Wednesday, August 7, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Hari Raya Yang Dirayakan



Hari ini hari apa? Hari raya.
Siapa yang berhari raya? Kita.
Kita itu siapa? Kita semua.
Maksudnya semua orang tanpa mengira agamanya? Tidak.
Jadi? Kita orang Islam sahaja.
Di mana kita berhari raya? Di masjid, di rumah dan di rumah saudara serta sahabat handai.
Bila berhari raya? Mulai 1 Syawal.
Hingga bila? Tak tau. Biasanya orang berhari raya selama berbulan-bulan.
Bila berpuasa enam dalam bulan Syawal? Jarang buat.
Kenapa? Hari-hari orang jemput makan. Lebih-lebih lagi hujung minggu. Ada sahaja rumah terbuka.
Mengapa kita berhari raya? Berseronok selepas berpuasa.
Kenapa berpuasa dalam bulan Ramadhan? Menunaikan rukun Islam.
Apa yang selalu kita buat pada hari raya? Menonton TV, makan-makan, borak-borak, jalan-jalan.
Solat tak? Kadang-kadang terlepas juga. Sibuk dengan menonton TV.
Tak penat ke? Penat juga. Perut kenyang. Biasa juga tidur depan TV.

Jika kita buat soal selidik banyak jawapan yang tidak selari dengan kehendak agama. Kehendak Islam. Kita sudah terbelenggu dengan adat. Dengan kebiasaan. Hingga tahapnya sudah tidak terkawal lagi. Kita dituntut berhari raya.  Setelah berpuasa selama sebulan. Setelah membayar zakat fitrah. Setelah bertakbir, tahmid dan tahlil. Setelah solat eid ul-fitri. Semuanya dilakukan sekali dalam setahun. Cuma puasa selama sebulan. Zakat fitrah mengikut kadarnya. Takbir bermula dari selepas Maghrib hari sebelumnya hingga solat eid ul-fitri. Solat pula hanya beberapa minit sahaja. Yang panjang khutbahnya. Sebelum pergi solat kita disunatkan makan dahulu. Sarapan dahulu. Makanan banyak. Masih kecur sejak dari semalam. Tekak meminta diisi. Perut minta dikenyangkan. Sunat mandi untuk solat eid ul-fitri. Kita pakai baju baru. Wangi baunya. Bergaya ke masjid atau di mana sahaja diadakan solat eid ul-fitri. Himpunan terbesar yang diadakan setahun hanya sekali. Jika solat Jumaat seminggu sekali, solat eid ul-fitri setahun hanya sekali. Beberapa minggu selepas itu himpunan manusia di dunia paling besar di Padang Arafah. Kemuncak dalam setahun. Hanya sekali juga. Tidak sah haji tanpa wukuf di Arafah. Setahun hanya sekali. Beberapa jam sahaja. Hari yang sangat pendek.

Kita telah berpuasa selama sebulan. Ramadhan yang dipenuhi dengan amal ibadat. Berbagai ibadat. Membaca al-Quran. Solat Tarawih. Berserta solat Witir. Malamnya dihidupkan dengan tahajjud. Memberi makan kepada orang berpuasa. Menghidupkan malam. Membantu orang lain yang memerlukan. Sekurang-kurangnya dengan doa yang baik-baik. Berhari rayalah dengan pengertian bahawa hari raya itu adalah ibadat. Beringat kepada Allah yang telah menganugerahkan kita kekuatan untuk melalui Ramadhan yang baru semalam berlalu. Yang memberi kita peluang bersama Ramadhan bersama orang lain. Kita baru sahaja berdoa selama sebulan memohon dipertemukan lagi dengan Ramadhan tahun hadapan. Untuk kita isi lagi dengan sepadatnya ibadat.     

1        Makanlah kerana ibadat. Usah sampai sendat hingga mata sentiasa rapat tidak boleh dibuka kerana ketat melekat.
2        Berpakaianlah sesederhana mungkin. Ada orang lain yang tidak berganti pakaiannya.
3        Berjalanlah kerana ibadat. Setiap langkah dikira pahalanya. Ke rumah datuk dan nenek. Rumah bapa dan emak saudara. Abang dan kakak. Saudara-mara yang lain. Sahabat handai.
4        Jaga batas aurat. Bataskan pergaulan bebas. Hormati Ramadhan yang baru berlalu. Hormati Syawal yang penuh barakah.
5        Berhiburlah tetapi dengan zikir. Dengan al-Quran. Mungkin qasidah dan nasyid.
6        Ibu dan bapa buatlah pilihan yang paling baik untuk anak cucu dan keluarga. Bataskan menonton TV. Terlalu banyak yang melekakan. Rakaman yang dibuat sebelum hari raya. Dalam Ramadhan mereka membuat rakaman.
a.      Tidak menghormati Ramadhan yang sedang dilalui.
b.     Tidak menghormati Syawal. Bulan ibadat yang diandaikan untuk berhibur di luar batas syariat.

Hari raya bukan musim komersil. Kita terlalu diruntun emosi untuk merayakannya hingga terlupa batas-batas yang dituntut.  Hari raya hanya sehari sahaja. Benar puasa kita selama sebulan. Ada yang kata tidak seimbang jika hari raya diraya hanya sehari. Keadilan itu untuk siapa. Dari siapa. Syawal kedua kita dituntut berpuasa. Puasa selama enam hari. Habiskan sekali lalu. Rehat kita hanya pada Syawal pertama sahaja. Pada Syawal ketujuh kita berhari raya semula. Kesinambungan dari suatu rukun agama kepada kebiasaan. Membiasakan diri berpuasa untuk menginsafi diri supaya tidak melakukan hal-hal yang melampaui emosi.

1        Catu makanan pada tubuh badan. Makan yang sedikit selaluya menambah kesihatan. Mengekalkan kesihatan. Memulihkan sebahagian penyakit.
2        Mengekang nafsu supaya serakahnya berkurangan.
3        Menginsafi kekurangan orang lain yang memerlukan.
4        Empati terhadap kesusahan orang lain kerana ketidakmampuan. Kerana penyakit yang menghalangnya makan. Kerana tidak ada bekalan makanan.

Hari raya adalah manifestasi kepada kepekaan kita terhadap seluruh kecintaan kita kepada Allah. Kepada RasulNya. Kepada sesama makhluk yang lain.  Puasa difardhukan kepada kita yang bergelar Muslim.  Bukan orang lain. Islam, baligh, mukallaf, siuman dan tidak terhalang dari berbagai halangan seperti penyakit, mengandung, perjalanan jauh atau kerana menyusukan anak. Maka hari raya kita tentulah selaras dengan keperluan Ramadhan itu. Kesinambungan dari suatu rantaian ibadat yang besar pahalanya. Berhibur tidak ada dalilnya dalam al-Quran. Tidak ada dalilnya dalam hadith. Tidak juga diberi kelonggaran oleh ulamak. Tidak oleh orang alim. Tidak oleh ustaz dan ustazah. Hari raya adalah untuk menyempurnakan ibadat kita. Menampung kekurangan dalam bulan Ramadhan. Menambahkan lagi segala kebaikannya. Menimbunkan keupayaan meningkatkan ibadat.

Jika begitu hambarlah hari raya. Tidak. Lihat semula diri kita. Di manakah hambarnya. Nikmat apakah yang kita terima. Balik semula. Undur semula ke belakang. Kita menerima Iman. Islam. Rezeki. Sihat. Amal ibadat yang sempurna. Kita lihat semua yang kita terima. Itulah sebenarnya yang menghiburkan hati. Menyempurnakan tuntutan Allah dan RasulNya. Tuntutan agama yang tiada belah baginya. Apapun apabila kita berjaya melaksanakan tanggungjawab kita maka ada kelegaan dalam hati dan perasaan kita. Tidak perlu hiburtan dari luar. Hiburan dalaman itu lebih nikmatnya. Lebih berperisa kerana ia gambaran yang sukar dilukiskan. Tiada ukuran dan sukatan untuk menentukan banyaknya. Kita dan diri kita yang merasakannya sendiri. Belum tentu dapat dilihat oleh orang lain.

Bagaimana jika pada kali ini kita sama-sama senaraikan semua kenaikan yang telah kita lakukan pada Ramadhan yang berlalu ini. Senaraikan juga keburukan yang kita lakukan. Kita buat lagi senarai yang sama tahun hadapan. Pada satu Syawal tahun hadapan kita bandingkan senarai itu. Jika kebaikannya bertambah, alhamdulilllah. Jika sebaliknya berlaku, semak balik diri kita. Selama ini hanya Raqib dan Atid sahaja yang mencatat baik dan buruk kita. Mari kita sama-sama melakukannya. Catatkan yang sekecil-kecilnya hingga yang sebesar-besarnya. Mudah-mudahkan kita lebih insaf akan kelemahan kita. Kekuatan iman kita cukup terbatas. Mudah kita muasabah diri. Kita sendiri sedar mana yang perlu digandakan dan mana yang perlu ditinggalkan. Semoga hari, minggu, bulan, tahun dan usia kita bertambah baiknya. InsyaAllah.


Salam Eid ul-Fitr dari Kaherah. Kullu am waantum bikhair.

Tuesday, August 6, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Ilmu Yang Mengangkat Fikir



Apa tanda orang yang banyak belajar. Yang sudah belajar. Yang belajarnya tinggi. Sukar hendak diukur hanya dengan melihat sahaja. Mata selalunya terpedaya dengan apa yang dilihat. Hanya bila kita bersama baru dapat diperhati letaknya perkara. Kadang-kadang banyak ketidakselarian antara pandai dan berilmu. Antara tahu tetapi tidak beramal. Antara berilmu tetapi tidak tahu bagaimana untuk menggunakannya. Malang sekali jika ilmu hanya untuk mengisi hati dan perasaan. Tidak dimanfaatkan untuk kegunaan umum yang memberi manfaat kepada orang di sekeliling. Kita selalu terpempan berhadapan dengan orang jenis ini. Psikologinya sukar diramal. Perasaannya sukar diduga. Kehendaknya tidak dapat dijangka. Yang kita lihat pada dirinya terhimpun sifat ambivert yang timbul tenggelam. Tidak tahu bila timbulnya. Tidak tahu bila tenggelamnya. Pengalaman juga tidak banyak mengubah paradigma dirinya supaya selari dengan himpunan pangamalan-pengalaman itu.

Dalam situasi pertama ini terlihat orang besar yang penuh pengalaman. Pendidikannya tinggi di IPT. Dari ijazah bacelor ke ijazah master dan akhirnya ke doktorat. PhD senangnya. Apa yang berlaku kadang-kadang orang jenis ini terlalu berada di awang-awangan. Terlalu tinggi hingga dia tidak dapat turun semula ke bawah. Tidak melihat dari dekat semua yang di bawah.  Yang di sebalik sinar air. Di sebalik rimbunan pepohon. Di sebalik tembok. Di sebalik dinding. Apatah lagi yang di sebalik hati. Tindakannya tidak menjejak tanah. Tergesa-gesa tanpa maklumat benar. Tanpa penyelidikan yang wajar. Tanpa bertanya kepada yang arif. Maka terlihatlah ketidakdewasaan. Ketidakmatangan. Ketidakprofesionalismnya. Orang di sekeliling hanya mampu geleng kepada. Tidak menyangka bahawa orang yang diberi gelaran pandai, tidak sepandai gelaran itu.

Dalam situasi kedua kita melihat orang yang tidak tinggi ilmu dan pelajarannya. IPT tidak pernah dijejak kecuali membuat lawatan ke dalamnya. Atau mungkin anaknya. Atau mungkin juga menghantar anak-anak saudaranya. Namun begitu pada dirinya ada sifat matang, dewasa dan profesional. Saya teringat suatu kisah seorang profesor wanita di Indonesia yang berkahwin dengan supirnya sendiri. Drebar. Apabila ditanya jawapannya sangat mudah. Setiap kali dia berhadapan dengan maslalah supirnya itulah yang memberi idea untuk menyelesaikannya. Seorang profesor yang begitu tinggi ilmunya gagal merealisasi kepandaiannya. Seorang drebar yang tidak setinggi mana ilmunya mengatasi kepandaian seorang profesor. Maksudnya orang biasa boleh jadi pandai kerana deria yang dimiliki dimanfaatkan. Digunapakai untuk dirinya dan orang-orang di sekelilingnya. apabila tinggi tidak menjejak tanah maka tanah tidak memberi erti yang wajar. Orang di tanah melihat tinggi dan mengerti setinggi mana. Dia tidak mampu mengangkat dirinya. Namun dia tahu erti tinggi itu banyak lamanya. Banyak susahnya. Setiap masa dia berjejak di bumi.

Kita sebenarnya bukan apa yang orang lihat pada sosok tubuh badan sahaja. Orang melihat kita dan membuat penilaian sesuai dengan siapa kita sebenarnya. Cuba muasabah diri mengenai perkara ini:

1        Penampilan diri adalah yang selalu dipandang pertama. Dicintai dan mungkin digilai pada kali pertama dilihat atau ditemui.
2        Wajah adalah yang kedua dipandang dengan kedua mata. Orang jatuh cinta mungkin kerana mata. Hidung. Bibir. Pipi. Bentuk tubuh. Lenggok tubuh. Mimik muka. Kemasan rambut. Cara berpakaian.
3        Cara berjalan. Cara duduk. Cara berjabat salam.
4        Suara. Parau. Bergetar. Romantik. Tagas. Berirama. Intonasinya bersesuaian. Merdu. Bergema.
5        Bahasa yang digunakan beristilah. Perkataan-perkataan yang sesuai tepatnya. Bombastik tetapi dimengerti.
6        Susunan ayat yang memukau. Berirama. Kejelasan suara.
7        Renungan mata. Ruang bicara yang melibatkan semua orang.
8        Topik yang digarap secara profesional. Ada keluasan. Ada kedalaman. Kaya dengan contoh dan pengalaman-pengalaman orang lain yang dikutip dari berbagai sumber sekunder. Tetapi dipersembahkan seolah-olahnya itu adalah pengalaman primer.
9        Lontaran kata-katan yang datang dari hati dan perasaan. Bukan emosi tanpa erti. Dilihat meyakinkan. Didengar banyak dalilnya. Diamati banyak benarnya.

Manusia dilihat zahirnya dengan mata kasar. Dilihat dalamannya dengan mata hati. Ilmu berguna untuk melihat dalaman manusia. Keikhlasanannya. Kebersihan hatinya. Ketulusannya. Besar harapannya. Berbagai lagi yang melibatkan psikologi dan emosi. Kita sebenarnya lebih selesa bersama dengan orang yang tenang. Luas pandangannya. Terbuka menerima yang sama dan yang berbeza atau tidak. Perbezaan pendapat selalu diraikan. Diterima sebagai kelainan. Emosi selalu diterbataskan. Dikekang. Dikawal. Yang dilahirkan ialah senyum yang menawan. Sukanya senyum. Tidak sukanya juga senyum. Wajahnya bersih. Tiada riak-riak negatif. Cebik atau kerut dahi. Apabila kita berinteraksi dengan orang lain jangan sekali-kali zahirkan perasaan menolak. Mimik wajahnya menunjukkan segala-galanya. Risau orang sekeliling melihatnya. Di hadapan orang lain banyak hal yang perlu disembunyikan. Terutamanya perasaan kita. Menyatakan perasaan dengan terang-terangan boleh menakutkan orang lain. Ramai yang akan menarik diri dari kerap berinteraksi dengan kita. Mereka menjauh.

Banyak sifat manusia yang sama. Dalam pada itu terlalu banyak yang berbeza. Perasaan hatinya. Kehendaknya. Harapannya. Kesukaaannya. Sensitivitinya. Mengenali psikologi yang ada pada orang lain membantu kita untuk lebih santai. Terelak dari hal-hal yang sensitif dari dibicarakan. Dari diperdebatkan. Ada orang suka berdebat walaupun mengenai hal-hal yang sangat kecil. Yang tidak sesuai didebatkan. Apatah lagi jika debatnya dicondongkan untuk kemenangannya. Bias. Orang jadi keliru. Ada watak yang menyenangkan orang lain. Ada juga wataknya yang menggerunkan. Pada waktu-waktunya orang lain berada dalam kebingungan. Elok jika ramai orang yang mahir psikologi. Memahami dir sendiri dan pada masa yang sama memahami diri orang lain. Ada kesesuaian yang diatur supaya keharmonian antara hati dapat dipelihara.


Belajarlah setinggi mana. Turun ke bawah kerana kita dari bawah. Tambahlah ilmu sebanyak mana. Kepada orang lain ialah mengertinya. Keselarian antara berbagai tahap dan peribadi manusia yang berlainan. No man is an island. Kita tidak hidup terpencil. Manusia lain adalah sebahagian dari pentingnya kehidupan kita. Jangan menafikan pentingnya orang lain terutama mereka yang dekat hatinya dengan kita. Yang dekat darahnya dengan kita. Yang dekat zahirnya dengan persekitaran kita. Jika kita lebih perihatin maka kita lebih tenang sebenarnya melayan hati kita sendiri. Jangan selalu terlalu mengharap orang memberi. Jangan ungkit bila memberi. Bukalah tangan untuk menerima apa sahaja yang baik. Orang lain berusaha juga untuk membahagiakan kita semua. Caranya sahaja berlainan.

Friday, August 2, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Membiasakan Diri Yang Luarbiasa



Apa sebenarnya yang kita pelajari di univrsiti. Di IPT. Kadang-kadang kita tidak dapat melakukan  hal-hal yang sangat asas. Basic. IPT memberikan kita hal yang dianggap besar. Tinggi melangit. Selalu disebut sebagai menara gading. Hebatnya. Tingginya nilai yang diberi. Besarnya harapan yang menggunung. IPT memberikan harapan besar untuk menjadi orang berilmu. Berpangkat besar. Berpejabat melebar. Tugasnya banyak memberi arahan. Pembantu keliling pinggang sedia untuk disuruh arah. Kerja yang susah dikongsi. Yang berat diringankan. Yang penting semua dibereskan dengan proses dan prosedur yang termaktub. Perintah am yang mengawal. Strategi dan dasar yang merantai. Perncangan yang strategik dan taktikal.

Itu gambaran santai seseorang yang sudah ditauliahkan sebagai pegawai. Yang telah melalui prosesnya dari bawah. Dari yang dasar. Untuk menjadi pegawai bukan terus diangkat ke tempat yang tinggi. Tidak ada orang yang dilahirkan terus menjadi pegawai. Dia melalui latihan yang panjang. Diberi ilmu yang tinggi. Melakukan kerja-kerja amali yang biasa-biasa. Di IPT hal-hal praktikal seperti ini tidak ada. Mahasiswa sibuk dengan teori. Pensyarah sibuk dengan penyelidikan. Ramai graduan yang kosong fizikal dan perasaannya. Mereka memiliki ijazah tetapi tidak berjejak di bumi. Terapung-apung di udara. Harapan tinggi menggunung. Apabila diperhati sebenarnya ijazah bukan penentu kejayaan masa hadapan. Banyak yang perlu dipelajari tetapi bukan di IPT. Itulah pentingnya deria. Ada mata, lihat. Ada telinga, dengar. Ada mulut, banyak bertanya. Ada hidung, banyak menghidu. Menghidu untuk trouble shooting. Ada fikiran, cari jalan kebaikan. Ada perasaan, berikan keadilan.

Pangalaman membuktikan bahawa pelajar yang aktif di IPT pada akhirnya lebih berjaya dengan kadar cepat. Aktiviti memerlukan pemikiran yang mendalam dan terbuka. Bersedia berhadapan dengan masalah dan cara mengatasainya. Selalu berada dalam situasi yang memerlukanya membuat keputusan. Mana-mana pealajar yang pasif dan hanya sibuk dengan dirinya sendiri sahaja, berhadapan dengan banyak masalah sewaktu bekerja. Kurang berinteraksi. Kurang berkomunikaasi. Tidak mahir merancang. Kalut bila berhadapan dengan masalah. Lambat matang. Kurang profesional. Selalu tepu fikirannya. Buntu. Apabila disergah ketua seperti hendak terair kain dan seluar. Bila diminta pendapat semuanya bungkam.

Bakat sebenarnya kepada bakal pegawai sudah dikenalpasti semasa di IPT lagi. Semasa berada bersama rakan taulan. Semasa bersama jemaah. Semasa menjalankan aktiviti. Ada beberapa ciri yang boleh dikenalpasti walaupun ketepatanya bukan 100% benar.

1        Mencari tugas.
2        Bertanya apa yang perlu dibantu.
3        Sedia membantu.
4        Perihatin.
5        Memberi buah fikiran.
6        Tinggi inisiatifnya. Tidak menunggu diarah.
7        Selalu ambil tahu.
8        Bertanya khabar.
9        Memantau dengan tujuan untuk memberi bantuan atau fikiran.
10   Tidak mengira masa.
11   Sedia berkorban masa, tenaga dan wang ringgit.
12   Kesilapan dijadikan pengajaran.
13   Banyak bertanya.
14   Banyak belajar.
15   Menjaga masa.
16   Mendahului masa.
17   Selalu menyegerakan sesuatu.

Bandingkan dengan ciri-ciri berikut:

1        Memandang tetapi tidak membantu.
2        Diarah tetapi lambat buatnya.
3        Pendapat, tiada.
4        Mesyuarat senyap.
5        Buat salah, terima marah.
6        Malas bertanya.
7        Masa tidak pernah dijaga. Selalu lewat.
8        Suka mengarah dan kurang membuat sendiri.
9        Enggan membuat tugas-tugas lain walaupun tugas itu mungkin berkaitan dengan jawatannya apabila dia naik pangkat nanti.
10   Iri dengan kelebihan orang lain tetapi tidak berusaha untuk menjadi yang terbaik.

Khusus kepada bakal pegawai wanita:

1        Buat sendiri tugas tanpa bantuan pegawai lelaki. Ingat, jawatan sama taraf. Gaji saman banyak.
2        Jangan banyak berdalih mengenai keluarga dan sebagainya. Kerja adalah kerja. Tanggungjawab adalah tanggungjawab. Tidak memindahkannya kepada rakan sejawatan. Tidak adil.
3        Sama-sama buat kerja berat seperti mengangkat barang. Kecuali mengandung, sakit atau uzur. Selagi boleh membantu, bantu. Jangan lihat dan perintah sahaja. Rakan sejawatan meluat. Pegawai bawahan merungut. Pegawai atasan melihat dan pegawai yang malas biasanya dikenakan tindakan demerit. Kurang markah. Lemah dalam sesuatu aspek kepimpinan. Lambat naik pangkat. Lambat dari orang lain.

Untuk pelatih-pelatih eksekutif atau bakal penolong pengarah sila ambil berat tentang perkara ini.

1        Patuhi semua yang melibatkan waktu. Waktu datang. Waktu mula mesyuarat. Waktu balik. Waktu rehat. Waktu temu janji. Waktu hantar laporan. Waktu hantar kertaskerja.
2        Buat semua kerja asas seperti mencari fail. Membawa fail. Mengemas fail. Megelap fail. Mengemaskin fail. Menyusun fail. Memfail semula.
3        Mengangkat kotak. Menyusun kotak. Membawa kotak. Tanpa kecuali sama ada lelaki atau wanita. Pelatih wanita jangan mengada-ngada. Anda sedang dinilai.
4        Membancuh kopi. Menghidang kopi. Menjerang air.
5        Membuat fotostat.
6        Menyapu lantai dan mengemopnya.
7        Membasuh cawan dan piring. Gelas dan pinggan. Sudu dan garpu. Membersihkan sinki. Mengemas dapur.
8        Menghias bilik. Pejabat. Ruang-ruang yang ada.

Pelatih kena buat semua kerja yang bukan-bukan. Itu adalah latihan. Selepas tamat latihan barulah ditauliahkan sebagai pegawai. Semasa latihan jangan banyak songel. Belum jadi pegawai lagi. Belum lagi boleh mengarah-arah kerani dan pekerja pejabat. Hanya dan hanya selepas ditauliahkan sebagai pegawai baru diberi beberapa pembantu. Ketika itu baru boleh memberi arahan. Belajar dulu. Jangan sebarang memberi arahan. Kadang-kadang tersalah arah. Banyak istilah pejabat yang perlu dipelajari. Tidak dipelajari di IPT. Bila jadi pegawai banyak kebiasaan yang perlu diubah. Tidak boleh bersembang kecuali berbincang. Buat kerja berganti susunan. Ada sahaja kerja yang menanti. Sistem mesti berjalan. Manhaj mesti dilaksanakan. Program dipantau. Mesyuarat membincang dan mencadang. Laporan perlu dibuat. Konsultasi dengan pegawai atasan dan pegawai sejawat di jabatan lain perlu dibuat. Apabila menjadi pegawai tidak boleh ikut perasaan. Tidak boleh panas baran. Beringat selalu, anda ada segulung ijazah. Sudah berpelajaran tinggi. Oleh itu jangan rendahkan akhlak.

Ketika latihan dan selepas ditauliahkan sebagai pegawai semua yang dipelajari di IPT mungkin tidak lagi digunakan untuk membuat kerja. Bila berkaitan dengan hukum hakam barulah dijengah semula apa yang dipelajari. Mungkin teori digunakan. Tugas harian tiada sangkut menyangkut dengan pelajaran di IPT. Menaip surat, mencari maklumat, membuat survey, menyemak data dan banyak lagi yang perlu dilakukan untuk melaksanakan sesuatu program pejabat atau organisasi. Ijazah hanya melayakkan untuk memegang sesuatu jawatan. Ijazah hanya penanda aras bahawa anda sudah dilatih berfikir pada tahap tinggi. Menyelesaikan masalah dan membuat keputusan. Di peringkat amali dalam kerja yang sebenarnya anda perlu memikul semua tanggungjawab jika kegagalan berlaku. Jika kesilapan berlaku. Jangan ambil enteng. Kesilapan bermakna organisasi boleh lumpuh. Kerugian mungkin mencecah jutaan ringgit. Pelangan hilang. Kepercayaan hilang. Perlu difahami besarnya tanggungjawab dalam oragnisasi. Ada kaitanya dengan untung dan rugi.


Anda adalah sebahagian dari rantaian penting organisasi. Jika anda berfungsi maka organisasi berjalan dengan baik. Jika anda gagal berfungsi seluruh organisasi akan tersedak dan tersangkut. Semput dan sakit. Apabila duduk di kerusi empuk jangan bezakan diri anda sebagai lelaki atau wanita. Tarafnya sama. Jawatannya sama. Gaji dan elaunnya sama. Peluang naik pangkat sama. Buat semua kerja kerana itulah tugas pegawai. Bertanggungjawab. Berdisiplin. 

Thursday, August 1, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Bagaimana Jika Bapa Sendiri Mengajar Anak-Anak Di Sekolah?



Adakah guru bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pelajaran anak-anak? Jika begitu serahkan anak-anak kita kepada guru. Jadi anak angkat guru. Duduk di rumah guru. Biar guru yang ajar secukupnya anak-anak kita. Kalau pandai, pandailah. Jika tidak pandai memang anak kita bukan untuk jadi pandai. Kita tidak ada dakwa dakwi ke atas guru kerana guru yang beri makan anak kita. Beri pakaian. Beri tempat tinggal. Beri wang saku setiap hari. Bayarkan fitrah bila menjelang hari raya. Bila sudah tamat belajar anak itu balik ke rumah dalam keadaan sudah pandai. Sudah bekerja. Gajinya lumayan pula. Ibu dan bapa terima hasilnya sahaja. Anak-anak boleh serahkan gaji mereka kepada ibu dan bapa. Nanti ibu dan bapa tidak perlu ambil tahu tentang persekolahan anak-anak. Apatah lagi mengenai kerja rumah dan sebagainya.

Kerana itu kerajaan perlu menyediakan peruntukan yang besar untuk menambahkan bilangan guru. Setiap guru disediakan rumah yang besar untuk menampung anak angkat. Ibu dan bapa tidak perlu keluar apa-apa belanja untuk memandaikan anak-anak. Seorang guru umpamanya memelihara kira-kira 30 orang murid bagi satu-satu sesi. Maksudnya setiap masa ada 30 orang murid. Bila ada yang tamat diganti dengan yang baru. Seperti air yang mengalir. Yang kurang dipenuhkan. Yang penuh dialirkan. Semua usaha-usaha ini adalah untuk meringankan beban ibu bapa mendidik anak-anak. Kita bebankan kesemuanya kepada guru-guru.  Oleh kerana guru adalah profesional rasanya guru boleh menjalankan tugas itu. Syaratnya guru diberi imbuhan yang sewajarnya untuk menampung kos hidup, tenaga dan masa yang diluangkan. Barangkali itulah kehendak ibu bapa kerana mereka tidak berminat dengan apa yang guru lakukan di sekolah.

Ada suatu kemusykilan yang selalu saya sebut kepada pelajar-pelajar saya dahulu. Guru tidak pernah menyenaraikan sepenuhnya tugas mereka selama 24 jam sehari kepada ibu bapa. Kepada masyarakat. Kepada orang politik. Kepada polis. Kepada askar. Kepada penghulu. Kepada Pegawai Daerah. Mungkin kepada Raja dan Sultan. Juga Menteri Besar dan Ketua Menteri. Buat senarai yang sebenar. Sebarkan supaya semua orang mengetahui  bahawa kerja guru bukan hanya memaksa murid membuat kerja rumah. Berjela panjangnya tugas guru. Bertimbun kerja yang mesti disudahkan. Wajib dilakukan. Bertindan-tindan fail yang mesti diisi. Berbagai laporan yang mesti disediakan. Berbagai mesyuarat yang mesti dihadiri. Berbagai pertandingan yang mesti diurus. Tidak termasuk kelas tambahan yang mesti juga diadakan. Bukan waktu petang sahaja tetapi pada hujung minggu dan pada cuti sekolah.

Elok juga sediakan pasukan ibu bapa yang berada di sekolah setiap hari. Pastikan mereka melihat dengan jelas apa sebenarnya yang dibuat oleh guru-guru di sekolah. Jemput juga orang lain ke sekolah seberapa kerap yang boleh. Biar mereka melihat apa sebenarnya yang berlaku di sekolah. Adakah guru seperti yang difahami oleh orang di luar sekolah. Kerjanya hanya mengajar. Seronok. Memakai pakaian yang cantik dan kemas. Atau adakah guru adalah kuli masyarakat yang selalu dibebankan dengan tugas untuk memandaikan bakal ahli masyarakat. Tetapi selalu tidak dibantu untuk melaksanakan tugasnya dengan saksama. Kerja besar yang guru lakukan setiap masa tiada siapa yang peduli. Kesilapan kecil yang guru lakukan dibesar-besarkan. Benar juga keluhan guru. Kenapa tidak anak itu dibawa balik. Ibu bapa ajar sendiri. Tidak lagi perlu sakit hati terhadap kerja guru.

Rasanya ibu bapa tidak pernah ambil pusing dengan tugas guru. Ibu yang anaknya tidak seberapa pening kepala dengan karenah anak-anak. Di sekolah murid atau pelajar beribu-ribu orang ramainya. Jika ditugaskan 500 orang ibu dan bapa di sekolah belum tentu mereka dapat mengawal keadaan. Yang pastinya mereka tiada kemahiran untuk melaksanakan pendidikan yang bersistem. Berjadual. Lestari. Socially interactive. Melaksanakan domain-domain pemikiran yang inquisitive. Mengembangkan minda. Merencanakan perubahan. Melatih social being yang selalunya hanya guru yang faham. Kita menjadi keliru dengan sikap ibu bapa yang tidak ada sedikit kefahaman tentang kerja guru. Mereka hanya perlu membantu guru dengan cara memantau kerja rumah anak-anak mereka. Itu sahaja. Bukan susah. Pastikan kerja rumah anak mereka disiapkan untuk diperiksa. Semak setiap hari. Setiap masa. Guru marah anak bukan untuk membunuh mereka. Bukan untuk disebat dengan cemeti. Bukan untuk dihumban ke dalam perigi buta. Semuanya untuk memandaikan anak-anak.

Mungkin semasa wang BRIM RM500 disampaikan, pemimpin yang bertanggungjawab buat aku janji dengan ibu bapa. Saya berjanji akan menyemak kerja sekolah anak saya setiap hari. Tandatangan. Ada saksi dua orang. Bubuh tarikh. Jika ibu bapa jenis yang melaporkan kesilapan guru senaraihitamkan mereka supaya tidak lagi layak menerima wang BRIM tahun yang berikutnya. Pemimpin masyarakat atau mereka yang mempunyai kedudukan perlu bercakap mengenai perkara ini. Guru memang profesional. Tetapi mereka dibebankan dengan kerja-kerja yang bukan profesional. Profesionalism seperti di kementerian tidak berlaku di sekolah. Profesionalism seperti di universiti tidak berlaku di sekolah. Tuan dan puan, mengertilah bahawa guru-guru di sekolah terlalu berat beban kerjanya. Yang bukan-bukan. Yang bukan profesionalpun. Tetapi guru kena buat. Jika tidak dibuat hilang peluang naik pangkat. Tertutup peluang bergaji lebih besar. Tuan dan puan tidak tahu akan hal ini. Tidak menyemak kerja sekolah adalah satu kesalahan bersar kepada Guru Besar atau Pengetua. Kalau mampu dan dibenarkan guru-guru yang gagal menyemak kerja rumah murid-muridnya mungkin kena penampar Guru Besar atau Pengetua. Ibu dan bapa tidak tahu hal itu. Besarnya erti kerja rumah dalam Kemenerian Pelajaran.


Sudah sampai masanya guru dilindungi. Harus ditubuhkan suatu badan yang menjaga kepentingn guru. Pentadbiran tidak dapat melindungi guru. Politik tidak dapat melindungi guru. Perundangannya tidak ada. Guru, bagaimana? Fikirlah cara-cara untuk menyelamatkan diri. Untuk menjaga kepentingan ramai. Tidak wajar selamanya menjadi punching bag kepada ahli masyarakat yang selalu sangat sedikit timbang rasanya. Persatuan guru bagaimana? Kesatuan guru bagaimana? Lihat balik sajak Uthman Awang. Bukankah semua orang berguru. Bukan guru kepalang ajar. Guru dalam apa kapasitinya sekalipun telah dilalui oleh semua orang. Jarang sangat orang yang tidak berguru. Jika begitu di manan silapnya hingga ibu dan bapa tidak menginsafi tugas guru. Tidak meraikan kepayahan yang selalu ditanggung oleh guru. Bukan empati. Simpati yang sangat sedikit pun sudah mencukupi untuk meriakan hati guru yang selalu terluka.

Wednesday, July 31, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Bila Tua Tertinggal Di Perjalanan



Lapanganterbang Kaherah sunyi lagi. Sunyi pada hati kami. Selama sebulan di sini dapat juga bersama anak lelaki kami dan isterinya. Banyak kali mereka berbuka bersama kami. Tidur di rumah kami. Kebetulan ada dua bilik. Satu untuk kami dan satu untuk mereka. Hari ini anak saya dan isterinya kembali ke Malaysia. Tinggal lagi kami berdua. Semasa masih boleh bersama. Kami berdua sejak 2 Ogos 1971. 42 tahun dahulu. Selepas mendapat 9 orang anak, tahun dan tahun berganti semusim dan bermusim. Seorang demi seorang kami lepaskan kerana mereka mencari kehidupan sendiri. Berumatangga dan punya tanggungjawab sendiri. Perjalanan hidup selalunya begitu. Seorang yang rindukan untuk brdua. Dari berdua angka-angkanya bertambah dati tahun ke setahun. Anak-anak membesar. Punya hidup sendiri. Kembali menerima hakikat untuk berdua lagi. Itupun sementara kembali menjadi seorang. Untuk nanti sampai masanya hanya nama yang tinggal. Sejarah yang ditinggalkan. Mudah-mudahan ada yang ditinggalkan untuk generasi kemudian.

Apabila anak-anak meninggalkan rumah untuk belajar di sekolah berasrama, masih boleh dijenguk sekali sekala. Ada masa singgah menjengah wajahnya. Melepas rindu berpisah dengan darah daging sendiri. Siapa yag tidak rindu dengan anak. Dari sekolah mereka ke IPT. Empat orang ke IPT luarnegara. Lapanganterbang dari Subang ke KLIA diulang selalu. Melepaskan mereka pergi pada suatu ketika dan menerima mereka kembali pada ketika yang berlainan. Apabila mereka pulang bercuti sekali sekala terasa dekat antara benua. Keterikatan antara anak-anak dan kami tetap ada. Jika tidak, hanya suara di hujung talian. Sayup atau jelas bergantung kepada teknologi. Di negara maju hujung talian selalunya segar dan jelas. Di negara yang lain terpaksa melekapkan telefon ke telinga untuk mendengar suara. Bila maju, teknologinya maju. Banyak kemudahan komunukasi.

Sekarang dan dahulu banyak bezanya. Senang dengan sms atau laman sesawang sosial seperti fb, twitter atau e-mail. Begitu juga dengan skype atau watssap. Namanya sahaja sudah payah dieja dan disebut. Dari jauh boleh didengar suara. Boleh ditatap wajah-wajah yang dirindu. Begitu juga smartphone. Teknologi mendekatkan antara yang jauh. Melepaskan rindu bukan lagi bertemu bersemuka. Cukup dengan teknologi. Hidup semakin lama semakin dibuai dengan keindahan mencipta teknologi. Kepayahan zaman dahulu sudah lama ditinggalkan. Berganti dengan musim bersama dari jauh. Bukan bersama dari dekat sahaja. Kerana itu kerinduan yang ditaggung tidak seperti orang dahulu. Berita dihantar melalui angin. Angin bawalah berita. Bawalah rindu kepadanya. Tentu orang sekarang ketawa tidak mengerti. Itu deria rasa orang dahulu. Mungkin tidak ramai yang percaya. Gelombang perasaan itu sampai kepada yang empunya diri. Terutama mereka yang dekat kerana darah daging atau dekat kerana tertaut perasaan.

Sampai masanya anak-anak berkerjaya. Meninggalkan rumah juga untuk jangkamasa yang tidak menentu. Bergantung kepada komitmen kerja. Namun begitu kerana anak ramai, ada sahaja yang pulang bertingkah waktu. Ada wajah-wajah yang melintas di hadapan mata. Walaupun sehari dua, namun cukup meriuhkan hati dan perasaan. Begitulah masa memisahkan kami dengan anak-anak. Seorang demi seorang meninggalkan rumah kerana sudah berkeluarga. Dalam negara yang belum seberapa majunya, semua kerja seolah-olah bertumpu di ibu negara. Kerana itu tiada anak kami yang berkerjaya di tempat berhampiran. Tidak di negara maju. Ada sahaja kerja di bandar berhampiran. Maknanya anak-anak berpelajaran. Kerjaya menanti mereka di kawasan sendiri. Malang bagi kita anak-anak yang pandai berada di tempat orang. Orang lain yang menikmati kebijaksanaan mereka. Bukan ibu bapa. Dan bukan ahli masyarakat di tempat mereka dibesarkan. Hijrah ini belum ada kesudahannya. Bila pandai mereka meninggalkan kampung. Meninggalkan keluarga. Meninggalkan masyarakat setempat.

Anak-anak berada jauh banyak juga indahnya. Rindukan cucu memang selalu. Datangnya meriuhkan. Hilangnya menyunyikan.  Bila rindu mendatang dijengah mereka. Berkeriau kegirangan. Bila kembali ada yang hendak mengikut sama. Waktu cuti mungkin tidak mengapa. Jika waktu sekolah menangislah mereka kehampaan. Sewaktu muda ada banyak masa yang lapang. Masih ada anak seorang dua di rumah. Cucu-cucu boleh lagi berlegar di rumah bersama bapa saudara atau ibu saudara mereka. Anak-anak saya yang kecil. Bila semakin tua rumah sudah selalu kosong pada waktu siang. Kami sibuk memberi khidmat kepada masyarakat. Ada sahaja urusan di luar rumah. Selain dari menjadi pengajar dan pensyarah sambilan petang dan malam kami, kami habiskan dengan mengajar al-Quran. Ada masanya terlibat dengan persatuan dan kumpulan-kumpulan amal. Hidup ini jika tidak disibukkan, minda kita menjadi sibuk dengan berfikiran kosong. Tidak ada yang dapat dibuat secara konkrit. Kerana itu semakin tua jangan semakin banyak berehat. Rugi tua. Rugi usia. Rugi masa.

Kerana mengejar masa kami rentas lagi benua. Melompat dari sebuah negara ke negara yang lain. Dulu cerita kami selalu ditinggalkan anak-anak. Sekarang kami meninggalkan anak-anak dan cucu-cucu. Sampai masanya anak yang bersama meninggalkan kami lagi. Kali ini suasananya berlainan sekali. Selalunya kami ditinggalkan di rumah kami sendiri. Kali ini kami ditinggalkan di negara orang. Di negara yang sukar diramalkan masa hadapannya. Pergolakannya masih berpanjangan. Walaupun pusat pergolakan itu jauh dari kami namun kebimbangan tetap ada. Pergerakan terhad juga. Hanya ke daerah dan kawsan yang terdekat. Untuk pergi jauh masih boleh ditunda. Sesudah sebulan di sini, al-Azhar as-Sharif belum dapat dijengah. Berhati-hati dahulu. Meninjau suasana. Kali terakhir adalah semalam. Kami bercadang hendak ke al-Azhar. Terpaksa diurungkan kerana faktor keselamatan.

Dua hari yang lalu isteri saya membuat karipap dan mee rebus. Saya panggil anak saya dan isterinya berbuka bersama. Terkejut dia kerana ibuny atideak pernah membuat karipap sejak lebih 20 tahun yang lalu. Berselera mereka makan. Mereka tidur lagi di sini. Petang semalam isteri saya memasak mee goreng basah. Dicampur dengan udang, lada kering, brocoli dan lada gajah. Berulang-ulang anak saya makan. Seleranya memuncak. Digoreng lagi karipap semalam. Sedapnya menggigit jari. Seumur anak saya isteri saya sudah terlalu lama tidak membuat karipap. Berada di tempat orang kemahiran lama digilap semula. Beberapa hari lalu terfikir juga akan sunyinya nanti apabila anak saya dan isterinya, menantu kami meninggalkan kami di sini. Setelah bersama selalu tetiba ada ruang kosong lagi yang menerpa tiba. Sudut hati yang pastinya hiba. Lubuk rasa yang pastinya meluang ruang. Hakikat yang selalu menerpa. Bahawa kekosongan itu hak kita. Isilah. Ia akan kosong lagi. Begitulah berulang antara masa dan masa. Memang menjadi kerja untuk mengisi ruang kosong. Mencari ruang kosong untuk diisi.

Sesungguhnya ruang kosong itu adalah kita. Diri kita. Hanya yang mengetahui sahaja akan mengisi ruang kosong itu. Hanya yang arif sahaja mengetahui menyimpan di ruangan kosong dan kekal di dalamnya. Tanpa kebijaksanaan ruang kosong yang kita hadapai tetap kosong walaupun puas diisi. Seperti air mata berada di ruang kosong. Sampai masanya ia melimpah sama ada merembas di pipi atau sekadar tergenang di mata. Ia akan kering untuk berada di ruangan kosong itu. Kembali kepada fitrah dan hakikat. Apabila perpisahan berlaku maka airmata tidak dapat mengisi ruang kosong yang tercipta. Ia akan kosong berpanjangan hingga sampai waktu penuhnya. Perasaan yang akan penuh sendiri. Ibarat air yang mengalir memenuhi ruang kosong itu sendiri.  Begitu kegembiraan diisi dengan airmata. Dua ekstrim yang sifatnya hampir sama.


Kami tetap di sini. Berdua menghabiskan misi hidup yang belum terisi. Tidak berani ke sisi kerana jalan di hadapan perlu direntas lagi. Banyak yang belum diperolehi. Berpisah sementara dengan anak, menantu dan cucu-cucu kesayangan. InsyaAllah tahun hadapan bertemu lagi.

Bila hendak meninggalkan sesuatu tempat ada sahaja barang yang tidak muat untuk dibawa.

Hendak dibawa tetapi hendak selit di mana 

Ada lagi

Saat-saat sebelum meninggalkan rumah

Termenung juga seorang ibu hendak ditinggalkan anak

Rakan yang akan sama pulang. Di belakang bersepah beg yang besar-besar.

Pakaian lama dan mungkin sedikit hadiah untuk keluarga. Ikut yang mampu sahaja.

Keluar dari perkarangan yang dihuni selama lima tahun

Papan tanda ini akan berbalam dalam ingatan. Ada yang mahu diingat dan ada yang ingin dilupakan. Selepas beberapa tahun nanti akan diulang lihat untyk kembali kepada masa yang lampau.

Terjengah-jenga juga untuk meninggalkan sesuatu yang sudah terbiasa di situ

Sementara menunggu yang lain

Lorong ini akan sunyi dari ingatan

Tidak lagi akan dilewati

Debunya yang pernah hinggap pada tubuh

Tempat bermain tentu dikenang

Laluan yang nantinya akan nostalgik 

Tangga masjid yang selalu diinjak naik dan turun bersama doa 

Bila berhimpun begini banyak ragamnya. Kenapa hanya tercengang-cengang. Tolonglah bawa beg sendiri sekurang-kurangnya. Sedar jika tercicir.

Hendak mengimbas bagasi

Kedua-duanya akan meninggalkan kami

Semakin dekat masanya

Menunggu giliran

Lapanganterbang ini akan ditinggalkan untuk jangka waktu yang panjang. Ada umur mungkin dijengah lagi apabila ada seminar atau lawatan sewaktu sudah menjadi pegawai nanti.

Yang tinggal mungkin air mata sahaja yang mengalir. Sendu dalam hati.

Sunyi sebentar. Giliran masing-masing akan tiba.

Saat yang akan menghilang hanya beberapa detik selepas ini.