Kita selalu terperangkap dengan pendapat orang lain. Dengan
pandangan orang lain. Takut, apa pula kata orang nanti. Betapa kita kadang-kadang
tidak memiliki pendirian kita sendiri. Kita bersandar kepada orang lain. Kenapa
tidak berdiri sendiri. Bahawa ini adalah pilihan kita yang terbaik. Adakah bangsa
kita tidak memiliki sifat dan sikap mandiri. Perlukan pendapat orang lain. Yang
kita lihat begitulah. Yang kita dengar begitulah. Yang kita baca begitulah. Kita
seperti ketagih untuk bersandar kepada orang lain. Hampir dalam semua hal kita
bersikap begitu. Paling mengecewakan ialah apabila kita melakukan yang hak
tetap dipersoalkan. Malah dipersalahkan. Aduhai! Seorang yang solat kerana Allah dipersalahkan kerana tidak solat
di ruang yang khusus seperti rumah, surau atau masjid. Solat berjamaah
memanglah di tempat sebegitu tetapi apabila solat bersendirian di mana-mana
sahaja adalah bumi Allah. Sah solatnya. Mungkin di ruang yang paing sempit
sekalipun. Asalkan bersih dari najis. Diyakini suci. Memenuhi syarat dan rukun
solat itu sendiri. Heboh seorang artis solat di parkir kereta. Tidak pula orang
sibuk dengan mereka yang tidak solat. Bak kata seseorang kenapa yang hak selalu
dipersoal. Yang batil dinyahfikir.
Seorang pemimpin mengatakan bahawa harga barang di
negara kita masih rendah berbanding dengan harga barang di negara lain. Suatu perbandingan
yang simplistik. Kita perlu melihat KNK. Produktiviti. Stok yang ada. Usaha mengurangkan
kos. Dan banyak lagi indek ekonomi. Bukan angka semata-mata. Kita mempelajari
ekonomi dari negara maju tetapi implimentasinya lebih banyak atas pertimbangan
politik dan bukan pertimbangan ilmu dan ekonomi itu sendiri. Pembangunan dan
pelaburan apa sahaja sekalipun bukan dengan sengaja untuk membebankan. Bukan pula
dikatakan tidak disangka. Pakar-pakar yang terlibat mengerti risiko dan
unjuran-unjuran yang terlibat. Jika sesuatu dasar dilaksanakan memang kesemua
aspek telah dilihat dengan saksama. Sekiranya beban dan risiko diambil juga
maka ilmu dan ilmiahnya telah diketepikan. Manusia menjadi rakus dengan
pertimbangannya sendiri.
Penulis pernah di USA pada tahun 1985 dahulu. Suatu ketika
sebuah syarkat yang membekalkan telur ingin menaikkan harga telur sebanyak USD
0.01. Satu sen sahaja. Bukan banyakpun. Bukan hingga berpuluh sen. Syarikat tersebut
telah membeli center page (dua muka tengah) akhbar untuk menerangkan
rasional mengapa harga telur terpaksa dinaikkan. Penulis ulang. Istilahnya terpaksa
kerana kenaikan kos yang tidak dapat dihalang. Bukan atas dasar syarikat lain
menaikkan harga maka syarkat yang lain turut menaikkan harga. Penulis pernah
menulis tentang hal setesen minyak yang berbeza harga minyaknya. Yang membezakan
antara mereka ialah usaha mengurgkan kos. Segala-gala kos diakaunkan. Mana-mana
kos yang boleh dikurangkan perlu dikurangkan. Pengurangan itu dikembalikan
kepada pengguna. Walaupun hanya satu sen. It goes a long way. Bayangkan setesen
minyak yang bersebelahan harga minyaknya berbeza sedangkan grednya sama.
Kawalan harga bukan penyelesaian masalah yang utama. Malah
ianya menjadi pelindung kepada “kemalasan” industri untuk mengurangkan kos. Untuk
menambah kecekapan. Untuk menambah produktiviti. Yang lebih penting ialah
pengguna. Mereka yang sewajarnya benar-benar dididik untuk mengerti indek-indek
ekonomi. Mengetahui kitarannya. Tahu peranannya. Pengguna di negara membangun
hanya menurut apa yang disajikan. Menu yang disediakan. Percaya kepada apa
sahaja yang dihidangkan. Tidak di negara maju. Pengguna adalah raja. Supreme.
Atau sovereign.
1
Wang di tangan mereka.
2
Pilihan pada mereka.
3
Kuasa beli pada mereka.
4
Kehendak dan keperluan pada mereka.
5
Bilangan mereka menenggelamkan usahawan.
6
Bila-bila masa pengguna dan persatuan pengguna
bertindak ke atas sesuatu barang yang dinaikkan harganya boleh melumpuhkan
usahawan yang terlibat.
Kita tidak ada kekuatan peribadi. Tidak ada kekuatan
persatuan. Teori ekonomi sejagat seperti tidak relevan di Malaysia. Harga sepatutnya
ditentukan oleh penawaran dan permintaan tetapi ianya seperti tidak berlaku. Harga
yang naik tidak mengurangkan permintaan. Pertimbangannya senang sahaja. Jika tidak
dibeli barang itu susahlah kita. Yang ironisnya harga mahal dikatakan
menyusahkan. Membeli seolah-olah tiada pilihan. Kerana itu pengguna di Malaysia
mudah diancam dan mudah terancam. Akhirnya mereka menurut apa sahaja kehendak
pasaran. Ramai orang lain yang perihatin dengan kesusahan orang lain tetapi
daya untuk membantu terbatas. Kadang-kadang usahawan dan industrialis di negara
kita tidak meningkat dan menunaikan tanggungjawab sosial mereka kecuali yang
menguntungkan dengan segera.
Soalnya, mengapa pengguna di negara terlalu malas
untuk menjadi perihatin. Bestari dalam ekonomi. Berupaya mendidik usahawan dan
industrialis yang terlalu mengejar keuntungan. Mengapa keuntungan itu tidak
dikembalikan kepada pengguna. Suatu contoh klasik ialah apabila sebuah korporat
yang untung tahunannya berbilion-bilion ringgit masih mengatakan harga
perkhidmatannya perlu dinaikkan untuk membiayai pembangunannya. Bukankah keuntungan
dipermodalkan semula untuk menjana keuntungan lain yang dirancang dan dijangka.
Apabila khalayak tidak arif tentang ekonomi maka usahawan lebih senang mendesak
harga melambung ke atas. Apabila khalayak tidak arif tentang mainan hidup
bernegara maka mereka terus-terusan dimangsakan. Tiada pembelaan. Tiada pembetulan.
Tiada siapa mendengar suara pengguna kerana mereka lemah. Di USA umpamanya
pengguna menyokong antara satu sama lain untuk mendapatkan faedah yang sama. Kos
diturunkan. Harga diturunkan. Keuntungan syarikat tidak terjejas walau
sedikitpun. Masih dalam unjuran yang sama. Bila kita bercakap tentang ekonomi
hendaklah dalam konteks yang melingkari teori dan amalan ekonomi. Walaupun politik
mempengaruhi ekonomi tetapi bukan penentu sebenar ekonomi dalam negara demokrasi
atau laissez-faire economy. Politik menjadi regulator bukan
pemain utama.
Samalah apabila simbol penerbangan kita yang
menghidangkan minuman terlarang dalam penerbangannya. Yang dihidangkan
menikmatinya. Sementara yang tidak memerlukan hidangan didapati telah
membayarnya secara percuma. Alasannya cukup dangkal:
1
Penerbangan ini antarabangsa,
2
Kita ambil kira penumpang bukan Islam.
3
Semua penerbangan dasarnaya serupa.
Yang membayar penumpang. Yang rugi penumpang. Rasionalnya
tiada. Hanya kerana bersandar kepada amalan orang lain. Ikut trend. Kebiasaan. Sudah
sampai masanya kita berdiri atas kapasiti kita sendiri. Membina pendirian
sendiri. Untuk itu banyak yang perlu dilakukan. Antaranya:
1
Rakyat kebanyakan hendaklah meningkatkan diri dari
segi pendidikan. Dari segi ilmiah. Dari segi maklumat. Dari segi kepedulian tentang
persekitaran mereka. Khususnya tentang agama.
2
Ilmu peringkat tinggi hendaklah dipelajari supaya kita dapat berfikir peringkat tinggi. Melihat agama
pada paras tinggi. Melihat politik pada tahap tinggi. Berfikir pada aras yang
melebihi kebiasaan sahaja. Bukan lagi biasa-biasa sahaja.
3
Mengambil tahu hal-hal di sekeliling. Memahaminya. Menggarap
natijah atau konsekuennya.
4
Merancang masa hadapan yang lebih efektif dari segi agama,
politik, ekonomi, pendidikan, teknologi dan lain-lain yang berkaitan dengan
kehidupan pada masa hadapan.
Kita tidak boleh ikut-ikutan terus-terusan dalam
persekitaran yang terlalu laju pergerakannya. Setiap dari kita perlu berfikir
di luar kotak kehidupan kita sekarang. Di luar kepompong lama yang menjadikan
kita terlalu selesa. Semoga ilmu membezakan kita dengan mereka yang terlalu
bersandar kepada keadaan. Kita bina harapan melalui ilmu, maklumat dan
pemikiran peringkat tinggi. Insyaallah kita akan berjaya dengan izin Allah.
No comments:
Post a Comment