Monday, January 13, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Rehlah Syarie


Mencari yang islamik bukan sesusah mana. Kita sahaja yang tidak mencari jalan keluar. Tidak patuh syariah. Jika produk ada yang perlu patuh syariah. Syarikat juga perlu patuh syariah. Cara hidup kita masih banyak perlu diubah supaya patuh syariah. Malangnya sistem sekular di negara kita terlalu mencengkam sehingga umat Islam tidak lagi mengenal yang mana satu yang hak dan yang mana yang batil. Yang syarie selalu disalah mengerti. Ramai yang berusaha untuk patuh syarie. Dalam majlis walimatulurus umpamanya ada tuan rumah yang berusaha memisahkan antara tetamu lelaki dan tetamu wanita. Malangnya usaha ini selalu tidak dipatuhi oleh tetamu. Apabila datang tetamu berkeluarga mereka beranggapan tidak mengapa. Mereka lupa di meja sebelah adalah mereka yang berlainan gender. Mereka pula bukan mahram. Tuan rumah membuat tindakan yang betul. Tetamu pula lain yang difahaminya. Walau bagaimanapun tuan rumah telah berbuat yang terbaik dapat dilakukannya. Alhamdulillah. Ada usaha ke arah syarie.

Di luar sana masih banyak yang perlu dilakukan. Sewajarnya hal ini dididik dari sekolah kebangsaan lagi. Apabila mereka di sekolah menengah mereka sudah agak terbiasa. Di IPT mereka sudah memahami yang syarie. Kita masih kental dengan fahaman bahawa kanak-kanak tidak mengapa bercampur antara gender. Mereka masih kecil. Kita pula selalu lupa bahawa segala-galanya perlu bermula pada usia kanak-kanak tujuh tahun. Mula bersolat dan mula memulakan kehidupan yang patuh syarie. Ke sekolah berseluar panjang. Tidak bercampur antara pelajar lelaki dan pelajar perempuan. Didikan awal inilah yang menentukan pemikiran yang islamik. Semoga apabila membesar minda mereka dapat memisahkan antara yang hak dengan yang batil. Yang islamik dengan yang bukan islamik. Ianya tanggungjawab ibu bapa Islam. Tanggungjawab guru-guru Islam. Tanggungjawab pemimpin Islam. Islam tidak dibina hanya apabila seseorang itu dewasa. Ianya melalui didikan yang prosesnya panjang dan lama. Perlu bimbingan. Perlu pemantauan. Perlu istiqamah.

Begitulah di sesetengah negara pemisahan gender sangat dipatuhi. Baik di rumah atau di luar rumah. Pada hari Selasa 7 Januari 2014 penulis menyertai perkelahan yang dikendalikan oleh Markaz Nil. Ramailah pelajar yang turut serta. Perkelahan itu memudik Sungai Nil. Mudik mengambil masa sejam setengah. Menghilir pulang juga sejam setengah. Peserta kira-kira 60 orang. Mereka dari berbagai negara seperti Turki, Kagarzstan, Qirghistan, Russia, Cina, Afghanistan, Malaysia, USA, dan lain-lain. Saudara seislam. Berbagai rupa tetapi jiwanya Islam. Kesemuanya lelaki. Terdapat du orang perempuan tetapi masih kanak-kanak berusia dua dan tiga tahun. Begitulah sewajarnya dilakukan. Lelaki dan wanita dipisahkan. Bukan segregasi. Bukan diskriminasi. Mematuhi perintah agama. Yang dilarang dipatuhi. Dingin bulan Januari menggirangkan hati kerana di sepanjang mudik dan hilir itu terlihat berbagai pemandangan yang menyegarkan. Musim dingin di Mesir berbeza dengan musim yang sama di negara lain. Ada pokok yang tidka terjejas dengan suhu sejuk. Ada yang dedaunnya baru hendak gugur. Terlihat dedaun yang mula menguning. Di tanah bertaburan dedaun kering. Tidak secantik musim luruh di USA atau Canada. Namun cukup untuk memahami perubahan suhu dan impaknya kepada kehidupan lain.

Di atas kapal peserta mengikuti aktivi yang disediakan. Tiada nyanyian. Tiada dansa. Tiada muzik. Disediakan soalan-soalan kuiz yang meliputi sejarah Islam, para sahabat, ibadah, al-Quran dan berbagai lagi. Di akhir aktiviti seorang wakil setiap negara memperdengarkan bacaan al-Quran. Syahdu. Peserta yang terakhir dari USA. Dia bertaranum. Aduh. Terkedu sebentar. Andainya aktiviti sebegitu digalakkan di negara kita pastinya ramai anak-anak kita kenal Rasul mereka. Nama-nama malaikat. Sejarah solat. Ulum al-Quran. Sejarah perjalanan agama. Sirah nabi. Dan berbagai lagi aspek yang boleh diperkembangkan. Umpamanya dalam solat apakah perintah menukar qiblat? Tidak ramai anak-anak yang mengetahui bahawa qiblat yang pertama ialah Bait al-Maqdis, di Palestin. Di sebuah bandar purba yang dinamakan al-Quds. Itulah ibu negara Palestin. Bangsa Yahudi menghina umat Islam ketika itu kerana berqiblatkan ke Bait al-Maqdis. Sewaktu wahyu diturunkan mengenai perubahan Qiblat, Rasulallah dan para sahabat berada di Masjid Qiblatain. Masjid dua qiblat. Solat Asar ketika itu. Bergeraklah Rasulallah dan makmumnya ke arah Masjid al-Haram.


Melentur buluh tentu dari rebungnya. Agama diterapkan sejak anak-anak masih sangat kecil. Terbuka menerima pengajaran. Mudah menerima input segar mengenai agama anutannya. Kanak-kanak adalah sumber inspirasi agama. Kepada mereka disandarkan harapan masa hadapan agama. Didiklah mereka secara syarie. Menjaga solat mereka. Menjaga adab mereka. Menjaga akhlak mereka. Kita sudah lama kehilangan jati diri sebagai Muslim berakhlak mulia. Perlu menghormati yang lebih tua. Membantu yang kepayahan dalam banyak hal. Kita yang dewasalah yang merencanakan yang terbaik untuk anak-anak kita. Anak-anak didik kita. Tanggungjawab ini berat tetapi bukan terlalu sukar. Mulakan dari yang mudah. Bukan muzik. Bukan puisi. Bukan nyanyian. Bukan joget. Bukan merebut kerusi. Perkelahan syarie menambahkan tebal iman. Menambahkan sayang kepada agama. Lebih mengenal Allah dan RasulNya.

Gambar-gambar berikut adalah pemandangan di kanan dan kiri Sungai Nil. Termasuk gambar-gambar lain sebelum dan semasa perkelahan.






Antara bangunan lama
































Pulau di tengah sungai






Ladang pisang


















Kuda sedang dimandikan


Masing-masing memperdengarkan bacaan al-Quran






Remang senja




Kapal layar




Memancing


Pokok kobis bersama pokok pisang



Menunggang kaldai di ladang pisang


Pencemaran diesel di Sungai Nil




Bingkisan Dari Kaherah: Insan Terbaik Dibina Keinsanannya



Agama disimpulkan dalam tiga aspek. Aqidah, ibadah dan akhlaq. Harapan semua ibu bapa Islam ialah anak-anak mereka menjadi yang terbaik dalam agama. Anak-anak yang soleh dan solehah. Yang hidupnya beramal jariah. Yang mendokan kedua ibu dan bapanya yang sudah berada di alam barzah. Yang menyampaikan ilmu kepada orang lain. Akhlaqnya seperti Rasulallah. Seperti al-Quran berjalan. Semua hal agama dijaga. Yang diperintahkan Allah dilaksanakan dengan penuh ihsan. Yang dilarang dijauhi sejauh-jauhnya. Mengajak kepada kebaikan dan menegah kemungkaran  yang berlaku di sekelilingnya. Juga berusaha mencegahnya. Tidak ada yang terbina dalam diri kita sejak dari dilahirkan. Semuanya perlu dibina asasnya. Maka anak-anak adalah acuan yang bentuknya disajikan ibu bapa untuk melestarikan agamanya. Ditentukan sejak dari bermulanya hidup berkeluarga. Sebelum janin terjadi. Sebelum rahim ibu berisi. Sebelum anak dilahirkan. Set acuan insan terbaik sudah digariskan sejak dari awal. Dicari dan digali dari banyak sumber. Dirujuk alim dan ulamak yang memahami jalan agama.

Pembinaan berkeluarga bermula dari pemilihan pasangan masing-masing. Ibu dan bapa yang sah taraf adalah asas yang tidak ada tolok bandingnya. Dihias dengan rupa paras. Harta benda kekayaan. Dibalut dengan agama yang ampuh. Disulam dengan agama yang indah. Pegangan aqidah yang sangat kukuh. Hal-hal sebegini semakin sukar kerana di negara kita anak-anak yang tidak sah taraf semakin ramai. Memilih adalah suatu proses yang perlu teliti. Itu belum cerita mengenai pendidikan agama mereka. Pendidikan akademik mereka. Itu belum amalan baik mereka. Itu belum adab mereka. Itu belum keperihatinan dan kepekaan mereka. Sifat empati mereka. Sifat bertanggungjawab mereka. Dalam diri ibu dan bapa sewajarnya ada banyak sifat-sifat baik kerana sifat-sifat itulah yang akan diperturunkan kepada anak-anak. Keluarga bukan sekadar bernikah kahwin. Dalam minda ibu bapa tentulah masa hadapan anak-anak.

Pendidikan agama tidak bermakna hanya sekolah agama. Bukan sekolah sahaja yang meletakkan anak-anak supaya beragama. Sejak anak-anak berada dalam kandungan lagi, anak-anak dididik dengan agama. Bibir ibu dan bapa tidak kering dengan doa.  Dengan bacaan al-Quran. Dengan nasihat yang membina. Dengan ungkapan yang baik-baik. Anak-anak dalam kandungan mendengar. Belajar dari apa yang didengar. Yang sampai melalui derianya. Melalui nalurinya. Perasaannya dekat dengan ibunya. Sembilan bulan sepuluh hari yang panjang itu perlu diisi dengan suntingan agama. Dengan kuntum-kuntum kebaikan. Dengan semerbak wangian agama. Janin akan membesar dengan kerinduan yang amat sangat terhadap agamanya. Agama yang dijanjikan Allah sejak dari alam roh lagi. Lahir sahaja seseorang anak diperdengarkan azan dan iqamahnya. Didoakan kesejahteraannya. Mulalah ia diasuh dengan Islam. Zahir dan batinnya.

Kewajipan ibu bapa untuk mengenepikan pendidikan yang berbaur dengan yang lagha. Yang menjauhkan anak-anak dari dekat dengan agama. Supaya jalan hidupnya selari dengan agama. Tidak ada orang lain yang lebih arif tentang anak mereka selain dari ibu dan bapa. Acuannya ada pada mereka. Apabila sedari kecil anak-anak sudah terdidik dengan mendedah aurat maka sukarlah untuk membawa mereka ke jalan yang lebih baik. Mereka terdidik ke arah yang salah sejak dari awal lagi. Sudah tersasar sejak awal. Sukar untuk diungkapkan. Pedidikan kita di sekolah banyak yang lari dari syarie. Selain dari bercampur gender, muzik, nyanyian, tarian dan hiburan dipupuk kepada pelajar. Kita tidak menafikan ajaran agama dari ustaz dan ustazah. Cuma perlaksanaan melahirkan insan Muslim berakhlak mulia tidak diselarikan. Tidak diintegrasikan. Tidak disegerakkan. Bilik darjah dilihat berasingan dengan dunia realiti di luar. Fungsi sosial bahawa sekolah merealisasikan aspirasi masyarakat seperti bercapah tidak menentu arah.

Banyak amalan agama bermula dari yang asas. Yang mudah. Yang semua orang boleh melakukannya dengan sempurna. Kerana itu perlu ada latihan untuk menjaga hubungan dengan Allah dan RasulNya. Turutannya ke bawah kepada kedua ibu dan bapa, orang tua yang berpengalaman dan kepada guru. Sekarang ini hubungan itu tidak dijaga. Hubungan dengan Allah mungkin urusan individu. Tetapi hubungan pelajar dengan guru semakin parah. Cerita pelajar mendendami guru sangat banyak. Yang mencalar dan membuang angin kereta guru juga ramai. Yang mengingkari arahan atau larangan guru lagilah berjela panjangnya. Masyarakat di luar sana kecundang dengan perubahan keadaan. Persekitaran untuk menghormati guru sudah terlalu terhakis dan pudar. Mana mungkin pelajar yang tersandar di tempat duduk  belakang kereta Mercedez menghormati gurunya yang hanya menunggang motorsikal berkuasa rendah dan buruk. Bunyinya sahaja bising. Tetapi jika anak itu dididik dengan akhlaq yang baik tentu itu bukan pemisah antara status sosial keluarganya dan status gurunya. Bukan modal untuk tidak menghormati gurunya. Atau modal untuk menghina orang lain.

Alangkah indahanya anak-anak yang menjadi hafiz dan hafizah sejak dari kecil. Mulutnya sentiasa basah dengan ayat al-Quran. Basah dengan zikir. Basah dengan sebutan nama-nama Allah. Amalan agama seperti solat sudah tidak perlu dipaksa-paksa. Tahu sendiri apa yang baik untuk dirinya. Hiburan bukan dalam bentuk aktiviti yang lagha. Sebaliknya dengan ayat-ayat suci. Suaranya dicantiknya. Bacaannya diindahkan. Agama dan Islam sentiasa di minda dan hatinya. Yang dikenal bukan nama artis tetapi sahabat nabi yang dijamin masuk ke syurga. Jihad yang menuntut syahid. Menuntut ilmu yang bermanfaat. Berbakti kepada masyarakat. Tiada waktu senggang yang sia-sia. Rehatnya bukan tidur. Lapangnya bukan tidak berbuat apa-apa kerja. Semua masanya diisi untuk memberi manfaat. Untuk dirinya. Untuk orang-orang di sekelilingnya.

Tidak ramai ibu bapa yang membimbing anak-anaknya ke peringkat tinggi. Penulis teringat arwah Ahmad Ammar. Seusia mudanya dibawa oleh bapanya Tuan Haji Mohamad Azam bersama-sama menghariri berbagai seminar. Kebanyakan kita tentulah tidak berkeupayaan berbuat begitu. Walau bagaimanapun ramai antara kita boleh membawa anak-anak mendengar ceramah, seminar, forum atau tazkirah yang banyak di sekeliling kita. Baik di surau atau di masjid. Baik di dewan atau di padang. Baik di radio atau di TV. Pendidikan formal disertai dengan pendidikan non formal. Ditambah pula dengan pendidikan informal. Membebankan hanya guru sahaja yang memberikan input pendidikan adalah terlalu tidak adil. Ibu bapa tidak boleh hanya melahirkan anak-anak sahaja. Malangnya cuti hujung minggu kita habis begitu sahaja. Cuti panjang antara semester juga berlalu begitu sahaja. Cuti hujung tahun hanya tinggal hari dan minggu. Tidak ada perancangan ibu bapa untuk memberikan pendidikan non formal atau pendidikan informal atau kedua-duanya. Dua hari pada hujung minggu tanpa quality time. Cuti antara semester juga tanpa aktiviti mengeratkan hubungan antara anak dan ibu bapa. Malang sungguh anak-anak di Malaysia. Nilai tambah pada diri mereka terlalu kecil.

Gajet semasa sekarang ini membunuh kemanusiaan. Anak-anak yang dimanjakan dengan teknologi tenggelam dalam keghairahan meneroka alam maya. Kehadiran orang-orang di sekeliling mereka tidak memberikan apa-apa warna dan bunga. Tiada wangi dan keindahan. Bersama tetapi jauh terpisah dalam sunyi bersama teknologi. Pesalah terbesar sekarang ini ialah telefon bimbit. Peranannya terlalu dicanggihkan hingga manusia hilang kemanusiaannya. Di rumah mereka terpisah bilik. Di pejabat terpisah meja. Di luar rumah mereka terpisah dengan ruang dan hijab yang dibina tanpa dilihat mata. Masing-masing gila bercakap sendiri. Senyum sendiri. Berbual tanpa bicara dengan orang yang tiada rupa. Amalan  memainkan telefon bimbit tanpa had dan batas adalah suatu malapetaka kepada ummah. Pergaulan mesra semakin hilang. Berbual semakin jarang. Berinteraksi dengan manusia secara bersemuka semakin seperti tidak ada. 

Makan semeja tanpa bual. Duduk serumah tanpa bicara. Dalam kenderaan yang sama tetapi tanpa ada interaksi. Dunia semakin sunyi kepada individu. Mungkin bising di luar tetapi sunyi tanpa ada tanya dan jawab. Tanpa ada gurau dan senda. Tanpa ada sapa dan tawa. Individualistik yang bertimpa-timpa. Manusia hidup sendiri-sendiri melayani kegilaan teknologi. Kesemuanya ini adalah antara yang mengguris perasaan orang-orang terdekat. Hilang manja dan cerita. Tanya dan khabar berita. Bayangkan ibu bapa datang dari jauh. Termangu-mangu menunggu bicara. Anak-anak kurang sapanya. Cucu kurang manjanya. Hilang ceritanya. Tetamu yang ramai tercegat tanpa tanya dan khabar. Teman-teman menjadi bersendirian kerana masing-masing tidak perlukan manusia. Mereka lebih perlukan gajet yang berbicara tanpa suara.


Ibu bapa berperanan sebagai guru pertama. Rumah adalah tempat terbaik segala-galanya bermula. Tempat yang paling kondusif kepada anak-anak. Di rumah ibu dan bapa menentukan set acuan tentang masa hadapan anak-anak mereka. Hal ini agak merumitkan kerana kita tidak ada set sistem yang sistemik. Permasalahan keibubapaan perlu dilihat semula. Ibu bapa perlu dididik dahulu sebelum adanya proses mendidik anak-anak. Sekolah bukan institusi yang boleh diabaikan. Menyesal hanya setelah terlambat sepatutnya tidak ada lagi. Masa tidak boleh diundur semula. Menangisi nasib yang tidak lagi dapat dibela. Tidak mengapa. Masa hadapan masih ada harapannya. Masih ada peluang untuk mengubah keadaan. Masa untuk membina ruang baru. Cita-cita baru. Dinamika baru.

Friday, January 10, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Mungkinkah Air Tidak Bercampur

Ramai orang kaya yang selalu ke negara tersebut. Artis kita kerap juga yang membuat penggambaran drama di sana. Pernah atau tidak terfikir bahawa di situ terdapat tanda yang nyata kebesaran Allah. Kali ini kita kembara ke Afrika Selatan. Mungkin ke Cape Town atau lain-lain bandar di selatan Afrika Selatan. Di Tanjung Harapan – Cape of Good Hope. Tanjung yang member harapan kepada pelaut Eropah untuk menemui jalan ke Timur. Untuk mereka menjajah negara-negar adi Timur termasuk Malaysia. Di Tanjung Harapan ini bertemu Lautan Hindi dan Lautan Atlantik. Di situlah air yang dua warnanya tidak bertemu. Tidak bercampur. Kedua-duanya air. Air masin. Air laut. Warna dan perbezaan kemasinannya menjadikannya tidak bercampur. Pada kita sukar untuk memikirkannya. Ada jawapan saintifiknya. Pada kita yang beriman apapun alasan tidak penting. Yang penting kita memahami bahawa itu adalah antara tanda kebesaran Allah. Yang Maha mencipta.

Jika orang bertanya, di mana tempat yang paling ingin dilawati, tentulah jawapannya banyak tidak terhingga. Jika kita sempitkan pilihan, mungkin jawapannya dapat diagak. Jika kita ingin melihat kebesaran Allah tentulah juga banyak. Mungkin ada yang signifikan. Yang kadang-kadang kita tidak terfikir mengenainya. Minda kita kosong dari menyenaraikannya. Kita selalu ingat yang di depan mata. Yang pernah kita lihat. Pernah kita dengar. Kita banyak kali membacanya kerana kita orang Islam. Satu-satunya bacaan yang dibaca oleh semua orang Islam. Al-Quran adalah sumber tamadun. Di dalamnya Allah wahyukan kepada manusia supaya dapat memikirkannya. Bahawa syahadah kita kepada Allah itu benar-benar dimengerti. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Ayat-ayat Allah penuh dengan makna yang tersurat dan tersirat. Oleh kerana kita terperangkap dengan sesuatu tempat maka kita hanya melihat di sekeliling kita sahaja. Yang hampir dengan kita. Bagi mereka yang mengembara ke seluruh pelosok alam mungkin banyak yang dilihat. Itu juga bergantung kepada niat dan pengalamannya yang tersendiri. Jika melancong sekadar melancong maka yang dibawa pulang hanya gambar, cenderamata dan ingatan di minda. Bagi mereka yang dekat dengan Al-Quran, Surah Al-Rahman mengandungi maklumat yang tidak terhingga banyaknya. Ayat 19-20 menceritakan dua laut yang bertemu tetapi anihnya air dari kedua lautan itu tidak bercampur. Kekal membina sempadannya yang tersendiri. Kehadirannya mencabar minda. Mana mungkin air tidak bercampur. Yang kita maklum air dan minyak sahaja yang tidak boleh bercampur. Malah air dari dua lautan ini berlainan pula warnanya. Yang satu warnya biru. Yang satu lagi warnanya hijau.


Seperti ada sempadan antara air yang berlainan warna. Ada kocak ombak antara kedaunya. Seperti tembok konkrit. Minda biasa kita tidak dapat mencari jawapan mengapa air tidak bercampur.


 Hijau dan biru yang tidak bercampur. Berbagai teori dikemukan. Ramai pula yang tidak mengaitkan dengan kuassa Allah. mereka sibuk mencari jawapan sains. Tidak pula dicari pemilik sains itu sendiri.



Sempada dua lautan. Di kanan biru dan di kiri pula hijau.


Melihat paparan mengenai pertemuan dua laut ini sangat menginsafkan. Kita membaca al-Quran saban waktu. Kebanyakan kita tidak memahami apa yang kita baca. Sementelahan pula al-Quran diwahyukan dalam Bahasa Arab. Kerana itu kita tidak berapa peduli dengan apa yang kita baca. Kita tidak kenal al-Quran yang kita baca. Tidak kenal maka tidak cinta. Dalam kembara penulis, banyak yang ditemui seperti yang diwahyukan. Di Jordan paling banyak yang menggamit keinsafan. Laut Mati yang membinasakan kaum yang ingkar. Kaum yang songsang. Di Laut Mati itu juga tempat bersejarah apabila tentera Rom dikalahkan oleh tentera Muslimin. Dua ayat pertama surah Rom menyatakannya dengan kiasan. Kalah tentera Rom di kawasan tanah yang rendah. Mufasirin lebih cenderung menyatakan bahawa tempat rendah itu ialah Laut Mati. 400 meter di bawah paras laut. Berhampiran dengan Laut Mati ialah kawasan yang dahulunya Madyan. Tempat tinggal Nabi Syuib. Pernah didiami oleh Nabi Musa. Kaum Madyan juga dibinasakan Allah kerana menipu dalam sukatan dan timbangan.

Di Irbid penulis temui tinggalan kerajaan Yunani Lama. Dikatakan itulah ibu negara Yunani. Mungkin di situ Socrattes bermustautin dengan falsafahnya. Atau mungkin Plato dan Aristotle. Tidak juga dilupakan Ashab al-Kahfi. Tujuh pemuda dan seekor anjing yang Allah tidurkan selama 300 dan sembilan tahun. Suatu matematik yang Allah rakamkan dalam wahyu. 309 tahun Hijrah sama dengan 300 tahun Masehi. Jumlah harinya tidak banyak berbeza. Begitu juga dengan Petra. Bandar kota yang dibina dengan menebuk dan memahat gunung. Kaum Anbat yang membinanya seperti kaum Nabi Salleh di Saudi Arabia. Di Mesir lagilah banyak yang tidak terhingga. Orang Mesir menyatakan bahawa sepertiga khazanah lama yang bersejarah berada di Mesir. Hanya di suatu tempat yang bernama Luxor. Hanya satu tempat sahaja sudah terlalu banyak untuk menjadi input minda dan mata. Seluruh Mesir adalah khazanah alam. Yang selalu dilihat hanya pyramid. Tetapi kekayaan khazanah di Mesir tidak terhingga banyaknya. Dari kota tenggelam Qarun hinggalah Spinx (Abu Hul) hinggalah kota-kota yang menjadi tinggalan sejarah. Terdapat juga pertemuan dua laut tempat pertemuan antara Nabi Musa dengan Nabi Khidir. Di tempat laut terbelah. Nabi Musa membawa kaum Israel keluar dari Mesir sambil dikejar oleh Firaun dan tenteranya.

Al-Quran adalah kebenaran khabar berita yang Allah sampaikan kepada kita. itulah sebabnya Imam Syafiee menyarankan supaya kita mengembara dan bermusafir. Kita lihat sendiri ciptaan Allah yang di luar pemikiran manusia. Banyak yang beyond logic. Sebagai orang Islam kesemuanya kita percayaai kerana iman kita yang menentukannya. Logik akal kita menyatakan bahawa air memang boleh bercampur. Tentulah sukar menjawab sesuatu kelainan tanpa iman. Berbeza antara sains dan iman. Seperti kata Aristotle, maujud hanya diterima akal jika dapat disentuh, dilihat dan dirasa. Dengan kata lain ianya perlu  berbentuk fizikal. Maka sibuklah kita yang menjadi guru bereksperimen di makmal sains untuk membuktikan itu dan ini. Hubaya-hubaya! Banyak yang tidak dilihat wujud tetapi pada hakikatnya wujud. Terlalu banyak. Iman kita membenarkan kewujudannya. Angin tidak dapat dilihat. Dapat pula dirasa puputannya. Roh tidak dapat dilihat tetapi tanpa roh kita tinggal jasad. Iman kita pula mempercayai tentang wujudnya Allah, malaikat, syurga dan neraka, hidup sesudah mati, pahala dan dosa, qiamat, qada’ dan qadar’. Tidak ada yang dilihat dengan mata kasar. Orang biasa diperlukan mengimaninya. Manusia tertentu seperti rasul dan nabi mungkin dapat bertemu dengan yang ghaib dengan izin Allah. Sesungguhnya mereka kekasih Allah.


Bacalah al-Quran selazat mungkin. Fahami isinya. Perlu mempelajari Bahasa Arab untuk memahami. Bermusafir untuk menyakinkan bahawa hanya Allah sahaja yang berkuasa menciptakan sesuatu. Penyaksiaan kepada ciptaan Allah ini meningkatan keyakinan kita. Menambah iman. Menguatkan pendirian beragama. Pergilah keluar sana untuk menyaksikan sendiri indahnya ciptaan Allah. Semuanya diciptakan untuk manusia. Untuk yang beriman. Untuk yang mengerti. Untuk yang mengambil iktibar.


Thursday, January 9, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Pesan Imam Shafie – Kembara dan Musafir



Dunia ini sangat luas. Sukar untuk menjelajah ke seluruh pelosok dunia. Seumur hidup kita tidak termampu untuk ke setiap ceruk dunia ini. Walau bagaimanapun jika kita berada di bawah tempurung yang sama seumur hidup kita tidak dapat mengenal tempurung lain yang lebih besar dan lebih indah. Dunia ini sangat indah untuk dibiarkan tanpa dilihat. Melihat pula tentulah dengan mata. Tetapi mata kasar kita selalu terpedaya kerana kita tersasar hanya melihat yang tersurat. Melihat yang kelihatan nyata. Melihat yang maujud. Terlalu terpedaya dengan yang fizikal. Padahal yang tersirat terlalu banyak untuk dilihat. Untuk ditafsir. Untuk dicari manfaatnya. Melihat rupa wajahnya dari mata hati. Pengajaran yang terpancar. Iktibar yang terbina. Sebab itu ulamak dahulu sering berpergian. Berkelana yang disebut rehlah ilmu. Mencari sesuatu yang baru walaupun asasnya sudah diketahui. Lain tempat lain belalangnya. Lain orang lain pula keistimewaannya. Dalam proses belajar umpamanya setiap guru adalah berbeza penyampaiannya. Ada kelebihan-kelebihan yang tidak dimiliki oleh guru yang lain. Maknanya ulamak dahulu belajar dari siapa sahaja yang memiliki ilmu. Dari usaha itu digarap proses menghalusi sifat manusia. Mengiratkan perhubungan antara manusia. Memberikan lapisan ilmu yang mampan.

Begitulah Imam Syafiee menganjurkan agar kita semua melakukan kembara. Kata setengah orang business cum pleasure.   Kembara kita bukan sahaja membuka mata tanpa erti. Bukan memasang telinga tanpa dengar. Apabila kita kembara kita melihat. Kita mendengar. Kita menghidu. Kita mengalami perasaan yang berbaur dan berbagai. Panas di suatu tempat. Sejuk di suatu tempat yang lain. Berangin pada tempat yang lain. Ada rasa enak. Ada rasa nayman. Ada rasa resah. Mata, telinga, hidung dan deria kita yang lain menghantar pola mesej ke otak dan minda kita. Terjadilah reaksi yang mengusik psikologi kita. Datanglah rasa nikmat. Rasa terhibur. Rasa dipenuhi dengan keindahan. Rasulallah berhijrah ke Madinah kerana mematuhi perintah Allah. Benar. Sejarah menukilkan bahawa kesedihan Rasulallah menebal di hati Baginda atas ketiadaan isteri tercinta dan paman tercinta. Hijrah memberi ruang untuk hati Baginda menikmati rasa gembira. Dalam kembara yang tidak seberapa kadang-kadang kita menemui diri kita. Menemui diri orang-orang di sekeliling kita. berlaki nilai tambah. Memperkayakan cara kita berfikir. Cara kita bertindak. Cara kita berinteraksi dengan orang lain. Dari kembara itu kita mengenal diri kita yang sebenarnya. Banyak kelamahan. Kekurangan keistimewaan. Dahuylunya kita perasan bahawa kita terlalu unggul melebihi orang lain. Berhadapan dengan situasi-situasi baru menyedarkan kita bahawa diri kita sebenarnya hanya seorang pemain yang terlalu kerdil. Ramai lag orang lain yang terlalu hebat berbanding diri kita.

Imam Syafiee dalam pesannya menggalakkan kita semua mengembara meninggalkan kampung halaman demi untuk mencari kemuliaan. Apa sebenarnya kemuliaan yang boleh kita perolehi. Seperti dikatakan di atas tadi, dalam kembara semua pancaindera kita difungsikan. Maka banyak yang kita lihat kelainan. Kejutan-kejutan baru. Terfana dengan hal-hal di luar fikir.  Kesemuanya menjadi input yang disimpan rapi dalam fail ingatan. Dalam memori otak. CD-ROM yang sangat kukuh sehingga di hujung usia. Dalam al-Quran ada sepotong ayat yang mafhumnya, tidak sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui. Seorang pengembara yang tidak sesuatu yang banyak atau tertentu masih dilihat lebih banyak pengetahuannya. Apabila dia bercerita tiada siapa yang boleh menafikan kerana itu adalah pengalamannya sendiri. Peribadi. Bukan dipinjam-pinjam. Bukan copy and paste. Hanya pengalaman sebegitu sahaja dia mendapat kemuliaan. Orang lain hanya mampu mendengar dan menelan air liur sahaja. Tidak termimpi pula untuk menurut jejak pengembara. Bak keris Sempana Ganja Iras, sebulan dagang berlalu, jejak ditikam mati jua. Pengalaman kembara sangat bermanfaat dalam jangkapendek dan jangkapanjang.  Kadang-kadang tida tahu di mana hendak mula diceritakan. Terlalu banyak yang dialami.

Kata Imam Syafiee bermusafir mendatangkan berbagai nikmat. Umpamanya:

1                 Menghilangkan rasa duka. Melunturkan kenangan-kenangan pahit yang pernah dilalui.
2                 Peluahg mencari rezeki baru. Mungkin rezeki zahiriah seperti pendapatan, keuntungan atau dalam bentuk harta dan wang ringgit. Jangan lupa rezeki mungkin santapan minda dan memperkayakan psikologi.
3                 Menghargai faedahnya ilmu. Proses kita belajar tidak pernah tamat. Tidak ada sudahnya. Ada sahaja yang perlu dipelajari. Gaya hidup yang berbeza. Berinteraksi dengan iklim kadang-kadang sangat mencabar. Itu belum budaya dan amalan hidup di tempat yang baru.
4                 Berada di tempat orang memerlukan kita mengubah cara hidup. Sebagai orang beragama kita selalu ingin melakukan adab yang terbaik. Umat Islam dilahirkan untuk mengamalkan adab yang terbaik. Namun begitu setiap tempat ada sistem adabnya yang tersendiri. Sesuai dengan budaya setempat. Umpamanya kita di Malaysia mandi sekurang-kurangnya tiga kali sehari. Mungkin lebih banyak kali. Mereka yang demam sahaja kurang mandinya. Atau yang berpenyakit. Manusia yang tinggal di negara-negara beriklim panas atau sederhana mandi mereka tidak sekerap kita. mungkin sekali dalam seminggu. Atau dua kali. Mungkin tidak mandi seminggu atau dua. Atau lebih lama. Cukup membasuh di tempat-tempat tertentu seperti muka, tangan dan kaki. Benar, kerana berwuduk. Anggota lain jarang terkena air khususnya pada musim dingin. Kerana itu minyak wangi didsunatkan. Manda sebelum ke masjid untuk solat Jumaat bagi setengah mazhab dikira wajib.
5                 Peluang bertemu dan berinteraksi dengan orang-orang mulia. Seorang ustaz. Seorang mualim. Seorang berilmu. Mereka berbeza dengan ulamak yang kita temui di Malaysia. Dalam kembara kita lebih ramai senarai orang mulia yang kita temui. Kita dapat bersama mereka. Ibarat kata orang jika kita bersahabat dengan penjual minyak wangi kita terwangi juga. Kita akan cenderung menuju kebaikan. Orang mulia penuh nasihat. Banyak pengajaran berguna. Cakapnya bermanfaat. Banyak yang membina.

Kembara dan bermusafir menambahnilai diri kita. Mungkin kita boleh membuat penilaian semua dalam banyak perkara yang selalu kita lalu. Kita selalu menjadi orang yang nakal. Melihat banyak kelemahan tetapi tidak berbuat sesuatu untuk memperbaikinya. Sekarang cuba sama-sama kita fikirkan. Sudah sampai masanya kita mensyariatkan pelancongan. Dalam agenda pelancongan ada konsep ibadat. Bagi yang Islam konsep ini sangat menarik. Pelancongan yang sentiasa berkiblat. Jadual solat dijaga. Ada tazkiraah. Ada kursus ringkas. Ada edaran bahan bacaan mengenai agama. Melancong kerana melihat kebesaran Allah. Menikmati ciptaan Allah sebagai pengajaran. Sumber menginsafkan diri. Kita belajar untuk mengambil yang baik. Pada masa yang sama meninggalkan yang buruk. Umpamanya kita jadikan amalan ucapan seperti:
ﻣﺎ ﺷﺎﺀ ﺍﻟﻠﻪ
ﺍﻟﺤﻤﺪ ﻟﻠﻪ
ﺃﺳﺘﻐﻔﺮ ﺍﻟﻠﻪ
ﺳﺒﺤﻦ ﺍﻟﻠﻪ
ﺇﻥ ﺷﺎﺀ ﺍﻟﻠﻪ

Termasuklah juga syahadah, selawat dan ungkapan-ungkapan zikir sebagai mengingati Allah sepanjang masa. Melancong bukan hanya memuaskan mata. Kita berpeluang mengamalkan Islam itu sendiri. Cara yang sangat simple dan tiada yang menyusahkan. Menjadikan kesemuanya di bibir kita. Ringan. Cepat. Tiada tekanan atau paksaan. Cuma kita mainkan di bibir kita sahaja. Kita singkirkan kata-kat seperti:

Wow
Fuyuh
Mak datuk
Perrrrh
Ok


Ayuh kembara ilmu. Banyak pengajaran dari bermusafir. Untuk kembara berikutnya cuba buka minda untuk melihat dengan mata hati. Mendengar suara yang tidak didengar dengan telinga sahaja. Tetapi didengar dengan hati. Buka yang dihidu hidung sahaja. Bahkan yang dihidu oleh pancaindera yang lain. Lihatlah warna yang berbagai. Saiz yang berbagai. Jarak yang berbagai. Rupa wajah yang berbagai. Bau yang berbagai. Suara yang berbagai. Perasaan kita yang berbagai apabila berinteraksi dengan sesuatu yang berbagai. InsyaAllah kembara kita akan lebih bermakna.