Saturday, February 9, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Ziarah Laut Mati

Walaupun sejarahnya mengerikan orang Jordan menganggap Lalu Mati seperti laut biasa. Papan tanda ini menggambarkan terujanya mereka ke pantai.

Antara lanskap di pantai Laut Mati. Yang berbalam di kejauhan ialah bumi Palestin yang sentiasa duka lara menunggu datangnya kemenangan yang Allah janjikan. InsyaAllah.

Jam 9.00 pagi 4 Januari 2013 kami ke Laut Mati. Perjalanan mengambil masa kira-kira dua jam. Perjalanan kami lancar dan mengujakan. Tentu sahaja kerana lanskap negara Jordan yang berbeza dengan Malaysia. Jika Malaysia banyak hijaunya, di sini bergunung-ganang. Laut Mati rasanya bukan asing kepada rakyat Malaysia. Ramai yang melancong ke sini atas beberapa sebab. Hanya kerana ziarah atau kerana melihat sendiri tanda-tanda hukum Allah ke atas kaum yang ingkar. Yang derhaka. Yang akhirnya dilaknat dan dihancur-leburkan oleh Allah. Penghuninya berserta tanahair mereka dibenamkan ke dalam bumi. Tamatlah riwayat suatu kaum yang mendustai nabinya iaitu Nabi Luth a.s. Kisah yang sezaman dengan Nabi Syuib a.s., Nabi Musa a.s. dan  Nabi Ibrahim a.s. ini diabadikan melalui wahyu Allah. Bacalah al-Quran. Nescaya kita akan menemui ayat-ayat yang menceritakan kebobrokan kaum Luth. Mereka melanggar tabii kemanusiaan yang dibenarkan Allah.
                       Sejarah merakamkan bahawa ada peperangan antara tentera Farsi dengan tentera Rom. Tempat itu dinisbahkan dengan sebuah tempat yang rendah di bumi. Kajian menunjukkan bahawa peperangan itu di kawasan Laut Mati. Tentera Farsi telah menang dalam peperangan itu. Sukar membayangkan bagaimana sebuah laut boleh mati. Itulah nama sebuah laut yang berair tetapi dinamakan mati. Dead Sea. Bahru al-Mayyyit kata orang Arab. Laut Mati berada 400 meter di bawah paras laut. Bagi orang tua di Malaysia 400 meter sukar dibayangkan. Ikut ukuran lama sama dengan 1,300 kaki di bawah paras laut. Maksudnya sekiranya jika laut biasa diletakkan bersebelahan Laut Mati, laut biasa berada 1,300 kaki atau 400 meter lebih tinggi dari aras Laut Mati. Laut biasa tinggi dan Laut Mati rendah jauh di bawah. Dunia mengiktiraf bahawa Laut Mati adalah kawasan paling rendah di muka bumi.
Lautnya mati kerana beberapa sebab. Ke laut ini mengalir beberapa sungai kecil. Tetapi air Laut Mati tidak keluar ke mana-mana. Tidak bercantum dengan laut lain. Atau tasik lain. Kerana itu Laut Mati menjadi terlalu masin. High salinity.  Penuh dengan potassium. Memang tidak ada siapa yang sanggup hatta untuk berkumur-kumur sekalipun. Tidak ada hidupan air yang dapat hidup di dalam airnya. Ianya hanya dapat dilihat. Disentuh. Diinsafi akan kejadiannya. Diambil iktibar akan hukuman yang Allah timpakan kepada kaum Luth yang ingkar. Panjang laut ini melebihi 300km dan lebarnya kira-kira 20km. Boleh bayangkan sejauh dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur.  Maknanya kawasan kependudukan kaum Luth itu sangat luas. Itupun mengikut ahli tafsir bukan kesemua penempatan kaum Luth yang dibenamkan ke dalam bumi. Ada bahagian yang Allah selamatkan. Sebelum sampai di Laut Mati kami singgah di makam Nabi Syuib a.s. InsyaAllah dalam kesempatan lain akan saya ceritakan. Insafilah hukum Allah ke atas siapa sahaja yang mendustai hukumNya.
Di luar bandaraya Amman, bas yang kami naiki mula menuruni gunung-ganang. Unutk turun sedalam 400 meter bukan terus meluncur seperti orang meluncur salji. Jalanraya yang dilalui berbelit-belit menelusuri lereng-lereng yang curam. Alhamdulillah jalanraya baru sudah dibina. Agak lebar dan tidak mengerikan. Di kanan dan kiri jalan memang gunung-ganang sahaja. Terdapat kampung atau sebuah dua rumah di lereng-lerengnya. Amman dan Laut Mati seperti dua dunia yang terasing. Dalam sebuah negara tetapi suhunya jauh berbeza.  Dari rumah kami memakai berlapis baju dan memakai jeket tebal seperti selalu. Dalam bas kami buka baju satu persatu. Di Laut Mati suhunya melebihi 20°C. Panas dan berpeluh. Kali pertama berpeluh setelah berada di Jordan selama tiga minggu. Laut Mati mengingatkan saya kepada tanahair. Ada pokok yang saya temui sama dengan pokok yang biasa kita temui di Malaysia.
Di kanan dan kiri kawasan ke Laut Mati terdapat tanah yang subur. Nak tahu apa yang saya nampak. Sudah tentu sayur-sayuran. Itu biasa. Khemah orang badwi. Biasa. Pokok. Biasa. Saya dapati banyak ladang pisang di kawasan Laut Mati. Pokok pisang seperti di Malaysia. Atau Indonesia atau Filifina atau Thailand atau di Amerika Tengah atau di Utara Australia. Oleh kerana masih lagi dalam winter ada tanda-tanda pokok pisang terkesan dengan suhu rendah. Ada daunnya yang kuning dan kering. Bas kami berpapasan dengan lori-lori yang mengangkut buah pisang. Bertandan-tandan pisan tua diangkut untuk dipasarkan ke seluruh Jordan. Namun pisang di sini tidak cukup untuk rakyat Jordan. Pisang diimport dari Lebnon. Maknanya pisang bukan hak milik negara seperti Malaysia. Di negara-negara Arab sudah banyak pisang. Selain dari pisang, jagung cukup banyak ditanam. Begitu juga buah-buahan lain.
Yang paling mengujakan ialah banyaknya tanaman sayur-sayuran. Kobis dan bunga kobis sangat banyaknya. Murah, segar dan besar-besar. Dalam perjalanan pulang kami berhenti di tempat orang melambakkan sayur. Bunga kobis yang lebih besar dari kepala orang dewasa dijual dengan harga sedinar untuk empat biji. Sebiji kira-kira RM1.10. Aduh murahnya! Saya beli dua biji. Bukan bunganya sahaja. Dengan daun-daunya sekali. Ramai yang tidak tahu bahawa daunnya juga boleh dibuat sayur. Tumis boleh. Gulaipun boleh. Pendek kata boleh kecur sekadar menyebutnya sahaja. Di Malaysia kita beli bunga kobis yang entah berapa kali diproses. Jika kita perasaan setelah beberapa ketika akan timbul tanda hitam kehitaman. Nampak tidak cantik. Itu belum layu dan tidak menyegarkan. Mahalnya belum dikira lagi. Yang kami beli semalam tiada langsung cacat celanya. Saiznya sedikit berbeza, ada yang lebih besar sedikit. Ada yang lebih kecil sedikit. Harganya tetap sama. Sebiji suku dinar. Tomato sekotak baru 1.5JD (Jordan Dinar). Jenuh menghabiskanya. Begitu jug aoren, mandarin dan kentang. Semuanya murah belaka. Laut Mati hanya lautnya. Manusia yang tinggal di sekeliling kawsan itu hidup berbudi dengan tanah yang subur. Siapa yang ada tanah, mewah dengan makanan. Yang bekerja di tanah-tanah itupun kenyang dengan makanan.
Yang dilarang ialah mematikan hati. Tumpul menghadapi keperluan akhirat. Banyak iktibar yang Allah perlihat dan perdengarkan kepada kita tetapi jika tidak diambil pengajarannya maka banyak yang akhirnya menyulitkan hidup kita di dunia dan akhirat. InsyaAllah kita bukan orang-orang jenis itu. Mengingat mati antara tuntutan agama ke atas kita.

No comments:

Post a Comment