Monday, January 13, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Insan Terbaik Dibina Keinsanannya



Agama disimpulkan dalam tiga aspek. Aqidah, ibadah dan akhlaq. Harapan semua ibu bapa Islam ialah anak-anak mereka menjadi yang terbaik dalam agama. Anak-anak yang soleh dan solehah. Yang hidupnya beramal jariah. Yang mendokan kedua ibu dan bapanya yang sudah berada di alam barzah. Yang menyampaikan ilmu kepada orang lain. Akhlaqnya seperti Rasulallah. Seperti al-Quran berjalan. Semua hal agama dijaga. Yang diperintahkan Allah dilaksanakan dengan penuh ihsan. Yang dilarang dijauhi sejauh-jauhnya. Mengajak kepada kebaikan dan menegah kemungkaran  yang berlaku di sekelilingnya. Juga berusaha mencegahnya. Tidak ada yang terbina dalam diri kita sejak dari dilahirkan. Semuanya perlu dibina asasnya. Maka anak-anak adalah acuan yang bentuknya disajikan ibu bapa untuk melestarikan agamanya. Ditentukan sejak dari bermulanya hidup berkeluarga. Sebelum janin terjadi. Sebelum rahim ibu berisi. Sebelum anak dilahirkan. Set acuan insan terbaik sudah digariskan sejak dari awal. Dicari dan digali dari banyak sumber. Dirujuk alim dan ulamak yang memahami jalan agama.

Pembinaan berkeluarga bermula dari pemilihan pasangan masing-masing. Ibu dan bapa yang sah taraf adalah asas yang tidak ada tolok bandingnya. Dihias dengan rupa paras. Harta benda kekayaan. Dibalut dengan agama yang ampuh. Disulam dengan agama yang indah. Pegangan aqidah yang sangat kukuh. Hal-hal sebegini semakin sukar kerana di negara kita anak-anak yang tidak sah taraf semakin ramai. Memilih adalah suatu proses yang perlu teliti. Itu belum cerita mengenai pendidikan agama mereka. Pendidikan akademik mereka. Itu belum amalan baik mereka. Itu belum adab mereka. Itu belum keperihatinan dan kepekaan mereka. Sifat empati mereka. Sifat bertanggungjawab mereka. Dalam diri ibu dan bapa sewajarnya ada banyak sifat-sifat baik kerana sifat-sifat itulah yang akan diperturunkan kepada anak-anak. Keluarga bukan sekadar bernikah kahwin. Dalam minda ibu bapa tentulah masa hadapan anak-anak.

Pendidikan agama tidak bermakna hanya sekolah agama. Bukan sekolah sahaja yang meletakkan anak-anak supaya beragama. Sejak anak-anak berada dalam kandungan lagi, anak-anak dididik dengan agama. Bibir ibu dan bapa tidak kering dengan doa.  Dengan bacaan al-Quran. Dengan nasihat yang membina. Dengan ungkapan yang baik-baik. Anak-anak dalam kandungan mendengar. Belajar dari apa yang didengar. Yang sampai melalui derianya. Melalui nalurinya. Perasaannya dekat dengan ibunya. Sembilan bulan sepuluh hari yang panjang itu perlu diisi dengan suntingan agama. Dengan kuntum-kuntum kebaikan. Dengan semerbak wangian agama. Janin akan membesar dengan kerinduan yang amat sangat terhadap agamanya. Agama yang dijanjikan Allah sejak dari alam roh lagi. Lahir sahaja seseorang anak diperdengarkan azan dan iqamahnya. Didoakan kesejahteraannya. Mulalah ia diasuh dengan Islam. Zahir dan batinnya.

Kewajipan ibu bapa untuk mengenepikan pendidikan yang berbaur dengan yang lagha. Yang menjauhkan anak-anak dari dekat dengan agama. Supaya jalan hidupnya selari dengan agama. Tidak ada orang lain yang lebih arif tentang anak mereka selain dari ibu dan bapa. Acuannya ada pada mereka. Apabila sedari kecil anak-anak sudah terdidik dengan mendedah aurat maka sukarlah untuk membawa mereka ke jalan yang lebih baik. Mereka terdidik ke arah yang salah sejak dari awal lagi. Sudah tersasar sejak awal. Sukar untuk diungkapkan. Pedidikan kita di sekolah banyak yang lari dari syarie. Selain dari bercampur gender, muzik, nyanyian, tarian dan hiburan dipupuk kepada pelajar. Kita tidak menafikan ajaran agama dari ustaz dan ustazah. Cuma perlaksanaan melahirkan insan Muslim berakhlak mulia tidak diselarikan. Tidak diintegrasikan. Tidak disegerakkan. Bilik darjah dilihat berasingan dengan dunia realiti di luar. Fungsi sosial bahawa sekolah merealisasikan aspirasi masyarakat seperti bercapah tidak menentu arah.

Banyak amalan agama bermula dari yang asas. Yang mudah. Yang semua orang boleh melakukannya dengan sempurna. Kerana itu perlu ada latihan untuk menjaga hubungan dengan Allah dan RasulNya. Turutannya ke bawah kepada kedua ibu dan bapa, orang tua yang berpengalaman dan kepada guru. Sekarang ini hubungan itu tidak dijaga. Hubungan dengan Allah mungkin urusan individu. Tetapi hubungan pelajar dengan guru semakin parah. Cerita pelajar mendendami guru sangat banyak. Yang mencalar dan membuang angin kereta guru juga ramai. Yang mengingkari arahan atau larangan guru lagilah berjela panjangnya. Masyarakat di luar sana kecundang dengan perubahan keadaan. Persekitaran untuk menghormati guru sudah terlalu terhakis dan pudar. Mana mungkin pelajar yang tersandar di tempat duduk  belakang kereta Mercedez menghormati gurunya yang hanya menunggang motorsikal berkuasa rendah dan buruk. Bunyinya sahaja bising. Tetapi jika anak itu dididik dengan akhlaq yang baik tentu itu bukan pemisah antara status sosial keluarganya dan status gurunya. Bukan modal untuk tidak menghormati gurunya. Atau modal untuk menghina orang lain.

Alangkah indahanya anak-anak yang menjadi hafiz dan hafizah sejak dari kecil. Mulutnya sentiasa basah dengan ayat al-Quran. Basah dengan zikir. Basah dengan sebutan nama-nama Allah. Amalan agama seperti solat sudah tidak perlu dipaksa-paksa. Tahu sendiri apa yang baik untuk dirinya. Hiburan bukan dalam bentuk aktiviti yang lagha. Sebaliknya dengan ayat-ayat suci. Suaranya dicantiknya. Bacaannya diindahkan. Agama dan Islam sentiasa di minda dan hatinya. Yang dikenal bukan nama artis tetapi sahabat nabi yang dijamin masuk ke syurga. Jihad yang menuntut syahid. Menuntut ilmu yang bermanfaat. Berbakti kepada masyarakat. Tiada waktu senggang yang sia-sia. Rehatnya bukan tidur. Lapangnya bukan tidak berbuat apa-apa kerja. Semua masanya diisi untuk memberi manfaat. Untuk dirinya. Untuk orang-orang di sekelilingnya.

Tidak ramai ibu bapa yang membimbing anak-anaknya ke peringkat tinggi. Penulis teringat arwah Ahmad Ammar. Seusia mudanya dibawa oleh bapanya Tuan Haji Mohamad Azam bersama-sama menghariri berbagai seminar. Kebanyakan kita tentulah tidak berkeupayaan berbuat begitu. Walau bagaimanapun ramai antara kita boleh membawa anak-anak mendengar ceramah, seminar, forum atau tazkirah yang banyak di sekeliling kita. Baik di surau atau di masjid. Baik di dewan atau di padang. Baik di radio atau di TV. Pendidikan formal disertai dengan pendidikan non formal. Ditambah pula dengan pendidikan informal. Membebankan hanya guru sahaja yang memberikan input pendidikan adalah terlalu tidak adil. Ibu bapa tidak boleh hanya melahirkan anak-anak sahaja. Malangnya cuti hujung minggu kita habis begitu sahaja. Cuti panjang antara semester juga berlalu begitu sahaja. Cuti hujung tahun hanya tinggal hari dan minggu. Tidak ada perancangan ibu bapa untuk memberikan pendidikan non formal atau pendidikan informal atau kedua-duanya. Dua hari pada hujung minggu tanpa quality time. Cuti antara semester juga tanpa aktiviti mengeratkan hubungan antara anak dan ibu bapa. Malang sungguh anak-anak di Malaysia. Nilai tambah pada diri mereka terlalu kecil.

Gajet semasa sekarang ini membunuh kemanusiaan. Anak-anak yang dimanjakan dengan teknologi tenggelam dalam keghairahan meneroka alam maya. Kehadiran orang-orang di sekeliling mereka tidak memberikan apa-apa warna dan bunga. Tiada wangi dan keindahan. Bersama tetapi jauh terpisah dalam sunyi bersama teknologi. Pesalah terbesar sekarang ini ialah telefon bimbit. Peranannya terlalu dicanggihkan hingga manusia hilang kemanusiaannya. Di rumah mereka terpisah bilik. Di pejabat terpisah meja. Di luar rumah mereka terpisah dengan ruang dan hijab yang dibina tanpa dilihat mata. Masing-masing gila bercakap sendiri. Senyum sendiri. Berbual tanpa bicara dengan orang yang tiada rupa. Amalan  memainkan telefon bimbit tanpa had dan batas adalah suatu malapetaka kepada ummah. Pergaulan mesra semakin hilang. Berbual semakin jarang. Berinteraksi dengan manusia secara bersemuka semakin seperti tidak ada. 

Makan semeja tanpa bual. Duduk serumah tanpa bicara. Dalam kenderaan yang sama tetapi tanpa ada interaksi. Dunia semakin sunyi kepada individu. Mungkin bising di luar tetapi sunyi tanpa ada tanya dan jawab. Tanpa ada gurau dan senda. Tanpa ada sapa dan tawa. Individualistik yang bertimpa-timpa. Manusia hidup sendiri-sendiri melayani kegilaan teknologi. Kesemuanya ini adalah antara yang mengguris perasaan orang-orang terdekat. Hilang manja dan cerita. Tanya dan khabar berita. Bayangkan ibu bapa datang dari jauh. Termangu-mangu menunggu bicara. Anak-anak kurang sapanya. Cucu kurang manjanya. Hilang ceritanya. Tetamu yang ramai tercegat tanpa tanya dan khabar. Teman-teman menjadi bersendirian kerana masing-masing tidak perlukan manusia. Mereka lebih perlukan gajet yang berbicara tanpa suara.


Ibu bapa berperanan sebagai guru pertama. Rumah adalah tempat terbaik segala-galanya bermula. Tempat yang paling kondusif kepada anak-anak. Di rumah ibu dan bapa menentukan set acuan tentang masa hadapan anak-anak mereka. Hal ini agak merumitkan kerana kita tidak ada set sistem yang sistemik. Permasalahan keibubapaan perlu dilihat semula. Ibu bapa perlu dididik dahulu sebelum adanya proses mendidik anak-anak. Sekolah bukan institusi yang boleh diabaikan. Menyesal hanya setelah terlambat sepatutnya tidak ada lagi. Masa tidak boleh diundur semula. Menangisi nasib yang tidak lagi dapat dibela. Tidak mengapa. Masa hadapan masih ada harapannya. Masih ada peluang untuk mengubah keadaan. Masa untuk membina ruang baru. Cita-cita baru. Dinamika baru.

No comments:

Post a Comment