Mungkin ramai berasa hairan kenapa saya tidak mandi berhari-hari. Bukan saya sahaja. Orang-orang di hemispiar utara dan selatan sama sahaja. Bila winter mereka tidak mandi kecuali mandi wajib. Bagi orang di kawasan Khatulistiwa seperti Malaysia hal sebegitu tentu tidak masuh akal. Banyak soalan bermain di kepala. Tidak berpeluh ke. Tidak berbau ke pakaian. Tidak berbau ke tubuh badan. Tidak ke, tidak ke. Terlalu banyak soalan. Siapa hendak menjawab. Orang yang mengalaminya tidak bercerita. Orang yang tidak mengalaminya tidak terlintas untuk bertanya. Atau ditanya tetapi jawapannya tiada. Atau tidak memuaskan. Maka soalan-soalan itu tergantung bertahun-tahun. Kesempatan membaca blog ini barangkali ada jawapan yang boleh diterima menasabahnya.
Di negara seperti Jordan winter bukan sahaja sejuk. Geografinya memberikan petunjuk bahawa udara di sini (begitu juga yang lebih utara dan selatan khatulistiwa) kering. Maksudnya tiada kelembapan. Ada tetapi terlalu sedikit. Hatta dalam musim panas sekalipun udara tetap kering. Ini bermakna pergerakan kita jarang menyebabkan kita berpeluh. Hanya mereka yang melakukan senaman lasak sahaja yang berjaya mengeluarkan peluh. Suhu terlalu rendah berbanding di Malaysia. Udara yang keluar dari mulut menjadi wap. Berkepul-kepul keluarnya. Kerana itu peluh tidak sempat keluar. Kulit terlalu kering untuk membenarkan peluh keluar darinya. Badan sentiasa kering, tiada minyak dan tiada bau.
Suhu rendah dan angin kedua-duanya menjadikan kulit terlalu kering. Sebab itu orang di negara beriklim sederhana texture kulit mereka tidak sehalus kulit kita di negara panas. Memang pigment kulit mereka cantik. Putih melepak. Namun udara kering menjadikan kulit mereka kasar, menggerutu dan keras. Mandi bukan menyelesaikan masalah kulit. Orang Malaysia mandi berkali-kali. Pagi, tengahari, petang dan mungkin malam. Peluh, rimas, panas dan kulit berminyak. Sebut apa sahaja jika tidak mandi ramai orang yang bising. Terlalu ramai orang yang risau jika kita tidak mandi. Badan tidak segar. Lemah longlai. Seorang profesional dari barat kagum dengan orang Islam yang wuduk lima kali sehari sebelum solat. Kajiannya menunjukkan bahawa muka, tangan dan kaki adalah anggota tubuh badan yang sarafnya sangat sensitif dengan air mutlaq. Air menyegarkan saraf-saraf tersebut.
Allah memaklumkan di dalam al-Aquran bahawa Muslim yang berwuduk lima kali sehari bersih tubuh badannya. Analoginya seperti orang mandi. Namun begitu persekitaran diambilkira dalam menentukan banyak perkara. Sekadar contoh, pengikut mazhab Hambali wajib mandi sebelum pergi solat Jumuah (Jumaat di Malaysia) di masjid. Mereka tidak mandi seeprti kita kerana iklim yang sejuk atau kerana air adalah sumber yang nadir. Langka. Scarce. Jika tidak mandi, jemaah yang lain tentulah sesak nafas kerana bau badan dan bau pakaian. Itu juga sebabnya memakai bau-bauan dikira sunat dan sunnah. Orang seperti kita mandi sebelum solat Jumuah hanya sunat sahaja. Kita kerap mandi kerana banyak air. Alhamdulillah. Ruksyah itu hadiah Allah. Ada banyak kemudahan yang Allah beri dalam keadaan yang berlainan tetapi memerlukan.
Berada di tempat yang berlainan di muka bumi ini banyak mengajar kita untuk memahami situasi. Kita tidak boleh mengatakan bahawa semua kelainan itu menyusahkan. Allah yang mencipta kesemuanya. Tentulah ada kebaikan yang perlu kita maklumi sebagai hamba Allah. Negara kita mungkin yang terbaik pada pendapat kita. Namun ada hal-hal yang kita tidak ada. Allah tidak menganugerahkannya kepada kita. Walaupun winter adalah sejuk, ada nikmat sebaliknya. Kita menghargai panas yang datang. Salji sejuk tetapi nikmat memandang, memegang dan bermain dengannya. Sejuk. Memang sejuk. Tetapi mereka yang dianugerahkan salji tidak pernah merungut. Malah ramai yang menanti bila turunnya. Mengambil menfaat kerananya. Malah salji dimanfaatkan untuk berbagai jenis sukan hatta ke Sukan Olimpik.
Di Amman Jordan ini saya berkampung dalam suasana yang sangat berlainan dari Malaysia. Hidup baru memang berputar berkali-kali. Masih ada keseronokan yang ada di sekeliling saya. Yang penting sihat walafiat. Boleh buat semua yang dihajat. Boleh belajar dalam suasana yang tidak pernah difikir. Pengalaman dahulu sahaja yang menjadi pedoman bahawa sejuk ini bukan selamanya. Musim bunga hanya beberapa bulan sahaja lagi. Panas masih terik pada waktu siang. Malam ini jam 7.00 agak sejuk sedikit. InsyaAllah pada pukul 8.00 selepas Isya’ nanti ada kelas tajwid di rumah saya. Semuanya Allah yang atur. Manusia diberi ilham dan fikiran untuk melakukan yang terbaik. Berniaga dengan Allah tidak akan pernah ruginya. Carilah ayat al-Quran mengenainya. ﺗﺠﺎﺭﺕ ﻟﻦ ﺗﺒﻮﺭ.
No comments:
Post a Comment