Friday, February 24, 2012

Graduation Day

Di hadapan Civic Centre, Pittsburgh. Bersama anak ketiga, keempat dan kelima. Graduation Day Mei 1986.


Mei, Spring 1986. Setiap yang bemula tentu ada akhirnya. Lumrah dan fitrah makhluk. Bermula dan akhirnya tamat suatu episod dan fasa hidupnya. 18 bulan terasa tidak puas-puas. Jangkamasa yang terasa terlalu singkat. Terasa belum puas bermain. Belum puas menikmati segala yang berupa nikmat. Nikmat berada di negara asing. Nikmat melihat kebesaran Allah. Kelainan-kelainan yang tentunya tidak sama dengan yang ada di negara sendiri. Segala-galanya berbeza. Dari orangnya, masakan dan makanannya, dan persekitarannya semuanya berbeza. Suatu pengalaman yang mengesankan. Yang menusuk ke nurani.  Yang impaknya kekal lama. Melihat untuk percaya. Untuk dipanjangkan menjadi cerita. Coretan-coretan yang boleh dibaca berzaman-zaman lamanya. Untuk anak cucu. Untuk orang-orang kemudian. Suatu catatan hidup dan perjalanannya.

Mei itu tibalah waktunya menamatkan pengajian secara rasmi. Ditamatkan dengan konvokesyen. Kita orang Malaysia mewarisi tinggalan British. Penamat pengajian di IPT dinamakan konvokesyen. Di US mudah sahaja istilahnya. Graduation. Lulusannya menjadi graduan. Tidak gah seperti British. Istilah convocation nampak eksklusif. Ada tanda kehebatan. Tradisi kecemerlangan. Suatu pencapaian diri. Sebab itu IPT disebut menara gading. Ivory tower. Sesuatu yang tinggi diberi nilainya. Untuk masuk dan mendakinya perlu memiliki IQ yang tinggi. Bukan sebarang orang. Mereka yang lulus menjadi sarjana. Scholar. Selalu dirujuk kerana ilmunya di dada penuh melimpah. Kerana itu konvokesyen banyak karenahnya. Banyak rasmi-rasmiannya. Banyak prosedurnya. Maka penat lelahlah kakitangan yang terlibat. Berbulan dan berminggu latihannya. Raptainya berulang-ulang. Skrip aturcaranya tebal dan terperinci. Semuanya ingin gah kerana namanya konvokesyen. Peristiwa besar sebuah IPT. Perinstiwa agung untuk graduannya. Tiada yang lebih manis dari merentasi pentas. Tunduk hormat kepada Canselor barangkali. Melangkah gagah menuruni tangga. Keluar melempar mortar board sebagai pelepas diri dari jadual akdemik yang menyesakkan.

Di US graduation day hanyalah suatu upacara.  Hanya mereka yang mendapat PhD sahaja yang diraikan secara khusus. Yang lain hanyalah hadir secara ramai untuk meramaikan. Aturcaranya sangat simple. Setiap akhir semester semua pelajar semester akhir boleh memohon untuk turut serta dalam graduation semester itu. Ya, graduation day diadakan setiap akhir semester. Semua semester.  Lulus atau tidak bukan isu. Semua pelajar semester akhir boleh menghadirinya. Lengkap dengan pakaiannya sekali. Untuk pelajar sarjana seperti saya, jubah dan capenya serta mortar boardnya hanya USD29.90 sahaja. Sekitar RM55.00. Boleh bawa balik. Simpan sampai hancur.  Oleh kerana dibeli maka ianya menjadi milik sendiri. Hanya kain hitam yang juga simple. Bukan yang kualitinya tinggi. Bukan yang mahal.  Hanya pakaian sebagai tanda sudah menjadi graduan.

Provost (Canselor di sini) memberi ucapan dan menggraduat semua pelajar yang hadir. Di akhir ucapannya dia akan berkata, “Please go to your respected dean.” Kira habislah graduatian semester itu.  Maka berbarislah graduan untuk sekadar bertemu dan bersalaman dengan dekan. Hanya mendapat ucapan congratulation.  Tidak merasa bertemu dengan provost. Tidak menjabat tangannya. Tidak menerima skrol kosong. Skrol yang akan disi kemudian.  Tidak ada gambar diambil. Tidak ada sesi bergambar yang diurus oleh universiti. Semuanya urusan sendiri. Tidak juga hambar. Malah kadang-kadang susana yang sangat santai itu menghiburkan sesama graduan. Itulah waktu-waktu terakhir bertemu. Bertukar no telefon. Alamat. Dan seribu satu macam hal. Sambil duduk-duduk menunggu tamat upacara kami berbual santai. Ketika akan berpisah itu barulah kadang-kadang dapat bersembang agak panjang. Baru tahu siapa rakan sekelas yang selalu bersama selama 18 bulan itu. Jika muda berapa tahun mudanya. Jika tua berapa tuanya. Orang putih fizikalnya sukar dikenalpasti jika kita tidak biasa dengan mereka. Macam muda tetapi sudah 58 tahun. Nampak dewasa tetapi baru 19 tahun.

Bila membaca nama-nama graduan disertakan sekali tarikh mendapat ijazah pertama. Dari universiti mana pula. Dari negara mana. Saya temui nama seorang teman sekelas. Seorang wanita Amerika yang ijazah pertamanya pada tahun 1956. 30 tahun sebelumnya. Saya tanya padanya, “Else, what happen to all those years?” Jawapannya penuh makna. “After I graduated I worked as a teacher. I got married. I raised my children. Now all of them have graduated. Have grown jup. I have nothing to do at home. Here I’m, back to school.” Bagi orang Malaysia, back to school seperti low class (Istilah P. Ramli). Bagi mereka schooling bermakna belajar. Back to school bermakna belajar di IPT, tahap yang lebih tinggi. Setinggi mungkin. Master dan PhD adalah untuk  mereka yang sudah berkerjaya. Belajar secara sambilan pada hujung minggu. Atau kelas pada waktu malam. Tidak perlu biasiswa. Semua universiti menawarkan kelas malam. Bagi mereka yang bekerja, bolehlah merealisasikan impian akademik mereka. Laluan-laluan yang dipanggil laluan kedua disediakan. Ramai yang tidak berpeluang ke IPT akhirnya mendapat title graduan.

Berbeza dengan kebanyakan orang kita. Belum banyak usianya tetapi sudah tua. Baru bekerja tidak berapa lama sudah kelihat bahunya mendap. Semangatnya redup. Jalannya lemah. Airmukanya kurang ceria. Bekerja menjadi beban. Yang senang disusahkan. Yang cepat dilambatkan. Biasalah pengalaman saya begitu. Pelajar yanag meninggalkan kampus baru 23 tahun. Setahun kemudian ketika konvokesyen mereka sudah menjadi “tua”. Seolah-olahnya kerja itu sangat membebankan. Entahlah. Mungkin persepsi saya sahaja. Tetapi sesudah 42 tahun melihat fenomena yang sama tentu ada jawapannya. Tentu ada sebabnya. Hairankan. Orang di luart negara semakin menyibukkan diri dengan hal-hal tambahan sebagai value added untuk diri mereka. Akhirnya value itu menjadi added kepada masyarakat mereka. Negara mereka.

Universiti di luar negara sentiasa sibuk 24 jam sehari. 7 hari seminggu. Siang malam ada sahaja aktiviti akademik. Tradisi ilmu yang tidak pernah putus. Universiti di Kuala Lumpur nampaknya begitu sibuk. Hujung minggu sibuk dengan berbagai kelas. Mereka yang sudah bersara ke IPT pada hujung minggu. Yang ingin memningkatkan kerjaya juga bersekolah lagi. Di bandar-bandar besar manusianya berbagai. Ramai yang mencari harga yang lebih tinggi untuk diri mereka. Pengetahuan yang menghapus kejahilan. Menjadi orang-orang yang lebh tahu dan mengetahui. Bukan lagi orang biasa. Atau orang awam yang terlalu awam. Mereka ingin menjadi orang biasa yang bukan awam. Ada ilmu. Mengetahui. Ianya banyak berlaku di negara maju. Atau di bandaraya-bandaraya besar. minat yang berbagai diterjemahkan dalam bengtul ilmu. Peluang yang berbagai diterjemahkan dalam bentuk aktiviti meningkatkan diri.

Begitulah hadirnya saya dan keluarga di bumi Uncle Sam. Hanya 18 bulan yang singkat. Namun sempat mengharungi winter sebanyak dua kali. Spring dua kali. Summer hanya sekali. Fall juga sekali. Tahun 1986 sudah 26 tahun berlalu. Dalam hati seperti baru sangat ditempuhi. Masih terasa sejuk winternya. Masih mewangi springnya. Masih terasa panas summernya. Masih dilihat warna warni dan hangat musim fallnya. Aduhai! Masa terus berlalu. Membawa kita melalui masa dan zaman yang berubah. Yang santai dan yang kacau. Kita mendewasa membawa kenangan dan ingatan. Akhirnya kita menjadi seseorang yang membawa pengalaman yang berguna untuk masa hadapan kita sendiri. Mudah-mudahan tua kita berisi. Seperti kelapa, semakin tua semakin banyak santannya. Perahlah, lemak dan minyaknya akan menyatu.

Thursday, February 23, 2012

Jalanraya di US

Rasanya semua orang tahu jalanraya. Tahu akan fungsinya. Mungkin lain orang lain persepsinya. Ada yang melihat jalanraya sebagai sesuatu yang ‘raya’ iaitu besar dan gah. Suatu kebanggaan negara. Suatu kemegahan bangsa. Besar dan lebar. Panjang dan mengufuk. Tanda kemajuan. Tanda kemewahan. Tanda kegemilangan bernegara. Setakat mana sebenarnya kita melihat jalanraya. Sekadar untuk kita merentasnya. Mungkin untuk hilir mudik menikmati gahnya. Atau mungkin juga untuk turut sama berkongsi santai nikmat negara berdaulat. Yang diperintah sendiri. Yang dulunya diperah dan dikerah. Yang segala kekayaan asetnya dipunggah pergi. Ditinggalkan sisa yang harus pula dilapah bersama. Dalam pada itu ramai juga yang rakus. Semuanya mahu dihimpun sendiri. Jiran dan saudara yang lain ditolak ke tepi.

Jalanraya bukan sekadar jalan. Bukan hanya laluan. Bukan menjadi rentasan semata-mata. Di atas batu aspal itu terukir cita-cita suatu bangsa. Teranyam suatu mimpi benar. Mengalirlah di atasnya denyut nadi negara dan warganya. Yang bandar bukan lagi jauh. Yang hulu bukan lagi terpisah. Utara dan selatan selalu bertemu. Timur dan barat selalu bersama. Perjalanan bukan lagi sesuatu yang menjadi igauan. Bukan lagi melalui belok dan selekoh tajam yang mengancam. Perjalanan bukan lagi berjadual. Semuanya boleh berlaku saban waktu. Masa sudah bukan lagi  milik siapa-siapa. Semua orang boleh memilih ikut keutamaan. Yang penting perjalanan boleh dirancang dengan santai. Yang perlu dijaga hanyalah kenderaan. Pemandunya yang menjaga kantuk. Yang tahu bila untuk tidur. Keselamatan kenderaan dan penumpang perlu diutamakan kesemuanya.

Sekarang cuba pejam mata sebentar. Lihat bayangan jalanraya. Lihat lintasan teknologi. Untuk membina jalanraya perlukan teknologi yang semakin tinggi kualitinya. Bahan-bahan binaannya semakin canggih. Kaedah dan prosidurnya semakin berlainan dari dahulu. Jadual kerjanya tentu sekali mengambil waktu yang terpantas kerana masa adalah wang. Masa itu emas. Pekerja yang terlibat juga bukan calang-calang. Berbagai warganegara terlibat. Lihatlah, ada warga Bangladesh. Ada warga India. Rasa-rasanya ada warga Indonesia. Di mana warganegara kita? Ramai yang menyingkir. Kerja berat di tengah panas terik itu bukan lagi pilihan. Banyak lagi tempat yang lebih kondusif. Sejuk dan terlindung dari matahari. Lebih nyaman. Jadual kerja lebih predictable. Lebih fleksibel.

Cuba lihat bayangan ekonomi. Setiap saat meluncur laju lori dan tariler. Besar dan panjang. Bergegaran sepanjang siang dan malam. Muatan yang diminta oleh segenap peduduk. Yang diangkut dari segenap tempat. Jalanraya adalah penghubung talian hayat warganegara. Makan dan minum digerakkan di jalanraya. Sandang dan pakai juga begitu. Seolah-olah hidup dan mati kita bergantung kepada jalanraya itu.  Kerananya hadlaju selalu tidak dipatuhi. Manusia yang memandu menjadi gila sebentar. Bukan gila biasa. Kebanyakan mereka mabuk kerana nikmat yang terlalu besar. Hilang pertimbangan untuk mengurus jalanraya itu. Maka jalanraya menjadi kuburan besar. Terlalu ramai yang tertarik untuk disemadikan di atasnya. Sepanjang lebuhraya menjadi perangkap maut yang sengaja dipasang. Bukan dipasang tetapi dicari. Dikejar dan seolah-olah dirindui.

Merempit dan lumba haram adalah salahguna jalanraya. Hilang fungsi positif yang memperkayakan negara. Yang memperkayakan bangsa. Yang membina tamadun. Mungkin jika dihubungkan jalanraya itu dengan teknologi akan dilihat jalanraya itu dengan perspektif yang berbeza.. Jika dikaitkan dengan pendidikan tentu natijahnya menginsafkan. Sekiranya kita melihat dari sudut agama tentu kita akan melihat kebesaran Allah. Manusia diberi ilham untuk meneroka dan menyelidik. Darinya diri akan menyatu dengan kebesaran Allah. Kembali kepada iqra’. Permulaan yang memerintahlan manusia untuk membaca semua tanda dan isyarat yang boleh dibaca. Jangan hanya membaca tulisan. Warna, saiz, suhu dan berbagai tanda yang lain mesti dibaca dengan akal budi yang tinggi. Tidak mungkin kesemuanya ada tanpa izin Allah. Mesti diinsafi untuk melihat kekerdilan diri.

Banyak negara yang menjadikan jalanraya sebagai jalan keselamatan. Keluasannya bukan sahaja untuk memudahkan pemanduan. Bukan sekadar untuk bersantaian. Tersirat padanya jalur keselamatan jika perang berlaku. Jet pejuang boleh mendarat dan terbang. Touch down dan take off.  Perang bukan sesuatu yang terlalu jauh bagi mana-mana negara. Lihat Korea Utara dan Korea Selatan. Lihat bagaimana ancaman yang dikenakan kepada Iran. Afghanistan dan Iraq tidak aman-aman. Begitu juga Syria dan Yamen. Cina dan Taiwan tidak damai-damai juga. Sebab itu jalanraya bukan sekadar jalanraya. Di US umpamanya jalanraya sentiasa dalam keadaan tip-top. Rata, cantik dan menjadi nikmat bagi pemandu. Perancangan dan pembinaannya mengambilkira aspek yang berbagai. Keselamatan penggunaannya hanya satu aspek kecil. Padanya terdidik warganegara yang bersopan di jalanraya. Tahu menghargai nikmat. Menyumbang untuk menjadikannya nikmat bersama. Pemandu gila yang kita lihat di TV bukan suatu norm. Itu hanya cereka untuk filem atau drama. Realitinya mungkin ada tetapi hanya berlaku dalam kes-kes terpencil. Orang jahat ada di mana-mana. Pemandu mabuk ada di mana-mana.

Sekarang buka mata kita. Realiti di hadapan mata. Pemandu ramai yang memotong di lorong kecemasan di sebelah kiri. Di lorong luar untuk kenderaan yang bermasalah. Jenuh diperingatkan tetapi seperti tiada kesannya. Yang dipandu bukan calang-calang kereta. Siapa agaknya yang memandu Mercedes atau BMW. Atau Alphard. Atau CRV. Bukan calang-calang orang. Malang sekali kerana kenderaaan tidak mencerminkan nilai dan kualiti pemandunya. Nilai pemandunay terlalu rendah berbanding dengan nilai kenderaan yang dipandu. Atau penumpangnya mungkin. Undang-undang dan peraturan jadi mainan. Saya teringat falsafah jalanraya di US. Intipatinya begini, you have no right to use the road unless you share with other users. Jalanraya adalah milik umum. Untuk maslahah awam. Itu baru pemanduan. Kita belum lagi bercerita tentang sampah yang melayang keluar dari tingkap dan pintu kenderaan. Masing-masing menyangka lebuhraya adalah tong sampah besar. Jika itu persepsinya maka tentu akan dikira sampah semua yang berada di atas jalanraya itu. Suatu senerio yang tentu agak memualkan.

Kita banyak slogan. Banyak impian positif untuk menjadikan jalanraya seindah namanya. Semua orang boleh menikmati ‘raya’nya. Maka ia perlukan pendidikan yang panjang prosesnya. Kita mesti mengetahui matlamat yang hendak dikejar. Objektif yang hendak dicapai. Lalu kita membentuk peradaban. Manusianya yang penuh dengan adab. Berfalsafah. Membina norma-norma yang terkehadapan. Memiliki kemanusiaan yang tinggi menjulang. Untuk itu jalanraya bukan sekadar untuk dilalui. Kita melihat  tamadun di sepanjang laluannya. Kita melihat budaya di atasnya. Kita melihat manusia berakhlak mulia menjadi pemandunya. Jalanraya adalah  binaan yang tidak pernah kukuh dan kekal. Ia perlukan penyenggaraan. Dipantau dari  lubang dan lopak. Dari rekah dan pecah. Andainya kesemuanya ini menjadi realiti tentu kos untuk menggunakan jalanraya semakin berkurangan dengan signifikannya. Hospital tidak banyak dihuni oleh mereka yang celaka di jalanraya. Kita tidak kehilangan modal insan yang masih tinggi produktivitinya. Tidak banyak yang sia-sia.

Kita ada pemantauan polis secara berkala. Itu tidak mencukupi. Kita tidak ada highway patrol seperti di US. Polis trafik ada di mana-mana. Hadlaju maksimum adalah 55 bsj atau 90kmj. Kelajuan yang melebihinya pasti dihambat sama ada kereta peronda atau peronda bermotorsikal berkuasa tinggi. Kita di sini menggunakan jalanraya sesuka hati. Di negara maju seperti US banyak pantang larangnya yang wajib dipatuhi pemandu. Kelajuan hanya satu aspek. Keadaan kenderaan satu aspek lain. Tayarnya mesti berbunga supaya apabila dibrek boleh berhenti seperti dikehendaki. Begitu juga apabila hujan dan jalan bersalji. Akan terhindar hydroplaning. Luncuran atas air. Lampu besar yang semestinya hidup. Lampu merah yang terus menyala. Banyak sungguh kenderaan kita yang tiada lampu merah. Lampu besar yang hanya sebelah sahaja. Di US kenderaan seperti itu pasti dihentikan perjalanannya. Polis akan mengarahkan kereta itu dibaiki. Disempurnakan kegunaannya di jalanraya.

Kadang-kadang saya kesal dengan kenderaan yang memasang lampu tambahan. Ramai pemandu yang mahukan supaya kenderaan mereka dilihat dari hadapan. Dari jauh. Pada waktu malam. Waktu hujan. Waktu berkabus. Waktu suram. Malangnya yang saya lihat bukan begitu. Lampu-lampu tambahan itu dipasang sepanjang masa. Yang pastinya hanya menyilaukan orang di hadapan. Jadi penasaran kita dibuatnya. Lampu untuk menyuluh jalanraya akhirnya menjadi penyuluh mata. Sakit dipanah pancaran yang sangat terang. Silau yang amat sanagat. Itulah antara kegilaan di jalanraya. Kita ada highway code. Ada sejak dari British dahulu kala. Kita perbaiki dari masa ke semasa. Pendidikan di jalanraya masih belum sampai hajatnya. Adab di jalanraya masih belum menjadi darah daging. Kita tidak berkongsi jalanraya bersama pengguna lain. Jika sikap kita payah berubah maka payahlah perubahan akan dijelmakan. Jalanraya tinggal ‘raya’nya. Hilang seri fungsinya. Hanya kita yang mampu mengubahnya. Tepuklah dada, tanyalah hati. Jentik akal untuk kita fikir-fikirkan bersama.

Monday, February 20, 2012

Fall Versi Malaysia


Sekarang ini peredaran Monsoon. Cuaca agak panas. Hujan  turun juga sekali sekala. Cukup untuk membasahi bumi. Panasnya tetap juga perit. Bulan Februari  di negara-negara di Utara adalah Spring tetapi di negara-negara di Selatan adalah Fall. Ada musim-musim yang mengusik perasaan saya. Bila saya pandang keliling saya dapati ada semacam Fall berlaku di sini. Daun-daun menguning. Ada yang memerah. Daun berguguran. Dalam pada itu ada pokok yang sudah habis luruh daunnya. Ada pula daun muda  sudah menggantikan daun yang tiada. Situasi ini seolah-olah  winter akan datang tidak lama lagi. Saat-saat indah pasti menjelmakan sesuatu yang di luar jangka. Benarkah begitu? Tidak mungkin jika bukan perancangan Allah. Negara kita bukan tempatnya. Bukan musim di negara kita. Kita tidak akan pernah merasainya tanpa izin Allah.

Seorang rakan berkursus di Canada pada tahun 1990 dahulu. Orang di sana bertanya tentang berapa musim yang ada di Malaysia. Adakah sama dengan di negara mereka. Mereka maju tetapi rakyatnya tidak mahir Geografi. Tidak tahu apa yang berlaku di negara lain. Yang penting negara mereka sendiri. Seperti orang Amerika, yang utama ialah kecintaan kepada negara sendiri. Negara lain hanya pelengkap kepada negara mereka. Pertanyaan mereka tentang musim di Malaysia tentu terasa melucukan. Dengan selamba rakan saya itu menjawab bahawa di Malaysia ada empat musim. Hot, hotter. Wet, wetter. Tergelak panjang orang Canada. Mereka tahu rakan saya itu kidding mereka. Lawak bodoh. Tetapi benarkah itu lawak. Memang benar itu kenyataan. Kepada kita itu kebenaran sebenarnya. Musim kita tidak pernah mencecah sejuk. Tidak juga sederhana. 30ºC sudah seperti sejuk. Apatah lagi jika 25º. Ramai yang demam memanjang barangkali. Selsema terus menerus. Sekarang ini bulan Februari hingga Mac setiap tahun pasti suhu agak melebihi paras biasa. Bahang panas sangat terasa. Hujan juga. Namun panasnya tidak berkurangan.   


Pokok jati di tepian lebuhraya utara-selatan ini mula menguning daunnya. seakan-akan fall sudah bermula.


Pokok ini saya tidak tahu namanya. Namun jika diamati daunnya mula memerah.


Daun pokok getah ini kuning jingga. Orang di Australia barangali keliru di mana daun kuning ini.

Pokok getah juga tetapi daunnya merah. Bagi yang pernah ke Utara atau ke Selatan tentu nostalgik melihat semua warna-warna ini. Ada di negara kita. Cumanya yang ada warna. Suasana dan iklim atau suhunya tiada. 
Ramai antara kita mungkin tidak mengambil pusing akan hal ini. Ada sesuatu yang kekal dalam pemerhatian saya. Ada yang kekal dalam ingatan saya. Bulan-bulan yang saya sebutkan  itu ada petandanya yang tersendiri. Awal tahun yang panas ada dedaun yang merah. Ada yang menguning. Banyak juga jenis pokok yang begitu. Tetapi yang paling banyak memerahnya ialah  daun pokok getah. Menguningkan sebahagian daripadanya. Di kampung senario sebegitu mungkin terlalu biasa. Semua orang selalu terlepas pandang. Tiada siapa yang mengambil apa-apa iktibar. Tiada apa-apa cerita di sebaliknya. Memandang tanpa nampak. Melihat tanpa tahu. Tiada penelitian. Tiada pengamatan. Di negara-negara utara atau selatan fall menjadi sangat nostalgik. Hanya bagi yang mengalaminya sahaja merah dan kuning daun getah memberikan impak hati dan nurani. Mengimbau masa-masa lalu yang telah lama berlalu.

Ingatan saya kembali ke zaman kanak-kanak saya dahulu. Tahun-tahun 50an dan 60an yang  sudah lama berlalu. Agak terlalu lama tersimpan beku. Masa yang telah menghilang. Waktu yang telah berada di  balik tabir zaman. Detik-detik yang tiada lagi waktunya. Tetapi saya masih ingat. Pada waktu-waktu beginilah saya berada dalam suasana yang lesu. Cuaca panas tentu memalaskan. Hangat dan merimaskan. Lembab yang melekitkan pakaian. Apatah lagi kain murah yang termampu dibeli dan dipakai orang kampung yang kemampuannya jauh dari kekurangan orang berada. Pergerakan menjadi lambat dan lembam. Di  keliling  rumah berserakan daun getah yang berwarna-warni. Kering dan akhirnya mereput. Hilang bahagian-bahagian yang pernah mengandungi stomata. Yang memungkin fotosintesis. Yang tinggal hanyalah kerangka yang merupakan jalur-jalur aliran yang bercantum-cantum membentuk daun.

Tentu sukar untuk mengerti kerana sekarang ini pokok getah semakin berkurangan. Tanaman kontan seperti kelapa sawit menguasai pertanian. Dari Johor ke Kedah saya melihat kelapa sawit. Cuma di Utara di bukit dan bukau masih tertegak pokok getah. Di pamah masih hijau dengan padi. Usaha R.N. Ridley masih dihargai lagi. Tidak hanya di Kuala Kangsar kita melihat pokok getah. Pokok getah masih banyak juga dipelihara.  Di kampung masih ada yang bergantung kepada getah. Sekarang ini harganya agak tinggi. Bertambah rezeki pekebun kecil. Namun begitu menoreh bukan lagi suatu kemahiran yang menyeluruh.  Waktu remaja saya dahulu sukar mencari orang yang tidak pandai menoreh. Yang dewasa menoreh. Yang muda menoreh. Yang lelaki menreh. Yang perempuan juga menoreh. Itu penghidupan orang di kampung saya. Kebergantungan yang tiada gantinya. Ada kerja lain sebagai sambilan seperti mengambil upah menebas. Atau membuat rumah. Atau menggali parit. Selain itu yang diushakan hanyalah bercucuk tanam di sekeliling rumah. Untuk makanan sendiri. Subsistence living.

Apabila daun-daun getah berubah warna. Warna cantik yang memerah dan menguning. Ada sedikit kesedihan menusuk hati. Saya melihat betapa lesunya arwah ibu saya melayani fikirannya. Mengapa tidak. Sewaktu daun getah berwarna dan bergugurn inilah hasil getah paling minimum. Getah menyusust. Hendak menoreh terasa malas. Hendak memungut susu getah lagilah malasnya kerana susunya semakin kering. Selalunya getah dua keping yang besar dan tebal. Apabila dedaun luruh kepingannya mengecil dan menipis. Tentu sahaja hasil jualannya merosot. Mungkin hingga 40%. Ketika itu bercatulah makan. Mengikat perut. Mengecutkan selera. Anak kampung tiadalah karenahnya. Makan apa yang ada. Ditampung agaknya dengan makan pisang masak. Dimakan mentah.  Boleh juga digoreng dengan minyak kelapa buatan sendiri. Atau rebus barangkali. Begitulah ubi yang direbus bercecahkan sambal tumis. Atau ikan masin. Keladi juga ada. Keladi selatah paling banyak direbus dan dimakan dengan parutan kelapa yang dibubuh sedikit garam dan dimaniskan dengan gula. Buah-buahan di sekeliling rumah menjadi penawar duka lara dek kemiskinan. Benar-benar survival.

Itulah cerita lebih setengah abad yang lalu. Lalu kita merdeka. Ada janji untuk memperbaiki keadaan. Menghapus kemiskinan. Meningkatkan keindahan kehidupan yang bersalutkan madu kemewahan. Setelah lebih setengah abad masih banyak yang belum terlaksana. Orang dahulu sudah tiada. Tidak merasa keindahannya seperti yang dicita. Orang sekarang ramai juga yang tidak merasakan janji indah itu. Kehidupan tidak seperti yang dicita-citakan. Kemiskinan masih seperti dulu juga. Masih ramai yang di bawah. Merasa kesusahan yang berlarutan. Ada yang di rumah kotak. Di rumah buruk. Yang melara dan melarat. Cerita dedaun berwarna merah dan kuning ini saya simpan dalam lipatan hidup saya. Mereka yang pernah mengalaminya tentu akan nostalgik. Anak-anak generasi sekarang bacalah catatan orang-orang dahulu. Bahawa hidup datuk dan nenekmu bukan seindah sekarang. Bukan air dalam besi.  Bukan petik di dinding menyala lampu. Bukan gambar dalam kaca. Bukan bercakap dari jauh. Masa lalu yang selalu pilu. Yang kita tinggalkan untuk maju ke hadapan. Terus belajar untuk memperbaiki diri. Diri kita sendiri bukan orang lain. Kehendak kita tidak pernah sama.

Saturday, February 11, 2012

NY Ke Pittsburgh


Jam 9.00 malam. Kami tinggalkan WTC. Kami tinggalkan NY. Pittsburgh, kami kembali ke bumimu. Sejak pagi tadi dari Washington ke NY kami tiada perancangan untuk bermalam di mana-mana. Tengok keadaan. Jika ada keperluan. Kerana itu saya mencari jalan pulang dari NY melalui Harrisburgh untuk ke Pittsburgh. Kebetulan  NY State besebelahan Pennsylvania State. Atau PA untuk Pennsylvania singkatannya. Harrisburgh adalah ibu negeri PA. Pittsburgh antara bandaraya yang terdapat di PA. Harrisburgh lebih gagah dan lebih sibuk dari Pittsburgh. Sepintas lalu pada malam itu saya rasa Harrisburgh lebih berkarenah berbanding Pittsburgh. Saya plot perjalanan pulang. Suatu simpang akan diambil di Harrisburgh untuk menuju Pittsburgh. Secara jujurnya kesemua tempat yang berada dalam penceritaan saya tidak pernah saya kunjungi sebelumnya. Saya berbekalan keberanian. Berpandukan peta yang selalu dijengah. Kebetulannya sewaktu di sekolah menengah dahulu saya gemarkan subjek Geografi. Peta tidak mengintimidasi saya. Asalkan butirannya betul insyaAllah tempat itu boleh dicari.Sampai di Harrisburgh sesuatu terjadi.

Memandu di manapun di US bukanlah masalah. Ikut sahaja peta,  arahan dan undang-undangnya. Tahu sedikit budaya mereka. Disiplin mereka memandu. Malam itu Harrisburgh memang terang benderang. Tiada bandar di US yang gelap pada waktu malam. Sepatutnya saya mengambil selekoh di suatu persimpangan bertingkat di tengah-tengah bandaraya Harrisburgh. Saya tergamam kerana persimpangan bertingkat itu bukan berlapis tetapi berlapis-lapis. Saya sudah keliru dengan plot perjalanan yang sudah saya hafal. Tanpa disedari simpang yang dicari telah terlepas. Saya sudah mengambil simpang yang berlainan. Hendak balik akan terpaksa mencari U-Turn yang jauh. Itupun belum pasti akan ditemui simpang yang  dicari. Saya memutuskan untuk meneruskan perjalanan dengan mengambil jalan yang lain. Saya cari tempat berhenti. Buka peta. Cari jalan ke Pittsburgh. Dalam peta ada beberapa alternatif ke sana. Saya pilih satu. Adoi! Jalan kampung. Walau bagaimanapun jalan kampung di US tidak seperti di sini. Kita di sini bila kampung banyak negatif jalanrayanya. Kecil, kasar, berlubang, senget, pecah di sana dan pecah di sini. Pendek kata menjadi jalanraya yang menyukarkan. Hilang keseronokan memandu. Hilang rayanya. Yang dialami hanya sukarnya.

Hari semakin malam. Penumpang kesemuanya keletihan. Saya yang memandu sejak dari pagi lagilah letihnya. Dalam pada letih itu ada juga penumpang yang resah. Terutama isteri saya. Yang lain tertidur juga. Jalan kampung yang saya lalui memang sunyi. Almaklumlah waktu semakin malam. Ke tengah malam. Hingga ke dinihari. Akhirnya pagi. Perjalanan yang sangat lama bagi saya. Alhamdulillah jalan kampung yang saya redah agak lebar. Empat lorong. Di kanan dan kiri jalan rasanya berbagai ladang. Buah, makanan dan sayur-sayuran. Entah berapa ladang jagung yang saya lalui. Entah berapa ladang buah yang saya rentasi. Jalan kampung itu pastinya indah pada waktu siang. Ladang yang selalu melaut. Orang US ladangnya beribu hektar. Kesemuanya menggunakan teknologi. Capital intensive. Menggembur tanah menggunakan jentera berat. Tanah yang digembur memang tunggang terbalik. Dalam dan terbalik-balik. Kesuburan yang sentiasa dilestarikan. Menabur benih menggunakan kapalterbang. Sewa khas. Membaja juga dengan kapalterbang. Begitu jug asewaktu menyembur racun serangga. Memang tidak hairanlah bahawa orang Amerika ramai yang boleh memandu kapalterbang. Bukan sahaja yang menjadi tentera udara, siapa-siapa sahaja boleh belajar untuk menjadi juruterbang.  Di sana, ada duit semuanya jadi. Lapanterbang kecil ada di mana-mana.

Malam itu memang sunyi. Spring belum  berakhir. Suhu masih rendah. Sekitar 15ºC. Orang lain semuanya sibuk nenyak tidur. Sesekali terserempak juga kereta lain. Tentunya mereka ada urusan. Kami pula mencari jalan pulang. Yang pastinya kereta diisi minyak secukupnya. Jauh perjalanan sudah dikira. Persediaan. Usaha. Doa. Akhirnya tawakal kepada Allah. Fitrah manusia ialah hidup di siang hari dan mati di malam hari. Maksud saya tubuh badan kita perlu rehat pada waktu malam. Perlu tidur. Saya berusaha bercekang mata. Walau bagaimanapun fitrah itu datang menyerang tubuh saya. Mata menyerah kalah juga akhirnya. Saya mencari tempat berhenti yang agak terang dan dikira selamat. Saya tidur menghilangkan rasa mengantuk yang sudah terlalu sangat. Malam itu entah berapa kali saya berhenti kerana mengantuk. Kadang-kadang baru beberapa puluh kilometer saya berhenti dan tidur lagi. Setelah beberapa kali tidur dan memandu berperingkat-peringkat  sampai juga ke lebuhraya yang menuju ke Pittsburgh.

Seperti kita di Malaysia untuk masuk ke lebuhraya dan keluar darinya kita dikenakan tol. Kita di sini mengambil tiket. Atau menyentuh touch & go. Atau pandu lalu bagi yang ada smart card. Kita rasa negara kita canggih, maju dan terkehadapan. Belum lagi. Belum lagi dik. Belum lagi bang. Belum lagi tuan. Cerita saya ini 26 tahun dahulu. Mereka sudah lama di hadan. Di US sudah berpuluh tahun terlebih canggihnya. Teknologinya canggih. Sikap penggunanya canggih. Falsafahnya canggih. Disiplinnya cangih. Siviknya canggih. Tidak ada tol yang dijaga manusia. Yang menjaganya hanyalah akal dan perasaan penggunanya. Disiplin diri mereka. Very Islamic tanpa mereka menganut Islam. Saya amat yakin seperti yang dikatakan oleh Muhammad Abduh. Di Barat banyak yang Islamik tanpa ada orang Islam. Apabila sampai di pondok tol pengguna hanya sekadar mencampakkan duit siling. Ya duit siling. Bukan duit kertas yang nilainya besar. Duit kertas terlalu ringan. Tidak mampu menaikkan palang tol. Mungkin perlu berkeping-keping banyaknya baru palang itu boleh naik. Atau memang alatnya tidak diprogram untuk menerima wang kertas. Tentu supaya tidak menyusahkan pengguna. Sebaliknya untuk meringankan.

Prinsipnya ialah untuk memudahkan. Cepat. Cekap. Tidak membebankan pengguna. Rakyat. Hanya ada satu arahan sahaja. Please don’t throw a  nickel. Jangan campakkan 5 sen. Boleh campakkan dime (10 sen), quarter (25 sen) atau half-dollar (50 sen). Berat ketiga-tiganya boleh menaikkan palang tol. Tidak adakah yang menipu? Mungkin ada. Tetapi tidak melebihi 10%. Mungkin 1% sahaja. Mungkin . 0.1% sahaja. Mereka tidak ada kecenderungan untuk menipu. Sistem pendidikan mereka membentuk rakyat yang menghargai negara. Seperti kata Kennedy, ask what you can do for your country, not ask what yor country can do for you. Tanya apa yang boleh anda sumbangkan kepada negara, jangan tanya apa yang negara boleh sumbangkan kepada anda. Semangat patriotik sangat menebal. Itulah jaminan tertegaknya bangsa yang dikawal oleh rakyatnya sendiri. 

Selain dari akademik yang saya pelajari di kelas, pemerhatian dan pemahaman saya banyak menginsafkan saya. Orang Amerika dilihat jahat di mata dunia. Itu politiknya. Sistemnya. Tetapi secara individu orangnya baik. Budayanya baik kerana yang selalu difikirkan ialah maslahah umum. Kebajikan yang maksimum. Dalam isu tol umpamanya 10 sen atau 25 sen atau 50 sen sangat memudahkan. Sangat tidak membebankan. Sangat menyenangkan. Semua pengguna dapat menyumbang dengan senang hati. Konsep dan falsafahnya ialah rakyat membantu. Mereka telah membayar berbagai-bagai cukai. Cukai pendapatan. Cukai barang. Cukai harta dan berbagai cukai lain. Cukai jalan sudah dibayar. Insuran kenderaan sudah diayar. Lesen sudah dibayar. Cukai minyak sudah dibayar. Maka tolnya sekadar sumbangan. Membantu negara seperti yang disarankan oleh Kennedy. Kerana itu rakyat Amerika bersedia menyumbang. Sudah menjadi tanggungjawab. Hati mereka tidak pernah resah. Mereka gembira menjadi penyumbang.

Perjalanan malam itu memberi banyak pengajaran. Hingga sekarang saya belum lagi mengalami pemanduan yang sama. Atau serupa. Saya memandu selama 24 jam. 9.00 pagi hari Sabtu dari Washington. 9.00 malam di NY. 9.00 pagi hari Ahad esoknya saya sampai di Pittsburgh. Apabila saya turun dari kereta saya seperti mabuk laut. Lutut saya bergetar, bergoyang dan lemah. Setelah beberapa ketika baru datang kekuatan semula. Punggah turun barang dan saya bergegas memulangkan kereta yang disewa. Jam 10.00 pagi Ahad kereta mesti dikembalikan. Jika tidak bakal dikenakan penalty. Itulah kembara terakhir di Us. Bumi Amerika. Bumi Uncle Sam.  Perjalanan 24 jam itu melalui bandaraya dan kampung. Di Amerika semuanya tiada masalah. Jalanrayanya memudahkan. Pemanduan menjadi mudah. Kepayahan hanya bagi mereka yang tidak memahami. Selagi kita boleh belajar selagi itulah kita mendapat bantuan akal. Bantuan Allah. InsyaAllah.

Wednesday, February 8, 2012

Di Puncak World Trade Centre

Setelah  berlegar beberapa ketika di perkarangan bangunan PBB, kami beredar. Sebenarnya kami tidak tahu ke mana hendak pergi dari situ. Setelah berbincang seketika kami mengambil keputusan untuk ke World Trade Centre (WTC). Rasanya pada tahun 1986 ianya adalah bangunan tertinggi di dunia.  Kami sampai di bangunan itu sebelum waktu Maghrib. Lupa hendak cerita. Untuk mengambil kenderaan di tempat parkir kami terpaksa menunggu lebh 15 minit. Staf di kaunter menggunakan pembesar suara untuk mengarahkan atenden di bawah membawa keluar kereta kami. Saya tidak dapat hendak menceritakan bagaimana besar dan dalamnya tempat parkir itu. Tiada kesempatan menjengahnya. Percaya sepenuhnya kepada sistem yang ada. Yang penting selamat. Cukup. Jika dijengah sekalipun yang dilihat hanyalah barisan kereta. Penuh pula dengan asap. Segalanya racun jika tiada alat penapis udara. Tentu berbahaya jika tidak memakai alat pelindung pernafasan yang betul.

Tinggal sejarah. Bangunan kembar WTC pada zaman kebanggannya. Bangunan yang lain jauh di bawah. Agaknya bangunan berkembar Petronas di Kuala Lumpur mengambil semangat WTC ini.

Pada hari Sabtu WTC tidaklah sesibuk pada hari-hari lain. Tentu tidak sama hari kerja dan hujung minggu. Apatah lagi ketika itu sudah hampir malam. Kami cari kaunter tiket untuk ke observation deck. Balai tinjau.  Sudah tidak berapa ingat. Mungkin USD3 seorang dewasa. Hampir 100 tingkat di atas. Tingginya 110 tingkat. Liftnya sangat pantas. 60 saat  sahaja. Teruja berada di atas. Seluruh New York (NY) dapat dilihat. Kebetulan bangunan  Empire State Building tidak jauh dari situ. Bangunan yang sangat gah di NY itu bergemerlapan pada waktu siang. Tetap bergemerlapan juga pada waktu malam.  Pada waktu siang begemerlapan kerana cermin dan bahan siapannya. Pada waktu malam kerana lampu warna-warninya. Dari jauh kelihatan majestic.  Tinggi dengan puncaknya menancap ke langit. Langit di hujung spring. Dingin dan lembab. NY bagai muzium pencakar langit. Tiada banguna rendah kerana hartanah yang snagat tinggi nilainya. Bangunan hanya ke atas. Tidak melebar di tanah.

99 elevators. Pilih mana yang sesuai. Yang kelihatan WTC menyendiri antara kesesakan NY. Sebab itu agaknya gila orang Amerika bila ianya dimusnahkan.
 
Di celah-celah bangunan ini saya pernah memandu. Waduh seperti tidak benar. Namun itulah kenyataannya. Faktanya begitu. Tiada mimpi dari kampung sewaktu kecil dahulu. Mana mungkin dari atas lantai batang pinang ada mimpi seindah melalui jalan-jalan di NY.



Musnahnya WTC pada 11 September 2001. Tidak ada yang kekal kecuali Allah.

Patung Liberty di NY Harbour tidak dapat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan WTC. Semangat Amerika disentap di sini.

Ini adalah Empire State Building. 102 tingkat. 73 elevators. Bangunan tertinggi sebelum terbinanya WTC.

Cahaya Empire State Building berubah-ubah mengikut mood dan peristiwa. Sebab itu bangunan ini sentiasa dipenuhi peristiwa. Tidak sunyi dengan aktiviti. Di belakangnya ialah Chrysler Building. Rasanya bangunan ini latar filem Batman. Tidak pasti saya.

Pada malam itu lampu berkilauan di seluruh Manhattan. Seluruh NY. Dari pantai ke New Jersey. WTC menjadi vantage point NY ketika itu. Vista. Mengkagumkan. Bangunannya berkembar. Bentuknya identical. Dua yang sama. Seronoknya berada di puncak NY. Kotaraya paling besar di US. Mungkin juga di dunia. Banyak tumpuan pelancong di NY. Selalu disebut Central Park. Kawasan rekreasi yang besar di tengah-tengah kesibukan NY. Terasa rugi tidak menjejak kaki di situ. Suatu kebangaan apabila dapat berada di sana. Suatu tempat yang damai dalam kesibukan dan hiruk pikuk NY. Dalam dunia ekonomi pula New York Stock Exchange (NYSE) sangat aktif setiap masa. Di situ ada petunjuk keadaan ekonomi dunia. Baik atau tidak. NYPD bukan antara tarikannya. Itu hanya siri TV. Bukan realiti. Walaupun begitu NYPD yang sebenar memang sentiasa sibuk. Jenayah jangan disebut. Berlaku setiap saat. The Bronx bukanlah tempat yang perlu diziarahi. Banyak negatifnya. Keburukan di mana-mana bandaraya besar. The Ghetto pula tidak menjanjikan apa-apa. Itu adalah bayangan kemiskinan seperti juga di negara lain. Di bandaraya lain.

Waktu tidak membenarkan kami menjelajah NY sepuas hati. Ditakdirkan kami hanya sempat singgah sebentar. Cukuplah berada di situ. Sebentar juga suatu pengalaman. Melalui celah-celah bangunannya yang mencakar langit. Menelusuri jalanrayanya yang lebar. Maknanya saya pernah memandu di situ. Beriring dengan pemandu Amerika. Pemandu tegar teksi NY dengan kereta kuning yang selalu kita lihat di TV atau dalam filem. Wow! Bila diingat kembali seperti mimpi sahaja. NY yang besar itu pernah saya redah rupanya. Walaupun saya mula memandu hanya pada tahun 1982, empat tahun kemudian saya menjelajah US. Menjelajah Canada. Menjelajah Washington DC. Menjelajah NY.  Terasa pula seperti di awang-awangan.  Memandu stereng kanan atau kiri sama sahaja. Prinsipnya sama. Kita tetap bergerak ke hadapan. Cuma orang Amerika merevolusi minda mereka bertentangan dengan prinsip dan falsafah jalanraya orang British. Musuh mereka sewaktu sebelum merdeka dahulu.

Barangkali itulah kejayaan negara bangsa yang menghebatkan dunia. Menduniakan negaranya. Terlalu banyak yang direvolusikan. Ekonomi mereka melangkaui bukan sahaja British bahkan juga Eropah. Pendidikan mereka jauh terkehadapan. Kata orang merika, you name it, you get it. Sistem persekolahan mereka sangat berbeza dengan kita. Kita terlalu British. Pada aspek yang lain kita terlalu American. Waktu saya mula di sekolah menengah dahulu sekolah berasingan antara pelajar lelaki dan pelajar perempuan. Ikut cara British. Sesuiai juga dengan amalan agama kita. Memisahkan lelaki dari perempuan. Datang tsunami falsafah pendidikan Amerika. Mulalah sekolah bercampur. Co-education. Co-ed. Istilahnya cantik tetapi sekarang ini terlalu banyak masalahnya. Entahlah mungkin  gejala sosial anak-anak ada hubungannya di situ. Entah. Kemungkinannya tetap ada. Berapa banyak sumbangannya tidak ada yang tahu kecuali dibuat penyelidikan yang menyeluruh. Tanpa bias.

Untuk bergerak maju orang Amerika mengubah bahasa mereka berlainan sedikit dari bahasa British. Ejaan berubah. Syntax bahasa berubah. Makna berubah. Ayak berubah. Fonim dan fonetiknya berubah. Lahrlah American English. Menyebutnya sedikit sengau tetapi lebih jelas. Ada kesungguhan untuk melafazkannya. Begitulah dalam aspek yang lain seperti sukan. British dengan football. Mereka uba menjadi gabungan rugby dan soccer. Sebenarnya American spotrs scene jauh berbeza dengan kita. Banyak sukan yang tidak ada pada kita. Jika memonton rancangan sukan mereka di TV ada-ada sahaja ciptaan sukan. Atau modifikasi sukan. Apa sahaja yang boleh disukankan mereka lakukan. Dijadikan profesional. Mereka hidup dengan sukan itu.  Bukan sekadar cari makan. Tetapi bermewah-mewah dengan penglibatan sektor swasta, media dan siaran tetap TV. Profesional mereka menjadi celebrity. Nama mereka abadi. Tertulis pada hall of fame yang berbagai. Mendapat pengiktirafan negara. Begitulah komitmen dan dedikasi mereka terhadap sukan. Begitu juga mereka menghargai ahli sukan yang menggerakkan ekonomi negara. Yang menyumbang kepada gahnya senagar.

NY terlalu singkat buat kami. Sekadar sampling. Suatu detik waktu yang tidak mengizinkan untuk kami lama-lama. Cukup melintasinya. Cukup menjejakkan kaki di Manhattan Island. Di perkarangan bangunan PBB. Di WTC. Melalui terowong bawah laut yang panjang. Pengalaman itu kekal. Ingatan itu kekal. Malangnya WTC tidak kekal. Peristiwa 11 September 2001meruntuhkannya. Meranapkannya. Banyak pertanyaan tetapi tiada jawapan pasti apa yang mengakibatkan kemusnahan WTC itu.  Banyak fakta silang yang belum dapat diharmonikan. Belum dapat disahkan. Manipulasi fakta tetap berlaku. Pertimbangannya tentu politik. Keselamatan. Hubungan antarabangsa. Maruah. Apa sahaja yang menghalalkan Bush untuk menyerang Afghaistan. Kekal di Iraq. Intimidate negara yang lain. 

Pada malam itu juga kami tinggalkan NY. Ingin segera kembali ke Pittsburgh. Jam 9.00 malam kami tinggalkan WTC. Selamat tinggal NY. Masuk lagi terowong panjang yang berbelok-belok.  Yang pastinya di hujung sana tanah besar Amerika di New Jersey.

Monday, February 6, 2012

New York New York

Sejak saya kecil lagi saya sudah mendengar nama New York. Ada beberapa faktor yang menyumbang ke arah itu. Pertamanya New York adalah tempat tertegaknya bangunan Bangsa-Bangsa Bersatu. Keduanya, berita New York banyak saya baca dalam terbitan-terbitan USIS – United States Information Service. Pada tahun 1960an terbitan-terbitan sebegitu diberi percuma kepada kanak-kanak sekolah terutamanya yang di sekolah menengah. Waktu saya tingkatan empat (1964) guru bahasa Inggeris saya Mr. Duncan, seorang American Peace Corps. Itu belum lagi pengaruh filem. Cerita cowboy. Pengaruh Geografi. Pengaruh sejarah. Maka nama New York lama tersemat di hati. Tertancap di jiwa. Namun tidak pula berangan untuk ke sana. Tidak mungkin dalam kedaifan hidup di kampung ada angan-angan sebesar  Rocky atau Appalachian Mountain. Baik di sekolah menengah atau pun semasa di UM saya belum lagi ada rasa untuk ke mana-mana. Naifnya tentang dunia. Tentang akademik. Tentang semangat yang mendunia. Tidak ada. Dunia saya terlalu kecil bagi saya. Berjaya ke UM sudah suatu kejayaan besar gilang gemilang. Menara gading yang hanya selalu dilihat dari jauh diselaputi awan. UM adalah segala-galanya ketika itu. Universiti tertua yang terulung yang selalu mengujakan. Waktu saya di sana Prof DiRaja Ungku Aziz atau Pak Ungku menerajunya. Sangat gah hingga ke seantero dunia.

Pagi Sabtu itu saya dan keluarga memulakan pengembaraan ke New York. Kami bertolak dari Washington pada kira-kira jam 9.00 pagi. Pagi yang sangat dingin mencengkam di musim spring yang masih berbaki. Sebenarnya matahari memancar terang dan cerah. Menyinari alam yang indah di musim bunga. Yang menyerlahkan segala bunga yang berbagai watnanya. Dedaun sudah mula menjengahkan dirinya. Rupanya. Bentuknya. Warna-warni dan kehijauan itu membentuk suatu keindahannya yang tersendiri. Di lebuhraya yang kualitinya selalu dijaga itu kami meluncur  dalam kelajuan yang terkawal. Lebuhraya di Amerika hanya sekadar 55bsj - batu sejam atau kira-kira 90km sejam. Lebih lambat dari hadlaju yang diwartakan di Malaysia. Itupun orang Malaysia selalu bersungut. Lambat. Perlahan. 90kmj di US itupun dikawal dengan sangat ketat. Di udara ada satelit yang mengawal lalulintas. Semuanya dipantau. Sekarang lebihlah lagi canggihnya. Google sahaja sudah menguasai keadaan. Di lebuhraya itu ada sahaja peronda lebuhraya sama ada yang berkereta atau yang bermotorsikal. Kenderaan yang melintas melebihi 90kmj pasti dihambat. Siren dibunyikan. Diminta berhenti di tepi jalan. Prosedurnya mungkin nanti saya ceritakan dalam entry yang lain.

Saya tidak ingat berapa kali kami berhenti.  Biasalah letih. Itu belum memenuhi keperluan fisiologi. Buanbg depan. Buang belakang. Makan lagi. Anak-anak lagi yang banyak keperluannya. Biasanya dalam perjalanan seperti itu kami makan ala kadar. Roti dengan sardin barangkali. Jika sempat, isteri saya memasak lauk. Mungkin ayam atau daging. Biasanya masak kering. Tidak berkuah. Takut tumpah dan mengotorkan kereta. Sayur tidak perlu. Kobis banyak. Beli sahaja di mana-mana. Itulah sayur. Itulah ulam. Rata-rata pelajar Malaysia berbuat begitu. Belajar hidup santai dan senang. Makan apa yang mudah. Di US R&Rnya sangat memenuhi keperluan. Selain dari yang biasa-biasa seperti kita di Malaysia, di sana ada supermarket di R&R. Entah kenapa di negara kita PLUS belum pernah merealisasikannya. Bayangkan perjalanan yang jauh dan berhari-hari. Kita  pulang ke rumah dalam keadaan letih. Buka peti ais tiada apa di dalamnya. Tiada ikan. Tiada ayam. Tiada daging. Tiada lauk yang lain. Tiada juga sayur dan barang-barang dapur. Alangkah baiknya jika di R&R yang terakhir kita sempat singgah di sebuah pasaraya. Semua keperluan rumah dapat dibeli. Hidup menjadi suatu continuum. Kelangsungannya tidak pernah terganggu.

Washington ke New York bukan suatu perjalanan yang dekat. Banyak bandar dan desa yang direntasi. Pertama kali berkenderaan begitu cemas juga. Lebuhrayanya lebar. Lapan lorong kiri dan kanan. Simpang sangat banyak. Bandar besar banyak di pertengahan perjalanan. Hanya peta dan tanda arah yang menjadi panduan. Bila sampai di New Jersey keadaan agak mencemaskan juga. New jersey rasanya seperti bercantum dengan New York. Cuma New York lebih tertumpu di Manhattan Island. Sebuah pulau yang memanjang. Penuh sesak dengan bangunan yang tinggi-tinggi belaka. Tanah mahal maka bangunan terpaksa ke atas. Jila melebar di atas tanah maka rugilah nilai hartanah itu. Tidak dapat dimaksimumkan manfaatnya. Jadi bukan melebar di atas tanah. Dari New Jersey ke New York (Manhattan Island) ada empat cara barangkali. Udara, laut, keretapi dan jalanraya. Keretapi dan jalanraya bukan seperti yang kita bayangkan. Kedua-duanya melalui terowong bawah laut yang panjang dan lama jangkamasanya. Terowong paling panjang yang pernah saya lalaui seumur hidup saya. Terowong itu pula banyak. Saya memilih terowong yang terus sampai ke 45st. Holland Tunnel. Jalan lurus yang menyampaikan kami ke bangunan BBB.

Mak datuk! Terowong itu bukan calang-calang terowong. Ia bukan lurus. Berbelok-belok. Memandu tidak boleh bersenang-senang. Tangan sentiasa memaut stereng ke kanan dan ke kiri. Seperti diayun. Beroleng seperti di atas kapal. Mana-mana yang tidak tahan pasti mabuk. Pasti muntah. Paling kurang pasti pening. Mata jadi berpinar. Kepala naik pening. Jalannya sempit berlorong-lorong. Tidak pula bole memandu dengan perlahan ikut selera kita. Hadlajunya sudah ditetapkan. Hendak tidak hendak kenalah memandu agak laju juga. Itu yang membuat pemanduan memerlukan kecekapan. Memandu mestilah dengan kecekapan yang tinggi. Kemalangan boleh mengakibatkan kesesakan yang mungkin berhari-hari baru dapat diselesaikan. Dalam pada itu pasti ramai yang mati kerana sesak nafas. Udara tesekat. Oksigen menipis bila ramai. Itu belum karbon monoksaid lagi. Penumpang di dalam van yang saya pandu semuanya senyap. Isteri saya kelihatan cemas. Terlalu lama memandu. Bila agaknya akan keluar di hujung sana. Dalam pada itu terfikir juga nanti hendak balik kena lalu trowong seperti itu juga. Aduhai! Lorong yang lain juga serupa cirinya. Itu sahaja caranya. Kena hadapi dengan tabah. Saya sudah tidak boleh meminta bantuan sesiapa. Saya seorang sahaja yang mampu memandu. Hendk tak hendak kena teruskan memandu. Saya  anggap suatu cabaran yang mesti dipenuhi. New York mesti diziarahi hari itu juga. Peluang yang datang sekali seumur hidup.

Biasalah di mana-mana terowong kanakn dan kirinya pasti batu-batu pejal yang disokong dengan keluli yang besar dan teguh. Batu-batu yang sudah menghitam kerana penuh dengan pencemaran asap kereta kelihatan mengerikan. Cuma sinar lampu yang memenuhi setiap ruang terowong itu melindungi kengerianya. Jika matilah lampu-lampu itu pastinya pemandu kehilangan arah. Lose their bearing.  Ini jalanraya di bawah laut. Di atas sana adalah air. Sebahagian dari Lautan Atlantik. Maknanya terowong itu bukan cetek. Tentu sahaja antara setengah atau satu kilometer di bawah sana. Jangan bayangkan jika runtuh. Atau jika air meresap masuk. Kejayaan kejuruteraan bukan menghilangkan risikonya. Alat pengesan tentu dipasang untuk memberi amalan awal. Namum selalu terjadi human error kerana itu adalah human factor. Fitrah mansia membuat kesalahan. Bagi orang Islam banyakkan berdoa semoga sperjalanan itu selamat. Harapan yang mengunung tinggi ialah melihat cahaya di hujung terowong. Itulah peribahasa orang putih, light at the end of the tunnel. Kit atidak ada peribahasa sebegitu kerana kita tidak membina terowong. Yang saya ingat ialah pahlawan-pahlawan dahulukala naik bukit turun bukit. Masuk desa masuk hutan. Terowong tidak ada. Sebab itu  bahasa ada nilai budaya. Ada nilai agama. Ada nilai pendidikan. Ada nilai kejuruteraan. Bahasa menjadi jiwa bangsa. Bahasa itulah lambang jatuh bangunnya sesuatu bangsa.

Sewaktu kami keluar dari terowong Holland  jam sudah melewatu waktu Zohor. Sudah lebih jam 3.00 petang. 45st here we come, kata saya. Di kanan dan kiri saya bangunannya semua nya pencakar langit. Jika kali pertama di New York pasti seperti rusa masuk kampung. Kepala jadi panjang. Terjengah ke sana terjengah ke sini. Mendongak sahaja kerjanya. Saya teringat kartun Lat. Karektornya semua mendongak. Orang New York tiada masa memandang ke kanan atau ke kiri. Tidak juga mendongak. Semuanya memandang ke hadapan. Lurus. Pantas. The rat race. Semuanhya mengejar masa. Mengejar urusan hidup. Profesional atau peribadi. Semuanya sama sahaja. Takut tertinggal atau ditinggalkan masa. Dari hujunbg terowong Holland hinga ke hujung 45st agak lama juga. Walaupun jalanrayanya lebar dan berlorong-lorong kenderaan sangat banyak. Sesak selalu. Hujung minggu bukan faktor kurangnya kenderaan. Manusia sentiasa berpusu-pusu. Langkah mereka panjang-panjang. Berderap-derap. Kejap dan pantas. Masing-masing mengejar sesuatu. Mengejar hidup yang semakin menjauh. Kejarlah ia tetap jauh. Yang dikejar itu dunia. Tetapi jika yang dikejar itu akhirat kita akan merasa lebih dekat. Lebih santai. Kebahagiaan banyak bentuknya. Nilainya yang kita beri mementukan tindakan kita. Hati kita.

Di hujung 45st saya belok ke kiri. Pasti dengan arahan peta yang selalu dirujuk. Yang selalu sudah diingat dalam minda. Saya merasa pasti bangunan PBB ada di simpang berikutnya. Tetapi saya tidak menemuinya hingga ke beberapa simpang yang saya lalui. Wah kacau ni, kata hati saya. Kita sudah terlepas simpang yang kita cari, kata saya kepada yang lain. Saya cari U-Turn. Balik semula ke 45st. Saya ulang lagi menyusur jalan yang sama. Tidak jumpa juga. Mana perginya PBB. Tidak mungkin hilang ghaib begitu sahaja. Saya ulang lagi proses yang sama untuk kali ketiga. Hasilnya nihil. Dalam pada itu otak berputar mencari jawapan. Saya teringat pernah melihat gambar bangunan PBB. Letaknya di tepi laut. Lalu saya mencari tempat untuk berhenti. Saya pandang ke belakang arah pantai. Nah, itu pun dia bangunannya. Memang di tepi laut. Kenapa tidak ditemui simpangnya. Mistri juga. Itulah kehidupan. Bila sesat di hujung jalan balik ke pangkal jalan. Jangan lupa menoleh ke belakang untuk mencari arah ke hadapan. Ada tanda dan iktibar yang mesti dibawa bersama. Kita datang dari belakang untuk ke hadapan. Kembalilah saya ke 45st. Saya perhatikan betul-betul arah letak bangunan itu. Ini dia. Baru jumpa simpangnya. Memang bangunan itu tidak kelihatan terlindung dari bangunan-bangunan yang lain. Rupa-rupanya ada dataran yang membelok ke kanan. Di kiri bagi kita di Malaysia. Ingat, stereng kereta di sebelah kiri. Saya memandu di sebelah kanan.   Samalah seperti jika kita hendak ke Bangunan Tabung Haji atau PNB atau hendak ke Ampang kita naik ke dataran di sebelah kiri. Ada terowong di persimpangan itu. Itu Jalan Tun Razak di Kuala Lumpur. Pengalaman saya pula di New York.

Bila saya naik sahaja ke dataran itu, nah tersergam bangunan PBB. Lega rasanya. Semua menarik nafas panjang.  Yang dicari sudah ditemui. Itu baru satu kekangan. Mana nak parkir kereta pula. Terpaksalah cari tempat parkir yang banyak di sekeliling tempat itu. Saya masu7k ke ruangan parkir tetapi bukan parkir sendiri.  Bayar tiket. Serah kunci. Kereta ityu mungkin diparkir di basement yang ketujuh. Jauh di bawah tanah.  Satu jam USD7. Entah berapa jam nanti. Budak hitam yang menjaganya sahaja yang tahu di mana seharusnya kereta itu diparkir. Jika saya masuk tentu saya sesat nanti. Cuma nasihat yang pernah saya terima, jangan terdedah apa sahaja yang ada nilai. Tinggi atau rendah bukan isu. Se bungkus cokelat sudah cukup menjadi sebab untuk cermin kereta dipecahkan. Hanya sebungkus cokelat. Jika yang lebih berharga tentulah lebih besar risikonya. Kebarangkaliannya cermin kereta dipecahkan lebih tinggi lagi. Di Malaysiapun keadaannya sudah mula gawat seperti di kota-kota besar lain. Pantang ada barang dalam kereta. Ada sahaja yang berminat. Terpaksalah selalu beringat. Tidak boleh lalai langsung. Sebab itulah hukum had (hudud) itu Allah wajibkan. Allah yang menentukan hukumnya. Tiada kompromi. Hakim hanya mencari kesahihan berlakunya jenayah itu. Tanpanya hati kita selalu tidak tenteram. Selalu bimbang. Tidak tenang. Potong tangan bukan sahaja hukuman yang adil setelah dibuktikan tanpa sebarang keraguan. Ianya menjadi deterent. Pencegahan lebih baik dari merawat. Jika sudah kudung tangan sudah tidak ada jalan untuk menyelamatkan tangan itu. Lebih baik menyayanginya dari menzalimi diri sendiri.Yang lain akan menimbang berkali-kali sebelum melakukan hal yang sama. Sayang tangan atau gila hendak mangambil harta orang tanpa hak.

Sampai juga ke bangunan PBB. Memang besar dan menjadi lambang kedamaian dunia. Semua negara yang merdeka menjadi anggotanya. Seia sekata mencari dan  mengekalkan perdamaian. Malangnya waktu sudah jam 4.35 petang. Bangunan itu ditutup untuk pengunjung-pengunjung pada jam 5.00 petang. Kempunan kami dari memasukinya. Gambar di bawah ini pengubat kekecewaan itu. Anak-anak saya yang lima orang bergambar di hadapan bangunan yang besar impaknya kepada seluruh dunia. Aspirasi keamanan. Impian yang selalu tercemar. Hasrat yang selalu diveto. Banyak kekecewaan dari meraikan keriaan. Terlalu banyak percaturan politik kuasa besar yang menyulitkan negara kecil. Apatah lagi yang lemah. Cerita lama bahawa yang kuat menguasai yang lemah masih terus berlaku. Survival of the fittest

Bila saya pandang gambar ini saya jadi cukup nostalgik. Gambar tahun 1986 yang saya rakam semula. Yang sulung sudah 40 tahun. Yang kedua 39. Yang ketiga 32. Yang keempat 31 dan yang kelima sudah 29 tahun. Sudah berkerjaya. Sudah berumahtangga. Kelima-lima mereka sudah menghadiahkan saya 13 orang cucu. Yang kelima waktu itu baru berusia belum sampai tiga tahun.

Hanya di luar ini sahaja rakaman PBB untuk kami bawa pulang. Pernah sampai. Pernah berada di situ. Pernah memandangnya. Pernah menghirup semangatnya. Pernah berdiri selari dengan  bangunannya. New York. New York. Harapan masih adakah di situ?

Thursday, February 2, 2012

Washington DC –District of Columbia


Washington mengambil sempena semangat semua negeri di US. Jalan-jalan di Washington mengambil nama-nama negeri yang ada. Contohnya Pennsylvania Street. Virgenia Avenue dan sebagainya. Sebenanya Washinton juga sebuah negeri. Washington State. Terletak di barat laut Amerika. Bersempadan dengan Canada. Kerana itu ibu negara US dikenali Washington DC. District of Columbia. Bandar ini dibina khusus sebagai ibu negara USA. Sebuah bandar baru yang melambangkan kehebatan negara. Begitu juga apabila kita ke Canberra atau yang di hadapan mata kita iaitu Putrajaya. Sebuah bandaraya yang dirancang khas tentu mempunyai ciri-ciri yang unik. Pusat pentadbiran dan pusat pelancongan. Segalanya terancang indah. Susunaturnya amat menarik. Semuanya digarap memberi impak hebat. Menancapkan keegoan suatu bangsa yang membina tamadun walaupun ada masanya menekan negara lain.

Hanya seharian saya dan keluarga melancongi washington. Saat paling indah ialah mengelilingi tasik besar yang melabohkan keindahannya yang tersendiri. Dari satu sudut tersergam istana presiden Amerika. White House. Ketika itu Reagan yang menghuninya. Rumah Putih yang selalu sinonim dengan ketua negaranya. Di situ keagungan orang nombor satu dunia barangkali. Itu anggapan umum di mata dunia. Di tepian tasik itu juga tersergamnya Lincoln Memorial. Presiden yang membebaskan perhambaan. Yang menyatukan seluruh Amerika dari perpecahan. Gettysberg adalah medan perang terakhir yang melahirkan loceng Liberty. Di sudut lain terdiri Jefferson Memorial. Seorang lagi presiden hebat Amerika. Itulah Washington yang selalu gah dengan dasar luarnya yang menjadi polis dunia.

Sayang, saya tidak sempat meninjau White House. Cuma kami naiki Washington Monument. Tiang tinggi yang puncaknya dicapai secepat 60 saat. Agak tinggi juga. Pemandangannya panoramik. Semua sudut di tepian tasik Washington itu dapat dinikmati. Pada bulan April di sekeliling tasik ini penuh dengan cherry blossom. Bunga kesayangan di situ. Berbondong-bondong pelancong dalaman dan luar. Dari situ juga nampak jelas Capitol. Parlimen Amerika. Darinya dasar luar yang selalu ceroboh negara luar. Sokongannya terhadap Israel tidak pernah surut. Satu lagi yang indah di tasik itu ialah itek-itek yang berenang-renangan. Kawanan itek yang selalu rukun mencari rezeki di tasik itu. Renangannya meriakkan air yang berjalur-jalur mengocak tasik yang selalu tenang. Sangat damai sekali.

Kami hanya sempat bersiar-siar di hadapan Rumah Putih. Banyak pula kami temui tupai. Jinak dan berlarian di tanah. Rerumput pula cantik hidup melata dan merata. Mudah dipijak. Suhu nyaman sekitar 16°C. Enak bersiar-siaran di lapangan yang meluas begitu. Letih juga seharian. Akhirnya lami ke Air Force Museum. Dapat juga melihat kapal angkasa siri Apollo. Itulah kehebatan Amerika yang menjejak bulan, Marikh dan planet lain di angkasa.

 
Washington dan cherry blossom adalah sinonim. Bulan April yang memeriahkan kuntum-kuntumnya.
IMG_1383 US Capitol & reflecting pool (+).jpg (68383 bytes)
Capitol, bangunan parlimen Amerika. Gagahnya kadang-kadang penuh dengan mistri dan konspirasi.
IMG_0519 Lincoln Memorial (+).jpg (83114 bytes)
Lincoln Memorial di tepian tasik. Presiden yang dikenal sebagai Abe ini menamatkan perhambaan.
IMG_9535 Capitol, dusk (good).jpg (26498 bytes)
Capitol waktu malam
IMG_0423 white house, south front, spring, close.jpg (84705 bytes)
White House. Presiden Amerika menghuni di sini. Pelancong dari seluruh dunia boleh meninjau ke dalamnya. Dalam lingkaran keselamatan yang sangat ketat, pelancong masih dapat menjengah ke dalam bilik-bilik manusia paling berkuasa di dunia. Keadaan yang sama tidak dapat dilihat di negara lain walaupun ketua negaranya tidak sehebat presiden Amerika.
IMG_9497 washington monument, capitol, reflecting pool, WWII mon, dusk (+).jpg (36169 bytes)
Washington Monumen ini agak tinggi juga. Ianya menjadi focal point untuk melihat Wasginton. Mungkin juga vantage point.
Jefferson Memorial
Jefferson Memorial bertentangan dengan Lincoln Memorial di seberang tasik.
White House sangat central kedudukannya
Air and Space museum
Susunatur ibu negara Amerika dilihat dari udara.

Pada hari Sabtu itu sebenarnya sahabat saya Azizan dan keluarganya menyertai hari keluarga anjuran kedutaan Malaysia di Washington. Rumahnya menjadi rumah kami pada hari itu. Malam itu kami bemalam lagi di rumahnya. Awal Mei masih lagi sejuk. Enak tidur di bawah comforter tebal dalam kedinginan Spring 1986. Spring terakhir saya di bumi Amerika. Mungkin saya bermimpi yang indah-indah pada malam itu. Walau bagaimanapun saya tidak ingat lagi apa yang saya mimpikan. Yang saya ingat saya lena hingga ke pagi. Kami bercadang akan ke New York pagi Ahad itu. Cadangnya pada pukul 9.00 pagi kami akan bertolak ke sana. Teruja untuk berda di tengah-tengah kotaraya terhebat di dunia. Di sana ada bangunan Bangsa-Bangsa Bersatu. Selalu saya lihat gambarnya tersergam di tepi laut mengadap ke Lautan Atlantik. Sebaris dengan Patung Liberty.

Sebelum meninggalkan rumah Azizan isteri saya berkemas seadanya. Rumah yang dipinjam itu akan dikembalikan seperti asalnya. Susunsturnya mesti dikembalikan seperti sediakala. Kekemsannya dikembalikan seperti asalnya. Kebersihannya juga dikembalikan seperti bersihnya. Senang hati meninggalkan rumah orang dalam keadaan baik. Menyenangkan. Menggembirakan. Baliknya nanti tentu mereka letih. Jika rumah tersedia kemas, bersih dan teratur sejuk hati mereka. Boleh tidur dan menyambung mimpi. Beberapa hari kemudian isteri Azizan menelefon isteri saya. Terima kasihnya tidak berhenti-henti kerana meninggalkan rumahnya dalam keadaan seindahnya.  Alhamdulillah. Jadikanlah budaya bersih itu suatu kewajipan. Kemas sebagai aliran darah. Teratur sebagai sistem. Mudah-mudahan hidup dalam keadaan damai selalu. Tenang dan riang.