Evakuasi rakyat Malaysia di Mesir bermula semalam 20
Ogos 2013. Sepatutnya kumpulan pertama berlepas pulang malam semalam. Namun
ketentuan hanya milik Allah. Dalam jangka masa yang terdekat terlalu sukar
untuk mendapatkan tiket penerbangan yang dikira banyak pada sesuatu ketika. Ada
beberapa kemungkinan yang tidak menentu:
1
Perlu banyak syarikat penerbangan.
Setiap satunya mungkin hanya beberapa tiket sahaja.
2
Tidak ada ketentuan untuk terbang terus
ke Malaysia.
3
Akan ada yang singgah di beberapa
destinasi tertentu seperti Istanbul di Turki atau Amman di Jordan atau Jeddah
di Arab Saudi. Atau mungkin destinasi lain yang sesuai.
4
Berapa lama baru sam[pai Malaysia?
Soalan cepu emas. Semuanya bergantung kepada tiket poenerbangan. Syarikat
penerbangan. Connecting
flight yang ada.
Pihak
berwajib sudah mengambil keputusan. Pindah balik tetap balik. Ada beberapa
faktor yang agak memperlahankan keadaan.
1
Setiap hari hanya 100 orang sahaja
diberi peluang untuk pulang. Itu adalah perkiraan awal. kemudiannya angka itu disemak semula menjadi melebihi 365 orang.
2
Kira-kira 20 dari setiap negeri atau
kurang. Angka ini juga diganda-gandakan untuk mencukupi angka melebihi 365 orang pada keseluruhannya.
3
Diberi peluang yang bersedia dengan
sukarela dahulu.
4
Didahulukan mereka yang visanya masih
hidup. Ini juga diubahsuai. Semua boleh didahulukan mengikut susunan giliran masing-masing.
Rakyat
Malaysia di Mesir agak ramai bilangannya.
1
Pelajar paling ramai.
2
Pelajar dewasa/warga emas seperti saya.
3
Pelancong.
4
Peniaga
5
Orang-orang persendirian.
Rasanya
angka 3,300 orang agak konservatif. Jika sehari 100 orang maka 33 hari
diperlukan untuk membawa kesemuanya pulang. Suatu jangkamasa yang agak
menggusarkan. Andainya keadaan bertambah baik (diharap dan didoakan)
alhamdulillah. Jika sebaliknya maka perlu ada Plan B atau C atau D yang perlu
difikirkan. Ramalan tidak boleh dijadikan sandaran yang kukuh. Angkja terbaru ialah 365 orang setiap hari. dalam masa seminggu insyaAllah kesmuanya dapat dibawa kembali ke Malaysia. Tidak ada fakta
yang boleh digarap pasti. Kita berhadapan dengan segala kemungkinan yang tidak
ada kepastiannya. Dalam pada itu ada juga pelajar atau orang perseorangan yang
bercadang tidak mahu pulang. Mereka merasakan keadaan tidaklah begitu mendesak.
Mereka rasa boleh hidup dalam keadaan yang sudah biasa bagi mereka. Dalam
keadaan seperti itu keputusan adalah peribadi. Tentulah pihak berwajib tidak
boleh lepas tangan. Anak-anak watan wajib kembali ke watannya. Risiko mungkin
tidak dapat dihindar.
Sejak
dari pagi saya mula menghubungi EME (Education Malaysia Egypt). Terkejut ustaz
apabila saya katakan di Markaz Nil ramai pelajar Malaysia. Termasuk yang
berusia emas seperti saya. Siapa yang menaja, tanyanya. Semua secara
persendirian. Saya hubungi Persatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM). Mereka
mengambil inisiatif untuk menyalurkan maklumat ke Badan Kebajikan Pelajar Johor
Malaysia (BKPJM). Selepas kembali dari kelas pada pukul 12.00 tengahari tadi
saya hubungi YDP BKPJM untuk bertanya tentang proses dan prosedur evakuasi.
Berbual sebentar. Bertanya kedudukan.
Tempat tinggal dan sebagainya. Petang tadi seseorang dari BKPJM bertanya
soalan cepu emas. Pakcik nak balik bersama kami ke? Cepat saya menjawab, ya!
Mungkin esok atau lusa katanya. Nanti dia akan hubungi lagi. Segala maklumat
tentang saya dan isteri ada di tangannya. Batu besar yang tergantung di atas
kepala saya seperti terjatuh dengan sendirinya. Ringan rasanya hati dan
perasaan. Ada bunga-bunga keriangan yang dengan sendirinya menjelma. Besar
harapan agar kesemuanya dipermudahkan Allah.
Ini
masih tentatif. Kepastiannya hanya Allah Yang Maha Mengetahui. InsyaAllah jika
esok malam dapat berlepas, hari Sabtu sampailah di Malaysia tercinta. Jika lusa
malam maka hari Ahad baru sampai. Bergantung juga kepada masa penerbangan,
syarikat penerbangan, connecting flight. Mudah-mudahan dapat tiket
terus ke Malaysia. Banyak mudahnya. Banyak senangnya. Banyak ringkasnya.
Letihnya juga tidak seberapa berbanding jika terlalu lama banyak meunggu. Bagi
yang sudah biasa terbang amat mengerti karenah penerbangan. Jadualnya yang
berubah dan berganjak di sana sini. Sekiranya hanya membawa badan seorang
tidaklah banyak rumitnya. Bagi yang membawa anak-anak kerumitan itu
berganda-ganda bertambahnya. Mereka keletihan. Kita yang tua lebihlah lagi
letihnya. Mana hendak diurus bagasi. Makan dan minum mereka. Urusan imigresen
dan kastam. Menolak troli. Menggiring dan mengawal anak-anak. Jika anak yang
kecil masih perlu didukung bertambah parah jadinya. Isteri sudah kehilangan
tangan untuk membantu.
Dalam
penerbangan kelas ekonomi banyak yang perlu difikirkan. Duduk di tepi
mengganggu orang apabila kita ada urusan ke bilik air umpamanya. Jika duduk di
tengah orang di tepi pula keluar masuk. Perlu banyak sabarnya. Keadaan sebegitu
tidak dapat dielak. Penerbangan yang berjam-jam lamanya tentulah banyak juga
yang perlu ditangani. Tidurpun bukan boleh nyenyak sangat. Baru beberapa ketika
sudah sampai waktu makan. Baru lelap sampai waktu sarapan. Sampai lagi waktu
makan tengahari. Begitulah kerana kita terbang mengarah ke timur. Ke arah
matahari terbit. Malam jadi pendek dan siangnya juga pendek. Kita menyongsong
pergerakan matahari. Rasanya yang paling meletihkan ialah jika transit terlalu
lama. Mungkin hingga tiga jam atau lebih lama. Berjalan letih. Duduk juga letih.
Tidur tidak boleh kerana keadaan tidak kondusif. Selalunya menggelisahkan.
Itulah gambaran perjalanan melalui udara. Orang di bawah teringin untuk terbang
tinggi. Berada di awan biru. Orang yang dalam penerbangan tidak nampak awanpun
kerana pesawat berada di atas awan. Dua versi perasaan yang berbeza. Yang belum
terbang sangat teringin. Yang sudah biasa terbang banyak sabarnnya.
Dunia
semakin kecil dari udara. Kita di bawah melihat dunia terhampar rata, tidak
dapat dilihat jalan pintas yang paling dekat. Penerbangan di udara menggunakan
kompas sepenuhnya. Dapat dikesan jalan pintas yang seperlunya. Bergantung
kepada negara sahabat. Bergantung kepada perjanjian udara. Bergantung kepada
faktor-faktor lain antara negara. Antara negara bukan lagi dikira jauh. Dikira
berapa jam penerbangan. Jika 12 jam seperti antara Mesir ke Malaysia maka
penerbangan itu dikira jauh. 12 jam penerbangan ke Malaysia jika singgah di
mana-mana. Selalunya transit selama tiga jam. Paling pendek dua jam.
Mudah-mudahan penerbangan meluncur deras. InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment