Saturday, February 9, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Masjid Yang Tinggi Menaranya




Ini adalah menara masjid Universiti Zarqa'. Tinggi menjukang sendiri. Ketinggian menara adalah lambang tertegaknya syiar Islam di bumi itu. Lebih tegak di bumi anbia.

Menara ini sangat mengujakan. Banyak masjid lain yang serupa menaranya. Rekabentuknya. Ketinggiannya. Teknologinya.

Memandangnya sahaja sudah cukup sayu. Pada puncaknya terdapat lambang anak bulan. Tiada bintang. Bulan adalah lambang Islam.

Pembesar suara di setiap penjuru. Berkumandang apabila azan. Jam pula besar untuk dilihat dari jauh.

Pada kubah di bawahnya tetap ada lambang bulan. Kecil tetapi itulah lambang.

Mereka yang pernah ke Makkah dan Madinah al-Munawarrah tentu arif dengan menara Masjid al-Haram dan Masjid al-Nabawiy. Menaranya banyak. Dibina tinggi-tinggi di sekeliling binaan masjid-masjid itu. Dari jauh sudah nampak tegaknya. Dari dekat nampak sayupnya seperti menjulang awan. Sejadah alas tempat kita solat banyak dilukis dengan gambar masjid atau menara masjid. Apabila saya sampai di Amman, Jordan saya lihat kebanyakan menara adalah seperti tergambar pada sejadah kita di Malaysia. Malah sejadah yang saya beli di Amman juga bergambar menara masjid. Sama dengan menara masjid yang sebenar di Jordan. Ianya bukan suatu kebetulan. Bukan khayalan. Ianya realiti menara-menara di negara bumi anbia ini. Subhanallah.
Menara masjid di Jordan mungkin sama dengan menara masjid-masjid lain di negara Arab yang lain. Banyak kelainannya dengan menara masjid kita di Malaysia. Untuk makluman pembaca, bangunan tinggi di Jordan tidak seperti kita di Malaysia. Had kita langit. Lagi tinggi lagi kita megah. Ada perkara tersirat yang kita tidak mengetahuinya. Kebanyakan bangunan di Jordan hatta di bandaraya Amman sekalipun tidak banyak yang tinggi. Kebanyakannya sekadar lapan tingkat atau lebih rendah. Tingkat yang terbawah selalunya di bawah tanah. Di bawah aras jalanraya. Terlindung dari pandangan biasa. Yang dilihat di paras atas mungkin empat atau lima tingkat sahaja. Mungkin dalam entry yang lain ada cerita lanskap binaan di Amman Jordan.
Saya lihat banyak hikmahnya membina bangunan tidak terlalu tinggi. Mungkin di Jordan tanah masih luas. Di manapun kita pergi kita tidak bercerita tentang tanah atau bukit atau bekas lombong atau tanah paya. Istilah itu tidak ada di Jordan. Semua tanah di sini adalah batu batan dan bukit bukau. Mungkin lebih sesuai gunung-ganang. Jabalan jabalan kata orang Jordan. Kembali kepada masjid, binaannya berbeza dengan masjid kita. Di Malaysia bangunan masjid memiliki konsep terbuka. Angin dan udara bebas beredar untuk memberi rasa sejuk dan damai di dalam masjid. Negara kita panas. Orang tua-tua tidak gemar penghawa dingin. Oleh kerana itu masjid dibina dengan konsep terbuka. Banyak lubang udara. Sejuk atau panas konsepnya sama sahaja. Terbina rasa damai, tenang dan tenteram berada di rumah Allah.
Di Malaysia kadang-kadang kita tercari-cari masjid. Dari jauh tidak kelihatan. Mungkin ada papan tanda yang memaklumkan bahawa masjid ada di hadapan. Menaranya tidak kelihatan. Di Jordan menara masjid paling ketara tingginya. Sengaja dibina supaya nampak tinggi. Pada hakikatnya memang tinggi. Kemuncak masjid adalah mercu paling tinggi di sesuatu kawasan penduduk. Mungkin taman. Mungkin kamupung. Menara adalah lambang syiar agama. Lambang ketinggian agama. Lambang bahawa agama mengatasi segala-galanya. Agama bukan duduk di bawah. Bukan letaknya rendah. Bukan sama rata dengan hal-hal lain. Imam masjid menduduki pelana yang tinggi. Bukan penjawat yang dipandang sepi dan sebelah mata sahaja. Imam masjid adalah tokoh agama. Ilmuan. Mendalami al-Quran. Masjid menjadi nadi kepada orang Islam. Imam penggeraknya. Bukan pengerusi jawatankuasa masjid.
Di sesebuah kawasan bukan ada sebuah masjid sahaja. Kadang-kadang kita lihat ada tiga buah masjid. Berdekatan antara satu sama lain. Bila azan boleh didengar dari arah masjid masing-masing. Pada hari biasa dan semasa solat waktu tidak ramai jemaah. Namun sewaktu solat Jumuah masjid pasti penuh kerana hari Jumaat adalah cuti hujung minggu. Masa diperuntukkan untuk ke masjid. Hari raya mingguan yang tidak ada pada agama lain kecuali Islam. Hari Jumaat yang besar. Penghulu segala hari. Pada waktu malam yang cerah pemandangan atau panorama di sekitar mana-mana kawasan di Amman Jordan sangat indah. Cahaya hijau dilihat dari berbagai penjuru. Cahaya itu datangnya dari menara-menara masjid yang dapat dilihat mata. Ya! Warna hijau yang cerah sinarannya. Oleh kerana menara masjid adalah mercu paling tinggi maka puncaknya diterangi dengan cahaya. Warna yang dipilih warna hijau. Cantik berkelipan. Warna lambang kekuatan Islam.
Lazimnya menara masjid di negara kita dipasang bulan sabit dan bintang. Saya tidak arif gabungan keduanya. Islam memberatkan bulan tidak bintang. Kajian ilmu Falak mungkin benar. Bintang-bintang dikaji. Walau bagaimapun bulan menjadi rujukan banyak perkara kepada orang Islam. Takwim hijrah bersandarkan kepada edaran bulan. Bukan matahari. Bukan Masehi. Sebab itu anak bulan atau hilal menjadi rujukan dalam banyak perkara.  Bila nampak anak bulan banyak signifikannya. Awal bulan bermula. Awal Ramadahan. Awal Eid al-Fitri. Menentukan Eid al-Adha. Awl Muharram. Menentukan hol. Menentukan cukup hisab.  Banyak lagi gunanya bulan kepada orang Islam. Cuma kita sudah diabui oleh barat dengan bulan dan tahun Masehi. Kebanyakan kita lupa bahawa bulan Hijrah adalah lebih utama dari bulan Masehi.
Menara masjid di Jordan tidak bertutup. Ruang sebelum puncaknya dibina terbuka seperti bertingkap-tingkap. Konsepnya seperti bangunan Sultan Abdul Samad di Dataran Merdeka Kuala Lumpur. Atau bangunan Keretapi Tanah Melayu. Teknologinya begitu kerana di sini kurang hujan. Mungkin turun salji sekali-sekala dalam beberapa puluhan tahun. Hujanpun tidak lebat. Membina menara itu tentu perlukan kepakaran. Namun kepakaran itu kekal hingga kini setelah ratusan tahun dikuasai. Setiap kali masjid dibina pakar-pakar inilah dihimpunkan semula untuk membina masjid mengikut konsep rumah ibadat yang memenuhi tuntutannya. Menara masjid dilihat mengekalkan keasliannya. Authentic. Ada perasaan sayang. Cinta. Menusuk di hati. Sejarah agama yang unggul. Sejarah menegakkan perjuangan manusia menentang iblis dan syaitan. Memandang menara sudah cukup menginsafkan diri. Menara itu adalah mercu kecintaan kita kepada Allah. Kecintaan yang melebihi dari segala-galanya.

No comments:

Post a Comment