Friday, July 4, 2014

Siri Sembilan Belas: Budi Kebaikan Tiada Nilainya

Haji Abas bertemu isteri cucunya buat kali pertama. Menantu anak keempatnya.


Pada tahun 80an sesuatu yang mengejutkan Haji Abas telah berlaku. Seorang peniaga berketurunan Cina menghadapi kesukaran dalam hidupnya. Suatu hari peniaga Cina tersebut datang bertemu Haji Abas. Hajatnya hendak meminjam wang kerana pada pendapatnya Haji Abas sudah bebas dari kemiskinan masa lalu. Tentulah kedatangannya tanpa diduga. Seorang peniaga Cina yang selalu dianggap memiliki banyak wang tiba-tiba datang hendak meminjam wang. Orang yang didatangi pula adalah Haji Abas yang dahulunya kerap kesempitan wang. Ada beberapa perkara yang dapat dijadikan iktibar. Pertamanya, diri kita selalu menjadi perhatian orang lain sama ada kita tahu atau tidak. Sama ada kita suka atau tidak. Oleh kerana kita adalah ahli kepada masyarakat maka tidak dapat tidak ahli masyarakat memerhati kita. Apa-apa perubahan yang berlaku menjadi tarikan minat. Pada pendapat orang Cina tersebut Haji Abas sudah bebas dari kebiasaan susahnya.

Pada suatu ketika dahulu Haji Abas kerap melanggani kedai kepunyaan peniaga Cina yang senang dipanggil Yama. Letaknya di Parit Laman, Parit Sulung. Selang tiga kampung dari Parit Mohamad, tempat tinggal Haji Abas. Kampung itu dikira tidak jauh dengan berbasikal. Sekitar 20 minit dari rumah. Dikedai itulah Haji Abas mendapatkan barang-barang keperluannya. Di kedai itu juga anak lelaki Haji Abas menjual getah keping yang disalai pada malamnya. Untuk belanja ke sekolah. Pada awalnya mungkin Haji Abas berhutang dahulu sementara wang belum ada. Mungkin Yama membuat pengamatan tentang kekerapan Haji Abas berbelanja dan kekerapannya berhutang. Setelah masa berlalu Haji Abas sudah tidak berhutang lagi. Maknanya Haji Abas sudah keluar dari kemiskinan tegar masa lalu yang menyempitkan fikiran itu. Pada pendapat Yama Haji Abas sudah berkecukupan dan mungkin sudah memiliki wang lebihan. Pekedai Cina yang bernama Yama senang berkira dengannya. Orangnya baik. Tidak banyak karenah apabila hendak berhutang dengannya.

Haji Abas memiliki prinsip yang baik. Hutang mesti dibayar. Lama atau sekejap tetap dibayar. Jika ia perlukan masa ia mohon dilanjutkan dari orang yang memberi pinjam. Kerana itu orang tidak takut meminjamkan wang kepada Haji Abas. Lagipun Haji Abas tidak meminjam dalam amaun yang banyak. Tidak juga berhutang di kedai dalam jumlah yang banyak. Dibayar sebahagiannya. Sebahagian yang lain ia berhutang. Pada hujung bulan atau setelah menjual getah, hutang itu pasti dibayar. Kedatangan Yama ke rumahnya disambut dengan keraguan pada awalnya. Setelah diperjelaskan tujuannya, Haji Abas bertanyalah berapa yang diperlukannya. Ia hendak meminjam sebanyak RM300 sahaja. Dia tidak kecewa apabila Haji Abas meminjamkan wang sebanyak yang diperlukan. Suatu ukhwah antara manusia berlainan agama dan berlainan keturunan.

Pengajaran kedua ialah penduduk Malaysia ini sebenarnya tidak merasa adanya segrigasi atau segmentasi atau diskriminasi atau apa-apa perbezaan antara kaum dan etnik. Di luar sana masing-masing menjalankan kehidupan saling bergantung antara satu sama lain. Walaupun orang Melayu tidak sekaya orang Cina namun kuasa beli orang Melayu tinggi juga. Masalahnya ialah apabila ramai orang Malaysia gilakan kuasa. Ideologi diketengahkan. Perbezaan pendapat diperbesarkan. Maka politik menjadi alat yang menyukarkan walaupun politik sewajarnya boleh menjadi alat yang menyenangkan. Kewajaran hidup bersama tidak digarap dengan baik terutama generasi sekarang yang banyak dimainkan minda mereka dengan politik kepartian. Jikalaulah dapat objektif politik disatukan. Demi Malaysia tercinta. Buatlah apa sahaja yang baik dan berfaedah demi negara yang tercinta. Biarlah fahaman berbeza tetapi matlamatnya sama. Tidak ditimbulkan perasaan curiga dan banyak prasangka. Rakyat di bawah terutamanya di luar bandar tiada masalah perkauman.

Satu lagi nama yang selalu di bibir Haji Abas ialah allahyarham Cikgu Mat. Seorang bekas guru yang membuka kedai runcit di kuala Parit Sauh. Ramai orang dahulu berniaga di tepi sungai kerana Sungai Simpang Kiri adalah laluan utama dari Bandar Penggaram ke Seri Medan. Sewaktu tinggal di Parit Maimun, Haji Abas kerap melanggani kedai allahyarham Cikgu Mat. Kira-kira 10 minit dengan mengayuh sampan. Pertamanya barang-barang yang dijual lebih melengkapi. Keduanya lebih murah. Ketiganya, allahyarham Cikgu Mat boleh diajak berkira jika Haji Abas perlu berhutang. Sewaktu hendak pindah ke Parit Mohamad Haji Abas membeli keperluan rumahtangga dari kedai allahyarham Cikgu Mat dengan berhutang. Cagarannya sebentuk cincin berlian. Barang kemas seperti bank. Wangnya boleh diperolehi apabila diperlukan. Mudah dicairkan dari segi ekonomi. Dalam kemiskinan dan kepayahan itu cincin berlian kesayangan Haji Abas itu terpaksa dilurut dari jarinya. Demi keluarganya. Demi anak-anaknya. Demi maruah dirinya.

Nama allahyarham Haji Ramli sudah disebut sebelum ini. Menjadi imam di Parit Mohamad. Seorang amil yang menguruskan zakat fitrah apabila sampai bulan Ramadhan. Orangnya tawadhu’. Selalu merendah diri. Tidak banyak cakapnya kecuali yang hak. Guraunya sederhana. Kebaikannya yang selalu diingat Haji Abas. Sewaktu Haji Abas sudah mula lega dari kemiskinan tegarnya, allahyarham masih kerap memberi pekerjaan kepada Haji Abas dan keluarganya. Kaedahnya baik dan mudah. Dia tidak lagi meminjamkan wang kepada Haji Abas. Sebaliknya memberi pekerjaan. Biasalah kerja kampung. Allahyarham agak berada. Kebun getahnya berekar-ekar juga. Apabila ditanam semula sebahagiannya, allahyarham perlukan pembantu untuk membersihkan tanaman getahnya.  Setiap keliling anak pokok getah yang dibersihkan dibayar sekitar 15 sen. Tidak banyak dalam keadaan sekarang. Pada akhir tahun 60an dan awal 70an wang sebanyak itu masih besar nilainya. Gaji guru sekolah menengah hanya RM300 ketika itu. Nisbah 15 sen dan RM300 masih agak besar berbanding sekarang. Dari allahyarham Haji Ramli kita mendapat suatu pengajaran yang besar. Di samping memberi pinjam dia juga memberi pekerjaan yang  dibayar upah bersesuaian. Jika berhutang sekalipun amaunya dapat diminimumkan. Meminjam selalunya berlangsung dalam keadaaan terlalu senang. Untuk memulangkannya pula semula kadang-kadang terlalu susah. Elok gunakan prinsip allahyarhan Haji Ramli.

Begitulah perhubungan kemanusiaan antara Haji Abas dengan individu-individu yang ramai di sekelilingnya. Kedaifan tidak menyingkatkan Haji Abas berfikir. Ada sahaja yang boleh dilakukan untuk survival keluarganya. Untuk anak-anaknya. Cucu-cucu dan cicit-cicitnya perlu mengambil iktibar tersebut untuk kelangsungan hidup yang lebih beramanah dan berintegriti. Menjaga hubungan kemanusiaan sesama insan tanpa mengira saudara, sahabat atau tanpa mengira bangsa dan agama. Prinsip hidupnya mengambil jalan yang senang bukan yang menyusahkan. Berbuat baik tanpa berkira. Setakat ini alhamdulillah Allah memberi kelapangan berfikir kepada Haji Abas walaupun usianya sudah mencapai 100 tahun. Ingatannya masih utuh. Dia masih ingat sejarah keluarganya.

No comments:

Post a Comment