Saturday, August 24, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Menjejak Makam Imam Syafiee


Seorang ulamak Syafie

Di dalam Masjid As-Syafie

Kubah masjid

Dinding masjid yang berukir penuh seni

Intricate

Detailed

Halus

Pada tiang ini Imam Syafiee bersandar selepas solat Asar untuk menghurai permasalahan agama

Sempat berdiri terlupa hendak bersandar

Maklumat

Nadzam

Kisah taufan Nabi Nuh

Makam Imam Syafie

Di luar kepungan kayu. Bertemu keluarga petugas Kedutaan Malaysia.

Sejarah Imam Syafie

Motif warna di dinding masjid

Ukiran kayu di sekeliling dinding masjid




Jika orang bercerita mengenai ulamak ini, Muhammad Bin Idris Bin Abbas Bin Uthman bin Syafie Bin Saib Bin Abdu Yazid Bin Hasyim Bin Abdul Mutalib Bin Abdul Manaf ramai yang hanya geleng kepala. Apabila disebut Imam Shafiee ramai yang tahu. Mungkin tidak 100% orang Islam mengetahuainya. Tetapi lebih ramai yang tahu dari yang tidak tahu. Mereka yang belajar agama tentulah lebih tahu. Mazhab Shafiee adalah yang ketiga mengikut susur galur Mazhab Sunnah Wal-Jamaah iaitu Hanafi, Maliki, Shafiee dan Hambali.  Imam Shafiee berguru kepada Imam Malik. Imam Hambal berguru kepada Imam Shafiee. Mungkin pembaca boleh mengerti urutan itu. Antara mazhab banyak persamaannya. Namun kearifan antara mereka mentafsir maka terdapat beberapa perbezaan. Tetapi tidak menyentuh mengenai hal-hal yang berkaitan dengan rukun iman. Tidak juga berkait dengan hal-hal yang fardhu. Yang wajib. Pengkaji mazhab memiliki kelebihan kerana mengetahui perbezaan itu. Bagaimana perbezaan itu terjadi? Apa yang sewajarnya dilakukan apabila berlaku pertembungan antara mazhab? Kita perlu belajar untuk mengetahuinya.


Sewaktu tuanya Imam Shafiee berhijrah ke Mesir. Menurut riwayat ia berpindah ke Mesir kerana di Mesir ketika itu hidup seorang ulamak besar yang bernama Imam Al-Lait. Kebetulan makam al-marhum berdua berdekatan. Dalam menjejak kedua-dua ulamak ini saya sempat singgah dan melihat suasana yang dihuni keduanya pada zaman  kegemilangan mereka. Setelah ditinggalkan ratusan tahun lamanya orang biasanya melupakan sejarahnya sendiri. Makam keduanya masih dikunjungi orang Islam dari seluruh dunia. Tidak ramai tetapi setiap hari ada sahaja yang berkunjung. Lazimnya makam-makam ulamak dahulu dipelihara. Ada masjid yang melindunginya. Mudah-mudahan setiap pengunjungnya mendapat kelapangan hati dan perasaan. Gembira dan lapang fikiran. Ulamak yang memulakan mazhab ikutannya bersemadi di situ.


Cerita mengenai Imam Shafiee tentulah sangat panjang. Ada tiang masjid yang selalu menjadi tempat Imam Shafiee bersandar selepas waktu Asar. Ketika itulah ia menyelesaikan beberapa permasalahan fiqh umpamanya. Saya sempat berada di tiang itu. Wallahua’lam. Tiang itu yang asal atau yang menjadi pengganti di tempatnya. Saya hanya sempat berdiri. Terlupa pula untuk bersandar. Melakonkan semula saat-saat Imam Shafiee bersandar di tiang itu. Makamnya hanya di sebelah. Dalam kepungan yang berukir bercirikan Mesir. Bercirikan Arab.  Bercirikan Islam. Kepungan kayu itu sangat indah jika dijaga dengan rapi. Hasil seni sebegitu sangat banyak di seluruh Mesir. Kebanyakannya di kawasan masjid, permakaman dan sebagainya. Dibuat dari kayu. Tahan berkurun-kurun lamanya. Suatu khazanah bangsa. Khazanah agama. Khazanah seni.


Senibina Islam sangat menawan. Motif alam disemadikan di sekeliling binaan. Dari lantai, dinding hinggalah ke bumbungnya. Motif warna. Motif corak. Motif geogmetri juga banyak. Jika kita perihatin, pandanglah ke arah mana sahaja. Kita akan melihat keindahan seni orang dahulu. Dapat bertahan berkurun-kurun lamanya. Keindahannya terserlah dan tersembunyi. Mengindah sendiri sesiapa yang memandang. Pelajar senibina seharusnya berkunjung ke negara Islam selain ke negara-negara barat. Di negara Islam ada nilai agama. Fitrah agama diserap dalam senibina. Lari dari westernization yang keterlaluan hingga di bilik air tidak dapat dipasang pili untuk beristinjak. Tidak ada dasar Islam dalam senibina kita. Tidak ada dasar nasional yang menerapkan nilai Islam, budaya Islam, fikrah Islam. Amalan Islam menjadi sukar di bilik air. Tidak ada konsep ibadat. Yang ada ialah konsep bina tanpa seni Islam. Negara Islam tetapi kita mengabaikan Islam. Kadag-kadang di bangunan kerajaan hal-hal yang berkait dengan Islam terlepas pandang.


Sesungguhnya bumi Nabi Musa a.s. ini melahirkan ramai ulamak. Jika kita rajin menjejak mereka banyak makam yang boleh diziarahi. Makam sahabat juga ada di sini. Amru bin Al-As umpamanya. Begitu juga dengan nama-nama yang terbilanag seperti Hassan al-Bana, Muhammad Abduh dan yang lain-lain. Dr. Yusuf Al-Qaradwi adalah orang Mesir. Hingga kini Mesir masih dihuni ramai ulamak. Barangkali banyak yang perlu difikir untuk mengembalikan kegemilangan Islam di jiwa orang Islam. Memperakui bahawa hanya Islam agama terbaik. Agama yang Allah redha dan meredhainya untuk umat Muhammad. Gusar juga apabila memikirkan ada yang mencari alternatif selain Islam. Mereka lupa orang yang bukan Islam mencari agama yang lebih baik dari agama anutan mereka sendiri. Terlalu ramai yang menemui Islam. Menikmati keindahannya. Tenang beribadat. Mendalami Islam. Berdakwah kepada teman dan saudara. Menjadi pendakwah yang tegar. Malah kadang-kadang kita malu sebab Islam mereka jauh terkehadapan. Mereka benar-benar menjejak agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. Hijrah mereka mencari kebenaran. Mencari yang hak.



Marilah sama-sama kita kembali kepada kebenaran. Kepada yang hak. Dunia sudah semakin tua. Tidak siapa tahu bila penamatnya. Kita hanya wajib kembali kepada yang hak. Kebenaran yang hakiki.



Di luar masjid Al-Lait. Nama Al-Lait saya baca semasa membantu isteri saya menyiapkan tugasanya di UM dahulu. Seorang ulamak terkenal di Mesir. Selalu dirujuk oleh masyarakat tempatan, pembesar negara malah juga digurui oleh pemerintah Mesir ketika itu. Malah Imam Syafiee berhijrah ke Mesir kerana kehadiran Imam Al-Lait di bumi Nabi Musa a.s.

Masjid comel dari luar

Mengabadikan kenangan

Di tepi pintu masuk

Masjid Imam Al-Lait

Biodata Imam Al-Lait

Berdoa sebentar di makam Imam Al-Lait

Di bahagian dalam masjid

Di satu sisi masjid

Dinding kayu berukir

Sudah berkurun lamanya. Masih utuh. Masih cantik.

Lampu seperti tanglung. Pada bulan Ramadhan banyak lampu seperti ini dijual di merata-rata tempat. Orang Arab memasangnya sepanjang bulan Ramadhan. Memeriahkan malamnya. Menghidupkan malam.

Di tangga masjid Amru bin Al-As

Sebuah majid besar

Kawasan luarnya luas

Tempat wudu di tengah dataran lapang di bahagian tengah dalam masjid

Tiang-tiang cantik berhias lampu gantung dari seramik

Bersama ibu mertua

Cantik bertatah khat

Di seluruh masjid. Bukan satu atau dua. Beratus banyaknya. 

Bersantai

Besar jasanya di bumi Mesir
















Thursday, August 22, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Mengurus Kemaslahatan



InsyaAllah esok hari Jumaat 23 Ogos 2013 saya dan isteri akan kembali ke Malaysia. Kembali sementara untuk meredakan keadaan. Keadaan di sini.mkeadaan di hati saudara mara dan sahabat handai di Malaysia. Fakta-fakta awal meggariskan hanya 100 orang akan dibawa pulang setiap hari. Jika begitu prosesnya tentulah terlalu lambat. Semakin mencemaskan orang-orang yang menunggu kepulangan kami. Pelan B dan yang berikutnya menambah bilangan. Setiap hari kira-kira 365 orang dibawa pulang. Seperti jangkaan awal mana-mana syarikat penerbangan yang kosong digunakan. Maknanya bukan kesemuanya dalam satu pesawat. Kebanyakannya dalam satu pesawat. Tetapi ada yang terselit di pesawat-pesawat lain. Tidak menjadi masalah asalkan kembali dengan selamat. Sampai di Malaysia. Lagi ramai yang sudah biasa terbang jauh. Asalkan terbang sudah mencukupi.

Tengahari tadi ada mesej dari anak yang mengatakan bahawa nama saya dan isteri tidak ada dalam senarai yang akan pulang hari ini. Benar. Saya semak di laman web Education Malaysia Egypt (EME). Tidak ada. Ke laman web Persatuan Kebajikan Pelajar Johor Mesir (PKPJM). Pun tidak ada. Semalam saya mendapat makluman bahawa giliran saya dan isteri mungkin esok atau lusa. Hari ini adalah esok bagi semalam. Jika tidak ada tentulah esok. Atau lusa bagi semalam. Hingga pukul 12.00 tengahari tidak ada apa-apa berita. Bertanya di laman web juga tidak ada jawapan. Datang juga gusar di hati. Sambil baring-baring mengenang nasib, hantar sms ke PKPJM. Kira-kira setengah jam kemudian say aterima panggilan telefon:

Assalamualaikum. Pakcik Yusof ke?
Ya, saya.
Pakcik, giliran pakcik esok. Kita ambik dalam pukul 10.00 pagi.
Ambik di rumah ke?
Tak. Boleh tunggu di Arabiata. (Sebuah kedai makan seperti Kentucky). Saya belum mencuba lagi.
InsyaAllah.

Parah juga kata isteri saya. Mengheret beg ke jalan besar yang jauhnya kira-kira setengah kilometer. Pelan-pelan saya kata. InsyaAllah tidak ada apa-apa. Selalunya drebar orang Arab sukar diajak berunding. Hendak segera dan hendak senang sahaja. Kena tahu anginnya. Jika tidak ada sahaja halnya dengan mereka. Memahami adalah lebih baik. Untuk mengubah sukar. Di negara kita mungkin kita boleh mentarbiah mereka. Di negara mereka kita hanya perlu memahami. Perbezaan yang perlu dihormati. Dilawan tentu sekali tidak boleh. Jika pukul 10.00  pagi esok di tepi jalan besar maka kami perlu keluar dari rumah kira-kira pukul 9.30 pagi. Heret beg perlahan-lahan. Jalanraya bukan rata. Banyak lopak. Banyak bonggol. Banyak air kerana pada waktu pagi ada orang mengambil upah membasuh kereta. Tempat kami tinggal namanya Jalan Umar Mukhtar. Ya nama Umar Mukhtar adalah nama seorang pejuang di Aljeria yang menentang kependudukan Italy. Jika pernah menonton filem mengenainya watak pejuang ini dilakonkan oleh Anthony Quinn.

Kira-kira pada pukul 4.45 petang terima panggilan dari seseorang yang bernama Syed Ahmad. Tidak diketahui siapa. Tetapi dia menggunakan telefon pelajar PKPJM. Dia meminta  kami menyerahkan passport kami untuk tujuan pengurusan. Pukul 7.00 malam tadi saya ke rumahnya. Kebetulan di jalan sebelah sahaja. Lima minit berjalan. Dapatlah berbual sedikit dengannya. InsyaAllah apabila kembali semula ke Kaherah nanti dapat lebih banyak info dan program yang boleh disertai di Kaherah. Sama ada bersama pelajar Johor atau komuniti Malaysia di sekitar tempat tinggal saya atau di kalangan orang Malaysia amnya di Mesir ini. Dalam kepayahan itu ada kesegaran antara bersahabat. Ada kenalan baru. Ada maklumat baru. Ada peluang baru untuk dikongsi. Aktiviti silaturahim. Aktiviti menambah minda, perasaan dan psikologi.

Pagi tadi saya maklumkan kepada ustaz di Markaz Nil bahawa saya akan kembali ke Malaysia mungkin esok. Termenung dia. Semua pelajar dari Malaysia pulang seperti diarahkan kerajaan. Pelajar Thailand sudah lebih awal. Begitu juga pelajar Singapura dan Brunei. Dalam keadaan seperti itu kerajaan Malaysia tentu tidak mahu tertinggal. Keselamatan diutamakan. Bagi mereka yang menerima hakikat evakuasi ini tentulah rasa bersyukur kerana kerajaan memberi keperihatinan yang tinggi menjaga kebajikan semua rakyatnya yang terlibat di Mesir ini. Keselamatan tanpa apa-apa sekatan atau halangan. Alhamdulillah. Semuanya diberi keutamaan. Tiada yang dikecualikan. Kecualilah sendiri memilih untuk tidak perlu dibantu. Untuk mengambil risiko sendiri. Tahu mengurus diri sendiri dalam apa keadaan sekalipun. Di luar negara tidan seperti di dalam negara. Di luar negara kita bergantung kepada wakil kerajaan iaitu Dut adan kedutaan. Di situlah hub aktiviti yang kalut malut untuk membantu rakyat yang dikhuatiri terancam keselamatannya.

Saya yang baru sangat di Kaherah banyak tidak tahunya. ARMA selalu didengar. Tetapi tidak pernah sampai untuk menjenguk fizikal dan persekitarannya. Begitu juga asrama pelajar Johor. Belum dijengah lagi. Banyak halangannya. Sejak menjejak kaki di bumi anbia ini keadaan belum reda. Hendak berjalan jauh terasa khuatir. Pertahanan diri belum ada. Selok belok jalan masih banyak yang belum diketahui. Ditanya memang tidak tahu. Jika diarahkan ke ARMA mungkin boleh jika ada alamatnya yang jelas. Pemandu teksi rasanya boleh dipercayai. Boleh diharap. Yang menjadi masalah kadang-kadang apa yang kita sebut tidak sama dengan apa yang mereka faham. Ada huruf yang bertukar bunyi. Ada pula bahasa amiyah. Bahasa pasar.  Digunakan secara meluas tetapi tidak dipelajari sebagai bahasa rasmi.  Sewaktu saya kecil dahulu saya biasa mendengar lagu Ya gamil, ya gamil. Orang Melayu sibuk mengikut rentak dan bunyinya. Rupanya itu bahasa amiyah. Orang Arab Mesir menyebutnya sebagai gamil dari huruf ja (jim) yang dibunyikan ga. Sepatutnya berbunyi ja. Jamil menjadi gamil. Buah mangga disebut mango. Ejaannya pula manjo. Ini masalah bahasa. Seperti orang Sepanyol. Jose dibunyikan Hoze. Orang Belanda pula J menjadi Y.  
    
Perjalanan dari rumah ke ARMA belum diplot dengan jelas. Esok pagi akan ada maklumat berkaitan. Yang pentingnya bersedia pada bila-bila masa. Dalam apa-apa keadaan. Persediaan awal sangat penting supaya minda kita segar untuk memikirkan dengan tenang apa sahaja yang perlu. Fikirkan yang penting. Yang besar dan yang kecil. Jika berus gigi tertinggal alamat masalah besar akan dialami. Kecualilah memang tidak pernah menggosok gigi. Orang biasa terasa janggal tidak mengosok gigi. Bukan ketagih. Amalan biasa. Amalan kebersihan diri. Perjalanan pulang tidak tahu lancarnya. Mudah-mudahan Allah memudahkannya. Walau bagaimanapun perlu bersedia secara fizikal dan mental untuk berasa tabah. Banyak bersabar kerana perjalanan jauh yang banyak menguja dan mencabar. Mengurus kemaslahatan umum bukan suatu kerja mudah.

1       Rakyat yang ada di sini disusur.
2       Mendaftar untuk memudahkan pentadbiran.
3       Disediakan jadual evakuasi.
4       Senarai keutamaan.
5       Kesediaan passport dan visa.
6       Senarai nama yang terperinci.
7       Komunikasi.
8       Tempahan tiket.
9       Pengumpulan passport.
10  Pengangkutan ke tempat berkumpul awal. Pengurusan tempat berlegar dan makan minum.
11  Pengangkutan ke lapanganterbang.
12  Urusan bagasi dan tiket.
13  Jadual yang dipastikan tepat.
14  Tindakan susulan jika penerbangan tergendala.


Semua yang terlibat harus banyak sabarnya. Banyak yang perlu dibuat dengan segera. Dengan pantas. On time. Menjaga timeliness.  Menyemak semua perincian. Dari sebelum bertolak hingga sampai di Malaysia. Yang menerima wajib banyak syukurnya. Yang menanti wajib banyak syukurnya. Yang tidak terlibat dan tidak tahu apa-apa perlu mengetahui proses dan prosedurnya supaya mengetahui itu lebih baik dari bercakap tanpa fakta.

Wednesday, August 21, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Mengharap Matematik Yang Bijaksana



Evakuasi rakyat Malaysia di Mesir bermula semalam 20 Ogos 2013. Sepatutnya kumpulan pertama berlepas pulang malam semalam. Namun ketentuan hanya milik Allah. Dalam jangka masa yang terdekat terlalu sukar untuk mendapatkan tiket penerbangan yang dikira banyak pada sesuatu ketika. Ada beberapa kemungkinan yang tidak menentu:

1        Perlu banyak syarikat penerbangan. Setiap satunya mungkin hanya beberapa tiket sahaja.
2        Tidak ada ketentuan untuk terbang terus ke Malaysia.
3        Akan ada yang singgah di beberapa destinasi tertentu seperti Istanbul di Turki atau Amman di Jordan atau Jeddah di Arab Saudi. Atau mungkin destinasi lain yang sesuai.
4        Berapa lama baru sam[pai Malaysia? Soalan cepu emas. Semuanya bergantung kepada tiket poenerbangan. Syarikat penerbangan. Connecting flight yang ada.

Pihak berwajib sudah mengambil keputusan. Pindah balik tetap balik. Ada beberapa faktor yang agak memperlahankan keadaan.

1        Setiap hari hanya 100 orang sahaja diberi peluang untuk pulang. Itu adalah perkiraan awal. kemudiannya angka itu disemak semula menjadi melebihi 365 orang.
2        Kira-kira 20 dari setiap negeri atau kurang. Angka ini juga diganda-gandakan untuk mencukupi angka melebihi 365 orang pada keseluruhannya.
3        Diberi peluang yang bersedia dengan sukarela dahulu.
4        Didahulukan mereka yang visanya masih hidup. Ini juga diubahsuai. Semua boleh didahulukan mengikut susunan giliran masing-masing.


Rakyat Malaysia di Mesir agak ramai bilangannya.

1        Pelajar paling ramai.
2        Pelajar dewasa/warga emas seperti saya.
3        Pelancong.
4        Peniaga
5        Orang-orang persendirian.

Rasanya angka 3,300 orang agak konservatif. Jika sehari 100 orang maka 33 hari diperlukan untuk membawa kesemuanya pulang. Suatu jangkamasa yang agak menggusarkan. Andainya keadaan bertambah baik (diharap dan didoakan) alhamdulillah. Jika sebaliknya maka perlu ada Plan B atau C atau D yang perlu difikirkan. Ramalan tidak boleh dijadikan sandaran yang kukuh. Angkja terbaru ialah 365 orang setiap hari. dalam masa seminggu insyaAllah kesmuanya dapat dibawa kembali ke Malaysia. Tidak ada fakta yang boleh digarap pasti. Kita berhadapan dengan segala kemungkinan yang tidak ada kepastiannya. Dalam pada itu ada juga pelajar atau orang perseorangan yang bercadang tidak mahu pulang. Mereka merasakan keadaan tidaklah begitu mendesak. Mereka rasa boleh hidup dalam keadaan yang sudah biasa bagi mereka. Dalam keadaan seperti itu keputusan adalah peribadi. Tentulah pihak berwajib tidak boleh lepas tangan. Anak-anak watan wajib kembali ke watannya. Risiko mungkin tidak dapat dihindar.

Sejak dari pagi saya mula menghubungi EME (Education Malaysia Egypt). Terkejut ustaz apabila saya katakan di Markaz Nil ramai pelajar Malaysia. Termasuk yang berusia emas seperti saya. Siapa yang menaja, tanyanya. Semua secara persendirian. Saya hubungi Persatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM). Mereka mengambil inisiatif untuk menyalurkan maklumat ke Badan Kebajikan Pelajar Johor Malaysia (BKPJM). Selepas kembali dari kelas pada pukul 12.00 tengahari tadi saya hubungi YDP BKPJM untuk bertanya tentang proses dan prosedur evakuasi. Berbual sebentar.  Bertanya kedudukan. Tempat tinggal dan sebagainya. Petang tadi seseorang dari BKPJM bertanya soalan cepu emas. Pakcik nak balik bersama kami ke? Cepat saya menjawab, ya! Mungkin esok atau lusa katanya. Nanti dia akan hubungi lagi. Segala maklumat tentang saya dan isteri ada di tangannya. Batu besar yang tergantung di atas kepala saya seperti terjatuh dengan sendirinya. Ringan rasanya hati dan perasaan. Ada bunga-bunga keriangan yang dengan sendirinya menjelma. Besar harapan agar kesemuanya dipermudahkan Allah.

Ini masih tentatif. Kepastiannya hanya Allah Yang Maha Mengetahui. InsyaAllah jika esok malam dapat berlepas, hari Sabtu sampailah di Malaysia tercinta. Jika lusa malam maka hari Ahad baru sampai. Bergantung juga kepada masa penerbangan, syarikat penerbangan, connecting flight. Mudah-mudahan dapat tiket terus ke Malaysia. Banyak mudahnya. Banyak senangnya. Banyak ringkasnya. Letihnya juga tidak seberapa berbanding jika terlalu lama banyak meunggu. Bagi yang sudah biasa terbang amat mengerti karenah penerbangan. Jadualnya yang berubah dan berganjak di sana sini. Sekiranya hanya membawa badan seorang tidaklah banyak rumitnya. Bagi yang membawa anak-anak kerumitan itu berganda-ganda bertambahnya. Mereka keletihan. Kita yang tua lebihlah lagi letihnya. Mana hendak diurus bagasi. Makan dan minum mereka. Urusan imigresen dan kastam. Menolak troli. Menggiring dan mengawal anak-anak. Jika anak yang kecil masih perlu didukung bertambah parah jadinya. Isteri sudah kehilangan tangan untuk membantu.

Dalam penerbangan kelas ekonomi banyak yang perlu difikirkan. Duduk di tepi mengganggu orang apabila kita ada urusan ke bilik air umpamanya. Jika duduk di tengah orang di tepi pula keluar masuk. Perlu banyak sabarnya. Keadaan sebegitu tidak dapat dielak. Penerbangan yang berjam-jam lamanya tentulah banyak juga yang perlu ditangani. Tidurpun bukan boleh nyenyak sangat. Baru beberapa ketika sudah sampai waktu makan. Baru lelap sampai waktu sarapan. Sampai lagi waktu makan tengahari. Begitulah kerana kita terbang mengarah ke timur. Ke arah matahari terbit. Malam jadi pendek dan siangnya juga pendek. Kita menyongsong pergerakan matahari. Rasanya yang paling meletihkan ialah jika transit terlalu lama. Mungkin hingga tiga jam atau lebih lama. Berjalan letih. Duduk juga letih. Tidur tidak boleh kerana keadaan tidak kondusif. Selalunya menggelisahkan. Itulah gambaran perjalanan melalui udara. Orang di bawah teringin untuk terbang tinggi. Berada di awan biru. Orang yang dalam penerbangan tidak nampak awanpun kerana pesawat berada di atas awan. Dua versi perasaan yang berbeza. Yang belum terbang sangat teringin. Yang sudah biasa terbang banyak sabarnnya.


Dunia semakin kecil dari udara. Kita di bawah melihat dunia terhampar rata, tidak dapat dilihat jalan pintas yang paling dekat. Penerbangan di udara menggunakan kompas sepenuhnya. Dapat dikesan jalan pintas yang seperlunya. Bergantung kepada negara sahabat. Bergantung kepada perjanjian udara. Bergantung kepada faktor-faktor lain antara negara. Antara negara bukan lagi dikira jauh. Dikira berapa jam penerbangan. Jika 12 jam seperti antara Mesir ke Malaysia maka penerbangan itu dikira jauh. 12 jam penerbangan ke Malaysia jika singgah di mana-mana. Selalunya transit selama tiga jam. Paling pendek dua jam. Mudah-mudahan penerbangan meluncur deras. InsyaAllah. 

Tuesday, August 20, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Masa Yang Debarnya Menanti



Hari ini Selasa 20 Ogos 2013. Sekarang pukul 10.00 malam waktu Kaherah. Gelombang yang mendebar selama beberapa hari ini bertambah tingginya. Rasanya terlalu memuncak. Sehari dua ini langit Kaherah banyak mendungnya. Seperti ada kesayuan yang mengapung di angkasa. Terasa sesuatu akan jatuh menimpa. Hati semakin berat menghiba. Ada gundah yang menggema. Sukar untuk diceritakan. Di hadapan mata tiada apa yang memanas dan membakar. Namun suasana bak api dalam sekam. Selepas satu babak yang mengeri dan mengharu ada babak lain yang datangnya tidak diduga. Sesuatu yang miungkin tidak terfikir sejak tahun 2011 dahulu. Sesuatu yang telah dibuang pastinya diletakkan semula di tempat yang tidak ingin dilihat lagi. Tetapi itulah percaturan. Dalam permainan catur selagi raja belum gugur selagi itulah bidak-bidak bergerak mencari laluan untuk menyusup masuk dan keluar. Mencari ruang untuk memberi onar.

Hari ini bermula episod yang selalunya apabila perlu. Evakuasi. Makin kerap digunakan istilahnya. Rakyat Malaysia akan dikendung pulang ke tanahair. Untuk dikelek selamat dari mara bahaya. Dihindar dari segala ancaman yang mengganggu. Maka

1        Pembelajaran tertangguh sementara.
2        Tempat jatuh tetap dikenang.
3        Teman dan rakan ditinggalkan.
4        Kaherah di kejauhan.
5        Bahang yang dihindar seketika.

Kembali banyak juga baiknya:

1        Ibu bapa ingin menghilang rindu. Dewasa bukan ukuran rindu. Anak tetap anak. Rindu tetap rindu.
2        Anak-anak rindu juga dengan wajah-wajah yang lama hilang. Hanya dunia realiti menghubung.
3        Cucu yang bertanya ingin ditatap. Sudah banyak besarnya. Sudah Nampak tingginya. Sudah berat bertambahnya.
4        Cucu yang kecil belum ditatap. Yang akan lahir ditunggu.

Apabila tidak di hadapan mata memang selalu banyak bimbangnya. Ibu bapa yang jauh dibimbangi anak-anak. Mereka lebih bimbangkan keselamatan. Manusia selalu begitu.

1        Anak-anak dibimbangi apabila tidak di hadapan mata.
2        Ibu dan bapa dibimbangi apabila tidak di hadapan mata.
3        Orang yang haling dari pandangan selalu dibimbangi di dalam hati.
4        Yang hilang di mata banyak rindunya.

Melancong santai perjalanannya. Musafir mungkin serius langkahnya. Diangkut pulang cemas hati di dalam. Malam ini bermulalah perjalanan kumpulan pertama yang akan menjengah kampung halaman. Tidak diminta tetapi ketentuan begitu jadinya. Walapun tidak berhasrat untuk pulang, takdir menentukan segalanya. Keadaan memberi laluan untuk pulang. Maka perjalanan diatur secara pantas. Berperingkat-peringkat. Mungkin transitnya banyak. Dari rumah ke asrama. Ke lapanganterbang. Di lapanganterbang tentulah sangat lama menunggu untuk masuk ke pesawat. Rasanya dari sebelum pukul 7.00 malam hingga dinihari. Lapan hingga 10 jam. Dalam keadaan seperti sekarang hanya perlukan kelas ekonomi. Yang paling kurang kosnya. Sebelah pagi. Antara tengah malam hingga sebelum solat Fajr. Orang di sini tidak menyebut solat Subh. Istilah Subh ada. Sobahan ada. Solat Subh seperti tidak ada. Mereka menyebutnya Solat Fajr. Pada waktu fajr. Lain bangsa lain bahasanya. Di Jordan juga disebut Solat Fajr. Mungkin perlu kajian mengapa di Malaysia disebut Solat Subh. Bukan Fajr.

Dalam situasi genting apa sahaja adalah yang terbaik. Yang pastinya tubuh badan dalam keadaan letih lesu. Peluh dan berlengas. Makan dan minum tidak menentu kecuali dalam penerbangan yang jadual makannya tersenarai indah. Mandi bukan dalam senarai. Solat qasr dan jama’ kerana perjalanan jauh. Perjalanan cemas ini tidak santai seperti diharap. Tidak memberi ruang untuk terlalu berlegar. Tidak boleh buat hal sendiri. Kelompok yang sama harus bergerak dalam kelompok itu. Tidak ada istilah jika tertinggal kapalterbang tunggu penerbangan berikutnya. Kerana itu setiap ahli perlu sentiasa banyak bersama. Bergerak bersama. Berkelompok. Jika ada urusan perlu dimaklumkan kepada yang lain. Wajib dimaklumi. Alangkah besar masalahnya jika ada ahli yang tiba-tiba hilang dari kelompok. Menyusahkan yang lain. Bukan individu yang susah. Negara yang kesusahan.

Sebenarnya kami di sini  tidaklah gusar sangat dengan keadaan semasa. Tempat kami tinggal aman dari gangguan semasa. Cuma kebimbingan tetap ada. Mungkin apa sahaja boleh berlaku. Keadaan mungkin semakin parah. Banyak kebimbingan yang difikirkan. Kembali kepada persoalan yang sama. Antara kebimbangannya ialah:

1        Semua laluan terputus kerana perintah darurat.
2        Tiada bekalan makanan.
3        Tiada bekalan air.
4        Tiada bekalan gas.
5        Tiada bekalan minyak.
6        Tiada bekalan elektrik.
7   Tiada bekalan perubatan.
8   Tiada jaminan keselamatan.

Mungkin sahaja berlaku anarki. Keadaan yang terlalu tidak terkawal. Mereka yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk berbuat apa sahaja. Akan menjadi lebih menyulitkan.

1        Keselamatan awam tiada yang menguasai lagi.
2        Tentera dan polis mungkin gagal mengawal keadan.
3        Pecah rumah, pecah kedai dan pecah gedung berleluasa.
4        Kecurian dan ragut tidak menentu.
5        Pembunuhan tanpa sebab dan tanpa hak.
6        Istilah selamat tidak ada lagi.


Sekarang ini masih ada sandaran pada tentera dan polis. Tidak tahu berapa lama kerana berbagai perkara boleh berlaku. Maka kerana itu rakyat asing dibawa pulang ke negara masing-masing. Sementara kegawatan belum bertambah gawatnya. Sementara masih banyak jalan keluar. Sementara laluan masih terbuka. Sementara masih ada yang boleh dibawa berunding. Ketika ini tidaklah boleh berkeras mengikut kehendak hati. Ibarat ayah dan ibu.  Pintanya dipenuhi. Menolak tentunya menghampakan semua orang. Itu satu hal. Tentulah lebih membimbangkan orang lain. Sanak saudara yang ingin melegakan perasaan. Rakan-rakan yang ingin melapangkan tarikan nafas. Tidak ada sesiapa yang seharusnya dikelurkan dari senarai pulang. Ayah dan ibu tidak akan tergamak meninggalkan anak-anaknya di tengah kegelapan yang bukan aman. InsyaAllah. Bumimu akan dijejak lagi oleh kaki ini. 

Sunday, August 18, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Nak Pulang Tak Pulang



Semakin ditunggu semakin mengusik fikiran. Terakhir pegawai Majlis Keselamatan Negara sudah terbang ke Mesir. Berita dari anak, saya semak online. Tinjauan terakhir akan dibuat esok. Sambil membuat kerja rumah intertnet dilayari. Pulang atau tak pulang. Berat rasanya hati hendak meninggalkan bumi anbia ini. Bumi kelahiran Nabi Musa a.s. Bumi Nabi Harun a.s. Bumi yang dihuni Imam Syafiee. Imam al-Lait. Apakan daya, negara orang yang berkocak. Kita warga asing elok menyingkir dahulu hinggalah keadaan mengizinkan semula. Kesemuanya bumi Allah. Pertambahan manusia memerlukan sempadan negara dan sempadan politik. Antara yang sukar ialah politik dalaman. Tidak mudah memuaskan hati semua orang. Orang Islam sendiri perlu bijak berpolitik. Politik bukan jahat. Tidak juga kotor. Politik ada lenggok dan lagunya yang tersendiri. Ada tari dan rentaknya yang tersendiri. Cuma ramai orang yang bertingkah tidak kena irama. Itu yang menjadikan politik tempang dan pincang.

Hampir dua bulan di Kaherah. Baru sangat. Seronok belajar bahasa Arab di Markaz Nil. Banyak yang menggembirakan pembelajaran yang saya lalui. Mungkin juga begitu yang dirasai oleh pelajar-pelajar yang datangnya dari kira-kira 49 negara di seluruh dunia. Maknanya Markaz Nil ini sangat established. Didatangi oleh ramai yang berminat. Ada yang hanya beberapa bulan dan ada yang hingga melangkaui setahun.  Untuk menamatkan kesemua modulnya memerlukan kira-kira 15 bulan. Setiap modul hanya sebulan. Diselang dengan bulan untuk bercakap, berbicara, bersoal-jawab, bercerita, berhujjah, bersyarah dan sebagainya. Terasa puas kerana setiap hari ada latihtubi yang  banyak untuk memahirkan diri. Kerja rumah yang juga kadang-kadang banyak. Latihan amali ini melatih minda supaya mengingat, menangkap dan membiasakan dengan sistem bahasa. Kaedahnya. Mungkin dari segi morfologi, syataks dan keperluan linguistik yang lain.

Yang pentingnya ada keriangan dalam hati berada di Markaz ini. Yang dicari berada di hadapan mata. Sistem pembelajaran yang teratur memberi laluan yang lebih segar dalam mempelajari bahasa Arab. Teori atau kaedah diberi secara berhemah. Tidak memeranjatkan. Tidak mendebarkan. Malah diterima dengan kefahaman yang lebih tinggi sebab praktikalnya sudah dilalui. Barulah boleh memahami yang mana berbaris hadapan (dhommah), berbaris atas (fathah) dan yang mana berbaris bawah (kasrah). Banyak kali mempelajari bahasa Arab tidak lancar perjalanannya. Kali ini baru dapat merasakan ada keserasiannya. Mudah-mudahan berpanjangan belajar di sini. Malangnya keadaan seperti mengusik perasaan. Kemungkinan besar akan diangkut pulang untuk beberapa ketika sehingga bumi anbia ini tenang kembali. Pada awalnya ingin menggenggam bara api hingga menjadi arang. Api lain yang menyala dan membakar. Maka kami perlu menyisih dahulu dari api itu. Menjauh supaya tidak berlaku tempias dan panasnya. Hanya mampu melihat dan mentafsir. Yang tersurat dan yang tersirat.

Terasa berat hendak berkemas ala kadar. Persatuan Pelajar Johor sudah dihubungi. Persatuan Melayu Mesir juga sudah dihubungi. Ada beberpa orang lain sudah maklum kehadiran saya. Terima kasih Ustaz Haris dari IKRAM (JIM). Terjumpa di kedai buah beberapa hari lalu.  Selain daripada itu pelajar Malaysia di Markaz Nil juga ramai bilangannya. Masing-masing tanya bertanya setiap masa. Bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan. Bila pulang tentu ada yang ditinggalkan.

1       Rumah sewa dan barang-barang milikan yang ditinggalkan.
2       Berapa lama pula harus ditinggalkan.
3       Bagaimana jika melebihi tiga bulan umpamanya.
4       Pelajaran terganggu pula kelancarannya.

Pada tahun 2011 dahulu saya menunggu dengan cemas anak saya diangkut pulang. Kali ini mungkin saya dan isteri pula menerima giliran itu. Anak-anak di tanahair sudah tidak sabar menunggu apa kemungkinan yang akan berlaku. InsyaAllah sehari atau dua ini ada khabar penentu. Pulang atau tak pulang. Kalaulah, kalaulah boleh dielak untuk pulang. Kalaulah boleh bertahan. Semuanya hanya kemungkinan. Yang pastinya apabila orang lain diangkut pulang, kami perlu diangkut juga. Mustahil ditinggalkan dalam keadaan negara orang tidak selamat dan aman. Tanggungjawab pemerintah pula untuk menjamin warganya yang di luar negara selamat dibawa pulang. Tidak ada jaminan keselamatan di negara yang sedang bergolak. Apabila keadaan memuncak gawatnya berbagai perkara boleh berlaku.

1       Bekalan makanan terputus.
2       Aliran air terputus.
3       Bekalan elektrik terhenti.
4       Bekalan perubatan terputus.

Menakutkan juga kerana pergerakan terhad. Banyak terhalang dari kebebasan. Itu belum pemeriksaan kewarganegaraan dan sebagainya. Siapa sahaja boleh disyaki kehadirannya di bumi anbia ini. Semakin difikirkan semakin gelabah juga hati ini. Terlalu banyak kemungkin yang tidak baik berlaku. Yang baiknya belum nampak bayangnya. Mungkin esok ada berita yang pasti. Pulang atau tak pulang. Bila difikirkan lagi mungkin banyak baikny ajuga untuk sementara waktu pulang ke tanahair. Menatap wajah cucu yang belum disapa wajahnya. Cucu baru yang akan lahir tidak lama lagi. Kenduri kendara yang akan dihadiri. Bertemu semula sanak saudara yang sudah berbulan-bulan ditinggalkan. Sahabat handai yang terpisah sementara. Apabila Allah menentukan sesuatu ada hikmah yang perlu diterima. Pasti ada kebaikan dari segala-galanya. Allah hanya memberikan yang terbaik mengikut kadar masing-masing. Yang pentingnya bersyukur. Mensyukuri nikmatNya.


Pulang atau tak pulang hanya suatu keputusan yang mudah. Yang mengiringi keputusan itu yang mungkin menyukarkan bagi setengah orang. Bagi pelajar biasa yang masih muda, penaja tidak keberatan untuk membayar tambang mereka kembali ke Mesir apabila keadaan aman semula. Apabila keselamatannya terjamin. Bagi yang datang dengan biaya sendiri banyak juga yang perlu difikirkan. Perlu berhemah dan berjimat. InsyaAllah Allah mempermudahkan segala urusan. Datang kerana Allah. Kembali kerana Allah. Pergi semula kerana Allah. Hidup ini untuk Allah. Mati juga untuk Allah.