Thursday, March 20, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Nabi Yusof, Fayoum Dan Kemajuan Pertaniannya

Ladang bawang yang luas. Isinya dalam makanan. Daunya untuk sayur. Setiap masa ada di pasar. Harganya pula murah.  


Fayoum jarang kita dengar namanya. Namun begitu nama Nabi Yusof sangat dekat dengan kita. Kembaranya yang menyayat hati dari sebuah perigi buta di bumi Sam (Jordan) hingga ke Mesir. Kisahnya digilai Zulaikha, ibu angkatnya sendiri juga memberikan banyak iktibar. Melalui kisah Nabi Yusof kita dibawa ke Mesir lama yang pemerintahnya tidak zalim seperti Firaun. Bahkan rajanya perihatin terhadap penderitaan rakyatnya. Mimpi raja tentang lembu kurus menelan lembu gemuk diterjemahkan oleh Nabi Yusof sebagai ancaman yang bakal datang ke Mesir. Kemarau selama tujuh tahun akan melanda Mesir selepas zaman mewah selama tujuh tahun sebelumnya.  Nabi Yusof dilantik sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap kesejahteraan Mesir dalam menghadapi bencana yang bakal menimpa Mesir. Mengurus pertanian dan khazanah negara yang berupa bekalan makanan.

Setelah mendapat perintah raja Mesir, Nabi Yusof memulakan kerja-kerja merangka pelan tindakan untuk menyelamatkan Mesir tujuh tahun dari tarikh tersebut. Allah mewahyukan kepada Nabi Yusof supaya membangunkan Fayoum lengkap dengan bandar pentadbiran, kawasan pertanian, sistem taliair, tempat simpanan makanan dan sistem kehidupan yang melaksanakan industri pertanian selengkapnya. Ketika itu dan hingga sekarang Fayoum kekal sebagai nadi pertanian negara Mesir. Di sini masih kekal dengan gandum, jagung, anggur, zaitun, mangga, bawang, kentang dan sayuran-sayuran lainnya. Termasuk juga perternakan dan perikanan. Semasa lawatan penulis,  kawasan ini dilihat sangat luas. Beribu-ribu hektar luasnya. Sedang menghijau segala yang ditanam. Kawasan luas kita-kira tiga jam perjalanan dari Kaherah ini mewah dengan sumber pertaniannya.

Padang pasir yang luas apabila diairi menjadi kawasan pertanian yang sangat subur. Allah memberi kebijaksanaan kepada Nabi Yusof untuk membina kincir air yang dapat dialirkan ke kawsan-kawasan pertanian. Bekalan air yan tidak pernah terputus itu melestarikan bekalan makanan yang juga tidak putus-putus. Gambaran mukjizat yang kekal hingga ke hari ini. Di sinilah kincir air yang paling awal dibina manusia. Air menyuburkan pertanian. Mengenyangkan keperluan perut dan kesihatan. Menyelamatkan bumi Mesir dari ancaman kebuluran dengan izin Allah. Pengajarannya sangat besar. Manusia tidak boleh lari dari pertanian yang berkaitan dengannya. Sumber alam semulajadi yang Allah bekalkan kepada manusia. Bagaimana manusia dididik supaya banyak berusaha. Banyak berfikir. Banyak mengharap rahmat Allah. Mensyukuri nikmatnya. Mensyukuri perlindungannya.

Bahawa jika sesebuah negara itu ingin maju dan terus maju maka sektor pertaniannya hendaklah dibela. Dimajukan. Diberi perhatian yang melebihi kewajaran. Darinya makanan dan sumber kekuatan sesebuah negara. Majulah sehebat mana sekalipun tetapi bidang pertanian tidak boleh diabaikan. Semua negara maju tidak mengabaikan pertanian walaupun kemajuan negara mereka hingga ke angkasa atau ke dasar laut atau ke dalam bumi. Perindustrian perkilangan adalah suatu cabang lain yang berdasarkan teknologi pembuatan. Pertanian juga perlukan teknologi tetapi dasarnya jelas. Memenuhi keperluan fizikal yang tidak ada komprominya. Fayoum memberikan gambaran jelas tentang perlunya membanyakkan sumber makanan. Sama ada untuk keperluan cukup makanan atau untuk eksport atau memenuhi keperluan negara dari segi perhubungan antarabangsa.

Suatu pengajaran besar yang sangat nyata ialah bekalan makanan untuk sesebuah negara perlu mencukupi untuk selama tujuh tahun. Petunjuk jelas ini tidak dipatuhi oleh negara-negara Islam. Rasanya tidak ada negara Islam yang sumber makanannya mencukupi. Hampir kesemuanya diimport. Negara Islam yang makanan ruji rakyatnya adalah beras mengimport beras dari negara bukan Islam. Negara Islam yang makanan ruji rakyatnya adalah gandum mengimport gandum dari negara maju di Barat dan Amerika. Kita dalam bahaya tetapi tiada siapa yang peduli. Sumber pertanian di negara Islam tidak dimanfaatkan untuk mempercukup bekalan dan sumber makanan untuk rakyat. Stok penimbal terlalu sedikit. Itupun tidak diberi perhatian yang serius. Kita mengambil ringan bahawa makanan boleh diimport. Makanan boleh dibeli.


Nabi Yusof telah mengasaskan pertanian yang masih bergungsi hingga ke hari ini. Kita telah maju dengan teknologi pertanian. Malangnya di negara Islam seperti negara kita kawasan pertanian semakin sempit. Semakin kurang. Semakin dibiarkan. Semakin kita biarkan untuk diisi dengan bangunan. Dengan kilang. Kawasan-kawsan baru tidak dibuka. Perancangan besar dan global tidak direncanakan. Hal-hal yang menakutkan sepatutnya mendasari hati kita. Kenapa tidak mencukupkan sumber makanan yang diperlukan. Kenapa tanah yang subur tidak dibangunkan. Kenapa teknologi tidak disemarakkan. Kita perlu maju ke hadapan tetapi dengan membawa agenda lama yang dibangunkan  teknologinya. Kita perlu makan maka sumber makanan perlu diperbanyakkan. Terus banyak dan semakin banyak. 


Di sebatang jalan di Kaherah. Perhatikan van di kanan gambar. Kebanyakan kenderaan kemik di sana sini. Dianggap biasa kepada mereka.

Masih di Kaherah


Sudah berada di kawasan Fayoum


Jalan menuju ke Fayoum

Jalan yang melalui sebuah kampung




Tasik Qarun. Seluruh harta benda Qarun Allah tenggelamkan sehingga kawasan ini menjadi tasik yang luas. Ada tasik lain yang berhampiran. Juga sebahagian dari Tasik Qarun. Keseombongan dan kengkuhan yang tiada manfaatnya. Segala-galanya milik Allah. Kesemuanya kembali kepadaNya. Kembali ke tanah. Tempat asal manusia.

Gandum sedang menghijau. Ditanam semasa musim sejuk. Sejuk mata memandang. Tanpa air kawasan ini adalah padang pasir. Teringat Malaysia dengan padinya. Seperti melalui jelapang padi di Kedah.

Sebuah bangunan yang mengesahkan ami berada di Fayoum

Kawasan pertanian yang menghijau

Laluan di tepi Tasik Qarun

Sebuah masjid di kejauhan. Nampak syahdu.



Bawang di celah-celah pokok zaitun


No comments:

Post a Comment