Monday, March 24, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Bukan Kaya Seperti Qarun



Yang miskin dan papa selalu berdoa supaya menjadi kaya. Yang kaya terus berdoa supaya menjadi bertambah kaya. Jika boleh superkaya. Sejarah manusia terlalu panjang untuk memaparkan nilai kaya. Nilai kemewahan. Nilai hidup dalam serba kelebihan. Miskin dan fakir dipandang hina. Yang kaya selalu dipuja. Cerita ini cerita lama. Plotnya sama. Natijahnya sama. Kita menilai dunia dan bukan akhiratnya. Beruntung mereka yang dunianya bernilai akhirat. Tentulah malang bagi mereka yang akbiratnya ditukar menjadi dunia. Kisah Qarun sangat diketahui oleh orang Islam. Ceritanya kekal selagi ada al-Quran. Selagi al-Quran dibaca dan ditadabbur. Difahami maknanya. Diambil iktibarnya. Cerita unik ini hanya terdapat dalam al-Quran. Dikatakan cerita yang sama tidak terdapat dalam Zabur atau Taurah atau Injil. Ada sesuatu yang dikatakan memalukan. Qarun adalah keturunan Bani Israel. Cerita Qarun mungkin tidak baik untuk kaum Bani Israel. Oleh kerana al-Quran dalam Bahasa Arab  kita bebas menikmati ceritanya. Sekiranya ada dalam kitab-kitab yang lain ceritanya mungkin telah dbuang. Orang Yahudi pakar dalam hal mengubah kitab. Mana-mana bahagian yang tidak memihak kepada mereka kesemuanya dibuang dari mana-mana kitab yang mereka pegang. Hanya al-Quran sahaja yang tidak dapat mereka ganggu gugat. Hatta hingga hari kiamat.

Cerita mengenai kaya sangat menggerunkan.  Rasanya hanya orang-orang seperti Abdul Rahman bin Auf sahaja yang kekayaannya untuk dimanfaatkan agama Islam. Orangnya warak. Pemurah. Banyak hartanya diinfaqkan kepada maslahah Islam dan umatnya. Rasulallah menjamin bahawa Abdul Rahman bin Auf antara 10 orang sahabat yang dijamin masuk ke syurga. Qarun pula adalah seorang yang alim. Seorang abid. Sepupu kepada Nabi Musa. Dia memohon supaya Nabi Musa mendoakannya menjadi kaya raya.  Keinginannya tidak boleh dihalang. Sangat berhajat menjadi kaya. Allah makbulkan doa Nabi Musa. Kayalah Qarun. Semakin hari semakin melimah ruah harta bendanya. Pada kemuncaknya dikatakan bahawa anak kunci gedungnya dibawa oleh 600 skor unta. 600 ekor unta. Zaman Nabi Musa. Berapa nilai hartanya sekarang. Nilai semasa Ringgit Malaysia. Tiada manusa lain yang menyaingi kekayaan Qarun pada zamannya.

Kaya membawa kepada tragik komidi. Berakhir dengan kehampaan. Kerugian. Menzalimi diri sendiri. Jalannya tidak lurus. Yang dipilih jalan ke jahanam. Apabila harta semakin banyak semakin lekalah Qarun dengan hartanya. Mungkin lebih banyak membelek-belek. Mengira wang yang tidak pernah habis-habis. Begitulah, semakin bertambah harta semakin kurang masa untuk beribadat. Semakin pula hati menjadi keras membatu. Sampailah ketikanya Allah mewajibkan zakat harta. Kedatangan Nabi Musa ditolak oleh Qarun. Pada anggapannya kesemua hartanya adalah hasil usahanya sendiri. Bukan datang dari Allah. Kerana itu perintah Allah supaya manusia menunaikan zakat dibantah oleh Qarun. Pujukan dan nasihat Nabi Musa tidak dapat melembutkan hati Qarun. Malah ancaman azab juga tidak dapat mencairkan hatinya.

Ada riwayat yang mengatakan bahawa selepas peristiwa itu Qarun merancangkan suatu fitnah besar terhadap Nabi Musa. Dia mengupah seorang pelacur untuk mencemarkan Nabi Musa. (Cerita fitnah yang serupa dengannya masih berlaku hingga ke hari ini). Allah Maha Besar. Pelacur itu menceritakan hal yang sebenar bahawa ia diupah oleh Qarun. Oleh kerana aib yang tersangat-sangat Qarun mencabar Nabi Musa supaya beradu sumpah. Siapa yang sumpahnya menjadi maka dialah yang menang. Qarun menyumpah Nabi Musa supaya mati. Sumpahnya tidak diperkenankan Allah. Sampailah giliran Nabi Musa. Disumpahnya supaya Qarun ditelan bumi bersama kesemua harta benda miliknya. Kun fayakun. Terjadilah apa yang tidak disangka Qarun. Dia dan semua hartanya ditelan bumi. Oleh kerana hartanya melaut luasnya maka terjadilah tasik yang luas meliputi kawasan yang menenggelamkan harta bendanya itu.

Kisah-kisah dalam al-Quran bukan sekadar cerita. Allah tinggalkan bukti nyata supaya kita mengimani cerita-cerita tersebut sebagai menginsafi diri. Tasik Qarun yang luas mungkin tidak dapat dihubungkaitkan oleh generasi sekarang. Tidak dilihat sebagai bukti nyata. Istana Qarun yang masih Allah tinggalkan sedikit boleh menjadi bukti nyata bahawa kisah itu benar berlaku. Begitu juga kisah seperti Firaun, kincir Nabi Yusof, bulan terbelah dan banyak lagi. Peristiwa yang berlaku ribuan tahun sebelum kelahiran Nabi Muhammad diceritakan dalam al-Quran juga ribuan tahun dahulu. Bukti fizikalnya masih ada untuk tatapan orang sekarang. Orang kemudian.  


Sayang. Kaya dan harta membawa kepada kekufuran. Menjadikan seseorang itu angkuh. Lupa kepada Yang Khaliq. Yang mengizinkan harta itu dipinjamkan kepadanya. Hanya landasan agama sahaja menjadikan harta bermanfaat. Kaya iman dengan menginfaqkan hartanya seperti Abu bakar. Tiada satupun yang menjadi kepentingan diri. Semuanya untuk maslahah umum. Untuk orang ramai. Untuk agama. Untuk Islam. Alangkah baiknya jika ramai umat Islam yang kaya harta. Pada masa yang sama kaya iman.  

Jalan kampung menuju tinggalan istana Qarun

Sunyi sedikit jalan ni. Seperti berkabus pula. Seperti cerita seram.

Perkampungan berhampiran tinggalan istana Qarun

Pasu bakar seperti yang banyak dilihat di Jalan Kuala Kangsar, Ipoh. 

Tinggalan istana Qarun dari arah belakang.

Tidak ada apa-apa yang unik mengenainya


Dari hadapan nampak besar. Dikatakan ini adalah tingkat ke-enam. Lima tingkat lagi ditelan bumi. Laman bahagian bersama dusun dan ladang Qarun tenggelam  menjadi tasik yang besar. Air sebagai makhluk Allah menghapuskan sebuah keangkuhan

Pintu masuk

Dari sisi

Bahagian dalam

Sudut yang sama

Di bahagian atas yang sudah mula rosak

Lagi bahagian dalam

No comments:

Post a Comment