Monday, December 19, 2011

Membawa Anak Menyusur Keluarga



Hari raya sudah berlalu. Hari raya akan datang lagi. Hari untuk bertandang pergi dan untuk yang bertandang datang. Musim kenduri kahwin datang lagi. Pergi dan datang. Begitu juga hari bertunang. Hari merisik. Lazimnya dalam majlis sebegitu sanak saudara dan sahabat handai dijemput untuk hadir sama. Jika tiada maksiat maka yang dijemput dikira wajib memenuhi undangan yang ada kaitan dengan agama. Ibadat. Selalu benar saya dengar ibu bapa bersungut yang anak-anaknya tiaa minat untuk ikut sama. Untuk bersama sanak saudara yang lain. Mereka ada agenda sendiri. Zaman sudah berubah. Anak-anak melebihkan orang lain dari saudara maranya sendiri. Bukan juga sahabat handai kedua ibu bapanya. Mereka menyingkir. Mereka meminggirkan diri mereka sendiri. Ramai ibu bapa yang kecewa kerana silaturrahim antara keluarga dan saudara mara semakin mencair. Semakin menipis. Semuanya terasa menjauh. Menjarak. Mungkin ini pengaruh alam yang semakin merubah lanskap hidup berkeluarga dan bersanak saudara. Mungkin mereka yang mengamalkan adat perpatih lebih kental ikatan kekeluargaannya. Induk semang yang rapat. Dekat antara satu sama lain. Kejelekitan yang amat sangat. Dari undang ke luak hingga ke perut.

Dahulu orang Jawa seperti saya sangat sayang kepada suku sakatnya. Jauh dan dekat bukan isu. Masa bukan penghalang. Apa sahaja yang memerlukan kehadiran akan diusahakan untuk turut hadir. Kebersamaan yang selalu dicari. Dinanti. Masing-masing sangat kerinduan. Memapah ingatan lama dan baru. Merentasi berita keluarga jauh dan dekat. Sihat dan sakit yang perlu diketahui. Senang dan susah yang selalu dikongsi. Kebahagiaan ialah kebersamaan. Bersentuhan rasa dan dan darah daging talian warisan yang mengalir dalam seluruh urat saraf mereka. Ada sesuatu yang ingin saya sampaikan mengenai orang Jawa. Mungkin nanti dalam entry yang lain. Yang lebih sesuai. Kelainan kejawaan yang tidak terdapat pada kaum-kaum lain di Malaysia. Malah menurut pemerhatian saya tiada seperti orang Jawa pada bangsa lain di dunia. Mungkin tanggapan saya benar. Mungkin juga salah. Saya akan berpegang pada tanggapan itu untuk sementara waktu.

Walau apapun saya ingin kembali membicarakan tentang anak-anak. Mungkin saya tambah dengan kehadiran cucu-cucu saya. Dari kecil lagi saya bawa anak-anak saya apabila berhari raya ke rumah saudara mara. Lagipun kami dahulukan datuk dan nenek mereka. Kemudian datuk dan nenek saudara. Pada tahap kedua, bapa dan ibu saudara mereka. Pada tahap ketiga barulah orang lain mengikut kesempatan yang ada. Sebelum mula bekerja semula. Sebelum anak-anak kembali ke sekolah. Dalam keadaan sekarang sebelum mereka bekerja. Sebelum mereka kembali ke rumah mereka sendiri untuk berhari raya dengan jiran tetangga mereka pula. Alhamdulillah saya dianugerahkan Allah anak-anak yang selalu menurut kata. Bila berhari raya tiada yang tertinggal di rumah. Akan berekor-ekor mereka ikut bersama. Sejak seorang hinggalah sembilan orang.  Sekarang sudah lima orang menantu. Sudah ada 12 orang cucu. Tiada seorang yang mahu ditinggal.

Sebenarnya anak-anak hendaklah dilatih. Dibiasakan dengan hal-hal yang baik. Hal-hal yang berkaitan dengan kekeluargaan. Hal-hal yang menyangkut dengan keakraban keluarga. Usaha mendekati antara satu sama lain. Dalam hal-hal seperti itu mereka tidak boleh diberi pilihan. Memang pilihan tersangat banyak. Bukan masanya mereka memilih. Bukan waktunya. Bukan kesempatan seperti itu. Jika mereka diberi pilihan maka susur galur keluarga tidak dapat dibina. Pilihan hanya diberi apabila mereka sudah tahu nilainya. Sudah tahu pentingnya erti kekeluargaan.  Sudah pandai memberi erti. Tahu pentingnya darah daging. Tahu pentingnya susur galur keluarga. Kerana itu bertandang ke rumah keluarga adalah penting. Perlu. Digalakkan. Diberi rangsangan. Jangan dilalaikan kerana ukhwah keluarga akan luntur. Mencair bak ais di Kutub Utara.

Dunia banyak berubah. Iklim berubah. Falsafah berubah. Gaya hidup berubah. Pandangan hidup berubah. Orang bercakap tentang worldview. Bukan lagi hal kampung halaman. Kita bukan lagi warga tempat kita bermukim. Kita adalah warga dunia. Padang datar kita bukan lagi luas tetapi sebaliknya semakin mengecil. Menjadi sempit. Kita hanya sebahagian kecil dari global village. Setiap hari kita berhubungan. Satelit di angkasa memantau kita. Ada mata yang mengawasi kita. Mata buatan manusia. Kita bukan lagi manusia terpencil. Kita adalah sebahagian dari warga dunia. Yang dekat antara satu sama lain. Teknologi menghubungkan kita secara dekat. Semuanya di hujung jari. Di belakang cuping telinga. Di balik tabir mata. Dekat sangat di hati. Tetapi satu hal yang tidak boleh diubah ialah darah daging. Semangat kekeluargaan. Susur galur yang dilestarikan. Kesinambungannya yang harus memanjang. Keluarga besar yang semakin membesar. Banyak cabaran mengekalkan kehidupan berkeluarga. Yang jauh terpisah lama. Yang dekat juga boleh terpisah jauh.

Hanya pada anak-anak kita semaikan semangat yang semakin pudar itu. Ibu bapa seharusnya memiliki kewibawaan untuk mengawalselia anak-anak. Menjadi ketua keluarga yang berautoriti. Diikut dan dipatuhi. Memanjatkan kebaikan berkeluarga. Melebarkan semangatnya. Orang dahulu mencari yang bau-bau bacang. Kerana ingin dekat dengan sanak saudara. Orang sekarang menggantikan bau bacang itu dengan bauan lain yang tidak asli. Keluarga menjadi jauh. Sepupupun tidak dikenal. Apatah lagi dua pupu. Memang yang bau-bau bacang bukan lagi dalam perkiraan. Bacangpun sudah tidak dikenal lagi. Entah yang mana namanya bacang. Melihat tidak apatah lagi untuk memakannya. Kitalah yang lebih arif tentang warisan keluarga. Yang berumur. Yang dewasa. Yang tua.

Maafkan saya. Saya melihat keadaan itu agak menyeluruh. Walau bagaimanapun di kalangan mereka yang berpendapatan rendah keadaannya semakin gawat. Anak-anak memang tidak dapat dibawa bersama kerana ketiadaan kenderaan beroda empat. Motorsikal hanya terhad penumpangnya. Yang kecil mungkin tiada halangan. Apabila mereka besar sedikit mereka mula tiada tempat. Hendak menaiki bas menyulitkan. Teksi pula di luar kemampuan. Akhirnya semangat kekeluargaan itu pudar begitu sahaja. Akhirnya padam sendiri. Semangatnya tidak bernyala lagi. Patah riuk kerana ekonomi yang tidak mengizinkan. Patah semangat kerana ketidakmampuan. Hilang seri dan cahaya keluarga. Semuanya terhalang kerana lemah ekonomi. Sebab itu kita diperintahkan supaya berusaha mengadakan yang terbaik untuk keluarga. Sehabis mampu untuk mengadakan apa sahaja keperluan keluarga.  Bukan sehingga berlebih-lebih. Cukuplah sekadar cukup. Memenuhi tuntutan  keperluan berkeluarga. Ada rumah selesa. Ada kenderaan selesa. Makanan yang cukup. Yang halalan toyyibah. Sandang pakai yang menasabah kualitinya.

Semuanya itu jika diamati akan mendekatkan kita kepada keluaga. Boleh membantu yang kurang. Menambah yang lemah. Berkongsi keberadaan. Tanpa kenderaan semangat kekeluargaan boleh jadi hilang begitu sahaja. Tanpa ekonomi tiada daya membantu antara satu sama lain.  Tanpa kekuatan ekonomi banyak agenda yang tidak dapat ditunaikan. Islam mahukan kita bekerja keras untuk Islam. Untuk memartabatkannya. Untuk meninggikan darjatnya. Maka memberikan yang terbaik untuk keluarga adalah langkah pertama untuk memberikan yang terbaik untuk orang-orang yang terdekat dengan kita. Orang-orang di sekeliling kita. Kita yang harus memulakannya dahulu. Orang lain boleh mengikut kemudian. InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment