Saturday, February 8, 2014

Bingkjisan Dari Kaherah: Rebung Yang Lenturnya Sedari Muda










Aur dan buluh. Bertaut dengan tanah yang dicengkam membiak rumpun. Mengukuh tebing dari runtuh. Rebungnya untuk dimakan. Enak, rangup dan sedikit manis. Buluhnya pelbagai guna. Dari bakul keranjang yang tiada rupa menjadi produk hiasan yang sangat tinggi nilainya. Di negara yang banyak buluh, rumah dan perabot ada yang dihasilkan dari buluh. Hasilnya sangat indah. Dari negara Cina umpamanya banyak perkakas memasak yang dibuat dari buluh. Dijual di serata dunia. Di semua benua. Harganya tidak mahalpun. Penulis kira di semua negara Arab ada barangan dari buluh di setiap rumah. Cina dan Jepun telah lama mengkomersilkan buluh mereka sama ada dalam negara atau untuk eksport. Mendapat tukaran wang asing yang menambah Keluaran Dalam Negara mereka.  

Tiada siapa boleh menafikan bahawa buluh banyak gunanya. Hutan buluh seperti di Jepun menjadi hidangan untuk tatapan pelancong. Kebetulan buluh di negara seperti Jepun teratur tumbuhnya. Teratur rumpunnya. Hutan buluh menjadi sesuatu yang menarik untuk dilihat. Penulis tidak pasti sama ada anak-anak kita mengetahui atau tidak bahawa anak buluh namanya rebung. Ada namanya yang tersendiri. Istilah yang sudah berzaman. Ramai antara kita yang memakan sayur dari rebung. Gulai, kari, tumis atau masak campur dengan ikan kering umpamanya. Rebung hidup tidak lagi ramai orang yang melihatnya. Kita di Malaysia tidak melihat buluh sebagai tumbuhan yang komersil. Yang tinggi nilainya. Apatah lagi rebungnya. Langsung tidak masuk dalam pemikiran kita. Rasanya jika anak-anak kita menemui rumpun buluh, ada yang tidak mengenalinya. Apatah lagi rebungnya yang tidak ada rupa.

Rebung muda yang enak bukan seperti buah. Bukan cantik. Tidak bersih. Kuasa Allah rebung diselaputi kelopak yang penuh dengan miangnya. Gatal terkena kulit. Bak kata orang dahulu orang yang kayap memikul buluh. Gatal miang dan gatal kayap tiada bezanya apabila terkena peluh.  Anak buluh yang bukan rebung sudah tidak boleh dibuat makanan. Sudah keras. Mungkin boleh dilentur sebaik mungkin untuk membentuk apa sahaja lingkaran yang dihajat. Membesarlah ia menjadi buluh. Juga dinamakan bambu. Banyaklah gunanya dalam berbagai-bagai. Penulis bercerita tentang buluh kerana ada rebungnya. Rebung pula selalu dikaitkan kepada anak-anak. Maka melentur buluh hendaklah dari rebungnya. Bukan buluh tidak boleh dilentur. Boleh. Tetapi prosesnya dengan teknologi. Lebih mahal kosnya. Bagi orang luar bandar buluh dilentur menggunakan haba api. Lama, payah dan merumitkan. Tiada standard yang tertentu. Hanya berpandukan pengalaman lama yang terhimpun melalui usia.

Anak-anak yang sudah besar tentulah sudah menjadi buluh. Lebih sukar membentuk peribadinya. Jatidirinya. Akhlaknya. Jika kebiasaan yang baik tidak dibentuk semasa rebungnya maka ibu dan bapa menghadapi kesukaran untuk membetulkan keadaan. Malang jika anak itu diharapkan kepada guru-guru untuk membentuknya. Guru berpandukan kepada standard nasional. Mungkin sesuai atau mungkin tidak sesuai. Maaf, mereka yang islamik berbeza dengan mereka yang sekular. Maka guru memenuhi keperluan nasional bukan keperluan keluarga per se. Kerana itu tujuh tahun yang pertama, seseorang anak adalah tanggungjawab ibu dan bapa. Anak-anak yang seperti kain putih itu bentuklah selayaknya mengikut acuan ibu dan bapa. Sebagai Muslimin anak-anak kita hendaklah dibentuk mengikut acuan Islam. Mantapkan dahulu di rumah. Dalam keluarga. Sebelum anak itu melangkah keluar dan masuk dalam dunia pendidikan secara formal dirinya seharusnya sudah dilengkapkan dengan pertahanan diri dalam bentuk agama, budaya ada aspirasi keluarga.

Anak-anak kecil dan agama bukan suatu impian. Ianya suatu kewajipan. Ibu dan bapa yang mengasaskannya. Bukan orang lain. Guru hanya menambah dan memurnikannya jika ibu bapa bukan dari kalangan mereka yang mengerti selok belok agama. Solat, puasa adan akhlak islamiyyah sewajarnya sudah tertanam dalam diri anak-anak. Sebelum mereka keluar dari rumah. Sebelum ke sekolah. Seperti rebung, anak-anak boleh dipelbagaikan. Terpulang kepada ibu dan bapa. Apa hendak dijadikan anak itu apabila dewasanya. Guru hanya memberi input akademik. Bukan guru yang menentukan bentuk masa hadapan anak-anak itu. Ibu dan bapa 100%. Mungkin ada sumbangan guru dari segi akademiknya. Yang lainnya tanggungjawab ibu dan bapa. Kerana itu ibu dan bapa diperlukan bersedia lebih awal. Sebelum berumatangga perlu mengetahui tanggungjawab keibubapaan. Kursus p;ra-perkahwinan hanya syarat untuk boleh nikah. Ianya bukan syarat dan bekal yang cukup untuk menjadi bapa dan ibu mithali. Banyak yang perlu dipelajari.  

Anak-anak mewarisi apa sahaja yang didengar dari ibu dan bapanya. Yang dilihat. Yang dididik. Antara yang ketara ialah bahasa yang diungkapkannya. Ajarlah mereka bercakap dengan teratur. Dengan bahasa yang baik. Tidak meninggi suara. Tidak kasar. Tidak lucah atau mencarut. Tidak bersumpah. Didik supaya empati dan simpati. Perihatin dengan masalah orang lain. Tanamkan sifat kasih sayang. Berdisiplin. Mengikut sistem tertentu dalam hidup. Anak-anak adalah cerminan keluarga. Bagaimana ia dibesarkan begitulah yang dipamerkan kepada orang lain. Apabila kita melihat seseorang anak kita dapat melihat suatu lintasan tentang latarbelakang ibu dan bapanya dan bagaimana anak itu dibesarkan dalam keluarganya. Harus banyak kawalan dalam tingkah laku anak-anak dari berbagai aspek.

1                 Perlakuannya dalam beribadat. Bersegera, tekun dan istiqamah.
2                 Tutur katanya selalu dipantau kerana di luar sana anak itu terdedah dengan banyak perkara yang asing. Beri perisai supaya ia memang terdedah tetapi terhalang dari mengamalkan bahasa yang tidak elok.
3                 Jaga tingkahlaku anak-anak semasa makan. Tidak kira di mana. Sama ada di rumah, di rumah orang, di restoran atau di khalayak ramai. Antara yang perlu dididik ialah sifat bersedia berkongsi. Tidak gopoh atau gelojoh. Tidak tamak atau pelahap. Makan dengan teratur. Banyak kunyah dari hanya menelan.
4                 Anak-anak perlu dilengkapkan dengan pakaian yang bersesuaian dengan suasana. Walau bagaimanapun pakaian seharian juga perlu diawasi dari terlalu besar, terlalu ketat, kotor, koyak atau dipakai secara selekeh. Mereka mempamerkan maruah keluarga.

Antara perkara yang selalu terabai ialah disiplin mengenai sivik. Tanggungjawab dalam keluarga. Waktu-waktu sepatutnya membantu. Bekerjasama dengan adik beradik yang lain. Berkongsi kegembiraan dan kesusahan. Dididik mendahulukan orang lain. Tidak mementingkan diri. Tidak membolot apa yang ada. Jadual adalah penting dalam sesuatu perlaksaan disiplin diri.

1                 Disiplin makan yang berjadual. Pastikan mereka mematuhi jadual itu. Jadual makan adalah menjadualkan sistem tubuh badan. Tanpa disiplin tubuh badan juga tidak terkawal keadaannya. Sistem penghadaman tidak diberi rehat yang mencukupi. Membebankan.
2                 Disiplin belajar yang berjadual lebih ketat. Dipatuhi setiap masa. Tidak boleh terganggu dengan TV, permainan dalam komputer riba, permainan dalam telefon. Ada masa membaca buku cerita. Ada masa membaca buku teks. Latihan kerja rumah. Menulis. Mengarang. Melukis.
3                 Disiplin bermain. Bukan sepanjang waktu. Ada peraturannya yang perlu dijadual dan dikawal. Masanya. Tempoh masanya. Teman sepermainannya. Tempatnya. Permainannya.
4                 Disiplin membuat kerja-kerja di rumah. Menyapu. Membasuh. Membuang sampah. Membasuh rumah. Mengemop lantai. Berkemas. Menggosok pakaian. Mengemas katil. Menyidai pakaian. Melipat pakaian. Menyusun pakaian dalam almari.
5                 Peka dengan kawalan pembaziran. Mempastikan pili air ditutup setelah digunakan. Matikan kipas dan penghawa dingin apabila meninggalkan bilik dan ruang. Mematikan lampu jika tidak diperlukan.
6                 Berkemas setiap waktu. Sampah mesti dibakulsampahkan. Tidak dibuang merata-rata tanpa kawalan.  
7                 Peka dengan persediaan hendak ke sekolah. Mengemas beg sebelum tidur. Menyediakan pakaian untuk hari esok. Menyiapkan kerja rumah. Menyimpan wang saku. Menyempurnakan pesan guru.
8                 Kebersihan dalam dan luar rumah menjadi tanggungjawab semua. Jumpa sampah pungut. Kotor basuh. Bersepah kemas.
9                 Ajar anak-anak supaya pandai memasak. Kesemuanya sama ada lelaki atau perempuan. Tanpa kecuali. Ajar dari yang senang seperti menjerang air, menggoreng telur dan menanak nasi. Semakin meningjkat usianya ajer mereka memasak yang lebih rumit seperti sambal, kari, gukai lemak atau membuat acar.
10            Perkakas makan hendaklah dibasuh dengan betul dan bersih. Ajar mereka sedari awal usianya. Hilangkan kotor dan hilangkan minyaknya. Cukup sabunnya. Semua anak diajar membasuh periuk, kuali, pinggan, mangkuk, gelas, sudu, garpu, sudip, senduk dan pisau. Jangan sekali-kali dilonggokkan dalam singki. Setiap anak diberi tanggungjawab yang sama. Adil. Tanpa kecuali.


Di bawah ini penulis paparkan berbagai gambar. Rumpun buluh, pokok buluh, rebung dan berbagai makanan dari rebung. Rebung menghasilkan banyak makanan yang enak dan menyegarkan. Rebung segar tentu lebih segar apabila dimasak dan dimakan. Begitulah anak-anak yang sedari kecilnya dididik dengan betul menjadi seperti rebung yang enak dimakan. Enak dipandang. Enak dipelbagaikan. Anak itu menghidangkan pendidikan yang sedap di hati apabila dipandang. Sejuk perut ibu yang mengandung. Apabila dewasa menjadi buluh yang juga banyak gunanya. Banyak manfaatnya. Peliharalah rebung untuk mendapat bulunya yang besar manfaatnya. 



Buluh yang sudah mula dikomersilkan. Perlu diperluaskan ke desa-desa supaya orang luarbandar mempunyai alternatif dari segi pendapatan dan sumber makanan.



Rebung yang tidak seberapa rupanya. Enak dijadikan juadah makanan.



Jika begini banyaknya tebtu mnenghasilkan pendapatan yang lumayan.



Yang ini rebung jeruk.



Kecur air liur.



Makin bertambah kecurnya.



Aduhai. Kerabu rebung. Terangkat jika memakannya.



Kreativirti masing-masing. Boleh dipelbagaikan.



Gulai udang dan rebung.



Sambal rebung.


Anak-anak yang dari rebung yang tidak seberapa rupanya jika dididik menjadi berbagai rupanya. Cantik dipandang. Menyejukkan mata. Menyelera untuk dimanfaatkan khidmatnya apabila dewasa. Semuanya dari rebung. Jangan tunggu mereka menjadi buluh.

Thursday, February 6, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Memperindah Pendidikan Agama



Agama Islam adalah agama yang keindahannya tersendiri. Disampaikan dengan pedagodinya yang tersendiri. Banyak akademiknya. Berbeza dengan disiplin ilmu lain. Dengan disiplin agama lain. Dibimbing terus oleh Allah dan RasulNya. Di luar sana ramai audien yang perlukan andragodi yang sistematik dan sistemik. Kali ini penulis ingin membicarakan pendidikan agama yang masih terlalu tradisional. Benar cara lama itu tetap berkesan. Walau bagaimanapun teknologi yang sudah dibangunkan ketika ini boleh dimanfaatkan untuk menjadikan pendidikan agama sangat mengesankan. Memberi impak yang kuat kepada mereka yang mempelajarinya. Yang mendengarnya. Yang mengikutinya. Slot TV Ustaz Don umpamanya sangat mengesankan kepada audien tanpa mengira usia dan tempat. Terutamanya kepada remaja yang selalu tergelincir dari jalan yang diredhai. Mereka belajar agama tetapi tidak dapat menghubungkait antara yang realiti secara fizikal dan maujud dengan alam ghaib yang wajib diimani. Ilmu agama perlukan nafas baru untuk disampaikan dengan lebih segar. Jawapannya ialah teknologi yang bersesuaian. Dibenarkan syariah. Ada garispanduannya. Ada sempadan yang perlu dijaga. Tertakluk kepada tapisan aqidah yang wajar supaya kesemuanya mematuhi syariah. Mereka yang bijak teknologi perlu ke hadapan berganding dengan mereka yang alim dari segi selok belok agama. Ulamak teknologi dan ulamak agama berganding untuk membantu melonjakkan tugas agama ke aras baru. Lebih tinggi. Lebih bermanfaat. Lebih bermartabat.

Kemahiran ibadah adalah asas beragama. Rukun iman yang enam direalisasikan bersama dengan rukun Islam yang lima. Yang sebelas ini dijadikan tunjang iman dan Islam. Rukum Islam lebih mudah difahami. Dihayati. Disempurnakan dengan kefahaman. Tentulah tahap kesempurnaannya berbagai bergantung kepada ilmu yang dipelajari. Yang dikaji. Yang dirujuk dari sumber-sumber yang mu’tabar. Jika sedikit dan berhenti mencari maka ilmu beribadat sangat terbatas. Jika berterusan mencari  pasti ditemui banyak nilai tambah yang berganda-ganda banyaknya. Ibarat memasak, lauk pauknya semakin lazat. Semakin menarik. Semakin mencantikkan. Ilmu yang ditambah mengindahkan ibadat. Tidak puas dari satu tahap ke tahap yang lebih tinggi. Dari satu ruang ke satu ruang lain yang semakin panjang, lebar dan meluas. Ilmu tiada ufuknya. Bukan apabila langit dan daratan atau air bertemu dilihat dari jauh. Pertemuan itu hanya pada mata yang melihat. Bukan hakiki. Apabila dihampiri ufuknya beralih menjauh pula. Begitulah ilmu. Dikejar menjauh. Kita berhenti kita yang rugi dan menjadi mati.

Fardhu ain adalah lebih kepada kewajipan yang tidak ada tukar ganti. Solat adalah diri sendiri. Tidak boleh diupahkan. Ianya tanggungan sendirian berhad. Syahadah tidak mungkin diwakilkan kepada orang lain. Lidah, bibir dan mulut yang ampunya diri sendiri yang mengungkapkannya secara lisan dengan kuat. Fardhu ain hendaklah diselesaikan sesegera mungkin supaya semua umat Islam mengetahui tanggungjawab asas mengenai dirinya dan orang-orang di sekelilingnya. Namun begitu penyampaian pendidikannya perlu banyak dinamika baru. Dianjakkan paradigmanya. Bukan sekadar berbicara. Bukan sekadar membaca buku. Bukan sekadar mendengar. Kita perlu berinteraksi dengan teknologi. Pelajaran mengenai tauhid atau akidah boleh dilaksanakan dengan penggunaan teknologi. Selalunya asas untuk menyampaikan sifat Allah ialah adanya alam ini. Ramai antara kita yang tidak memahami apa sebenarnya alam ini. Berapa luasnya. Apa yang ada di angkasa. Saiz bintang dan planet. Berapa banyak cakerawala. Apa itu supernova. Bagaimana gerhana. Sekadar membaca kitab yang terhad kita tidak dapat melihat secara jauh tentang penciptaan Allah. Besar, banyak dan luasnya ciptaan Allah. Bahawa manusia adalah antara makhluk yang kecil, kerdil dan tidak signifikan kecuali yang bertaqwa. Yang dekat hatinya kepada Allah.

Pengetahuan tentang adanya alam ini cantik jika disampaikan dalam bentuk animasi. Dalam bentuk multimedia. Dalam bentu 3-D. Maaflah, banyak yang perlu dinaiktaraf tentang pengajaran dan pembelajaran agama secara rasmi. Di sekolah dan madrasah. Hatta di institusi pengajian walau apa sekalipun bentuknya. Kita sudah ada internet. Sumber ilmu berbagai. Jika dipilih yang bersesuaian dengan keperluan pendidikan agama tentulah akan memberi impak yang memberangsangkan. Anak-anak kita mengetahui selepas malam tentulah siang. Siang pula diganti dengan malam. Mereka tidak mengetahui prosesnya. Bagaimana bumi berputar. Bagaimana bumi beredar. Pada ketika bumi berputar ia juga beredar mengelilingi matahari. Bagaimana bumi berada dalam sistem suria. Bagaimana untuk mengetahui jarak yang diukur dengan tahun cahaya. Bagaimana memahami betapa luasnya alam semesta ini. Bagaimana hendak memahami bahawa Allah adalah Rob al-Alamin. Tuhan semesta alam. Apabila konsep keluasan alam dapat digambarkan dengan teknologi, penulis yakin anak-anak yang belajar agama mendapat input yang kemas kini. Sains membantu dalam pendidikan agama.

Kita perlu mengangkat fikir agama. Keperluannya menegak dan mendatar. Pengertian agama itu terlalu tinggi. Terlalu luas. Terlalu dalam. Teknologi membantu menambah kefahaman ke arah itu. Penulis kadang-kadang tercari-cari juga formula terbaik untuk menyampaikan ilmu agama. Bayangkan seorang ustaz menerangkan senerio datangnya hari qiamat. Cerita dari mulut itu hanya didengar tanpa pengertian yang mendalam. Jika alam difahami luasnya. Diketahui besarnya. Katakan kepada anak-anak bahawa kesemuanya pasti akan hancur. Bukan bumi sahaja. Bahkan kesemuanya yang sangat banyak tidak terkira itu akan hancur. Allah berkuasa mencipta alam dan berkuasa memusnahkannya. Bagaimana jika teori The Big Bang dan The Big Crunch disampaikan dalam kelas agama. Suatu ledakan ilmu dari al-Quran yang kita baca setiap hari. Kita tidak memperluaskan penterjemahannya dalam bentuk yang memberi kefahaman yang menginsafkan. Kita diciptakan Allah dan akan kembali kepadaNya apabila sampai masanya.

Pelajaran pengurusan jenazah umpamanya tidak cukup hanya dengan membaca. Diterangkan satu persatu. Malangnya guru tidak membawa pelajarnya menyaksikan pengurusan jenazah secara live. Bila ada kematian bawa sebahagian pelajar untuk menyaksikan proses meletak jenazah, memandikan, mengkapankan, melakukan solat jenazah dan akhirnya menguburkan jenazah. Pertamanya untuk memahami proses. Keduanya untuk menginsafkan diri supaya mereka taatkan Allah dan RasulNya. Mudah-mudahan menghindarkan mereka dari berbuat maksiat. Menjadikan mereka anak-anak yang soleh. Begitu juga matapelajaran menunaikan haji dan umrah. Dipaparkan kepada mereka perlakuan yang rukun dan wajib. Yang sunat dan harus. Menghindar dari yang haram dan makruh. Istilah tawaf tidak mungkin difahami susah dan payahnya tanpa melihat gambarannya melalui video umpamanya. Begitu juga sai. Berada di Arafah. Di Muzdalifah. Di Muasim. Termasuk peristiwa harian yang dilalui semasa menunaikan haji dan umrah.


Kitab adalah rujukan bertulis yang perlu dibaca. Diulang baca. Diingat. Dihafal. Visual melalui CD, VCD, video dan filem membantu ke arah kefahaman yang lebih meluas. Internet dan sumber dari media elektronik memperlengkap pendidikan agam ke arah yang lebih mantap. Kita perlu sama-sama fikirkan kerana pendidikan beragama memandu manusia untuk mencari jalan ke syurga. Kita yang dewasa bantu mereka ke arah itu. InsyaAllah sedikit usaha ke arah itu besar manfaatnya kepada ummah. 

Wednesday, February 5, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Melangkah Garis Persaraan



Sesiapa sahaja yang berkerja akan menamatkan kerjayanya dalam tempoh masa tertentu. Usianya dikatakan cukup. Tugasnya ditamatkan di situ. Penting atau tidak bukan penentu. Detik dan waktunya tiba juga untuk menjemput kita keluar dari kotak yang terlalu lama kita huni. Barulah kita ketahui bahawa nyawa kita di situ. Barulah kita tahu bahawa nyawa kita perlu diperbanyakkan supaya kita tidak mati sekali tetapi perlu mati banyak kali. Maksud penulis persaraan adalah suatu kematian. Namun jika nyawa kita banyak dalam banyak bidang yang berbagai maka kita akan mati banyak kali dalam bidang yang berlainan. Persaraan hanya satu daripadanya. Impaknya sangat besar jika kita tidak bersedia. Ramai orang yang semput sementara menunggu waktu bersara. Semput menghampiri persaraan. Semput semasa bersara. Semput sesudah bersara. Pada hari kita bersara tirai tempat kita berlindung dilabuhkan. Pentas kita berlakon (seperti kata William Shakespeare) menjadi sangat kosong. Lapang tetapi gelap dan suram. Hati kita bergejolak. Tiada tempat dan sudut yang boleh ditoleh. Kesemuanya kekosongan belaka.

Persaraan boleh datang seperti tsunami. Menenggelamkan segala yang kita hargai. Yang telah pernah melonjakkan kita ke persada tinggi dalam kerjaya kita. Mungkin ia datang  tanpa kita sedari. Kadang-kadang kita tunggu tetapi apabila ia datang kita mungkin tidak bersedia sebenarnya. Bila tiba waktunya nafas kita terhenti. Pagi itu kita kehilangan seketika. Tempat kita sudah terlontar di rumah. Hilang setiausaha yang membancuh kopi setiap hari. Atau kerani yang menjaga diari harian. Hilang meja panjang yang penuh memo dan fail. Yang penuh kertaskerja dan arahan. Penuh pekeliling dan jemputan. Tiada lagi deringan telefon. Hilang barisan panjang tetamu yang ingin bertemu. Tiada agenda mesyuarat yang selalunya panjang dan berjela-jela. Baru ketika itu kita tersedar bahawa kerjaya kita hanya sementara. Bukan hakiki yang kekal abadi. Tempat kita yang hakiki sebenarnya di rumah. Rupanya setiausaha yang paling setia ialah pasangan kita. Kerani yang selalu menggerakkan kita ialah pasangan kita. Pejabat hanya ruang sementara untuk bersosial. Menjalankan amanah negara. Amanah agama. Rumah itulah ruang kekal hingga akhir hayat.

Kita tinggalkan bilik berhawa dingin. Kita tinggalkan bilik mesyuarat yang lebar dan besar. Kita tinggalkan hotel berbintang tempat kita selalu bersidang. Kita tinggalkan forum dan seminar. Terputus dunia dalam dan dunia luar. Kerjaya kita telah menjadikan kita begitu. Hanya disediakan pentas untuk melakonkan peranan kita. Sesuai dengan jawatan kita. Sesuai dengan kelakyakan kita. Sesuai dengan intelek yang kita miliki. Pada pagi hari pertama kita bersara semuanya terputus. Terhenti semua rutin dan kebiasaan. Apa yang sebenarnya menyelinap dalam minda ketika itu?

1                 Inilah masanya aku hendak berehat sepuas-puasnya.
2                 Apakah agenda selepas ini?
3                 Apa aku nak buat selepas ini?

Apa sebenarnya persaraan? Betul tuan. Betul puan. Apa sebenarnya persaraan? Berhenti kerja. Kerja apa? Sebagai manusia kita tidak boleh berhenti bekerja. Kerja sentiasa menanti di hadapan kita. Banyak dan berlambak-lambak. Maaf, kebanyakannya tidak bergaji. Tiada ganjaran. Tiada elaun. Setelah berpuluh tahun kita kenyang dengan gaji dan elaun kini sampai masanya kita menyumbang balik. Harga yang wajib kita bayar kerana kita menjadikan diri kita dibayar. Dijadikan pegawai. Kita kembalikan kepakaran lama. Kita kembalikan kemahiran itu. Kita kembalikan pengalaman dahulu. Kenapa perlu menyibukkan diri. Cantik. Pertanyaan cepu emas. Jika tidak sibuk tuan akan mati. Jika tidak menyibukkan diri puan akan mati sendirian. Hilang dari persada ingatan sesiapapun yang sepatutnya mengingat kita. Amal jariah yang berpanjangan dalam bentuk amal jariah tidak kesampaian. Ilmu yang berpanjangan tidak dapat disampaikan. Pengalaman tidak dapat kita kongsikan kepada orang lain. Untuk  kita tinggalkan apabila kita tiada lagi. Apabila kita tinggalkan kesemuanya untuk orang-orang selepas kita.

Persaraan menjadi sebahagian daripada rutin bakal pesaranya. Bersedia setahun atau dua sebelum sampai masanya. Bagaimana kita melakukannya bergantung kepada pengalaman pengendalinya. Mungkin seorang kerani berpengalaman.  Telah ramai pegawai yang diurus persaraannya. Bukan orang yang bersara. Tidak ramai bakal pesara yang bertanya dengan mereka yang telah bersara. Bagaimana prosesnya. Apa yang perlu dibuat. Berapa lama semuanya boleh selesai sebelum tarikh persaraan. Bila dapat pencen pertama. Bagaimana  mengira graduiti. Berapa banyak dapatnya. Apakah sifir pengiraannya. Pinjaman-pinjaman yang masih ada bagaimana nantinya. Bagaimana menerima wang pencen. Aduh! Banyaknya soalan. Itulah lambang-lambang dan isyarat beratnya menghadapi persaraan. Tidak semudah bangun dari kerusi. Tidak semudah meninggalkan bilik kesayangan kita itu. Tidak semudah menyerahkan fail serahtugas. Tidak semudah meninggalkan pejabat secara rasmi buat kali terakhir. Tidak berani menoleh lagi kerana takut empangan air mata pecah berderai. Akan ditinggalkan kesemuanya dengan perasaan berbaur. Antara gembira dan sedih lara. Selamat tinggal kerjaya.

Kita sebenarnya sangat mengetahui bila tarikh persaraan kita. Tarikh hari lahir kita. Pilihan kita ialah hendak bersara 100% atau memulakan kerjaya lain. Ada orang menjawat jawatan lain. Jawatan bergaji. Sibuk semula menjalankan tugas yang sebelum ini hanya diidamkan sahaja. Mulalah ke hulu dan ke hilir semula tanpa mengira waktu. Dunia baru yang diharungi. Reda hati kerana sibuk yang berbagai. Ada orang yang lain berehat sementara. Membetulkan arah kompas. Menikmati persaraan yang lama dinanti. Meregangkan minda. Hindarkan dahulu berfikir. Lapangkan minda. Berehat secukupnya. Tidak mungkin. Rasanya mungkin hanya untuk beberapa jam sahaja. Atau sehari dua. Atau seminggu dua. Atau sebulan dua. Tidak mungkin hingga minggu dan bulan. Akan datang kegelisahan. Kesemuanya yang disentuh tidak kena. Yang dicapai tidak kena. Berjalan, duduk dan yang dipandang sudah bukan lagi yang menjadi kebiasaan.

Kerana kita mengetahui tarikh persaraan kita sendiri maka sewajarnya kita telah menyediakan diri ke arah itu. Sudah dirancang apa yang akan dilakukan dengan izin Allah. Sebelum bersara ramai yang sudah berjinak dengan kelab dan persatuan. Menjadi AJK itu dan ini. Mungkin menjadi penasehat. Atau menjadi konsultan. Walau apapun persediaan untuk mengubah rutin sangat perlu. Mental dan psikologi kita terusik ketika bersara. Alternatif diperlukan supaya kita landing softly. Masa untuk kita didaratkan telah sampai. Awan biru nan tinggi sudah sampai masanya kita tinggalkan. Kita turun berpijak di bumi nyata. Kita belajar menerima hakikat. Itulah kehidupan. Semuanya sementara. Ada yang lebih abadi yang perlu dicari lagi. Yang dikerjayakan lagi sementara masih ada peluang.


Selepas bersara kita kehipangan status. Hilang martabat. Hilang kedudukan. Tanpa persediaan yang rapi kita kehilangan diri kita. Kehilangan persekitaran. Alhamdulillah bagi mereka yang tidak lagi mengejar glamour. Masih ada manfaat kepada dirinya. Masjid dan surau menanti. NGO menanti. Banyak kerja amal yang boleh dilakukan. Di samping itu boleh mendalami ilmu yang tertinggal. Menambah nilai persaraan. Mencipta suasana baru. Sahabat baru. Bergeraklah semampunya. Pengalaman lama dimanfaatkan di luar kerjaya kita yang dahulu. Orang di luar menanti juga sumbangan kita selepas bersara. Menyumbang idea. Menyumbang gerak kerja. Meredah lagi usia yang masih ada. Dimanfaatkan hingga ke hujungnya. Sementara masih berbaki dan bersisa.

Tuesday, February 4, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Di Mana Lagi Mencari Asma’ Bintu Abi Bakar



Pemilik nama ini jarang disebut. Mungkin sudah terlalu lama kisahnya. 1435H tahun yang lalu. Mungkin tidak sebaris dengan pejuang Islam yang lain. Mungkin kerana ia seorang wanita. Tenggelam dalam ribuan syuhada’. Terlipat sejarahnuya dalam dakapan dada mereka yang gugur. Sesungguhnya Asma’ adalah anak dara sunti Abu Bakar. Usianya ketika itu sekitar 12 tahun. Jiwanya besar. Kecerdikannya luarbiasa. Pemikirannya melampaui zaman. Tindakannya melebihi segala pejuang. Beraninya mengalahkan hulubalang. Tekadnya bukan kepalang. Akalnya panjang tiada penghalang. Gadis sunti ini adalah antara ramai pejuang Islam. Namun ketika itu dia hanya bersendirian. Tiada pembantu. Segala-galanya diserahkan kepada Allah. Begitulah sabda Rasulallah kepada Sayyidina Abu Bakar yang berasa takut sewaktu di dalam Gua Thur. Ù„َا ØªَØ­ْزَÙ†ْ Ø¥ِÙ†َّ Ù±Ù„Ù„َّÙ‡َ Ù…َعَÙ†َا. Janganlah kamu bersedih. Sesungguhnya Allah bersama kita. Muslimah sunti ini mempertaruhkan dirinya demi melindungi Rasulallah dan bapanya dari ancaman musuh. Kaum Quraisy berkeliaran mencari mereka berdua.

Sepanjang perjalanan Nabi berhijrah ke Yathrib (Madinah al-Munawarrah), banyak kisah yang selalu tidak disingkap. Yang kita tahu hanyalah bagaimana kaum Quraisy memusuhi Nabi hingga berikrar untuk membunuh Baginda. Kisah-kisah yang lain tidak diberikan tumpuan sedangkan kisah-kisah itu besar ertinya dalam perjuangan menegakkan agama. Dalam dakwah. Dalam mencari keredhaan Allah. Tidak mengapalah. Mungkin kisah berikut yang sedikit ini sama-sama kita insafi dalam membina akhlak mulia di kalangan Muslimah khususnya yang masih sunti dan muda. Kita ingin menjelmakan semula semangat Asma’ dalam jiwa mereka. Jiwa yang besar menggunung untuk sama-sama berjuang dalam menegakkan agama. Membesarkan agama. Bekerja untuk agama. Untuk meletakkan agama melebihi dari segala-galanya. Untuk memberi kelebihan kepada pejuang-pejuang agama. Membantu bukan semestinya besar. Ramai orang yang tidak memandang usaha yang kecil sedangkan usaha kecil itu besar impaknya kepada kejayaan keseluruhannya. Besar signifikannya jika ditelusuri manfaatnya. Tanpa usaha kecil itu tiada kejayaan besar dengan izin Allah.

Alhamdulillah bagi mereka yang telah lama mengenal Asma’. Yang telah lama mengambil semangatnya. Untuk yang belum mari sama-sama kita kembali ke zaman itu. Suatu ketika dalam sejarah apabila Rasulallah diancam akan dibunuh oleh 100 pemuda Quraisy yang gagah perkasa. Yang ganjarannya kira-kira 100 ekor unta. Sayyidina Ali yang ketika itu juga masih kecil mengambil tempat di katil Rasulallah. Dengan izin Allah keluarlah Rasulallah dan Sayyidina Abu Bakar menuju Gua Thur. Orang Quraisy mahir ilmu falaq. Mereka maklum gua yang terdekat adalah Gua Thur. Gua itu kecil. Sekiranya ada antara orang Quraisy yang menundukkan kepala nescaya terlihat kehadiran Rasulallah dan Sayyidina Abu Bakar. Allah melindungi kekasihNya. Tidak ada orang Quraisy yang tergerak hatinya untuk menundukkan kepala. Hatta jika mereka memandang kaki mereka sendiri besar kemungkinannya akan terlihat Rasulallah dan Sayyidina Abu Bakar dengan ekor mata mereka. Allah memungkinkan burung merpati mengeram di hadapan pintu gua dalam masa yang singkat. Pada pintu gua kecil itu juga terdapat sarang labah-labah yang sifatnya seperti sudah berzaman. Akal logik kaum Quraisy tertutup. Tidak mungkin kedua makhluk Allah itu hadir jika ada orang di dalam gua itu. Itulah yang tersemat dalam minda mereka. Allah menyelamatkan kekasihNya.

1                 Jika ada manusia di gua itu tentu burung itu terbang.
2                 Tidak mungkin sarang labah-labah tidak putus dilanggar tubuh manusia. Atau tidak mungkin sarang itu baru kerana kita maklum sarang labah-labah perlukan masa yang lama untuk menyempurnakannya.

Apabila dikatakan gua tentulah agak tinggi untuk didaki. Bagi mereka yang pernah mendakinya ramai yang tercungap-cungap untuk sampai ke atas. Gua itu setinggi hampir setengah kolometer. Jaunya dari kota Makkah hampir lima kilometer. Dalam ukuran lama tiga batu. Baginda dan sahabatnya berada di dalam gua itu selama tiga hari tiga malam untuk meredakan keghairahan kaum Quraisy mencari mereka berdua. Semasa keluar dari rumah Baginda hanya sehelai sepinggang. Makanan dan minuman bukan penting ketika itu. Yang lebih utama ialah menyelamatkan risalah agama yang sangat baru di Makkah. Putiknya ingin dikembangkan dengan subur di Yathrib. Seperkara yang perlu diketahui ialah hijrah Rasulallah bukan tanpa perancagan rapi. Persiapan rapi dibuat dari segi fizikal, mental, perjalanan,  perisikan, siasah dan berbagai lagi. Di sinilah peranan Asma’ r.a.h. gadis sunti Sayyidina Abu Bakar yang tidak langsung dicurigai oleh kaum Quraisy. Mereka tidak menyangka gadis itu berperanan besar dalam proses penghijrahan Baginda. Peranan Asma’ terlalu besar.

1                 Pembawa bekal makanan dan minuman.
2                 Pegawai perisik pada waktu siang. Dirisik apa sahaja sumber maklumat yang dilihat dan didengar dari perbualan kaum Quraisy. Pada waktu malamnya maklumat itu disampaikan kepada Rasulallah dan bapanya.
3                 Penyedia bekalan perjalanan seperti makanan, minuman dan unta sebagai tunggangan.

Perjalanan ke Gua Thur bukan calang-calang. Sangat besar pengorbanannya. Semangatnya berkobar-kobar.

1                 Menjadikan kewajipan itu digalas di atas bahunya.
2                 Kecintaannya kepada Rasulallah pembawa agama yang benar.
3                 Kewajipan memberi bantuan dan perlindungan.
4                 Mencari data maklumat sebagai persediaan perjalanan yang lebih selamat dan tidak banyak halangan.

Cuba pembaca gambarkan suatu senerio padang pasir pada waktu malam yang gelap. Seorang gadis sunti berjalan sendirian tanpa teman. Hatinya fokus untuk membantu kerana hak. Kerana kebenaran. Kerana Allah. Begitu besar pengorbanannya.

1                 Perjalanan lima kilometer pergi dan lima kilometer balik memakan masa kira-kira empat jam. Jalannya berpasir, sukar, berbukit dan berbatu. Tidak mungkin selaju seperti di atas jalanraya yang berturap.
2                 Berjalan berkelit-kelit takut dilihat oleh sesiapa sahaja dari kaum Quraisy yang sentiasa ingin membunuh Rasulallah.
3                 Di samping itu Asma’ membawa makan dan minuman untuk 24 jam berikutnya sehingga malam esoknya.

Asma’ bukan sebarang gadis sunti. Memiliki kebijakasanaan, keberanian dan kekuatan luar biasa. Akalnya sangat panjang dengan izin Allah. Pada malam pertama dan kedua ia memakai jilbab panjang yang melebihi kakinya. Apabila berjalan bekas tapak kakinya hilang disapu kaki jilbab. Orang lain tentu tidak terfikir begitu. Setiap tapak kaki di padang pasir tentu sahaja boleh menimbulkan syak yang nantinya memungkinkan Gua Thur diperiksa oleh kaum Quraisy. Pada malam ketiga dia membawa bekal makanan dan minum serta bekal perjalanan. Tentulah lebih banyak berbanding dengan dua malam sebelumnya. Visualnya tentu perjalanan dari rumahnya yang sangat memberatkan. Memayahkan perjalanan. Lambat mengheret kaki. Itulah Asma’ bintu Abi Bakar.

Dalam sesuatu perkara besar lazimnya ada kelompok yang saling membantu. Telah saling memahami tugas masing-masing. Bersedia menerima isyarat bertugas. Begitulah dalam hal penghijrahan Rasulallah. Ada beberapa nama yang ditugaskan untuk membantu secara sulit. Secara berahsia. Mereka adalah:

1                 Abdullah bin Abu Bakar (anak lelaki Saidina Abu Bakar) - bertanggungjawab mejadi perisik di kota Makkah.
2       Aisyah dan Asma’ (dua orang puteri Saidina Abu Bakar)- bertanggungjawab
         menyediakan makanan dan Asma’ yang menghantarnya ke Gua Thur kerana    ia            kakak kepada Aisyah.
3       Abdullah ibn Ariqath - mengembala dua ekor kambing di sekitar Gua Thur 
         untuk membekalkan susu kambing  kepada Baginda berdua.
4       Amir bin Fuhairah – dikatakan belum Islam tetapi dijadikan juru pandu hingga ke            Madinah.

 Mereka berlima bertindak sebagai jawatankuasa logistik kepada Rasulallah dan Sayyidina Abu Bakar. Peranan Asma’ agak besar kerana ia gadis sunti. Kehadiran Abdullah ibn Ariqath dan Amir bin Fuhairah membantu keselamatannya sepanjang tugasnya berulang alik ke Gua Thur. Lelaki berdua itu berperanan menghapuskan bekas tapak kaki Asma’ menggunakan kaki kambing yang berkais-kais sepanjang perjalanan. Kadang-kadang dalam sesuatu kerja besar kita tidak perlukan orang yang terlalu tinggi ilmunya. Tidak perlu mereka yang banyak pengalamannya. Tidak perlukan orang berpengaruh.

1                 Cukup dengan orang-orang yang boleh dipercayai.
2                 Mereka yang setia.
3                 Istiqamah dalam tugas.
4                 Kepada Allah berserah.

Bagaimana kita dapat membangkitkan semangat Asma’ dalam sanubari gadis-gadis kita. Yang sunti-sunti lagi. Kita kembali kepada ibu dan bapa.

1                 Hayati semangat juang Asma’ dalam menegakkan agama dan membantu menyelamatkan Rasulallah dan bapanya.
2                 Iman perlu kukuh dalam menjalankan tugas agama. Mencari redha Allah.
3                 Semangat Islam ditegakkan dalam dada mereka sejak kecil.
4                 Bina suasana Islam yang kondusif dalam rumah dan dalam persekitaran.
5                 Tanam semangat cintakan agama.
6                 Tanam semangat jihad terhadap kebaikan.

Ya Allah jauhkanlah umat Islam dari kelekaan terhadap hiburan. Terhadap muzik. Terhadap nyanian. Terhaap tarian. Terhadap apa-apa sahaja yang tidak Islamik. Yang tidak membantu ke arah Islam. Tanamkanlah di dada anak-anak muda kami dengan iman dan semangat cintakan Allah dan RasulNya. Terhadap agama yang Allah wahyukan kepada mereka. Lahirkanlah di kalangan mereka semangat Asma; bintu Abi Bakar. Seperti Sayyidin Ali bin Abi Talib semasa ia masih kecil lagi. Semangat keluarga Yassir. Semangat Ammar ibn Yassir.


Islam dahagakan anak-anak muda yang semangatnya untuk Allah. Berjuang membebaskan diri dari kemungkaran. Menegakkan yang hak. Menyampaikan yang baik walaupun sedikit. Dalam dunia yang penuh kacau sekarang ini anak-anak mudalah harapan kita. Tetapi tanggungjawab membangunkan mereka bukan lagi di bahu siapa-siapa. Ibu dan bapalah yang wajib menggalasnya. Tanamlah semangat Islam sejak anak-anak masih rebung. Semasa ubun-ubun mereka masih lembut. Semasa minda mereka belum cemar. Semasa mereka mudah diatur. Semasa mereka mendengar kata. Semasa mereka patuh kepada ibu dan bapa. InsyaAllah anak-anak kita menjadi pejuang agama.  Amin.

Thursday, January 30, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Mempamer Rupa Diri



Kadang-kadang berterus terang adalah sesuatu yang baik. Tidak perlu berselindung. Tidak perlu berkelit. Serlahkan apa-apa yang dirasa. Beritahu kepada audien kita semua yang hendak disampaikan tanpa sebarang keraguan. Yang rasanya difikirkan menasabah. Namun begitu kita selalu seharusnya berhemah dengan diri kita. Kita ibarat cermin. Semakin mahal cermin itu semakin jarang orang bercermin dengannya. Tetapi orang melihat cermin itu. Mungkin dari dekat. Mungkin dari jauh. Cermin yang mahal nilainya diperhati keadaannya. Bentuknya. Bersihnya. Berkilatnya. Bingkainya. Rupa yang dibayang dalam cermin. Seperti juga manusia. Semaikn ia memiliki ilmu yang tinggi semakin dilihat orang. Semakin tinggi pangkatnya semakin dipandang orang. Semakin usia meningkat semakin diteliti orang. Apa-apa sahaja yang memungkinkan cacat cela akan mudah dipantau orang. Barang yang rendah nilainya dipandang baiknya. Barang yang baik pula dicari buruknya. Baik dalam buruk senang dilihat. Buruk dalam baik lebih pula mudah dilihat orang. Mudah sangat kelihatannya.

Hidup kita bersama berbagai kategori orang lain di sekeliling kita. Kita tidak ada masalah tentang perkara itu. Tetapi interaksi kita dengan mereka dalam berbagai karakter. Ia bergantung siapa audien kita.

1                 Kawan rapat. Mereka dekat di hati. Dekat di mata. Dikenal hati dan budinya. Maka kita bercakap dengan santai. Tidak perlu terlalu berbahasa. Di rumah kita atau di rumahnya tidak banyak berbeza. Kita tetap santai bersama. Kerana itu kita bebas bercakap. Tajuknya bebas. Perkataan, istilah dan ungkapannya bebas. Antara kita yang mendengarnya. Tidak ada yang diselindung lagi. Antara empat sisi dinding yang sama menjaga kerahsiaannya. Namun kebebasan itu terhad juga apabila ada orang lain yang turut hadir. Apabila kita bersama orang lain. Apabila ada orang lain di samping kita. Apabila ada orang lain yang ingin mencuri dengar perbualan kita. Walau apapun kita masih banyak kebebasan untuk bercakap apa sahaja. Privacy agak longgar.
2                 Saudara dekat. Saudara mara ada yang rapat dan ada yang tidak. Ada yang sensitif dan ada yang tidak. Hendak bercakap kena tapis juga banyak kali. Sesama saudara kadang-kadang kita berlainan ideologi. Kefahaman dan jalan fikirnya berbeza. Landasannya pilihan masiang-masing. Maka topik perbualan hendaklah dipandu dengan kemas. Tidak berkisar ke arah yang sensitif. Maaflah, kita orang Melayu sangat sensitif dengan perbezaan pendapat. Tidak dapat menerima bahawa setiap orang berbeza pendapatnya. Kita diperlukan meraikan pendapat orang lain. Tidak dicampuradukkan dengan persaudaraan. Darah daging jangan dicincang-cincang. Lukanya panjang. Walaupun daging itu bertaut semula, parutnya dalam dan jelas dipandang. Pada peringkat ini kita sudah membataskan diri. Privacy kita semakin dijaga.
3                 Kawan biasa berbeza kategorinya. Belum mesra atau payah hendak mesra. Bersahabat tetap bersahabat. Jurangnya masih terasa. Duduk dekat masih tidak terasa kehangatannya. Dalam keadaan seperti itu kita perlu sentiasa berhemah. Banyak menjaga protokol persahabatan. Banyak adab yang perlu dijaga. Tutur kata yang terpilih susunan ayat-ayatnya. Suara semesra yang mungkin. Topik perbualan tidak boleh terlalu banyak. Harus mengetahui sempadan yang tidak boleh dilintas. Batasan yang tidak boleh dirempuh. Zon sensitifnya besar dan tinggi. Melaggarnya bererti selamat tinggal persahabatan. Privacy yang perlu dijaga semakin bertambah.
4                 Dalam kehidupan ini kita banyak berhadapan dengan audien yang ramai. Tanpa mengira siapa kita atau apa jawatan kita, kita berhadapan dengan situasi audien ramai pada bila-bila masa. Sama ada dirancang atau spontan. Mungkin di tempat kerja. Mungkin di pasar. Mungkin di masjid. Mungkin di padang. Di mana-mana sahaja kita berhadapan dengan audien. Bilangannya sahaja berbeza. Ramai atau mungkin sedikit. Ketika itu kita tidak bebas hendak berkata apa sahaja yang keluar antara bibir dan mulut kita. Banyak yang hendak ditapis. Disesuaikan dengan ilmu dan kelayakan akademik kita. Pengalaman kita yang perlu banyak disandarkan. Lihat pula siapa kita dan status sosial kita. Privacy yang perlu dijaga.
5                 Kadang-kadang kita melihat berbagai-bagai orang awam dalam media rasmi. Mungkin akhbar dan mungkin juga media elektronik. Apabila ungkapan yang keluar dari mulut terlalu laju, tidak sesuai didengar. Terlalu perlahan seperti kurang yakin pula. Terlalu garang gerun orang mendengar. Jika suaranya mendatar jemu pula didengar. Dalam pada itu ada pula yang apabila didengar terasa puas. Suaranya jelas. Diungkapkan butirannya secara bersahaja tetapi berturutan dengan jeda waktu yang cukup memukau. Isinya padat. Istilah dan perkataan yang digunakan banyak betulnya. Banyak jawapan dari soalan. Banyak aspek yang disentuh. Dia tahu sempadan yang tidak boleh disebut berdasarkan siapa dirinya. Menjaga privacy diri.
6                 Media sosial pula siapa yang menggunakannya? Walaupun pada asalnya seperti orang muda yang terpukau dengan media sosial tetapi hakikatnya teknologi tanpa sempadan. Tanpa sebarang halangan. Sesiapa sahaja boleh memanfaatkannya. Atau menyalahgunakannya.  Jika penggunaannya bersesuaian, alhamdulillah. Tetapi apabila sempadan diri tidak dijaga maka media sosial sebenarnya menjadikan seseorang itu hilang jati dirinya. Hilang harga dirinya. Hilang integritinya. Malangnya ramai pengguna media sosial yang memandang ringan hal ini. Dirinya sedang diperhatikan orang. Orang akan meletakkannya di tempat yang jauh dari tempat yang dijangka.

Penulis teringat siri TV suatu ketika dahulu. Seorang menteri yang berkelulusan biasa-biasa mempunyai seorang setiausaha lulusan Oxford University. Universiti yang graduannya dikatakan versatile. Universiti kebangaan Britain. Graduannya disuntik dengan input intelektual yang tinggi. Apabila bercakap tidak memberikan keputusan. Tidak memberikan jawapan. Yang bertanya perlu mencari jawapan sendiri. Yang ditanya hanya memberikan beberapa alternatif untuk dipilih. See the point? Kita sebenarnya tidak boleh memberikan jawapan yang pasti kepada sebarang pertanyaan orang lain. Orang yang bertanya itulah yang perlu mencari jawapannya sendiri. Kita hanya boleh menghidangkan alternatif cadangan untuknya membuat pilihan. Kita tidak ada kaitan dengan jawapan yang dipilihnya. Kita dalam kategori non partisan. Tidak memihak. Alternatif yang kita berikan hendaklah:

1                 Pada aras tinggi.
2                 Mengandungi idea intelektual.
3                 Sesuatu yang segar.
4                 Sesuatu yang inovatif atau kreatif.
5                 Memberikan cadangan di luar jangka.
6                 Jawapan di luar kebiasaan.
7                 Ada input-input baru.

Inilah masalahnya. Kita selalu memihak. Selalu condong untuk mempamerkan kecondongan kita. Ada tempat kita boleh pamerkan minat kita. Ideologi kita. Pegangan kita. Tetapi dalam media yang audiennya berkeliling dunia kita seharusnya membataskan diri. Kata-kata atau tulisan kita dibaca orang. Orang lebih hormat tulisan yang membina. Yang akademik. Yang membantu untuk membuka minda. Orang yang berkedudukan lagilah banyak pantang larangnya. Tidak boleh sebarang yang hendak ditulis. Bukan sebarangan yang diungkapkan. Tidak mungkin dalam media sosial kita ketawakan orang lain. Yang kita ketawakan sahabat kita tetapi yang membacanya semua orang. Di siitulah kita terperangkap dalam teknologi. Kelemahan kita terselah. Orang “menelanjangkan” diri kita tanpa usia. Tanpa pangkat. Tanpa kelayakan akademik. Tanpa taraf sosial.


Media sosial adalah saluran santai untuk santai-santaian. Boleh serius dengan versinya yang tersendiri. Tetapi tidak boleh main-main tanpa sekatan siapa diri kita yang sebenarnya. Perlu berhijab di sebalik hemah dan waspada. Cermin kita mahal harganya. Jika pecah berderailah ia. Jika retak hilang nilai. Jagalah cermin itu. Ia cermin diri yang tidak ternila harganya.

Wednesday, January 29, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Memperlihat Yang Tersirat



Anugerah Allah yang besar kepada manusia ialah akal. Dengannya kita boleh berfikir untuk memilih yang terbaik. Menginsafi segala kekurangan. Memanfaatkan segala kebaikan dan kelebihan. Memahami keadaan yang berbeza. Apabila kita melihat sekeliling kita, kita dapati tidak semua orang yang memiliki akal yang tinggi. Bahkan Allah menjadikan kita dalam berbagai peringkat kapasiti akal yang berbeza. Ada yang lebih dan ada yang kurang. Mereka yang berfikiran tinggi sangat kurang. Para anbia Allah berikan kelebihan itu dengan izin Allah. Kita yang biasa-biasa ini perlu pula mengasah bakat untuk berfikir. Belajar untuk menyusun jalan fikir. Menyatakan fikiran dengan banyak belajar. Perbezaan kapasiti berfikir juga menyerlahkan tindakan yang kita ambil. Tindakan kita sama dengan jalan fikir kita. Mereka yang jalan fikirnya tinggi tindakannya sukar dibaca. Berbeza untuk difahami. Tafsirannya berbagai. Kalimah yang digunakan berbagai makna. Ayat yang diungkap berbagai maksud. Banyak yang tersirat dari yang tersurat. Hanya mereka yang berfikiran tinggi sahaja lama merenung setiap yang difikir. Mengambil tindakan yang sesudah difikirkan masak-masak. Tidak ada tindakan yang memudaratkan. Menyusahkan. Apatah lagi menyesatkan. Cuba fahami maksud ungkapan ini:

Di mana saya boleh basuh tangan?

Bagi kita yang biasa-biasa membaca ayat tersebut tentulah maksudnya seperti tersurat. Hendak basuh tangan secara lafzi. Seperti disebut. Seperti ditulis. Lalu kita tunjukkan bekas air. Singki. Parit. Kolam. Sungai. Mungkin tasik. Habis cerita. Ayat itu mudah difahami. Maksudnya diketahui dengan jelas. Semua orang memahaminya. Rasanya tiada yang tekecuali. Kecualilah dia sedang mempelajari Bahasa Melayu dan belum khatam lagi. Pemahamannya masih di tahap rendah. Kita yang lain tiada masalah. Orang Melayu memang memahami ayat tersebut. Hari-hari kita menggunakannya. Mereka yang kita tanya juga dapat memahami ayat tersebut. Pertanyaan itu dijawab dengan betul. Kita yang bertanya diarahkan ke tempat yang ada air. Mereka faham kita hendak membasuh tangan. Sangat mudah. As simple as that. Tidak ada apa-apa yang sukar. Benarkah begitu? Betul? Baca seterusnya.

Sekarang mari kita berganjak sedikit ke atas. Berfikir ke aras tinggi. Suatu perkara yang penulis alami ialah mereka yang berada pada aras pemikiran tinggi menggunakan bahasa yang banyak tersirat. Mereka cultured and learned. Sukar hendak diterjemahkan secara harfiah. Mungkin beradab dan berhemah. Tidak juga menepati maksudnya. Penulis belajar dari seseorang yang terkenal di Malaysia. Satu-satunya yang berjawatan sepertinya. Langsung dari Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agung. Tokoh itu ialah Prof DiRaja Ungku Aziz. Membasuh tangan bukan bermakna seperti yang diungkap semata-mata. Membasuh tangan bermakna berurusan di bilik air. Prosesnya panjang dan diakhiri dengan membasuh tangan. Jika orang dahulu menggunakan ungkapan ke sungai besar dan ke sungai kecil, membasuh tangan bermaksud seperti berikut:

1                 Ke bilik air.
2                 Melepaskan hajat besar atau kecil.
3                 Melegakan diri.
4                 Mengemaskan diri.
5                 Mengemaskan penampilan.
6                 Puaskan hati di bilik air seperti membetulkan pakaian, menyisir rambut, membasuh muka dan memeriksa gigi, janggut, misai dan mungkin kebersihan hidung.
7                 Mempastikan penampilan terbaik sebelum berjumpa dengan penyambut tetamu, sahabat, kenalan dan audien.
8                 Akhir sekali membasuh tangan.

Ungkapan membasuh tangan merupakan penamat suatu proses aktiviti yang panjang. Yang perlu dilakukan dengan teliti dan penuh sabar. Perlu banyak latihan supaya dapat melakukannya tanpa teragak-agak. Siapa Prof DiRaja Ungku Aziz? Rasanya mereka yang sebaya dengan penulis amat mengenalinya. Ramai orang Malaysia mengenalinya. Orang muda juga ramai mengenalinya. Dia tergolong antara tokoh yang berfikiran tinggi. Menjana pemikiran untuk maslahah ummah. Maknanya mereka yang semakin tinggi ketokohannya wajarlah mempamerkan pemikiran tinggi. Bertindak selaras dengan pemikiran tinggi itu. Mereka yang mendengar diperlukan berfikir panjang. Mereka yang membaca perlu menyingkap bait demi bait yang tersurat. Terlalu banyak yang tersirat di sebalik yang tersurat. Bukan double meaning tetapi perlu dilihat dari aspek yang berbeza sebelum difahami. Sebelum mengambil tindakan yang selari dengan ambilan fahaman itu.

Dalam perkara ini bahasa amat penting. Dalam profesion apa sekalipun bahasa adalah inti kepada pemahaman. Pencerakinan bahasa dan maknanya. Penyampaiannya kepada audien. Huraian dah hujjah yang memberikan ruang memperluas minda. Begitulah semua ulamak (dimaksudkan expert – pakar) menguasai bahasa peringkat tinggi. Ilmu perlu dipelajari dengan bahasa yang tinggi. Disampaikan dengan bahasa yang tinggi. Bahasa tinggi bukan pula bermakna jargon, bombastik  atau ungkapan yang tidak mudah difahami. Yang dimaksudkan ialah maknanya mendalam. Sedikit tajam. Bahasa yang tinggi lebih kepada:

1                 Menggunakan bahasa harian tetapi diolah dengan sedemikian rupa sehingga maknanya memberi impak besar. Contoh: Saya hendak tidur. Biasa sebab kita orang biasa. Jika diungkapkan, saya istirehat sekarang. Kita tidak tahu maksud sebenarnya. Berehat kerana penat atau hendak tidur. Tetapi jika waktu malam, masa sudah lewat serta matanya kelihatan pejam dan celik tentulah ia hendak tidur. Tidur adalah berehat. Fizikal dan minda. Sebelum digerakkan semula pada esoknya sebelum solat Subuh.
2                 Bahasa yang disusun sangat mudah tetapi indah.
3                 Semua orang memahaminya sepintas lalu walaupun perlukan tindakan yang berbeza mengikut kefahaman masing-masing.

Ingat Perjanjian Hudaibiyah? Ramai para sahabat yang marah kerana Rasulallah akur dengan permintaan kaum musriqin Makkah yang memberikan syarat-syarat tidak masuk akal. Itu yang tersurat dan yang difahami pada zahirnya. Sesungguhnya Rasulallah lebih mengetahui berbanding mereka semua. Akhirnya ternyata bahawa bantahan para sahabat itu tiada asasnya kerana at the and of the day Muslimin mengatasi kaum musriqin. Dalam semua hal. Dalam semua aspek. Hanya dalam masa lapan tahun kebenaran terserlah walaupun perjanjian itu untuk jangkamasa 10 tahun. Malah Makkah dibuka semula oleh Rasulallah dan sahabat-sahabatnya tanpa sebarang tentangan. Selepas itu berbondong-bondong kaum musriqin menganut Islam.


Begitulah dalam hidup ini kita kena banyak melihat ke dalam. Ke dasar yang tersirat untk memahami apa sebenarnya yang tersurat. Banyak tindakan orang lain yang dilihat banyak celanya. Apabila diteliti kita dapati tindakan itu memerlukan pemikiran tinggi. Tindakan proaktif. Tindakan berwawasan. Perhatikan orang bermain catur. Mereka yang hebat dan selalu menang selalu bercatur. Bukan sekadar mencatur bidak sendiri. Melihat juga caturan orang lain. Gerak catur. Malah selalunya gerakan yang dianggap innocent itulah yang sangat berbahaya. Boleh checkmate pihak lawan. Kerana itu kita perlu banyak berfikir peringkat tinggi. Perlu melihat yang tersirat. Perlu memahami tindakan orang lain dengan minda yang terbuka dan tenang. Belajarlah untuk memahami berdasarkan aspek yang berbeza. Melihat sesuatu dari luar kotak. Keluar dari kebiasaan. Berbahasa dengan indah. Memberi makna yang berungkap dan bermadah. Dibaca senang. Diingat mudah. Diulang melancarkan lidah.