Friday, February 15, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Bumi dan Tanah Anbia Yang Banyak Barakahnya



Lihatlah tanah di atas. Berlapis-lapis. Condong ke kanan. Lapisan itu tidak terjadi dalam sehari dua. Beribu atau mungkin jutaan tahun. Setiap lapis ada ceritanya sendiri. Bumi sentiasa bergerak membentuk gunung berapi, gempa bumi atau rekahan-rekahan di mana-mana bahagian bumi. Di negara seperti Jordan kita dapat melihat dengan mata kasar kesan pembentukan tanah tanih itu. Pakar geologi tentu asyik keindahan lapisan tanah tersebut.

Pada lereng bukit kadang-kadang jelas kelihatan lapisan-lapisan batu. Sekali pandang seperti hamparan batu yang disusun berlapis-lapis.


Dari dalam kenderaan lapisan-lapisan tanah itu kelahatan sangat jelas. Dalam gambar mungkin tidak sjelas melihat sendiri.


Hanya di kanan dan kiri jalan sahaja. Semuanya jelas kelihtan.


Di lereng bukit begitu juga.

Ada sebahagiannya seperti dilorek-lorek.

Yang ini lebih bantak lapisan tanah dari batu.

Batu dan tanah silih berganti. Berlapis-lapis.

Lapisannya nampak tebal.



Bumi Malaysia Allah anugerahkan kita dengan segala kemewahan. Bumi yang kita pijak menjanjikan berbagai kenikmatan. Musimnya panas tetapi tidak sepanas di padang pasir. Sesekali kita merasa sejuk di misim tengkujuh tetapi tidak pernah winter. Kehijauan panaromanya tidak pernah terputus. Daun tua dan daun muda silih berganti. Hijau yang berterusan. Diselang-seli pula dengan warna-warni dedaun dan bunga yang berbagai. Dari kehijauan itu Allah sediakan kemewahan pertanian. Tanah  yang asalnya hutan yang subur menjadi dusun dan ladang yang juga subur. Kesuburan itu menjadikan Malaysia negara mewah. Dalam kemewahan itu berapa ramai antara kita yang sedar bahawa bumi ini sudah jutaan tahun lamanya. Tidak ramai antara kita yang dapat membaca dan bercerita tentang tanah dan bumi yang kita pijak. Tidak cukup hanya menjunjung langit pada bumi yang kita pijak. Kita tidak tahu apakah bumi yang kita pijak itu. Menganggapnya sebagai sesuatu yang biasa mungkin tidak memberi keinsafan siapa kita sebenarnya.
Kit a selalu melalui lebuhraya dari utara ke selatan dan dari selatan ke utara. Begitu juga ke timur. Begitu juga di Sabah dan Sarawak. Banyak bukit yang ditarah. Yang dilanskap. Yang dibuang tanahnya. Yang dijadikan terowong panjang. Kita tidak melihat apa-apa pada tanah-tanah atau bukit-bukit itu. Yang kita lihat hanya tanah, rumput dan pokok renek yang tumbuh subur. Menghijau sentiasa. Bukti-bukti akeologi menunjukkan ada kahidupan manusia ribuan tahun di Malaysia tetapi tanda-tanda itu tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Hanya mereka yang pakar tentang antrophologi, arkeologi dan geologi barangkali yang dapat melihat sejarah tanah. Struktur tanah banyak ceritanya. Lapisan-lapisannya memberikan berbagai fakta tentang sejarahnya dan sejarah manusia terdahulu. Di Lembah Bujang sudah terbukti bahawa Malaysia bukan negara tanpa tamadun. Mungkin sejarah itu bila diserlahkan boleh menyedarkan kita bahawa di belakang kita ada sejarah yang besar dan hebat.
Di Jordan kajian geologi kelihatan lebih mudah. Tanahnya berbatu dan berpasir. Sewaktu saya menjejakkan kaki di buminya pada 15 Januari 2013 dahulu keadaan bukit dan gunung kosong dari tumbuhan yang melata. Rumput belum tumbuh lagi. Setelah sebulan berada di sini lereng-lereng bukit sudah mula menghijau. Kambing biri-biri mula digembala di tanah lapang. Bunga sudah mula hendak menunjukkan pucuknya. Di tempat yang lebih panas banyak pokok yang mula berbunga. Rasanya sebulan lagi bumi Jordan ini akan penuh dengan bunga yang tidak diketahui entah macam mana pokoknya. Hakikat musim bunga kadang-kadang tidak biasa dibaca dengan akal dangkal kita. Yang pastinya suhu mencecah 20°C. Dingin sederhana. Musim yang nanti akan menceriakan hati dan sanubari. Kembang bak bunga itu sendiri. Sementara itu musim dingin ini diharungi dahulu agar nanti musim bunga menjdi lebih bererti indahnya. Lebih mengintai tawa dan senyum. Lebih membunga hati itu sendiri.
Pergi dan balik dari Universiti Zarqa kami diangkut dengan bas universiti. Perjalaan selama kira-kira 40 minit. Jauh juga universiti dari rumah kami ditempatkan. Di kanan kiri jalan saya sentiasa terpegun melihat lapisan tanah dan batu yang menghampar di bumi anbia Jordan ini. Lapisan-lapisan tanah itu nampak dengan jelas. Lereng-lereng bukit seperti diletakkan hamparan batu selapis demi lapis. Tanah-tanah yang dipotong atau ditarah menampakkan dengan jelas lapisan tanahnya. Ada yang seperti berukir-ukir. Ada yang seperti awan larat. Ada yang condong. Ada yang lurus. Ada yang mendatar. Bagi mata yang tidak biasa semua itu tidak memberikan apa-apa makna. Sebenarnya lapisan-lapisan tanah itu banyak ceritaya. Banyak kisahnya. Banyak sejarahnya. Bagi bumi anbia seperti Jordan ini kisahnya terlalu banyaknya. Rasanya tiada upaya untuk memperincikan sejarahnya sejak dari manusia yang awal dahulu. Cukuplah buminya penuh barakah.
Bumi Jordan adalah sebahagian dari bumi Syam.  Nama Syam kita kenal kerana Rasulullah sewaktu usianya 12 tahun telah dibawa oleh bapa suadaranya, Abu Talib, berniaga ke Syam. Itulah kali pertama saya mendengar nama Syam. Itulah kali pertama Rasulullah bertandang ke Syam. Sirahnya menceritakan bahawa kehadiran Rasulullah dikesan oleh seorang rabi dari rumah ibadatnya. Kerana tanda-tanda kerasulan baginda  jelas dapat dilihat. Nasihatnya diterima oleh Abu Talib lalu dengan tergesa-gesa mereka kembali ke Makkah. Itu hanya secebis kisah bumi Syam. Buminya yang meliputi Syria, Lebnon, Israel, Palestin dan Jordan menampung sangat banyaknya nabi dan rasul. Antaranya nabi dan rasul yang digelar Ulul ‘Azmi iaitu Nabi Muhammad, Nabi Musa, Nabi Nuh, Nabi Ibrahim. Hampir kesemua nabi dan rasul berada di bumi Syam. Nabi Ismail dan Nabi Muhammad antara yang tidak pernah menghuni bumi ini selain dari Nabi Nuh di Iraq dan Nabi Hud di Yamen.
Bayangkan bahawa di segenap bumi Syam ini ada bekas tapak kaki nabi dan rasul sebelum Rasulullah. Di bumi ini mereka disemadikan. Di bumi ini jasad mereka menanti dengan tenang datangnya qiamat. Di bumi ini keringat dan darah mereka mengalir menentang musuh-musuh Allah. Betapa ramai antara mereka yang wafat dibunuh oleh orang Yahudi. Antaranya ialah Nabi Yahya anak kepada Nabi Zakaria. Nabi Yahya adalah sepupu kepada Nabi Isa kerana Mariam ibu Nabi Isa adalah adik kepada ibu Nabi Yahya yang menjadi isteri Nabi Zakaria. Begitulah juga bumi Madyan, bumi kaum Luth, bumi kaum Nabi Ibrahim dan Nabi Sulaiman. Di bumi ini juga pernah didiami oleh Nabi Daud, Nabi Harun dan ramai lagi. Maknanya bumi yang saya pijak sekarang pernah dijejak oleh para nabi, para rasul, para anbia yang ramai bilangannya. Itu belum lagi para wali, solihin, sodiqin, syahidin dan lain-lain pejuang yang mempertahankan risalah Allah. Dikatakan terdapat kira-kira 15,000 sahabat yang meninggal dan dimakamkan di bumi Jordan sahaja. Dalam peperangan menentang Rom ramai sahabat yang meninggal kerana diserang penyakit taun.
Sebelum saya berangkat ke Jordan seorang sahabat mengingatkan saya beberapa perkara. Katanya Jordan adalah bumi anbia.  Maka katanya,
1                    Banyakkan berdoa yang positif kerana di bumi ini antara tempat yang juga mustatajab untuk berdoa.
2                    Cakap jangan sebarang cakap. Maksudnya jangan mengeluarkan kata-kata yang jika dimakbulkan Allah musibah yang menimpa.
3                    Banyakkan ibadat. Mudah-mudahkan Allah gandakan ganjaran pahalanya kerana bumi ini adalah penuh barakah.
InsyaAllah. Allah memberkati kehadiran saya dan isteri di sini.

Thursday, February 14, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Bahasa Arab dan Terangnya Erti Mengerti

Rabu 13 Februari 2013. Hari ini saya belajar tentang warna. Dalam bahasa Arab. Biasalah warna. Apalah yang luarbiasanya. Dari satu warna ke satu warna yang lain. Dari warna primer ke warna sekunder. Kemudian warna tua dan warna muda. Pada suatu ketika guru saya, Ustaz Ahmad,  menerangkan tentang perbezaan warna. Kebetulan meja saya berhampiran tingkap. Ada bahagian meja yang disinari cahaya matahari. Ada bahagian yang berbayang. Bahagian yang terang tiada masalah. Warna meja pula putih. Warna yang tidak disinari cahaya lain warnanya. Tidak putih. Sedikit kelabu. Saya tidak pernah memikirkannya sebelum ini. Saya rasa tidak ramai orang yang memikirkan hubungan antara warna dan cahaya matahari. Kita mengganggap warna itu wujud begitu. Warna itu memang ada begitu. Antara merah dan biru sekadar warna. Semua orang tahu. Masing-masing pula ada warna kesukaan masing-masing. Bila ada keramaian maka berwarna warnilah pakaian yang dipakai audien. Menceriakan keadaan.
Sedarkah kita bahawa warna tidak wujud tanpa cahaya? Tidak?  Cuba bariskan beberapa warna pada waktu malam. Pasang lampu secerah-cerahnya. Kita dapat melihat cahaya itu dengan jelas. Kita boleh sebut warna itu satu persatu. Sekarang padamkan lampu. Dalam gelap begitu apa yang dapat dilihat. Jangankan warna, apapun tidak dapat dilihat. Dalam cahaya samar-samar kita tidak dapat membezakan antara warna-warna yang ada. Kita tidak boleh take for granted bahawa warna itu ada. Warna itu wujud. Warna itu boleh dibariskan. Warna itu boleh disebut satu persatu.  Warna hanya dapat dilihat melalui cahaya. So what? Ini soalannya.  Siapa memberi cahaya. Siapa yang mencipta cahaya. Betullah elektrik ada penciptanya. Siapa pula yang mencipta orang itu. Yes! Siapa yang mencipta matahari? Mari kita sembang sekejap. Lihat sekeliling jika ada warna-warna yang kita kenal. Lihat betul-betul supaya kita tidak salah menyebut warna-warna yang kita lihat.
Saya rasa ramai antara kita yang pernah tertipu dengan warna. Di pasaraya umpamanya jarang mereka memasang lampu seperti di rumah kita. Lampu putih yang memang putih. Semua yang kita lihat mengikut fitrah warna itu. Jika kuning memang kuning. Jika hijau memang hijau. Di pasaraya kita tidak dapat membezakan antara hitam dan biru atau cokelat. Sukar kerana cahaya yang dipasang tidak putih seperti yang kita harapkan. Kita bawa ke bawah cahaya lampu yang ada. Kita menyangka kita membeli warna hitam. Apabila sampai di rumah rupanya yang kita beli berwarna hijau tua.  Kita melihat dengan mata kita sendiri. Kita dibantu oleh cahaya lampu. Tetapi kita lupa cahaya lampu itu telah diubahsuai. Cahaya yang dipancarkan bukan putih. Bukan terang seperti yang kita harapkan. Terangnya hanya menerangkan apa yang diobjektifkan. Bukan terang yang sewajarnya. Menipu? Mungkin ia mungkin tidak. Tertipu. Itu barangkali natijah yang sebenarnya.  Kenapa. Mari kita sembang lagi.
Bukankah jauhari yang mengenal manikam.  Yang arif sahaja menentukan yang hak. Walaupun tidak hakiki. Tidak mutlak. Maksudnya untuk menjadi arif ada tiga elemen yang perlu. Belajar. Mengalaminya sendiri. Ada latihan sama ada ilmiah atau suka-suka. Ketiga-tiga elemen itu mengajar kita supaya mengenal cahaya. Mengenal kesan cahaya. Bias cahaya. Pantulan cahaya. Spektrum cahaya. Dan berbagai lagi hal-hal yang berkaitan dengan cahaya. Dipendekkan cerita kita mestilah terlebih dahulu menjadi orang yang disebut pandai sebelum dapat memilih. Sebelum dapat menilai. Sebelum dapat mempergunakan sesuatu. Sebelum dapat mengubahsuai. Sebelum dapat mengganti. Sebelum dapat menentukan sesuatu itu sah benar atau salah. Bukan agak-agak. Bukan berada dalam gelap hingga tidak tahu apa yang sebenarnya di hadapan kita.
Nah! Tiada yang lebih baik dari ilmu. Betul. Ilmu bukan mesti tinggi. Bukan mesti banyak. Bukan mesti hebat. Kadang-kadang ilmu yang sedikit itu memberikan impak yang snagat besar. Memberikan gandaan kepuasan yang sukar diceritakan. Mengetahui tentu lebih baik dari tidak mengetahui. Kepada setengah orang ilmu dan apa yang kita tahu adalah sesuatu yang biasa-biasa sahaja. Namun apabila keadaan mendesak ianya menjadi penyelamat dengan izin Allah. Dalam keadaan darurat ancaman dapat dihindarkan. Sebab itulah kadang-kadang ada orang tenang menghadapi ancaman. Dia ada ilmu. Dia merasa tidak sukar. Dia ada pengalaman. Dia tahu proses membuatnya. Dia ada latihan yang banyak. Sudah mahir melakukannya. Masa yang diambil singkat sahaja. Dalam istilah teknologi, cekap dan berkesan. Itu juga kata orang ekonomi. Cekap bermakan masa yang diambil lebih singkat dari orang lain. Berkesan bermakna kosnya rendah tetapi fungsinya tinggi dan berbagai.
Bermakna cerit awarna bukan sebarang cerita. Pelukis boleh bercerita tentang lukisannya berhari-hari. Dia tahu olahan warna. Setiap garis dan tone warna ada mesej yang tersendiri. Agaknya jiga Leonardo masih hidup tidak berhenti dia bercerita tentang Mona Lisanya. Begitu agaknya Piccaso. Apatah lagi Michaelenglo dengan The last Suppernya. Warna ada cerita yang luas dan besar skopnya. Cuma yang perlu dikatahui warna menjadi satu analogi kepada mereka yang mengetahui. Tanpa ilmu semuanya gelap belaka. Semuanya dianggap sama belaka.  Keutamaan idak dapat dipilih dengan tepat. Keupayaan diri tidak dapat diukur. Jika warna hanya warna  manusia tidak banyak berkembang fakulti dan kapasiti dirinya. Tanyalah orang sains bahawa warna adalah pancaran dari warna putih. Dalam warna putih yang satu itulah terhimpunya semua warna yang kita tahu.  Aduh lagi bingung dibuatnya. Cukuplah sampai di sini dahulu. Fikirkan besarnya peranan bahasa dalam menyebarkan ilmu. Dalam memperkembangkan skop penguasaan ilmu. Makin menarik mempelajari berbahasa Arab. Dalam bahasa itu terserlah banyak yang sebelum ini saya take for granted. Akhirnya kita menuju kepada Yang Satu juga. Allah Yang Maha Kuasa.

Monday, February 11, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Bolehkah Makan Sesedap Di Negara Sendiri

Ada orang marasakan perkara makan makan sangat berat. Ada yang lain sangat ringan. Semuanya bergantung kepada prinsip hidup atau falsafah yang hendak diikut. Gaya hidup kadang-kadang berubah kepada  yang lebih baik. Lebih senang. Lebih santai. Makan pada konsepnya memenuhkan perut. Apa yang masuk kadang-kadang diambil berat. Namun pada orang lain tiada pertimbangan langsung. Asal masuk. Asal kenyang. Nah! Itu sikap yang merbahaya. Makanan ada yang toyyibah. Ada yang membina tenaga. Ada yang baik untuk merangsang minda. Ada pula yang menjadi tidak baik. Tidak menyumbangkan kepada kesihatan. Hatta tidak baik untuk ibadat. Untuk menjadi Muslim yang baik. Walaupun semua bangsa ada makanan ruji mereka masing-masing ada masanya semua itu hanya psikologi semata-mata.  Orang boleh hidup tanpa makanan ruji sahaja. Malah banyak contoh manusia yang makan apa sahaja untuk hidup.  Terutama sekali ketika terdesak seperti waktu sesat, sakit yang terlampau atau ketika dipaksa.
Pada saya makan adalah untuk mengenyangkan. Untuk keperluan tubuh badan yang serasi. Untuk tenaga. Untuk kesihatan. Senangnya untuk hidup. survive.  Jika kita terlalu terikat dengan makanan ruji kita maka diri kita menjadi terlalu terikat. Semua makanan yang terhidang tidak merangsang selera. Semua yang ada di sekeliling juga menghampakan selera. Tanpa pengalaman yang banyak itulah yang kita tanggap. Yang kita rasa. Yang kita fikirkan. Kita mengikut selera. Mengikut adat. Mengikut kebiasaan. Jika tiada makanan ruji kita anggap bukan makan. Belum makan. Hidup menjadi sukar. Menjadi payah. Bila keadaan berubah kita menjadi resah. Tidak selsesa. Semua menjadi tidak kena. Tentera di hutan makan apa sahaja yang boleh apabila bekalan makanan kehabisan berminggu-minggu lamanya.
Berada di luar negara barangkali dianggap sukar. Sebenarnya di luar negara lebih mudah makannya. Banyak yang boleh dimakan. Ada orang tanya saya, boleh makankah di negara orang. Sedapkah makanan yang ada. Hakikatnya mereka yang keluar negara makan seperti biasa. Cuma perlu diubahsuai menunya. Resepinya. Dalam kebanyakan hal apa yang kita makan sama sahaja. Di negara sendiri atau di negara orang sama sahaja makanan yang mengenyangkan saya. Saya makan nasi kerana beras banyak di negara mana sekalipun. Di Jordan beras seperti biasa dijual di kedai. Orang Jordan sendiri suka makan nasi walaupun roti dianggap makanan ruji mereka. Ayam banyak. Daging lagilah banyak. Ikan beku tidak pernah kehabisan. Dalam keadaan tertentu makan di luar negara lebih sedap. Ada sahaja idea untuk mempelbagaikan makanan yang hendak dimakan.
Kek boleh di masak tanpa ketuhar. Hanya periuk boleh digunakan. Di negara sendiri hal seperti itu tidak pernah terfikir. Bekas minyak menggoreng ikan masin boleh digunakan untuk memasak sayur. Tidak masinkah. Tidak pula. Jika di Malaysia kari ayam lazimnya seketul-ketul di luar negara ayam itu diambil dagingnya sahaja. Dipotong kecil-kecil. Campur kentang, kerot, bunga kobis, bawang, tomato, lada hijau dan rempah. Rasanya lebih enak sebab sedikit. Lagipun jarang jumpa. Malah lebih sedap dari yang di kedai. Atau ayam itu dimasak sup. Daun sup tidak ada tetapi daun seladri (celery) yang besar batangnya di Malaysia di jual di Amman dengan daun-daunnya yang besar dan lebat. Malah daun kobis bunga sangat lazat dibuat sayur. Di Malaysia kita tidak pernah merasa daun-daun yang saya sebut itu. Bunga kobis tanpa daun. Celery tanpa daun. Maka tidak ada susahnya hidup di luar negara.
Ada masanya banyak kejutan berada di luar negara. Kita tidak menjangka makanan kegemaran kita terdapat di kedai atau pasaraya. Kali pertama saya membeli ikan beku ialah ikan sardin dari India. Bila digoreng rupanya ikan jeruk. Masin dan masam. Juling mata saya memakannya. Nasi sepinggan tidak cukup. Di tanahair sepot susu beras tidak habis untuk saya dan isteri. Di Amman kena masak lebih sedikit. Bila makan sedap sahaja. Pukul tiga petang tadi kami makan nasi berlaukkan ikan kering, sayur campur (bunga kobis, kerot, daun bunga kobis, lada hijau) dan pecal timun dan tomato. Macam. Tidakkah berselera makan sebegitu. Jangan risau bila berada di luar negara. Suatu malam isteri saya memasak bihun goreng. Terbeliak mata rakan-rakan yang datang untuk sama-sama tuisyen bahasa Arab pada malam itu. Setelah hampir sebulan di Amman memanglah makanan seperti bihun goreng menjadi sesuatu yang sangat dirindui.
Santan kelapa banyak dijual. Untuk memasak gulai atau kari bukan sesuatu yang sukar. Apatah lagi kurma atau rendang. Rempah memang kami bawa. Tidaklah secukupnya tetapi bolehlah tahan untuk berbulan lamanya. Jika kehabisan bolehlah minta anak-anak poskan apa yang perlu. Buah dan sayur cukup banyak. Beli dan makan apa sahaja jika larat. Segar, baru dan cantik-cantik. Di tanahair kadang-kadang terasa bila membeli minyak zaiton. Di Jordan memang negara yang asli untuk pokok zaiton. Minyaknya dijual di merata-rata tempat. Murah berbanding di Malaysia. Saya kira separuh harga. Orang Jordan sangat menjaga perintah Allah. Barang makanan tidak ada yang bercampur-campur seperti kegemaran pekilang di Malaysia. Minyak zaiton adalah minyak zaiton. Tulen. Dijamin begitu. Makanan di Malaysia banyak yang dicampur-campur. Beras dicampur dengan beras hancur pada kadar kira-kira 5%. Cuba beli beras pulut. Beras yang dicampur sangat banyak. Bila dimasak rasa beras. Bukan pulut.
Setelah berada beberapa kali di luar negara, makan bukan perkara besar. saya boleh makan apa sahaja insyaAllah. Nasi bukan sesuatu yang mesti. Bukan wajib. Apa sahaja makanan yang mengenyangkan sudah memadai. Roti biasa kami makan. Kadang-kadang makan lempeng sahaja. Untuk makluman tepung di Jordan datang dari Amerika. Ceritanya panjang. Itu cerita politik. Saya senyapkan di situ. Tepung gandum di sini sedap dibuat lempeng. Lembut walaupun sudah sejuk seperti ais. Mungkin, ya mungkin tepungnya tulen. Tiada campuran seperti di Malaysia. Roti di Jordan adalah makanan yang paling murah. Malah produk yang paling murah. Yang lain-lain lebih mahal jika dinisbahkan kepada roti. Sekilo roti yang siap dibakar baru kira-kira RM1.50. Mana ada roti semurah itu di Malaysia. Roti canai yang keras itu pun RM1 sekeping.
Beginilah. Di tempat orang semua makanan kita boleh diperolehi. Jika kit arajin menukar selera hidup menjadi lebih mudah. Lidah kita jangan dimanjakan sangat dengan sesuatu hidangan atau makanan. Pelbagaikan untuk mendidik lidah dan perut supaya boleh menerima yang baik semua anugerah Allah. Makanlah asalkan ianya mengenyangkan. Yang penting halal, suci, bersih dan halalan toyyibah.

Saturday, February 9, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Ziarah Laut Mati

Walaupun sejarahnya mengerikan orang Jordan menganggap Lalu Mati seperti laut biasa. Papan tanda ini menggambarkan terujanya mereka ke pantai.

Antara lanskap di pantai Laut Mati. Yang berbalam di kejauhan ialah bumi Palestin yang sentiasa duka lara menunggu datangnya kemenangan yang Allah janjikan. InsyaAllah.

Jam 9.00 pagi 4 Januari 2013 kami ke Laut Mati. Perjalanan mengambil masa kira-kira dua jam. Perjalanan kami lancar dan mengujakan. Tentu sahaja kerana lanskap negara Jordan yang berbeza dengan Malaysia. Jika Malaysia banyak hijaunya, di sini bergunung-ganang. Laut Mati rasanya bukan asing kepada rakyat Malaysia. Ramai yang melancong ke sini atas beberapa sebab. Hanya kerana ziarah atau kerana melihat sendiri tanda-tanda hukum Allah ke atas kaum yang ingkar. Yang derhaka. Yang akhirnya dilaknat dan dihancur-leburkan oleh Allah. Penghuninya berserta tanahair mereka dibenamkan ke dalam bumi. Tamatlah riwayat suatu kaum yang mendustai nabinya iaitu Nabi Luth a.s. Kisah yang sezaman dengan Nabi Syuib a.s., Nabi Musa a.s. dan  Nabi Ibrahim a.s. ini diabadikan melalui wahyu Allah. Bacalah al-Quran. Nescaya kita akan menemui ayat-ayat yang menceritakan kebobrokan kaum Luth. Mereka melanggar tabii kemanusiaan yang dibenarkan Allah.
                       Sejarah merakamkan bahawa ada peperangan antara tentera Farsi dengan tentera Rom. Tempat itu dinisbahkan dengan sebuah tempat yang rendah di bumi. Kajian menunjukkan bahawa peperangan itu di kawasan Laut Mati. Tentera Farsi telah menang dalam peperangan itu. Sukar membayangkan bagaimana sebuah laut boleh mati. Itulah nama sebuah laut yang berair tetapi dinamakan mati. Dead Sea. Bahru al-Mayyyit kata orang Arab. Laut Mati berada 400 meter di bawah paras laut. Bagi orang tua di Malaysia 400 meter sukar dibayangkan. Ikut ukuran lama sama dengan 1,300 kaki di bawah paras laut. Maksudnya sekiranya jika laut biasa diletakkan bersebelahan Laut Mati, laut biasa berada 1,300 kaki atau 400 meter lebih tinggi dari aras Laut Mati. Laut biasa tinggi dan Laut Mati rendah jauh di bawah. Dunia mengiktiraf bahawa Laut Mati adalah kawasan paling rendah di muka bumi.
Lautnya mati kerana beberapa sebab. Ke laut ini mengalir beberapa sungai kecil. Tetapi air Laut Mati tidak keluar ke mana-mana. Tidak bercantum dengan laut lain. Atau tasik lain. Kerana itu Laut Mati menjadi terlalu masin. High salinity.  Penuh dengan potassium. Memang tidak ada siapa yang sanggup hatta untuk berkumur-kumur sekalipun. Tidak ada hidupan air yang dapat hidup di dalam airnya. Ianya hanya dapat dilihat. Disentuh. Diinsafi akan kejadiannya. Diambil iktibar akan hukuman yang Allah timpakan kepada kaum Luth yang ingkar. Panjang laut ini melebihi 300km dan lebarnya kira-kira 20km. Boleh bayangkan sejauh dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur.  Maknanya kawasan kependudukan kaum Luth itu sangat luas. Itupun mengikut ahli tafsir bukan kesemua penempatan kaum Luth yang dibenamkan ke dalam bumi. Ada bahagian yang Allah selamatkan. Sebelum sampai di Laut Mati kami singgah di makam Nabi Syuib a.s. InsyaAllah dalam kesempatan lain akan saya ceritakan. Insafilah hukum Allah ke atas siapa sahaja yang mendustai hukumNya.
Di luar bandaraya Amman, bas yang kami naiki mula menuruni gunung-ganang. Unutk turun sedalam 400 meter bukan terus meluncur seperti orang meluncur salji. Jalanraya yang dilalui berbelit-belit menelusuri lereng-lereng yang curam. Alhamdulillah jalanraya baru sudah dibina. Agak lebar dan tidak mengerikan. Di kanan dan kiri jalan memang gunung-ganang sahaja. Terdapat kampung atau sebuah dua rumah di lereng-lerengnya. Amman dan Laut Mati seperti dua dunia yang terasing. Dalam sebuah negara tetapi suhunya jauh berbeza.  Dari rumah kami memakai berlapis baju dan memakai jeket tebal seperti selalu. Dalam bas kami buka baju satu persatu. Di Laut Mati suhunya melebihi 20°C. Panas dan berpeluh. Kali pertama berpeluh setelah berada di Jordan selama tiga minggu. Laut Mati mengingatkan saya kepada tanahair. Ada pokok yang saya temui sama dengan pokok yang biasa kita temui di Malaysia.
Di kanan dan kiri kawasan ke Laut Mati terdapat tanah yang subur. Nak tahu apa yang saya nampak. Sudah tentu sayur-sayuran. Itu biasa. Khemah orang badwi. Biasa. Pokok. Biasa. Saya dapati banyak ladang pisang di kawasan Laut Mati. Pokok pisang seperti di Malaysia. Atau Indonesia atau Filifina atau Thailand atau di Amerika Tengah atau di Utara Australia. Oleh kerana masih lagi dalam winter ada tanda-tanda pokok pisang terkesan dengan suhu rendah. Ada daunnya yang kuning dan kering. Bas kami berpapasan dengan lori-lori yang mengangkut buah pisang. Bertandan-tandan pisan tua diangkut untuk dipasarkan ke seluruh Jordan. Namun pisang di sini tidak cukup untuk rakyat Jordan. Pisang diimport dari Lebnon. Maknanya pisang bukan hak milik negara seperti Malaysia. Di negara-negara Arab sudah banyak pisang. Selain dari pisang, jagung cukup banyak ditanam. Begitu juga buah-buahan lain.
Yang paling mengujakan ialah banyaknya tanaman sayur-sayuran. Kobis dan bunga kobis sangat banyaknya. Murah, segar dan besar-besar. Dalam perjalanan pulang kami berhenti di tempat orang melambakkan sayur. Bunga kobis yang lebih besar dari kepala orang dewasa dijual dengan harga sedinar untuk empat biji. Sebiji kira-kira RM1.10. Aduh murahnya! Saya beli dua biji. Bukan bunganya sahaja. Dengan daun-daunya sekali. Ramai yang tidak tahu bahawa daunnya juga boleh dibuat sayur. Tumis boleh. Gulaipun boleh. Pendek kata boleh kecur sekadar menyebutnya sahaja. Di Malaysia kita beli bunga kobis yang entah berapa kali diproses. Jika kita perasaan setelah beberapa ketika akan timbul tanda hitam kehitaman. Nampak tidak cantik. Itu belum layu dan tidak menyegarkan. Mahalnya belum dikira lagi. Yang kami beli semalam tiada langsung cacat celanya. Saiznya sedikit berbeza, ada yang lebih besar sedikit. Ada yang lebih kecil sedikit. Harganya tetap sama. Sebiji suku dinar. Tomato sekotak baru 1.5JD (Jordan Dinar). Jenuh menghabiskanya. Begitu jug aoren, mandarin dan kentang. Semuanya murah belaka. Laut Mati hanya lautnya. Manusia yang tinggal di sekeliling kawsan itu hidup berbudi dengan tanah yang subur. Siapa yang ada tanah, mewah dengan makanan. Yang bekerja di tanah-tanah itupun kenyang dengan makanan.
Yang dilarang ialah mematikan hati. Tumpul menghadapi keperluan akhirat. Banyak iktibar yang Allah perlihat dan perdengarkan kepada kita tetapi jika tidak diambil pengajarannya maka banyak yang akhirnya menyulitkan hidup kita di dunia dan akhirat. InsyaAllah kita bukan orang-orang jenis itu. Mengingat mati antara tuntutan agama ke atas kita.

Salam Dari Amman Jordan: Sesejuk Winter Yang Sejuk

Tiada siapa yang tahu sejuknya winter hingga seseorang itu mengalaminya. Berada dalam suasananya. Menjejak winter itu dari awal hingga akhirnya. Kita di Malaysia hanya memaklumi tulisan yang bunyinya sejuk. Atau dingin. Dalam pada itu kita tahu sejuknya ais. Minum ABC. Berada dalam bilik yang disejukkan udaranya. Hawanya. Maaf hawa adalah bahasa Arab yang maksudnya sama. ﺣﻮﺍﺀ. Istilah sejuk di mana-mana sekalipun adalah sesuatu yang menyulitkan. Banyak kekangan jika tidak masalah yang dihadapi. Jika musim panas banyak nikmatnya musim sejuk menuntut manusia beringat akan Yang Maha Khaliq. Dia yang menjadikan. Dia yang memberi nikmat kepada manusia walaupun pada perkiraan manusia ditanggap berbeza. Syukur itu berbagai bentuknya.
Cuba tuan pergi ke dapur. Buka peti ais. Buka yang atas memang ruang pembekuan. Ikan beku. Daging beku. Ayam beku. Udang dan sotong beku. Kita buat ais untuk diminum bercampur oren, teh atau Milo. Nikmat sungguh. Makanan tidak perlu dibeli setiap hari. Sukarnya mencari parkir yang jarang kosong. Semua orang hendak segera membeli keperluan masing-masing. Konsep kita pula suka pasar yang terbuka. Tempat tumpuan orang ramai. Sibuk. Hiruk pikuk. Basah dan becak. Sukar berjalan. Berbagai lagi yang menyulitkan. Kita tetap suka juga ke pasar terbuka itu. Alternatif banyak. Pasaraya banyak. Itulah namanya tradisi. Sesuatu yang lekat di hati. Pada perasaan. Diulang-ulang walaupun menyulitkan. Bila ada peti ais tabiat mengulang ke pasar berkurangan kekerapannya. Jika ikan boleh beku bagaimana orang Eskimo boleh hidup di Kutub Utara. Mereka yang tinggal di Tundra, Russia juga boleh hidup. orang Lapp di negara-negara Scandinavia juga boleh hidup. Begitu juga mereka yang di Alaska atau di Utara Canada. Hidup mereka hampir sepanjang tahun diliputi salji. Sejuk. Memang sejuk-sejuknya. Darjah sejuknya sahaja yang tidak semua orang dapat memahaminya. Bayangan selalunya tidak menepati jika tidak mengalaminya sendiri. Kadang-kadang sejuk dianggap relatif.
Beginilah. Cari atau beli jika berkemampuan sebuah peti ais yang besar. Atau cuba sewa ruang menyimpan ikan, daging, ayam dan makana laut yang lain di mana-mana pasaraya. Duduklah barang sejam atau dua jam. Mungkin sehari atau seminggu. Atau sebulan dan dua bulan. Mereka yang beradsa di kawasan yang mengalami winter seolah-olah duduk dalam peti ais selama tiga bulan. Kadang-kadang lebih lama lagi bagi yang lebih ke Utara negaranya. Atau lebih ke Selatan. Kita pergi ke Mines Wonderland. Lalu di tempat yang kononnya tempat berais. Kita lalu kira-kira setengah jam jika tahan. Bila keluar kecut seluruh badan. Terketar-ketar beberapa ketika. Begitu juga di Bukit Seri Cahaya. Pengalaman yang sama boleh dilalui. Sejuk dan mengecutkan kulit. Jari jemari menjadi terlalu sejuk jika terdedah. Badan mungkin berselimut pakaian tebal. Kami yang merasa winter sejuknya ditanggung selama lebih tiga bulan.
Tahan sejuk. Alhamdulillah. Allah menjadikan manusia fleksibel. Boleh hidup di padang pasir yang suhunya boleh mencecah 50°C. Orang yang sama boleh di Kutub Utara atau Selatan yang suhunya mungkin -50°C. Dua tempat yang ekstrim. Had beku ialah 0°C. Snow mungkin turun pada kadar suhu antara 0°C hingga 10°C. Hanya selepas snow menjadi ais barulah sejuknya berpanjangan. Di atas udara sejuk. Di bawah penuh dengan ais yang memeng sesungguhnya sejuk. Ke mana hendak lari. Duduklah di situ manusia yang terperangkap dalam dua lapisan sejuk. Dari atas dan dari bawah. Matahari mungkin bersinar dalam darjah yang condong. Menjadi terlalu jauh hingga terasa tidak cukup bahangnya untuk memanaskan keadaan. Keluar rumah adalah perancangan yang mesti diatur rapi. Berkira denga sejuk yang mencengkam.
Di dalam rumah mungkin tidak terlalu terasa seksanya. Ada pemanas udara. Mungkin gas atau petrol. Kedua-duanya perlukan elektrik. Kerana itu pada musim sejuk bil elektrik pasti meningkat. Jarang benar menggosok baju atau membasuh baju. Mandipun jarang-jarang. Jimat air dan jimat elektrik. Semua alat elektrik dijimatkan penggunaannya untuk berjimat. Mengurus dana keluarga dengan sewajarnya. Pemansas udara sekejap di pasang sekejap ditutup. Pakai baju tebal. Kaki disarung. Tidur memakai selimut tebal yang berbulu tebal. Tidak boleh yang tipi sseperti di Malaysia. Selimut kain tidak boleh kerana kain menyerap sejuk. Selimut bulu juga yang sesuai dengan sejuk yang melanda suasana.
Keluar rumah adalah suatu percaturan harian. Laporan cuaca seperti wajib dirujuk setiap masa. Bila hendak keluar dirancang sehari atau dua hari sebelum. Berapa darjah suhu tertinggi dan berapa darjah suhu terendah. Jikia suhu tinggi dan rendah hampir sama orang tidak kisah keluar rumah pada waktu siang atau malam. Jika siangnya lebih panas maka orang keluar rumah pada waktu siang. Jika malamnya lebih sejuk maka orang lebih suka berada di rumah pada waktu malam. Pada musim panas tidak bayak perlu dipertimbangkan jika hendak keluar rumah. Pada musim sejuk banyak yang perlu difikirkan. Setokin mungkin dua lapis. Seluar dua atau tiga lapis. Baju mungkin empat lapis. Di luarnya pakai jaket tebal untuk menahan sejuk. Di dalam panas, di luar sejuk. Pakai lagi sarung kepala. Leher dililit muffler. Jangan hairan semasa musim sejuk orang memakai kacamata hitam semasa berada di luar rumah. Pancaran cahaya matahari tajam dalam sejuk udaranya. Aptah lagi jika ada ais, silaunya lagilah menyilaukan mata.
Panas atau sejuk adalah anugerah Allah. Yang pentingnya apakah yang kita lakukan untuk mempergunakan kedua-dua waktu yang berlainan itu. Sejuk ada aktivinya. Panas ada aktivitinya. Yang pastinya proses belajar tidka pernah berhenti. Panas atau sejuk bukan isu yang sangat penting. Walaupun ada bezanya namun jika terlalu difikirkan maka tidak ada apa yang boleh kita buat. Kita lebih banyak bersungut. Lupa mensyukuri nikmat Allah yang sebenarnya. Sesungguhnya banyak hikmah di sebalik apa yang kita tanggapi dengan pemikiran kasar. Jika musibah yang kita rasa maka banyaklah kerugian yang kit alami. Kit atidak banyak berbuat kebaikan hatta untuk diri kita sendiri. Panas atau sejuk hanya nisbah. Terimalah dengan penuh kesyukuran. InsyaAllah banyak manfaatnya. Bahagia bagi yang banyak syukurnya.

Salam Dari Amman Jordan: Masjid Yang Tinggi Menaranya




Ini adalah menara masjid Universiti Zarqa'. Tinggi menjukang sendiri. Ketinggian menara adalah lambang tertegaknya syiar Islam di bumi itu. Lebih tegak di bumi anbia.

Menara ini sangat mengujakan. Banyak masjid lain yang serupa menaranya. Rekabentuknya. Ketinggiannya. Teknologinya.

Memandangnya sahaja sudah cukup sayu. Pada puncaknya terdapat lambang anak bulan. Tiada bintang. Bulan adalah lambang Islam.

Pembesar suara di setiap penjuru. Berkumandang apabila azan. Jam pula besar untuk dilihat dari jauh.

Pada kubah di bawahnya tetap ada lambang bulan. Kecil tetapi itulah lambang.

Mereka yang pernah ke Makkah dan Madinah al-Munawarrah tentu arif dengan menara Masjid al-Haram dan Masjid al-Nabawiy. Menaranya banyak. Dibina tinggi-tinggi di sekeliling binaan masjid-masjid itu. Dari jauh sudah nampak tegaknya. Dari dekat nampak sayupnya seperti menjulang awan. Sejadah alas tempat kita solat banyak dilukis dengan gambar masjid atau menara masjid. Apabila saya sampai di Amman, Jordan saya lihat kebanyakan menara adalah seperti tergambar pada sejadah kita di Malaysia. Malah sejadah yang saya beli di Amman juga bergambar menara masjid. Sama dengan menara masjid yang sebenar di Jordan. Ianya bukan suatu kebetulan. Bukan khayalan. Ianya realiti menara-menara di negara bumi anbia ini. Subhanallah.
Menara masjid di Jordan mungkin sama dengan menara masjid-masjid lain di negara Arab yang lain. Banyak kelainannya dengan menara masjid kita di Malaysia. Untuk makluman pembaca, bangunan tinggi di Jordan tidak seperti kita di Malaysia. Had kita langit. Lagi tinggi lagi kita megah. Ada perkara tersirat yang kita tidak mengetahuinya. Kebanyakan bangunan di Jordan hatta di bandaraya Amman sekalipun tidak banyak yang tinggi. Kebanyakannya sekadar lapan tingkat atau lebih rendah. Tingkat yang terbawah selalunya di bawah tanah. Di bawah aras jalanraya. Terlindung dari pandangan biasa. Yang dilihat di paras atas mungkin empat atau lima tingkat sahaja. Mungkin dalam entry yang lain ada cerita lanskap binaan di Amman Jordan.
Saya lihat banyak hikmahnya membina bangunan tidak terlalu tinggi. Mungkin di Jordan tanah masih luas. Di manapun kita pergi kita tidak bercerita tentang tanah atau bukit atau bekas lombong atau tanah paya. Istilah itu tidak ada di Jordan. Semua tanah di sini adalah batu batan dan bukit bukau. Mungkin lebih sesuai gunung-ganang. Jabalan jabalan kata orang Jordan. Kembali kepada masjid, binaannya berbeza dengan masjid kita. Di Malaysia bangunan masjid memiliki konsep terbuka. Angin dan udara bebas beredar untuk memberi rasa sejuk dan damai di dalam masjid. Negara kita panas. Orang tua-tua tidak gemar penghawa dingin. Oleh kerana itu masjid dibina dengan konsep terbuka. Banyak lubang udara. Sejuk atau panas konsepnya sama sahaja. Terbina rasa damai, tenang dan tenteram berada di rumah Allah.
Di Malaysia kadang-kadang kita tercari-cari masjid. Dari jauh tidak kelihatan. Mungkin ada papan tanda yang memaklumkan bahawa masjid ada di hadapan. Menaranya tidak kelihatan. Di Jordan menara masjid paling ketara tingginya. Sengaja dibina supaya nampak tinggi. Pada hakikatnya memang tinggi. Kemuncak masjid adalah mercu paling tinggi di sesuatu kawasan penduduk. Mungkin taman. Mungkin kamupung. Menara adalah lambang syiar agama. Lambang ketinggian agama. Lambang bahawa agama mengatasi segala-galanya. Agama bukan duduk di bawah. Bukan letaknya rendah. Bukan sama rata dengan hal-hal lain. Imam masjid menduduki pelana yang tinggi. Bukan penjawat yang dipandang sepi dan sebelah mata sahaja. Imam masjid adalah tokoh agama. Ilmuan. Mendalami al-Quran. Masjid menjadi nadi kepada orang Islam. Imam penggeraknya. Bukan pengerusi jawatankuasa masjid.
Di sesebuah kawasan bukan ada sebuah masjid sahaja. Kadang-kadang kita lihat ada tiga buah masjid. Berdekatan antara satu sama lain. Bila azan boleh didengar dari arah masjid masing-masing. Pada hari biasa dan semasa solat waktu tidak ramai jemaah. Namun sewaktu solat Jumuah masjid pasti penuh kerana hari Jumaat adalah cuti hujung minggu. Masa diperuntukkan untuk ke masjid. Hari raya mingguan yang tidak ada pada agama lain kecuali Islam. Hari Jumaat yang besar. Penghulu segala hari. Pada waktu malam yang cerah pemandangan atau panorama di sekitar mana-mana kawasan di Amman Jordan sangat indah. Cahaya hijau dilihat dari berbagai penjuru. Cahaya itu datangnya dari menara-menara masjid yang dapat dilihat mata. Ya! Warna hijau yang cerah sinarannya. Oleh kerana menara masjid adalah mercu paling tinggi maka puncaknya diterangi dengan cahaya. Warna yang dipilih warna hijau. Cantik berkelipan. Warna lambang kekuatan Islam.
Lazimnya menara masjid di negara kita dipasang bulan sabit dan bintang. Saya tidak arif gabungan keduanya. Islam memberatkan bulan tidak bintang. Kajian ilmu Falak mungkin benar. Bintang-bintang dikaji. Walau bagaimapun bulan menjadi rujukan banyak perkara kepada orang Islam. Takwim hijrah bersandarkan kepada edaran bulan. Bukan matahari. Bukan Masehi. Sebab itu anak bulan atau hilal menjadi rujukan dalam banyak perkara.  Bila nampak anak bulan banyak signifikannya. Awal bulan bermula. Awal Ramadahan. Awal Eid al-Fitri. Menentukan Eid al-Adha. Awl Muharram. Menentukan hol. Menentukan cukup hisab.  Banyak lagi gunanya bulan kepada orang Islam. Cuma kita sudah diabui oleh barat dengan bulan dan tahun Masehi. Kebanyakan kita lupa bahawa bulan Hijrah adalah lebih utama dari bulan Masehi.
Menara masjid di Jordan tidak bertutup. Ruang sebelum puncaknya dibina terbuka seperti bertingkap-tingkap. Konsepnya seperti bangunan Sultan Abdul Samad di Dataran Merdeka Kuala Lumpur. Atau bangunan Keretapi Tanah Melayu. Teknologinya begitu kerana di sini kurang hujan. Mungkin turun salji sekali-sekala dalam beberapa puluhan tahun. Hujanpun tidak lebat. Membina menara itu tentu perlukan kepakaran. Namun kepakaran itu kekal hingga kini setelah ratusan tahun dikuasai. Setiap kali masjid dibina pakar-pakar inilah dihimpunkan semula untuk membina masjid mengikut konsep rumah ibadat yang memenuhi tuntutannya. Menara masjid dilihat mengekalkan keasliannya. Authentic. Ada perasaan sayang. Cinta. Menusuk di hati. Sejarah agama yang unggul. Sejarah menegakkan perjuangan manusia menentang iblis dan syaitan. Memandang menara sudah cukup menginsafkan diri. Menara itu adalah mercu kecintaan kita kepada Allah. Kecintaan yang melebihi dari segala-galanya.

Friday, February 8, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Mengaji dan Mengkaji





Ini guru saya mengaji al-Quran. Muda orangnya. Wanita teruja memandangnya. Senyumannya sangat manis. Lembut orangnya. Setelah masuk minggu ketiga tiada siapa yang bertanya siapa namanya. Kehadirannya dinanti. Tegurannya dimengerti. Bimbingannya diambil berat. Pada akhir kelas ia pasti memberi tafsir tentang ayat yang dibaca. Mengingatkan yang lupa. Menambah kekuatan jiwa.





Peserta antarabangsa. Di kanan sekali Syuib dari Albania. Di kanannya Anas dari Britain. Ketiga Irsyad dari Singapura. Keempat Munzir dari Malaysia. Di hujung Ibrahim dari Malaysia.


Peserta wanita kesemuanya dari Malaysia kecuali Tasnim dari Singapura.


Membaca  al-Quran dalam bahasa Arab. Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab. Malah ulamak menghukumkan bahawa al-Quran haram ditulis dalam bahasa lain. Kadang-kadang jika diromanisekan seperti senang dibaca. Namun huruf Arab unik untuk bahasa Arab. Tidak ada huruf bahasa lain yang boleh menggantikannya. Hatta menyamainyapun tidak boleh. Apabila dialih eja dalam bahasa lain maka bunyi kearabannya hilang. Semangat al-Quran itu sendiri hilang. Bagi orang Malaysia bunyi kho dieja dengan kha. Bunyinya berubah. Kholid menjadi Khalid. Hilang arabnya. Yang punya nama marah kerana itu bukan sebutan namanya. Begitulah tanpa mendalami huruf Arab maka mengaji menjadi sukar. Mengkajinya lebihlah sukarnya. Banyak pula huruf-huruf Arab yang terlalu unik. Wajib dibunyikan seperti Arab sebenar. Lahjah Arab suatu keperluan yang diafdhalkan. Jika tidak maka al-Quran tidak dibaca mengikut kesempurnaan seperti yang dituntut.
Kerana keunikanannya setiap guru al-Quran memiliki kelainannya yang tersendiri. Maksud saya guru al-Quran yang diperakui berbeza antara seorang dengan seorang yang lain. Sumber mereka berlainan. Mereka datang dari arah yang berlainan. Guru yang mengaji di Mesir sedikit berbeza dengan guru yang mengaji di Arab Saudi. Lain juga yang dari Sudan atau Maghribi atau Libya atau Jordan atau Iraq. Kesemuanya negara Islam tetapi setiap budaya itu  tentulah unik bagi setiap negara. Maka wajah Arab yang kita hadapi berbeza. Tahapnya sahaja yang berlainan. Banyak bezanya  antara tafkhim (tebal) dan tarqiq (tipis).  Huruf-huruf yang berwajah tafkhim itu sendiri menuntut berbagai kelainan. Huruf    umpamanya selalu dibaca dengan tafkhim. Mulut orang Malaysia kelihatan bundar. Bunyinya juga kuat. Guru dari Mesir memiliki ciri-ciri tersebut.  Orang Jordan pula tidak seperti orang Mesir. Jika orang Mesir kelihatan agak memberatkan tafhim, orang Jordan memiliki kelembutan yang berbeza. Huruf tafhim itu dibunyikan dengan kelembutannya yang tersendiri. Mungkin benar bahawa orang Syam agak lembut berbanding dengan orang Arab lain. Jordan adalah sebahagian dari Syam mengikut sejarahnya.
Sebutan dan bacaan orang Jordan lebih santai. Lembut. Ringan. Tidak kelihatan sukar, berat atau meletihkan. Mengaji al-Quran menjadi lebih mudah jika  dapat menguasai makhraj dan sifat huruf. Mengaji pula bukan seperti membaca buku atau akhbar atau majallah. Ada rukun-rukun bacaan yang wajib ditunaikan. Apabila ada dua huruf yang berangkai kaedah membacanya berubah. Sama ada bunyi asalnya kekal atau sedikit berbeza. umpamanya huruf qamari dan huruf samsyi berbeza olahannya. Apabila wujud alif lam di awal kalimah maka pada huruf qamari bunyi lam atau el berkekalan. Al-Kitab kekal bunyi alnya. Pada huruf al-toyyibah pula alnya hilang. Bunyinya bertukar menjadi attoyyibah. Bunyi lam atau el sudah dimasukkan ke dalam huruf ta hingga tidak berbunyi lagi elnya.
Antara yang dituntut semasa membaca al-Quran ialah membacanya dengan berlahjah Arab. Bila kita membaca al-Quran elakkan dari membaca seperti suara bercakap. Mungkin suara  kita rendah. Mungkin lemah. Mungkin tidak berirama seperti yang dikehendaki. Sambil membaca kita menganalisis antara harakat (tanda baris atas, bawah atau hadapan) dan mad (berapa panjang wajib atau harus dibaca). Selain daripada itu kita wajib teliti dengan bunyi atau sebutan yang mendatang kerana percantuman dua huruf. Apabla dihubungkan dengan makhraj dan sifat huruf ia semakin menjadi lebih memerlukan kemahiran yang lebih tinggi setiap masa. Kelancaran membaca menyempurnakan semua elemen yang diperlukan atau diwajibkan ketika membaca al-Quran. Sebab itu tidak boleh membaca al-Quran seperti suara kita bercakap. Perlu ada kesungguhan membunyikan setiap huruf. Membaca dengan suara bertenaga. Vokal yang baik. Bukan menyanyi sahaja yang perlukan vokal yang baik, membaca al-Quran lebih-lebihlah lagi. Al-Quran jauh lebih tinggi dari muzik. Beratus kali ganda bezanya. Mungkin lebih. Al-Quran adalah kalam Allah.
Makhraj huruf adalah tempat keluar huruf. Kita tidak tahu di mana keluarnya sesuatu huruf tanpa guru yang membantu kita mengesannya. Jika ditanya pada pelajar al-Quran jawapan tentang makhraj bukan fakta. Yang disebut ialah apa yang terlintas pada perasaannya. Tidak dijangka bahawa sesuatu huruf ada rumah masing-masing. Semasa membaca sesuatu huruf bunyinya wajib dikeluarkan dari makhrajnya. Bila wakaf pada sesuatu huruf, memberhentikan bunyi atau bacaan kembali kepada makhraj huruf yang terakhir. Ada masanya mulut pembaca menipis. Ada masanya membundar. Ada masanhya biasa sahaja. Semuanya bergantung kepada huruf yang terakhir sebelum wakaf. Pada dasarnya makhrai huruf datang dari lima anggota tubuh badan. Mulut (dua bibir), lidah, halki (halkum), hidung dan rongga mulut. Dari lima anggota tubuh badan ini terdapat 17 makhraj huruf. Sifat huruf pula agak sulit. Setiap huruf ada sifat-sifatnya yang tersendiri. Sifat-sifat yang wajib ialah jahr, hams, syidah, mutawasit, rohawah, isti’la’, istifal, itbaq, infitah, idzlaq, ismat, sofir, qalqalah, inhiraof, lin, istitolah, takrir dan tafasyi. Ada 18 sifat huruf yang berbeza. Setiap huruf sekurang-kurangnya memiliki lima sifat. Paling banyak ialah huruf ra yang memiliki tujuh sifat. Silalah cari buku-buku atau kitab tajwid untuk mendalami sifat-sifat yang disebut itu.
Sebenarnya teori membaca al-Quran tidaklah banyak. Yang banyak ialah amalinya. Cara hendak melaksanakan sesuatu bunyi. Cara hendak menyempurnakan sesuatu makhrai atau sifat huruf ketika membaca al-Quran. Membaca mungkin sekadar membuka dan mangatup mulut. Benar tetapi bunyi yang keluar dari mulut wajib sama seperti yang tertulis. Pada peringkat tinggi kita diperkenalkan kepada bunyi yang berlainan dengan yang tertulis. Pada bacaan Imam ‘Asim tidak banyak khilaf. Yang ada hanya contoh isymam, raum, tashil, imalah dan naqal. Ketika membacanya wajib berguru supaya dijamin sempurna dan menepati seperti yang dituntut. Membaca al-Quran menjadi berat apabila kita tidak mahir dengan hukum, peraturan, prosedur dan lain-lain kesempurnaan yang dituntut dari bacaan itu. Ianya menjadi  ringan apabila teori dikuasai terlebih dahulu.
Latihan adalah wajib. Tanpa latihan banyak huruf yang tersalah bunyi. Tersalah makhraj. Tersalah sifat. Tersalah baca bila berlaku percantuman huruf. Maksudnya tanpa latihan yang berterusan bacaan mungkin masih jauh dari kesempurnaannya. Tanpa guru semasa latihan juga menyukarkan untuk mengukur ketepatan sesuatu bacaan. Guru yang berwibawa dapat membantu untuk menuju ke arah itu. Ada beberapa perkara yang perlu dipatuhi semasa belajar membaca al-Quran. Guru kita adalah orang yang lebih arif dari kita tentang al-Quran. Membaca al-Quran pula seperti mendaki bukit. Mula-mula kita belajar, guru tidak terlalu ketat. Tegurannya sepintas lalu sahaja. Semakin lama kita rasa kita semakin pandai dan semakin lancar. Ketika itu guru semakin galak membuat teguran. Memberi bimbingan. Bercakap itu dan ini. Hatta mereka yang kita anggap dalam membaca al-Quran masih selalu ditegur bacaannya. Bulan Ramadhan yang akan datang nanti silalah menonton siri tadarus di mana-mana rangkaian TV. Mereka yang menjadi peserta hebat-hebat orangnya. Namun teguran selalu kita dengar.
Kita mengaji adalah secara bertalaqqi dan bermusyafahah. Maknanya kita belajar bertentang wajah dengan guru. Semasa membaca guru akan memandang mulut kita. Bukan muka kita. Apabila guru menegur, kita hendaklah berhenti membaca. Dengar tegurannya. Perhatikan mulutnya ketika membuat pembetulan. Saya ulang, pandang mukanya, pandang mulutnya. Cuba sekali dua. Bila guru angguk kepala barulah teruskan membaca. Ulang pada kalimah dan ayat yang salah tadi. Teguran dan pembetulan adalah suatu proses menyempurnakan bacaan. Guru yang mahir dapat mengesan kesilapan-kesilapan kecil yang tidak dapat dikesan oleh mereka yang tidak begitu mahir. Jika kita perhatikan yang ditegur itu mesti berkaitan dengan mad, makhraj, sifat, tebal, tipis dan ghunnah. Walau apapun, mengaji al-Quran perlukan kecintaan terhadapnya yang tinggi.  Pencinta al-Quran ingin mendapatkan kesempurnaan membacanya. Makhrajnya tepat. Sifatnya sempurna. Ghunnahnya mengenyangkan perasaan. Bila kita mendengar bacaan yang sempurna kita kenyang tanpa makan. Seronok yang sukar dibayangkan. Mudah-mudahan pencinta-pencinta al-Quran semakin ramai. Semarak memancarkan cahaya wahyu untuk menerangkan segala ruang yang gelap. Islam kembali menyinar. Keluar dari kegelapan yang terselubung selama ini. Hanya sedikit masa dalam sehari, carilah guru untuk mendlami al-Quran. Ia panduan jalan ke syurga. InsyaAllah.