Tuesday, October 9, 2012

Mulakanlah Kehidupan Berumahtangga Pada Aras Tinggi


Pernikahan bukan pengakhiran suatu episod hidup. Ia hanya sebahagian kecil dari rentetan episod yang banyak bertali-tali arusnya. Panjang dan lama. Dulu ada cinta monyet yang tidak pernah kekal. Mainan perasaan anak-anak yang menjelang remaja. Sewaktu muda cinta datang dan pergi. Yang dicari ialah pautan hati. Tidak ada yang kekal juga kerana usia menambahkan kerumitan memilih. Aspirasi dan idealism berubah. Pilihan juga berubah. Gadis pilihan tidak pernah serupa. Lelaki pilihan juga begitu. Yang mana. Yang mana. Sukar menentukan pilihan teman hidup yang secocok dalam semua keadaan. Hati mungkin berkenan tetapi keluarga berlainan pendapat. Hidup penuh dengan paradoks. Banyak yang ironis. Tidak mungkin seseorang itu menjadi idealis. Mungkin boleh berfalsafah. Untuk mendapat yang terbaik banyakkan berdoa.

Sekarang sudah sampainya masa yang terlalu lama dinanti. Masa yang banyak melimpahkan airmata. Itu belum tidur yang tidak lena. Makan yang sukar kenyangnya. Mandi yang tidak terasa basahnya. Semua menjadi tidak kena.  Siang yang suram. Malam yang kelam. Cahaya selalu terlalu jauh untuk menerangi. Hati rindu tiada penawar. Ngilu rindu yang berbalam-balam. Sebak gundah yang berbelah bagi. Kini cincin sudah disarung di jari manis belahan hati. Dahi licin yang dulu hanya kerinduan sudah dikucup indah. Terasa terbang semangat yang tidak seberapa. Matamu dan mataku sudah bertemu. Kasih kita bertaut sudah. Rindu kita berlabuh sudah. Sayang kita terikat sudah. Bulan seindah di langit tinggi. Cerah menawan. Mentari esok tibanya. Antara bulan dan mentari berlari perasaan menghiba. Tiba juga saat bersama. Aduhai penantian yang lama. Harap-harap nikmatnya berganda panjangnya.

Pandanglah ke langit. Awan yang berarak tampak rendahnya. Gerakannya yang lambat. Pandanglah ke atas lagi. Langit terlalu tinggi. Mungkinkah langit itu dapat digapai tangan. Terlalu tinggi. Tunduklah melihat ke bumi. Ia dekat. Di bawah telapak kaki. Kejap dipijak. Senang diinjak. Namun berdirinya antara langit dan bumi. Tinggi dan rendah. Terbanglah setinggi mana. Tidak mungkin hingga ke langit. Turunlah serendah mana, di bawah sana tetap tanah. Mungkin cetek dan mungkin dalam. Kerana itu berpijaklah di alam nyata. Dalam persekitaran yang realiti. Semua orang akan percaya adanya. Wujudnya di depan mata. Dapat disentuh dengan tangan. Dapat dihidu baunya. Dapat dilihat warna dan bayangnya.  Mana mungkin yang bukan-bukan dipinta. Payah dapatnya. Nanti kosong jiwa yang terlalu mengharap. Sekaranglah realiti yang menjelma. Saat bersama yang didoakan panjang ke anak cucu. Dari dunia hingga ke akhirat.

Setiap pasangan ada impian. Ada mimpi-mimpi indah di hadapan sana. Ada cita-cita membina yang tertinggi. Yang terbaik. Anak-anak yang menyerikan hati ibu bapa. Menceriakan sebuah keluarga. Soleh dan solehah. Indahnya sebuah istana cinta yang damai. Air pancuran di halaman berwarna. Jalan dan terbang tidak perlu dikira. Kenderaan darat, laut dan udara. Makan kenyang. Pakaian bersalut banyak gantinya. Tubuh isteri penuh dengan emas berlian. Sanak saudara semua senang bersemenda. Hidup dalam barakah agama. Redha Allah hendaknya. Namun semua itu bukan sekarang. Bukan lima tahun. Bukan 10 tahun. Ia jangka panjang. Paling cepat 15 tahun dari sekarang. Pada awal perkahwinan ini, perancangan dan unjuran hidup perlu direncana. Bagi yang belajar pengurusan ingat Gantt Chart. Ingat PERT (Programme Evaluation and Review Technique). Ingat CPM (Critical Path Method). Ingat Decision Tree. Dan banyak lagi. Itu belum Simplex. Belum lagi Euler Theory. Mainan pengurusan. Lebih saintifik.

Ingatlah semasa sendiri. Semasa tiada teman hidup dahulu. Semuanya bebas. Sekarang semuanya difikirkan untuk sentiasa ada orang kedua. Jalanmu ada yang mendiringi. Pergimu ada yang menunggu. Laparmu ada yang menghidang. Tidurmu ada yang mengulit. Jagamu ada yang membelai. Sakitmu ada yang merawat. Pakaimu ada yang merapi. Hartamu dikawalselia. Nyawanya dipertaruhkan kepada kamu. Sebagai pasangannya kamulah harapannya. Kamulah yang memberinya tempat bahagia. Memberikan apa yang seperlunya.  Mulakanlah langkah gagah. Langkah besar. Langkah tinggi menggapai awan. Usahakan yang terbaik untuk kesayanganmu. Semoga pasangamu damai bahagia hidup dan matinya. Anak-anakmu terbelai kasih sayangnya. Ada tempat bersanggar. Ada ruang berlegar. Ada lingkaran menari keliling.

Lihatlah ibu dan bapamu. Lihat rumah yang bakal kau tinggalkan. Pandanglah apa yang telah kau kecapi hingga kau berumahtangga. Segalanya bukan dalam sekelip mata. Semuanya telah diusahakan untuk jangka masa yang lama. Banyak payah jerihnya. Terlalu tidak terkira limpahannya. Maka lakarkanlah masa depanmu. Tulis satu persatu. Berikan keutamaan. Mana yang dulu mana yang kemudian. Selangkah demi selangkah. Ingatlah jauh mana sekalipun destinasi dan perjalanan mesti dimulakan dengan langka yang pertama.  Mulakanlah dengan langkah kaki kanan. Langkah orang beragama. Ekonomimu dijaga. Berpakatlah suami isteri untuk merealisasikan apa yang dicita. Di hadapan sana tetap ada harapan. Usaha, usaha, usaha dan berdoa. Mohon dan minta kepada Yang Maha Esa.

Banyak rumah besar di sekelilingmu. Rumah itu belum perlu keran kamu baru berdua. Namun ia menjadi perlu semakin ramai ahli keluargamu. Anak-anakmu perlu ruang untuk bersantai. Untuk membina intelek. Untuk berasa bahwa dunia keluarganya adalah luas. Ruang-ruang untuk tidak berlaga perasaan. Untuk tidak berlaga fizikal. Ruang legar yang melepaasi keperluan. Di sana ada natijah minda. Ada ruang untuk melepaskan udara. Melepaskan perasaan damai. Rumah besar adalah keperluan bagi keluarga besar. Umat Muhammad yang di tunggu di syurga. Besarnya membela agama. Mentarbiahkan umat. Dakwah sejagat. Semoga inteleknya membangun. Semoga sumbangannya menggunung. Amal jariah berpanjangan. Untuk maslahah umat.

Ramai orang yang senang. Ramai yang hidup mewah. Ramai yang tidak pernah kenal susah. Tetapi di belakang sejarah mereka banyak yang berlubang-lubang. Banyak yang koyak rabak. Mereka bermula dari bawah. Dari susah. Dari tidak ada apa-apa. Mereka menapak tahun demi tahun. Satu, satu dan dua mereka mulakan. Dari bawah mereka naik ke atas. Membina kerjaya. Membina status. Mereka sampai ke situasi sekarang. Berapa lama? 40 tahun barangkali. Aduhai. Ya. 40 tahun jika dikira memang lama. Tetapi 40 tahun yang dilalui tidak pernah memberi angka. Dirancang. Diusaha. Tidak perlu dikira. Pada usia 50an nikmatilah segalanya dengan santai. Orang hanya melihat apa yang dilihat. Yang tersirat tidak pernah diamati. Hanya yang punya diri mengerti. Semuanya bukan mudah. Berdikit-dikit membina bukit yang tinggi.

Anak-anakku, masa hadapan tetap ada. Cari bekal untuk menuju destinasi yang ada dalam peta. Perancangan perlu disemak dari masa ke masa. Mana-mana yang deviate hendaklah diperbetulkan. Rejuvinate mana-mana yang lesu. Jangan sampai burn-out sebelum masa. Perjalanan tetap panjang. Abah telah melaluinya. Abah sudah sampai di sini. Hari-hari terakhir bagi orang tua yang melepasi usia. Namun masih ada yang belum disempurna. Usia tidak kenal usaha. Semua yang mungkin boleh dicuba. Boleh diusaha. Tinggalkan zon selesa. Banyak ruang lain untuk beralih cita. Berubah paradigma. Pandang keliling untuk membuka mata. Membuka minda. Mohonlah bantuan Allah untuk mencapai hasrat hati. InsyaAllah Dia bersamamu.

Friday, October 5, 2012

Masih Adakah Cinta Sebelum Berumahtangga


Debat dan polimik ini sudah terlalu lama. Orang sekarang tidak lagi membicarakan cinta selepas berrumahtangga. Yang digilai ialah cinta sebelum berumahrangga. Ada  baiknya kita menelusuri semula polimik ini. Bukan untuk dipolimikkan tetapi untuk difikirkan semula. Penilaian semula. Di’overhaul’ semula. Kita hidup bersandarkan agama. Apa-apapun yang kita fikirkan sandarannya hendaklah agama. Itu cara hidup kita. Itu fitrah orang beragama. Itu perancangan yang Allah menciptakan manusia. Kita melaksanakan perintah Allah. Kemudiannya kita dikembalikan kepadaNya. Maka hidup kita yang melalui fasa-fasanya tidak terlepas dari berkahwin. Hanya ada beberapa orang sahaja yang Allah tentukan tidak berkahwin. Yang lainnya akan merasa detik-detik itu. Berkahwin apabila sampai masanya. Sampai jodohnya. Dicari ada jodohnya. Tidak dicari sekalipun jika ada jodoh berkahwin juga jadinya.

Jika kita melihat sekeliling kita, yang kita lihat ialah anak-anak muda yang hidupnya bercinta. Makan dan minumnya cinta. Tidur dan jaganya cinta. Jalan dan duduknya cinta. Seluruh hidupnya dalam lingkaran cinta. Tiada masalah. Tiada larangan bercinta. Tetapi persoalannya ialah adakah perlaksanaan cinta itu kerana Allah? Dalam batas-batas dan garisan yang ditentukan Allah dan RasulNya? Masyarakat barat (khususnya Yahudi) berjaya merosakkan anak muda Islam. Yang disogok kepada orang Islam ialah budaya yang mereka sendiri tidak melakukannya. Kita tersangat percaya dengan paparan TV, video, filem, you-tube, internet dan semua gambar mengenai mereka. Kita terpedaya dengan apa yang kita lihat. Satu dari aspek paparan itu yang menjadi ikutan anak muda Islam ialah budaya couple.  Islam menggalakkan perkahwinan dan bukan bercouple. Perkahwinan itu sunnah. Coupling itu pemusnah. Orang barat yang saya saksikan sendiri tidaklah galak bercouple secara terbuka. Dalam TV dilihat terbuka. Dalam filem paparannya terbuka. Orang Islam terpedaya kerananya. Penerbit filem dan drama tempatan terikut-ikut dengan apa yang mereka lihat. Realiti agama tidak diberi perhatian.

Orang kita dari yang tua hingga yang muda percaya dengan paparan media. Drama dan filem kita diadaptasi dari situasi ciptaan barat. Kebetulan orang media tidak ambil pusing dengan ad-din yang wajib menjadi amalan. Islam menggalakkan perkahwinan. Semestinya perkahwinan didahului dengan merisik dan meminang. Meminang tanpa merisik ada hukumnya. Jika yang dirisik sudah bertunang, risikan itu sekadar mencari maklumat. Tetapi meminang perempuan yang sudah bertunang tentulah berdosa. Sudah ditambat orang. Sudah ada yang punya. Ada cincin tanda di jari manis. Lekat kejap di jari. Meminang orang yang sudah berpunya tentulah menjadikan situasi berkocak. Jawabnya tentulah ditolak. Pastinya seluruh ahli rombongan terkesima. Malu yang amat sangat. Meminang orang yang sudah menjadi tunangan orang.

Bertunang digalakkan. Ada ganjaran pahala kerana sudah ada niat untuk bernikah kahwin.  Niat yang baik diberi perhatian besar. Ada harapan menggunung. Akan bersatu nanti Uda dan Dara. Romeo dan Juliet. Laila dan Majnunnya. Coupling pula tentulah berdosa. Tiada ikatan apa-apa. Tiada kata untuk dipegang talinya. Kebersamaan yang sentiasa menempa dosa. Yang selalu dikipas oleh syaitan. Diusap menggoda. Ingat ayat ‘Jangan kamu hampiri zina’. Budaya couple berada dalam kategori tersebut. Jika mengetahui Islam itu yang terbaik perbuatan itu hendaklah dijauhi. Jika tahu larangan Allah, budaya itu  biarlah disisih. Carilah pahala. Jauhi dosa.mungkin kita tidak sedar bahawa dalam sibuk orang bercouple di sana sini masih ada anak-anak yang tiada cinta. Tidak tergesa-gesa mencari. Tidak terdesak untuk mencarinya. Melihat orang lain sahaja. Sendiri tiada upayanya.

Ramai orang menggesa anak-anaknya hanya untuk belajar dan belajar. Akademik dan ilmu. Kejayaan untuk berkerja dan berkerjaya. Keluar dari menara gading banyak jalan bercapah yang tidak tahu mana yang harus dipilih. Mana satu yang harus diambil perhatian. Mana satu yang harus menjadi keutamaan. Usia meningkat. Orang tua mula bergoyang hatinmya. Fitrah yang lambat sampainya. Tidak ada yang datang meminang yang perempuan. Tidak juga pergi meminang bagi yang lelaki. Yang lelaki menunggu. Yang perempuan juga menunggu. Cinta tidak dicari. Bukan satu keperluan yang mendesak. Berserah, jika ada jodoh. Ibu bapa berpusing fikir risaukan anak. Apa pilihannya. Jika jodoh itu datang, tiada apa yang menghalang. Datangnya tiba-tiba. Sampainya tanpa menyapa. Ada di hadapan mata. Orang tua berkira-kira. Anak jenis ini menerima pilihan ibu bapa. Menerima seadanya. Baik kata ibu, baik kata anak. Baik kata bapa, baik kata anak.  Kebijaksanaan orang tua dihormati. Mudah-mudahan di sana ada sinar bahagia. Ada barakah yang ke akhirat sudah sampainya.

Anak-anak yang menerima pilihan ibu bapa perlu juga diberi haknya. Ditinjau sukanya. Dipinta setujunya. Perlukan pertemuan antara kedua keluarga. Anak-anak ditemukan. Ditanya pendapatnya. Diselidik reaksinya.  Itulah tugas orang tua. Dulu-dulu anak-anak mengikut sahaja. Tidak tahu siapa bakal suaminya. Hanya cerita yang bercebis-cebis sahaja. Gambar tidak ada. Telefon bimbit belum ada. I-pad belum ada. Internet lagilah belum ada. Yang lelaki mungkin berjaya jug amengintai lihat. Dari jauh supaya tidak ketara. Yang perempuan tiada langsung tahu. Malah keluarga perempuan juga tiada tahu. Kedua keluarga sahaja percaya mempercayai. Itulah anak perempuan yang kadang-kadang kosong hatinya. Begitu juga suaminya yang duluny akosong hatinya. Tiada berkasih. Tiada bercinta. Yang tua berkira-kira. Jika ada jodoh. Bicara dibuka. Ada pula perantara yang mengatur kira-kira. Pertemuan dan perkenalan berlaku. Ada keserasian dirassa.

Anak-anak yang mengikut dipertemukan. Dipersemukakan. Ditinjau hatinya. Ditanya pendapatnya. Tanda-tanda setuju diungkapkan. Kadang-kadang sekadar anggukan biasa yang sangat sedikit. Pada waktu yang lain persetujuan hanya senyuman ringan. Keadaannya santai. Tiada ketegangan. Tiada bantahan jelas. Tiada tanda bahasa tubuh yang menolak. Sanak saudara yang hadir titanya juga reaksinya. Lazimnya semua mengikut apa kata yang punya badan. Keduanya yang akan bernikah. Yang akan mendirikan rumahtangga. Yang akan hidup bersama. Yang akan bersama senang dan susahnya. Hati mereka. Perasaan mereka. Sanubari mereka. Psikologi mereka. Yang di dalam hati lebih penting sdari tarikan fizikal yang selalunya sementara. Yang di dalam hati abadi selama-lamanya. Jodoh pertemuan ketentuan Allah. Redha dan meredhai tentulah menjadi keutamaan.

Cinta datang dan pergi. Cinta sebelum atau sesudah kahwin hanya relatif masa. Relatif situasi. Tanya hati. Di mana cinta itu? Cinta lelaki pada wanita. Cinta wanita pada lelaki. Apabila pertemuan membuka ruang cinta, terbuka juga keinsafan bahawa jodoh datang bersamanya. Terjadilah pernikahan yang dirancang singkat. Tiada majlis pertunangan. Kata diikat. Janji disemadi. Sampailah saat mengikat abadi. Perjodohan yang didoakan kekal abadi. Hari-hari terakhirnya anak itu bersendirian. Pulang ke rumah seorang diri. Ke rumahnya bersam orang tua. Hari-hari terakhirnya ia di bawah lindungan keluarga. Tiba saatnya ia disatukan. Tiba saatnya ia melangkah pergi. Langkah longlai seorang anak meninggalkan rumah diamnya. Keluarga tempat sayangnya. Ruang kasih yang dibina. Hari  itu berakhir juga. Tinggallah abah. Tinggallah mami. Saya bersama suami. Ibu bapa tergenang air mata. Merembas juga di mana ada. Pergi juga anak ini. Perdua dua kerana dia sudah dipunyai. Dimiliki lelaki suaminya.

Pilu sayu yang ada. Sebelum kahwinmu ada kerisauan bila masanya. Sesudah berkahwin pergimu merawan hati juga. Apatah lagi cinta kau belum ada sebelumnya. Datang cinta secara tiba-tiba. Abah hanya mahukan yan terbaik. Cinta itu pasti datang jug aakhirnya. Pergilah anak. Binalah istana idaman. Bahagiakanlah hatimu dan hati suamimu. Serahlah pada Allah semoga kau selalu dalam lindunganNya.

Tuesday, October 2, 2012

Dua Menantu Dalam Sehari Yang Besar Sejarahnya

Dua pasang pengantin bersama kakak-kakak dan adik-adik. Ada keceriaan bersama. Gambar ini manifestasi peristiwa besar itu.

Dalam mana-mana keluarga pasti ada sejarah besar yang melingkarinya. Ada yang mendapat liputan dan ada yang tidak. Pada kebanyakan keadaan ianya menjadi sejarah senyap. Tidak ramai yang tahu. Walau apapun sejarah itu tetap sejarah. Mewarnai lembaran-lembaran gemilang keluarga. Melaluinya ada yang menjadi kenangan. Ada yang perlu diingat. Ada yang perlu diulang-ulang lintasannya dalam minda dan hati. Untuk jangkamasa yang lama ianya bersemadi dalam sanubari. Bagi seorang bapa tentu sejarah begitu sangat teristimewa. Kepada seorang ibu sejarah begitu memberi impak erti yang tersendiri. Sepasang suami isteri yang melalui sejrah yang sama tetapi memberi impak yang berbeza. Begitulah bezananya lelaki dan wanita. Seperti kata John Gray, man are from Mars and women are from Venus. Dua jantina yang berlain dari banyak aspeknya. Berkongsi aspirasi membina ke bahagiaan keluarga. Untuk anak-anak tercinta. Semoga kebahagiaan itu berpanjangan sepajang zaman.

Hari Sabtu 22 September 2012 adalah sejarah besar kepada keluarga saya. Tarikh yang istimewa. Hari Sabtu itu sangat membawa erti. Pada paginya anak lelaki saya menikahi isterinya. Mungkin mereka ada cerita sendiri. Pertemuan mereka di UITM Segamat akhirnya disatukan di jinjang pelamin. Bandar Muar menyaksikan peristiwa itu. Dari diploma mereka menamatkan  ijazah mereka di UITM Shah Alam. Pernikahan itu sangat signifikan kepada keluarga saya kerana itulah anak lelaki pertama saya. Yang ketujuh dalam keluarga tetapi yang pertama antara dua anak lelaki yang saya ada. Setelah ada lima menantu lelaki Sabtu itu saya mendapat seorang menantu perempuan. Welcome to the family. Sukar menggambarkan  apa yang saya rasa. Yang pastinya peristiwa itu mengujakan saya. Pertama kali mendapat menantu perempuan. Tentulah besar harapan. Darinya nanti semoga Allah anugerahkan cucu-cucu yang susur galurnya berbin dan berbintikan bapanya yang berbinkan saya, bapa saya dan datuk saya. Warisan dari anak lelaki. Dari anak perempuan tetap ada darah saya. Ada warisan saya. Cuma susur galurnya berbeza. Dalam ilmu sosiologi kita mengikut patriahal. Bukan matriachal.

 Menantu lelaki dan/atau perempuan tidak banyak bezanya. Kepada seorang bapa mereka menantu juga. Apabila pernikahan itu berlangsung maka mereka menjadi anak-anak dunia hingga ke akhirat. Ikatan yang tiada pernah putusnya sampai bila-bila. Isteri saya tidak senang tidur mempersiapkan tarikh besar itu. Seluruh keluarga mengiringi anak lelaki saya. Saya peluk anak saya sebelum kami melangkah turun dari rumah. Saya alirkan getaran kasih dalam dakapan. Saya alirkan harapan dalam kejap lingkaran tangan. Saya alirkan doa mengiring langkahnya mengakhiri zaman bujangnya. Dalam usia 24 tahun ia  mendewasakan dirinya. Menyediakan dirinya ke alam rumahtangga yang penuh harapnya. Menerima tanggungjawab untuk melindungi seorang wania di sampingnya. Untuk dikasihi dan dibahagiakan. Didamaikan perasaannya. Dibawa hingga ke akhirat untuk selama-lamanya.

Sudah berulang-ulang kali saya mendakap menantu lelaki saya. Kali pertama selepas pernikahan mereka. Begitu pada setiap hari raya. Hari Sabtu 22 September 2012 itu buat kali pertamanya saya dakap menantu perempuan saya. Saya cium pipinya kanan dan kiri. Dia menjadi anak saya sekarang. Ahli keluarga. Membesarkan lagi keluarga. Meramaikan bilangan yang sudah ramai. Namun dia lain dari yang lain. Menantu perempuan pertama dalam keluarga. Ada harapan besar pada dirinya. Ada kesinambungan warisan. Ada kelestarian yang memanjat tangga-tangga semangat keluarga. Kehadirannya dinanti. Kelibatnya dibariskan dengan kakak dan abang-abang yang lain. Menjadi lambang kepada adik-adik yang ada. Sanjungan kepada anak buah yang berkeliling. Kepada saya dan isteri dia harapan besar. Pernikahan dan perkahwinan yang syahdu dan suci.  Sunnah Rasulullah. Meramaikan umat Muhammad. Kebangaan Rasulullah di akhirat nanti.

Barangkali peristiwa besar itu tidak berhenti di situ. Sabtu 22 September itu tidak tamat di situ. Jika pada paginya anak lelaki pertama saya menamatkan zaman bujangnya, malamnya pula anak perempuan saya disatukan dengan suaminya. Menikahkannya sendiri satu kesempurnaan yang saya tunaikan. Paginya si adik menikah. Anak ketujuh yang menemui pasangannya dari Muar. Malamnya disudahi dengan pernikahan anak perempuan keenam saya. Enam kali majlis walimatulurus, mendapat pula tujuh menantu. Dua orang menantu sekaligus pada kali keenam. Dilihat dari luar ianya sesuatu yang besar dan menyeronokkan. Bagi kami sekeluarga menguruskannya merupakan suatu pengalaman yang tiada tandingannya. Dua peristiwa dalam satu masa. Dua peristiwa dalam satu tempat. Dua peristiwa yang disaksikan sekaligus oleh semua ahli keluarga. Tidak ramai keluarga saya yang mengadakan majlis perkahwinan anak-anak mereka serentak. Seingat saya belum ada sanak saudara saya yang mengahwinkan anak-anak mereka serentak. Saya tidak pasti. Mungkin ada. Tiada pula dalam ingatan. Majlis berganda begitu unik juga impaknya. Menarik perhatian ramai. Kamera berkerlipan. Yang mengambil gambar tidak pernah begitu ramai. Macam selebriti pula anak-anak dibuatnya.  

Aduhai, letih lesunya juga tiada tandingan. Berganda-ganda berbanding jika hanya satu pasangan sahaja. Satu hari yang penuh sejarahnya. Saya hanya dapat menyaksikan pernikahan anak lelaki saya. Kami pulang kerana menyediakan diri dan ruang untuk mengurus pernikahan anak perempuan saya.  Ada kesayuan kerana tidak dapat terus bersama majlis anak lelaki saya hingga ke akhirnya. Hanya sebahagian dari keluarga kakaknya yang bersamanya. Menyediakan diri kakaknya yang hendak menikah menjadi keutamaan pula setelah selesai pernikahannya.  Dalam hal-hal seperti itu pilihan terpaksa dibuat. Fokus terpaska yang lebih utama. Untuk yang mendatang. Yang pentingnya kedua-dua peristiwa itu berada dalam kawalan. Dapat dihadiri. Dapat disaksikan. Kedua-dua menantu dapat didakap selepas pernikahannya. Disambut menjadi ahli keluarga yang baru.

Menerima dua orang menantu sekaligus memberi banyak erti. Analoginya mungkin seperti wanita yang beranak kembar. Pada satu masa mendapat dua orang anak. Tentulah tanggungannya berganda. Sakitnya berganda. Payahnya berganda. Namun akhirnya kegembiraannya berganda-ganda. Kelapangan dada yang selapang-lapangnya. Ada beban yang terlerai. Segala simpulan yang terurai. Semuanya disambut dengan tangan terbuka. Lapang fikiran. Alhamdulillah! Allah memberikan kelapangan anugerahnya. Syukur kerana bantuanNya. Semoga barakah jua. Kepada Allah dipanjatkan doa semoga akan lahir nanti zuriat keturunan yang soleh dan solehah. InsyaAllah. 



Friday, September 28, 2012

Aku Nikah Dan Aku Kahwinkan Dikau ...


Tugas bapa yang terakhir kepada anak perempuannya ialah menikahkannya. Beruntunglah bapa yang  berjaya menikahkan sendiri anak perempuannya itu. Kebanyakan orang mewakilkan kepada jurunikah untuk menikahkan anaknya. Sayang, tugas suci dan syahdu itu terlepas ke tangan orang lain. Tahniah kepada bapa yang berjaya menikahkan anaknya sendiri. Rasanya sukar digambarkan saat-saat syahdu itu. Menentang mata lelaki yang beberpa saat selepas itu menjadi suami anak perempuannya sendiri. Menjadi seorang lagi menantu lelaki. Lelaki yang neneruskan legasi keluarga. Menyambut tanggungjawab yang terakhir dari seorang bapa. Kepdanya disandarkan segala harapan untuk kelangsungan sebuah keluarga yang diharapkan semakin membesar dengan anak-anak yang soleh dan solehah. Aliran warisan keluarga yang meneruskan generasi demi generasi.

Menggenggam tangan seorang bakal menantu tentulah sukar diceritakan. Kamera hanya dapat menggambarkannya secara fizikal. Hanya apa yang dapat dilihat dengan mata kasar. Pegunan peristiwa yang terakam. Tiada siapa yang melihat telus dalaman  dua manusia yang pertama kali bertemu kerana Allah. Seorang bapa berada dalam saat ingin memindahkan tanggungjawab melindungi seorng anak. Seorang lelaki yang dengan gagahnya ingin melindungi seorang wanita dari bapanya. Tergenggam erat dua tangan kanan. Yang seorang ingin menyerahkan. Yang seorang ingin menerima. Terlerailah suatau saat besar dalam hidup sepasang insan yang diijabkabulkan. Yang nantinya melayari hidup berumahtangga. Alam baru yang dinukilkan indah. Benar. Ia indah andai ada kesungguhan untuk mengindahkannya. Pelakunya yang mengindahkannya. Keindahan tidak datang dengan sendirinya.

Menjadi bapa selalu disalaherti. Dilihat tiada emosi. Dipandang tidak peka. Menjadi lelaki banyak cabarannya. Menjadi suami menapak menghadapi semua yang datang dalam apa sahaja bentuknya. Susah senang bersama. Sendu lelaki tiada dilihat. Beberapa hari saya tersayu sendiri. Selepas solat sebak datang sendiri. Kedewasaan dan ketuaan yang memanjat lama. Berada di atas usia yang semakin banyak. Anak-anak berada di bawah. Mereka berlaluan dan pergi seorang demi seorang. Yang ditinggal ialah perasaan. Kasih yang melekat di hati. Itulah agaknya saya selalu mencium anak-anak walaupun usia mereka telah menjangkaui puluhan tahun. Ayah berbeza dari ibu yang terlalu dekat hatinya. Yang selalu peka dengan apa sahaja yang di hati. Bapa hanya menyimpan di sudut hati. Jauh ke dalam dasar. Payah hendak timbul ke atas. Namun sudut hati itu  selalu rapuh. Selalu cair kehibaan.

Melepaskan anak-anak menjadi fitrah. Setiap ayah menerima itu sebagai ketentuan. Bila ‘Aku nikah dan aku kahwinkan ....” bermakna suatu keredhaan hati menerima hakikat bahawa anak perempuannya sampai waktu diserahkan kepada lelaki yang menjadi suaminya. Yang menjadi menantu si ayah. Waktu sudah menentukan saatnya. Ketika sudah datang menjenguk perpisahan ruang. Dakapan tanggungjawab yang harus dileraikan. Ada lelaki yang bersedia mengambil tanggungjawab itu. Terima kasih seorang ayah kepada lelaki yang pemurah hatinya itu. Mengambil seorang anak perempuan dari ayahnya dengan kerana Allah. Adat dan resam hanya penyeri yang tidak mengganggu akidah. Adat kebiasaan sebagai gaya hidup sesuatu masyarakat setempat. Yang penting bukan amalan syaitan. Bukan amalan yang bertentangan dengan ketentuan Allah.

Sorang ayah hanya mampu berpesan buat bekal melangkah anak perempuannya. Bahawa ia sudah menjadi isteri orang. Menjadi anak orang. Mertua adalah bapa dan ibu yang menambah bilangan orang-orang yang perlu dikasihi dan disayangi. Seluruh hidupnya untuk lelaki yang bernama suami. Lelaki itulah yaang menentukan keindahan berumahtangga. Lelaki itulah yang membahagiakan kedua ibu bapanya. Lelaki itulah yang diharapkan menambah kebahagiaan seorang bapa dan ibu mertuanya. Kedamaian dan keharmonian yang harus dibina dalam hidup bersemenda. Mengindahkan perhubungan kekeluargaan.  Suatu harapan dan doa yang perlu diusahakan. Kepada Allah jua dipanjatkan segala yang dihasratkan. Percayalah, ayah dan ibu sentiasa ada untuk ditagih kasih sayangnya. Untuk disandarkan nasihat dan tunjuk ajar. Untuk dipandang lama kerana sisa hidupnya semakin tiada.

Langkahkanlah kakimu menuju arah bahagia di dunia dan akhirat. Ingat Allah sentiasa kerana Dia yang menghidup dan mematikan kita. Darinya sahaja kita bermohon anugerah segala keselamatan. Menuju jalan lurus ke syurga. Terhindar dari panas azab seksa neraka. Anak-anakku, abah doakan kebahagiaan kamu kesemuanya. Carilah jalan kebaikan. Binalah kebahagiaan dari tarikh mula alam baru ini kau terokai. Melihat dan belajar sahaja hanya teori yang mungkin benar. Mengalami dengan penuh sabar adalah yang lebih baik. Semua jalan tidak ada yang lurus sentiasa. Ada belok-beloknya. Ada tinggi rendahnya. Namun semua jalan menyampaikan kita ke destinasi yang direncana. Masa dan ketika yang menentukan. Cara yang menentukan capaiannya. Ambillah iktibar dari orang lain. Orang-orang dahulu yang lebih lama hidup. Yang kata orang sudah lebih banyak makan garam. InsyaAllah Allah bersamamu.

Friday, September 14, 2012

Apakah Semangat Melayu Telah Hilang


Orang Melayu sejak dari dahulu adalah bangsa yang terkehadapan. Mereka menjadi bangsa seafarer. Lautan luas di redah. Ke timur mereka sampai di negara Cina. Di barat mereka diktakan sampai di Rom. Begitulah gahnya Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu menceritera dan melaporkan. Empayar Sri Vijaya merentasi hampir seluruh Alam Melayu. Tanah Melayu, Sumatera dan Pulau Jawa di bawah kekuasaannya. Apabila tertegak kerajaan Majapahit saki baki kekuatan itu masih ada. Kemudiannya tertegak pula kerajaan Melayu Melaka. Selat Melaka dan Laut Cina Selatan  dikuasai. Lalu lintas dikawal. Perdagangan menjadi nadi Melaka. Seluruh nusantara Melayu mengiktiraf Melaka. Kerajaan Majapahit menghormati Melaka. Kerajaan Cina menghormati Melaka. Kerajaan Siam (Thailand) menghormati Melaka. Pulau Sarendip (Sri Lanka) bukan asing kepada orang Melayu. Begitu juga Champa dan Myanmar. Pendek kata orang Melayu adalah penguasa nusantara ini.

Dalam banyak hal kepimpinan adalah penentu kejayaan. Pemimpin yang berjaya adalah kepimpinannya. Penguasa mana-mana negara sekalipun bersandar kepada penasihat yang bijaksana. Lihatlah sewaktu Tun Ali menjadi Bendahara Melaka. Tiada siapa yang hormatkan Melaka. Siam menyerang bertalu-talu. Apabila Tun Perak menjadi Bendahara dia bukan sahaja menjadi perancang, pentadbir, pembina sistem malah dia menjadi the king maker. Pada zamannya Melaka menjadi gah di merata-rata. Melaka menjadi makmur. Sultan silih berganti tetapi Tun Perak panjang usianya. Hingga sangat tuapun ia tetap setia. Ia tetap berpandangan jauh. Tidak derhaka kepada sultan tetapi bijaksana mencari helah. Dia tahu yang mana benar dan yang mana salah. Mengampu tidak pernah. Malah ketika anaknya di bunuh anak sultan, ia tiada membantah. Pengikutnya yang hendak memberontak ditenangkan. Politiknya meletakkan sultan selalu berharap kepadanya. Tiada penentangan. Dengan kebijaksanaannya anak raja itu di buang ke negeri lain. Keganasan anak raja itu ditamatkan dengan membuangnya dari negeri. Walaupun ditabalkan menjadi raja di negeri lain, hakikatnya anak raja itu dibuang negeri. Yang penting Melaka diselamatkan dari huru hara dan malapetaka.

Yang hidup pastinya mati. Tun Perak meninggal dunia dalam usianya yang sangat tua. Penggantinya tidak dapat meneruskan legasi kebijaksanaannya. Jarum-jarum halus hasad dengki semakin menular. Perkara kecil menjadi besar. Lama-lama kelamaan tiada siapa yang boleh dipegang cakapnya. Percaya mempercayai tidak wujud lagi. Yang tinggal ialah jasad-jasad yang hidup tanpa isi. Tiada hikmah. Semangat Tun Perak hilang. Kewajaan Hang Tuah pupus. Si Kitul dan Mendeliar bermahrajalela disuntik dengan hasutan Portugis. Orang Melayu sudah lama kehilangan kepimpinan berwibawa. Akhirnya Melaka jatuh ke tangan Portugis. Bukan kerana senjata. Bohong jika dikatakan bahawa orang Melaka kalah kerana mereka memakai keris sedangkan orang Portugis memakai meriam. Sejarah merakamkan orang Melaka juga cekap menggunakan meriam. Lela rebtaka berjajaran di pantai Melaka. Menunggu untuk dicucuh api meledakkan isi.

Yang menjadi masalah ialah perancangnya tiada. Penyusun strateginya tiada. Semangatnya tiada.  Meriam yang bersusun tiada digunakan dengan sebaiknya. Mungkin ada yang engkar tidak mahu membakar meriam. Habuan sudah memenuhi kantung dan poket. Cacat cela dari dalam mencacatkan fizikal. Merosakkan fikiran. Jalan fikir menjadi tumpul. Maka berlakulah rentetan penaklukan penjajah dari Portugis kepada Belanda kepada Inggeris kepada Jepun kepada Inggeris. Kita merdeka pada tahun 1957 setelah dijajah selama 466 tahun. Rasanya belum ada negara yang sebegitu parah dijajah. Seluruh sistem hidup kita menjadi cebisan-cebisan belaka. Memang benar ada manfaatnya tetapi cuba lihat keliling. Cuba amati diri kita masing-masing. Fikiran kita masih jauh dijajah. Takut bersuara. Takut mencadang. Takut memberi pendapat. Takut bertindak. Kita masih terlalu peka dengan menjaga hati orang. Takut apa orang kata. Jangan buat apa yang orang tidak buat. Pada era Natrah dirampaas dari ibu angkatnya di Singapura orang Melayu merusuh. Tetapi isu itu menjadi sepi kerana orang Melayu tiada mendapat sokongan dari atas. Malah dikampung saya orang takut membicarakannya. Takut ada mata-mata British.

Kreativiti sebagai sebauah bangsa yang seafaring hilang dari kita. Semangat meredah lautan tiba-tiba reda begitu sahaja. Semuanya diserahkan kepada British. Mereka yang menghapuskan lanun. Mereka yang meredah lautan. Mereka yang bedagang. Kita pula didiamkan dengan diberi subsidi. Lemak dan malas berusaha lagi kerana semuanya disediakan oleh British. Dari the highest echelon hinggalah rakyat jelata yang hina dina semuanya berpuas hati mendapat habuan yang tidak seberapa sementara segala harta negara diangkut ke London.  Malah warisan seni kita diangkut sama. Sejarah mencatatkan bahawa semuanya tenggelam semasa Raffles. Hakikatnya semua manuskrip itu ditemui di Barat. Di London. Di Leiden dan banyak lagi kota di barat. Lalu orang British menulis tentang sejarah kita. Melalui kacamata mereka. Mengikut pandangan mereka. Maka lahirlah kata-kata yang menghiris jiwa kita bersama.

Orang Melayu adalah penderhaka. Orang Melayu adalah pemalas. Orang Melayu suka mengamuk. Itulah gambaran mereka terhadap orang Melayu. Kepada mereka orang Melayu adalah hampas. Santannya mereka pulas dan perah untuk mereka bawa pulang. Malangnya hormat orang Melayu kepada orang Putih masih di tahap tidak menasabah. Kita terlalu menganggap mereka superior. Dari jauh itu yang kita lihat. Itu yang kita baca. Politik mereka mencanangkan kehebatan mereka. Walhal mereka juga seperti kita. Ada yang miskin. Ada yang tidak pandai. Ada yang bergelandangan. Ada yang lemah dari segala aspek. Gambaran dari luar menunjukkan mereka sangat gah. Sangat hebat. Apatah lagi jika kita selalu tertipu dengan paparan dalam filem dan drama mereka. Pergilah melancong ke negara mereka pasti yang dilihat jauh panggang dari api. Mereka memaparkan yang hebat sahaja. Yang merempat tiada ceritanya. Media mereka kuasai. Mereka sajikan apa yang ingin mereka sajikan. Tanpa ilmu dan maklumat kita menerima semuanya.

Sekarang Putera William dan isterinya Kate Middleton berada di negara yang pernah dijajah oleh datuk moyang mereka. Penghormatan kita terhadap mereka kadang-kadang melebihi jangkaan. Mereka bukan siapa-siapa kecuali selebriti diraja. Masih jauh untuk menjadi pewaris tahta. Semangat kita masih dijajah barangkali. Sambutlah seadanya. Sebagai tetamu. Bukan seperti ketua negara. Kita tahu sejarah mereka. Kita tahu sejarah kita. Tidak adakah pemisah antara keduanya. Setelah 466 tahun dijajah, minda yang dijajah terserlah dari satu masa ke satu masa yang lain. Cuma yang tidak dapat dipecahkan ialah agama. Yang tidak dibuang ialah agama. Beratus tahun orang Barat ingin melakukannya, namum orang Melayu menolaknya. Semasa kita miskin kita menolak. Semasa kita papa kita menolak. Semasa kita tiada apa-apa kita menolak. Kemiskinan bukan sehingga menjual agama. Tetapi sekarang apabila kita kaya kita jual agama.  Bila kita senang kita lupa agama. Bila kita mewah kita abaikan agama.

Pada kurun ke-14 Islam telah berada di Terengganu. Batu bersurat di Sungai Teresat memberi bukti nyata yang tidak diragukan. Satu abad lebih awal dari yang sejarahkan di Melaka. Kerana berpegang kepada agama melaka menjadi gagah. Qanun Melaka, Qanun Laut Melaka dan lain-lain undang-undang telah digubal sebagai pengawal negara. Melaka telah unggul dalam hal-hal tersebut. Malangnya orang Melaka sendiri yang mengkhianatinya. Termakan pujukan Si Kitul dan Meadeliar. Dua orang yang tiada wibawa untuk dipercayai. Setelah Portugis mengalahklan Melaka, nama-nama mereka hilang dari sejarah. Marilah kita cari semula semangat Tun Perak dan Hang Tuah. Anak-anak kita perlukan semangat itu. Tambahan pula kita bangunkan mereka dengan semangat Khalid al-Walid, Sayyidina Umar, Tariq al-Jabar dan ramai lagi pahlawan Islam. Jangan lupa Sallahuddin al-Ayubi yang mengalahkan angkatan orang Barat yang diketuai oleh Richard The Lion Heart. InsyaAllah semangat juang itu akan datang lagi.

Sunday, August 26, 2012

Perokok Yang Menjadi Rokok

Suatu waktu penulis solat berjemaah di sebuah musolla. Kebetulan penulis bersebelahan dengan seorang perokok.  Seorang yang dikenali sebagai perokok tegar.  Ramai orang lelaki yang berpengalaman serupa dengn penulis. Orang perempuan tidak mungkin ada pengalaman itu. Kecualilah suami atau anak atau orang-orang yang dekat dengan keluarga memang merokok. Ramai perokok tetapi perokok tegar yang paling tidak menyenangkan. Penulis pernah bicarakan dahulu tentang jenis-jenis atau kategori perokok. Perokok pertama hanya dengan dirinya sendiri sahaja. Tidak melibatkan orang lain. Perokok kedua melibatkan silent smoker. Malangnya silent smoker ini melibatkan orang-orang yang sangat hampir dengan mereka. Orang-orang tersayang yang berada di sekeliling diri perokok. Yang paling dahsyat adalah perokok ketiga. Orang ini menjadi rokok. Dirinya sudah menjadi sebatang rokok. Menyala. Berasap. Berbahang. Seluruh tubuhnya berbau rokok. Nafasnya rokok. Pakaiannya rokok. Bersamanya kita berbau rokok walaupun ketika itu dia tidak merokok. Perokok tegar ini berbau hapak. Pekat. Menyesakkan nafas. Sesama perokok mereka tidak merasakan apa-apa. Mereka berbunuhan sesama sendiri. Fair and square. I kill you, you kill I. No problem. No sweat. Apabila mereka cuba membunuh orang lain yang tidak merokok tentulah tidak adil jadinya. Memudaratkan orang lain menjadi sesuatu yang terlalu tidak kena.

Penulis merasakan perokok tegar sangat menyesakkan. Hangit tubuh badannya seperti terbakar sepanjang masa. Berdirinya berbau rokok yang pekat. Rukuknya seperti rokok patah. I‘tidalnya rokok terbakar lagi. Sujudnya seperti rokok berbengkok-bengkok. Duduk antara dua sujudnya juga seperti rokok bengkok. Rukun qaulinya memang menghembus nafas rokok yang langsung tidak enak. Rokok dilihat hanya dihisap asapnya. Ianya menjadi ketagihan yang kronik. Gilakan asap. Walhal asap itu mengandungi banyak jenis racun. Sedikit toxicnya tetapi terhimpun dengan banyaknya dalam jangka panjang. Sehari 20 batang rokok menimbunkan 7,300 batang rokok dalam setahun. 10 tahun sebanyak 73,000 batang rokok. Hendak tahu perbandingannya? Cuba sesekali tonton filem Hindi. Rokok yang begitu banyak rasanya sama banyak dengan kayu yang menutupi mayat. Yang apabila dibakar menghancurlumatkan mayat itu. Debu sahaja yang tinggal untuk dibubuh dalam bekas kecil.

Itu jika 10 tahun. Lazimnya perokok merokok hingga tamat usianya. Mungkin 50 tahun merokok. Sebuah bukit kecil yang boleh menjadi asas sebuah bangunan lima tingkat agaknya. Senang-senang sebuah rumah agam jika dibina di kampung. Tiada siapa yang boleh memberitahu bahawa merokok menambah kesihatan. Bila terhimpun perokok pertama dan kedua dan ketiga, seluruh keturunan seolah-olah musnah. Paling menyedihkan ialah kesucian janin keturunan yang teruk tempias dengan mudarat rokok dan racun-racun yang terkandung di dalamnya. Penyakit diri sudah tidak terkira buktinya. Amaran tertera pada setiap kotak rokok. Walaupun iklan media massa ditiadakan namun remaja tetap mencuba untuk menjadi ketagih dan akhirnya menjadi perokok tegar. Sebenarnya iklan tentang rokok banyak di rumah, di jalanraya, di pekan, kenderaan juga di tempat-tempat awam yang lain.

Hospital adalah tempat larangan meromok. Perokok merokok dalam kenderaan mereka sendiri. Membunuh diri secara perlahan-lahan. Di institusi pendidikan seperti sekolah dan universitu juga zon larangan merokok. Namun profesor yang bijaksana masih tetap merokok. Semua orang tahu sebab biliknya berbau rokok.  Nafasnya berbau rokok. Malah kadang-kadang dilihat merokok di kampus. Ketagihan yang sukar dihapus. Langkah-langkah untuk meninggalkan rokok banyak diperkatakan. Ramai bertegas bahawa merokok adalah haknya. Benar setiap orang ada hak. Bagaimana dengan hak orang lain untuk menghirup udara bersih. Persekitaran nyaman. Hak menjalani kehidupan normal. Alangkah baiknya jika perokok boleh mencipta kapsul dunia mereka sendiri. Ruang yang tidak menjejaskan ruang orang lain. Andainya pemikiran kita tidak sampai ke arah itu maka selagi itu ramai orang yang makan hati. Yang boleh disediakan ialah siada dengan al-Quran atau surah Yasiin. Bila-bila perlu dicapai apabila ada perokok yang menghembus asap. Bahawa ketika itu mungkin nafasny aadlah yang terakhir. Kepulan asap itu yang terakhir. Sedutan yang terakhir. Puntung rokok yang terakhir. Bacalah surah Yasiin sesegera mungkin. Saranan kepada orang-orang yang terdekat dengan perokok tegar ialah jangan jauh dari al-Quran atau surah Yasiin. Bila-bila sahaja diperlukan.

Malang tentang rokok bertambah lagi. Mereka yang tahu hukum-hakam malah tidak terlepas dari bahaya rokok. Paling kurang merokok adalah makruh. Rata-rata berfatwa bahawa merokok adalah haram. Seperti mencampakkan diri ke dalam mudarat. Semua mereka tahu merokok memudaratkan kesihatan. Terus merokok bererti derhaka kepada hukum. Orang Islam rama yang double standard tentang hukum haram.  Babi adalah haram. Sangat insignificant orang Islam yang memakan daging babi. Ramai yang tidak sengaja. Tetapi haram judi diredah juga. Haram arah diteguk juga. Haram rokok tiada siapa yang peduli. Seolah-olah merokok haram yang dibolehkan. Allahuakbar! Bagaimana kita berfikir sehingga tidak menusukkan konsep haram itu ke dalam jiwa  nurani yang jauh di dalam. Yang halus menolak. Kekuatan psikologi yang selalu roboh kerana nafsu yang selalu menang. Kekuatan dalaman yang selalu goyah. Diri yang memajamkan perasaan kerana ingtin terus biasa dengan rokok. Keputusan yang 180º terus-terusan salah.

Umum melihat bahawa merokok bukan amalan baik. Perokok bukan seseorang yang dianggap unggul. Andaian bahawa merokok melambangkan keintelektuilan sudah lama mati. Merokok sebagai lambang dewasa juga tiada dalilnya. Merokok sebagai simbol matang malah tiada siapa yang menerima. Ramai orang mengetahui bahawa mereka yang ketagihan dadah ramai antaranya yang bermula dengan rokok. Dari kecil-kecilan menjadi heavy. Tanpa dirancang mereka menjadi berat dengan dadah. Mereka mematikan kebergunaan diri. Menjadi sampah di mata orang. Menghinakan diri.  Apabila seseorang itu menjadikan dirinya rokok dan bukan lagi perokok seluruh personalitinya sudah tidak sempurna. Ada pertimbangan yang merubah kewarasan. Kesilapan sepatutnya ditebus dengan keinsafan. Merasa bersalah. Mengundur ke belakang mencari arah baru. Memulakan hidup baru. Buka buku baru. Jenguk-jenguk hati di dalam. Yang kotor dibersihkan. Cuci dengan entuhan ronahi yang mengesankan. Semuanay boleh jika diniatkan. Diazamkan. Dihasratkan. Diperkasakan dengan menghindar. Dengan mencari ketagihan positif seperti bersukan.

Ramai orang tidak memikirkan darjat dirinya. Integriti yang seharusnya dibina dan dipertahankan. Merokok bukan membantu membina integriti. Tidak mungkin menjana martabat diri. Perokok dengan sendirinya selalu menyingkirkan diri. Jauh-jauh dari orang yang normal. Merdeka tahu mereka tidak normal. Ada virus yang jelas terang-terangan merosakkan diri mereka sendiri. Mungkin jika ditepuk sedikit dada ada getaran sedar. Ada hembusan keinsafan. Membungakan hasrat menolak tembakau. Jika tepuk dirasa terlalu kuat cukuplah diusap dada untuk menginsafkan diri. Semua syarat sudah terlalu cukup untyuk membuat penilaian semula. Mumayyiz, tahu membezakan yang baik dan tidak baik. Akil baligh, tahu dosa dan pahala. Mukallaf, tahu tanggungjawab terhadap dirinya, masyarakatnya, agamanya. Matang, akal yang melebihi usianya. Masih mudah tetapi matang. Dewasa, sudh melebihi 21 tahun dari segi undang-undang. Bijaksana, akademik yang tinggi dan penuh dengan pengalaman. Akhirnya perokok mengetahui bahaya merokok. Membaca mudaratnya setiap hari. Dihindari selalu oleh pencinta alam sekitar. Cukup-cukuplah. Jadilah orang biasa yang wangi, harum yang senang didekati. InsyaAllah.

Saturday, August 25, 2012

Agama Yang Dicacat Cela Oleh Budaya


Zaman sudah banyak berubah. Sikap dan pandangan hidup menyah pergi amalan lama yang dilihat sekarang lebih baik, lebih indah. Masa berubah dan perubahan berlaku mengikut arus masa. Maka semua amalan hidup mengalami perubahan. Elok jika perubahan itu positif. Menganjak paradigma ke arah yang lebih baik. Memadam paradox yang selalu melingkari diri. Kita banyak terikat dengan budaya. Namun budaya yang menghakis kesucian seharusnya ditolak. Ia bukan budaya positif. Begitulah setiap kali melihat amalan budaya ada sahaja yang menyentuh perasaan. Penulis selalu melihat hal-hal yang kecil tetapi menyerlah impaknya pada amalan sekarang. A little observtion that disturbs the concience. Kecil tetapi terasa keterasingan yang mencengkam. Ada sesuatu yang tidak kena. Banyak mudaratnya dalam jangka panjang. Penerapan budaya yang tidak berkira-kira.

Sewaktu kecil dahulu penulis biasa berkeliling kampung. Berhari raya dari rumah ke rumah. Semua rumah sememangnya penulis kenali penghuninya. Mereka kenal keluarga saya. Arwah datuk saya adalah ikon di kampung saya. Anak-anak seperti saya berhari raya hanya sekadar berhari raya. Makan kuih atau ketupat. Berhari raya tanpa niat lain. Duduk makan dan minum sekadarnya. Berpindah ke rumah yang lain. Semuanya dilakukan dengan berjalan kaki. Memakai baju Melayu lengkap. Bila banyak rumah disinggahi, maka terlondehlah kain samping. Almaklumlah waktu itu badan kurus melidi. Kain sampin yang melilit pinggang melonggar sendiri. Tidak menyangkut pada perut seperti sekarang. Ketika itu ramping serampingnya. Makan banyak tetapi perut tiada gendutnya.

Berhari raya ketika itu dengan seikhlasnya. Ibu bapa saya tidak pernah bersama. Saya menjadi anak kampung yang berinteraksi dengan orang kampung yang kebetulannya semuanya saya kenal. Kebanyakan mereka ada talian keluarga. Ada yang memang saudara dekat. Darah daging sendiri. Waris belaka. Berhari raya meraikan Syawal. Hari lebaran. Hari yang diambut meriah. Suatu kesyukuran. Menghormati yang tua. Mengunjungi yang dewasa. Pada 1 Syawal memang saya berada di kampung sendiri. Pada hari kedua biasanya bersama ibu saya ke rumah nenek, bapa saudara dan ibu saudara yang lain. Sepupu-sepupu ramai yang masih kecil. Sebaya dengan saya hanay ada beberapa orang sahaja. Meriah bertemu mereka. Ada sahaja permainan yang disertai ketika itu. Tahun-tahun 50an dan awal 60an yang sudah melebihi setengah abad. Merindui yang sudah lama. Ramai yang sudah tiada. Saya pula yang mengganti sebagai orang tua.

Waktu itu saya berhari raya bersama rakan-rakan saya hanya untuk meraikan hari raya itu sendiri. Memohon maaf di sana sini. Kepada orang itu dan orang ini. Di kampung saya hanya dua orang sahaja yang selalu dijangka memberi sedekah wang. Bukan banyak 5 sen atau 10 sen sahaja. Yang pertama Wak Suri dan yang kedua Wak Deman. Kami tidak pernah minta. Tidak pernah mengharap. Tidak mengerti apa itu duit raya. Diberi kami terima. Tanpa sampul. Tanpa bungkus. Terus ke tapak tangan. Berkilau dilihat dengan jelas. Hanya ucapan terima kasih. Tiada komen. Tiada bantahan. Bila saya sudah  memiliki basikal perjalanan saya dan rakan-rakan semakin jauh. Menyeberang ke kampung sebelah menyebelah. Ke rumah guru atau saudara yang jauh. Begitu juga rakan-rakan yang agak jauh. Hanya basikal pengangkutan standard ketika itu. Meriah sepanjang jalan. Hari raya yang dirayakan.

Bila usia menginjak lama hari raya dilihat sangat berubah. Seharusnya anak-anak dibawa bersama ibu bapa untuk menziarahi sanak saudara. Menelusuri susur galur darah daging keluarga.  Latih anak-anak untuk mengenal saudara mara sendiri. Moga-moga ikatan keluarga tidak terputus. Bertaut kembali. Malangnya ada antara ibu bapa yang alpa tentang perkara ini. Anak-anak dibiarkan berhari raya sendiri. Maka kerosakan budaya berlaku. Anak-anak tanpa iu bapa ini berhari raya tanpa tujuan yang hak. Bukan berhari raya seperti zaman saya dahulu. Mereka sebaliknya mencari rumah-rumah di persekitaran yang agak mewah. Picit loceng sekuat hari. Memberi salam tidak behenti-henti. Goyang get seperti hendak roboh. Merosakkan pokok bunga di hadapan get. Membuang sampah merata-rata. Bila diberi makan hendak tak hendak. Makan bersepah-sepah. Yang ditunggu ialah duit raya. Akan ada yang meminta. Dengan duit raya itu mereka membeli yang bukan-bukan. Mungkin bunga api. Mungkin mercun. Mungkin jajan yang tidak mengenyangkan.

Mungkin yang memberi duit raya ikhlas. Memberi sedekah. Zakat mungkin juga. Oleh kerana kanak-kanak tidak ditemani ibu dan bapanya maka duit raya yang mereka terima digunakan sewenang-wenangnya. Ibu bapa tidak dapat memberi nasihat yang wajar cara menggunakan wang yang ada. Menerima satu hal. Meminta satu hal lain. Serba salah melayani anak orang. Ada yang lebih malang lagi. Mereka diangkut oleh ibu bapa mereka sendiri. Di letakkan di kawasan-kawasan bandar yang kadang-kadang jauhnya melebihi 20km. Berjalanlah anak-anak dari rumah ke rumah sepanjang hari. Hujan dan panas tidak terkira. Letih, lapar dan dahaga tidak terkira lagi. Cukup masa mereka dikutip untuk dibawa pulang. Mereka menjadi pengutip duit raya secara profesional sepanjang Syawal. Sebenarnya ibu bapa merosakkan pemikiran anak-anak. Bila hari raya yang mereka ingat kutip duit. Bukan bersyukur setelah melalui sebulan Ramadhan. Konsep dan falsafah berhari raya sudah terlalu meyimpang.

Kecil saya di kampung tanpa TV. Radio hanya di rumah-rumah terpilih sahaja. Suratkhabar hanya di bandar. Tidak masuk ke kampung. Sesiapa yang ke bandar kembalinya membeli suratkhabar. Pada bulan Syawal orang kampung hanya berhari raya. Sangat jarang mereka berada di rumah. Tidak berhari raya namanya. Sekarang ini ramai yang berada di rumah. Semua rangkaian TV berlomba-lomba menayangkan program hiburan. Dari drama hingga ke filem. Dari lawak ke nyanyian. Ramai yang berhari raya dengan teknologi dan bukan dengan manusia. Malang sungguh acara agama yang dihakis kesuciannya. Hari raya bukan untuk berhibur secara hedonism. Hilang takbir dan tahmid. Takbir hilang. Tahmid lenyap. Mensyukuri nikmat Allah dengan cara yang tidak Islamik. Terkeluar dari landasan. Sepatutnya kita mencari redha Allah dan bukan redha manusia. Selayaknya hiburan tiada di TV atau radio. Bukan masanya. Bukan waktunya. Bukan suasananya. Malang jika agama dikomersilkan.

Mercun dan bunga apa masih lagi menjadi musuh. Orang tidak serik-serik hilang penglihatan dan anggota tangan. Bahaya yang tidak difikirkan secara proaktif. Pengalaman lalu tidak dijadikan pertimbangan. Akal hilang tersisih. Bagaimana ibu bapa memberi nilai murni kepada anak-anak. Hilang yang namanya keselamatan. Yang namanya pembaziran. Ganjil menyambut hari raya dengan mercun. Dengan bunga api dan dengan meriam. Rasanya kesemua itu tidak dalam redha Allah. Yang Allah suka ditinggalkan. Yang mendekatkan diri kepada Yang Khaliq tidak diberi keutamaan. Yang berniaga pula tidak lagi kenal siang dan malam. Berhari raya dengan wang ringgit. Rasanya banyak yang perlu diubahsuai adat kita. Budaya bukan penentu acara agama yang sihat