Monday, February 20, 2012

Fall Versi Malaysia


Sekarang ini peredaran Monsoon. Cuaca agak panas. Hujan  turun juga sekali sekala. Cukup untuk membasahi bumi. Panasnya tetap juga perit. Bulan Februari  di negara-negara di Utara adalah Spring tetapi di negara-negara di Selatan adalah Fall. Ada musim-musim yang mengusik perasaan saya. Bila saya pandang keliling saya dapati ada semacam Fall berlaku di sini. Daun-daun menguning. Ada yang memerah. Daun berguguran. Dalam pada itu ada pokok yang sudah habis luruh daunnya. Ada pula daun muda  sudah menggantikan daun yang tiada. Situasi ini seolah-olah  winter akan datang tidak lama lagi. Saat-saat indah pasti menjelmakan sesuatu yang di luar jangka. Benarkah begitu? Tidak mungkin jika bukan perancangan Allah. Negara kita bukan tempatnya. Bukan musim di negara kita. Kita tidak akan pernah merasainya tanpa izin Allah.

Seorang rakan berkursus di Canada pada tahun 1990 dahulu. Orang di sana bertanya tentang berapa musim yang ada di Malaysia. Adakah sama dengan di negara mereka. Mereka maju tetapi rakyatnya tidak mahir Geografi. Tidak tahu apa yang berlaku di negara lain. Yang penting negara mereka sendiri. Seperti orang Amerika, yang utama ialah kecintaan kepada negara sendiri. Negara lain hanya pelengkap kepada negara mereka. Pertanyaan mereka tentang musim di Malaysia tentu terasa melucukan. Dengan selamba rakan saya itu menjawab bahawa di Malaysia ada empat musim. Hot, hotter. Wet, wetter. Tergelak panjang orang Canada. Mereka tahu rakan saya itu kidding mereka. Lawak bodoh. Tetapi benarkah itu lawak. Memang benar itu kenyataan. Kepada kita itu kebenaran sebenarnya. Musim kita tidak pernah mencecah sejuk. Tidak juga sederhana. 30ºC sudah seperti sejuk. Apatah lagi jika 25º. Ramai yang demam memanjang barangkali. Selsema terus menerus. Sekarang ini bulan Februari hingga Mac setiap tahun pasti suhu agak melebihi paras biasa. Bahang panas sangat terasa. Hujan juga. Namun panasnya tidak berkurangan.   


Pokok jati di tepian lebuhraya utara-selatan ini mula menguning daunnya. seakan-akan fall sudah bermula.


Pokok ini saya tidak tahu namanya. Namun jika diamati daunnya mula memerah.


Daun pokok getah ini kuning jingga. Orang di Australia barangali keliru di mana daun kuning ini.

Pokok getah juga tetapi daunnya merah. Bagi yang pernah ke Utara atau ke Selatan tentu nostalgik melihat semua warna-warna ini. Ada di negara kita. Cumanya yang ada warna. Suasana dan iklim atau suhunya tiada. 
Ramai antara kita mungkin tidak mengambil pusing akan hal ini. Ada sesuatu yang kekal dalam pemerhatian saya. Ada yang kekal dalam ingatan saya. Bulan-bulan yang saya sebutkan  itu ada petandanya yang tersendiri. Awal tahun yang panas ada dedaun yang merah. Ada yang menguning. Banyak juga jenis pokok yang begitu. Tetapi yang paling banyak memerahnya ialah  daun pokok getah. Menguningkan sebahagian daripadanya. Di kampung senario sebegitu mungkin terlalu biasa. Semua orang selalu terlepas pandang. Tiada siapa yang mengambil apa-apa iktibar. Tiada apa-apa cerita di sebaliknya. Memandang tanpa nampak. Melihat tanpa tahu. Tiada penelitian. Tiada pengamatan. Di negara-negara utara atau selatan fall menjadi sangat nostalgik. Hanya bagi yang mengalaminya sahaja merah dan kuning daun getah memberikan impak hati dan nurani. Mengimbau masa-masa lalu yang telah lama berlalu.

Ingatan saya kembali ke zaman kanak-kanak saya dahulu. Tahun-tahun 50an dan 60an yang  sudah lama berlalu. Agak terlalu lama tersimpan beku. Masa yang telah menghilang. Waktu yang telah berada di  balik tabir zaman. Detik-detik yang tiada lagi waktunya. Tetapi saya masih ingat. Pada waktu-waktu beginilah saya berada dalam suasana yang lesu. Cuaca panas tentu memalaskan. Hangat dan merimaskan. Lembab yang melekitkan pakaian. Apatah lagi kain murah yang termampu dibeli dan dipakai orang kampung yang kemampuannya jauh dari kekurangan orang berada. Pergerakan menjadi lambat dan lembam. Di  keliling  rumah berserakan daun getah yang berwarna-warni. Kering dan akhirnya mereput. Hilang bahagian-bahagian yang pernah mengandungi stomata. Yang memungkin fotosintesis. Yang tinggal hanyalah kerangka yang merupakan jalur-jalur aliran yang bercantum-cantum membentuk daun.

Tentu sukar untuk mengerti kerana sekarang ini pokok getah semakin berkurangan. Tanaman kontan seperti kelapa sawit menguasai pertanian. Dari Johor ke Kedah saya melihat kelapa sawit. Cuma di Utara di bukit dan bukau masih tertegak pokok getah. Di pamah masih hijau dengan padi. Usaha R.N. Ridley masih dihargai lagi. Tidak hanya di Kuala Kangsar kita melihat pokok getah. Pokok getah masih banyak juga dipelihara.  Di kampung masih ada yang bergantung kepada getah. Sekarang ini harganya agak tinggi. Bertambah rezeki pekebun kecil. Namun begitu menoreh bukan lagi suatu kemahiran yang menyeluruh.  Waktu remaja saya dahulu sukar mencari orang yang tidak pandai menoreh. Yang dewasa menoreh. Yang muda menoreh. Yang lelaki menreh. Yang perempuan juga menoreh. Itu penghidupan orang di kampung saya. Kebergantungan yang tiada gantinya. Ada kerja lain sebagai sambilan seperti mengambil upah menebas. Atau membuat rumah. Atau menggali parit. Selain itu yang diushakan hanyalah bercucuk tanam di sekeliling rumah. Untuk makanan sendiri. Subsistence living.

Apabila daun-daun getah berubah warna. Warna cantik yang memerah dan menguning. Ada sedikit kesedihan menusuk hati. Saya melihat betapa lesunya arwah ibu saya melayani fikirannya. Mengapa tidak. Sewaktu daun getah berwarna dan bergugurn inilah hasil getah paling minimum. Getah menyusust. Hendak menoreh terasa malas. Hendak memungut susu getah lagilah malasnya kerana susunya semakin kering. Selalunya getah dua keping yang besar dan tebal. Apabila dedaun luruh kepingannya mengecil dan menipis. Tentu sahaja hasil jualannya merosot. Mungkin hingga 40%. Ketika itu bercatulah makan. Mengikat perut. Mengecutkan selera. Anak kampung tiadalah karenahnya. Makan apa yang ada. Ditampung agaknya dengan makan pisang masak. Dimakan mentah.  Boleh juga digoreng dengan minyak kelapa buatan sendiri. Atau rebus barangkali. Begitulah ubi yang direbus bercecahkan sambal tumis. Atau ikan masin. Keladi juga ada. Keladi selatah paling banyak direbus dan dimakan dengan parutan kelapa yang dibubuh sedikit garam dan dimaniskan dengan gula. Buah-buahan di sekeliling rumah menjadi penawar duka lara dek kemiskinan. Benar-benar survival.

Itulah cerita lebih setengah abad yang lalu. Lalu kita merdeka. Ada janji untuk memperbaiki keadaan. Menghapus kemiskinan. Meningkatkan keindahan kehidupan yang bersalutkan madu kemewahan. Setelah lebih setengah abad masih banyak yang belum terlaksana. Orang dahulu sudah tiada. Tidak merasa keindahannya seperti yang dicita. Orang sekarang ramai juga yang tidak merasakan janji indah itu. Kehidupan tidak seperti yang dicita-citakan. Kemiskinan masih seperti dulu juga. Masih ramai yang di bawah. Merasa kesusahan yang berlarutan. Ada yang di rumah kotak. Di rumah buruk. Yang melara dan melarat. Cerita dedaun berwarna merah dan kuning ini saya simpan dalam lipatan hidup saya. Mereka yang pernah mengalaminya tentu akan nostalgik. Anak-anak generasi sekarang bacalah catatan orang-orang dahulu. Bahawa hidup datuk dan nenekmu bukan seindah sekarang. Bukan air dalam besi.  Bukan petik di dinding menyala lampu. Bukan gambar dalam kaca. Bukan bercakap dari jauh. Masa lalu yang selalu pilu. Yang kita tinggalkan untuk maju ke hadapan. Terus belajar untuk memperbaiki diri. Diri kita sendiri bukan orang lain. Kehendak kita tidak pernah sama.

7 comments:

  1. Assalamualaikum... tuan haji di US pun sekarang ni isu cuaca yang luar biasa juga. Winter kali ni digelar 'warm winter'. Salji turun sekali sekala dan tak tebal. (Di DC baru 3 kali turun salji) Matahari memancar dengan terik sekali. Walau bagaimanapun, sejuk tetap sejuk hingga mencengkam ke tulang hitam.

    ReplyDelete
  2. Waalaikumsalam. Pengamatan kita tentu mengajar bahawa dunia dan alam ini semakin tua. Banyak tanda-tanda yang Allah tunjukkan supaya manusia sedar dari lamunannya. Pemanasan global hanyalah suatu tanda mudah bagi Allah. Kun fayakun. Kita yang seharusnya mengambil ingtan. Pasti akan kembali kepadaNya. Fitrah dan ajalnya begitu.

    ReplyDelete
  3. Salam Tuan.

    Saya cadangkan tuan bukukan tulisan blog ni. Ia sangat-sangat menarik untuk dibukukan. Saya akan jadi pembeli pertama.

    Faridah Ghazali

    ReplyDelete
  4. Waalaikumsalam. Terima kasih memberi cadangan. Perancangan sudah ada. Sedang edit sedikit-sedikit. InsyaAllah bila tiba masanya nanti saya hebahkan.

    ReplyDelete
  5. assalamualaikum tuan. usia saya mungkin sebaya anak2 tuan, namun saya amat mengerti nostalgia daun getah luruh. saya juga anak seorang pekebun getah dan pernah hidup di rumah yg terletak dalam kebun getah. ada hubungan yang cukup kuat antara saya dan nostalgia itu. setiap kali melalui kawasan kebun getah, perasaan saya akan terusik dek kenangan dulu. Allah itu Maha Agung, dia yang mengatur perjalanan makhlukNya. dan jalan saya cukup indah walaupun penuh duri. saya amat mensyukuri nikmat itu. tulisan tuan ini mengingatkan saya kembali betapa indahnya suasana itu. ditambah pula dengan angin yang meniup menjatuhkan helaian daun2 getah kuning. memang nostalgik. namun kini tugasan membataskan waktu untuk saya menikmati suasana itu lagi. benar kata tuan, hanya yang pernah mengalami akan merasa.

    ReplyDelete
  6. Waalaikumsalam. Kadang-kadang nikmat yang kita perolehi tidak menjanjikan nikmat sebenarnya. Pengalaman mengajar kita terlalu banyak. Benar hanya pernah melaluinya sahaja yang maksimum nikmatnya.

    ReplyDelete
  7. Nicely done article and interesting information. Thanks for your hard work on such a topic.
    legal firm in kuala lumpur

    ReplyDelete