Friday, January 10, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Mungkinkah Air Tidak Bercampur

Ramai orang kaya yang selalu ke negara tersebut. Artis kita kerap juga yang membuat penggambaran drama di sana. Pernah atau tidak terfikir bahawa di situ terdapat tanda yang nyata kebesaran Allah. Kali ini kita kembara ke Afrika Selatan. Mungkin ke Cape Town atau lain-lain bandar di selatan Afrika Selatan. Di Tanjung Harapan – Cape of Good Hope. Tanjung yang member harapan kepada pelaut Eropah untuk menemui jalan ke Timur. Untuk mereka menjajah negara-negar adi Timur termasuk Malaysia. Di Tanjung Harapan ini bertemu Lautan Hindi dan Lautan Atlantik. Di situlah air yang dua warnanya tidak bertemu. Tidak bercampur. Kedua-duanya air. Air masin. Air laut. Warna dan perbezaan kemasinannya menjadikannya tidak bercampur. Pada kita sukar untuk memikirkannya. Ada jawapan saintifiknya. Pada kita yang beriman apapun alasan tidak penting. Yang penting kita memahami bahawa itu adalah antara tanda kebesaran Allah. Yang Maha mencipta.

Jika orang bertanya, di mana tempat yang paling ingin dilawati, tentulah jawapannya banyak tidak terhingga. Jika kita sempitkan pilihan, mungkin jawapannya dapat diagak. Jika kita ingin melihat kebesaran Allah tentulah juga banyak. Mungkin ada yang signifikan. Yang kadang-kadang kita tidak terfikir mengenainya. Minda kita kosong dari menyenaraikannya. Kita selalu ingat yang di depan mata. Yang pernah kita lihat. Pernah kita dengar. Kita banyak kali membacanya kerana kita orang Islam. Satu-satunya bacaan yang dibaca oleh semua orang Islam. Al-Quran adalah sumber tamadun. Di dalamnya Allah wahyukan kepada manusia supaya dapat memikirkannya. Bahawa syahadah kita kepada Allah itu benar-benar dimengerti. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Ayat-ayat Allah penuh dengan makna yang tersurat dan tersirat. Oleh kerana kita terperangkap dengan sesuatu tempat maka kita hanya melihat di sekeliling kita sahaja. Yang hampir dengan kita. Bagi mereka yang mengembara ke seluruh pelosok alam mungkin banyak yang dilihat. Itu juga bergantung kepada niat dan pengalamannya yang tersendiri. Jika melancong sekadar melancong maka yang dibawa pulang hanya gambar, cenderamata dan ingatan di minda. Bagi mereka yang dekat dengan Al-Quran, Surah Al-Rahman mengandungi maklumat yang tidak terhingga banyaknya. Ayat 19-20 menceritakan dua laut yang bertemu tetapi anihnya air dari kedua lautan itu tidak bercampur. Kekal membina sempadannya yang tersendiri. Kehadirannya mencabar minda. Mana mungkin air tidak bercampur. Yang kita maklum air dan minyak sahaja yang tidak boleh bercampur. Malah air dari dua lautan ini berlainan pula warnanya. Yang satu warnya biru. Yang satu lagi warnanya hijau.


Seperti ada sempadan antara air yang berlainan warna. Ada kocak ombak antara kedaunya. Seperti tembok konkrit. Minda biasa kita tidak dapat mencari jawapan mengapa air tidak bercampur.


 Hijau dan biru yang tidak bercampur. Berbagai teori dikemukan. Ramai pula yang tidak mengaitkan dengan kuassa Allah. mereka sibuk mencari jawapan sains. Tidak pula dicari pemilik sains itu sendiri.



Sempada dua lautan. Di kanan biru dan di kiri pula hijau.


Melihat paparan mengenai pertemuan dua laut ini sangat menginsafkan. Kita membaca al-Quran saban waktu. Kebanyakan kita tidak memahami apa yang kita baca. Sementelahan pula al-Quran diwahyukan dalam Bahasa Arab. Kerana itu kita tidak berapa peduli dengan apa yang kita baca. Kita tidak kenal al-Quran yang kita baca. Tidak kenal maka tidak cinta. Dalam kembara penulis, banyak yang ditemui seperti yang diwahyukan. Di Jordan paling banyak yang menggamit keinsafan. Laut Mati yang membinasakan kaum yang ingkar. Kaum yang songsang. Di Laut Mati itu juga tempat bersejarah apabila tentera Rom dikalahkan oleh tentera Muslimin. Dua ayat pertama surah Rom menyatakannya dengan kiasan. Kalah tentera Rom di kawasan tanah yang rendah. Mufasirin lebih cenderung menyatakan bahawa tempat rendah itu ialah Laut Mati. 400 meter di bawah paras laut. Berhampiran dengan Laut Mati ialah kawasan yang dahulunya Madyan. Tempat tinggal Nabi Syuib. Pernah didiami oleh Nabi Musa. Kaum Madyan juga dibinasakan Allah kerana menipu dalam sukatan dan timbangan.

Di Irbid penulis temui tinggalan kerajaan Yunani Lama. Dikatakan itulah ibu negara Yunani. Mungkin di situ Socrattes bermustautin dengan falsafahnya. Atau mungkin Plato dan Aristotle. Tidak juga dilupakan Ashab al-Kahfi. Tujuh pemuda dan seekor anjing yang Allah tidurkan selama 300 dan sembilan tahun. Suatu matematik yang Allah rakamkan dalam wahyu. 309 tahun Hijrah sama dengan 300 tahun Masehi. Jumlah harinya tidak banyak berbeza. Begitu juga dengan Petra. Bandar kota yang dibina dengan menebuk dan memahat gunung. Kaum Anbat yang membinanya seperti kaum Nabi Salleh di Saudi Arabia. Di Mesir lagilah banyak yang tidak terhingga. Orang Mesir menyatakan bahawa sepertiga khazanah lama yang bersejarah berada di Mesir. Hanya di suatu tempat yang bernama Luxor. Hanya satu tempat sahaja sudah terlalu banyak untuk menjadi input minda dan mata. Seluruh Mesir adalah khazanah alam. Yang selalu dilihat hanya pyramid. Tetapi kekayaan khazanah di Mesir tidak terhingga banyaknya. Dari kota tenggelam Qarun hinggalah Spinx (Abu Hul) hinggalah kota-kota yang menjadi tinggalan sejarah. Terdapat juga pertemuan dua laut tempat pertemuan antara Nabi Musa dengan Nabi Khidir. Di tempat laut terbelah. Nabi Musa membawa kaum Israel keluar dari Mesir sambil dikejar oleh Firaun dan tenteranya.

Al-Quran adalah kebenaran khabar berita yang Allah sampaikan kepada kita. itulah sebabnya Imam Syafiee menyarankan supaya kita mengembara dan bermusafir. Kita lihat sendiri ciptaan Allah yang di luar pemikiran manusia. Banyak yang beyond logic. Sebagai orang Islam kesemuanya kita percayaai kerana iman kita yang menentukannya. Logik akal kita menyatakan bahawa air memang boleh bercampur. Tentulah sukar menjawab sesuatu kelainan tanpa iman. Berbeza antara sains dan iman. Seperti kata Aristotle, maujud hanya diterima akal jika dapat disentuh, dilihat dan dirasa. Dengan kata lain ianya perlu  berbentuk fizikal. Maka sibuklah kita yang menjadi guru bereksperimen di makmal sains untuk membuktikan itu dan ini. Hubaya-hubaya! Banyak yang tidak dilihat wujud tetapi pada hakikatnya wujud. Terlalu banyak. Iman kita membenarkan kewujudannya. Angin tidak dapat dilihat. Dapat pula dirasa puputannya. Roh tidak dapat dilihat tetapi tanpa roh kita tinggal jasad. Iman kita pula mempercayai tentang wujudnya Allah, malaikat, syurga dan neraka, hidup sesudah mati, pahala dan dosa, qiamat, qada’ dan qadar’. Tidak ada yang dilihat dengan mata kasar. Orang biasa diperlukan mengimaninya. Manusia tertentu seperti rasul dan nabi mungkin dapat bertemu dengan yang ghaib dengan izin Allah. Sesungguhnya mereka kekasih Allah.


Bacalah al-Quran selazat mungkin. Fahami isinya. Perlu mempelajari Bahasa Arab untuk memahami. Bermusafir untuk menyakinkan bahawa hanya Allah sahaja yang berkuasa menciptakan sesuatu. Penyaksiaan kepada ciptaan Allah ini meningkatan keyakinan kita. Menambah iman. Menguatkan pendirian beragama. Pergilah keluar sana untuk menyaksikan sendiri indahnya ciptaan Allah. Semuanya diciptakan untuk manusia. Untuk yang beriman. Untuk yang mengerti. Untuk yang mengambil iktibar.


No comments:

Post a Comment