Saturday, December 17, 2011

Ilmu Adalah Masa Yang Berlalu


Masa terlalu sedikit bagi yang tidak dapat menghargainya. Masa itu berlalu begitu sahaja. Lalu di depan mata. Lalu memanjatkan usia. Lalu membawa semua yang kita ada. Akhirnya masa membawa pergi gigi kita. Membawa pergi cerah mata kita. Membawa pendengaran kita. Membawa rambut kita. Membawa ingatan kita. Membawa kegebuan kulit kita. Membawa kelangsingan tubuh badan kita. Tiada nilainya. Pernahkah kita melihat ke dalam sedalam-dalamnya. Ke dalam lubuk hati kita. Mungkinkah ada kekosongan yang tidak pernah terisi. Terlopong di sana terlopong di sini. Ruang-ruang dalaman yang sunyi dan sepi. Rohani yang selalu meminta. Namun kita mengabaikannya. Kita biarkan ia terus kosong. Mengurungkannya untuk hari tua. Kita selalu take for granted yang kita in akan tua. Ajal adalah milik Allah secara mutlak.  Kita tidak dibenarkan menipu diri sendiri. Tidak layak berkhayal. Bersangka untuk membujuk diri. Takut-takut tertipu dengan dengan yang tidak pasti.

Masa yang tidak diisi tentu payah mengisinya. Kebanyakan masa kita terpedaya denganya. Kita hanya bersangka yang kita memenuhi masa. Realitinya tidak begitu. Ada masanya kita hanya menipu diri sendiri. Cuba muasabah diri. Cuba lihat sejarah diri yang berlalu. Lihat kembali lembaran itu satu persatu. Mungkin akan ditemui sesuatu yang sukar dimengerti. Kita mungkin hanya melepak dan berhenti dari membuat sesuatu yang bermanfaat. Tanyalah siapapun. Bila diajak berbuat sesuatu yang baik jawapanya sama. Bila-bilapun sama. Mana ada masa. Sibuklah. Tak sempat. Banyak kerja lain. Ada komitmen. Buatlah dahulu. Nanti saya menyusul. Demi masa manusia berada dalam kerugian. Itulah wahyu yang selalu mengingatkan kita tentang pentingnya masa. Terlalu penting hingga kita terlalai untuk mengharainya. Tidak meletakkannya di tempat yang tinggi. Masa yang memungkinkan kita hidup. Masa yang memungkinkan kita tamat hayat. Antara hidup dan tamat hayat itu masa yang mengizinkan kita menikmati apa sahaja yang diizinkan Allah. Pastinya bermanfaat jika kita mengerti keutamaannya. Masa adalah untuk dimanfaatkan. Bukan untuk dibiarkan berlalu tanpa mengambil manfaatnya. Orfang yang bijaksana menggunakan masa. Gterlalu banyak masa untuk mereka. Hasil kerja mereka melebihi jangkawaktu hidup mereka. Terlalu melambak-lambak. Membuak-buak dilimpahkan kepada generasi yang terkemudian.

Saya ingin kongsikan apa yang saya dan isteri saya lalui untuk mengisi usia tua kami. Tahun 2003 saya jejaki semula Universiti Malaya. Saya tinggalkanya pada tahun 1979.  24 tahun kemudian saya kembali. Ruangnya sama. Maksudnya berlainan. Dulu saya di sana kerana membina jambatan kerjaya. Inginkan ekonomi yang lebih baik. Yang memberi peluang untuk mengecap nikmat hidup yang lebih sedikit. Sedikit yang Allah izinkan untuk saya. Saya datang kembali kerana ingin menjejak kembali jalan lurus mencari agama sendiri. Mencari makna dan sebab.  Belajar bukan perkara asing. Apa yang kita pelajari mungkin asing. Kita selalu menjadi lebih sekular bebanding seperlunya. Sesudah bersara datang peluang untuk membaiki diri. Kembali menjejak untuk membetulkan haluan. Bukankah saya Islam. Maaf. Banyak tentang agama yang saya tidak tahu. Masih ada luang waktu yang Allah sediakan. Peluang untuk membetulkan arah diri. Menggarap erti agama yang diperlukan. Yang telah kita tinggalkan.

Sewaktu hampir bersara saya cuba bersedia untuk menghadapinya. Selalunya kita sibuk dengan kerjaya semasa masih bekerja. Tidak kenal siang atau malam. Tidak kenal hari kerja dengan hari minggu. Dari pagi hingga ke petang dengan kerja. Tambah mesyuarat. Tokok pula dengan lawatan keluar. Menerima tetamu. Itu belum lagi tuntutan dari orang-orang di bawah. Hal-hal agama hanya solat dan puasa. Zakat dan mungkin haji bagi yang mampu. Bagaimana yang lain-lain? Kita selalu terlalai tentang akidah dan tauhid. Kita lupa tentamg usuluddin. Asal usul agama. Banyak hal agama yang kita tidak pandai. Kita biarkan selalu diri kita bertaqlid sahaja. Ikut apa orang kata. Ikut orang buat. Kita tidak tahu asal usulnya ibadat itu. Kita tidak tahu hukum hakamnya. Malangnya diri kerana tidak banyak memahami Islam agamanya sendiri.

Kita selalu hanya selesa menjadi makmum. Menjadi pengikut. Biarlah jemaah yang lain membuatnya. Biarlah mereka lebih tahu. Kita beranggapan yang selalu salah. Sebagai lelaki kita adalah imam. Imam kepada isteri. Imam kepada anak dan menantu. Imam kepada cucu cicit. Imam kepada sanak saudara. Imam kepada jiran tetangga. Imam kepda orang-orang bawahan kita. Imam kepada masyarakat amnya. Di mana yang kita bukan imam? Larilah ke mana sekalipun kita tetap imam. Selagi kita lelaki selagi itulah kita adalah imam. Maka kita hendaklah menjadi imam. Belajar menjadi imam. Cari pengalaman untuk menjadi imam. Ingatlah, tiada nilainya jika kita hanya menjadi orang biasa-biasa sahaja. Orang yang bernama makmum. Hanya menjadi pengikut dalam semua hal. Nilai kita rendah jika kita hanya menjadi orang awam selama-lamanya. Orang awam yang awam pengetahuannya. Kemahirannya. Kita kena bangkit untuk menjadi orang yang lebih baik dari orang awam. Lebih tinggi dari orang awam. Mendarjatkan diri. Memartabatkan diri.

Semakin tua kita bukan semakin tidak berguna. Hanya pepatah lama yang usang mengatakan bahawa orang tua adalah Quran buruk. Hina benar. Al-Quran yang begitu tinggi darjatnya menjadi buruk. Disimpan tidak dibaca. Tidak disentuh. Tidak dilihat. Tidak lagi ada manfaatnya. Bukan Al-Quran itu yang bermasalah. Al-Quran tidak ada isu buruk. Tidak ada isu lusuh. Tidak ada isu koyak. Tidak dan tidak. Kita yang bermasalah. Jika kita menghafaz Al-Quran tiada isu langsung. Yang koyak hanyalah kertas yang bercetak ayat-ayat Al-Quran. Isinya tetap boleh dibaca. Boleh dihafal. Boleh dilaungkan. Boleh dimanfaatkan. Begitulah orang tua yang bernama warga emas. Jika tidak digilap pudarlah emasnya. Kelam dan suram. Hilang auranya. Hilang cerahnya. Apabila warga emas mengundur diri hilang segala autoriti yang ada padanya. Hilang seri wajahnya. Hilang namanya. Terlipat dalam sejarah yang terbuang. Mungkin, mugkin ada seorang dua yang cuba membuka fail-fail sejarah itu. Menemui semula emas tempauan yang hilang. Jika tidak ianya kembali tertanam menjadi harta karun yang sukar ditemui.  


Itulah tekad saya sebelum bersara. Saya cuba alihkan diri saya ke landasan yang lebih lestari. Tidak tenggelam dalam longgokan persaraan. Tidak usang dalam kesamaran emas yamg dilupakan. Cuba memberi lagi yang terbaik untuk persekitaran saya. Khidmat masyarakat. Khidmat ini selalu ditanam kepada penjawat awam. 5% dari nilaian prestasi tahunan mereka adalah hasil dari khidmat awam. Jika khidmat itu yang besar-besar, kekal begitu selepas bersara banyak nikmat yang akan dinikmati orang-orang di sekeliling. Kadang-kadang kita hanya mampu melakukan yang paling asas. Untuk orang-orang yang paling dekat dengan kita. Jiran tetangga. Sahabat handai. Saudara-mara terdekat. Kadang-kadang itu lebih bermakna kerana kemampuan yang terbatas. Pergerakan yana terbatas. Kemampuan kewangan yang terbatas. Namun hal-hal yang kecil itu kadang-kadang lebih besar manfaatnya. Mencelikkan yang buta. Memberi dengar bagi yang tuli. Membuka segala yang terkatup


Untuk memberi kita kena banyak menerima. Bukan simpati. Bukan empati. Bukan sedekah. Bukan zakat. Bukan bantuan. Bukan tajaan. Kita kena banyak belajar untuk menyediakan diri supaya lebih versatile. Lebih flexible. Lebih viable. Lebih lestari. Perolehi kepelbagaian untuk menangani hal-hal yang lebih rencam. Lebih volatile. Lebih banyak kekangannya. Lebih banyak cabarannya. Tiada jalan pintas. Kita sudah ada pengalaman. Maka sebagai pelengkap hari tua, kita cari lagi ilmu bermanfaat untuk mencapahkan kemahiran diri. Ilmu yang berbagai. Hidup ini terlalu dinamik. Semakin lama kedinamikannya semakin membesar. Tanpa persediaan diri kita tercicir. Tanpa persediaan mental kita tertinggal. Kita menjadi penumpang yang akan dipintas oleh orang-orang yang terlalu laju meninggalkan kita.  Percayalah kita akan tua. Tetapi ada sesuatu pada orang tua yang tidak dapat direnggut oleh orang lain. Pengalaman berharga yang sudah bertahun-tahun dibuktikan benar. Memudahkan kerjaya. Menyelesaikan banyak masalah. Bersedia dengan segala macam perubahan. Bertahun-tahun bertahan menerima segala yang baru. Anjakan-anjakan paradigma yang tidak lagi terkira. Buka minda dan buka hati. Terima perubahan kerana perubahan tidak dapat dinafikan. Tidak dapat ditahan-tahan.


Tahun-tahun 2003 hingga awal tahun 2011 adalah suatu jangkamasa yang panjang. Namum masa yang berlalu tidak pula terasa sangat. Setiap pagi hari Sabtu saya ke KL. Kembali ke Batu Pahat pada malam Ahad. Pukul 4.30 pagi hari Sabtu kami berdua bertolak dari rumah. Solat Subuh biasanya di Bukit Kangkar, Tangkak atau di R&R Ayer Keruh. Pukul 8.00 pagi kelas pertama bermula di UM. Tamat pada pukul 5.00 petang. Seperti peluru saya bergerak ke Taman Samudera di Gombak. Di sebelah Giant Batu Caves. Di UM saya mengikuti kelas Diploma Usuluddin. Isteri saya Diploma Syariah. Di Gombak saya dan isteri belajar Qiraat Nafi’. Sebelum Maghrib proses talaqi itu tamat. Kami bergegas ke UIAM untuk belajar Qiraat Asyara dari pukul 8.00 hingga pukul 10.00 malam. Esoknya hari Ahad kelas bermula semula di UM  dari pukul 8.00 pagi hingga pukul 5.00 petang. Kami kena sampai di Batu Pahat sebelum pukul 9.00 malam kerana isteri saya mengajar Al-Quran di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Temenggung Ibrahim. Dia akan tamat kelas pada pukul 10.30 malam.


Saya pula terus kembali ke rumah untuk membasuh pakaian. Mungkin memasak jika malas makan di kedai. Lauk ala kadar. Mana yang tercapai tangan. Mana yang terlintas dalam fikiran. Ada masanya hanya telur goreng mata kerbau. Renjis kicap. Pecahkan lada. Bubuh bawang merah atau besar sebagai penyelera. Makanan orang sibuk. Jika rajin mungkin masak sayur. Masak air. Hiris bawang, bubuh garam. Kuah untuk membasah tekak. Menghindar dari tercekik. Bila sudah melepasi zaman kerjaya kita kena mengubah gaya hidup. Santaikan diri. Mudahkan perjalanan hidup. Rasmi-rasmian hanya sekali-sekala. Bila ada majlis. Bila ada tamu. Bila ada aktiviti. Bila ada undangan yang datang sesekali. Menjenguk teman lama. Bertemu kenalan.


Persaraan bukan berhenti dari segala-galanya. Bukan melarikan diri dari kesibukan. Persaraan mengundang lebih banyak kesibukan. Itupun jika kita mahukan hidup yang lebih bererti. Mengisi kekosongan-kekosongan yang masih banyak terluang. Minda kita mesti banyak diguna. Fikiran kita dijana. Jangan biarkan masa berlalu. Isi dengan segala yang boleh mengisi. Semakin tua semakin berisi. Sibuk itu mainan hidup. Terapi hari tua. Penghilang sunyi. Tidak sempat memikir diri. Sesunggunhya hidup ini terlalu singkat untuk berdiam diri. Terlalu banyak yang boleh dilakukan untuk membahagia diri. Cukuplah memberi. Menerima simpati bukan lagi masanya. Mana ada masa untuk menyesali diri. Semua yang berlalu banya kebaikan. Hanya kit ayang kadang-kadang tidak dapat memanfaatkannya. Menerima hanya sesuatu yang  akan dimanfaatkan semula. Untuk disinambungkan kepada orang lain yang ada di sekeiling kita. Bukan untuk self consumption semata-mata. Mudah-mudahan ada manfaatnya. Kongsikanlah dengan orang lain. Berbahagia sesama dengan orang lain.

No comments:

Post a Comment