. Mereka yang memiliki latar belakang agama dinisbahkan kepada sopan santun, berbudi luhur, hormat kepada orang lain. Atau diperlukan berakhlak mulia. Sesuai dengan pendidikannya.
3                    Mereka yang berkedudukan tinggi dijangka lebih merendah diri. Tawadhuk. Malangnya ada juga yang berlaku sebaliknya.

Apabila kita berupaya menggunakan bahasa yang indah, kesannya lebih menusuk. Lebih menghiris. Lebih mengesankan. Marahnya dengan suara bersahaja tetapi mengandungi maksud yang dalam. Yang mendengar tidak marah kerana marahnya bukan dengan nada marah. Komunikasinya untuk membetulkan kesilapan bukan mencari kesalahan. Disampaikan dengan nada nasihat dan tunjuk ajar. Lembut tetapi bisa. Imej mereka yang marah tidak hilang. Yang dimarahi tidak berdendam. Tidak membenci. Malah lebih hormat. Lebih segan. Yang berilmu sewajarnya dihormati ilmunya. Yang kaya diraikan kebaikannya. Yang berkedudukan tinggi selalu menurunkan dirinya untuk bersama orang lain yang berada di bawah. Semakin kaya semakin dermawan. Semakin berilmu semakin banyak mendidiknya. Semakin tinggi semakin banyak idea membangunkan mereka yang di bawahnya.

Umar Abdul Aziz meninggalkan istana kerana rakyatnya tidak memiliki istana. Tidak adil jika ia duduk di istana sedangkan rakyatnya tiada memiliki rumah. Apatah lagi istana sepertinya. Ia menanggalkan pakaian mewahnya kerana segan dengan rakyatnya yang pakaiannya bak mereka yang miskin dan fakir. Tugasnya menjadi khadam untuk membantu rakyatnya memiliki istana. Memiliki pakaian cantik. Memiliki makanan yang mengenyang dan menyihatkan. Meningkatkan produktiviti dalam bentuk zakat dan baitulmal, hasilkerja, kualiti kerja dan berusaha memberi bukan meminta. Menjauhi sifat pentingkan diri. Bahasa Umar menunjukkan bahawa ianya merasa sangat rendah hati, sangat takut jika tidak mendapat redha Allah. Pemerintahannya yang singkat memakmurkan kerajaan Ma’awiyah. Yang memberi lebih ramai dari yang meminta. Serigala tidak memakan kambing. Pemerintah yang adil disegani manusia dan haiwan. Juga makhluk yang lain.

Bahasa adalah alat komunikasi antara penyampai dengan audiennya. Maka pada ketika-ketikanya penyampai menggunakan bahasa yang mudah dan tidak mengandungi maksud lain. Pada audien yang lain mungkin perlukan istilah-istilah spesifik. Penyampai yang baik mengambil tahu siapa audiennya. Profesion mereka. Kelayakan mereka. Jawatan mereka. Agama mereka. Kebiasaan mereka. Dan banyak lagi aspek yang perlu diketahui. Walau bagaimanapun penulis berpendapat kita perlu menjaga bahasa untuk:

1                    Menghormati bahasa itu sendiri.
2                    Memanifestasikan diri kita di hadapan audien.
3                    Menghormati audien, situasi dan suasana.
4                    Menyampaikan mesej yang difahami sebagaimana maksud mesej itu disampaikan.


Kejayaan menggunakan bahasa yang betul menunjukkan bangsa. Menunjukkan siapa kita yang selayaknya. Berautoriti tetapi menghormati audien. Semakin baik bahasa yang kita gunakan semakin meningkat imej diri kita. Insyaalllah.

Sunday, November 16, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Mencari Hujungnya Pelangi



Ilmu terlalu banyak. Kebijaksanaan pula bukan datang begitu sahaja. Yang kita dapat hanya sedikit yang tidak sampaipun setetes air dari lautan dan lautan yang luas. Hatta ditambah air lautan yang melaut itu banyak kali sekalipun ilmu Allah tiada sudahnya. Bahagian kita hanya yang sedikit itu. Untuk mendapatkan yang sedikit itu bukan pula menanti sambil bermenung. Menunggu saban waktu. Tunggu dan menunggu. Ilmu wajib dicari. Wajib dikejar. Wajib diselongkar dari khazanah yang ada. Yang ditinggalkan oleh para anbia. Para ulama’. Para sarjana. Para bijaksana. Maka kembara ilmu itu sangat lama. Sangat panjang. Sangat banyak stamina yang diperlukan. Namun begitu ilmu bukan eksklusif untuk mereka yang tertentu. Sesiapa sahaja boleh mendapatkannya dengan izin Allah. Walau bagaimanapun untuk mendapatkannya perlukan banyak kesabaran. Perlukan istiqamah. Perlukan keikhlasan kepada Yang Khaliq. Tidak pula boleh terlalu tamak. Hendaklah dimulakan dari yang mudah. Dari yang dekat. Dari yang di bawah dahulu. Mulakan dari anak tangga yang pertama.

Anak tangga yang pertama adalah penjana kepada kekuatan untuk berada pada anak tangga yang kedua. Yang ketiga. Yang keempat dan seterusnya. Di puncak tangga bukan pula segala-galanya. Tangga-tangga lain menanti dari satu aras ke aras yang lebih tinggi. Lebih jauh. Lebih dalam. Lebih luas. Banyak simpang. Banyak cabangnya. Maka banyak pula cabaran dan kekangannya. Kerana ilmu itu adalah untuk mereka yang arif maka perlu kebijaksanaan untyuk memulakan langkah pertama. Yang berkeinginan tinggi. Yang menyedari bahawa yang sedikit perlu ditambah. Ilmu yang dimiliki kekal sedikit, kekal kecil, kekal tidak bermanfaat apabila orang lain memiliki yang lebih baik. Yang lebih banyak. yang lebih berkualiti. Tanpa tambahan ilmu diri kita menjadi jumud. Ketinggalan zaman. Terperangkap dalam kotak zaman yang menjadi tidak relevan lagi.

Hari Selasa 11 November 2014 tamat kursus Bahasa Arab di Markas Nil, Kaherah yang penulis sertai lebih setahun yang lalu. Dari satu mustawa ke mustawa berikutnya segala kepayahan ditempuhi. Diterokai dengan kekuatan yang ada. Alhamdulillah segalanya berlalu. Bermula dari mustawa kedua hingga ke mustawa kedua belas selama 13 bulan kerana diselang dengan mustawa muhaddathah (lisan) antara mustawa tiga dan empat. Juga antara mustawa tujuh dan lapan. Mustawa kedua belas juga adalah muhaddathah. Untuk menguasai bahasa kedua perlukan masa juga. Membiasakan minda dengan makna mengikut yang dimasksudkan oleh orang Arab. Dengan budaya Arab. Dengan jalan fikir orang Arab. Kebiasaan mereka. Pengalaman mereka. Falsafah hidup mereka. Gaya hidup mereka. Hanya apabila kita mengerti budaya mereka barulah kita dapat menyelam bahasa itu sendiri. Terjemahan hanya membantu tetapi tidak pernah menepati maksudnya kerana bahasa itu unik untuk bangsa yang mencipta dan mengamalkannya. Ia datang dari diri dan perasaan mereka.

Mempelajari Bahasa Arab tidak boleh lari dari merujuk kepada al-Quran, al-Sunnah dan hasil karya bangsa Arab pada keseluruhannya. Sastera mereka adalah dalam bahasa Arab kelasik dan Bahasa Arab tinggi. Berhadapan dengan balaghah dan cabang-cabangnya seperti mengembara ke zaman lampau. Penuh dengan kias. Penuh makna yang berbagai. Perlu mengerti situasi dan zamannya. Balaghah melebihi dari sekadar perumpamaan atau bidalan. Maknanya sangat mendalam. Al-Quran penuh dengan unsur-unsur balaghah. Sebab itu terjemahan tidak memberikan maksud yang setepat-tepatnya. Kita menterjemah ke bahasa kita. Mengikut apa yang hendak kita fahami. Walhal dalam Bahasa Arab itu sesuatu huruf atau kalimah memberikan pengertian yang tersendiri. Makna yang unik. Menterjemahkannya menghilangkan seni dan kehalusan bahasa itu.

Hanya dengan mempelajarinya baru kita dapat menyelami maksudnya dengan mendalam.  Walau bagaimanapun mempelajari Bahasa Arab tidak cukup hanya dalam jangka masa setahun atau dua tahun sahaja. Masa yang lebih panjang diperlukan untuk benar-benar menusuk qalbu. Mengisi perasaan cintakannya. Bak kata pengurus pelajar di Markas Nil, “Tamatnya pelajaran di Markas Nil membuka pintu ruang lain untuk dipelajari selepasnya.” Benarlah bahawa belajar itu dari buaian hingga ke liang lahad. Min al-mahdi ila al-lahdi. Tidak ada tamatnya selagi ada nafas yang perlu dihela. Selagi darah masih mengalir. Selagi nyawa dikandung badan. Selagi noktah hidup belum ditandakan. Setelah tamat suatu peringkat ilmu diri terasa kosong kerana banyak lagi yang perlu disusun untuk digarap pada masa yang ianya diperlukan. Direncanakan untuk tahap yang seterusnya. Tiada henti. Tiada hentian. Tiada halangan abadi.

Rugilah ilmu yang sedikit. Yang tidak berbagai. Ibarat selimut yang pendek. Tutup kepala terdedah kaki. Ditutup kaki terbuka pula kepala. Masih berguna tetapi tidak dapat menduga lautan. Masih tetap terlalu banyak yang tidak diketahui. Jangan ditanya yang bukan-bukan. Banyak yang tidak dapat dijawab. Yang sedikit itupun belum tentu kita dapat menguasainya dengan sepenuh-penuhnya. Yang sedikit itu tetap sedikit. Amat sedikit berbanding dengan ilmu yang dimiliki oleh orang lain yang lebih arif. Cuma pengalaman mengajar kita bahawa ilmu yang kita miliki kadang-kadang tidak nampak gunanya dalam masa terdekat. Allah merancangkan bahawa ilmu itu datang gunanya apabila sampai masanya. Apabila keperluannya muncul di hadapan kita. Menukar tayar kereta bukan setiap hari. Tetapi ilmu menukar kereta itu perlu supaya apabila keadaan memerlukan kita boleh melakukannya. Peralatannya tersedia. Prosesnya kita ketahui. Masalah dan natijahnya juga kita ketahui.

Begitu juga dengan Bahasa Arab. Mengetahuinya memudahkan kita memahami maksud wahyu Allah. Memudahkan untuk mengamalkannya. Memahami tafsir dari yang arif. Al-Quran dalam Bahasa Arab Quraisy. Sentuhan rasa mereka halus. Bahasa mereka penuh dengan qias yang penuh seni. Teratur dan tersusun. Berbagai pula maksudnya. Difahami dalam konteks yang khusus. Kerana itu budaya Arab seiring dengan bahasanya. Jika diterjemahkan menjadi ganjil kerana sangat berbeza dengan gaya bahasa kita. Dalam budaya kita ianya tidak berlaku. Sekadar contoh seorang bapa memanggil anak lelakinya, “Wahai anak lelaki kesayanganku.” “Wahai anak perempuanku.” Jika anak lelakinya yang sulung bernama Hassan maka jadilah, “Wahai bapa Hassan.” “Wahai ibu Hassan.” Adik Hassan yang lelaki pula dinamakan Hussain (bermakna adik Hassan atau Hassan kecil). Jika abangnya Umar maka adik lelakinya Umair. Buku bersaiz besar dinamakan kitab. Yang kecil pula dipanggil kutaib. Tentulah kita perlu mempelajari Bahasa Arab untuk memahami bentuk bahasa itu sendiri. Begitu terjadi kepada orang kita apabila abangnya bernama Husin sedangkan adiknya bernama Hassan.  Hanya kerana kita tahu nama itu tetapi tidak mengetahui maksud dan budaya mengenai bahasa itu.

Antara perkara besar dalam mempelajari Bahasa Arab ialah meletakkan harakat. Meletakkan sama ada berbaris atas (fathah atau mansub) atau berbaris hadapan (dhommah atau marfu’) atau berbaris bawah (kasrah atau majrur).  ﻛﺘﺐ adalah kalimah tiga huruf. Jika dibaca kataba bermakna seorang lelaki telah menulis. Atau maknanya telah difardhukan. Telah diwajibkan. Telah ditentukan. Apabila dibaca kutiba bermakna seseorang telah menulisnya (tidak diketahui siapa penulisnya). Sekiranya dibaca kattaba iaitu dengan syaddah maka maknanya menulaisnya atau arahan utuk menulisnya. Begitu juga ﻋﻤﺮ yang boleh dibaca ‘amara, ‘ammara, ‘umurun, ‘Umar atau ‘Amr. ‘Amara boleh bermakna menduduki dan hidup lama. ‘Ammara bermakna aktiviti menduduki. ‘Umurun pula umur atau usia. ‘Umar dan ‘Amr pula adalah nama. Harakat menentukan bunyi. Menentukan makna. Bukan sahaja makna kalimah malah makna ayat. Kadang-kadang makna konteks perenggan atau teks.


Bahasa Arab memiliki pesonanya yang tersendiri. Lenggok bahasanya menepati segala maksud. Beruntung sesiapa yang mempelajari dan kemudian dapat mengajarkannya kepada orang lain. Tentulah rugi tidak mengetahuinya kerana Bahasa Arab adalah bahasa Rasulallah. Bahasa al-Quran. Bahasa di syurga nanti. Tangungjawab kita untuk dekat padanya. Semoga Allah merahmati kita. Insyaallah.

Saturday, November 15, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Perjalanan Siang Dan Malam Bersama Bulan dan Madu


Di Masjid Sulan Hanafi, Kaherah Lama (Old Cairo). Cantik seni pembinaannya.  



Ingatkah bulan madu anda? Manis dan membahagiakan. Kerinduan yang bersarang di hati terurai dan terlerai. Rindu itu damai dalam dakapan kasih sayang yang tiada tepinya. Tangis sendu yang melebar waktu. Jauh yang hanya jarak seketika. Namun jarak itu memberat hati. Mengosongkan suasana. Sunyi yang rapuh dengan air mata. Rindu serindunya. Wahai orang disayang, di mana kau. Di mana kau. Lalu hari bahagia bersemanyam di singgahsana sehari menemukan segala kerinduan yang selama ini hanya elusi. Realiti dan menifestasi rindu itu datang menerpa. Membawa kesyahduan cinta dan kasih sayang. Mawaddah dari Ilahi yang menciptakan segalanya. Maka bulan madu memaniskan segala yang dicita. Malam yang tidak pernah siangnya. Siang yang entah bila malamnya. Syurga loka yang sangat damai di hati.

Barangkali itulah bulan madu sepasang kekasih. Hanya berkasih kerana kerinduan bertahun yang tersangat lama masanya. Tersangat banyak kira hari dan waktunya. Dipertemukan jodoh dengan penuh syukur. Allah mengizinkan pertemuan dua hati yang selalu rindu. Yang cintanya membelah bumi. Mengangkasa harapan untuk hidup bersama sepanjang hayat yang abadi.  Bulan dan madu itu berbaur dalam kerinduan yang tidak pernah tamatnya. Menyatu dua insan yang jarak sudah tidak berkira lagi. Di matanya direnung sedalam lautan. Di dasarnya bermain keindahan berkasih sayang. Lalu dibisikkan nada irama beralun manja. Bersulam tinta bahasa yang terlalu indahnya. Terlukis bingkisan cinta yang sukar dibahasa indah. Tiada kata secantik bahasa,

Cuba ingat kembali saat itu. Saat yang tidak datang kedua atau ketiga kalinya. Sayang jika bulan dan madu hanya peristiwa sejarah. Dilupakan zaman kerana ianya sengaja disejarahkan. Dilupakan kerana ianya berfitrah begitu. Untuk dilalui dan selebihnya untuk disimpan dalam kenangan. Alangkah ruginya. Kita merindu setengah mati. Bila rindu terubat kita lupa rindu itu. Berapa ramai antara kita yang mencipta rindu baru. Merindu dalam dekat. Berkasih sayang dalam hangat zaman yang abadi. Tidak jauh kecuali rindu. Tidak jauh kecuali cinta yang datang. Tidak jauh kecuali sayang yang mengundang. Tidak lama kecuali lambaian manja membelai qalbu. Masih ingatkan saat indah itu. Masih diulang lagi?

Terlalu ramai mereka yang meninggalkan madu dan bulannya. Sibuk melayan anak dan cucu barangkali? Sibuk melayani kerjaya yang semakin mencabar. Sibuk melayan hal-hal di luar rumahtangga. Pun jangan lupa bulan dan madumu ada di sisi. Sentiasa setia menanti belaian. Menanti usapan. Menanti jelingan. Menanti segala yang dirindu sejak dahulu. Kerlipannya didambakan setiap masa. Rekindle that spark. No matter how little it is. Make it glow and enlightgien you soul. Ralatnya kita selalu hanya menyimpan  rasa. Membiarkan segalanya berlalu. Bukankah bulan sentiasa mengambang? Malamnya sinar bercahaya. Siangnya di balik sinar mentari. Bukankah madu mengalir saban waktu? Selagi ada bunga dan lebahnya. Selagi embun menitik di dinihari. Selagi pagi menjenguk jendela hari. Bulan dan madu seiring waktunya. Manisnya waktu malam. Terangnya juga waktu malam.

Semasa muda kita habiskan manis madu dan sinar bulan. Percayalah, ketika itu kita hanya betah beberapa waktu. Bulan yang bermadu hanya seketika. Madu tidak habis manisnya. Bulan tidak panjang sinarnya. Muda kita terlalu cepat berlalunya. Lalu sibuk dengan kerjaya. Dengan anak-anak. Dengan kesibukan sekeliling. Ramai antara kita tidak sedar bahawa bulan masih bersinar di siang hari. Tetapi silau dek cahaya mentari. Bahawa madu masih banyak tetapi tidak terhirup manisnya. Berhentilah sebentar dari kesibukan itu. Cari diri masing-masing yang berbaki. Lihat kembali bulan di balik awan. Madu di balik sarangnya. Akan terjelmalah lagi keindahan bulan. Akan bertambah manis madu lebah yang kita pinggirkan. Akan tetapi bulan dan madu itu perlu dilihat pada tempatnya yang hak. Diatur waktu sejak dari muda. Semoganya waktu tua bukan waktu yang sangat sibuk. Bahkan ianya waktu santai untuk bersama bulan dan madu. Dilihat atau tidak ia setia berada di tempatnya. Tetap setia sinarnya. Bahawa lebah setia mencari madunya. Bahawa madu itu tetap manis dan mungkin lebih manis bersama jangka waktu.

Pengalaman amat menyedarkan bahawa bulan dan madu tetap bersama manis dan terangnya. Keindahan bersama segar terang dan manisnya. Banyak yang telah dilalui bersama siang dan malamnya. Banyak yang telah ditemui bersama waktu yang berlalu. Banyak yang memberi tambah nilai setiap detik yang dilalui. Masa mendewasakan dan mematangkan kita. Di hujung waktu kita masih bersama bulan dan madu itu. Masih terang dan masih lagi manisnya. Kerana itu carilah bulan tuan. Carilah bulan puan. Hiruplah manisnya madu dari lebah yang kerajinannya sukar dikira. Yang setiap pagi tidak pernah lupa mencari dan membancuh madu untuk kita. Untuk insan seperti kita. Untuk menjadi hamba yang patuh pada fitrah mengabdikan diri pada Yang Khaliq. Alhamdulillah bulan tetap terang malam dan siangnya. Bertaut dengan manisnya madu sepanjang waktunya.


Babak-babak terakhir dalm hidup ini banyak bulan dan madunya. Ianya lebih indah kerana pengalaman mengarifkan diri. Bahawa bulan tetap di situ. Mereka yang arif mengerti di mana bulannya. Mereka yang bestari mengetahui manis madunya. Antara muda dan lama tentu banyak bezanya. Yang muda berdendam dengan rindu. Yang lama membelai bulan di riba. Menuai madu di sarangnya. Indah jika yang muda banyak sabarnya. Banyak istqamahnya. Banyak mengatur lajur rindu untuk panjang memanjang sepanjang bersama. Tiada yang lebih manis dari madu. Tiada yang lebih indah dari sinar bulan. redup yang mendamaikan. Cerah yang menampakkan. Sinar yang menyerikan. Antara bulan muda dan bulan lama tentu banyak bezanya. Tetapi bulan berumahtangga tiada hilangnya. Berseri penuh purnama sepanjang masa. Bersama titisnya madu pada bunga indah setiap dinihari.



Rugilah masa tua tanpa bulan. Tanpa terang dan sinarnya. Bertambah rugi tanpa manisnya madu. Masa bukan untuk melupakan. Masa bukan untuk melarikan diri dari fitrah diri. Masa bukan pengakhir sesuatu yang indah. Sesuatu yang terang sinarnya. Madu tetap manis walau di mana adanya. Walau di mana simpannya. Walau di mana minumnya. Jika kelainan itu ada kerana situasinya berbeza. Habitatnya berbeza. Olahan memenghirupnya berbeza. Yang nyatanya bulan tetap bersinar walaupun di balik mentari. Madu tetap manis pada bila-bila kita perlukannya. Carilah ia jika hilang. Simpanlah ia bila digenggam tangan. Tataplah ia bila di hadapan mata. Dakaplah ia sehangat dada. Sesejuk hati. Sedamai bersamanya. Kita berada bersama bulan dan madu itu. Insyaallah keduanya menyinari kita jika kita selalu mencari keberadaannya.




Air telaga ini bak air zam-zam rasanya. Diriwayatkan bahawa Sultan Hanafi ke Makkah menunaikan fardhu haji. Permaisuri minta dibawakan air zaz-zam dari Makkah. Malangnya bekas air telah tiris. Kering sewaktu tiba di Kaherah. Ralat Sultan Hanafi tidak terhingga. Dikatakan pada malamnya ia bermimpi Rasulallah meludah ke telaga ini. Sejak itu airnya seperti air zam-zam. Puaslah permaisur meminum air yang serupa dengan air zam-zam.

Di perkarangan masjid Sultan Hassan. Masjid lama di Mesir dihiasi dengan binaan di tengah masjid. Tempat wudhuk dan untuk minum.


Di hadapan masjid Sultan Hassan.


Masjid al-Rifaei ini bersebelahan dengan masjid Sultan Hassan. Di sini terdapat makam Raja Farouk dan Shah Iran.


Antara masjid yang terindah pernah kami jejaki. Letaknya di Kota Sallahuddin al-Ayyubi.


Untuk kedua kalinya kami jejaki makam Imam Syafie. Sangat dekat di hati.



Di tiang inilah Imam Syafie menghabiskan masa antara waktu Asar dan Maghrib dengan aktiviti akademiknya.



Plet ini dikatakan bekas tapak kaki Rasulallah (makam). Berbagai versi cerita mengenainya. Ada yang mengatakan ianya dibawa dari Makkah/Madinah. Ada pula yang mengatakan versi lain. Allah a'lam.


Sejenak bersandar di tiang ini mengembalikan ingatan kepada Imam Syafie.


Makamnya di sebalik dinding yang boleh diintai.


Insyaallah kami akan datang lagi sebelum meninggalkan bumi Mesir, bumi Anbia ini.


Jelajah kami ke Fayoum. Bumi tempat Nabi Yusof dan Zulaikha bermastautin bersama keturunannya. Ini adalah lading buah-buahan di Ain Seilin.


Kembara hanya mainan waktu. Bergerak dan merencana pergerakan yang berikutnya dengan izin Allah.

Antara tempat yang merakamkan hasil usaha Nabi Yusof membina kincir air  untuk menyuburkan bumi Mesir. Kincir yang berusia ribuan tahun itu masih ada hingga sekarang. Sesungguhnya Nabi Yusof itu benar. Al-Quran itu benar. Kami menjadi saksi di sini.


Kembara ke Iskandariah. Kota Iskandar Yang Agung. Pahlawan Yunani. Perpustakaan ini antara yang terbesar di dunia.



Seperti di negara lain, filem dan teater adalah seni manusia.



Istana Raja Farouq yang sempat dijengah dari luar sahaja.


Bersama kereta kuda dan kudanya.


Sesuatu yahg luar biasa. Pokok kurma terdapat di Malaysia. Tetapi bukan ladang kurma. Tidak mungkin ada tandanan besar buah kurma di negara kita. Mungkin jika diizinkan Allah suatu haru nanti.


Dumyat. Pertemuan dua laut yang menemukan kebijaksanaan kepada Nabi Musa.



Rumah api ini bersemadi bersama kami.



Di hadapan masjid imam al-Lait.


Makam imam al-Lait.

Persekitaran piramid. Cukuplah Firaun dengan kegilaannya. Hanya mumiany ayang tinggal untuk Allah perlihatkan kepada manusia akhir zaman. Takbur manusia tidak ke mana. Maut juga akhirnya.


Masa bukan halangan. Seperti siang tetap datang malamnya.


Bukit Tursina telah kami jejaki. Pendakian yang penuh semangat. Munajat seorang hamba yang terlalu kerdilnya.


Di sini kaum Nabi Musa berehat selepas selamat dari ancaman Firaun yang Allah tenggelamkan di Laut Merah.


Di makam Nabi Salleh.



Di luar makam Nabi Harun



Makam Nabi Harun


Rehlah ilmu yang kami praktikkan. Ilmu tidak datang sendiri. Ia perlu dicari. Perlu dikejar. Perlu juga dirancang dalam hidup. Hidup ini perlu sangat banyak nilai tambahnya.


Saat-saat seperti ini tidak ditemui tanpa keluar dari kotak kahidupan yang biasa-biasa.


Banyak pertemuan yan tidak dijangka. Allah oertemukan kami dengan Tuan Yang Terutama Duta Besar Malaysia ke Republik Arab Mesir dan ditauliahkan juga ke Palestin. Iftar Ramadhan.


Di Jordan kami jejaki kota kaum Anbat di Petra. Kota yang keindahannya tersendiri.