Saturday, December 24, 2011

Anak Lelaki dan Anak Perempuan

Orang tua-tua berkata, sekawan lembu mudah dijaga, anak perempuan seorang sukarnya hingga tidak terkata. Itu kata orang dahulu. Orang sekarang sudah tidak memandang lagi ke belakang. Menoleh sangat payah. Mereka tidak sudi lagi mendengar ungkapan-ungkapan yang nostalgik. Mereka merasa sudah terlalu terkehadapan. Saintifik dan bukan bahasa melankolik. Bahasa puitis tidak masuk dalam pertimbangan. Memang orang dahulu tidak banyak ragamnya. Yang mereka pegang ialah nilai hidup. Nilai agama. Nilai-nilai yang membentuk norma Melayu. Norma hidup damai. Aman. Selesa. Puas. Santai. Nilai harga diri yang tinggi bersalut budi bersendi maruah. Tanda aras aib dan mala petaka. Anak perempuan selalu terdedah kepada ancaman yang berbagai rupa. Fitnah terhadap mereka terlalu banyak. Zaman dahulu prinsipnya berbeza. Falsafahnhya berbeza. Paradigmanya berbeza. Sekarangpun berbeza tetapi dalam persamaan. Cuma perspektifnya diberi nilai berbeza. Perspektif agama tidak pernah berubah. Orang meletakkannya di aras yang berbeza. Nampaknya semakin lama semakin menurun ke bawah. Jatuh dari satu anak tangga hingga beberapa anak tangga di bawahnya.

Pada zaman saya kecil, orang kampung masih serong memandang orang bandar. Ada konotasi negatif yang dianut orang bandar. Selalunya bahasa. Orang bandar speaking. Bercakap dalam bahasa Inggeris. I dan you sangat lumrah. Pakaian sudah tidak tradisi lagi. Gaun dan skirt. Lepas bebas. Tudung banyak yang disimpan di almari. Hanya jika ke pejabat agama, tudung dipakai. Hanya jika ada kematian barulah tudung dicari. Sebaliknya orang kampung dilihat sangat tradisi. Kolot kata orang bandar.  Hidup seperti tiada seri. Mati. Minda beku. Namun hidup di kampung terasa damainya. Rukun sesama sendiri. Makan minum mencukupi. Banyak yang ditanam sendiri. Cumanya hidup terlalu sederhana. Banyak mudah dari susuhnya. Garapan fikiran tidak tinggi. Sekadar untuk hidup mudah. Tidak banyak karenah. Dalam pada itu mereka dekat dengan agama. Malamnya psti terdengar anak-anak mengaji al-Quran. Yang muda bermain kompang atau belajar berzanji. Majlis di kampung penuh syahdu. Irama malam banyak yang menyentuh rohani. Dalam persekiaran itulah anak muda dipelihara. Ank gadis dipingit untuk dipersembahkan kepada suaminya dalam keadaan lengkap dan suci. Jaminan turun temurun dalam keluarga yang selalu menjaga budaya. Menjaga nilai diri. Harga diri yang mahal. Terlalu mahal.

Zaman berlalu. Masa beredar. Usia memanjat. Persekitaran berubah. Paradigma berubah. Positif atau negatif perlukan spektrum yang berbagai pula. Standard siapa yang benar perlu dilihat dan ditapis kesemuanya. Sekarang ini keadaan sudah terbalik.  Orang bandar lebih banyak yang menuntut agama. Masjid dan suraunya lebih makmur. Wanitanya lebih ramai yang bertudung. Terutamanya wanita yang muda.  Kelas agama banyak di sana sini.  Yang berada ramai yang menginsafi diri. Banyak harta yang diinfaqkan.  Tetapi bandar ada dua wajah. Wajah yang positif dan wajah yang negatif. Mereka yang lebih terpelajar lebih giat ke arah agama. Malangnya ada segolongan lain yang lebih membentuk hidup negatif. Samalah bila saya kembali ke kampung. Anak-anak kampung lebih bandar dari anak bandar. Tetapi hanya dari segi berpakaian. Gadis kampung berjean ketat. Berkemeja-T sendat dan singkat. Rambut aneka fesyen dan pastinya payah hendak ditudung.

Ibu bapa ramai yang tidak mengerti pilihan. Anak-anak terlalu diberi pilihan. Sangat ironis sebuah keluarga yang kontras. Si nenek bertudung lingkup. Si emak bertudung labuh. Si anak dara terdedah segala aurat. Nilai Melayu hilang entah ke mana. Nilai Islam tercampak jauh. Nilai Timur terbang melayang. Itu anak kampung. Anak orang kampung saya dahulu. Yang datuk dan neneknya saudara mara saya. Mungkin sepupu dan bau-bau bacang dengan saya. Berubah sungguh keadaan. Bukan 180º. Sudah jadi 360º. Pemisah antara bandar dan kampung sudah tidak kelihatan lagi. Pembandaran sudah sampai di kampung. Malangnya yang sampai bukan yang positif. Alangkah baiknya jika gah dengan kecemerlangan akademik. Menjadi saintis yang layak menerima Nobel Prize. Usahawan yang dermawan. Pendidik yang mendidik. Hakikatnya yang tinggal di kampung hanyalah saki bakinya. Anak-anak yang cemerlang berada di sekolah berasrama. Berada di IPT. Bekerja di bandar lain. Di negeri lain. Di kuala Lumpur paling ramai. Kampung kekal dengan kekampungannya. Zaman tidak banyak merubah keberadaannya.

The crux of the problem is freedom. Kebebasan yang terlalu mutlak.  Berjaya Barat memperdaya orang Islam Melayu Timur menganut falsafah kebebasan mereka. Acuannya mungkin hak asasi. Kebebasan bersuara. Kebebasan individu. Rujukan orang kita ialah media. Artis. Pada hakikatnya mereka bukan semua layak dirujuk. Hanya yang terpilih sahaja. Kesemuanya tidak boleh dirujuk kecuali mereka memang berhak dirujuk. Orang akademik sangat maklum, akhbar  manapun tidak boleh dirujuk untuk hal-hal yang berbentuk akademik. Tidak mencapai tahapnya. Terlalu nipis nilai akademiknya.  Namun itulah yang orang kampung faham. Akhbar adalah benar. Media elektronik khususnya TV adalah benar. Majalah adalah benar. Sebenarnya bukan anak-anak yang melabelkan benar. Ibu bapa yang menentukan kedudukan itu. Ibu bapa membenarkan anak-anak menjadi seperti orang-orang yang mereka rujuk. Kesilapan yang tidak pernah hentinya. Berkait dan menjerumus ke dalam jurang yang semakin dalam.

 Kebebasan menjerumuskan anak-anak gadis ke ruang larangan. Ke sempadan yang terlarang. Had-had yang sepatutnya menghalang. Akibatnya selalu sangat sukar dimengerti. Nilai agama hilang. Nilai maruah hilang. Harga diri entah di mana. Seks bebas dicuba hingga merana. Menghiris halus hingga berkecai nilai-nilai diri dan agama. Bangsa telah lama cuba dibangun tetapi tiang serinya selalu patah. Banyak akbiat lara di mana-mana. Bayi-bayi yang tidak berdosa di bungkus patah bunuh buang merata. Beritanya jadi lumrah. Akhirnya tiada apa-apa yang dirasa lagi. Semua orang dewasa hilang wibawa. Ibu bapa sudah lama gagal dan kecewa. Anak-anak kita sudah terlepas jauh dan jatuh ke bawah. Merempit. Membunuh. Meragut. Memperkosa. Sebut semua yang namanya maksiat diteroka. Dibudaya. Menjadikannya semua perkara biasa. Tiada lagi yang cela. Tiada lagi yang hina. Nilainya sudah berubah. Yang hina dipandang biasa. Yang cela dianggap tiada apa.

Siapa sebenarnya yang menentukan nilai jika tidak ibu dan bapa. Lihat anak lelaki Melayu Islam yang hancur lumat. Mereka terjebak dalam semua aktiviti yang menjejas nilai bangsa. Nilai agama. Nilai Melayu. Nilai budi. Nilai sopan santun. Nilai kelembutan. Semuanya punah hingga tiada lagi yang dahulunya dibanggakan. Bangsa Timur yang tegak berdiri membesarkan Sri Vijaya. Yang menjaga martabat Melaka. Kelemahan yang telah lama rupanya. Kelemahan yang telah diperhati dan mudah dikalah patah. Yang telah dikesan Portugis. Yang dimamah Belanda. Yang manipulasi Inggeris. Yang cuba dilunakkan Jepun. Walaupun akhirnya dapat berdiri sendiri, orang kita tidak betah membina keagungan. Ramai yang tewas dengan gemerlapan kaca yang disangka intan. Bagaimana lagi kita harus membina bangsa. Membina kerangka hebat dan agung. Perlukah semuanya dikorbankan. Kemajuan at the expense of all heritage. Our root.  Ke mana hendak ditoleh. Ke mana hendak diharap lagi. Hanya ibu bapa yang harus kembali. Mengembalikan semua yang hilang.

Anak lelaki bukan jaminan. Anak perempuan bukan lambang kelemahan. Kedua-duanya penyambung warisan keluarga. Warisan bangsa. Warisan agama. Warisan budaya. Warisan segala yang berbudaya. Di bahumu ibu dan ayah kelangsungan segala yang diharapkan. Nantikan siri terakhir.

Friday, December 23, 2011

Mata Yang Memata-matai

Wawasan 2020. Terang dan jelas. Sangat terang dan jelas. Tetapi wawasan kita bukan setakat 2020. Itu hanya titik masa yang akan sampai bagi yang masih hidup ketika itu. InsyaAllah tarikh 1 Januari 2011 akan berlalu seperti hari-hari biasa setiap hari. Tiada bezanya. Matahari dari Timur. 24 jam sehari. Ada siang dan ada malam. Ada rezeki nampak bulan. Jika tidak gelap begitu. Terangi dengan lampu elektrik. Pernahkah kita sebagai ibu bapa melihat dengan terang. Ramai yang boleh berbuat begitu. Semuanya dilihat jelas. Tiada yang terlindung.  Itu pada pandangan kita. Keyakinan kita. Namun dalam pengalaman kita terlalu banyak hal-hal yang terlindungan dari perhatian kita. Tidak dilihat walaupun dipandang. Seperti sewaktu kita memandu, ada blindspot (pandangan haizat) yang selalu membuatkan kita terlepas pandang objek di kana  dan di kiri kita. Malah kadang-jadang yang di hadapan mata  kita tidk melihatnya dengan saksama. Menjadikan kita salah jangka. Dekat dilihat jauh. Laju dilihat perlahan. Kerananya kita selalu membuat keputusan yang membahayakan diri. Tidak selari dengan keperluannya. Keselamatan terjejas. Kejayaan terganggu. Kebahagiaan terbantut. Banyak lagi musibah kerana kita mengabaikan pentingnya menjaga blindspot tersebut. Pada mata biasa ianya tiada apa. Pada pandangan biasa tiada besar masalahnya. Namun kepada ibu dan bapa jika blindspot ini tidak dijaga akan terlalu banyak musibah yang akan mendatang. Memberikan segala keburukan yang tidak pernah dirancang. Tidak pernah diundang. Datang menerpa kerana kelalaian menjaga blindspot.

Dalam keluarga, blindspot kita mungkin anak-anak remaja. Kita tidak berapa memandang dengan benar. Tidak teliti kerana terlalu yakin semuana dalam keadaan terkawal. Kita melihat yang lain. Yang pada pendapat dan keutamaan kita adalah lebih berhak. Itulah kesilapan kita. Kita sibuk dengan  kerjaya. Bagi bapa semuaya diserahkan kepada ibu. Ibu pula sibuk dengan kewanitaannya. Sibuk juga hingga tidak melihat blindspot yang mengancam keluarga. Yang membahayakan keluarga. Semuanya boleh porak peranda kerana blindspot yang tidak selalu diambilkira. Kita selalu take things for granted. Segalanya akan selamat.  Kita menjadi tidak peka dengan perubahan. Tidak perihatin dengan kelainan. Tidak kisah dengan apa yang berlaku di depan mata. Yang selalu dengan mudah kita terima sebagai biasa.  Tiada hal. No big deal. Musibah yang orang lain alami kita andaikan tiada kena mengena dengan kita. Kita tidak melihat dan merenung. Tidak belajar untuk mengambil iktibar. Belajar dari kesilapan orang lain. Mengambil pengajaran dari apa yang dilihat. Yang didengar. Dinding dan tembok tidak kita bina. Perisai dan penahan tidak kita dirikan. Bahawa sesungguhnya anak-anak kita sentiasa terancam dengan dunia yang mengancamnya. Antara yang besar ialah pergaulan bebas.

Janganlah tertipu dengan kebebasan. Jangan terpedaya dengan ilusi kebebasan itu. Anak-anak kita tidak tahu erti kebebasan. Jangan. Saya yakin benar mereka tidak menghargainya jika tidak memahaminya. Ibu dan bapalah yang harus berusaha mengertikan. Bukan orang lain. Kebebasan hanyalah momokan. Hantu yang tidak dapat dilihat lembaganya.  Maka terbukalah hati ibu. Hati bapa. Ini zaman anak- anak. Zaman ibu dan bapa sudah berlalu. Dahulu mereka sewaktu anak-anak tidak menikmati kebebasan itu. Biarlah anak-anak mendapat habuan mereka. Satu keputusan yang besar silapnya. Sangat-sangat silap. Kebebasan bukan untuk diperturunkan. Bukan warisan. Bukan pesaka. Bukan hadiah. Ia adalah sesuatu yang hak. Hanya yang berhak sahaja memiliki kebebasan seperti yang dituntut anak-anak.  Pendapat mereka boleh dirujuk tetapi bukan kebebasan yang dihadiahkan. Terlibat dengan hidup bangun keluarga adalah suatu permainan untuk menjadi dewasa yang bertanggungjawab. Tetapi sekali lagi mereka tidak boleh diberi kebebasan. Ibu bapa hendaklah selective dalam memberi erti apa yang namanya kebebasan.

Ingattak sewaktu anak-anak kecil dahulu. Sewaktu selalu dibelai kerana kecilnya. Mongelnya. Waktu mereka sekadar boleh duduk. Mengesot. Merangkak. Bertatih. Berpapah. Kita yang mandikan. Kita yang bersihkan najisnya. Kita yang lapkan badannya. Kita yang pakaikan bajunya. Kita yang tidurkan. Kita yang suapkan makannya. Dalam sehari banyak kali kita periksa kulit dan badannya. Takut ada gigitan nyamuk. Takut ada ruam. Takut ada luka. Takut ada kotoran. Menjadi lumrahkan kepada kita. Namun masa dan usia anak yang semakin membesar rupanya mengendurkan keperihatinan kita terhadap mereka. Kita surut mengundur. Kita merasakan yang kita telah memberikan yang terbaik untuk mereka. Kita telah didik mereka dengan sangat sempurna. Ketika itu kita tidak lagi menyentuh kulit dan tubuhnya. Tidak melihat serangan nyamuk atau lalat. Tidak lagi ingin tahu jika ada gigitan lipan atau jengking. Kerana itu kita lalai. Kita leka. Kita alpa. Sekali lagi kita take things for granted. Kita rasa bahawa anak-anak kita tahu menjaga diri. Tahu menggunakan akal. Mereka telah diberi ajar. No. We are wrong. Kita membuat kesilapan yang sangat, sangat besar. Anak-anak sebenarnya tidak pernah belajar seperti yang kita harapkan. Mereka pada hakikatnya dibuai khayalan hingga terpana dengan ibu bapa mereka. Mereka tidak pernah belajar untuk melaksanakan apa yang diajar. Apa yang dididik. Apa yang selalu dipertaruhkan sebagai warisan keluarga. Mereka mejnadi makmum yang terlalu perlu dibimbing. Perlu selalu diimami.

Jagalah dari kealpaan itu. Bangunlah untuk melihat semula peranan ibu bapa terhadap anak seperti sewaktu mereka kecil dahulu. Tetapi dengan ubahsuaian yang tertentu.  Ibu selalulah lihat semula anak-anakmu. Bapa bantulah ibu untuk mempastikan kesejahteraan anak-anakmu. Bagi anak perempuan ibulah yang paling dekat. Lihat semula tubuh badan mereka. Selagi mereka belum bersuami pastikan setiap hari luangkan masa untuk memerhatikan mereka. Menjengah tubuh badan mereka. Ibu yang harus selalu melakukannya. Jangan terlupa. Jangan tidak ambil peduli. Anak itu maruahmu. Harga dirimu. Arangmu. Pastikan dia tidak menconteng mukamu. Biarlah bersusah payah supaya tidak datang aib di kemudian hari.   Bersusah payah dahulu untuk bersenang hati kemudian. Anak-anak perempuan sangat perlu dijaga. Kebebasan seharusnya tidak ada untuk mereka. Mereka perlu dibimbing. Dipantau. Dijaga. Dilindungi. Pada kebanyakan masa mereka dipingit. Hanya yang berhak sahaja layak memilikinya.

Anak perempuan bukan lagi yang lemah. Yang pemalu. Yang selalu buntu. Mereka sudah banyak terdedah dengan berbagai keburukan. Sedikit sebanyak ada pengaruhnya dalam diri mereka. Pandanglah. Amatilah. Siapa rakannya. Gaya hidup mereka. Keluarga mereka. Yang penting solat mereka. Ke mana mereka pergi. Apa mereka lakukan pada waktu lapang. Banyak lagi soalan-soalan besar yang mesti dicari jawapannya. Besar bukan kebijaksanaan. Anak tetap anak. Sebelum mereka dilepaskan keluar dari rumah ada alasan besar yang terlebih dahulu membenarkannya. Pertamanya apabila mereka menikah. Kedua apabila mereka mula bekerja. Yang pertama mereka sudah menjadi tanggungjawab suaminya. Sudah menjadi hak orang. Yang kedua  tanggungjawab keluarga. Tanggungjawab masyarakat. Namun selagi mereka belum berumahtangga, 100% diri anak itu tanggungjawab ibu dan bapa. Khususnya tentulah bapa.

Jadual harianya dipantau. Rakannya dipantau. Perginya dipantau. Segalanya tentang anak perempuan adalah tanggungjawab ibu bapa. Akan bersambung.

Tuesday, December 20, 2011

Tanggungjawab Yang Perlukan Jawapan

Baru-baru ini diberitakan bahawa ramai remaja kita yang mengalami kecelaruan fikiran. Mereka bertingkahlaku di luar norma. Tidak mengenal yang mana hak dan yang mana bathil. Lalu timbullah kerisauan yang memanjang di kalangan generasi tua. Kerisauan yang menghunjam perasaan tentang kebolehtahanan generasi masa hadapan menghadapi cabaran-cabaran yang hebat mendatang. Jika hendak disenaraikan terlalu panjang pula. Mungkin sekadar cukup untuk mengatakan bahawa cabaran teknologi terlalu keras dan deras. Ramai yang terpukul, terpantul dan kantul kerana peredaran zaman yang terlalu pantas. Perlukah kita menuding jari? Saya sendiri yang anak-anak sudah membesar, sudah berkerjaya dan berkeluarga berkeyakinan bahawa ibu bapa adalah benteng pertama dan benteng terakhir yang memperisai anak-anak. Yang boleh meyelamatkan anak-anak. Jika ibu dan bapa tidak mengambil tanggungjawab tersebut maka bolehlah kita katakan bahawa  kita dan generasi kita tiada harapan lagi.

Dari siapa anak-anak kita belajar? Dari guru? Benar. Dari rakan? Benar? Dari media? Benar? Jarang kita tanya peranan ibu dan bapa. Bukankah mereka berdua guru pertama anak-anak? Bukankah mereka yang hampir 24 jam bersama anak-anak mereka? Bukankah mereka yang pejam dan celik anak berada di depan mata? Masih ingat kata orang tua, apabila kita menudingkan jari ke arah lain dengan jari telunjuk kita ada empat jari lain yang mengarah kepada kita. Ini bermakna dalam banyak hal kita sebagai ibu dan bapa banyak salahnya. Berganda-ganda salahnya. Banyak lemahnya. Banyak kekurangannya. Banyak idak tahunya. Siapapun yang kita salahkan akhirnya kembali kepada kita kerana kita adalah sebahagian dari orang lain. Sebahagian dari masyarakat. Sebahagian dari insan-insan yang bernama manusia. Kedudukan kita sangat dekat dengan anak. Bukan lain. Yang lain adalah pelengkap kepada yang kita laksanakan. Yang kita standardkan. Kualitinya mestilah dari kita. Bukankah bangsa itu dikenal dari ibu bapanya?

Kita ada peranan. Kitalah yang berperanan mengubah persekitaran. Mengubah masyarakat. Ahli masyarakat yang pertama kita ubah ialah anak kita sendiri. Kita ada kuasa mengubah mereka kerana mereka anak-anak kita. Sebelum mereka  diberi hak kita ada hak mutlak ke atas mereka. Bukankah kita yang mencorakkan mereka. Asal mereka bak kain putih. Olahan kita untuk menjadikan mereka Islam atau bukan. Baik atau tidak. Cemerlang atau tidak. Berjaya atau tidak. Anak-anak kita seperti dalam sebuah kilang. Mereka menjadi input. Kita memproses mereka. Tentu sekali ada ramuan agama yang kita tambahkan. Ada ramuan nilai yang kita campurkan. Ada ramuan akhlak yang kita gilapkan. Banyak lagi ramuan-ramuan kemanusiaan yang kita nilaitambahkan. Tetapi kita tidak harus lupa bahawa setiap produk yang kita keluarkan mestilah memiliki standard yang lebih tinggi dari yang diperlukan. Namun kosnya tidak perlu dinaikkan. Kosnya adalah kepuasan berganda kerana melahirkan produk yang berkualiti tinggi. Di hujung sana kita ingin melahirkan produk yang bernama anak yang berimpak tinggi. Yang sumbangannya kepada ummah sangat mumtaz. 

Maka ibu dan bapa adalah guru yang berwibawa. Guru yang murabbi. Mereka adalah pengurus yang berautoriti. Mereka adalah imam yang diberi kepatuhan tinggi. Mereka adalah jurutera yang berintegriti. Mereka adalah abid yang tinggi nilai kemanusiaannya. Anak-anak yang dilahirkan dari rumah kita memenuhi tuntutan agamanya. Tuntutan masyarakatnya. Tuntutan keluarganya. Tuntutan alam sekitarnya. Peranannya mencakup agama. Pendidikan. Ekonomi. Begitu juga bidang-bidang keilmuan yang lain. Mereka ditugaskan untuk memartabatkan diri mereka. Anak-anak mereka. Jiran tetangga mereka. Sanak saudara mereka. Masyarakat mereka. Negara mereka. Seluruh kemanusiaan yang ada di sekeliling mereka. Anak-anak yang melangkah keluar dari rumah kita adalah produk terbaik yang pernah kita lahirkan. Anak-anak yang masuk ke dalam masyarakat adalah anak-anak yang boleh duduk tinggi.  Boleh ke tengah dan ke tepi. Boleh duduk sama rendah dengan siapa sahaja khalayak yang bersama mereka.

Alllahuakbar! Saya merindui aspirasi saya sendiri. Sesudah lama ditinggalkan Munsyi Abdullah kita masih ramai yang bercawat ekor. Telah berates tahun Munsyi Abdullah menegur orang Melayu. Rupanya masih banyak yang perlu ditegur. Diperingatkan. Kritikan Abdullah sangatlah pedasnya. Pedas sahaja tidak cukup jika kit atidak berusaha melunakkan kepedasannya itu menjadi senjata kita untuk menjadikannya sesuatu yang menguntungkan. Member kebaikan. Setelah ditinggalkan penjajah kita masih lagi dilabel malas. Dunia mengutuk orang Islam sebagai bodoh. Pengganas yang tidak perlu dikasihani. Ada misinterpretation. Berlaku Islamofobia. Kita menjadi manusia yang tidak dimengerti. Ada mistri yang melingkari kita. Kepompong yang kita bina semakin menebal. Sedangkan yang akan lahir dari kepompong itu belum tentu rama-rama yang cantik. Yang terbangnya indah. Yang menjadi suci kerana hanya menghisap madu bersih yang Allah turunkan waktu dinihari yang sejuk penuh dengan bersih suci. Ulat beluncas yang menyimpan khazanah alam yang indah bila menjadi rama-rama. Memenuhi ruang angkasa dengan indah dan serinya. Mewarnai segala yang dihinggapi. Bersamanya ia menaburkan debunga yang akhirnya berkhidmat dan berperanan menyambung zuriat alam flora yang meluas di muka bumi.

Lihatlah anak-ana kita dengan renungan jauh. Melihat visual yang berdekad dari sekarang. Dalam zaman mereka sewaktu kita sudah tiada. Soalan pertama kita ialah adakah mereka berhak mencipta kehidupan yang wajar untuk mereka? Untuk anak-anak mereka. Untuk masyarakat mereka. Soalan kedua, adakah mereka berhak dan berkeupayaan untuk menyumbang ke arah menambahbaik apa-apa yang kita tinggalkan? Apakah sumbangan mereka kepada agama? Kepada Negara. Kepada umat. Jika kita ingin positif maka kita wajib berperanan memproses mereka menjadi produk yang berkualiti tinggi. Prestasinya berimpak tinggi. Wawasannya dunia dan akhirat.  Tiada yang baik kecuali yang baik. Anak sebagai input bersih dan tidak tahu apa-apa. Ibu bapa sebagai guru memulakannya dari rumah. Dari celah ketiak ibu. Dari ramasan jejari ibu dan bapa. Dari belaian keduanya. Dari keperihatinan keduanya. Dari cita-cita dan impian keduanya. Dari usaha dan aspirasi keduanya. Dari doa keduanya. Yang dipanjatkan agar anak-anak menjadi imam. Menjadi anak-anak solehah.

Rakan adalah guru kedua. Jiran tetangga adalah guru ketiga. Guru adalah guru keempat. Masyarakat adalah guru kelima. Media massa guru keenam. Cuba teliti balik urutan itu. Seharusnya ibu bapa boleh mendidik anak-anak supaya banyak membetulkan persepsi. Membetulkan paradigma. Membetulkan pemikiran yang rasional. Yang tinggi kewarasannya. Untuk apa dia belajar. Untuk apa dia hidup. Untuk apa dia menyatu dengan masyarakat. Dengan alam sekelilingnya.   Dia ada peranan. Dia ada misi untuk dilaksanakan sebagai individu. Sebagai anak. Sebagai suami. Sebagai isteri. Sebagai imam. Sebagai ahli masyarakat. Sebagai penganut agama yang benar. Anak-anak kita tidak akan pandai melaksanakan semua tutuntutan ke atas dirinya tanpa belajar terlebih dahulu. Kita, kita ibu dan bapanya seharusnya memulakannya dahulu. Maaf. Kursus praperkahwinan terlalu kecil untuk menjadikan kita ibu bapa yang berwibawa. Terlalu sedikit. Kursus-kursus sebegitu hanya memenuhi keperluan syarat. Tetapi bukan penanda aras kejayaan ibu bapa ke atas anak-anaknya. Tidak ramai pasangan muda yang bersedia mengikuti bimbingan untuk mendidik anak. Sibuk dengan kerjaya. Akhirnya nanti sibuk dengan karenah anak. Alangkah baiknya jika semasa masih lapang belajar untuk mengurus anak. Ilmu itu pasti bermanfaat kerana persediaan awal itu selalu membantu dalam banyak hal.

Saya selalu kecewa apabila mendengar kanak-kanak yang lucah dan kesat bahasanya. Yang lagaknya terlebih ajar. Pakaiannya terlalu dewasa berbanding dengan usianya. Khususnya yang perempuan. Tingkah lakunya tidak lagi melambangkan anak Islam. Tidak juga anak Melayu. Hilang segala budi. Lenyap segala kesantunan. Hormat dan tunduk yang bukan lagi di hadapan orang yang berumur lebih banyak dari mereka. Jika kita kembali ke rumah kita melihat sesuatu yang malang. Ibu dan bapa hilang kawalan. Mereka kehilangan hak untuk mendidik. Anak-anak hilang hormat. Tiada siapa yang lebih besar selain dari rakan. Guru juga gagal kerana guru adalah manusia yang serupa dengan ibu bapa mereka.   Banyak yang sinonim antara guru dan ibu bapa. Mengarah, memerintah, menyuruh dan akhirnya memarah. Anak-anak tidak bebas mengeluarkan pendapat. Tidak boleh berdebat. Tidak diberi faham kedudukan  perkara. Mereka harus ditundukkan dengan kecerdikan. Dengan kebijaksanaan akal. Dengan pemikiran peringkat tinggi. Malangnya ibu bapa gagal bila berdebat dengan anak. Tiada fakta. Tiada kesampaian ilmu. Tiada pemikiran tinggi yang boleh menyanggah pendapat anak. Anak-anak selalu menang.

Anak-anak sekarang dalam lingkungan bermaklumat. Saya katakana e-anak. Maklumat yang mereka ada di luar jangkaan ibu dan bapa. Jauh melangkaui kemampuan ibu dan bapa. Ibu bapa ramai yang tidak dapat menjejak maklumat yang ada pada anak-anak mereka. Anak-anak jauh terkehadapan. Ibu bapa jauh tertinggal. Manakan mungkin ada titik pertemuan jika sedari kecil titik-titik itu tidak dipahat. Tidak dipacakkan. Tidak ditanamkan. Tidak dipertahankan. Dari rumahlah segala-galanya bermula. Sewaktu mereka mula melangkah keluar dari rumah acuan keluarga seharusnya sudah terbentuk. Sudah sedia dipersembahkan ke khalayak umum. Sudah menjadi penanda aras. Kualitinya sudah terserlah. Kita inginkan generasi terbilang. Yang cemerlang dalam segala hal. Anak-anak yang hidupnya bakal bermanfaat dan memberi manfaat. InsyaAllah.

Monday, December 19, 2011

Fall In Pittsburgh


Masa berlalu dengan pantas. Telah berlalu winter yang putih. Telah berlalu spring yang berwarna warni. Telah berlalu summer yang menghijau. Kepanasan sudah mula mengendur. Suhu naik turun tetapi turunnya semakin besar berbanding naiknya. Di England namanya autumn. Di US dipanggil  fall. Kenapa lain. Mereka yang boleh menjawab. Saya telah terangkan maksud spring. Maka  fall ada maksud yang tersendiri. Suhunya semakin turun. Falling. Mengalami sendiri sangat mengesankan. Ini bukan dari buku. Bukan dari cerita orang. Untuk mengungkapkannya sahaja tiada kata secantik bahasa. Tiada yang serupa untuk menggambarkan realitinya. Anginnya. Suhunya. Warna-warna alamnya yang memukau indah. Pertukaran sekeliling yang hanya dirasa sendiri. Dilihat sendiri. Dinikmati sendiri. Seeing is believing. Kita di Malaysia tidak banyak yang berubah. Suasana keliling hampir sama setiap masa. Hijau dan hijau. Bunga ada musimnya  juga. Tetapi bukan spring. Summer sepanjang tahun. Fall atau autumn tidak ada kecuali pada bulan Februari hingga Mac setiap tahun kita melihat gambaran fall. Dedaun getah akan menguning dan memerah. Lalu berguguran. Diganti pula dengan pucuk muda. Namun hanya daun pokok getah sahaja. Tiada yang lain. Maka suasananya tidak seindah yang pernah saya lihat.

Fall adalah waktu yang indah. Ramai juga orang jatuh cinta semasa fall. Ada kerinduan yang selalu mengusap hati. Angin yang sepoi-sepoi bahasa membawakan lagu rindu. Andy william dengan lagunya autumn leaves. Mendayu rindu kepada orang tersayang. Di US saya dan keluarga hanya sekali menikmati fall. Flora di sekeliling dilihat mula menguning pada akhir bulan September. Oktober sudah meriakkan warna-warna merah menyala. Kebanyakan dedaun menukar warnanya. Kuning di sana sini. Merah di sana sini. Di sekeliling semuanya berwarna. Dedaun yang memeriahkan suasana. Fall itu hati saya berbunga indah. Allah memberi saya kesempatan untuk menikmati kebesaranNya. Nikmat yang tidak pernah dirancang. Terlintas juga tidak pernah. Apkah lagi nikmat Allah yang hendak kita dustakan? Itulah tanya Allah dalam surah Ar-Rahman. Allah ingatkan kita berulang-ulang. Nikmat Allah sesungguhnya terlalu banayak.

Memang banyak yang dirasa lain dalam panca warna fall sebegitu. Spektrum warna yang tidak pernah dilihat di tanahair. Melihat di TV atau video atau filem atau dari imej-imej yang terpapar tidak pernah sama dengan yang dilihat mata. Yang disentuh dengan tangan. Yang disentuh dengan hati. Yang disentuh dengan perasaan. Perubahan warna yang prosesnya setiap hari. Berbulan melihat warna itu. Suhu yang semakin menurun menjadi sangat nikmat berada di luar rumah. Masih amat santai berjalan-jalan di sekeliling kota. Fall itu kami ke Point Park. Di persimpangan tiga sungai yang bertapaknya permulaan bandaraya Pittsburgh. Di situ digahkan pancutan air besar. Mercu tanda Pittsburgh. Ada ceritanya dalam entry lain. Ada college berhampiran dengannya. Ramai pelajar Malaysia di situ dahulu. Ingat Juliza Adlizan. Seorang daripada yang ramai itu. Lama kam berada berhampiran air pancut Point Park. Menikmati suasana yang tidak mungkin akan berlaku di sini. Geografi yang tidak memungkinkan. Mungkin bagi Allah. Kun fayakun. Jadilah ia.

Fall sangat nostalgik. Kuning dan merah menjadi semakin meriah. Lalu dalam hembus-hembus angin yang lembut itu sehelai demi sehelai dedaun yang berwarna mulai gugur. Jatuh di perdu. Menimbun di tanah. Meninggalkan tangkai dan ranting. Berpisah dari dahan dan pokok. Dedaun yang dahuulunya gah di atas sekarang berada di bawah. Jatuh yang tidak mungkin boleh kembali ke atas. Putuslah sudah segala hubungan. Suasan bertukar rupa. Warna-warna menjadi panaroma  yang melebar. Di atas dan di bawah warna-warna semua ada. Cuma warna yang di atas semakin menipis. Yang di bawah pada mulanya semakin menebal. Tetapi semakin pula berubah menjadi coklat, kusam dan akhirnya disimbah oleh hujan fall. Mereput dan menyatu dengan tanah. Dari tanah kembali ke tanah. Semuanya kembali ke tanah juga. Seperti kita yang asalnya gah akhirnya  bersemadi di tanah juga. Di bawah. Di tempat yang tidak tinggi. Tidak pula ditinggikan. Bila sampai masanya semuanya kembali ke tanah. Baik dedaun. Baik haiwan. Baik kita semua.

Yang tinggal ialah kenangan yang indah. Suasana yang ceria di dalam minda. Dalam hati. Ingatan yang selalu mendatang. Apatah lagi jika ada yang mencetuskannya. Melihat warna dedaun itu kembali banyak imbauan kenangan yang berlalu bersama usia. Bersama pengalaman lampau. Sesuatu yang akan disimpan. Sukar mengulanginya semula walaupun hati di dalam bagai digaru. Saya titipkan imej fall seperti yang pernah saya lalui dahulu. Yang pernah saya lihat sendiri. Mudah-mudahan ada yang akan merinduinya. Fall yang indah mengenang indah.



Photo pittsburgh cattedrale in Pittsburgh - Pictures and Images of Pittsburgh




















Cathedral of Learning menjadi focul point saya sewaktu berda di universiti itu. Perubahan di sekelilingnya mudah dilihat. Permulaan tanda-tanda fall. Masih panas tetapi dedaun sudah mula menukar warnanya.  Masih ramai yang bermandikan cahaya matahari. Basking.


Autumn in Pittsburgh, PA, USA

Sebuah rumah yang dikelilingi dedaun berwarna warni. Alangkah indahnya jika Allah merealisasikannya di sini.  Mungkin kita tidak akan betah menghadapi perubahan musim. Lihatlah keindahan itu. Berada di tempat itu tentu sahaja lebih menjanjikan keasyikan.

Red Maple Cultivar at Peak Color

Seluruh dedaun pada pokok itu bertukar warna. Dari hijau beberapa bulan sebelumnya sekarang menjadi jingga memerah.


Cherry Leaves in Full Autumn Color

Dedaun yang sudah berguguran bertindan-tindan antara satu sama lain. Perlumbaan yang tidak memenangkan sesiapa. Semuanya akan ke tanah juga. Menyatu dengannya.

Allegany State Park

Dari tepian tasik yang bening airnya. Fall mula mendatang. Membawa bersamanya masa yang berlalu pergi. Masa lain yang mendatang.

Sourwood Fall Display

Dedaun di kejauhan yang memerah.

Maple in the Gifford Pinchot

Di tepian tasik yang memang banyak di US fall menjadi amat panoramik.



Aduhai warna-warna yang ada di mana-mana.

DSCN9044

Merah.



Jingga

Ash in Beautiful Red Color

Merah lagi

Smoky Mountains Fall Color

Bukit bukau yang berwarna warni dilihat dari jauh.

Mont Tremblant in Fall

Pancawarna. Simbahan cahaya air yang membias warna awan. Diadun dengan warna hijau, kuning, jingga dan merah.

Country Pennsylvania Road

Se;pohin pokok dalam perjalanan meninggalkan musim. Untuk musim yang mendatang. Setia dengan iklim dan suhu. Zikirnya tidak pernah putus mengingati Allah.




Begitu juga pepohon yang lain

DSCN8965

Juga dedaun walau sehelaipun.


Begitulah fall yang saya tinggalkan. Yang dulunya  saya saksikan. Saya bersamanya. Menyatu warnanya. Menghidu baunya. Mengusap dedaunnya. Memahat kenangan abadi bersamanya. Jika mungkin untuk diulang lagi. InsyaAllah jika ada rezeki.

Membawa Anak Menyusur Keluarga



Hari raya sudah berlalu. Hari raya akan datang lagi. Hari untuk bertandang pergi dan untuk yang bertandang datang. Musim kenduri kahwin datang lagi. Pergi dan datang. Begitu juga hari bertunang. Hari merisik. Lazimnya dalam majlis sebegitu sanak saudara dan sahabat handai dijemput untuk hadir sama. Jika tiada maksiat maka yang dijemput dikira wajib memenuhi undangan yang ada kaitan dengan agama. Ibadat. Selalu benar saya dengar ibu bapa bersungut yang anak-anaknya tiaa minat untuk ikut sama. Untuk bersama sanak saudara yang lain. Mereka ada agenda sendiri. Zaman sudah berubah. Anak-anak melebihkan orang lain dari saudara maranya sendiri. Bukan juga sahabat handai kedua ibu bapanya. Mereka menyingkir. Mereka meminggirkan diri mereka sendiri. Ramai ibu bapa yang kecewa kerana silaturrahim antara keluarga dan saudara mara semakin mencair. Semakin menipis. Semuanya terasa menjauh. Menjarak. Mungkin ini pengaruh alam yang semakin merubah lanskap hidup berkeluarga dan bersanak saudara. Mungkin mereka yang mengamalkan adat perpatih lebih kental ikatan kekeluargaannya. Induk semang yang rapat. Dekat antara satu sama lain. Kejelekitan yang amat sangat. Dari undang ke luak hingga ke perut.

Dahulu orang Jawa seperti saya sangat sayang kepada suku sakatnya. Jauh dan dekat bukan isu. Masa bukan penghalang. Apa sahaja yang memerlukan kehadiran akan diusahakan untuk turut hadir. Kebersamaan yang selalu dicari. Dinanti. Masing-masing sangat kerinduan. Memapah ingatan lama dan baru. Merentasi berita keluarga jauh dan dekat. Sihat dan sakit yang perlu diketahui. Senang dan susah yang selalu dikongsi. Kebahagiaan ialah kebersamaan. Bersentuhan rasa dan dan darah daging talian warisan yang mengalir dalam seluruh urat saraf mereka. Ada sesuatu yang ingin saya sampaikan mengenai orang Jawa. Mungkin nanti dalam entry yang lain. Yang lebih sesuai. Kelainan kejawaan yang tidak terdapat pada kaum-kaum lain di Malaysia. Malah menurut pemerhatian saya tiada seperti orang Jawa pada bangsa lain di dunia. Mungkin tanggapan saya benar. Mungkin juga salah. Saya akan berpegang pada tanggapan itu untuk sementara waktu.

Walau apapun saya ingin kembali membicarakan tentang anak-anak. Mungkin saya tambah dengan kehadiran cucu-cucu saya. Dari kecil lagi saya bawa anak-anak saya apabila berhari raya ke rumah saudara mara. Lagipun kami dahulukan datuk dan nenek mereka. Kemudian datuk dan nenek saudara. Pada tahap kedua, bapa dan ibu saudara mereka. Pada tahap ketiga barulah orang lain mengikut kesempatan yang ada. Sebelum mula bekerja semula. Sebelum anak-anak kembali ke sekolah. Dalam keadaan sekarang sebelum mereka bekerja. Sebelum mereka kembali ke rumah mereka sendiri untuk berhari raya dengan jiran tetangga mereka pula. Alhamdulillah saya dianugerahkan Allah anak-anak yang selalu menurut kata. Bila berhari raya tiada yang tertinggal di rumah. Akan berekor-ekor mereka ikut bersama. Sejak seorang hinggalah sembilan orang.  Sekarang sudah lima orang menantu. Sudah ada 12 orang cucu. Tiada seorang yang mahu ditinggal.

Sebenarnya anak-anak hendaklah dilatih. Dibiasakan dengan hal-hal yang baik. Hal-hal yang berkaitan dengan kekeluargaan. Hal-hal yang menyangkut dengan keakraban keluarga. Usaha mendekati antara satu sama lain. Dalam hal-hal seperti itu mereka tidak boleh diberi pilihan. Memang pilihan tersangat banyak. Bukan masanya mereka memilih. Bukan waktunya. Bukan kesempatan seperti itu. Jika mereka diberi pilihan maka susur galur keluarga tidak dapat dibina. Pilihan hanya diberi apabila mereka sudah tahu nilainya. Sudah tahu pentingnya erti kekeluargaan.  Sudah pandai memberi erti. Tahu pentingnya darah daging. Tahu pentingnya susur galur keluarga. Kerana itu bertandang ke rumah keluarga adalah penting. Perlu. Digalakkan. Diberi rangsangan. Jangan dilalaikan kerana ukhwah keluarga akan luntur. Mencair bak ais di Kutub Utara.

Dunia banyak berubah. Iklim berubah. Falsafah berubah. Gaya hidup berubah. Pandangan hidup berubah. Orang bercakap tentang worldview. Bukan lagi hal kampung halaman. Kita bukan lagi warga tempat kita bermukim. Kita adalah warga dunia. Padang datar kita bukan lagi luas tetapi sebaliknya semakin mengecil. Menjadi sempit. Kita hanya sebahagian kecil dari global village. Setiap hari kita berhubungan. Satelit di angkasa memantau kita. Ada mata yang mengawasi kita. Mata buatan manusia. Kita bukan lagi manusia terpencil. Kita adalah sebahagian dari warga dunia. Yang dekat antara satu sama lain. Teknologi menghubungkan kita secara dekat. Semuanya di hujung jari. Di belakang cuping telinga. Di balik tabir mata. Dekat sangat di hati. Tetapi satu hal yang tidak boleh diubah ialah darah daging. Semangat kekeluargaan. Susur galur yang dilestarikan. Kesinambungannya yang harus memanjang. Keluarga besar yang semakin membesar. Banyak cabaran mengekalkan kehidupan berkeluarga. Yang jauh terpisah lama. Yang dekat juga boleh terpisah jauh.

Hanya pada anak-anak kita semaikan semangat yang semakin pudar itu. Ibu bapa seharusnya memiliki kewibawaan untuk mengawalselia anak-anak. Menjadi ketua keluarga yang berautoriti. Diikut dan dipatuhi. Memanjatkan kebaikan berkeluarga. Melebarkan semangatnya. Orang dahulu mencari yang bau-bau bacang. Kerana ingin dekat dengan sanak saudara. Orang sekarang menggantikan bau bacang itu dengan bauan lain yang tidak asli. Keluarga menjadi jauh. Sepupupun tidak dikenal. Apatah lagi dua pupu. Memang yang bau-bau bacang bukan lagi dalam perkiraan. Bacangpun sudah tidak dikenal lagi. Entah yang mana namanya bacang. Melihat tidak apatah lagi untuk memakannya. Kitalah yang lebih arif tentang warisan keluarga. Yang berumur. Yang dewasa. Yang tua.

Maafkan saya. Saya melihat keadaan itu agak menyeluruh. Walau bagaimanapun di kalangan mereka yang berpendapatan rendah keadaannya semakin gawat. Anak-anak memang tidak dapat dibawa bersama kerana ketiadaan kenderaan beroda empat. Motorsikal hanya terhad penumpangnya. Yang kecil mungkin tiada halangan. Apabila mereka besar sedikit mereka mula tiada tempat. Hendak menaiki bas menyulitkan. Teksi pula di luar kemampuan. Akhirnya semangat kekeluargaan itu pudar begitu sahaja. Akhirnya padam sendiri. Semangatnya tidak bernyala lagi. Patah riuk kerana ekonomi yang tidak mengizinkan. Patah semangat kerana ketidakmampuan. Hilang seri dan cahaya keluarga. Semuanya terhalang kerana lemah ekonomi. Sebab itu kita diperintahkan supaya berusaha mengadakan yang terbaik untuk keluarga. Sehabis mampu untuk mengadakan apa sahaja keperluan keluarga.  Bukan sehingga berlebih-lebih. Cukuplah sekadar cukup. Memenuhi tuntutan  keperluan berkeluarga. Ada rumah selesa. Ada kenderaan selesa. Makanan yang cukup. Yang halalan toyyibah. Sandang pakai yang menasabah kualitinya.

Semuanya itu jika diamati akan mendekatkan kita kepada keluaga. Boleh membantu yang kurang. Menambah yang lemah. Berkongsi keberadaan. Tanpa kenderaan semangat kekeluargaan boleh jadi hilang begitu sahaja. Tanpa ekonomi tiada daya membantu antara satu sama lain.  Tanpa kekuatan ekonomi banyak agenda yang tidak dapat ditunaikan. Islam mahukan kita bekerja keras untuk Islam. Untuk memartabatkannya. Untuk meninggikan darjatnya. Maka memberikan yang terbaik untuk keluarga adalah langkah pertama untuk memberikan yang terbaik untuk orang-orang yang terdekat dengan kita. Orang-orang di sekeliling kita. Kita yang harus memulakannya dahulu. Orang lain boleh mengikut kemudian. InsyaAllah.

Saturday, December 17, 2011

Isu Besar Perkara Kecil


Perbalahan selalu berlaku kerana ada sebab musababnya. Konflik selalu berlaku kerana hal-hal yang sukar diselesaikan. Apabila kita berhenti sejenak, kita lihat kembali ke dalam perkara, kita mungkin mendapati sebenarnya dalam banyak konflik penyebabnya terlalu remeh. Terlalu kecil. Terlalulah rendah nilainya. Dua buah negara berperang kerana ego kepala negaranya. Dua kumpulan berkelahi kerana ingin dominan ke atas kumpulan yang lain. Dua orang lelaki bergaduh hanya kerana seorang wanita. Dua orang wanita bercakaran kerana seorang lelaki. Pilihan kita banyak. Alternatifnya sangat boleh dipilih. Jika tiada keinsafan tentang kekerdilan diri maka manusia merasa dirinya besar. Jika tiada kesedaran untuk membina ukhwah maka manusia terlerai dari ikatan yang syumul. Keindahan berharmoni dengan siapa sahaja makhluk yang Allah ciptakan.
Hati kita selalu sukar didamaikan. Kalah dengan akal yang selalunya baik. Yang selalunya mencari kebaikan. Orang yang bijak pandai selalu memikirkan  apa yang lebih baik. Apa yang lebih membahagiakan. Apa yang merangsang keindahan untuk hidup bersaudara. Hidup berjiran. Hidup bermasyarakat. Selalu orang kata no man is an island. Tidak ada yang hidup sendirian. Cukup dengan beersendirian. Damai dengan dirinya sahaja. Monolog sepanjang hidup. Cukup dengan apa yang dia ada. Tiada perkongsian. Tiada berhubungan. Tidak mungkin begitu. Terlalu banyak yang kita perlukan dari orang lain. Keperluan peribadi kita tidak mungkin kita penuhi sendiri. Makan minum mungkin dapat diusahakan sendiri. Itupun bagi yang berbudi dengan tanah. Berusaha dalam air. Orang lain langsung tidak dapat melakukannya. Perlukan sangat bantuan. Bantuan manusia lain yang selalu didambakan.

Malangnya kita selalu lupa pertolomng orang. Pertolongan besar pertolongan kecil. Kita selalu sepelekan hadiah sumbangan dalam bentuk apapun. Fikirkan sejenak. Mungkin benar nilai sesuatu bantuan itu sangat, sangat kecil. Tetapi, tetapi ketika bantuan itu datang kita sangat memerlukannya. Boleh bayangkan satu situasi di sebuah pondok tol. Kita kekurangan 5 sen untuk membayar tol. Kad kredit beribu ringgit. Mana ada tol menerima kad kredit. Kad bank juga empat atau lima. Mana ada tol menerima charge card. Kerana lambat pemandu di belakang datang membantu. Menghulurkan 5 sen. Ala 5 sen. Bukan besar kereta lembu. Kata orang dahulu. Namun jika kita menoleh ke belakang, deretan kereta mungkin sudah memanjang melebihi biasa. Ada yang kurang sabar mula membunyikan hon. Bayangkan jika pemandu di belakang tidak sudi menghulur 5 sen itu. Bukankah kita berada dalam situasi yang sangat gawat. Sangat memalukan. Sangat mengaibkan. Sangat memberatkan harga diri. Runtuh sebuah diri yang ego. Yang besar. Yang agung. Yang hebat. Hanya kerana 5 sen. Sebuah pondok tol yang menghalang kelancaran sebuah laluan. Ingat tadi di lebuhraya. Kita yang paling laju. Kita potong kenderaan lain sesuka hati. Serius untuk sampai ke destinasi. Seolah-olah orang lain tidak pergi ke mana. Mereka semua tidak sibuk seperti kita. Tetapi akhirnya kita tewas hanya kerana 5 sen. 5 sen yang selalu dibuang oleh kanak-kanak sekarang.
Mungkin kita tidak sempat untuk mengucapkan terima kasih kepada yang menolong 5 sen. Entah siapa namanya. Entah dari mana. Entah banyak mana wangnya. Ketika menerima bantuan itu kita mungkin tidak sedar. Menggelabah kerana malu. Kerana aib. Kerana terkesima sendiri. Pertolongan sudah tidak dilihat lagi. Selepas keluar dari tol kita berlepas diri. Ala 5 sen. No big deal.  Terlalu cepat lupa tentang hal besar yang mencemar diri sebentar tadi. Kita tidak merasa suatu bantuan. Suatu pertolongan. Suatu situasi yang diselamatkan. Begitulah kita dengan mansia lain. Ada sahaja yang berkaitan. Tidak pernah terpencil. Apa yang kita perlukan  ada pada orang lain. Besar atau kecil bukan isu. Tinggi atau rendah nilainya bukan isu. Orang lain melengkapkan diri kita. Cebisan-cebisan kecil yang selalunya membina sebuah jigsaw puzzle.
Perbalahan bukan sesuatu yang kita perlukan. Kita perlukan sahabat. Teman. Rakan. Kawan. Pembantu. Penasihat. Penunjuk segala kebaikan. Dalam setiap perkara ada rukun dan syaratnya. Bila rukun maka ada yang perlu pasti dilakukan. Jika tidak disempurnakan rukun maka sesuatu hal itu bukan yang hak. Makan tanpa makanan bukan makan namanya. Memandu tanpa kenderaan tentulah bukan memandu. Maka dalam setiap hal ada yang wajib. Ada yang sunat. Ada yang harus. Ada yang makruh. Ada yang haram. Untuk kebaikan utamakan yang wajib. Untuk menambah kebaikan lalukan yang sunat. Yang ada rukun-rukun sahihnya. Yang dilarang beratkan yang haram kerana jelasnya. Tetapi yang makruh usahakan juga untuk dijauhi kerana itu lebih baik. Tiada subhah langsung. Terhindar dari ragu-ragu. Hilang waham. Terhindar dari syak wasangka.
Namun dalam banyak perbalahan orang tidak melihat keutamaan. Dalam perselisihan pendapat tiada rukun yang diikut. Dalam memberi pendapat orang lupa yang mana hak. Seperkara lagi kita cepat melenting menerima berita. Menerima perkhabaran. Maka mulut cepat membidas walaupun belum tahu benar atau salahnya. Kita tidak bertanya rasionalnya. Tiada kewarasan langsung tentang berita itu. Tiada isu langsung. Kita banyak terpengaruh dengan hal-hal yang sangat kecil. Tersangat kecil. Malang sungguh kita tidak pandai memberi pertimbangan yang wajar. Saya teringat rakyat Amerika. Ada tiga kemahiran yang ditanam kepada mereka sejak sedari mereka kecil lagi. Sewaktu mereka di seklah rendah. Mereka dididik untuk memiliki tiga kemahiran kritikal. Thinking, reasoning and research skill. Percayalah jika kita amalkan ketiga-tiganya kita menjadi lebih rasional. Lebih waras. Bercakap ada bukti nyata. Signifikan. Penting. Ada kewajarannya. Bukan emosi. Isu yang selalu mesti diketepikan. Dihindar. Emosi tiada tempat dalam perbincangan. Dalam apa-apa perbezaan pendapat. Malah kadang-kadang bercinta hingga terlaku emosi juga menghalang kewarasan berfikir.
Alangkah indahnya jika manusia menjadi appreciative. Selalu mengenang yang baik. Teringat yang  positif. Bila agaknya kita boleh menjadi rendah diri. Memandang orang lain juga mulia di sisi Allah. Kita menjadi rasional supaya tidak membebankan akal dan situasi. Tidak semua kita yang suka berbalah. Yang suka bertengkar. Yang suka menyindir. Yang suka sinis. Yang suka mendera perasaan orang lain. Yang suka membesar-besarkan perkara kecil yang tidak perlu menjadi isu. Tiada isupun. Tiada langsung. Mungkin itu keindahan berhubungan dengan manusia. Melayani kaernah yang tidak kita sukai. Wajib dihadapi. Jika kita selamat daripadanya kita mencapai kepuasan diri yang lebih tinggi. Martabat kita semakin bertambah. Darjat kita semakin besar. Kita tidak akan pernah rugi. Pada zahirnya mungkin terasa rendah di dunia. Di akhirat insyaAllah ada ganjarannya. Syaratnya pastilah ada. Untuk sesuatu yang pasti mesti ada syarat. Redha. Ikhlas. Tulus. Serahkan segalanya kepada Allah. Ketika sunyi Allahlah teman kita. Ketika kita ketandusan kasih manusia Allahlah kekasih kita. Serahkan kepadaNya. Minta pertolonganNya. Minta kebaikan dariNya. InsyaAllah doa yang ikhlas akan dimakbulkan Allah. Berdoalah kerana Allah sangat suka memenuhi doa hamba-hambanya. Ingatlah juga bahawa Allah sangat, sangat dekat dengan kita.

Ilmu Adalah Masa Yang Berlalu


Masa terlalu sedikit bagi yang tidak dapat menghargainya. Masa itu berlalu begitu sahaja. Lalu di depan mata. Lalu memanjatkan usia. Lalu membawa semua yang kita ada. Akhirnya masa membawa pergi gigi kita. Membawa pergi cerah mata kita. Membawa pendengaran kita. Membawa rambut kita. Membawa ingatan kita. Membawa kegebuan kulit kita. Membawa kelangsingan tubuh badan kita. Tiada nilainya. Pernahkah kita melihat ke dalam sedalam-dalamnya. Ke dalam lubuk hati kita. Mungkinkah ada kekosongan yang tidak pernah terisi. Terlopong di sana terlopong di sini. Ruang-ruang dalaman yang sunyi dan sepi. Rohani yang selalu meminta. Namun kita mengabaikannya. Kita biarkan ia terus kosong. Mengurungkannya untuk hari tua. Kita selalu take for granted yang kita in akan tua. Ajal adalah milik Allah secara mutlak.  Kita tidak dibenarkan menipu diri sendiri. Tidak layak berkhayal. Bersangka untuk membujuk diri. Takut-takut tertipu dengan dengan yang tidak pasti.

Masa yang tidak diisi tentu payah mengisinya. Kebanyakan masa kita terpedaya denganya. Kita hanya bersangka yang kita memenuhi masa. Realitinya tidak begitu. Ada masanya kita hanya menipu diri sendiri. Cuba muasabah diri. Cuba lihat sejarah diri yang berlalu. Lihat kembali lembaran itu satu persatu. Mungkin akan ditemui sesuatu yang sukar dimengerti. Kita mungkin hanya melepak dan berhenti dari membuat sesuatu yang bermanfaat. Tanyalah siapapun. Bila diajak berbuat sesuatu yang baik jawapanya sama. Bila-bilapun sama. Mana ada masa. Sibuklah. Tak sempat. Banyak kerja lain. Ada komitmen. Buatlah dahulu. Nanti saya menyusul. Demi masa manusia berada dalam kerugian. Itulah wahyu yang selalu mengingatkan kita tentang pentingnya masa. Terlalu penting hingga kita terlalai untuk mengharainya. Tidak meletakkannya di tempat yang tinggi. Masa yang memungkinkan kita hidup. Masa yang memungkinkan kita tamat hayat. Antara hidup dan tamat hayat itu masa yang mengizinkan kita menikmati apa sahaja yang diizinkan Allah. Pastinya bermanfaat jika kita mengerti keutamaannya. Masa adalah untuk dimanfaatkan. Bukan untuk dibiarkan berlalu tanpa mengambil manfaatnya. Orfang yang bijaksana menggunakan masa. Gterlalu banyak masa untuk mereka. Hasil kerja mereka melebihi jangkawaktu hidup mereka. Terlalu melambak-lambak. Membuak-buak dilimpahkan kepada generasi yang terkemudian.

Saya ingin kongsikan apa yang saya dan isteri saya lalui untuk mengisi usia tua kami. Tahun 2003 saya jejaki semula Universiti Malaya. Saya tinggalkanya pada tahun 1979.  24 tahun kemudian saya kembali. Ruangnya sama. Maksudnya berlainan. Dulu saya di sana kerana membina jambatan kerjaya. Inginkan ekonomi yang lebih baik. Yang memberi peluang untuk mengecap nikmat hidup yang lebih sedikit. Sedikit yang Allah izinkan untuk saya. Saya datang kembali kerana ingin menjejak kembali jalan lurus mencari agama sendiri. Mencari makna dan sebab.  Belajar bukan perkara asing. Apa yang kita pelajari mungkin asing. Kita selalu menjadi lebih sekular bebanding seperlunya. Sesudah bersara datang peluang untuk membaiki diri. Kembali menjejak untuk membetulkan haluan. Bukankah saya Islam. Maaf. Banyak tentang agama yang saya tidak tahu. Masih ada luang waktu yang Allah sediakan. Peluang untuk membetulkan arah diri. Menggarap erti agama yang diperlukan. Yang telah kita tinggalkan.

Sewaktu hampir bersara saya cuba bersedia untuk menghadapinya. Selalunya kita sibuk dengan kerjaya semasa masih bekerja. Tidak kenal siang atau malam. Tidak kenal hari kerja dengan hari minggu. Dari pagi hingga ke petang dengan kerja. Tambah mesyuarat. Tokok pula dengan lawatan keluar. Menerima tetamu. Itu belum lagi tuntutan dari orang-orang di bawah. Hal-hal agama hanya solat dan puasa. Zakat dan mungkin haji bagi yang mampu. Bagaimana yang lain-lain? Kita selalu terlalai tentang akidah dan tauhid. Kita lupa tentamg usuluddin. Asal usul agama. Banyak hal agama yang kita tidak pandai. Kita biarkan selalu diri kita bertaqlid sahaja. Ikut apa orang kata. Ikut orang buat. Kita tidak tahu asal usulnya ibadat itu. Kita tidak tahu hukum hakamnya. Malangnya diri kerana tidak banyak memahami Islam agamanya sendiri.

Kita selalu hanya selesa menjadi makmum. Menjadi pengikut. Biarlah jemaah yang lain membuatnya. Biarlah mereka lebih tahu. Kita beranggapan yang selalu salah. Sebagai lelaki kita adalah imam. Imam kepada isteri. Imam kepada anak dan menantu. Imam kepada cucu cicit. Imam kepada sanak saudara. Imam kepada jiran tetangga. Imam kepda orang-orang bawahan kita. Imam kepada masyarakat amnya. Di mana yang kita bukan imam? Larilah ke mana sekalipun kita tetap imam. Selagi kita lelaki selagi itulah kita adalah imam. Maka kita hendaklah menjadi imam. Belajar menjadi imam. Cari pengalaman untuk menjadi imam. Ingatlah, tiada nilainya jika kita hanya menjadi orang biasa-biasa sahaja. Orang yang bernama makmum. Hanya menjadi pengikut dalam semua hal. Nilai kita rendah jika kita hanya menjadi orang awam selama-lamanya. Orang awam yang awam pengetahuannya. Kemahirannya. Kita kena bangkit untuk menjadi orang yang lebih baik dari orang awam. Lebih tinggi dari orang awam. Mendarjatkan diri. Memartabatkan diri.

Semakin tua kita bukan semakin tidak berguna. Hanya pepatah lama yang usang mengatakan bahawa orang tua adalah Quran buruk. Hina benar. Al-Quran yang begitu tinggi darjatnya menjadi buruk. Disimpan tidak dibaca. Tidak disentuh. Tidak dilihat. Tidak lagi ada manfaatnya. Bukan Al-Quran itu yang bermasalah. Al-Quran tidak ada isu buruk. Tidak ada isu lusuh. Tidak ada isu koyak. Tidak dan tidak. Kita yang bermasalah. Jika kita menghafaz Al-Quran tiada isu langsung. Yang koyak hanyalah kertas yang bercetak ayat-ayat Al-Quran. Isinya tetap boleh dibaca. Boleh dihafal. Boleh dilaungkan. Boleh dimanfaatkan. Begitulah orang tua yang bernama warga emas. Jika tidak digilap pudarlah emasnya. Kelam dan suram. Hilang auranya. Hilang cerahnya. Apabila warga emas mengundur diri hilang segala autoriti yang ada padanya. Hilang seri wajahnya. Hilang namanya. Terlipat dalam sejarah yang terbuang. Mungkin, mugkin ada seorang dua yang cuba membuka fail-fail sejarah itu. Menemui semula emas tempauan yang hilang. Jika tidak ianya kembali tertanam menjadi harta karun yang sukar ditemui.  


Itulah tekad saya sebelum bersara. Saya cuba alihkan diri saya ke landasan yang lebih lestari. Tidak tenggelam dalam longgokan persaraan. Tidak usang dalam kesamaran emas yamg dilupakan. Cuba memberi lagi yang terbaik untuk persekitaran saya. Khidmat masyarakat. Khidmat ini selalu ditanam kepada penjawat awam. 5% dari nilaian prestasi tahunan mereka adalah hasil dari khidmat awam. Jika khidmat itu yang besar-besar, kekal begitu selepas bersara banyak nikmat yang akan dinikmati orang-orang di sekeliling. Kadang-kadang kita hanya mampu melakukan yang paling asas. Untuk orang-orang yang paling dekat dengan kita. Jiran tetangga. Sahabat handai. Saudara-mara terdekat. Kadang-kadang itu lebih bermakna kerana kemampuan yang terbatas. Pergerakan yana terbatas. Kemampuan kewangan yang terbatas. Namun hal-hal yang kecil itu kadang-kadang lebih besar manfaatnya. Mencelikkan yang buta. Memberi dengar bagi yang tuli. Membuka segala yang terkatup


Untuk memberi kita kena banyak menerima. Bukan simpati. Bukan empati. Bukan sedekah. Bukan zakat. Bukan bantuan. Bukan tajaan. Kita kena banyak belajar untuk menyediakan diri supaya lebih versatile. Lebih flexible. Lebih viable. Lebih lestari. Perolehi kepelbagaian untuk menangani hal-hal yang lebih rencam. Lebih volatile. Lebih banyak kekangannya. Lebih banyak cabarannya. Tiada jalan pintas. Kita sudah ada pengalaman. Maka sebagai pelengkap hari tua, kita cari lagi ilmu bermanfaat untuk mencapahkan kemahiran diri. Ilmu yang berbagai. Hidup ini terlalu dinamik. Semakin lama kedinamikannya semakin membesar. Tanpa persediaan diri kita tercicir. Tanpa persediaan mental kita tertinggal. Kita menjadi penumpang yang akan dipintas oleh orang-orang yang terlalu laju meninggalkan kita.  Percayalah kita akan tua. Tetapi ada sesuatu pada orang tua yang tidak dapat direnggut oleh orang lain. Pengalaman berharga yang sudah bertahun-tahun dibuktikan benar. Memudahkan kerjaya. Menyelesaikan banyak masalah. Bersedia dengan segala macam perubahan. Bertahun-tahun bertahan menerima segala yang baru. Anjakan-anjakan paradigma yang tidak lagi terkira. Buka minda dan buka hati. Terima perubahan kerana perubahan tidak dapat dinafikan. Tidak dapat ditahan-tahan.


Tahun-tahun 2003 hingga awal tahun 2011 adalah suatu jangkamasa yang panjang. Namum masa yang berlalu tidak pula terasa sangat. Setiap pagi hari Sabtu saya ke KL. Kembali ke Batu Pahat pada malam Ahad. Pukul 4.30 pagi hari Sabtu kami berdua bertolak dari rumah. Solat Subuh biasanya di Bukit Kangkar, Tangkak atau di R&R Ayer Keruh. Pukul 8.00 pagi kelas pertama bermula di UM. Tamat pada pukul 5.00 petang. Seperti peluru saya bergerak ke Taman Samudera di Gombak. Di sebelah Giant Batu Caves. Di UM saya mengikuti kelas Diploma Usuluddin. Isteri saya Diploma Syariah. Di Gombak saya dan isteri belajar Qiraat Nafi’. Sebelum Maghrib proses talaqi itu tamat. Kami bergegas ke UIAM untuk belajar Qiraat Asyara dari pukul 8.00 hingga pukul 10.00 malam. Esoknya hari Ahad kelas bermula semula di UM  dari pukul 8.00 pagi hingga pukul 5.00 petang. Kami kena sampai di Batu Pahat sebelum pukul 9.00 malam kerana isteri saya mengajar Al-Quran di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Temenggung Ibrahim. Dia akan tamat kelas pada pukul 10.30 malam.


Saya pula terus kembali ke rumah untuk membasuh pakaian. Mungkin memasak jika malas makan di kedai. Lauk ala kadar. Mana yang tercapai tangan. Mana yang terlintas dalam fikiran. Ada masanya hanya telur goreng mata kerbau. Renjis kicap. Pecahkan lada. Bubuh bawang merah atau besar sebagai penyelera. Makanan orang sibuk. Jika rajin mungkin masak sayur. Masak air. Hiris bawang, bubuh garam. Kuah untuk membasah tekak. Menghindar dari tercekik. Bila sudah melepasi zaman kerjaya kita kena mengubah gaya hidup. Santaikan diri. Mudahkan perjalanan hidup. Rasmi-rasmian hanya sekali-sekala. Bila ada majlis. Bila ada tamu. Bila ada aktiviti. Bila ada undangan yang datang sesekali. Menjenguk teman lama. Bertemu kenalan.


Persaraan bukan berhenti dari segala-galanya. Bukan melarikan diri dari kesibukan. Persaraan mengundang lebih banyak kesibukan. Itupun jika kita mahukan hidup yang lebih bererti. Mengisi kekosongan-kekosongan yang masih banyak terluang. Minda kita mesti banyak diguna. Fikiran kita dijana. Jangan biarkan masa berlalu. Isi dengan segala yang boleh mengisi. Semakin tua semakin berisi. Sibuk itu mainan hidup. Terapi hari tua. Penghilang sunyi. Tidak sempat memikir diri. Sesunggunhya hidup ini terlalu singkat untuk berdiam diri. Terlalu banyak yang boleh dilakukan untuk membahagia diri. Cukuplah memberi. Menerima simpati bukan lagi masanya. Mana ada masa untuk menyesali diri. Semua yang berlalu banya kebaikan. Hanya kit ayang kadang-kadang tidak dapat memanfaatkannya. Menerima hanya sesuatu yang  akan dimanfaatkan semula. Untuk disinambungkan kepada orang lain yang ada di sekeiling kita. Bukan untuk self consumption semata-mata. Mudah-mudahan ada manfaatnya. Kongsikanlah dengan orang lain. Berbahagia sesama dengan orang lain.