Monday, March 24, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Bukan Kaya Seperti Qarun



Yang miskin dan papa selalu berdoa supaya menjadi kaya. Yang kaya terus berdoa supaya menjadi bertambah kaya. Jika boleh superkaya. Sejarah manusia terlalu panjang untuk memaparkan nilai kaya. Nilai kemewahan. Nilai hidup dalam serba kelebihan. Miskin dan fakir dipandang hina. Yang kaya selalu dipuja. Cerita ini cerita lama. Plotnya sama. Natijahnya sama. Kita menilai dunia dan bukan akhiratnya. Beruntung mereka yang dunianya bernilai akhirat. Tentulah malang bagi mereka yang akbiratnya ditukar menjadi dunia. Kisah Qarun sangat diketahui oleh orang Islam. Ceritanya kekal selagi ada al-Quran. Selagi al-Quran dibaca dan ditadabbur. Difahami maknanya. Diambil iktibarnya. Cerita unik ini hanya terdapat dalam al-Quran. Dikatakan cerita yang sama tidak terdapat dalam Zabur atau Taurah atau Injil. Ada sesuatu yang dikatakan memalukan. Qarun adalah keturunan Bani Israel. Cerita Qarun mungkin tidak baik untuk kaum Bani Israel. Oleh kerana al-Quran dalam Bahasa Arab  kita bebas menikmati ceritanya. Sekiranya ada dalam kitab-kitab yang lain ceritanya mungkin telah dbuang. Orang Yahudi pakar dalam hal mengubah kitab. Mana-mana bahagian yang tidak memihak kepada mereka kesemuanya dibuang dari mana-mana kitab yang mereka pegang. Hanya al-Quran sahaja yang tidak dapat mereka ganggu gugat. Hatta hingga hari kiamat.

Cerita mengenai kaya sangat menggerunkan.  Rasanya hanya orang-orang seperti Abdul Rahman bin Auf sahaja yang kekayaannya untuk dimanfaatkan agama Islam. Orangnya warak. Pemurah. Banyak hartanya diinfaqkan kepada maslahah Islam dan umatnya. Rasulallah menjamin bahawa Abdul Rahman bin Auf antara 10 orang sahabat yang dijamin masuk ke syurga. Qarun pula adalah seorang yang alim. Seorang abid. Sepupu kepada Nabi Musa. Dia memohon supaya Nabi Musa mendoakannya menjadi kaya raya.  Keinginannya tidak boleh dihalang. Sangat berhajat menjadi kaya. Allah makbulkan doa Nabi Musa. Kayalah Qarun. Semakin hari semakin melimah ruah harta bendanya. Pada kemuncaknya dikatakan bahawa anak kunci gedungnya dibawa oleh 600 skor unta. 600 ekor unta. Zaman Nabi Musa. Berapa nilai hartanya sekarang. Nilai semasa Ringgit Malaysia. Tiada manusa lain yang menyaingi kekayaan Qarun pada zamannya.

Kaya membawa kepada tragik komidi. Berakhir dengan kehampaan. Kerugian. Menzalimi diri sendiri. Jalannya tidak lurus. Yang dipilih jalan ke jahanam. Apabila harta semakin banyak semakin lekalah Qarun dengan hartanya. Mungkin lebih banyak membelek-belek. Mengira wang yang tidak pernah habis-habis. Begitulah, semakin bertambah harta semakin kurang masa untuk beribadat. Semakin pula hati menjadi keras membatu. Sampailah ketikanya Allah mewajibkan zakat harta. Kedatangan Nabi Musa ditolak oleh Qarun. Pada anggapannya kesemua hartanya adalah hasil usahanya sendiri. Bukan datang dari Allah. Kerana itu perintah Allah supaya manusia menunaikan zakat dibantah oleh Qarun. Pujukan dan nasihat Nabi Musa tidak dapat melembutkan hati Qarun. Malah ancaman azab juga tidak dapat mencairkan hatinya.

Ada riwayat yang mengatakan bahawa selepas peristiwa itu Qarun merancangkan suatu fitnah besar terhadap Nabi Musa. Dia mengupah seorang pelacur untuk mencemarkan Nabi Musa. (Cerita fitnah yang serupa dengannya masih berlaku hingga ke hari ini). Allah Maha Besar. Pelacur itu menceritakan hal yang sebenar bahawa ia diupah oleh Qarun. Oleh kerana aib yang tersangat-sangat Qarun mencabar Nabi Musa supaya beradu sumpah. Siapa yang sumpahnya menjadi maka dialah yang menang. Qarun menyumpah Nabi Musa supaya mati. Sumpahnya tidak diperkenankan Allah. Sampailah giliran Nabi Musa. Disumpahnya supaya Qarun ditelan bumi bersama kesemua harta benda miliknya. Kun fayakun. Terjadilah apa yang tidak disangka Qarun. Dia dan semua hartanya ditelan bumi. Oleh kerana hartanya melaut luasnya maka terjadilah tasik yang luas meliputi kawasan yang menenggelamkan harta bendanya itu.

Kisah-kisah dalam al-Quran bukan sekadar cerita. Allah tinggalkan bukti nyata supaya kita mengimani cerita-cerita tersebut sebagai menginsafi diri. Tasik Qarun yang luas mungkin tidak dapat dihubungkaitkan oleh generasi sekarang. Tidak dilihat sebagai bukti nyata. Istana Qarun yang masih Allah tinggalkan sedikit boleh menjadi bukti nyata bahawa kisah itu benar berlaku. Begitu juga kisah seperti Firaun, kincir Nabi Yusof, bulan terbelah dan banyak lagi. Peristiwa yang berlaku ribuan tahun sebelum kelahiran Nabi Muhammad diceritakan dalam al-Quran juga ribuan tahun dahulu. Bukti fizikalnya masih ada untuk tatapan orang sekarang. Orang kemudian.  


Sayang. Kaya dan harta membawa kepada kekufuran. Menjadikan seseorang itu angkuh. Lupa kepada Yang Khaliq. Yang mengizinkan harta itu dipinjamkan kepadanya. Hanya landasan agama sahaja menjadikan harta bermanfaat. Kaya iman dengan menginfaqkan hartanya seperti Abu bakar. Tiada satupun yang menjadi kepentingan diri. Semuanya untuk maslahah umum. Untuk orang ramai. Untuk agama. Untuk Islam. Alangkah baiknya jika ramai umat Islam yang kaya harta. Pada masa yang sama kaya iman.  

Jalan kampung menuju tinggalan istana Qarun

Sunyi sedikit jalan ni. Seperti berkabus pula. Seperti cerita seram.

Perkampungan berhampiran tinggalan istana Qarun

Pasu bakar seperti yang banyak dilihat di Jalan Kuala Kangsar, Ipoh. 

Tinggalan istana Qarun dari arah belakang.

Tidak ada apa-apa yang unik mengenainya


Dari hadapan nampak besar. Dikatakan ini adalah tingkat ke-enam. Lima tingkat lagi ditelan bumi. Laman bahagian bersama dusun dan ladang Qarun tenggelam  menjadi tasik yang besar. Air sebagai makhluk Allah menghapuskan sebuah keangkuhan

Pintu masuk

Dari sisi

Bahagian dalam

Sudut yang sama

Di bahagian atas yang sudah mula rosak

Lagi bahagian dalam

Bingkisan Dari Kaherah: Air Terjun Di Fayoum



Terdapat sebuah air terjun yang paling cantik di dunia yang letaknya di Afrika. Malangnya Afrika bukan benua pilihan rakyat dan pemerintah negara maju. Beria-ia mereka propagandakan bahawa yang tercantik dan terhebat ialah Niagara Falls yang terletak di sempadan USA dan Canada. Masing-masing  ada kelebihannya yang tersendiri. Sayangnya Victotia Falls di Afrika tidak mendapat perhatian wajar. Begitu licik keturunan *Sam di Barat menafikan kelebihan kaum *Ham di Afrika. Jika kita tinjau ke setiap negara pula pasti ada air terjunnya masing-masing. Mungkin sekadar riam. Atau air terjun kecil. Banyak persamaannya antara satu sama lain.

1                 Yang mengalir ialah air.
2                 Lazimnya airnya jernih, sejuk dan menyegarkan.
3                 Tidak pernah kering. Tetap mengalir tanpa mengira musim.
4                 Ramai yang mengatakannya cantik. Belum pernah air terjun dikatakan hodoh.
5                 Tidak pernah jemu memandangnya. Mengambil gambarnya. Datang ziarah mengulanginya.

Begitulah ciptaan Allah. Tiada cacat dan celanya. Kesemuanya untuk manfaat manusia dan makhluk ciptaannya. Dari air terjun itu wujud lopak dan sungai. Jadi sumber kehidupan ikan, haiwan, unggas, pepohon dan manusia. Tanpa air itu matilah segalanya. Sebab itu 70% bumi adalah air. 70% tubuh kita mengandungi air. Terlebih air masalah kesihatan. Kurang air juga masalah kesihatan. Mengekalkan keseimbangan kuantiti dan kualitinya cukup penting. Perlu tahu juga mengekalkan suhunya supaya tubuh badan sentiasa dalam aman sejahtera. Sihat walafiat. Kerana itu barangkali kita sukakan air. Tidak kira bagaimana bentuknya. Asalkan air ada sahaja tarikannya. Paling kurang untuk memandangnya. Mungkin bergambar berlatarbelakangkan air.

Mesir adalah sebuah negara yang agak besar di utara Afrika. Kebanyakan keluasan negara ini adalah padang pasir yang luas. Dinamakan padang pasir Sahara. Kebetulan dalam bahasa Arab padang pasir dipanggil sahara’. Orang lain menamakannya Sahara. Kuasa Allah menentukan bahawa di Fayoum yang subur buminya wujud sebuah air terjun kecil. Rendah. Tidak signifikan berbanding dengan yang ada di negara lain. Walau bagaimanapun ianya tetap menjadi tarikan rakyat Mesir untuk mengunjunginya. Menikmati kewujudannya. Mensyukuri keberadaannya. Menghayati kebesaran Allah. Mengerti hanya Allah sahaja yang berupaya mengadakannya. Di kawasan yang lapang dan berpasir itu keluar mata air yang mengalirkan airnya dengan banyak. Melalui celah-celah tanah dan batu. Lalu deras dan jatuh apabila ada tingkatan ketinggian yang berbeza pada laluannya. Terjadilah dengan kuasa Allah air terjun di Fayoum.

Saiznya kecil secara relatif. Kerana tempatnya lapang ianya disinari secukupnya oleh cahaya matahari siang. Biasan cahaya cukup cantik. Memutihkan juraian air yang terjun. Rintik-rintik kerana seolah-olah untaian mutiara yang tiada putusnya. Dari jauh dilihat seperti sehelai tirai atau langsir yang terbentang. Lama atau sekejap berada di sini bukan lagi faktor penentu. Cantik tetap cantik. Pada hujung minggu ramai pengunjungnya. Al-maklumlah hanya itu sahaja yang ada di Mesir. Bukan kasihan. Tetapi alhamdulillah Allah menganugerahkan sesuatu sebagai penyejuk hati. Penenang perasaan. Mendamaikan sesiapa yang memandang. Di situlah keluarga bersatu. Rakan taulan berhimpun. Makhluk manusia menikmati ciptaan dari Rabbnya.

Kebetulan air terjun ini mengalirkan airnya ke Tasik Qarun. Tasik yang dikatakan tapak hartabenda Qarun yang Allah tenggelamkan menjadi azab kerana keangkuhannya menidakkan nikmat rezeki dari Allah. Allah memerintahkannya supaya membayar zakat tetapi ditolak kerana ia menafikan bahawa rezeki yang ada padanya datannya dari Allah. Begitulah antara cerita mausia yang kufur.  Harta itu diambil kembali oleh Allah kerana segala-galanya milikNya. Jika bersyukur hartanya ditambah. Jika tidak diambil darinya. Diri manusia itu sendiri milik Allah. Akan dikembalikan kepadaNya. Dunia ini hanya pinjaman. Untuk kehidupan sementara. Menunaikan amanah Allah.

Begitulah seharusnya. Bersyukur dengan apa sahaja nikmat yang Allah anugerahkan kepada kita. Kuantitinya tidak terbilang.  Kualitinya sesuai dengan fitrah kita yang berbagai. Yang lemah pula. Lebih atau kurang sangat menasabah dengan kemampuan kita untuk menikmatinya. Untuk bertanggungjawab ke atasnya. Bukan untuk manfaat kita secara individu tetapi untuk dikongsikan dengan mereka yang berhak ke atasnya. Ingat! Kita hanya pemegang amanah. Amanah dari Allah. Bukan amanah manusia atau makhluk lain. Manfaatkanlah segala yang kita miliki ke jalan Allah. Salah guna membazir tanpa manfaat. Terlebih guna ke arah kebaikan akan diganti dengan sesuatu yang lebih besar dari sisi Allah. Manusia tidak dapat menilainya hanya dengan mata kasar. Ganjaran besar di akhirat. Tempat yang abadi. Kekal selama-lamanya. Dalam tempoh infiniti. InsyaAllah.

Nota: *Sam, *Ham dan Yapith adalah anak-anak Nabi Nuh a.s. yang selamat dalam banjir besar pada zamannya. Yapith ke Timur dinamakan Monggoloid, Sam di Timur Tengah dan ke Barat dinamakan Causasian. Ham di Afrika dan dinamakan Negroid. 


Di mana-mana gambar menjadi kenangan abadi pada masa akan datang. Gadis Arab di sebelah kanan tersesat dalam gambar ini.

Bak langsir yang memisah ruang. Putih dan jernih. Kemilau dioancar cahaya mentari.

Dari jauh tetap cantik

Ruang masa semasa ada

Mengenang kebersamaan kami berdua

Di belakang ialah Tasik Qarun

Mengalir ke Tasik Qarun.

Hanya inilah sahaja air terjun yang ada di Mesir. 

Di padang pasir yang luas terbentang Allah alirkan air dari bumi. Tidak pernah kering dalam cuaca yang sentiasa panas dan terdedah.

Memijak air yang mengalir amat nyaman. Sejuk dan mengujakan.

Bersama anak-anak Johor

Lagi semasa berdua


Seperti hamparan yang jernih

Di bawah menanti terjunan air

Membuak-buak

Di bahagian yang lain

Di tempat ini ramai juga yang santai

Laluian air yang meluncur deras

Seperti bertingkat pula. Jaraknya agak jauh antara kedua-duanya.

Ramai yang bergambar di tebing bahagian atas air terjun ini



Sunday, March 23, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Kembara Tursina



Alhamdulillah penulis dan isteri dapat menyertai rombongan pelajar-pelajar Negeri Johor ke Sinai. Terima kasih Tuan Haji Maulan yang mengizinkan penulis dan isteri untuk turut bersama. Terima kasih juga kepada Tuan Syed Ahmad yang banyak membantu dari segi persiapan mental. Rombongan dua buah bas itu membawa 92 orang peserta. Mengikut itenarinya perjalanan yang bermula pada pukul 12.00 tengah malam hari Rabu itu dijangka sampai di Fox Camp pada pukul 3.00 petang hari Khamis. Banyak tempat berhenti sama ada untuk berehat, makan atau solat. Kami bertolak pada hari Rabu malam Khamis. Pada pagi hari Khamis kami sudah berada di Sinai. Setelah melawat permakaman Nabi Salleh, Nabi Harun dan kesan pengkhianatan Samiriy kami sampai di Fox Camp kira-kira pada pukul 5.00 petang. Anak-anak di tanahair berpesan supaya penulis dan isteri tidak lasak sepanjang hari kerana pada malamnya kami dijangka akan mendaki Bukit Tursina. Ramai juga peserta yang ingat mengingat sesama mereka supaya menyimpan tenaga untuk pendakian pada malam itu.

Cerita pendakian telah lama selesainya. Detik-detik akhir kami di Dahap masih terasa hangatnya. Makan bersama, cerita bersama. Kali pertama bersama anak-anak Johor terasa dekat. Kebetulan ada saudara mara dalam kalangan mereka. Penulis tidak merancang untuk begitu dekat dengan mereka. Tiada dalam agenda sama ada sebelum menjejak kaki di Mesir atau sesudah berada di Mesir. Di rasakan tiada penghubung untuk membawa diri mendekati mereka. Hajat hati hanya untuk cepat pandai berbahasa Arab. Belajar seberapa banyak yang dapat. Allah Maha Mengetahui. Segala-galanya dalam perancangan Allah. Penulis dipertemukan dengan Tuan Syed Ahmad. Menjadi jirannya. Hingga akhirnya penulis dipertemukan semula dengan Tuan Haji Maulan yang telah dikenali lebih 20 tahun yang lalu di Parit Raja.

Berkampung bersama anak-anak Johor selama empat hari lima malam menjadikan semangat penulis sendiri terbina semula. Mengamati mereka mengingatkan kembali zaman menjadi penuntut di Institut pendidikan Guru (dulu dipanggil maktab perguruan). Zaman menjadi mahasiswa di Universiti Malaya dahulu. Zaman indah melepaskan minda untuk dibuka dan diisi dengan ilmu dan maklumat. Ilmu untuk mendewasakan diri. Menjadi profesional secara minda dan psikologinya. Boleh menyelesaikan masalah. Boleh membuat keputusan yang teknikal dan yang profesional. Ilmu menjadikan kita menambah kemahiran berfikir. Jika dahulu fikiran kita hanya sehala, ilmu menjadikan fikiran kita bertimbal balas. Keluar dari kotak. Bukan selari. Bukan hanya vertical tetapi lateral. Berbagai. Mencapah dan bercabang. Bahawa kita dikelilingi dengan hal-hal yang berbagai. Setiap satunya menuntut perhatian. Kita bukan lagi diri kita yang satu. Tetapi sebagai satu unsur yang banyak menyatu.

Namun demikian Ilmu bukan segala-galanya. Manfaatnya berlaku apabila diamalkan. Apabila kita bersama dengan orang lain. Ada usahasama. Ada keperluan yang memerlukan. Ketika berhadapan dengan situasi-situasi tertentu kita terpanggil untuk membuat keputusan. Menyelesaikan masalah. Kadang-kadang situasi tertentu hanya menuntut kita sendiri seorang diri yang menyelesaikannya. Hanya kerana kita memiliki kelayakan akademik yang relevan. Jawatan kita yang relevan. Pengalaman kita yang relevan. Harapan orang di sekeliling kita yang relevan. Semakin banyak masalah yang kita hadapi dan selesaikan maka cepatah kita dewasa dari segi berfikir. Jalan fikir kita semakin menderas. Akhirnya kita bukan lagi menyelesaikan masalah tetapi mencegah masalah. Memikirkan supaya sesuatu yang akan menghalang dan menjadi kekangan terhindar dari sistem kita. Begitu kita memikirkan masa hadapan. Wawasan yang jauh mendahului zaman.

Kerana itu belajarlah. Timba ilmu sebanyak-banyaknya. Terima apa sahaja yang bakal membantu kehidupan kita pada masa hadapan.  Ia pasti bermanfaat. Cuma tidak ada kepastian bila ianya diperlukan. InsyaAllah samai masanya ia berguna. Tidak pernah ilmu itu dianggap sia-sia. Masa yang memerlukan kita berkeupayaan menggunakannya akan datang tiba-tiba tanpa kita rancang. Belajar di IPT banyak mengajar kita tentang mempergunakan sumber yang terhad. Paling besar ialah masa dan kewangan. Andainya kemahiran menggunakan masa dan pengurusan kewangan dapat dilanjutkan hingga sesudah berkerjaya tentulah banyak manfaatnya dalam membina kehidupan berkeluarga. Kehidupan profesional. Kehidupan beribadat.


Semasa muda kesemuanya perlu digarap supaya bekalan yang diperlukan sudah tersedia apabila diperlukan. Jangan lepaskan peluang untuk mengisi masa dengan bermanfaat. Mengisi minda dengan apa sahaja yang bernilai positif. Yang banyak manfaatnya pada masa hadapan. Buat muasabah diri pada hari ini. Jenguk-jenguk masa hadapan yang dijangka datang. Cuma tidak dapat dipastikan bentuk datangnya. Rencanakan masa hadapan sekira-kira termampu untuk melaksanakannya. Asah bakat terpendam yang tidak kita sedari. Buat apa sahaja yang berada di hadapan kita apabila keadaan menuntutnya. Latihan dari yang sekecil-kecilnya hingga yang mencabar besar membantu diri kita menjadi pelaku-pelaku yang hebat pada masa hadapan. Jangan tolak tugas. Jangan abaikan masa. Jangan sia-siakan bakat. Ambil peluang yang datang jika peluang itu menambahkan nilai positif diri. InsyaAllah banyak manfaatnya.


Friday, March 21, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Jauhari Yang Mengenal Manikam




Siapa Jauhari? Apa pula manikam? Jauhari jarang kita gunakan dalam penulisan atau pertuturan. Bahasa lama yang tidak diberi nafas baru. Istilah manikam juga jarang digunakan. Kita kenal intan dan berlian. Mungkin delima dan zamrud. Tetapi kita tidak kenal manikam. Boleh kita andaikan sahaja bahawa semua batu yang berharga tergolong dalam istilah manikam. Nilainya tinggi. Yang memilikinya adalah orang kaya. Perlukan wang yang banyak untuk memilikinya. Dalam menilai batu permata yang berharga selalunya mereka yang pakar menggunakan alat-alat tertentu. Mereka telah mempelajari ciri dan sifat batu. Malah kadang-kadang dengan mata kasar mereka sudah mengetahui nilai sesuatu batu. Sudah tahu intan atau kaca. Mungkin sudah cukup tua. Mungkin masih muda. Mungkin juga palsu. Hanya jauhari yang mengetahui nilai sebenar sebutir batu.

Apabila heboh hilangnya MH370 terlalu ramai mereka yang mendakwa diri mereka sebagai jauhari. Keluarlah berbagai teori yang hanya bersifat spekulasi tanpa apa-apa sandaran dari seorang jauhari. Malah ada yang meneroka alam mistik. Setelah segalanya reda barulah kita menoleh dan mencari siapa sebenarnya jauhari. Perhatikan sifat jauhari yang sarwajagat.

1           Mereka tidak cepat bercakap atau menulis.
2           Semuanya dikaji dengan saksama. Dengan kepala dingin, kata orang Indonesia.
3           Teknologi digunakan dengan proses dan prosedur yang penuh hemah dan sabar. Bersandar kepada izin dan ketentuan Allah.
4           Mereka memerhatikan dahulu keadaan. Sewaktu orang heboh mereka menunduk diri. Sewaktu orang sudah keletihan, barulah mereka menampakkan diri. Memperkatakan sesuatu yang berdasarkan bukti teknologi. Itupun kerana ramai yang bertanya dan meminta pendapatnya. Mereka tidak sesuka hati menampakkan diri. Tidak lebih sudu dari kuah.
5           Mereka yang jauhari bercakap dari pengalaman dan ilmu yang wajar. Mereka tidak berkata-kata atau menulis di luar bidang mereka sendiri.

Banyak bezanya antara jauhari dengan yang bukan. Bukan jauhari suka memberi pendapat di luar bidang mereka. Yang mereka tahu hanya sedikit tetapi dengan yang sedikit itu mereka perkembangkan seolah-olah mereka menjadi pakar. Pada akhirnya tiada apa yang boleh dipegang secara konkrit. Jika benar mungkin secara kebetulan. Bukan kerana hukum yang berkaitan denganya. Jauhari pula mencari ke dalam diri mereka. Jauh ke dalam. Yang dilahirkan ialah yang hak berdasarkan ilmu yang mereka miliki. Bidang yang mereka kuasai. Tidak tergesa-gesa kerana mereka ingin mengesahkan dahulu apa yang mereka hipotesiskan terlebih dahulu. Mereka mencari premis yang selayaknya. Mereka fikirkan variabel yang relevan. Mencari maklumat yang relevan dan terkini. Membuat analisis menggunakan instrumen yang wajar.

Kehilangan MH370 menemukan kita kepada kedua-dua jauhari dan yang bukan. Setelah sekian lama akhirnya kita dapati juga jauhari yang dipercayai orang. Yang tulisannya rasional. Yang ideanya boleh dipercayai. Walaupun tidak kesemuanya benar berkaitan dengan kehilangan MH370 tetapi teorinya berdasarkan kepakaran masing-masing. Bersandarkan kepada pengalaman diri mereka sendiri. Mungkin juga spekulasi tetapi justifikasi teknikal yang mereka persembahkan bukan secara rambang. Bukan serkap jarang. Bukan andaian-andaian kosong tanpa asas. Memang bersesuaian dengan fitrah manusia yang mahu kesemuanya disegerakan. Mahukan jawapan spontan. Dalam sesuatu yang besar impaknya jawapan perlu disaring. Distratakan. Ditimbang sewajarnya. Jawapan dari mereka adalah yang mengandungi kebarangkalian yang paling tinggi. Kemungkinannya tidak menepati 100%. Namun asasnya ada. Ada sandaran yang dapat dilihat.

Dalam dunia siber sesiapa sahaja boleh menulis. Sesiapa sahaja boleh bercakap. Akhirnya kita dapat mengenal antara yang jauhari dengan yang bukan. Orang mula meninggalkan mereka yang bukan jauhari apabila ramai sebenarnya jauhari di sekeliling kita. Mereka muncul seorang demi seorang. Ada dari kalangan kita sendiri. Orang tempatan. Mereka yang pakar dalam negara. Ada ramai lagi yang pakar di luar sana. Dari negara luar. Sesungguhnya kehilangan sebuah pesawat yang besar menjadi tarikan minat yang besar di kalangan pakarnya. Di rumah dan di pejabat komputer direnung. Perkiraaan dibuat. Formula dirumus. Satelit dikait. Dari situ mereka membuat rumusan. Kesemuanya teknikal. Bukan agak-agak. Bukan jangkaan-jangkaan kosong.

Apabila jawapan kepada kehilangan MH370 dipaparkan kepada kita nanti pastinya perkiraan jauhari-jauhari inilah yang lebih berpadanan. Lebih selari. Lebih dekat dengan jawapan yang sebenar. Sekiranya ada usaha untuk fabricate jawapannya, masih ramai lagi jauhari yang akan memberikan jawapan yang lebih boleh dipercayai. Tidak ada jawapan teknikal yang boleh dicover-up. Orang yang jauhari menanti dengan penuh sabar. Mereka mengetahui jawapannya. Jika yang dikatakan benar mereka akur menerimanya. Jika tidak mereka akan keluarkan jawapan lain yang lebih menepati. Maknanya jauhari ini menanti apa sahaja perkembangan dengan penuh kesabaran. Di samping itu mereka bukan duduk diam. Ada yang mereka lakukan tanpa kita ketahui.

Jadilah jauhari yang menunduk padi. Isi ilmunya memberat. Banyak isi dan tidak menghampakan. Selalu memberi yang positif. Bukan cakap-cakap kosong. Tidak bergendang kuat kerana tiada natijah yang dapat dipersembahkan. Alhamdulillah ramai jahuari yang masih boleh diharap. Kekal sebagai jauhari. Bersama mereka hati kita lebih tenang. Kehadiran mereka mendamaikan dan bukan mencemaskan. Ulasan-ulasan dari mereka yang jauhari menyejukkan hati. Mereka profesional. Hati mereka lebih kepada yang positif. Optimis dalam banyak hal. Selalu bersangka baik. Mereka memberikan ulasan profesional dan teknikal. Sifat itu yang belum kita miliki. Banyak kenyataan dan ulasan orang kita sangat menakutkan. Kadang-kadang memalukan. Kadang-kadang media kita terbawa-bawa ke arah yang tidak selar dengan etika penyiaran.


Hilangnya MH370 adalah krisis negara. Mungkin tragedi negara. Ia bukan milik siapa-siapa. Ia milik semua rakyat Malaysia tanpa mengira ideologi politik. Kita patut berhenti suka menuding jari. Cari jawapan yang hak bukan yang condong untuk mencari salah. Malang! Orang di negara lain lebih perihatin. Lebih mengambilberat seolah-olah pesawat itu adalah milik mereka. Sesungguhnya banyak negara yang menjadikan peristiwa ini sebagai dekat dengan hati mereka. Mungkin nilai kemanusiaan pada diri mereka lebih tinggi. Penulis berharap selepas peristiwa MH370 orang kita lebih terbuka. Lebih profesional dalam banyak hal. Krisis negara bukan krisis peribadi. Tidak boleh dihakmilikkan untuk mana-mana peribadi atau kumpulan. Cukuplah kita terluka dan berduka. Jangan ditambah duka itu lagi.

Thursday, March 20, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Nabi Yusof, Fayoum Dan Kemajuan Pertaniannya

Ladang bawang yang luas. Isinya dalam makanan. Daunya untuk sayur. Setiap masa ada di pasar. Harganya pula murah.  


Fayoum jarang kita dengar namanya. Namun begitu nama Nabi Yusof sangat dekat dengan kita. Kembaranya yang menyayat hati dari sebuah perigi buta di bumi Sam (Jordan) hingga ke Mesir. Kisahnya digilai Zulaikha, ibu angkatnya sendiri juga memberikan banyak iktibar. Melalui kisah Nabi Yusof kita dibawa ke Mesir lama yang pemerintahnya tidak zalim seperti Firaun. Bahkan rajanya perihatin terhadap penderitaan rakyatnya. Mimpi raja tentang lembu kurus menelan lembu gemuk diterjemahkan oleh Nabi Yusof sebagai ancaman yang bakal datang ke Mesir. Kemarau selama tujuh tahun akan melanda Mesir selepas zaman mewah selama tujuh tahun sebelumnya.  Nabi Yusof dilantik sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap kesejahteraan Mesir dalam menghadapi bencana yang bakal menimpa Mesir. Mengurus pertanian dan khazanah negara yang berupa bekalan makanan.

Setelah mendapat perintah raja Mesir, Nabi Yusof memulakan kerja-kerja merangka pelan tindakan untuk menyelamatkan Mesir tujuh tahun dari tarikh tersebut. Allah mewahyukan kepada Nabi Yusof supaya membangunkan Fayoum lengkap dengan bandar pentadbiran, kawasan pertanian, sistem taliair, tempat simpanan makanan dan sistem kehidupan yang melaksanakan industri pertanian selengkapnya. Ketika itu dan hingga sekarang Fayoum kekal sebagai nadi pertanian negara Mesir. Di sini masih kekal dengan gandum, jagung, anggur, zaitun, mangga, bawang, kentang dan sayuran-sayuran lainnya. Termasuk juga perternakan dan perikanan. Semasa lawatan penulis,  kawasan ini dilihat sangat luas. Beribu-ribu hektar luasnya. Sedang menghijau segala yang ditanam. Kawasan luas kita-kira tiga jam perjalanan dari Kaherah ini mewah dengan sumber pertaniannya.

Padang pasir yang luas apabila diairi menjadi kawasan pertanian yang sangat subur. Allah memberi kebijaksanaan kepada Nabi Yusof untuk membina kincir air yang dapat dialirkan ke kawsan-kawasan pertanian. Bekalan air yan tidak pernah terputus itu melestarikan bekalan makanan yang juga tidak putus-putus. Gambaran mukjizat yang kekal hingga ke hari ini. Di sinilah kincir air yang paling awal dibina manusia. Air menyuburkan pertanian. Mengenyangkan keperluan perut dan kesihatan. Menyelamatkan bumi Mesir dari ancaman kebuluran dengan izin Allah. Pengajarannya sangat besar. Manusia tidak boleh lari dari pertanian yang berkaitan dengannya. Sumber alam semulajadi yang Allah bekalkan kepada manusia. Bagaimana manusia dididik supaya banyak berusaha. Banyak berfikir. Banyak mengharap rahmat Allah. Mensyukuri nikmatnya. Mensyukuri perlindungannya.

Bahawa jika sesebuah negara itu ingin maju dan terus maju maka sektor pertaniannya hendaklah dibela. Dimajukan. Diberi perhatian yang melebihi kewajaran. Darinya makanan dan sumber kekuatan sesebuah negara. Majulah sehebat mana sekalipun tetapi bidang pertanian tidak boleh diabaikan. Semua negara maju tidak mengabaikan pertanian walaupun kemajuan negara mereka hingga ke angkasa atau ke dasar laut atau ke dalam bumi. Perindustrian perkilangan adalah suatu cabang lain yang berdasarkan teknologi pembuatan. Pertanian juga perlukan teknologi tetapi dasarnya jelas. Memenuhi keperluan fizikal yang tidak ada komprominya. Fayoum memberikan gambaran jelas tentang perlunya membanyakkan sumber makanan. Sama ada untuk keperluan cukup makanan atau untuk eksport atau memenuhi keperluan negara dari segi perhubungan antarabangsa.

Suatu pengajaran besar yang sangat nyata ialah bekalan makanan untuk sesebuah negara perlu mencukupi untuk selama tujuh tahun. Petunjuk jelas ini tidak dipatuhi oleh negara-negara Islam. Rasanya tidak ada negara Islam yang sumber makanannya mencukupi. Hampir kesemuanya diimport. Negara Islam yang makanan ruji rakyatnya adalah beras mengimport beras dari negara bukan Islam. Negara Islam yang makanan ruji rakyatnya adalah gandum mengimport gandum dari negara maju di Barat dan Amerika. Kita dalam bahaya tetapi tiada siapa yang peduli. Sumber pertanian di negara Islam tidak dimanfaatkan untuk mempercukup bekalan dan sumber makanan untuk rakyat. Stok penimbal terlalu sedikit. Itupun tidak diberi perhatian yang serius. Kita mengambil ringan bahawa makanan boleh diimport. Makanan boleh dibeli.


Nabi Yusof telah mengasaskan pertanian yang masih bergungsi hingga ke hari ini. Kita telah maju dengan teknologi pertanian. Malangnya di negara Islam seperti negara kita kawasan pertanian semakin sempit. Semakin kurang. Semakin dibiarkan. Semakin kita biarkan untuk diisi dengan bangunan. Dengan kilang. Kawasan-kawsan baru tidak dibuka. Perancangan besar dan global tidak direncanakan. Hal-hal yang menakutkan sepatutnya mendasari hati kita. Kenapa tidak mencukupkan sumber makanan yang diperlukan. Kenapa tanah yang subur tidak dibangunkan. Kenapa teknologi tidak disemarakkan. Kita perlu maju ke hadapan tetapi dengan membawa agenda lama yang dibangunkan  teknologinya. Kita perlu makan maka sumber makanan perlu diperbanyakkan. Terus banyak dan semakin banyak. 


Di sebatang jalan di Kaherah. Perhatikan van di kanan gambar. Kebanyakan kenderaan kemik di sana sini. Dianggap biasa kepada mereka.

Masih di Kaherah


Sudah berada di kawasan Fayoum


Jalan menuju ke Fayoum

Jalan yang melalui sebuah kampung




Tasik Qarun. Seluruh harta benda Qarun Allah tenggelamkan sehingga kawasan ini menjadi tasik yang luas. Ada tasik lain yang berhampiran. Juga sebahagian dari Tasik Qarun. Keseombongan dan kengkuhan yang tiada manfaatnya. Segala-galanya milik Allah. Kesemuanya kembali kepadaNya. Kembali ke tanah. Tempat asal manusia.

Gandum sedang menghijau. Ditanam semasa musim sejuk. Sejuk mata memandang. Tanpa air kawasan ini adalah padang pasir. Teringat Malaysia dengan padinya. Seperti melalui jelapang padi di Kedah.

Sebuah bangunan yang mengesahkan ami berada di Fayoum

Kawasan pertanian yang menghijau

Laluan di tepi Tasik Qarun

Sebuah masjid di kejauhan. Nampak syahdu.



Bawang di celah-celah pokok zaitun


Bingkisan Dari Kaherah: Kincir Yang Menghidupkan Sebuah Bangsa


Banyak kincir air sepertinya pada zamannya. Di serata tempat di seluruh Fayoum. Teknologi telah mengubah peranannya. Sekaran kincir yang ribuan tahun usianya ini menjadi bahan sejarah. Diperbaiki dan disenggara dari masa ke semasa. Dikekalkan sebagai bukti bahawa al-Quran adalah benar.


70% bumi adalah air atau cecair. Semua yang bernyawa mengandungi 70% air. Maka air adalah sumber kehidupan yang utama. Barulah kita cerita mengenai tanah, api dan udara. Campuran sempurna keempat-empatnya membentuk fizikal insan dan bumi. Air mengawal kehidupan yang diharmonikan dengan pepejal fizikal, kehangatan dan udara untuk pernafasan terutamanya. Allah jadikan bumi kaya dengan tumbuh-tumbuhan. Bersamanya didatangkan haiwan di darat, unggas di udara dan hidupan air di laut. Kesemuanya menjadi manfaat kepada manusia dengan izin Allah. Ada yang memudaratkan. Tetapi kebanyakannya memberi manfaat. Sejak dari dahulu lagi manusia sudah berjinak-jinak dengan pertanian sebagai sumber makanan yang berpanjangan. Makanan ruji terutamanya. Mungkin gandum yang diproses menjadi tepung. Diolah menjadi kuih atau roti atau apa sahaja makanan kegemaran. Di Asia pula makanan rujinya nasi dari beras dan dari padi.

Pertanian dan air adalah gandingan sinonim. Di Mesir kawasan di sepanjang sungai Nil adalah kawasan pertanian yang subur. Di Fayoum yang terletak di selatan Kaherah adalah antara kawasan yang subur dari segi pertaniannya. Nabi Yusof menggerakkan usaha menjadikan pertanian sebagai keutamaan. Darinya datang bekalan makanan. Di Fayoum terlihat begitu luas kawasan pertanian yang menghidupkan berbagai hasil pertanian. Ada gandum, anggur, mangga, bawang, herba dan berbagai lagi sayur-sayuran. Padang pasir adalah kawasan yang kering dan kosong. Hujan di Mesir bukan seprti kita di Malaysia. Pada kebanyakan masa hujan hanyalah rintikan air yang turun setitik demi setitik. Gerimis kecil dan hanya sebentar. Mendungnya lama. Gelap langit. Namun hujannya sangat sedikit. Sangat mengujakan apabila turun hujan lebat.

Begitulah hujan yang dianggap rahmat. Ada air turun dari langit. Dari atas. Membasahi apa sahaja yang ditimpanya. Walaupun sebentar dan sedikit tetapi impaknya pada hati sangat mendalam. Orang di sini berdoa sepanjang-panjang hujan turun. Rahmat Allah diterima dengan doa kesyukuran. Berdoa sekehendak hati. Mudah-mudahan rahmat yang turun disambut dengan doa yang dipanjatkan ke hadrat Ilahi. Ada sesuatu yang unik di Mesir umpamanya. Hujan tidak lebat. Tetapi bekalan air tidak pernah terputus seperti kita di Malaysia. Alhamdulillah Allah membekalkan air yang tidak pernah putus. Sungai Nil sentiasa mengalir airnya sepanjang zaman.

Di Fayoum Nabi Yusof membina kincir air yang masih dapat dilihat hingga kini. Sesudah ribuan tahun masih ada buktinya seperti yang tersebut di dalam al-Quran. Usaha pertanian diteruskan dari generasi ke generasi berikutnya tanpa putus. Hasil pertanian di Mesir murah pula harganya. Semua rakyatnya boleh membelinya. Seikat daun bawang seberat hampit sekilo hanya RM1. Oren yang masak dan manis hanya RM1.50 sekilogram.  Di Malaysia sebiji RM1.50. Di sini hanya RM0.25 sahaja. Keladi RM1, keledek RM1.25, cabai RM1.25 sekilogram. Bunga kobis RM3.50 sebiji yang saiznya lebih besar dari kepala manusia. Pertanian dan pertanian. Terasa kuasa beli sangat tinggi sewaktu berada di bumi anbia ini. Pesara seperti penulis rasa segar berada di Mesir.

Kincir air dan Fayoum sangat harmoni. Air dari sungai dan taliair dialirkan ke kawasan pertanian. Kincir yang digerakkan oleh arus air sentiasa bergerak selama 24 jam sehari, tujuh hari semingu. Setiap detik ianya berpusing.  Menceduk air, menuangnya ke dalam tadahan lalu mengalir ke kawsan yang ada usaha bercuck tanam. Ada sistem yang mengawal air supaya sentiasa mencukupi keperluan sahaja. Tidak lebih dan tidak kurang. Ada takungan air atau petak-petak yang diguakan untuk mengawal aliran air. Sesuatu yang unik dan terancang. Nabi Yusof Allah anugerahkan sebagai jurutera pertanian, jurutera air, menteri pertanian, menteri kewangan dan berbagai lagi yang perlu untuk menggerakan usaha-usaha pertanian.

Pertanian bukan sesuatu yang remeh. Bukan sesuatu yang hina. Ia nadi kehidupan manusia. Nadi kehidupan sesebuah negara. Negara yang kaya dari segi pertanian lazimnya rasa lebih selamat apabila berlaku hal-hal yang menggugat negara. Rakyatnya cukup makan. Cukup tenaga untuk berhadapan dengan berbagai cabaran hidup dan cabaran keselamatan negara. Malang rasanya apabila bandar Alor Setar membesar maka sawah padi menjadi mangsa. Di atas sawah terbina pula rumah mewah, kilang besar dan kecil, rumah kedai dan sebagainya. Senerio yang sama berlaku di Melaka, di Selangor, Negeri Sembilan dan Perak. Penduduk semakin ramai tetapi sumber makanan semakin dikecilkan. Perhatian lebih kepada quick cash dan bukan sustanaible food supply.

Fayoum adalah sejarah besar umat Islam msejak dahulu kala. Industri pertanian sepatutnya lebih maju setelah belakunya Revolusi Pertanian dan Revolusi Perindustrian. Hakikatnya tidak begitu. Manfaat dari kedua-dua revolusi tersebut tidak diambil oleh orang Islam. Kerana itu kita terus menerus bergantung kepada musuh-musuh Islam untuk membekalkan makanan kepada orang Islam. Sehinggalah ada pemimpin yang tersedar dari lenanya. Pertanian akan disegarkan nilainya suatu hari nanti. Tetapi jangan terlalu lama. Umat sentiasa menanti dengan mulut ternganga dan perut yang kelaparan.
Berlatarbelakangkan sejarah Nabi Yusof. Kincir itu besar dan agung manfaatnya kepada rakyat Mesir. Melihat tinggalan sejarah sebegitu memberi keinsafan betapa besarnya usaha Nabi Yusof menyelamatkan Mesir dari kemarau. Tentunya dengan bimbingan Allah dan dengan izinNya.

Disinilah gunanya trigonometri dalam kalkulus. Dulu di sekolah belajar tentang tangen, sain dan kosain. Takungan air akan mula tumpah apabila tangennya mendekati sifar. Air itu mengalir melalui peparit yang dibina antara kincir. Mengalir masuk ke takungan air yang dibina berhampiran. Dari situ dialirkan ke kawasan pertanian yang memerlukan air.


\
Kereta kuda yang cantik masih mengiasi Fayoum. Sebagai tarikan pelancong. Sayang tidak punya masa untuk mencubanya.




Masih banyak yang dapat kami kongsikan bersama.




Di Bandar Fayoum



Sebatang jalanraya arah ke Kaherah. Kami dalam perjalanan pulang. Selamat tinggal Fayoum.


Wednesday, March 19, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Melapangkan Masa Tua



Bila sebenarnya kita merasa tua? Lazimnya apabila kita melepasi usia bersara. Sebelum bersara orang mengatakan kita masih muda. Maksudnya belum bersara. Itu sahaja. Sesudah bersara ada pula pantang larangnya. Jangan dipanggil tua. Ada yang melenting dan melatah. Dalam hati masih terasa muda. Semangat masih membara. Kudrat masih banyak. Begitulah tua dan muda sebenarnya hanya spektrum masa. Antara dua ekstrim yang berbeza. Bergantung di mana kita berada. Di mana pula kita ingin berada. Kita boleh jadi tua dan pada masa yang sama menjadi muda. Tiada siapa yang boleh menafikan bahawa usia kita memang sudah dalam lingkungan dikatakan tua. Erti tua itu sendiri yang selalu menjadi mainan minda.

Pada usia 60 tahun masih ramai antara pesara yang kelihatan lebih muda dari usianya. Tentu ada sesuatu yang menjadi petunjuk antara tua dan muda. Kita ambil suatu analogi. Rumah lama yang diperbaiki dan kemudiannya dicat selayaknya tentu kelihatan baru, segar, ceria dan menarik pandangan. Begitulah manusia. Banyak yang perlu disesuaikan dengan usia. Elok juga penulis kongsikan beberapa pandauan umum. Bukan semestinya sesuai. Lihat pada hati dan perasaan. Ukur pula kepada kemahuan diri.

Pakaian adalah lapis luar tubuh badan. Warna, saiz dan masa pemakaiannya menentukan apa akan jadi kepada orang yang memakainya. Warna yang agak cerah sedikit menampakkan perawakan yang agak lebih muda. Pakaian yang kemas dan rapi menunjukkan orangnya ranggi. Kebersihan dan padanan warna memperlihatkan gaya yang santai dan masih mendebarkan. Diharmonikan pula dengan kekemasan diri, pembawaan diri  dan laku yang terkawal semasa berhadapan dengan orang ramai. Pandai mengawal penampilan diri. Usia memang tua tetapi apabila dirinya dibawa dengan baik kelihatan tokoh yang masih boleh dibawa ke tengah dan ke tepi. Masih ramai yang tidak canggung untuk bersama. Boleh lagi didampingi oleh yang muda.

Hati, psikologi dan perasaan adalah antara unsur diri yang perlu dipelihara kesejahteraanya. Dibangunkan kesegarannya. Berfikir secara positif. Memperlihatkan tenaga yang gagah. Stamina yang berpanjangan. Dijaga kesihatan supaya nampak memang bertenaga. Apabila hati kita cenderung menjadi tua maka secara automatik kita menjadi tua. Hilang seri. Hilang keceriaan. Sifat keanak-anakannya terus lenyap kesemua sekali. Yang tinggal hanya kerangka yang layu. Lesu menanggung perasaan. Tidak ada maya. Tidak ada kesegaran. Kesemuanya kerana hati yang meruntun tidak mahu. Ramai orang yang usianya tua masih sibuk dengan sukan. Sibuk berpersatuan. Sibuk dengan aktiviti fizikal dan lasak. Ketawanya masih banyak didengar. Senyumnya terus menawan. Raut wajahnya terus bercahaya dan ceria. Sesiapa yang melihatnya terkena kimia mesranya.

Tua atau muda datang dari hati. Tenaga juga datang dari hati. Apabila kita jana tenaga dari dalam maka akan keluar keindahan pada raut wajah. Ringankan tubuh badan untuk bergerak. Berjalan dengan meringankan diri. Jangan diberatkan langkah hingga kelihatan terlalu susah membawa diri. Tubuh yang sebenarnya berat sekalipun jika diringankan cara bergerak akan kelihatan ringan. Dunia ini bukan tempat orang yang susah hatinya. Siapa yang tidak susah tetapi kesusahan itu bukan untuk dipamerkan kepada orang lain. Bukan untuk dikongsi. Jauh sekali untuk dipindahkan kepada orang di sekeliling kita. Kita tanggung susah kita sendiri. Santaikah diri supaya susah di hati terhapus sendiri.

Adalah wajar agar kita banyak aktiviti. Masa selama 24 jam jangan benarkan untuk hanya bermenung. Bukan untuk berehat panjang. Bukan untuk banyak tidur. Jika dimanfaatkan tentu tidak banyak masa lapang yang tidak berguna. Bagi yang aktif dengan persatuan tentu banyak yang boleh dibuat. Selain dari bermesyuarat kita ada aktiviti berfikir. Apa aktiviti yang perlu dijalankan oleh persatuan. Membuat lawatan. Membuat kertaskerja. Meninjau pendapat orang lain. Bertemu orang yang berlainan. Berada di tempat yang berlainan. Melakukan aktiviti yang rutin dan yang berkala. Kesemuanya ini menghindar dari sesak nafas kerana tua. Terelak dari tersisih kerana tua. Terbiar kerana tua.

Tiada siapa yang inginkan yang tua. Kita yang tua hendaklah keluar dari kotak pemikiran tua. Biarlah tua kita dilihat dari idea yang bernas. Siri idea yang  tidak pernah putus. Berkongsi pengalaman lalu. Turunkan ilmu yang ada kepada orang lain yang memerlukan. Kita tawarkan diri untuk dimanfaatkan oleh orang lain. Memanglah kadang-kadang seronok menjadi tua sendiri-sendirian. Tiada siapa yang mengganggu. Tetapi itu hanya untuk beberapa ketika sahaja. Hidup kita sebagai insan sosial perlukan ramai teman sosial untuk berbicara, berkongsi fikiran, membina manfaat sosial. Mungkin ada orang yang terus lari ke masjid dan surau. Elok juga. Tiada salahnya. Masa yang berbaki untuk menebus masa lalu yang banyak hilangnya. Namun begitu seorang profesiaonal tidak boleh terus mati ketika tuanya. Mati berfikir. Terus berhenti berfikir.

Banyak yang perlu disumbangkan kepada kejiranan kita. Masyarakat di sekeliling kita. Membuka laman baru untuk dikongsi bersama. Tidak ramai mereka yang bersara terlibat dengan menulis. Bayangkan banyaknya pengalaman peribadi yang terbuang. Biografi yang tersia-sia. Autobiografi yang jarang terungkap. Perkongsian yang tidak menjadi. Perpindahan pengalaman yang selalu tertangguh. Selalu kita dengar ungkapan negatif, ‘Aku dah tua!’ Jika itu yang dizikirkan memang kita terus tua dan hilang manfaatnya. Duduk pula di ceruk dan sudut. Bersama dengan orang yang tua-tua sahaja. Sayang! Ke mana hendak ditumpahkan kuah jika tidak ke nasi. Kepada mereka yang lebih muda. Yang memerlukan bimbingan. Memerlukan pandangan dan nasihat. Memerlukan ada yang mengawasi perjalanan mereka yang sepatutnya benar.


Untuk menjadi tua terlalu mudah. Usia kita adalah kriteria yang paling utama. Memberi erti kepada tua itu yang selalu dilepas  pandang. Bahawa kita hanya tua dari segi usia. Manfaat diri tiada batas usia. Semakin tua semakin banyak manfaatnya. Cuma yang perlu disedari kita perlu membuang miang keladi yang mungkin ada pada diri. Terkawal. Terlindung. Menjadi teladan dan sempadan. InsyaAllah tua bukan sebarang tua. Tua yang banyak tersusun manfaatnya. Tua yang banyak silau kemilau manfaatnya.