Di hadapan Civic Centre, Pittsburgh. Bersama anak ketiga, keempat dan kelima. Graduation Day Mei 1986.
Mei, Spring 1986. Setiap yang bemula tentu ada akhirnya. Lumrah dan fitrah makhluk. Bermula dan akhirnya tamat suatu episod dan fasa hidupnya. 18 bulan terasa tidak puas-puas. Jangkamasa yang terasa terlalu singkat. Terasa belum puas bermain. Belum puas menikmati segala yang berupa nikmat. Nikmat berada di negara asing. Nikmat melihat kebesaran Allah. Kelainan-kelainan yang tentunya tidak sama dengan yang ada di negara sendiri. Segala-galanya berbeza. Dari orangnya, masakan dan makanannya, dan persekitarannya semuanya berbeza. Suatu pengalaman yang mengesankan. Yang menusuk ke nurani. Yang impaknya kekal lama. Melihat untuk percaya. Untuk dipanjangkan menjadi cerita. Coretan-coretan yang boleh dibaca berzaman-zaman lamanya. Untuk anak cucu. Untuk orang-orang kemudian. Suatu catatan hidup dan perjalanannya.
Mei itu tibalah waktunya menamatkan pengajian secara rasmi. Ditamatkan dengan konvokesyen. Kita orang Malaysia mewarisi tinggalan British. Penamat pengajian di IPT dinamakan konvokesyen. Di US mudah sahaja istilahnya. Graduation. Lulusannya menjadi graduan. Tidak gah seperti British. Istilah convocation nampak eksklusif. Ada tanda kehebatan. Tradisi kecemerlangan. Suatu pencapaian diri. Sebab itu IPT disebut menara gading. Ivory tower. Sesuatu yang tinggi diberi nilainya. Untuk masuk dan mendakinya perlu memiliki IQ yang tinggi. Bukan sebarang orang. Mereka yang lulus menjadi sarjana. Scholar. Selalu dirujuk kerana ilmunya di dada penuh melimpah. Kerana itu konvokesyen banyak karenahnya. Banyak rasmi-rasmiannya. Banyak prosedurnya. Maka penat lelahlah kakitangan yang terlibat. Berbulan dan berminggu latihannya. Raptainya berulang-ulang. Skrip aturcaranya tebal dan terperinci. Semuanya ingin gah kerana namanya konvokesyen. Peristiwa besar sebuah IPT. Perinstiwa agung untuk graduannya. Tiada yang lebih manis dari merentasi pentas. Tunduk hormat kepada Canselor barangkali. Melangkah gagah menuruni tangga. Keluar melempar mortar board sebagai pelepas diri dari jadual akdemik yang menyesakkan.
Di US graduation day hanyalah suatu upacara. Hanya mereka yang mendapat PhD sahaja yang diraikan secara khusus. Yang lain hanyalah hadir secara ramai untuk meramaikan. Aturcaranya sangat simple. Setiap akhir semester semua pelajar semester akhir boleh memohon untuk turut serta dalam graduation semester itu. Ya, graduation day diadakan setiap akhir semester. Semua semester. Lulus atau tidak bukan isu. Semua pelajar semester akhir boleh menghadirinya. Lengkap dengan pakaiannya sekali. Untuk pelajar sarjana seperti saya, jubah dan capenya serta mortar boardnya hanya USD29.90 sahaja. Sekitar RM55.00. Boleh bawa balik. Simpan sampai hancur. Oleh kerana dibeli maka ianya menjadi milik sendiri. Hanya kain hitam yang juga simple. Bukan yang kualitinya tinggi. Bukan yang mahal. Hanya pakaian sebagai tanda sudah menjadi graduan.
Provost (Canselor di sini) memberi ucapan dan menggraduat semua pelajar yang hadir. Di akhir ucapannya dia akan berkata, “Please go to your respected dean.” Kira habislah graduatian semester itu. Maka berbarislah graduan untuk sekadar bertemu dan bersalaman dengan dekan. Hanya mendapat ucapan congratulation. Tidak merasa bertemu dengan provost. Tidak menjabat tangannya. Tidak menerima skrol kosong. Skrol yang akan disi kemudian. Tidak ada gambar diambil. Tidak ada sesi bergambar yang diurus oleh universiti. Semuanya urusan sendiri. Tidak juga hambar. Malah kadang-kadang susana yang sangat santai itu menghiburkan sesama graduan. Itulah waktu-waktu terakhir bertemu. Bertukar no telefon. Alamat. Dan seribu satu macam hal. Sambil duduk-duduk menunggu tamat upacara kami berbual santai. Ketika akan berpisah itu barulah kadang-kadang dapat bersembang agak panjang. Baru tahu siapa rakan sekelas yang selalu bersama selama 18 bulan itu. Jika muda berapa tahun mudanya. Jika tua berapa tuanya. Orang putih fizikalnya sukar dikenalpasti jika kita tidak biasa dengan mereka. Macam muda tetapi sudah 58 tahun. Nampak dewasa tetapi baru 19 tahun.
Bila membaca nama-nama graduan disertakan sekali tarikh mendapat ijazah pertama. Dari universiti mana pula. Dari negara mana. Saya temui nama seorang teman sekelas. Seorang wanita Amerika yang ijazah pertamanya pada tahun 1956. 30 tahun sebelumnya. Saya tanya padanya, “Else, what happen to all those years?” Jawapannya penuh makna. “After I graduated I worked as a teacher. I got married. I raised my children. Now all of them have graduated. Have grown jup. I have nothing to do at home. Here I’m, back to school.” Bagi orang Malaysia, back to school seperti low class (Istilah P. Ramli). Bagi mereka schooling bermakna belajar. Back to school bermakna belajar di IPT, tahap yang lebih tinggi. Setinggi mungkin. Master dan PhD adalah untuk mereka yang sudah berkerjaya. Belajar secara sambilan pada hujung minggu. Atau kelas pada waktu malam. Tidak perlu biasiswa. Semua universiti menawarkan kelas malam. Bagi mereka yang bekerja, bolehlah merealisasikan impian akademik mereka. Laluan-laluan yang dipanggil laluan kedua disediakan. Ramai yang tidak berpeluang ke IPT akhirnya mendapat title graduan.
Berbeza dengan kebanyakan orang kita. Belum banyak usianya tetapi sudah tua. Baru bekerja tidak berapa lama sudah kelihat bahunya mendap. Semangatnya redup. Jalannya lemah. Airmukanya kurang ceria. Bekerja menjadi beban. Yang senang disusahkan. Yang cepat dilambatkan. Biasalah pengalaman saya begitu. Pelajar yanag meninggalkan kampus baru 23 tahun. Setahun kemudian ketika konvokesyen mereka sudah menjadi “tua”. Seolah-olahnya kerja itu sangat membebankan. Entahlah. Mungkin persepsi saya sahaja. Tetapi sesudah 42 tahun melihat fenomena yang sama tentu ada jawapannya. Tentu ada sebabnya. Hairankan. Orang di luart negara semakin menyibukkan diri dengan hal-hal tambahan sebagai value added untuk diri mereka. Akhirnya value itu menjadi added kepada masyarakat mereka. Negara mereka.
Universiti di luar negara sentiasa sibuk 24 jam sehari. 7 hari seminggu. Siang malam ada sahaja aktiviti akademik. Tradisi ilmu yang tidak pernah putus. Universiti di Kuala Lumpur nampaknya begitu sibuk. Hujung minggu sibuk dengan berbagai kelas. Mereka yang sudah bersara ke IPT pada hujung minggu. Yang ingin memningkatkan kerjaya juga bersekolah lagi. Di bandar-bandar besar manusianya berbagai. Ramai yang mencari harga yang lebih tinggi untuk diri mereka. Pengetahuan yang menghapus kejahilan. Menjadi orang-orang yang lebh tahu dan mengetahui. Bukan lagi orang biasa. Atau orang awam yang terlalu awam. Mereka ingin menjadi orang biasa yang bukan awam. Ada ilmu. Mengetahui. Ianya banyak berlaku di negara maju. Atau di bandaraya-bandaraya besar. minat yang berbagai diterjemahkan dalam bengtul ilmu. Peluang yang berbagai diterjemahkan dalam bentuk aktiviti meningkatkan diri.
Begitulah hadirnya saya dan keluarga di bumi Uncle Sam. Hanya 18 bulan yang singkat. Namun sempat mengharungi winter sebanyak dua kali. Spring dua kali. Summer hanya sekali. Fall juga sekali. Tahun 1986 sudah 26 tahun berlalu. Dalam hati seperti baru sangat ditempuhi. Masih terasa sejuk winternya. Masih mewangi springnya. Masih terasa panas summernya. Masih dilihat warna warni dan hangat musim fallnya. Aduhai! Masa terus berlalu. Membawa kita melalui masa dan zaman yang berubah. Yang santai dan yang kacau. Kita mendewasa membawa kenangan dan ingatan. Akhirnya kita menjadi seseorang yang membawa pengalaman yang berguna untuk masa hadapan kita sendiri. Mudah-mudahan tua kita berisi. Seperti kelapa, semakin tua semakin banyak santannya. Perahlah, lemak dan minyaknya akan menyatu.
No comments:
Post a Comment