Tuesday, October 9, 2012

Mulakanlah Kehidupan Berumahtangga Pada Aras Tinggi


Pernikahan bukan pengakhiran suatu episod hidup. Ia hanya sebahagian kecil dari rentetan episod yang banyak bertali-tali arusnya. Panjang dan lama. Dulu ada cinta monyet yang tidak pernah kekal. Mainan perasaan anak-anak yang menjelang remaja. Sewaktu muda cinta datang dan pergi. Yang dicari ialah pautan hati. Tidak ada yang kekal juga kerana usia menambahkan kerumitan memilih. Aspirasi dan idealism berubah. Pilihan juga berubah. Gadis pilihan tidak pernah serupa. Lelaki pilihan juga begitu. Yang mana. Yang mana. Sukar menentukan pilihan teman hidup yang secocok dalam semua keadaan. Hati mungkin berkenan tetapi keluarga berlainan pendapat. Hidup penuh dengan paradoks. Banyak yang ironis. Tidak mungkin seseorang itu menjadi idealis. Mungkin boleh berfalsafah. Untuk mendapat yang terbaik banyakkan berdoa.

Sekarang sudah sampainya masa yang terlalu lama dinanti. Masa yang banyak melimpahkan airmata. Itu belum tidur yang tidak lena. Makan yang sukar kenyangnya. Mandi yang tidak terasa basahnya. Semua menjadi tidak kena.  Siang yang suram. Malam yang kelam. Cahaya selalu terlalu jauh untuk menerangi. Hati rindu tiada penawar. Ngilu rindu yang berbalam-balam. Sebak gundah yang berbelah bagi. Kini cincin sudah disarung di jari manis belahan hati. Dahi licin yang dulu hanya kerinduan sudah dikucup indah. Terasa terbang semangat yang tidak seberapa. Matamu dan mataku sudah bertemu. Kasih kita bertaut sudah. Rindu kita berlabuh sudah. Sayang kita terikat sudah. Bulan seindah di langit tinggi. Cerah menawan. Mentari esok tibanya. Antara bulan dan mentari berlari perasaan menghiba. Tiba juga saat bersama. Aduhai penantian yang lama. Harap-harap nikmatnya berganda panjangnya.

Pandanglah ke langit. Awan yang berarak tampak rendahnya. Gerakannya yang lambat. Pandanglah ke atas lagi. Langit terlalu tinggi. Mungkinkah langit itu dapat digapai tangan. Terlalu tinggi. Tunduklah melihat ke bumi. Ia dekat. Di bawah telapak kaki. Kejap dipijak. Senang diinjak. Namun berdirinya antara langit dan bumi. Tinggi dan rendah. Terbanglah setinggi mana. Tidak mungkin hingga ke langit. Turunlah serendah mana, di bawah sana tetap tanah. Mungkin cetek dan mungkin dalam. Kerana itu berpijaklah di alam nyata. Dalam persekitaran yang realiti. Semua orang akan percaya adanya. Wujudnya di depan mata. Dapat disentuh dengan tangan. Dapat dihidu baunya. Dapat dilihat warna dan bayangnya.  Mana mungkin yang bukan-bukan dipinta. Payah dapatnya. Nanti kosong jiwa yang terlalu mengharap. Sekaranglah realiti yang menjelma. Saat bersama yang didoakan panjang ke anak cucu. Dari dunia hingga ke akhirat.

Setiap pasangan ada impian. Ada mimpi-mimpi indah di hadapan sana. Ada cita-cita membina yang tertinggi. Yang terbaik. Anak-anak yang menyerikan hati ibu bapa. Menceriakan sebuah keluarga. Soleh dan solehah. Indahnya sebuah istana cinta yang damai. Air pancuran di halaman berwarna. Jalan dan terbang tidak perlu dikira. Kenderaan darat, laut dan udara. Makan kenyang. Pakaian bersalut banyak gantinya. Tubuh isteri penuh dengan emas berlian. Sanak saudara semua senang bersemenda. Hidup dalam barakah agama. Redha Allah hendaknya. Namun semua itu bukan sekarang. Bukan lima tahun. Bukan 10 tahun. Ia jangka panjang. Paling cepat 15 tahun dari sekarang. Pada awal perkahwinan ini, perancangan dan unjuran hidup perlu direncana. Bagi yang belajar pengurusan ingat Gantt Chart. Ingat PERT (Programme Evaluation and Review Technique). Ingat CPM (Critical Path Method). Ingat Decision Tree. Dan banyak lagi. Itu belum Simplex. Belum lagi Euler Theory. Mainan pengurusan. Lebih saintifik.

Ingatlah semasa sendiri. Semasa tiada teman hidup dahulu. Semuanya bebas. Sekarang semuanya difikirkan untuk sentiasa ada orang kedua. Jalanmu ada yang mendiringi. Pergimu ada yang menunggu. Laparmu ada yang menghidang. Tidurmu ada yang mengulit. Jagamu ada yang membelai. Sakitmu ada yang merawat. Pakaimu ada yang merapi. Hartamu dikawalselia. Nyawanya dipertaruhkan kepada kamu. Sebagai pasangannya kamulah harapannya. Kamulah yang memberinya tempat bahagia. Memberikan apa yang seperlunya.  Mulakanlah langkah gagah. Langkah besar. Langkah tinggi menggapai awan. Usahakan yang terbaik untuk kesayanganmu. Semoga pasangamu damai bahagia hidup dan matinya. Anak-anakmu terbelai kasih sayangnya. Ada tempat bersanggar. Ada ruang berlegar. Ada lingkaran menari keliling.

Lihatlah ibu dan bapamu. Lihat rumah yang bakal kau tinggalkan. Pandanglah apa yang telah kau kecapi hingga kau berumahtangga. Segalanya bukan dalam sekelip mata. Semuanya telah diusahakan untuk jangka masa yang lama. Banyak payah jerihnya. Terlalu tidak terkira limpahannya. Maka lakarkanlah masa depanmu. Tulis satu persatu. Berikan keutamaan. Mana yang dulu mana yang kemudian. Selangkah demi selangkah. Ingatlah jauh mana sekalipun destinasi dan perjalanan mesti dimulakan dengan langka yang pertama.  Mulakanlah dengan langkah kaki kanan. Langkah orang beragama. Ekonomimu dijaga. Berpakatlah suami isteri untuk merealisasikan apa yang dicita. Di hadapan sana tetap ada harapan. Usaha, usaha, usaha dan berdoa. Mohon dan minta kepada Yang Maha Esa.

Banyak rumah besar di sekelilingmu. Rumah itu belum perlu keran kamu baru berdua. Namun ia menjadi perlu semakin ramai ahli keluargamu. Anak-anakmu perlu ruang untuk bersantai. Untuk membina intelek. Untuk berasa bahwa dunia keluarganya adalah luas. Ruang-ruang untuk tidak berlaga perasaan. Untuk tidak berlaga fizikal. Ruang legar yang melepaasi keperluan. Di sana ada natijah minda. Ada ruang untuk melepaskan udara. Melepaskan perasaan damai. Rumah besar adalah keperluan bagi keluarga besar. Umat Muhammad yang di tunggu di syurga. Besarnya membela agama. Mentarbiahkan umat. Dakwah sejagat. Semoga inteleknya membangun. Semoga sumbangannya menggunung. Amal jariah berpanjangan. Untuk maslahah umat.

Ramai orang yang senang. Ramai yang hidup mewah. Ramai yang tidak pernah kenal susah. Tetapi di belakang sejarah mereka banyak yang berlubang-lubang. Banyak yang koyak rabak. Mereka bermula dari bawah. Dari susah. Dari tidak ada apa-apa. Mereka menapak tahun demi tahun. Satu, satu dan dua mereka mulakan. Dari bawah mereka naik ke atas. Membina kerjaya. Membina status. Mereka sampai ke situasi sekarang. Berapa lama? 40 tahun barangkali. Aduhai. Ya. 40 tahun jika dikira memang lama. Tetapi 40 tahun yang dilalui tidak pernah memberi angka. Dirancang. Diusaha. Tidak perlu dikira. Pada usia 50an nikmatilah segalanya dengan santai. Orang hanya melihat apa yang dilihat. Yang tersirat tidak pernah diamati. Hanya yang punya diri mengerti. Semuanya bukan mudah. Berdikit-dikit membina bukit yang tinggi.

Anak-anakku, masa hadapan tetap ada. Cari bekal untuk menuju destinasi yang ada dalam peta. Perancangan perlu disemak dari masa ke masa. Mana-mana yang deviate hendaklah diperbetulkan. Rejuvinate mana-mana yang lesu. Jangan sampai burn-out sebelum masa. Perjalanan tetap panjang. Abah telah melaluinya. Abah sudah sampai di sini. Hari-hari terakhir bagi orang tua yang melepasi usia. Namun masih ada yang belum disempurna. Usia tidak kenal usaha. Semua yang mungkin boleh dicuba. Boleh diusaha. Tinggalkan zon selesa. Banyak ruang lain untuk beralih cita. Berubah paradigma. Pandang keliling untuk membuka mata. Membuka minda. Mohonlah bantuan Allah untuk mencapai hasrat hati. InsyaAllah Dia bersamamu.

No comments:

Post a Comment