Thursday, July 10, 2014

Siri Dua Puluh: Prinsip Diri Dan Rumahtangga

Hasratnya ingin bayak memberi. Secara kuantiti dan berkualiti. Azamnya untuk membantu memberi kegembiraan. Melitup masa lalu dengan wajah ria tanpa duka.


Kebersihan adalah prinsip asas kepada Haji Abas. Bersih dalam segala hal. Tiada kecuali dan tiada kompromi. Dalam rumah bersih dan dilihat bersih. Kemas dan dilihat kemas. Teratur dan dilihat teratur. Sampah diurus dengan rapi. Disapu sebersih-bersihnya. Dimasukkan ke dalam bakul sampah. Dibungkus dan dimasukkan ke dalam tong sampah untuk dipungut oleh pihak yang berwajib. Apabila ke rumah anak-anak Haji Abas tidak duduk diam melihat sampah. Bakul sampah yang berisi pasti dibuang sampahnya ke dalam tong sampah. Tidak ada jadual tertentu. Apabila ada sahaja sampah maka akan dibuangnya. Berapa kali bukan soalnya. Banyak kali bukan soalnya. Masa juga bukan soalnya. Sampah perlu dibuang. Menjadi suatu tugas wajib kepadanya. Seolah-olahnya Haji Abas bermusuh dengan sampah. Begitu juga di luar rumah. Dia masih berupaya menyapu di kawasan rumahnya. Setiap pagi dilakukannya apabila cerah waktu pagi. Disapunya halaman rumah sehingga sangat bersih. Selepas itu barulah ia sarapan pagi.

Haji Abas suka halaman rumahnya dihiasi dengan pokok bunga. Juga dengan pasu-pasu bunga. Paling banyak bunga kertas. Kelihatan teratur dan terurus. Dia sangat teliti dalam hal ini. Apabila menanam bunga, ukur dan sukatnya mesti tepat, lurus dan dalam jarak yang sesuai. Tali, pita dan pancang adalah keperluan penting. Haji Abas tidak boleh berlebih atau berkurang dalam soal bekerja. Semua peralatan bekerja atau bertukang perlu berada bersamanya. Bila menanam pokok bunga pasti ada cangkul atau tajak. Ada pungkis. Tukul besi untuk menukul pancang. Pisau untuk memotong tali. Pendek kata tool-kitnya mesti tersedia. Ada juga antara cucu-cucunya yang mewarisi tabiat baik Haji Abas ini. Kepada Haji Abas yang tidak ada ialah perkakas untuk pembaikan elektrik dan perpaipan. Kepada orang seusia Haji Abas ianya cara hidup baharu. Kemahiran itu tidak dimilikinya. Ia beralah supaya orang lain dapat melalukannya.

Makanan adalah kunci kehidupan berkeluarga. Nafkah zahir yang menjadi tanggungjawab seorang suami kepada isterinya. Seorang bapa kepada anak-anaknya. Seorang ketua keluarga kepada seluruh ahli keluarganya. Kualitinya ditingkatkan selalu dari masa ke semasa. Semasa tidak berada makanan disediakan untuk mengenyangkan perut. Untuk meneruskan kehidupan. Mungkin untuk kelangsungan hidup itu sendiri. Mungkin banyak sayur kerana ianya paling murah. Di tepi jalan boleh dikutip. Dikebun orang boleh dipetik dengan izin tuannya. Apabila keupayaan ekonomi semakin meningkat makanan berkualiti ditambah. Begitulah yang Haji Abas lakukan. Dahulu anak-anaknya pernah makan nasi bercampur jagung. Enak tetapi cukup untuk mengenyangkan sahaja. Kemudiannya barulah ada tambahan seperti ikan atau daging ayam kampung sekali-sekala atau daging. Kepada Haji Abas kuantiti mesti dijaga. Setiap masa dipastikan makanan tersedia sebagai stok imbalan. Tersedia pada bila-bila masa diperlukan. Kecualilah keadaan sangat menyempitkan. Makanan biar banyak. Itu prinsip Haji Abas. Bila pergi ke dapur, beras banyak dalam bekasnya. Gula ada. Bawang dan ikan bilis ada. Asam jawa banyak. Belacan berkeping-keping. Dahulu berbuku-buku kerana dibeli secara kati (600 gram). Lada kering ada. Ikan kering atau masin ada. Begitu juga dengan rempah tumis dan sebagainya. Lagipun pada pendapat Haji Abas kuantiti yang dilihat mata biasanya mengenyangkan perasaan. Menyebabkan ketenangan secara psikologi. Hujan atau panas makanan sudah tersedia tanpa ada lagi rasa bimbang. Susah atau senang hanya menambah atau mengurangkannya secara relatif. Kualitinya berbeza secara relatif. Yang penting perut sudah dalam jaminan akan kenyang dengan makanan ruji.

Gelagat menyimpan Haji Abas masih berterusan. Wlaupun sudah menunaikan fardhu haji ia masih menyimpan. Pada tahun 1999 ia menunaikan umrah bersama Hajjah Aminah, beberapa orang anak-anak dan beberapa orang cucu-cucunya. Wang simpanan perlu ada setiap masa. Ada sahaja keperluan yang memerlukan wang tunai pada bila-bila masa. Ada agenda tahunan yang seperti terjadual tetap kepada Haji Abas. Mengadakan majlis kenduri arwah-arwah yang dikasihinya. InsyaAllah akan diperjelaskan dalam entry yang lain. Kita berusaha seolah-olah kita akan hidup 1,000 tahun lagi. Beribadat pula seolah-olah esok akan mati. Antara dua ekstrim ini gelagat menyimpan perlu dipertahankan. Hidup lama atau sekejap Allah yang tentukan. Sebagai manusia kita menghadapi hidup sebagai manusia biasa. Bergantung kepada hal-hal dunia. Sakit dan pening perlukan wang untuk rawatan dan ubat. Menghadapi kerosakan yang berbagai sama ada rumah, kenderan atau peralatan lain. Membantu orang lain yang memerlukan. Apabila ada simpana banyak yang mudah dibereskan pada kebanyakan waktu dengan izin Allah.

Pakaian, penampilan dan kekemasan diri adalah elemen penting kepada seseorang individu. Pasangan pula memberikan input yang sewajarnya supaya masing-masning berada dalam keadaan terkawal. Penampilan masing-masing terjaga rapi. Haji Abas tidak boleh berlebih kurang dalam soal berpakaian. Dalam soal kerapian. Dalam soal ketrampilan. Hajjah Aminah masih tetap memainkan peranan. Ia lebih suka Haji Abas memakai baju kemeja berlengan panjang apabila menghadiri majlis kenduri dan sebagainya. Nampak anggun walaupun dalam usia 100 tahun. Begitulah besarnya peranan isteri dalam menjaga penampilan suaminya. Duduk di kampung tidak bermakna semangatnya terlalu kekampungan. Disesuaikan dengan tempat dan zaman. Berpakaian baju kemeja berlengan pendek memang ringkas. Namun perlu dijaga pula kesesuaiannya. Haji Abas suka baju yang fit. Sesuai dengan tubuh badanya yang bersaiz kecil. Jika terlebih besar ia menjadi risau. Pada pendapatnya akan dikatakan orang bahawa ianya baju pinjam. Dipinjam dari orang lain.

Baju-bajunya di rumah disusun rapi. Digantung mana yang perlu. Dilipat mana yang sesuai. Haji Abas sentiasa bersedia dengan sebuah beg pakaian bersaiz besar hadiah dari anaknya. Di dalamnya tersedia seluar dan baju. Kain pelikat dan singlet. Tuala dan sapu tangan. Perkakas mencukur. Berus dan ubat gigi. Setokin dan seperlunya yang lain. Apabila ada sesiapa datang menjemput khususnya anak-anak, kesemua keperluan berjalan sudah tersedia. Angkat sahaja ke dalam kereta. Tidak perlu mencari. Tidak perlu berfikir apa yang perlu dibawa. Sesampainya di rumah yang dituju ia akan membuka jam tangan, kacamata, cincin dan songkoknya. Dibentangnya sapu tangannya. Diletakkan di atas sapu tangan dan dimasukkan pula ke dalam songkok. Lalu diletakkan di tempat yang sekira-kira tidak dimainkan oleh cicit-cicit. Dia akan menguruskan sendiri di mana yang sesuai untuk meletakkan beg besar pakaiannya. Jika dalam teori kejuruteraan bahawa setiap alat ada tempatnya, begitu juga Haji Abas perihatin dengan tempat yang sesuai bagi segala keperluan dirinya.

Kekemasan tubuh badan sangat rutin kepada Haji Abas. Hampir setiap hari ia mencukur misai dan janggut. Wajahnya sentiasa diurus rapi. Setiap hari dicarinya waktu yang sesuai dengan keperluan rutinnya. Bercukurlah dia dengan serius. Sehingga licin bahagian muka yang perlu dicukur. Haji Abas seorang lelaki yang begitu lanjut usianya tetapi jika diperhati tumitnya, ramai akan terkejut. Licin seperti wanita yang segala-galanya terurus. Manakan tidak. Apabila mandi dia akan menggosok tumitnya dengan batu. Setiap kali mandi. Kerana itu kakinya bersih dan cantik. Anak-anaknya yang perempuan tidak dapat menyaingi ketelitiannya menggosok tumit kaki. Prinsip dan amal adalah dua perkara yang saling berpaut. Kedua-duanya perlu dilaksanakan dengan bijaksana. Haji Abas melakukannya walaupun dia tidak perlu menyatakan sebarang prinsipnya kepada sesiapa kecuali kepada dirinya sendiri. Memeliharanya dan tidak mengabaikannya.

Kebiasaan baik yang menjadi amalan menjadikan Haji Abas teratur hidupnya.  Ada masa berjalan dan ada masa berehat. Ada masa makan dan ada masa tidur. Rutin hidupnya sangat simple. Tetapi tenang dan teratur. Begitulah dia membahagiakan dirinya dan diri isterinya.

Tuesday, July 8, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Nikmat Bertarawih



Tepuk dada tanyalah iman. Begitulah kata ustaz apabila berlaku kontroversi tentang agama. Bukan perkara pokok yang menyangkut akidah atau iman. Selalunya berkaitan dengan perkara furu’. Perkara kecil yang telah lama selesainya tetapi masih juga menjadi igauan kepada setengah orang Islam. Pada bulan Ramadhan yang selalu menjadi isu ialah solat tarawih. Lapan rakaat atau 20 rakaat. Jika lapan rakaat perlukah tazkirah. Bagaimana pula tazkirah yang hendak disampaikan. Bagaimana skopnya. Konteksnya. Relevannya dengan Islam dan dakwahnya. Kita seolah-olahnya masih tercari-cari formula yang terbaik. Apabila kita fikirkan semula, kita perlu kembali kepada dasar. Bulan Ramadhan adalah bulan mulia untuk umat Islam. Amalan baik Allah janjikan gandaan ganjarannya. Kerana itu sebagai hambanya kita yang perlu memilih yang terbaik di sisi Allah. Ada satu elemen penting dalam setiap ibadat. Ikhlas. Ikhlas seikhlasnya dalam semua konteks beribadat.

Kita tidak boleh bercakap sebarangan tanpa ilmu yang hak. Tidak boleh berhujjah tanpa ilmu. Tidak boleh memberi pendapat tanpa ilmu yang relevan. Yang mengetahui bertanggungjawab memberitahu. Mengajar. Menyampaikan. Berdakwah. Yang tidak tahu banyakkan belajar. Banyak bertanya. Banyak membaca. Apabila dua golongan ini selalu bertemu maka segarlah taman ilmu itu sendiri. Kerana itu banyak masalah kecil dapat diselesaikan secara akademik. Bukan secara emosi. Apabila al-Quran dirujuk, di situ terdapat jawapan dari Allah. Apabila al-Sunnah dirujuk, di situ terdapat jawapan dari Rasulallah. Apabila kitab dirujuk, di situ terdapat hujjah dari ulamak. Dari mereka yang mursyid. Yang muktabar. Yang ilmunya melimpah ruah sejak dari dahulu lagi.

Satu hal yang digalakkan oleh Islam ialah mengembara. Imam Syafiee menggalakkannya. Penulis sendiri berasa berlapang dada apabila berada di negara orang. Lama dahulu sebelum berkesempatan untuk memulakan rehlah ilmu banyak yang disangka dan diagak-agak sahaja. Setelah berjalan jauh barulah dapat memahami bahwa dunia ini bulat. Jika kita berada di satu tempat sahaja kita hanya melihat ratanya di sekeliling kita. Mendatar. Sama di mana-mana arah. Lama-kelamaan fikiran kita menjadi tepu dengan keadaan yang sama. Baik dalam satu keadaan tetapi mungkin banyak kekurangannya dalam aspek yang lain. Begitu juga dalam hal agama dan amalannya. Sewaktu penulis membaca kitab kefahamannya berdasarkan kepada kalimah dan ayat yang tertulis. Yang dimaksudkan untuk difahami. Natijahnya berbeza apabila kita mengembara mengalaminya sendiri.

Tentu sukar memahami apabila dikatakan di England mereka berpuasa selama 19 jam. Melihat angka itu sendiri kita seperti hendak pengsan. Mana tahan selama 19 jam. Musim panas pula seperti sekarang. Mungkin jika musim sejuk lebih baik sebab berpuasa selama kira-kira 10 jam. Dalam soal seperti ini kita lupa satu aspek penting. Kita berpuasa dengan niat. Kesemuanya kerana Allah. Kuasa Allah yang menjadikan niat itu lebih kuat dari psikologi.

Orang putih bertanya, “Don’t you feel hungry?”
Dengan tenang orang Islam menjawab, “Of course I’m hungry. But … I can stand it. You may not understand. In fact I love it.”

Begitulah iman yang melingkari diri kita. Ditambah pula dengan keikhlasan. Begitu perhatian kita dibawa untuk menginsafi tarawih. Pemerintah di Malaysia menetapkan sama ada ianya lapan rakaat atau 20 rakaat. Di negara Arab isu seperti itu tidak timbul. Masing-masing ingin beribadat sakan. Walaupun tarawihnya lapan rakaat tetapi masa yang diambil lebih lama berbanding dengan kita di Malaysia yang tarawihnya 20 rakaat. Surah yang dibaca bagi setiap rakaat panjang-panjang belaka. Imam menyambung bacaan al-Quran solat tarawih malam sebelumnya pada solat Maghrib hari berikutnya. Maknanya dari solat Maghrib hingga rakaat terakhir (ke lapan) solat tarawih tamat satu juzuk. Begitulah setiap malam. Rasa puas kerana solatnya panjang. Imamnya hafiz. Apatah lagi jika memahami makna ayat-ayat yang dibaca.

Kita di Malaysia hanya gemar membaca ayat-ayat lazim. Ramai yang menamatkan tarawihnya lebih awal. Banyak kerja lain yang hendak dibuat. Adat kita ialah menyediakan diri untuk berhari raya. Tidak untuk merai, menghormati dan menyanyangi Ramadhan itu sendiri. Tarawih hanya satu aspek. Bagaimana dengan al-Quran. Mendengar tazkirah. Hadir dalam majlis ilmu. Zikir. Qiam al-lail. Lail al-qadr menanti. Jika hanya dan jika hanya kita mengerti tuntutan beragama tentu banyak aspek keduniaan yang kita buang dari diri kita. Mereka yang berganda amalnya dalam  bulan Ramadhan tentu merasa manisnya. Jika tidak kita hanya terasa terhimpit kerisauan kerana lapar dan dahaga. Di Mesir umpamanya, ada antara rakyatnya bercuti dari bekerja selama sebulan semata-mata mengambil peluang untuk fokus beribadat dalam bulan Ramadhan. Malah ada masjid yang dikatakan tarawihnyat amat pada pukul 1.00 atau 2.00 pagi. Disambung pula dengan qiam al-lail. Selepas solat Subuh sambung lagi dengan tazkirah Subuh. Kesemuanya tepuk dada tanya iman.


Amalan kebiasaan kita ialah membaca doa qunut bermula pada malam ke-16 Ramadhan. Di negara Arab qunut sudah dibaca sejak dari malam pertama lagi. Bukan doa qunut kita seperti dalam solat Subuh. Ringkas dan padat. Qunut tarawih di sini panjang hingga melepasi 15 minit. Suara imam naik dan turun dengan intonasi orang berdoa. Apabila suaranya ditarik tinggi terasa nikmatnya melayan perasaan berada dalam solat. Yang menjadi makmum bertambah pula semangatnya. Kaliman amin dan Allah berselang seli menyambut doa imam. Terasa sebak di dada. Tergenang air mata. Terbuai dalam keindahan beribadat. Tidak hairan ramai yang menangis. Mengenang kekerdilan diri di hadapan Allah. Kemuncak nikmat beribadat ialah menghadirkan diri dan perasaan kita di hadapan Allah. Memahami bahawa Allah melihat kita. Hati dan perasaan kita tahu bahawa Allah berada di hadapan kita. Ya Allah itulah ihsanMu. Semoga kita semua mendapat ihsanNya. InsyaAllah.

Friday, July 4, 2014

Siri Sembilan Belas: Budi Kebaikan Tiada Nilainya

Haji Abas bertemu isteri cucunya buat kali pertama. Menantu anak keempatnya.


Pada tahun 80an sesuatu yang mengejutkan Haji Abas telah berlaku. Seorang peniaga berketurunan Cina menghadapi kesukaran dalam hidupnya. Suatu hari peniaga Cina tersebut datang bertemu Haji Abas. Hajatnya hendak meminjam wang kerana pada pendapatnya Haji Abas sudah bebas dari kemiskinan masa lalu. Tentulah kedatangannya tanpa diduga. Seorang peniaga Cina yang selalu dianggap memiliki banyak wang tiba-tiba datang hendak meminjam wang. Orang yang didatangi pula adalah Haji Abas yang dahulunya kerap kesempitan wang. Ada beberapa perkara yang dapat dijadikan iktibar. Pertamanya, diri kita selalu menjadi perhatian orang lain sama ada kita tahu atau tidak. Sama ada kita suka atau tidak. Oleh kerana kita adalah ahli kepada masyarakat maka tidak dapat tidak ahli masyarakat memerhati kita. Apa-apa perubahan yang berlaku menjadi tarikan minat. Pada pendapat orang Cina tersebut Haji Abas sudah bebas dari kebiasaan susahnya.

Pada suatu ketika dahulu Haji Abas kerap melanggani kedai kepunyaan peniaga Cina yang senang dipanggil Yama. Letaknya di Parit Laman, Parit Sulung. Selang tiga kampung dari Parit Mohamad, tempat tinggal Haji Abas. Kampung itu dikira tidak jauh dengan berbasikal. Sekitar 20 minit dari rumah. Dikedai itulah Haji Abas mendapatkan barang-barang keperluannya. Di kedai itu juga anak lelaki Haji Abas menjual getah keping yang disalai pada malamnya. Untuk belanja ke sekolah. Pada awalnya mungkin Haji Abas berhutang dahulu sementara wang belum ada. Mungkin Yama membuat pengamatan tentang kekerapan Haji Abas berbelanja dan kekerapannya berhutang. Setelah masa berlalu Haji Abas sudah tidak berhutang lagi. Maknanya Haji Abas sudah keluar dari kemiskinan tegar masa lalu yang menyempitkan fikiran itu. Pada pendapat Yama Haji Abas sudah berkecukupan dan mungkin sudah memiliki wang lebihan. Pekedai Cina yang bernama Yama senang berkira dengannya. Orangnya baik. Tidak banyak karenah apabila hendak berhutang dengannya.

Haji Abas memiliki prinsip yang baik. Hutang mesti dibayar. Lama atau sekejap tetap dibayar. Jika ia perlukan masa ia mohon dilanjutkan dari orang yang memberi pinjam. Kerana itu orang tidak takut meminjamkan wang kepada Haji Abas. Lagipun Haji Abas tidak meminjam dalam amaun yang banyak. Tidak juga berhutang di kedai dalam jumlah yang banyak. Dibayar sebahagiannya. Sebahagian yang lain ia berhutang. Pada hujung bulan atau setelah menjual getah, hutang itu pasti dibayar. Kedatangan Yama ke rumahnya disambut dengan keraguan pada awalnya. Setelah diperjelaskan tujuannya, Haji Abas bertanyalah berapa yang diperlukannya. Ia hendak meminjam sebanyak RM300 sahaja. Dia tidak kecewa apabila Haji Abas meminjamkan wang sebanyak yang diperlukan. Suatu ukhwah antara manusia berlainan agama dan berlainan keturunan.

Pengajaran kedua ialah penduduk Malaysia ini sebenarnya tidak merasa adanya segrigasi atau segmentasi atau diskriminasi atau apa-apa perbezaan antara kaum dan etnik. Di luar sana masing-masing menjalankan kehidupan saling bergantung antara satu sama lain. Walaupun orang Melayu tidak sekaya orang Cina namun kuasa beli orang Melayu tinggi juga. Masalahnya ialah apabila ramai orang Malaysia gilakan kuasa. Ideologi diketengahkan. Perbezaan pendapat diperbesarkan. Maka politik menjadi alat yang menyukarkan walaupun politik sewajarnya boleh menjadi alat yang menyenangkan. Kewajaran hidup bersama tidak digarap dengan baik terutama generasi sekarang yang banyak dimainkan minda mereka dengan politik kepartian. Jikalaulah dapat objektif politik disatukan. Demi Malaysia tercinta. Buatlah apa sahaja yang baik dan berfaedah demi negara yang tercinta. Biarlah fahaman berbeza tetapi matlamatnya sama. Tidak ditimbulkan perasaan curiga dan banyak prasangka. Rakyat di bawah terutamanya di luar bandar tiada masalah perkauman.

Satu lagi nama yang selalu di bibir Haji Abas ialah allahyarham Cikgu Mat. Seorang bekas guru yang membuka kedai runcit di kuala Parit Sauh. Ramai orang dahulu berniaga di tepi sungai kerana Sungai Simpang Kiri adalah laluan utama dari Bandar Penggaram ke Seri Medan. Sewaktu tinggal di Parit Maimun, Haji Abas kerap melanggani kedai allahyarham Cikgu Mat. Kira-kira 10 minit dengan mengayuh sampan. Pertamanya barang-barang yang dijual lebih melengkapi. Keduanya lebih murah. Ketiganya, allahyarham Cikgu Mat boleh diajak berkira jika Haji Abas perlu berhutang. Sewaktu hendak pindah ke Parit Mohamad Haji Abas membeli keperluan rumahtangga dari kedai allahyarham Cikgu Mat dengan berhutang. Cagarannya sebentuk cincin berlian. Barang kemas seperti bank. Wangnya boleh diperolehi apabila diperlukan. Mudah dicairkan dari segi ekonomi. Dalam kemiskinan dan kepayahan itu cincin berlian kesayangan Haji Abas itu terpaksa dilurut dari jarinya. Demi keluarganya. Demi anak-anaknya. Demi maruah dirinya.

Nama allahyarham Haji Ramli sudah disebut sebelum ini. Menjadi imam di Parit Mohamad. Seorang amil yang menguruskan zakat fitrah apabila sampai bulan Ramadhan. Orangnya tawadhu’. Selalu merendah diri. Tidak banyak cakapnya kecuali yang hak. Guraunya sederhana. Kebaikannya yang selalu diingat Haji Abas. Sewaktu Haji Abas sudah mula lega dari kemiskinan tegarnya, allahyarham masih kerap memberi pekerjaan kepada Haji Abas dan keluarganya. Kaedahnya baik dan mudah. Dia tidak lagi meminjamkan wang kepada Haji Abas. Sebaliknya memberi pekerjaan. Biasalah kerja kampung. Allahyarham agak berada. Kebun getahnya berekar-ekar juga. Apabila ditanam semula sebahagiannya, allahyarham perlukan pembantu untuk membersihkan tanaman getahnya.  Setiap keliling anak pokok getah yang dibersihkan dibayar sekitar 15 sen. Tidak banyak dalam keadaan sekarang. Pada akhir tahun 60an dan awal 70an wang sebanyak itu masih besar nilainya. Gaji guru sekolah menengah hanya RM300 ketika itu. Nisbah 15 sen dan RM300 masih agak besar berbanding sekarang. Dari allahyarham Haji Ramli kita mendapat suatu pengajaran yang besar. Di samping memberi pinjam dia juga memberi pekerjaan yang  dibayar upah bersesuaian. Jika berhutang sekalipun amaunya dapat diminimumkan. Meminjam selalunya berlangsung dalam keadaaan terlalu senang. Untuk memulangkannya pula semula kadang-kadang terlalu susah. Elok gunakan prinsip allahyarhan Haji Ramli.

Begitulah perhubungan kemanusiaan antara Haji Abas dengan individu-individu yang ramai di sekelilingnya. Kedaifan tidak menyingkatkan Haji Abas berfikir. Ada sahaja yang boleh dilakukan untuk survival keluarganya. Untuk anak-anaknya. Cucu-cucu dan cicit-cicitnya perlu mengambil iktibar tersebut untuk kelangsungan hidup yang lebih beramanah dan berintegriti. Menjaga hubungan kemanusiaan sesama insan tanpa mengira saudara, sahabat atau tanpa mengira bangsa dan agama. Prinsip hidupnya mengambil jalan yang senang bukan yang menyusahkan. Berbuat baik tanpa berkira. Setakat ini alhamdulillah Allah memberi kelapangan berfikir kepada Haji Abas walaupun usianya sudah mencapai 100 tahun. Ingatannya masih utuh. Dia masih ingat sejarah keluarganya.

Thursday, July 3, 2014

Siri Lapan Belas: Membalas Berbaik Balas

Haji Abas di bazaar Ramadhan 1435/2014 anak saudaranya di Parit Sulung. Pada bulan Ramadhan lazimnya Haji Abas memeli sahaja lauk-pauk dan juadah berbuka puasa.  Hajjah Aminah akan hanya memasak apa-apa makanan yang perlu dimasak sendiri mengikut selera mereka berdua.  



Haji Abas memiliki keistimewaan yang sukar ditandingi oleh orang lain. Kemahiran perhubungan awamnya sangat tinggi. Dia boleh berkomunikasi dengan sesiapa sahaja. Berinteraksi dengan sesiapa sahaja. Boleh berkawan dengan sesiapa sahaja. Yang cantiknya dia hanya menggunakan Bahasa Melayu sahaja. Mungkin sedikit bahasa pasar. Atau lebih dikenali bahasa komunikasi harian. Sifat mudah mesranya merentas budaya. Merentas agama. Merentas etnik keturunan. Merentas usia. Tidak hairan jika ramai antara rakannya adalah orang Cina dan India. Orang Melayu tidak terbilang ramainya. Dari muda hingga ke usianya sekarang ramai orang di Parit Sulung, tempat tinggalnya sekarang yang mengenalinya. Dari pemilik kedai makan ke klinik swsta, tukang emas dan kedai-kedai lainnya.

Di Parit Sulung terdapat sebuah keluarga India Muslim. Nama ketua keluarganya Ismail. Sudah meninggal dunia beberapa tahun yang lalu. Haji Abas mengenali kesemua anak allahyarham Ismail. Di Parit Sulung ada beberapa kedai makan milik anak-anak allahyarham Ismail. Antaranya Latif dan Putih. Hampir setiap hari Haji Abas ke kedai Latif. Ia akan makan sekeping roti canai dan segelas teh susu. Roti canai dimakan dengan kuah kari daging. Biasanya Latif memasukkan seketul dua daging. Teh susunya mesti istimewa. Manis dengan susu sahaja tanpa sedikitpun gula. Jika kurang manis ia akan menagih supaya ditambah susu. Seorang yang berusia 100 tahun, Haji Abas kuat makan dan minum makanan yang manis-manis. Alhamdulillah dia tidak mengidap sebarang kompliksi penyakit. Tidak juga kencing manis. Latif antara mereka yang sangat rapat dengan Haji Abas. Pada hari-hari Haji Abas tidak berkesempatan untuk makan di kedai, Latif menghantar beberapa keping roti canai ke rumah Haji Abas. Malah kadang-kadang pada tengahari Latif juga menghantar lauk-pauk untuk mereka berdua suami isteri.

Jika Haji Abas hendak memakan buah maka banyak kedai atau gerai buah yang boleh dikunjunginya di Pekan Parit Sulung. Dia pasti membayar dengan harga yang lebih murah. Haji Abas dianggap palanggan istimewa. Kebetulan Haji Abas gemar memakan buah. Hampir kesemua jenis buah digemarinya. Paling istimewa tentulah buah durian. Makannya tidak banyak. Mungkin seulas atau dua. Pada musim buah-buahan dia gemar memakannya setiap hari. Di dalam peti aisnya pasti ada sahaja buah-buahan sama ada buah tempatan atau buah import. Selain dari membeli sendiri kerana minatnya memakan buah Haji Abas banyak menerima buah tangan dari mereka yang berkunjung ke rumahnya. Sayur dan buah menjadi dua bahan makanan yang pastinya ada setiap masa. Sementelahan pula di Pekan Parit Sulung diadakan pasar mingguan pada hari Sabtu. Banyak sayur segar dari kampung di sekitarnya. Haji Abas puas membeli pada setiap hari Sabtu. Ramai antara peniaga di pasar itu yang mengenali Haji Abas.

Orang Melayu memang gemarkan barangan kemas terutamanya yang diperbuat daripada emas. Di Pekan Parit Sulung terdapat beberapa kedai emas atau kadang-kadang disebut tukang emas. Seorang daripadanya Kedai Emas Sri Sulung. Haji Abas sangat mengenalinya. Dikenalinya sejak dari muda lagi. Malah sekarang ini anak tukang emas tersebut yang mengendalikan perniagaan keluarganya. Layanannya masih tetap sama. Hampir kesemua anak-anak perempuan dan menantu Haji Abas membeli emas dari kedai emas ini. Lazimnya dikenakan harga istimewa. Upah dikecualikan terlebih dahulu. Tukang emas ini mengenali kesemua anak-anak Haji Abas. Sekiranya ingin mencuci emas biasanya percuma sahaja. Mungkin hal ini satu keistimewaan  untuk keluarga Haji Abas sahaja. Apabila menjelang hari raya Hai Abas menghantar juadah hari raya kepada tukang tersebut. Sekiranya anak-anak Haji Abas mengadakan kenduri menikahkan anak, pastinya tukang itu mendapat juadah dari kenduri tersebut. Pada hari raya eid al-fitr atau pada perayaan Tahun Baru Cina Haji Abas mendapat berbagai hadiah makanan halal dari tukang emas tersebut. Budi antara mereka berbalas membalas.

Ada lagi yang lebih istimewa. Di Pekan Parit Sulung terdapat sebuah klinik swasta yang namanya Klinik Jaya. Dimiliki oleh seorang doktor berketurunan India dari Muar. Tiada siapa yang mengetahui bila mulanya doktor klinik tersebut menjadi doktor peribadi Haji Abas dan Hajjah Aminah. Malah anak-anak dan cucu-cucu Haji Abas tiada yang mengetahui akan bagaimana mulanya Dr. Jaya menjadi doktor peribadi mereka berdua. Sedangkan tiada seorangpun dari anak-anak Haji Abas yang memiliki doktor peribadi. Lazimnya pemimpin atau orang kaya atau ekspatriat membayar dengan harga yang mahal kepada doktor peribadi mereka. Rawatan untuk mereka diutamakan. Waktu bukan penghalang. Siang atau alam sama sahaja keperluannya. Namun bagi Haji Abas dan Hajjah Aminah doktor peribadinya memberikan perkhidmatan percuma. Ya, percuma. Pemeriksaan percuma. Ubat-ubatannya juga percuma. Jika dipanggil ke rumah sekalipun Dr. Jaya enggan menerima bayaran. Doktor tersebut menganggap Haji Abas dan Hajjah Aminah seperti ibu dan bapanya sendiri. Mungkin itu adalah khidmat sosialnya. Tanpa bayaran. Ia marah jika Haji Abas berbuat begitu. Seperti tukang emas, pada hari raya Dr. Jaya pasti menerima juadah hari raya Haji Abas. Dihantar sendiri secara peribadi. With love.  Anak-anaknya hanya menghantar sehingga di luar klinik sahaja. 

Benarlah prinsip hidup Haji Abas. Mulut mahu manis, hati mahu baik. Kebaikan yang selalu dilaburnya dibalas dengan kebaikan juga. Seperti sukar untuk percaya bahawa seorang doktor swasta menjadi doktor peribadinya. Dengan percuma pula. Sudah bertahun-tahun Haji Abas menerima khidmat Dr. Jaya. Kadang-kadang Haji Abas terasa segan kerana menerima perkhidmatan percuma. Haji Abas mengerti bahawa doktor itu berniaga. Perkhidmatan yang diberikannya perlu dibayar kerana itu pendapatannya. Ubatnya juga perlu dibayar. Percuma untuk kedua-duanya adalah keberuntungan yang tidak disangka-sangka oleh Haji Abas. Keikhlasannya melayani orang lain berbalas dengan kebaikan yang bukan kepalang banyaknya. Suatu ketika dahulu semasa Haji Abas masih terdaya memetik buah manggisnya. Buah itu dijual atau dihadiahkan kepada doktor peribadinya dan tukang emas sahabatnya. Buah manggis yang dipetik sendiri dengan alat yang apabila dipetik buah manggis itu tidak jatuh ke tanah. Dipilih yang paling baik sahaja. Masaknya cantik dan tidak ada yang beku getahnya. Jika dijual sekalipun tidak ada yang menolaknya apabila ditawarkan kerana jaminan kualitinya.


Begitulah budi pasti berbalas. Pada ketika-ketikanya Haji Abas membelikan durian yang paling baik untuk doktor peribadinya. Pada ketika yang lain dibelikan pula nasi beryani berlaukkan ayam. Berbuat kebaikan bukan untuk minta dibalas, kata Haji Abas. Penerima budi terasa nikmat yang harus dibalas. Benarlah Islam itu cantik. Berbuat baik pasti dibalas dengan kebaikan dengan syarat kebaikan yang diberi adalah dalam keadaan ikhlas. Tidak perlu ditagih balasannya daripada orang yang menerima budi kita. Masalah besar apabila budi diungkit-ungkit minta dibalas. Allah akan buka hati-hati mereka untuk memberikan kebaikan di samping menerimanya. Maknanya budia itu ketentuan dari Allah balasannya. Ada masanya kita menerima balasan budi kita dari orang lain yang Allah gerakan hatinya. Begitulah kehidupan. Kita perlu belajar selalu mengenai hal tersebut. Haji Abas dan Hajjah Aminah berada dalam kedua-dua kebaikan itu. Alhamdulillah. 

Wednesday, July 2, 2014

Siri Tujuh Belas: Menunaikan Haji

Haji Abas di TV Alhijrah.  Menonton rancangan siaran langsung Wanita Solehah. Menjelang usia 100 tahun dapat juga Haji Abas menikmati kenangan manis menonton siaran langsung sebegitu. Semasa negara merdeka dahulu TV belum ada lagi.  Semasa mudanya tidak ada pula kesempatan mengunjungi mana-mana stesen TV.


Ada sesuatu yang dapat dipelajari dari pengalaman Haji Abas. Senerio yang dipaparkan setakat ini adalah kemiskinan dan kesusahannya. Bagaimana dia selalu bernafas dalam lumpur. Bernafaspun dalam kesukaran. Namun kegigihannya untuk terus menikmati kehidupan beragama tiada tandingannya. Bagi kebanyakan keluarga Melayu-Islam di kampung terdapat dua perkara besar yang harus ditangani dengan bijaksana. Pertamanya, anak-anak berkahwin dan dicarikan kebahagiaan bersama pasangan masing-masing. Keduanya menunaikan fardhu haji sesegera yang mungkin dengan mengumpul wang berdikit-dikit.  Warga di luar bandar bukan banyak pendapatannya. Tetapi dalam kesempitan hidup yang begitu rupa mereka berdisiplin menyimpan. Menabung. Mengisi dana peribadi dan keluarga. Di mana mereka menyimpan dan bagaimana mereka menyimpan adalah soalan yang terlalu teknikal. Kaedah mereka terlalu tradisional. Walaupun Lembaga Urusan Tabung Haji (LUTH) telah ada, urusan berulang-alik ke pekan atau bandar bukan option yang terbaik. Memenat dan menyulitkan urusan. Itu belum lagi protokol, prosedur dan birokrasinya.

Simpanlah di mana-mana yang difikirkan selamat. Apabila cukup amaunnya Haji Abas mendaftarkan dirinya dan Hajjah Aminah untuk menunaikan fardhu haji pada tahun berikutnya. Pada zaman itu urusan pergi haji sangat memudahkan. Daftar dengan wang yang cukup maka giliran ditentukan dengan segera. Tidak ada masa menunggu hingga bertahun-tahun seperti sekarang.  Masa menunggunya hingga berpuluh tahun. Sebenarnya pergi haji atau tidak bukan lagi dalam kuasa mereka yang berhajat. Bukan juga kuasa pemerintah. Banyak faktor antarabangsa dan keselamatan yang perlu dipertimbangkan. Begitu juga ukhwah antara Muslim di berbagai negara dalam dunia ini. Hak bukan ditentukan siapa cepat dia dapat. Kuota memainkan peranan untuk menjaga kepentingan ummat Islam pada keseluruhannya. Semua warganegara dari berbagai negara berpeluang mengikut giliran masing-masing. Yang penting ialah jemputan dari Allah. Allah yang menjemput bakal haji. Allah yang mengkehendaki siapa yang awal dan siapa yang lewat. Berdoalah sebanyak-banyaknya supaya diperkenankan Allah dengan jemputannya.

Apabila telah mendaftar maknanya sudah ada niat. Halangan masa tidak menjejaskan niat tersebut. Andainya seseorang itu meninggal dunia sebelum dapat menunaikan haji, insyaAllah pahalanya sudah dicatatkan Allah sebagai pahala kebajikan. Begitulah orang kampung seperti Haji Abas tidak diketahui bila ia menyimpan. Di mana dia menyimpan. Dari mana wang yang disimpan itu. Sampai masanya ia dan isterinya pergi menunaikan haji. Lambaian Kaabah sangat kuat di hati setiap Muslim. Bagi mereka yang pernah menjejakkan kakinya di Makkah al-Mukarramah dan Madinah al-Munawarrah pasti selalu rindu. Banyak berdoa sebelum kembali ke tanah air untuk datang kembali secepat yang diizinkan oleh Allah. Berdoa juga untuk ziarah lagi ke tanah haram. Alangkah bahagianya mereka yang bersemadi d Makam Baqi’ di Madinah al-Munawarrah. Sentiasa bersama jasad Rasulallah sehingga hari Qiamat.

Suatu prinsip yang perlu dipelajari dari Haji Abas ialah tabiat atau azam menyimpan. Kita selalu berfikir bahawa menyimpan jika ada lebihan dari keperluan yang terlalu banyak. Pendapatan yang ada selalu dikira tidak mencukupi. Pada Haji Abas kemiskinan tidak menghalangnya dari menyimpan. Untuk meyimpan sebanyak kira-kira RM17,000 untuk dua orang tentulah memerlukan masa yang agak lama. Tidak mungkin dalam setahun atau dua. Maknanya menyimpan bagi Haji Abas merupakan disiplin yang diwajibkan ke atas dirinya. Dia tidak bergantung kepada lebihan. Tidak bergantung kepada pendapatan yang banyak. Ianya bukan tanpa perancangan. Kekuatan azam dan cekal diri memerlukan disiplin yang kuat. Dalam kesempitan yang bagaimana sekalipun simpanan tetap ditambah. Tidak diambil sesuka hati walaupun kerana keperluan yang sangat mendesak.

Menunaikan haji adalah suatu keindahannya yang tersendiri. Setiap Muslim seperti mengidam untuk melakukannya pada kali pertama. Pada kali yang berikutnya perasaan yang bersarang di hati tidak sama. Darjahnya menurun. Hukumnya bagi kali kedua dan berikutnya juga berkurangan. Jika yang pertama kali adalah wajib tetapi yang berikutnya hanya sunat sahaja. Yang punya diri dapat merasakan perbezaan keterujaan pada kali pertama dan pada kali yang berikutnya. Begitulah terujanya Haji Abas dan Hajjah Aminah menunaikan haji. Dengan wang simpanannya sendiri. Yang dititip ke dalam tabungnya sedikit demi sedikit. Kita yang berpendapatan melebihi dari cukup selalu tidak memiliki tabungan yang menasabah. Nafsu selalu mengatasi akal.

Lazimnya apabila menunaikan haji terdapat mereka yang tinggal berhampiran. Mungkin dari kampung yang sama atau kampung yang berlainan. Ada antaranya saudara-mara sendiri atau sahabat handai. Apabila sampai di Makkah bertemulah dengan mereka yang mungkin sudah terlalu lama tidak berjumpa. Bertautlah semula persahabatan. Sama-sama ke masjid. Sama-sama makan. Sama-sama membeli-belah. Sama-sama berziarah. Begitu juga Haji Abas dan Hajjah Aminah. Bertemu dengan saudara sendiri dari mukim yang sama. Berlainan kampung. Adalah teman berbicara. Sama-sama bantu-membantu. Memerhatikan keselamatan antara satu sama lain. Merawat semasa sakit dan pening. Mereka yang berpengalaman pasti dapat mengimbau semula keberadaan di Makkah dan Madinah. Enaknya air zamzam. Umrah berulang kali dari Tana’im atau Ja’ranah. Qiamil lail di masjid. Tawaf berulang kali. Mendapat peluang mengucup Hajr al-Aswad. Mungkin menyentuh Kaabah. Atau Kiswah yang tergantung. Solat di Hijr Ismail.

Sayunya di Arafah. Saujana mata memandang. Tempat pertemuan Adam dan Hawa di Jabal Rahmah. Alangkah nikmatnya jika mendapat haji akbar. Pada hari Jumaat yang mulia. Penghulu segala hari. Khutbahnya menyentuh hati. Ke Muzdalifah dan ke Mina. Melontar jamrah pada hari Tasyriq. Kembali ke Makkah. Tawaf ifadah. Tahlul al-thani. Mudah-mudahan mendapat haji yang mabrur. Al-haj maqbulah. Besarnya hati Haji Abas dan Hajjah Aminah berada di sana. Kembali dengan rasa puas yang teramat sangat. Sempurna rukun Islam yang lima.

Monday, June 30, 2014

Siri Enam Belas: Menantu dan Bemenantu

Photo: Pn Hajjah Rugayah Hj Abas leisure time at BP Mall
Haji Abas dan Hajjah Aminah bersama anak sulung mereka, Hajjah Rugayah.


Sampailah masanya Haji Abas dan Hajjah Aminah ditinggalkan oleh anak-anaknya seorang demi seorang, demi seorang. Yang lelaki merantau kerana berkerjaya. Begitu juga yang perempuan. Berkerjaya atau berumahtangga. Kebetulan pula menantu Haji Abas warga Batu Pahat kesemuanya kecuali menantu sulungnya (isteri anak dari isteri yang kedua) berasal dari Muar. Ada antaranya berlainan mukim. Ada yang selang berselang kampung. Malah ada yang bernikah dengan jiran sekampung. Kriteria menantu Haji Abas tidak rumit. Bakal kesemua menantu sewajarnya mempunyai asas agama yang kuat. Seboleh-bolehnya yang lelaki bukan yang merokok, tidak berjudi dan tidak melakukan maksiat  lain seperti perempuan serta arak. Bakal menantu perempuan pula diberikan kriteria tambahan. Orangnya perlu pembersih dan sukakan kebersihan. Pandai mengurus rumahtangga.  Satu lagi kriteria umum ialah menantunya bukan orang yang dikategorikan pemalas. Kesemua menantunya diharapkan ringan tulang di mana sekalipun mereka berada. Prinsip dan disiplin ini seeloknya diambil oleh semua generasi keturunan Haji Abas. Banyak manfaatnya dalam mendidik anak cucu sendiri.


Sebahagian dari cucu-cucu dan cicit-cicit Haji Abas dari anak keempatnya.

Antara kegemaran Haji Abas apabila bertandang ke rumah sesiapapun ialah memerhatikan suasana dalam rumah dan luar rumah. Jika matanya sedap memandang dia akan mengangguk setuju. Dia akan duduk tenang. Sehingga akhir tahun 1980an kesemua anak Haji Abas telah berumahtangga. Cucu dan cicit Haji Abas seharusnya menghargai prinsip urusan rumahtangga Haji Abas ini. Pada dasarnya semua orang sukakan keteraturan. Ramai yang sukakan kekemasan. Tidak mungkin ada orang yang tidak sukakan kebersihan. Didikan Haji Abas terhadap anak-anaknya sangat mengesankan. Sehingga usianya 100 tahun inipun Haji Abas belum lagi mengabaikan prinsip yang didokongnya sejak dari muda lagi. InsyaAllah dalam entry yang lain nanti akan ada ceritanya yang lebih terperinci. Terlalu banyak petua dan prinsip yang boleh dipelajari dan diamalkan.



Bertemu sekali-sekala menceriakan keadaan. Hanya dalam majlis-majlis seprti ini adik-beradik dan anak buah dapat bersama.

Kembali kepada kisah anak-anak Haji Abas. Allahyarham Ismail, anak pertama Haji Abas bersama isteri keduanya menentap di Parit Jawa, Parit Sulung hingga akhir hayatnya setelah puas merantau hingga ke Brunei dan Sabah.  Ditaqdirkan allahyarham Ismail tidak meninggalkan zuriat. Anak sulung Haji Abas bersama Hajjah Aminah kekal di Solok Wan Moh, Batu Pahat. Sekarang menjadi guru al-Quran. Bersama allahyarham suaminya dia dikurniakan dengan lapan orang anak. Anak kedua Haji Abas hingga sekarang menetap di Taman Koperasi Bahagia, Batu Pahat. Suaminya telah meninggal dunia. Bersama allahyarham dia kurnaiakan 11 orang anak. Anak ketiga Haji Abas bersama Hajjah Aminah bernikah dengan penduduk Parit Jawa, Parit Sulung. Mereka menetap di Johor Bahru sebelum berhijrah ke Batu Pahat dan bersara di situ. Seorang pesara Jabatan Pengairan dan Saliran. Juga seorang pesara penghulu. Mereka dikurniakan dengan empat orang anak. Anak keempat pula bernikah dengan jiran sekampung Parit Mohamad. Seorang guru sekolah menengah pada awalnya. Bertugas di beberapa tempat dan di beberapa negeri. Akhirnya menetap di Batu Pahat dan bersara sebagai pensyarah di Universiti Tun Hussein Onn, Batu Pahat. Mereka mendapat sembilan orang anak. Yang kelima bernikah dengan penduduk Parit Separap. Menetap dan bersara di Johor Bahru. Seorang pesara Jabatan Kastam dan Eksais DiRaja Malaysia. Dikurniakan pula dengan tiga orang anak. Anak keenam bernikah dengan orang Parit Bengkok, Bagan, Batu Pahat. Bertugas di Kuala Lumpur sehingga bersara di sana. Seorang pesara kerajaan dari Kementerian Kebajikan dan Pembangunan Wanita. Menetap di Kuala Lumpur bersama tiga orang anaknya. Yang ketujuh berkahwin dengan orang Air Hitam, Batu Pahat. Menetap di Johor Bahru bersama dengan lima orang anaknya. Dia bekerja sendiri. Sementara itu yang bongsu berkahwin dengan orang Solok Wan Moh, Batu Pahat. Menjadi guru al-Quran dan mahir membuat mini popia dan kuih makmur secara bermusim. Hari raya khususnya. Suaminya bekerja di Telekom Malaysia dan menentap di tempat yang sama bersama empat orang anak mereka.


Ini bukan cucu Haji Abas beristeri dua tetapi tiga sepupu dari anak ketiga, kelima dan bongsu

Anak-anak Haji Abas berada di tiga tempat yang berasingan: Batu Pahat, Johor Bahru dan Kuala Lumpur. Enam orang di Batu Pahat. Dua orang di Johor Bahru dan seorang di Kuala Lumpur. Seorang pernah berada di Terengganu dan Ipoh.  Cucu bongsu Haji Abas bersama Hajjah Aimah lahir menjelang alaf baru tahun 2000. Hanya beberapa orang yang masih berada di sekolah menengah. Beberapa orang juga masih berada di IPT. Sekarang ini generasi cicit pula sedang menyungsung ibu dan bapa saudara sepupu masing-masing. Apabila sampai ke generasi kelima ini kejelikitan berkeluarga sudah mula agak renggang. Tinggal di tempat yang berjauhan dan berlainan. Kesempatan untuk bersua muka terlalu terhad. Cuti masing-masing tidak bertembung. Hari raya mungkin bersua sekali sekala. Antara bertemu dengan tidak. Kadang-kadang perlu pula membuat temujanji.

Suatu masa dahulu. Anak kelima Haji Abas bersama Hajjah Aminah bergambar dengan anak sulungnya.

Kesusahan Haji Abas adalah pada era pra-merdeka dan beberapa tahun pasca-merdeka. Allah menentukan segala-galanya. Ditaqdirkan dua orang menantunya meninggal dunia lebih awal. Suami Hajjah Rugayah, allahyarham Masro meninggal lebih awal dari suami Hajjah Arfah, allahyarham Md Nor. Kisah Hajjah Rugayah telah dinukilkan sebelum ini. Begitu juga rupanya yang menimpa Hajjah Arfah. Allahyarham Md Nor tenang orangnya. pelembut dan tidak banyak ragamnya. Sakit batuknya agak berlarutan. Namun ditanggungnya dengan senyuman. Semoga Allah menerima rohnya dengan redha. Menjadi ibu tunggal dengan 11 orang anak tentu merumitkan Hajjah Arfah. Cumanya ada anaknya yang sudah berumahtangga. Yang masih bersekolah ramai bilangannya. Dari sekolah kebangsaan hinggalah ke sekolah menengah. Wang pencan allahyarham suaminya dicukupkan untuk menyara segala keperluan anak-anak yang masih bersekolah. Yang sudah bekerja membantu sedikit sebanyak. Certita kesusahan Haji Abas cerita sekitar Malaysia merdeka tetapi cerita kesusahan cucu-cucu Haji Abas adalah cerita jauh selepas merdeka. 

Antara cucu dan suami kepada cucu Haji Abas.

Kemerdekaan adalah suatu titik masa yang sepatutnya berganjak maju. Namun negara muda yang baru bangkit dari tidur lamanya menghadapi kesukaran untuk memberi nafas kemerdekaan itu kepada warganya. Cerita Haji Abas menjadi suatu analogi susahnya Malaysia bangkit dari kemiskinan. Meminjam bukan kepalang banyaknya. Dari Amerika Syarikat serta dari Jepun. Termasuk juga dari Britain dan negara-negara Eropah. Malaysia bukan sahaja miskin malah tidak cukup makan. Malangnya kita berada dalam zon selesa. Kekal berterusan di zon itu. Hingga sekarang kita terus-terusan mengimport makanan ruji kita. Untuk memajukan negara kita terus-terusan berhutang. Hingga sekarang setelah 57 tahun merdeka Malaysia masih kekal berhutang. Amaunnya pula semakin meningkat. Alhamdulillah Haji Abas dan anak-anaknya terlepas dari hutang kemiskinan yang dahulu. Walau bagaimanapun cucu dan cicit Haji Abas tidak terlepas dari ikatan hutang negara. Kemerdekaan Haj Abas dari belenggu hutang tidak dapat diwarisi oleh cucu dan cicitnya. Haji Abas tentu tidak maklum bahawa kemerdekaan yang menjanjikan kemakmuran rupanya membebankan generasinya. 


Bersama anak keenam,  ketujuh dan anak kelapan. Dengan pasangan masing-masing.


57 tahun kemerdekaan Malaysia bukanlah suatu jangakmasa yang sangat panjang. Namun dalam jangkawaktu itu generasi Haji Abas telah berkembang menjadi ratusan orang. Masing-masing menjalani hidup dalam negara yang merdeka ini. Jika dahulu menantu-menantu Haji Abas hanya orang Batu Pahat, sekarang ini cucu-cucu Haji Abas menerima pasangan dari negeri-negeri yang berlainan. Tinggal pula di negeri-negeri yang berlainan. Hampir di setiap negeri ada generasi Haji Abas dan Hajjah Aminah. Mudah-mudahan cicit-cicitnya nanti datang dari negara yang berlainan tetapi Muslim sejagat. Anak-anak keturunan Adam yang utuh Islamnya. Laungan merdeka Haji Abas di Padang Merbuk, Bandar Hilir, Melaka pada 20 Februari 1956 adalah laungan semangat perjuangan untuk seluruh generasinya hingga ke akhir zaman. Rentasan waktu selama 57 tahun yang selalu dilupakan. Mudah-mudahan generasi Haji Abas dan Hajjah Aminah tidak melupakan perjuangan hidup yang serba payah semasa pra-merdeka dan beberapa tahun pasca-merdeka.



Anak keenam Haji Abas dan Hajjah Aminah bersama anak bongsunya.


Memang kita tidak pernah ingin kembali ke zaman serba susah itu. Tetapi sekadar mengimbau selalu bahawa Haji Abas dan Hajjah Aminah datang dari suatu sudut masa yang sempit dan menyempitkan. Satu demi satu kekangan hidup ditempuhi dengan seadanya. Dengan sedikit keazaman untuk keluar darinya. Allah memberikan laluan yang bukan senang. Tetapi memudahkan hati dan perasaan. Banyak yang dapat dipelajari dari pengalaman Haji Abas dan Hajjah Aminah. Episod ceritera mengenainya masih banyak lagi secara berturutan. Untuk sampai ke noktah sekarang bukan semudah melompat jauh. Ceritanya perlu digali dan dinukil. Penulis yakin banyak pengajaran darinya. Sesiapapun dapat menerapkan pengalaman ini kepada keluarga lain di luar sana. Mereka yang sebaya Haji Abas rasanya boleh dibilang dengan jari. Ramai yang sudah tiada. Jika ditanya, penulis pasti ceritanya hampir sama. Mungkin bersamaan dalam banyak hal.

Maaf yang ini bukan Datuk David Arumugam. Anak ketujuh Haji Abas dan Hajjah Aminah. Bergambar bersama kakak  dan suami kakaknyanya ,Haji Yunos (duduk) serta anak sulung dan cucu mereka. 

Pada diri Haji Abas terkandung banyak sejarah lampau. Masa selama 100 tahun terlalu banyak yang dilihat. Terlalu banyak yang dialami. Tidak semua antara kita yang berani hidup selama itu. Menyaksikan paparan masa yang berlalu pantas. Meninggalkan kesemua yang lama. Kenangan sahaja yang tinggal. Lukisan zaman yang kadang-kadang timbul kerana usikan zaman itu sendiri. Namun kaki kita tetap melangkah jauh ke hadapan kerana destinasi kita bukan di belakang.  Masa hadapan setia menanti kita dalam wajah yang tiada siapa dapat menduganya. Kepada Allah berserah. InsyaAllah Allah memelihara semua zuriat Haji Abas dan Hajjah Aminah. 


Keluarga anak bongsu Haji Abas dan Hajjah Aminah.

Saturday, June 28, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Ramadhan Tanpa Buffet



Apa sebenarnya yang kita maklum tentang Ramadhan. Hari rayanya atau buffetnya. Atau lapar dan dahaganya. Yang lain seperti kita abaikan. Ramadhan yang menjadi penghulu segala bulan tidak dinanti seperti selayaknya. Lailatulqadar yang agung di sisi Allah tidak kita fahami signifikannya. Kita bukan menunggu Ramadhan tetapi sebaliknya kita lebih banyak fokus kepada bulan selepas Ramadhan. Satu Syawal yang sepatutnya diraikan hanya sehari sahaja kita raikan selama lebih sebulan. Kadang-kadang berlarutan hingga tiga bulan. Seolah-olahnya dikira berdosa jika tidak mengadakan majlis hari raya. Mari kita nilai semula Ramadhan tahun ini.

Bulan yang padanya diturunkan al-Quran.
Bulan yang di dalamnya diturunkan lalatulqadar.
Bulan yang pahala kebajikannya berlipat kali ganda.
Bulan yang ganjarannya Allah yang menentukannya.
Bulan yang syaitan dirantai.
Bulan yang pintu-pintu syurga dibuka.
Bulan yang qiamil lail menjadi kebiasaan.
Bulan yang padanya ramai orang membaca al-Quran.
Bulan ramai orang memberi makan kepada mereka yang berpuasa.
Bulan orang membayar zakat.
Bulan ramai orang bersedekah.
Bulan orang menginfaqkan hartanya ke jalan kebajikan.

Setahun yang lalu penulis berada di Kaherah. Setelah setahun berlalu Ramadhan datang lagi. Banyak benar bezanya Muslim di sini menyambut kedatangan bulan penuh barakah ini dengan cara Mulism di Malaysia menyambutnya. Berbulan-bulan sebelum ini ramai orang Malaysia yang sudah menyediakan baju raya. Itupun tukang jahit ramai yang menolak tempahan. Ramai yang keluh- kesah kerana bakal tidak makan pada waktu siang. Ada juga yang mencari alasan untuk dikecualikan dari berpuasa. Daifnya kita berhadapan tuntutan Islam dan iman. Bulan ini adalah bulan Allah memberi peluang yang seluas-luasnya kita menambahkan kebaikan kepada diri kita melalui berbagai aktiviti ibadat yang nilainya tiada tolok bandingnya di sisi Allah. Bulan yang kita dianggap berniaga dengan Allah. Kita menjual dan Allah membeli.  Perniagaan yang tidak pernah memungkin kerugian. Allah sentiasa membeli ibadat kita dengan harga yang berlipat kali ganda dari yang dapat kita fikirkan. Keuntungannya di dunia dan di akhirat. Yang di akhirat itulah yang selalunya tidak dapat difahami dengan saksama.

Pada bulan Syabaan adalah bulan yang bermula dengan kalut di Kaherah. Mungkin juga di seleuruh negara Arab adalah begitu keadaannya. Kedai-kedai mula menambahkan stok barang makanan. Berlori-lori diangkut. Menimbun-nimbun di kedai. Di luar kedai. Khemah didirikan untuk menyimpan stok tersebut. Pada malamnya pembantu kedai tidur di atas stok makanan tersebut. Menjadi pengawal sementara stok masih ada. Kesemua keluarga mula membeli barang keperluan sebanyak mungkin. Kesemua ini dilakukan kerana menyambut Ramadhan. Ya, untuk menyambut Ramadhan. Hanya Ramadhan tiada yang lain kecuali Ramadhan. Tidak ada walau sepatah perkataanpun yang menyebut Hari Raya. Eid al-fitr. Tidak ada. Muslim di sini berhadapan dengan Ramadhan. Menanti Ramadhan. Rindukan hadirnya Ramadhan. Ramadhan karim. Ramadhan yang diredhai Allah. Bulan yang mendapat pengampunan Allah. Bulan yang sangat mulia.

Yang utama kepada Muslim di sini ialah berbuat kebajikan sebanyak mungkin. Selain dari ibadat khusus seperti solat, membaca al-Quran, hadir ke kuliah-kuliah Subuh dan Asar, mereka berusaha menjamu mereka yang berpuasa dengan  meyediakan jamuan berbuka puasa. Masjid dan surau melimpah ruah dengan makanan. Mereka yang berada menyediakan makanan untuk sesiapa sahaja yang difikirkan perlu menikmatinya. Mereka berhabisan kerana Ramadhan. Kerana Allah memuliakan Ramadahan. Kesempatan itu diambil untuk sama-sama mendapat meghfirah dan redha Allah. Keuntungan yang tiada nilai dunia. Suasananya memperlihatkan bahawa ukhwah antara yang di atas dengan yang di bawah sangat dekat. Sangat rapat antara yang berada dengan yang tidak berada. Bagi pelajar umpamanya, mereka kenyang dalam bulan ini. Pergilah ke mana-mana masjid pastinya berbuka puasa dengan sekenyang-kenyangnya. Kenyang hingga sahur.

Ramadhan tahun ini pada musim panas. Siangnya panjang dan malamnya pendek. Berbuka antara pukul 7.00 pada awal Ramadhan dan pada pukul 7.30 pada akhir Ramadhan. Solat tarawih mungkin hingga pukul 11.00 malam. Sahur pada kira-kira pukul 2.00 pagi. Fajar menjelang pada kira-kira pukul 3.00 pagi. Ramadhan adalah bulan yang sangat sibuk (hectic). Kepada Muslim di sini kesibukan itu bukan ibadat khusus semata-mata. Antara waktu-waktu tertentu mereka membaca al-Quran atau berwirid. Beriktiqaf di masjid. Memikirkan untuk menambah kebajikan. Selepas tarawaih ada juga yang kunjung-berkunjung ke rumah ibu dan bapa dan ke rumah saudara-mara. Pada masa tersebutlah mereka memakai pakaian baru. Pakaian menghormati meriahknya kehadiran Ramadahan. Berbagai juadah disediakan untuk tetamu.

Bukankah kegembiraan mereka yang berpuasa ialah apabila mereka berbuka puasa? Benarlah mereka di sini merayakan puasa mereka selepas berbuka. Setiap hari dirayakan tetapi dalam bulan Ramadhan sahaja. Bukan seperti kita yang berhari raya selepas tamat Ramadhan dan melepaskan geram semahu-mahunya. Muslim di sini meningkatkan ibadat mereka sesama Muslim di siang hari dan sebahagian malam. Pada sebahagian waktu yang lain mereka meningkatkan ukhwan sesama ahli mereka. Keluarga dan saudara-mara. Hubungan dengan Allah diperbanyakkan. Hubungan dengan manusia ditingkatkan. Kebanyakan rumah terang benderang. Menanti dan meraikan tetamu seperti dituntut agama. Menanti juga datangnya laitulqadar. Penantian yang disediakan berbulan-bulan lamanya.

Tentu berbeza antara menanti datangnya hari lebaran. Hari raya selepas tamat Ramadhan. Kita menangis tidak dapat bersama ibu dan bapa. Tidak dapat bersama keluarga. Tidak dapat bersama saudara-mara atau sahabat-handai. Kita menangis selepas hilangnya Ramadhan. Tidak ramai yang menangis kerana perginya Ramadhan. Tidak ramai yang memikirkan bahawa Ramadhan kali ini adalah Ramadhannya yang terakhir. Di negara Arab mereka teruja menantikan Ramadhan. Berbuat kebajikan sebanyak-banyaknya. Bertemu ibu dan bapa sekerap mungkin. Menziarahi saudara-mara serta ahli keluarga dan sahabat yang lain. Menjamu selera tetamu yang bertandang ziarah. Meriahnya Ramadhan. Bukan meriahnya hari raya. Mereka merayakan puasa mereka dalam Ramadhan. Mereka menangis bersama Ramadhan. Mereka gembira bersama Ramadhan. Mereka teruja berada dalam bulan Ramadhan.


Di negara kita agama dikomersilkan. Mereka yang bukan Islam membaca herotan konsep agama yang kita amalkan. Kerana itu hari raya menjadi fokus dan bukannya Ramadhan. Ramadhan diramaikan dengan jualan Ramadhan. Dengan bazaar Ramadhan. Dengan pameran Ramadhan. Dengan buffet Ramadhan. Soalnya, mengapa dan kenapa? Kita berhabis tetapi tidak berniaga dengan Allah. Kita berhabis tetapi tidak mendapat keuntungan yang Allah janjikan. Paling kita takut ialah bulan Ramadhan tidak menjadi bulan maghfirah kepada kita. Tidak juga menjadi bulan yang Allah meredhai kesemua perbuatan kita. Oleh itu makanlah di rumah. Masaklah seberapa banyak. Hulurkan kepada jiran. Gembirakan mereka dengan ibadat yang kita lakukan. Mudah-mudahan terhindar dari keraguan antara halal dan haram. Antara bersih dengan tidak. Antara suci dengan tidak. Antara Allah redha dengan tidak. Bukan sahaja di hotel kira menyimpan keraguan malah makanan yang dijual di bazaar Ramadhan belum tentu dipelihara kesuciannya. Maaf. Lazimnya penjual makanan di bazaar Ramadhan terlepas solat Asar. Malah ada yang terlepas solat Maghrib. Bagaimana kedudukan kita yang membeli makanan mereka? Sama-sama kita renungkan.