Bila kita berkehendak susah bukan masalah. Jauh bukan isu. Mahal bukan tidak upaya. Kita banyak pilihan. Pilihan yang tidak terbilang banyaknya. Apa yang kita pilih bergantung siapa kita. Ke mana kita hendak pergi. Objektif kita. Apa sumbangan yang hendak kita lebarkan kepada orang-orang di sekeliling kita. Akhirnya kita zoomkan kepada dua pilihan terakhir. Dunia atau akhirat. Kedua-duanya perlu sebab dari dunia kita ke akhirat. Tidak mungkin sebaliknya kecuali Adam dan Hawa sahaja. Di persimpangan inilah saya selalu melihat kerisauan membuat keputusan. Ke mana antara keduanya. Akhirat yang jauh. Atau dunia yang semakin tertinggal. Di Amman Jordan saya melihat keinsafan di hadapan mata.
Mereka yang belajar Bahasa Arab datang dari seluruh dunia. Di Universiti Zarqa’ terhimpun anak-anak muda dari Poland, Denmark, Albania, Cina dan Filifina. Mungkin ramai lagi yang tidak saya ketahui. Paling ramai dari Malaysia. Ramai yang datang atas inisiatif sendiri. Simpan wang secukupnya. Cuti tanpa gaji semata-mata ingin menguasai Bahasa Arab. Seorang anak muda dari Pulau Pinang baru sahaja tamat peperiksaan STAM. Bekerja beberapa bulan. Kumpul wang lalau terbang ke Jordan. Walaupun ramai yang dihantar oleh ibu bapa namun yang belajar Bahasa Arab ramai atas daya sendiri. Belanja sendiri. Buang semua yang di samping untuk mengejar yang lebih utama.
Memilih Jordan sebagai tumpuan bukan pula mudah. Bukan suatu keputusan yang santai. Pertamanya JD (Jordanian Dinar) lebih mahal dari RM. Malah lebih mahal dari USD. Keduanya jauh. Ketiganya empat musim di sini amat mencabar. Apabila bahang panas orang boleh berlindung. Tetapi sejuk mencengkam tulang. Bagi mereka yang pernah belajar di luar negara, tidak ada yang served on a silver platter. Usaha yang dijalankan sangat mencabar kesabaran. Kecekalan. Keinsafan. Peserta dari Poland datang sendiri. Isterinya masih di Britain. Dijangka sampai minggu ini. Keduanya Muslim. Mencari kehidupan baru yang diredhai Allah. Namanya Michael. Yang keduanya Syuaib dari Albania. Muda lagi. Baru menikah. Isterinya ditinggalkan di Albania kerana masih belajar di sekolah menengah. Syuib ingin menguasai Bahasa Arab, hafiz al-Quran dan ingin belajar di Madinah al-Munawarrah. Yang dari Filifina bernama Mona Lisa. Baru dua bulan menjadi Islam. Orang di sini menjaganya kerana statusnya.
Seorang lagi Amatullah. Cantik namanya secantik orangnya. Dari Denmark. Suaminya orang Palestin. Sudah tiga orang anaknya. Tiga orang lagi pelajar Islam dari negara Cina. Sudah belajar Bahasa Arab dipondok di Cina. Ingin mendalami lagi Bahasa Arab. Terdapat dua orang adik beradik dari Singapura. Antara beberapa ramai itu ada tiga pasangan keluarga. Dari Selangor dua pasangan. Seorang lagi meninggalkan kerja, suami dan anak-anak untuk mengejar cita-cita menguasai Bahasa Arab. Dari Ipoh. Latar belakang berbagai tetapi matlamat hanya satu. Ingin menguasai Bahasa Arab. Faseh bercakap. Boleh membaca. Boleh mengarang dan menulis. Mungkin boleh berhujjah, berbantah dan berbahas.
Kesemua yang datang memiliki ciri-ciri yang unik. Dari manapun mereka datang, mereka memegang kunci لاإله إلاٱللّه محمد رسول ٱللّه . Saudara seagama. Saudara seagama hingga ke akhirat. Apa yang saya perhatikan sangat mengesahkan pendapat saya. Kesemua saudara islam ini yang datangnya dari seluruh pelosok dunia memiliki akhlak yang mulia. Mereka lemah lembut. Bersopan santun. Jika bercakap beradab. Kadang-kadang di tanahair ramai yang sudah hilang jati diri Islamiahnya. Menghormati orang lain semakin terhakis. Di sini, di Amman, Jordan ini Muslim mempamerkan jatidiri Muslim. Menafikan bahawa Muslim adalah ganas. Militen. Fundamentalis. Bahawa Muslim adalah mereka yang membela agama.
Terfana juga memikirkan di tanahair ramai bakal pewaris negara sibuk dengan hedonism. Yang ramai tenggelam dengan hiburan. Semua ingin menjadi selebriti dalam dunia yang kabur. Jarang yang ingin menjadi selebriti akhirat. Yang namanya ditinggalkan harum semerbak sebagai contoh teladan. Barakahnya dinanti. Ditunggu kahadirannya kerana kehebatan aura agamanya. Di Amman Jordan ini saya melihat sendiri jihad yang tinggi anak-anak muda dari seluruh pelosok dunia menghadirkan diri untuk mencari redha Allah. Berpijak di bumi anbia. Banyak titisan darah sahabat, tabi’ien dan tabi’ tabi’ien. Itu belum lagi terjahan Sallahuddin al-Ayubi yang mengusir Richard the Lion Heart. Sallahuddin yang mengembalikan maruah Islam di bumi Palestin.
Ayuh. Kita kembalilah kepada fitrah bahawa kita semua akan kembali kepada Allah. Tiada siapa yang terkecuali. Sampai masanya Izrail datang. Roh kita pasti dipersembahkan kepada Allah Rab al-Jalil. Di hari pembalasan semua akaun kehidupan kita diaudit. Tanpa kecuali. Tanpa ada pilihan lain. Ambillah dunia tetapi bukan mati kerana dunia. InsyaAllah bertemu lagi.
No comments:
Post a Comment