Thursday, January 24, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Makan Untuk Hidup

Saya pernah ke rumah seorang sahabat. Kebetulan tengahari. Lalu dihidangkan makan tengahari. Mudah sahaja. Nasi , sayur dan ayam goreng. Tiada masalah. Selera saya dan isteri saya makan. Kita baca hikayat lama. Mungkin Hikayat Awang Sulong Merah Muda. Raja makan sangatlah sopannya. Sesuap dua ketiga sudah. Raja makan hanya tiga suap. Rasulullah SAW pula makan lagilah mudah. Kenduri Rasulullah SAW hanya sedulang buah kurma. Orang Islam dituntut makan tetapi berhentilah sebelum kenyang. Yang penting makan.  Bukan kenyang. Bukan juga kekenyangan. Jika sampai sesak nafas bukan makan namanya. Ada istilahnya yang tersendiri. Mungkin dalam situasi lain. Tidak sopan menyebutnya.
Bila jauh dari kampung halaman makan dan minum bukan perkara yang menyusahkan. Apa sahaja boleh dimakan asalkan halalan toyyibah. Sebenarnya kita perlu banyak berada dalam situasi yang berbeza. Kita belajar menyesuaikan diri melalui situasi-situasi tersebut. Ramai antara kita yang berkerjaya. Masak memasak bukan lagi budaya yang unggul tuntutannya. Makan selagi ada makanan yang boleh dimakan. Saya bina keluarga saya bukan terlalu menuntut mereka makan makanan ruji. Memanglah orang Melayu sukar memisahkan diri mereka dari nasi dan lauk pauk.  Namun anak-anak kita perlu dilatih supaya mengenal diri. Makan kenyang bukan satu keperluan. Makan sahaja yang diperlukan. Tidak semestinya nasi. Banyak makanan lain yang mengenyangkan. Malah lebih baik dari nasi.
Saya cenderung kepada makan yang memudahkan. Selama di Amman Jordan ini saya hanya makan nasi sekali sehari. Alhamdulillah seluar sudah mula longgar. Pagi saya makan roti dengan air kopi. Di kampus jarang juga makan. Minum teh atau kopi percuma di pejabat. Balik dari kampus pukul 1.45 petang sampai di rumah. Tanak nasi sementara kami mengerjakan solat Zohor. Selepas solat mungkin goreng telur. Kadang-kadang telur dadar dicampur sayur, daun bawang, bawang besar dan putih, cili hijau (merah belum jumpa). Cukuplah nasi dan telur dadar. Sesekali makan berlaukkan ikan. Daging dan ayam agak mahal. Makannan laut tersangat mahalnya.  Dirancang untuk berjimat. Udang beku sebesar jari kelingking kira-kira RM25. Bila gian beli juga.
Kebanyakan masa saya makan roti. Namun begitu isteri saya suka benar makan lempeng. Lempeng Melayu. Lempeng kosong. Cecah dengan sayur campur. Cili hijau campur bawang besar dan putih, kentang, daun bawang dan sedikit ikan bilis yang kami bawa. Mungkin dua atau tiga ekor. Sudah cukup banyak. Sesudah digoreng percikkan kicap manis yang kami bawa. Aduhai menyelerakan sungguh. Ada sesuatu yang istemewa tepung di sini. Tepungnya segar dan bila dimasak terasa tepung. Tiada campuran. Empat kilogram kira-kira RM6. Lembut bila dibuat lempeng. Roti yang saya beli berhari-hari tidak keras walaupun dalam winter. Kulit muka saya keras tetapi roti tidak keras.  
Pelajar Jordan sangat ringkas. Urusan makan mereka. Seperti juga orang barat. Kebanyakan mereka makan roti sandwic sahaja. Sandwic mereka  roti panjang 10cm. Dibelah dan diisi sama ada dengan daging, ayam atau sayur-sayuran. Sandwich itu dibalut dengan alluminium foil dan dimasukkan dalam beg plstik.   Tangan tidak kotor. Serpihan makanan jatuh dalam beg plastik. Bila siap makan bungkusan plastik itu terus dibuang ke dalam tong sampah. Pada dasarnya praktikal. Di universiti amalan kebersihan terurus dengan baik. Di kalangan masyarakat awam ianya agak bertentangan. Sensitif juga hal kebersihan ini. Mungkin nanti ada kesempatan lain saya menulis mengenainya.
Berada di luar negara tidak  boleh asyik menjaga selera biasa. Banyak yang perlu ditukar gayanya. Bekalan makanan banyak. Bolehlah tahan murahnya. Boleh makan kentang, tomato, kobis, kobis bunga, brocolli, timun, bayam, kacang buncis, kobis ungu dan berbagai lagi. Santan kelapa dalam tin ada dijual. Kelapa ada juga dijual sebiji, sebiji tanpa sabut. Gulai lemak atau kari bukan lagi satu kerinduan. Selasa malam yang lalu kami masak gulai ayam untuk dimakan dengan roti. Anas yang datang dari Britain selera sungguh menikmatimnya. Berulang-ulang kali dia menambah kuah kari ke dalam pinggannya. Katanya makanan Melayu bukan asing kepadanya. Rakannya datang dari Brunei dan nusantara.
Malam ini kami ada tuisyen Bahasa Arab di rumah. Waktu saya menulis ini (pukul 6.00 petang di Amman) sudah siap pengat keledek campur pisang dan jagung. Keledek banyak di sini. Keledek merah. Pisang memang kegemaran. Di mana-mana ada buah pisang. Mungkin dari Afrika. Pendek kata makanan bukan masalah bagi orang Malaysia. Selagi kita boleh fleksibel tiada apa yang menjadi masalah. Kecualilah kita alah dengan sesuatu jenis makanan. Jika berlaku begitu sukar mengatasinya.  Namun begitu banyak makanan halal yang tidak menyusahkan. Cumanya kita kenalah menukar selera. Menukar kebiasaan. Yang penting sihat walafiat. Boleh menyempurnakan hajat di hati. Diredhai Allah. Makanlah selagi larat. Berhenti makan jika ada mudarat. InsyaAllah kita dalam peliharaan Allah.

Wednesday, January 23, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Al-Quran dan Bahasa Arab

Malam ini Selasa 22 Jan 2013 diadakan kelas mengaji al-Quran di rumah sewa saya. Pelajar Malaysia yang mengikuti program Bahasa Arab di Universiti Zarqa berhimpun bersama. Termasuk Anas dari Britain. Bapanya orang Algeria sementara ibunya berasal dari Perancis. Dua orang lagi adik beradik dari Singapura. India Muslim. Kakaknya bernama Tasnim dan adiknya Irshad.  Alhamdulillah kerana Ustaz Khalid (our man in Amman Jordan) memberi perhatian akan perlunya mengintegrasikan bahasa Arab dan al-Quran. Tidak semuanya yang dalam al-Quran dipraktikkan kalimah dan istilahnya tetapi Bahasa Arab tentu memerlukan pelajarnya mengenal makhrij huruf dan sifat huruf. Tanpa keduanya terasa janggal mempelajari bahasa Arab tanpa asas dan teknik yang betul. Bahasa al-Quran tersangat tinggi dan tersangat halus. Mempelajarinya tentulah memerlukan perhatian dan kemahiran yang tinggi.
Bahasa jiwa bangsa. Ungkapan kita kerana mengagungkan bahasa Melayu. Malangnya slogan kita tidak begitu dihormati. Memang bahasa jiwa bangsa. Dalam bahasa itu ada banyak nilai-nilai demografi. Ada agama, ada adat, ada budaya dan berbagai lagi yang unik untuk bangsa itu sahaja. Maka lain bangsa lain bahasanya. Lain nilai-nilainya. Walaupun terdapat nilai-nilai sejagat tetapi banyak nilai-nilai khusus bangsa itu sahaja. Begitulah bahasa Arab yang dikatakan sinonim dengan bahasa al-Quran. Apabila berlaku perbezaan dalam menterjemah dan mentafsir sesuatu istilah maka mereka kembali merujuk kepada al-Quran. Apa kata al-Quran. Apa kata wahyu Allah. Itulah pesan Rasulullah SAW. Apabila berlaku perselisihan kembalilah kepada al-Quran dan sunnahku. Ternyata pesanan itu hakiki.
Alhamdulillah guru al-Quran yang disediakan untuk kami adalah seorang imam kabir dari masjid besar Abu Nuseir. Kami jangkakan orangnya tua, berpengalaman dan mungkin rambutnya putih beruban. Kami terkejut kerana yang datang seorang muda yang sederhana besar tubuh badannya. Tidak banyak bezanya dengan saiz orang Malaysia. Usianya baru 27 tahun. Masih muda belia. Sudah berumahtangga. Lazimnya begitu. Semakin alim seseorang itu semakin cepat ia berumatangga. Hanya rumahtangga yang menutup tipu muslihat syaitan. Kagum kami melihatnya dalam banyak perkara.  Wajahnya sentiasa lembut, penuh dengan senyum. Walaupun antara kami ada yang sukar menyebut sesuatu huruf ia terus senyum membetulkannya. Kepada orang Melayu banyak huruf yang memberi masalah. Sukar membezakan antara  dan. Antara dan.  dan. dan  . dan. dan. Bahasa Arab perlu ketepatan makhraj. Itu belum lagi sifat-sifat yang mengiringinya.
Makhraj dan sifat menyatu dalam sesuatu fasohah. Apabila sebutan tergelincir makhraj dan sifatnya maka maknanya berubah. Maksudnya berubah. Hasrat yang diperlukan berubah. Cakap lain dapat lain. Minta lain yang  tiba lain. Suruh lain buatnya lain. Begitulah juga antara panjang (mad) dan pendek.  ﺑﺎﺭﺩ Baarid. Panjang dua harakat pada ba. Pendek pada rid (satu harakat). Makannya sejuk. Dingin. ﺑﺮﻳﺪ Yang ini  bariid. Pendek pada ba (satu harakat) dan panjang pada riid (dua harakat).   Maknanya pula pejabat pos. Kerana itu mempelajari al-Quran bukan sebarangan. Memang kata orang baca sahaja. Allah mengetahuinya. Benar pada peringkat awal. Semasa kita bertatih-tatih. Berjinak-jinak. Wajib mempelajarinya dengan betul kerana perubahan panjang  dan pendek mengubah makna. Kita hendak ke pejabat pos tetapi kita kata sejuk. Kita bertanya arah tiada orang yang memberitahu. Kita kata sejuk orang menunjukkan arah ke pejabat pos. Bayangkan berapa banyak kalimah dalam al-Quran yang tersalah makna jika kita tidak mempelajarinya dengan betul. Sayugialah kita bertitik tolak dari saat ini untuk belajar al-Quran dari guru yang lebih alim. Lebih mu’tabar. Lebih syadid. Lebih mursyid. Kita banyak  belajar membetulkan diri kita. Terasa lebih hampir kepada Allah dan RasulNya.           
Kerana mempelajari al-Quran hampir dengan Bahasa Arab lebih mudah mempelajari kedua-duanya. Sekurang-kurangnya sebutan atau fasohah kita lebih mendekati yang benar dan hak. Kerana itu al-Quran dan bahasa Arab sejajar. Seiring. Bergandingan. Satu dalam satu. Bahasa al-Quran adalah bahasa Arab. Bahasa Rasulullah SAW. Bahasa syurga dan akhirat. Minggu lalu, Selasa malam Rabu adalah kali pertama kami berkumpul mentarbiah diri dengan al-Quran. Memang kadang-kadang orang Melayu sangat bertepatan fasohannya dengan orang Arab. Namun kadang-kadang ramai yang tergelincir lidahnya jika tidak biasa dan tidak dibiasakan.    Bahasa Arab bukan bahasa kita. Bukan budaya kita. Kena banyak bersabar. Membuka dada dan telinga. Ringan lidah berlatih menyebutnya. Banyak kebaikannya jika fasohah kita betul. Bagi sesiapa yang teringin mempelajari bahasa Arab maka tiada pilihan kecuali belajar dahulu al-Quran dengan sebaik-baiknya.          
Imam masjid Abu Nuseir yang didatangkan untuk kami seperti turun dari langit. Ingatan saya kembali ke zaman Nabi Yusuf.  Kenapa agaknya ya. Imam yang datang bukan sahaja muda bahkan sangat lawarnya. Bukan sahaja peserta yang muda-muda terpegun menatap wajah cantiknya bahkan peserta yang berumur takut bertentang mata dengannya. Terkedu kerana kecantikannya. Ingat cerita Nabi Yusuf. Betapa gundahnya perasaan Zulaikha siang dan malam. Apabila diperlihatkan kepada isteri pembesar-pembesar Mesir, mereka semua terhiris jari masing-masing. Mata sudah tidak terlepas memandang cantiknya Nabi Yusuf. Buah yang dikupas entah ke mana. Jari yang dikupas. Begitulah imam yang mengajar kami al-Quran. Tersangatlah cantik orangnya.
Cantik mungkin subjektif. Yang nyata pada raut wajahnya terpancar al-Quran. Sebutan kalimah yang keluar dari kedua bibirnya adalah al-Quran. Senyumnya al-Quran. Tegurannya selembut al-Quran. Perbualannya lambang al-Quran. Barangkali itulah sedikit gambaran tentang diri Rasulullah SAW seperti yang diterangkan oleh Aisyah. Bahawa sesungguhnya pada diri  Rasulullah SAW adalah al-Quran. Lega dan teruja berada bersama mereka yang arif dengan al-Quran. Andainya dapat bertalaqqi dan bermusyafahah dengan imam itu tentu terubat dengan rindu terhadap al-Quran. Wahyu agung untuk umat yang teragung. InsyaAllah Allah memberkati kami di bumi anbia ini.

Tuesday, January 22, 2013

Salam Dari Jordan: Lain Padangnya

Mungkin ramai berasa hairan kenapa saya tidak mandi berhari-hari. Bukan saya sahaja. Orang-orang di hemispiar utara dan selatan sama sahaja. Bila winter mereka tidak mandi kecuali mandi wajib. Bagi orang di kawasan Khatulistiwa seperti Malaysia hal sebegitu tentu tidak masuh akal. Banyak soalan bermain di kepala. Tidak berpeluh ke. Tidak berbau ke pakaian. Tidak berbau ke tubuh badan. Tidak ke, tidak ke. Terlalu banyak soalan. Siapa hendak menjawab. Orang yang mengalaminya tidak bercerita. Orang yang tidak mengalaminya tidak terlintas untuk bertanya. Atau ditanya tetapi jawapannya tiada. Atau tidak memuaskan. Maka soalan-soalan itu tergantung bertahun-tahun. Kesempatan membaca blog ini barangkali ada jawapan yang boleh diterima menasabahnya.
Di negara seperti Jordan winter bukan sahaja sejuk. Geografinya memberikan petunjuk bahawa udara di sini (begitu juga yang lebih utara dan selatan khatulistiwa) kering. Maksudnya tiada kelembapan. Ada tetapi terlalu sedikit. Hatta dalam musim panas sekalipun udara tetap kering. Ini  bermakna pergerakan kita jarang menyebabkan kita berpeluh. Hanya mereka yang melakukan senaman lasak sahaja yang berjaya mengeluarkan peluh. Suhu terlalu rendah berbanding di Malaysia. Udara yang keluar dari mulut menjadi wap. Berkepul-kepul keluarnya. Kerana itu peluh tidak sempat keluar. Kulit terlalu kering untuk membenarkan peluh keluar darinya. Badan sentiasa kering, tiada minyak dan tiada bau.
Suhu rendah dan angin kedua-duanya menjadikan kulit terlalu kering. Sebab itu orang di negara beriklim sederhana texture kulit mereka tidak sehalus kulit kita di negara panas. Memang pigment kulit mereka cantik. Putih melepak. Namun udara kering menjadikan kulit mereka kasar, menggerutu dan keras. Mandi bukan menyelesaikan masalah kulit. Orang Malaysia mandi berkali-kali. Pagi, tengahari, petang dan mungkin malam. Peluh, rimas, panas dan kulit berminyak. Sebut apa sahaja jika tidak mandi ramai orang yang bising. Terlalu ramai orang yang risau jika kita tidak mandi. Badan tidak segar. Lemah longlai. Seorang profesional dari barat kagum dengan orang Islam yang wuduk lima kali sehari sebelum solat. Kajiannya menunjukkan bahawa muka, tangan dan kaki adalah anggota tubuh badan yang sarafnya sangat sensitif dengan air mutlaq. Air menyegarkan saraf-saraf tersebut.
Allah memaklumkan di dalam al-Aquran bahawa Muslim yang berwuduk lima kali sehari bersih tubuh badannya. Analoginya seperti orang mandi. Namun begitu persekitaran diambilkira dalam menentukan banyak perkara. Sekadar contoh, pengikut mazhab Hambali wajib mandi sebelum pergi solat Jumuah (Jumaat di Malaysia) di masjid. Mereka tidak mandi seeprti kita kerana iklim yang sejuk atau kerana air adalah sumber yang nadir. Langka. Scarce.  Jika tidak mandi, jemaah yang lain tentulah sesak nafas kerana bau badan dan bau pakaian. Itu juga sebabnya memakai bau-bauan dikira sunat dan sunnah. Orang seperti kita mandi sebelum solat Jumuah hanya sunat sahaja. Kita kerap mandi kerana banyak air. Alhamdulillah. Ruksyah itu hadiah Allah. Ada banyak kemudahan yang Allah beri dalam keadaan yang berlainan tetapi memerlukan.
Berada di tempat yang berlainan di muka bumi ini banyak mengajar kita untuk memahami situasi. Kita tidak boleh mengatakan bahawa semua kelainan itu menyusahkan. Allah yang mencipta kesemuanya. Tentulah ada kebaikan yang perlu kita maklumi sebagai hamba Allah. Negara kita mungkin yang terbaik pada pendapat kita. Namun ada hal-hal yang kita tidak ada. Allah tidak menganugerahkannya kepada kita. Walaupun winter adalah sejuk, ada nikmat sebaliknya. Kita menghargai panas yang datang. Salji sejuk tetapi nikmat memandang, memegang dan bermain dengannya. Sejuk. Memang sejuk. Tetapi mereka yang dianugerahkan salji tidak pernah merungut. Malah ramai yang menanti bila turunnya. Mengambil menfaat kerananya. Malah salji dimanfaatkan untuk berbagai jenis sukan hatta ke Sukan Olimpik.
Di Amman Jordan ini saya berkampung dalam suasana yang sangat berlainan dari Malaysia. Hidup baru memang berputar berkali-kali. Masih ada keseronokan yang ada di sekeliling saya. Yang penting sihat walafiat. Boleh buat semua yang dihajat. Boleh belajar dalam suasana yang tidak pernah difikir. Pengalaman dahulu sahaja yang menjadi pedoman bahawa sejuk ini bukan selamanya. Musim bunga hanya beberapa bulan sahaja lagi. Panas masih terik pada waktu siang. Malam ini jam 7.00 agak sejuk sedikit. InsyaAllah pada pukul 8.00 selepas Isya’ nanti ada kelas tajwid di rumah saya. Semuanya Allah yang atur. Manusia diberi ilham dan fikiran untuk melakukan yang terbaik. Berniaga dengan Allah tidak akan pernah ruginya. Carilah ayat al-Quran mengenainya. ﺗﺠﺎﺭﺕ ﻟﻦ ﺗﺒﻮﺭ.

Salam dari Amman Jordan: Jihad Mencari Redha Allah


Bila kita berkehendak susah bukan masalah. Jauh bukan isu. Mahal bukan tidak upaya. Kita banyak pilihan. Pilihan yang tidak terbilang banyaknya. Apa yang kita pilih bergantung siapa kita. Ke mana kita hendak pergi. Objektif kita. Apa sumbangan yang hendak kita lebarkan kepada orang-orang di sekeliling kita. Akhirnya kita zoomkan kepada dua pilihan terakhir. Dunia atau akhirat. Kedua-duanya perlu sebab dari dunia kita ke akhirat. Tidak mungkin sebaliknya kecuali Adam dan Hawa sahaja. Di persimpangan inilah saya selalu melihat kerisauan membuat keputusan. Ke mana antara keduanya. Akhirat yang jauh. Atau dunia yang semakin tertinggal. Di Amman Jordan saya melihat keinsafan di hadapan mata.
Mereka yang belajar Bahasa Arab datang dari seluruh dunia. Di Universiti Zarqa’ terhimpun anak-anak muda dari Poland, Denmark, Albania, Cina dan Filifina. Mungkin ramai lagi yang tidak saya ketahui. Paling ramai dari Malaysia. Ramai yang datang atas inisiatif sendiri. Simpan wang secukupnya. Cuti tanpa gaji semata-mata ingin menguasai Bahasa Arab. Seorang anak muda dari Pulau Pinang baru sahaja tamat peperiksaan STAM. Bekerja beberapa bulan. Kumpul wang lalau terbang ke Jordan. Walaupun ramai yang dihantar oleh ibu bapa namun yang belajar Bahasa Arab ramai atas daya sendiri. Belanja sendiri. Buang semua yang di samping untuk mengejar yang lebih utama.
Memilih Jordan sebagai tumpuan bukan pula mudah. Bukan suatu keputusan yang santai. Pertamanya JD (Jordanian Dinar) lebih mahal dari RM. Malah lebih mahal dari USD. Keduanya jauh. Ketiganya empat musim di sini amat mencabar. Apabila bahang panas orang boleh berlindung. Tetapi sejuk mencengkam tulang. Bagi mereka yang pernah belajar di luar negara, tidak ada yang served on a silver platter. Usaha yang dijalankan sangat mencabar kesabaran. Kecekalan. Keinsafan. Peserta dari Poland datang sendiri. Isterinya masih di Britain. Dijangka sampai minggu ini. Keduanya Muslim. Mencari kehidupan baru yang diredhai Allah. Namanya Michael. Yang keduanya Syuaib dari Albania. Muda lagi. Baru menikah. Isterinya ditinggalkan di Albania kerana masih belajar di sekolah menengah. Syuib ingin menguasai Bahasa Arab, hafiz al-Quran dan ingin belajar di Madinah al-Munawarrah. Yang dari Filifina bernama Mona Lisa. Baru dua bulan menjadi Islam. Orang di sini menjaganya kerana statusnya.
Seorang lagi Amatullah. Cantik namanya secantik orangnya. Dari Denmark. Suaminya orang Palestin. Sudah tiga orang anaknya. Tiga orang lagi pelajar Islam dari negara Cina. Sudah belajar Bahasa Arab dipondok di Cina. Ingin mendalami lagi Bahasa Arab. Terdapat dua orang adik beradik dari Singapura. Antara beberapa ramai itu ada tiga pasangan keluarga. Dari Selangor dua pasangan. Seorang lagi meninggalkan kerja, suami dan anak-anak untuk mengejar cita-cita menguasai Bahasa Arab. Dari Ipoh. Latar belakang berbagai tetapi matlamat hanya satu. Ingin menguasai Bahasa Arab. Faseh  bercakap. Boleh membaca. Boleh mengarang dan menulis. Mungkin boleh berhujjah, berbantah dan berbahas.   
Kesemua yang datang memiliki ciri-ciri yang unik. Dari manapun mereka datang, mereka memegang kunci     لاإله إلاٱللّه  محمد رسول ٱللّه .  Saudara seagama.  Saudara seagama hingga ke akhirat. Apa yang saya perhatikan sangat mengesahkan pendapat saya. Kesemua saudara islam ini yang datangnya dari seluruh pelosok dunia memiliki akhlak yang mulia. Mereka lemah lembut. Bersopan santun. Jika bercakap beradab. Kadang-kadang di tanahair ramai yang sudah hilang jati diri Islamiahnya. Menghormati orang lain semakin terhakis. Di sini, di Amman, Jordan ini Muslim mempamerkan jatidiri Muslim. Menafikan bahawa Muslim adalah ganas.  Militen. Fundamentalis. Bahawa Muslim adalah mereka yang membela agama.
Terfana juga memikirkan di tanahair ramai bakal pewaris negara sibuk dengan hedonism. Yang ramai tenggelam dengan hiburan. Semua ingin menjadi selebriti dalam dunia yang kabur.  Jarang yang ingin menjadi selebriti akhirat. Yang namanya ditinggalkan harum semerbak sebagai contoh teladan. Barakahnya dinanti. Ditunggu kahadirannya kerana kehebatan aura agamanya. Di Amman Jordan ini saya melihat sendiri jihad yang tinggi anak-anak muda dari seluruh pelosok dunia menghadirkan diri untuk mencari redha Allah. Berpijak di bumi anbia. Banyak titisan darah sahabat, tabi’ien dan tabi’ tabi’ien. Itu belum lagi terjahan Sallahuddin al-Ayubi yang mengusir Richard the Lion Heart. Sallahuddin yang mengembalikan maruah Islam di bumi Palestin.
Ayuh. Kita kembalilah kepada fitrah bahawa kita semua akan kembali kepada Allah. Tiada siapa yang terkecuali. Sampai masanya Izrail datang. Roh kita pasti dipersembahkan kepada Allah Rab al-Jalil. Di hari pembalasan semua akaun kehidupan kita diaudit. Tanpa kecuali. Tanpa ada pilihan lain. Ambillah dunia tetapi bukan mati kerana dunia. InsyaAllah bertemu lagi.

Sunday, January 20, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Tempat Baru Hidup Baru


Sudah lima hari di Amman. Selasa 15 Januari 2013 saya jejakkan kaki di bumi anbia ini. Rasa lega. Hasrat yang bertahun-tahun Allah makbulkan jua. Mudah-mudahan segalanya mendapat bantuan Allah. Barakah  bumi anbia. Rasanya bukan calang-calang orang yang tahan suhu rendah di sini. Siangnya di bawah 10° dan malamnya 5°. Hari-hari pertama terasa benar sejuknya. Pasang pemanas udara untuk mengurangkan sejuk. Bukan untuk memanaskan rumah. Penghuni kekal memakai baju tebal. Tiga atau empat lapis. Pada waktu siang matahari memancar terik. Panas apabila kita berada di bawah pancarannya. Tanpa sedikitpun perlindungan. Tetapi apabila kita dilindungi bayang terasa sejuknya. Tidak kira terlindung bangunan atau pokok, sejuk tetap sejuk. Hanya di bawah pancaran matahari sahaja terasa panas. Itu pun jika tidak ada puputan atau deruan angin. Jika ada berlaku pula wind chill. Sejuk kerana angin. Maknanya suhu yang sudah rendah semakin rendahnya dek tiupan angin. 

Memakai baju sejuk dan berlapis-lapis menjadi suatu kemestian. Tidak boleh berlaku kecuaian. Mudarat boleh berlaku kepada kesihatan. Mandi dilarang sangat-sangat. Bukan kerana tiada air. Bukan kerana airnya sejuk. Mandi bertentangan dengan sejuk yang berlaku di persekitaran. Badan hendaklah dibiasakan dengan sejuk yang ada. Banyak mandi dikhuatiri mengakibatkan penyakit. Malah kadang-kadang ekstreme akibatnya. Pakai baju tebal. Kurangkan menggunakan air. Menjaga kesihatan. Maaflah sejak 15 Januari saya belum mandi lagi. Tidak terdaya menahan sejuk. Dulu saya hidupkan pemanas setiap malam. Sekarang jarang-jarang. Bila perlu sahaja. Bila tidur di bawah selimut segala sejuk hilang dengan sendiri. Bukan selimut biasa. Selimut kain nipis seperti di Malaysia boleh mati kesejukan. Selimut winter sangat tebal. Berada di bawahnya cepat panas. Haba terkumpul. Tidur berdua lebih cepat panasnya. Maaf. Realiti.

Dalam suasana yang sebegitu kehidupan berputar banyak darjahnya. Dari negara panas kami berada di negara yang sejuk. Dari tempat yang lembab kami berada di tempat yang kering udaranya. Pada beberapa hari yang awal angin cukup kencang. Kena pakai sarung kepala. Telinga sejuk dan kecut. Bila pakai sarung kepala terasa hangatnya. Sarung tangan kena pakai juga. Kaku jejari. Atau masukkan ke dalam poket jaket atau seluar. Bukan gaya. Sejuk. Tangan perlu panas. Tidak mungkin memakai baju berlengan pendek. Kemeja-T di dalam sekali. Pakai pull-over. Baju-T lengan panjang. Kemeja berlengan panjang. Baju lapis dalam lagi. Di luar barulah jaket. Jika angin kencang kulit menjadi kering. Mulalah menggerutu. Bintat merah-merah. Bagi yang tidak tahan tersa gatal pada kulit yang kering.

Pagi-pagi kena lumur dengan losyen intensive care. Manjakan kulit supaya kurang keringnya. Pada musim sejuk banyak karenah menjaga kulit dan tubuh badan. Baru perasan rupanya banyak jenama penjagaan kulit ada di seluruh dunia. Jenama yang sama. Bukan million tetapi billion dollar business. Harganya tidak banyak berbeza antara sebuah negara dengan negara yang lain. Nama wangnya berlainan tetapi nilai jenama itu hampir serupa di mana.mana. Di Jordan wangnya JD. Jordanian Dinar. Tidak UD. Urdunian Dinar. JD1 = RM5. Jangan risau tentang nilai pertukaran. Ok, sebiji kobis sebesar pinggan makan baru kira-kira RM3. Saya rasa masih sama dengan Malaysia.  Mungkin lebih murah. Yang lainya kobis di sini masih sangat segar. Baru dipetik dari pokok. Bahkan dari ladang. Masih dengan daun yang hijau. Selaput hijaunya masih melekat. Belum dibuang.  Jika tidak berkenderaan jenuh mengheretnya balik ke rumah. Begitu juga bunga kobis. Besar-besar belaka. Jenuh mencari yang kecil. Maklumlah makan berdua. Beli yang besar lama pula baru habis.

Menikmati makanan segar sangat mengujakan. Kentang masih segar, keras, besar, dan rangup. Belum jumpa kentang yang sudah lembek seperti di tanah air. Bawang merah juga begitu. Aduhai. Buah-buahan melambak-melambak. Teringat di USA dan Canada dahulu. Kedai buah melimpah-limpah dengan tuaiannya. Oren besar, mandarin, epal, pear, aprikot dan banyak lagi. Buah delima tidak ada yang kecil. Kadang-kadang jumpa yang kecil. Kebanyakannya besar-besar belaka. Saya pernah membeli delima besar di Parit Raja, Batu Pahat. Sebiji RM15. Maknanya JD3. Di Amman yang besar-besar saiznya baru JD1.5. sekilogram 2 biji. Maknanya RM7.50. Sebiji RM3.75 ringgit Malaysia. Bukan RM15. Sangat teruja memakan buah dan sayur.  Terasa berbaloi terbang dari jauh. Dari negara panas ke negara sejuk.

Hidup memang berubah coraknya. Siang lebih pendek dari malamnya. Isya’ pukul 8.25 malam seperti Malaysia juga.  Kerana suhu yang rendah mata cepat mengantuk. Biasalah pukul 8.45 sudah bam. Alhamdulillah boleh jaga dalam pukul 4.00 pagi. Keluar rumah pukul 7.30 pagi. Banyak masa untuk solat malam. Alhamdiulillah. Siang tidak pula tidur. Tidak ada masa hendak menonton TV. Ada lebih 750 rangkaian. Ada TV seluruh negara Arab sama ada yang di Timur Tengah atau yang di utara Afrika. Ada dari Korea, India, Paskiatan dan sudah tentu dari Eropah. Tidak terasa terasing sangat. Walau bagaimanapun ketagihan TV berkurangan dengan sendirinya. Tempat dan iklim boleh mengubah tabiat manusia. Barakah bumi anbia. Allahu Akbar!

Jadual makan paling berbeza. Kami balik dari universiti kira-kira pukul 2.00 petang. Sarapan paginya yang boleh tahan hingga ke tengahari. Selepas solat Zohor baru kami memasak. Pukul 3.00 kami makan. Malam tidak makan lagi. Lazimnya kami makan sekali sahaja sehari. Maksudnya makan nasi. Buah  dan roti kerap kami makan bila waktu senggang. Pada musim sejuk kerap laparnya. Ada sahaja yang hendak dimakan. Roti di sini lembut. Kena udara sejuk tidak menjadikan roti keras dan kaku. Lain benar dengan tepung kita. Bila dibuat lempeng sedapnya berganda. Jadual makan berubah. Jadual tidur berubah. Kebiasaan berubah. Jadual mandi dan membersihkan badan juga sangat berubah. Di negara yang beriklim sederhana banyak juga kebaikannya. Baju yang dipakai untuk tidur tidak pernah berbau. Walaupun berhari-hari. Pakailah setakat larat. Berulang setiap hari. Siapa hendak membasuh dalam sejuk. Hendak dijemur di mana kerana sejuk semuanya. Takut keringnya mengambil masa yang lama.    

Maaf. Lupa nak beritahu. Saya belajar bahasa Arab di Universiti Zarqa’. Sebuah universiti swasta. Di kelas asas terdapat dua orang guru. Pesara belaka. Mereka orang Palestin. Seorang mengajar dari segi menulis, membaca dan bercakap. Seorang lagi khusus untuk berbual sahaja. Selama sejam kami digalakkan bercakap. Bertanya dan menjawab. Atau memberi komen yang perlu. Universiti ini 45 minit perjalanan dari Abu Nuseir tempat tinggal kami. InsyaAllah untuk setahun atau dua ini saya menjadi penghuni Amman, Jordan. InsyaAllah boleh bercakap dalam bahasa Arab. Doa restu kami pohonkan.





Thursday, January 17, 2013

Hidup Beragenda dan Beragenda

Hiudp kita penuh dengan saat dan waktu. Kiralah dari saat, minit, jam, hari, minggu, bulan, tahun, dekad, abad dan alaf. Kita buang alaf kerana manusia zaman kita tidak lagi mencapai usia hingga melebihi seribu tahun. Terlalu sedikit manusia yang mencapai usia melebihi 100 tahun. Ramai yang mencapai angka hingga 80an tahun sahaja. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Ada orang mengatakan bahawa usia tua ibarat kelapa. Semakin tua semakin banyak santannya. Semakin pekat. Semakin banyak minyaknya. Kita tanya kembali. Kelapa yang bagaimana. Tua bagaimana. Kelapa dari mana. Pernah lihat kelapa yang sudah dibuang sabutnya? Bagi yang tidak arif tentang kelapa, semuanya kelihatan sama. Biji kelapa tanpa sabut adalah konsep kelapa kepada orang Barat. Kepada mereka kelapa bertempurung tetapi tiada sabut atau kulitnya.
Hanya apabila dilihat sabutnya diketahui tua atau mudanya. Apabila dibelah baru diketahui tua atau mudanya. Apabila diparut baru diketahui nilai santannya. Banyak santannya. Pekat santannya. Apabila dibuat minyak barulah diketahui banyak mana minyaknya. Kualiti minyaknya. Maka untuk menjadikan kelapa yang kaulitinya terbaik tentulah banyak yang perlu dibuat. Tanah pilihan adalah tanah liat berpasir. Cukup panas dan airnya. Perlukan penjagaan yang rapi. Dipetik sesudah memang tua. Ditunggu gugurnya tentulah tidak berjadual. Terlalu lambat. Tidak dapat dijangka. Dalam hidup ini kita perlu banyak berencana. Menyusun agenda. Ada aturcara yang selari dan sejajar dengan usia dan keupayaan.
Kita menerima pendidikan dari tadika hingga ke IPT. Kita rasa masanya terlalu lama. Teruja hendak bekerja. Menerima sendiri ringgit yang boleh digenggam. Berbelanja dengan bebas meggunakannya. Sejak sekian lama kita rasa inilah masanya kita menjadi manusia. Membina harga diri. Jati diri. Nilai-nilai istimewa seorang yang mula berkerjaya. Masuklah dengan langkah lagak seorang pejuang ke alam kerja. Alam kerjaya. Mengira setiap sen untuk dilonggokkan menjadi ringgit yang banyak. Tetapi kerjaya bukan sesuatu yang statik. Perubahan teknologi mengubah status setiap kerja. Banyak yang perlu dilakukan untuk keep abrest dengan segala perubahan yang berlaku di sekeliling. Kita harus sedar ilmu yang kita ada tidak sampai setitis dengan ilmu yang orang lain miliki. Tidak banyak manapun. Kita masih diperlukan untuk menambah nilai diri. Menambah ilmu. Menambah kemahiran. Mempelbagaikan kesemuanya.
Usia menambahkan pengamalan. Seniority menambahkan produktiviti. Tanggungjawab yang bertambah bersama meningkatnya kewibawaan atau autoriti. Akauntibiliti tentunya menjadi pagar yang mengekang kejahilan. Kerakusan. Ketidakwarasan bertindak melulu kerana tidak mahu terikat. Kita kembali kepada kemanusiaan. Kita hanya dengan kekerdilan kita. Kita cuba panjat semua mercu yang kita lihat. Terbang ke awan yang kita sangka terlalu tinggi. Bagi yang telah terbang, awan hanya di bawah.  Parasnya rendah. Dalam pada itu kita terus mendaki tanpa mengetahui ke mercu mana yang hendak dipacakkan tanda kejayaan. Akhirnya ramai yang tewas. Bukan kerana gagal berjuang. Sebenarnya mereka tidak mengetahui apa yang diperjuangkan. Apa yang ingin didaki. Mercu mana yang hendak dipacakkan bendera.
Banyak yang perlu kita lalukan untuk menghargai diri kita sendiri. Sebenarnya banyak potensi untuk membangun dan memperkembang diri. Dalam kita berkeliling ada yang tertinggal. Dalam kita berkelana kita melupakan hak-hak mutlak yang sangat kita perlukan. Kita adalah hamba Allah yang sangat kecil. Terlalu kecil. Terlalu seni. Banyak ketidakupayaan yang ada pada kita. Kerana itu kita perlu belajar. Perlu mengaji. Perlu menyelidik. Perlu banyak bertanya. Kita banyak kurangnya. Kita banyak tidak tahunya. Kita banyak kekosongan ruang pemikikiran yang bestari. Carilah. Belajarlah. Agendakanlah pembelajaran sebagai input utama dalam hidup. Dari buaian hingga ke liang lahad. Tiada ruang kosong tanpa mencari kebenaran. Mencari yang tidak kita ketahui.
Tiada  yang lebih baik dari menambah keupayaan berfikir. Keupayaan menyelesaikan masalah. Keupayaan membuat keputusan bertaraf tinggi. Berimpak tinggi. Sebagai warganegara kita perlu banyak menyumbang. Sebagai penganut agama yang terunggul kita perlu banyak menyumbang. Sebagai individu kita perlu banyak menyumbang. Namun orang yang menyumbang mestilah memiliki sesuatu yang perlu disumbang. Untuk itu ianya perlu dicari. Memiliki harta yang banyak menjadi idaman. Ianya juga menjadi igauan. Harta sukar dipelihara. Selalu dalam ketakutan menjaganya. Takut hilang. Takut rugi. Takut dicuri. Takut terbakar. Ketakutan yang melibatkan semua perkara. Banyak harta banyak ketakutan. Begitulah jika kita terlalu bergantung kepada harta. Kita lupa untuk bergantung kepada pencipta harta tersebut.
Kita perlu belajar untuk mengumpul harta. Kita perlu belajar untuk memelihara harta.  Kita perlu belajar untuk menginfaqkan harta. Hanya orang Muslim yang megetahui infaq hartanya paling bermanfaat. Kita semua tahu harta tiada hadnya. Tiada siapa yang pusan memilikinya. Malah mereka yang mengejarnya juga tidak puas-puas. Kita kembali kepada ilmu yang menyegarkan pemikiran. Yang penting kepada orang berilmu ialah mengetahui. Mendalami dan memperhalusi. Kita pusing ke belakang untuk menyamapaikan segala kebaikan ilmu kepada orang lain. Setiap yang baik pastinya benih yang mencambah menjadi pokok ilmu yang berguna. Buahnhyn berguna. Bunganya berguna. Daunnya berguna. Kayunya berguna. Naungannya berguna. Oksigennya berguna. Kehadiraannya berguna. Semakin besar semakin banyak gunanya. Semakin tua semakin banyak yang telah dimanfaatkan.
Masa kita terhad. Usia kita singkat.  Tanpa agenda tiada acara yang dilakar. Tiada audien yang mendengar dan berkongsi mengenainya. Sebab itu kita hendaklah mengagendakan masa dan diri. Tidak ada siapa yang mengatur hidup kita melainkan Allah. Tetapi kita jendaklah berusaha memajukan diri untyk diri kita sendiri. Untuk Allah. Nanti kita sumbangkan kepada semua orang di sekeliling kita. Ilmu Allah tiada yang perlu disimpan untuk kepentingan diri kita sendiri. Semuanya perlu disampaikan kepada orang lain. Ilmu itu semakin berkembang semakin di sebarkan kepada orang lain. InsyaAllah Allah memberi kelapangan kepada kita untuk memperbaiki diri.

Sunday, January 13, 2013

Brussel Sprout and Carrot



Puas saya melihat sendiri bagaimana hay dibuat. Di hujung  musim fall itu saya dibawa berkeliling kampung berhampiran Ottawa untuk melihat orang meniup botol.membuat kraf Red Indian. Suatu pengalaman yang sukar untuk melupakannya. Menulis kembali mengenainya sangat nostalgik. Sebenanya paling lama sekali ialah berada di lading lembu. Di kawasan ladang itu banyak aktiviti yang boleh dilakukan. Suatu waktu dahulu ada kegilaan Hollywood menghasilkan filem-filem cowboy.para pelakonnya banyak melakukan aktiviti dari pagi hingga malam. Tugas utama mereka ialah mengembala lembu menggunakan kuda. Mereka kesemuanya membawa senapang atau pistol. Bertembak suatu kemestian. Bertembak dengan Red Indians. Ironis. Orang putih yang datang menyeberang dari Eropah merampas tanah orang Indian, memusuhi Red Indians yang pada awalnya sangat pemurah. Kekuatan senjata itu yang memenangkan orang putih ke atas penduduk asal di negara besar yang bernama Amerika Syarikat. The United States of America.

Senjata juga alat untuk menunjuk kuasa. Yang kuat selalu menang walaupun tidak semestinya kekal menangnya. Maka wujudlah cerita-cerita seperti Doc Holiday dan ramai lagi. Begitulah Clint Eastwood, Ronald Reagan dan John Wayne memonopoli layar perak. Individu cowboy itu menggunakan senjata api dengan skil yang tinggi. Cepatnya bak kilat. Split second move. Precise. Tembakan yang selalu mengenai dahi. Antara dua mata. Atau di dada. Bertempiaran penajrah. Hero pasti menjadi Sheriff atau Marshall. Aman sebuah daerah. Sebuah pekan.  Di mana-manapun orang jahat sentiasa ada. Walaupun banyak angkaranya, yang jahat akhirnya kalah. Janji Allah untuk memenangkan manusia yang baik. Tidak derhaka kepadaNya. Di Canada saya tidak berjaya mendapatkan sampel kehidupan cowboy yang sebenar. Cebisan-cebisannya masih ada.

Setelah puas melihat orang membuat hay kami melihat pula barn. Bangsal besar tempat menyimpan hay. Bangsal itu memang besar. Yang disimpan ialah hay untuk makanan lembu selama kira-kira tiga bulan. Jika lembu yang dipelihara sebanyak 1,000 ekor tentu sukar hendak membayangkan saiz barn dan kuantiti hay yang mengisinya.  Saya belum pernah pula mendengar orang berniaga hay. Setiap pemilik ladang membuaynya sendiri. Padang ragut mereka luas. Hay adalah hasilan rerumput yang ada. Kerana tanah luas maka ramai mereka yanag mendiami ladang berbudi kepada tanah. Di sekeliling rumah, barn dan kandang kuda berbagai tanaman yang mercup hidupnya. Pada musim fall kesemua tanaman itu dituai. Kali ini perhatian saya tertumpu kepada brussle sprouts dan carrot. Tidak ada yang intimewanya kedua jenis sayur ini. Di Malaysia banyak. Diimport. Carrot biasa di pasaraya.

Yang saya lihat ialah kedua-dua sayur yang masih di pohonnya. Maksud saya brussle sprout masih dipohonnya yang sebenar. Carrot pula masih tertanam di tanah.  Mereka yang biasa makan di restoran besar makan brussle sprout tentu dianggap istimewa. Jika ada rezeki belilah sepaket. Belah dua. Goreng dengan mentega. Masin berulam dengan sedikit pahit. Menyegarkan. Ramai orang menyangka brussle sprout sebagai anak kubis. Bukan. Saiznya memang begitu. Sebesar bola pingpong. Kehijau-hijauan. Kami petik sebanyak mungkin. Malam itu di resort tepian tasik berhampiran Ottawa saya masak dengan mentega. Campur dengan bawang besar berwarna putih. Aromanya mencucur air liur. Apa lagi orang putih yang datang makan sakan. Licin semua yang saya masak. Kali pertama kami bertemu brussle sprout di ladangnya. Amsih di pohonnya. Kali pertama pula orang putih merasa masakan Melayu Malaysia. Sampai licin dibuatnya.

Kita jarang makan carrot mentah. Mungkin dibuat acar mentah. Dalam banyak aspek ramai orang makan carrot yang dimasak bersama kari. Atau yang disagat untuk ulam arau rojak. Di sekolah kita diajar untuk sentiasa bersih. Rasanya banyak ilmu iu datangnya dari Barat. Kebersihan sebahagian dari iman. Itu hadith. Beratnya kebersihan kepada Islam. Bandingannya iman. Di ladang lembu itu pemiliknya mencabut carrot. Dibuang daunnya. Digosok-gosokkan pada seluarnya. Dimakan begitu sahaja. Tidak hairankan? Saya belum sebut lagi. Carrot itu dibaja dengan tahi lembu. Masih banyak bertepek-tepek kekeringan. Yang lain turut juga makan carrot mengikut langkah pemiliknya. Budaya kita tidka membenarkannya. Kepada mereka semuanya perkara biasa sahaja.

Sebab itu mengetahui antara budaya penting dalam memelihara hubungan sesama manusia yang berlainan latarbelakang. Mereka yang berkahwin campur khususnya hendaklah berusaha sangat-sangat mengharmonikan perbezaan budaya. Antara pasangan berbeza pandangan. Berbeza falsafah. Berbeza cara dan gaya hidup. Cita-cita dan aspirasi berbeza. Jika tidak dari tarikh bulan madu perbezaan itu semakin ketara hingga membawa keretakan rumahrangga. Setelah beberapa lama barulah boleh masing-masing mengambil jalan yang lebih tolerant. Mengemudi rumahtangga ke arah laluan yang kurang berliku. Jika ada halangan, ada cara untuk mengatasinya. Brussle sprout dan carrot mengingatkan kita tentang kebesaran Allah. Di bahagian bumi yang lain ada orang sangat jauh berbezanya dengan kita. Perbezaan itu bukan untuk dicemuh tetapi difahami kedudukan setempat dan persekitaran mereka. Budaya yang tidak bertentangan dengan agama bukan suatu kesalahan. Banyak iktibar mengembara. Pengembaraan yang slealu mengajar. Banyak berjalan banyaklah pemandangan yang memberi impak kebesaran Allah.