Friday, December 2, 2011

Hidup Sendiri Membina Keluarga

Selepas bernikah tinggallah ibu. Tinggallah ayah. Tetapi hati masih terlalu lekat dengan mereka. Terlalu dekat. Tidak terangkat tangan hendak melambai pergi. Tidak terukir mulut mengungkap, “Ku pergi dulu.” Kerana kasih terpisah jua hendaknya. Sesuatu yang tidak pernah terfikir ketika bercinta. Apatah lagi ketika bertunang. Yang bersarang dalam kepala ialah hendak bersama. Namun apabila sampai masanya sukar hendak membujuk hati. Tangan sebelah digenggam pasangan. Sebelah lagi terkulai untuk mendakap ibu dan ayah. Anak perempuanku, sampai di sini kita berkampung. Hanya setakat ini. Pergilah mencari bahagiamu. Ibu doakan. Ayah doakan. Bagi anak lelaki besar sungguh dilemanya. Ibu kata di sini tempatmu. Kata ayah ini tumpah darahmu. Namun demi kesejahteraan ada baiknya dibina mahligai yang tidak sempurna tetapi hanya untuk kau berdua. Untuk berkongsi ruang. Berkongsi udara. Berkongsi setiap keberadaan bersama.

Banyak baiknya bagi pasangan baru untuk membina mahligai sendiri. Mahligai yang walau apapun rupanya. Walau apapun warnanya. Walau apapun saiznya. Walau apapun kekurangannya. Yang penting itu milik kau berdua. Milikan yang mutlak dari segi ruang. Memanglah kau sewa kerana ekonomi baru hendak dibina bersama. Nantilah akan sampai masanya untuk memiliki mahligai sendiri. Multak seadanya. Ada juga baiknya tinggal bersama kedua ibu bapa. Mungkin orang tua sudah bersendirian. Ada kesesuaiannya. Namun ikhtiar berasingan adalah lebih baik. Tidak perlu jauh. Asalkan berasingan. Mungkin apartment yang berbeza tingkat. Atau berbeza wing. Bersebelahanpun lebih baik. Belajar membina privacy sendiri. Orang baru serba kekurangan. Belajarlah untuk membebaskan diri supaya tidak membebankan ibu dan bapa. Walaupun mereka senang tinggal bersama mereka tetapi ada lelah yang mesti dilihat. Ada kekurangan yang nanti memberi musibah.

Pastinya ibu bapa bukan lagi muda. Tenaga mereka sudah susut. Letih mereka perlu dilurut. Sudah terlalu lama tenaga dituntut. Masa dipaut. Usaha setengah maut. Demi anak-anak. Untuk dibesarkan. Untuk dipandaikan. Untuk dijadikan orang.  Apabila anak-anak bernikah terlerailah satu persatu. Tidak lagi ibu perlu payah paginya. Payah siangnya. Payah malamnya. Banyak yang turun dari bahu beban selama puluhan tahun. Ibu dan ayah ingin kembali mengisi masa mereka yang telah dihabiskan bersama anak-anak. Inilah masa mereka untuk melakar semula manis yang hilang. Kasih yang bercatu. Sayang yang dibayang-bayang anak. Keintiman yang sudah lama menjadi janggal. Mereka ingin kembali menemui diri mereka sendiri. Kembali memadu kasih di hujung usia. Membuka semula lipatan sejarah cinta mereka. Berilah mereka peluang dan ruang itu. Anak-anak yang sudah besar panjang seharusnya mengerti karenah usia. Masakan kedewasaan tidak memberikan pengertian.

Sebelum berumahtangga cubalah membuat bayangan ke hadapan. Visualise the future. Bahawa apabila berkahwin kau membawa seseorang ke dalam keluargamu. Tambahan yang tidak banyak. Hanya satu. Namun yang kau bawa itu pasanganmu. Yang tidak diketahui luar dan dalamnya. Kita seperti tahu tetapi interaksi dan reaksi antara jiwa yang berlainan latarbelakang ada geserannya. Ada gurisnya. Ada bezanya. Bayangkanlah bahawa apabila bernikah kahwin kau akan membina keluargamu sendiri. Bukan lagi bergantung kepada ibu dan bapa. Bukan lagi bergantung kepada abang dan kakak. You are on your own. Alone. Yes alone. But then your spouse is your baby. Dear baby. Ketika itu ibu bapa bukan pelindungmu. Bukan lagi penanggungmu. Bukan lagi tempat bergantung harap sepenuhnya. Bukan lagi tempat menagih cinta dan simpati. Tidak lagi. Kau menjadi anak yang satu. Sendiri. Individu yang keseorangan. 

Bayangkanlah kau membina keluarga. Dari seorang menjadi dua. Selepas itu angka tambahannya mencacak setiap tahun. Dari dua menjadi tiga, empat dan berekor-ekorlah banyaknya. Hidup menjadi penuh. Tanganmu menjadi tidak cukup. Mata menjadi kurang awas. Kaki sentiasa melangkah deras. Mulut tiada hentinya melontar kata. Panggil dan suruh. Marah dan nasihat. Pujuk dan berdamai. Demi anak-anak.  Kesibukan yang semakin menjadi-jadi. Apabila seorang ke TADIKA akan ada yang menyusul ke PASTI. Atau ke TABIKA. Hanya sebentar mereka berpindah ke sekolah kebangsaan. Paginya seawal selepas Subuh. Kembalinya melewati waktu Zohor. Petangnya tuisyen. Malamnya ulangkaji dan kerja rumah. Menjelang pula UPSR. Ada rezeki ke asrama penuh. Atau di rumah di bawah ketiak ibu dan ayah jua.

Tahu-tahu seorang demi seorang anak-anak itu meninggalkan rumah. Akan jarang kembalinya. Hanya cuti yang datang membawa mereka bertandang meriuhkan suasana sunyi yang dulunya tidak biasa. Sekarang semakin jarang mereka kembali. Tunggulah cuti yang akan mendatang. Anak-anak berkerjaya. Sukar menemukan keseluruhannya kerana jadual yang berbagai. Tugasan yang berbagai. Tanggungjawab yang berbagai. Ibu bapa akan akhirnya kembali berdua. Sampai masanya akan keseorangan semula. Nikmat berkeluarga bukan selama-lamanya. Sebab itulah kau kena belajar mengurus diri dan pasangan. Banyak yang perlu digambarkan. Difikirkan. Dirancang masa hadapan yang perlu diusahakan. Didoakan. Dimunajatkan. Dipohon dari Allah kelestarian kesejahteraan keluarga tersayang. InsyaAllah.

Maka bersedialah berasingan dengan kedua ibu bapa. Bukan untuk lari. Bukan untuk menjauhkan diri. Bukan kerana benci. Hakikatnya ialah untuk belajar sendiri hidup berkeluarga. Mengerti susah payahnya hidup berdua, bertiga dan seterusnya. Tahu asam dan garam yang tiada di dapur. Ikan dan sayur yang perlu dibeli di pasar. Tahu berjimat. Tahu bajet. Tahu menyukat kemampuan ekonomi. Sepadankan kesemuanya dengan kemampuan diri. Duduk berasing akan banyak mengajar erti lebih dan kurang. Erti cepat dan lambat. Erti pandai dengan tidak. Makan berlaukkan garam sekalipun tiada siapa yang tahu. Semuanya menjadi rahsia keluarga. Yang perlu dijaga. Disimpan sebagai wadah membina kekuatan berkeluarga. Duduk sendiri itulah guru paling  setia mengajar segala keperitan hidup. Mengajar untuk senyum. Mengajar untuk ketawa. Mengajar untuk pandai. Memilih antara santai dan sibuk.

Hidup berpisah bukan bencikan ibu bapa. Mencari tapak untuk membina jati diri. Menjadi individu yang tidak dibayangi keluarga. Legasi keluarga. Hidup sendiri membina kekuatan untuk menghadapi cabaran. Terpaan-terpaan yang tiada guru untuk mengajar menangkisnya. Asam garam hidup yang banyak rencahnya. Suka duka bersama. Belajar hidup berdua adalah permulaan kepada kehidupan yang lebih mencabar. Masanya yang akan menentukan kelangsungan satu cinta yang membangun kehidupan berkeluarga. Belajar dari salah silap. Pengalaman berharga yang mengukuhkan kesabaran. Ketabahan menghadapi segala apa yang datang. Itulah kemanisan mengalami sendiri. Semua yang perlu dihadapai. Yang tidak menjanjikan apa-apa. Hanya hidup berdua menanti segalanya bejalan seadanya.

Ibu dan ayah. Anak-anakmu sudah bernikah. Lepaskanlah mereka untuk belajar hidup. Bebaskan mereka untuk berdikari. Untuk mencari tapak sendiri. Untuk membina jatidiri. Mencari keindahan hidup berdua.  Jangan ditahan perginya. Jangan dihalang langkahnya. Biar dia dengan kehidupannhya sendiri. Tugasmu adalah memberi restu. Mendoakan kesejahteraannya. Usahlah ditangisi kerana mereka melangsungkan legasimu. Warisanmu. Ibu dan ayah kembalilah kepada membina hidupmu semula. Seleps anak-anakmu menjadi dewasa kau temuilah semula keremajaanmu. Cintamu berdua yang telah kau urungkan. Kembali menyatukan dua hati yang dulunya terpisah sementara. Bebaskan dari penat dan payah. Binalah semula kehidupanmu sendiri. Anak-anakmu mengikut jejakmu. Jejak warisan zaman berzaman. Cucu bukan urusanmu. Cicit bukan masalahmj lagi. Zamanmu sampai di sini sahaja. Berhentilah dari bimbang dan ragu. Agendamu lebih baik dari dulu-dulu.

Wednesday, November 30, 2011

Putus Tali Kasih Bukan Putus Tali Nyawa

Berkawan biar seribu. Berkasih biar satu. Janji diikat. Rindu disukat. Airmata payah pula disekat-sekat. Hati di dalam selalu dihambat kerinduan yang amat sangat. Malam dan siangnya hanya bayangan wajah. Sayu dan hiba. Cinta yang mendalam. Menusuk di qalbu. Saban hari hanya terkenang. Saban malam menjadi mimpi-mimpi indah yang menghilang bila siang menjelang. Dari jauh diutus sayang. Waktu dekat mengusung harapan yang tinggi menggunung. Masa dan detik-detik yang berlalu menghitung datangnya hari yang indah. Hari cahaya bergemerlapan. Hari yang serinya berlaga dengann asap di dapur. Asam garam penyedap hidangan untuk jamuan yang meriah. Sanak saudara dan sahabat handai bertingkah suara dan suap di mulut. Sama-sama meraikan raja sehari. Hari berseri raja sehari. Aduhai! Bila agaknya.

Bayangan itu selalu diharapkan. Datanglah segera untuk mengisi segala keksongan. Memenuhi ruang-ruang kosong dalam hati yang selalu sunyi. Rinduku rindumu. Kita sulam bersulam menganyam sayang. Di bawah lindungan bulan purnama kan kubisikan kata hati. Nada cinta yang selalu dipendam di dalam diri. Datanglah harinya. Ke marilah segala harapan yang selalu kunanti. Jejak jejak itu tidak semuanya kesampaian. Rindu yang hanya tergantung di awang-awangan. Harapan yang melayang terbang membawa semua yang dahulunya dekat mendatang. Mentari tidak selalunya cerah. Ada mendung yang menutup cahaya. Ada hujan yang membasahi panas. Ada angin yang menghembus deras. Ada gelombang yang membadai pantai. Anak sungai lagikan berubah, ini pula hati orang. Suratan yang datang tanpa diundang. Ditepis tetap mendekam. Datang dam payah dinyah pergi. Ketentuan dari Allah jua.

Fitrahnya begitu. Dalam apapun ada pasangannya. Pada hujung tahun begini ramai yang ke jinjang pelamin. Yang melayari bahtera bahagia dengann pilihan hati. Gendang dan kompang. Irama dan lagu. Rima cinta yang bersambut. Mahligai bahagia yang terbina. Renjis-renjis dipilis. Senyum dan tawa memanjang. Orang di sebelah tentulah orang disayang. Yang akan didampingi untuk seluruh hidupmu. Untuk membina rangkaian zuriat yang nantinya melapangkan dada. Menyebar ke seluruh alam untuk memberi khidmat. Memberi bakti. Memberi manfaat kepada manusia lain. Itulah manifestasi cinta dua sejoli. Termetri menceriakan sesiapa yang dekat dan jauh. Indahnya untaian kata yang dipadu. Usia bersama yang akan dihabiskan membina segala keindahan. Merentas alam bahagia bersama.

Rasanya berat. Sangat mencengkam. Kepala terasa terikat. Sarat dengann saraf yang tegang. Tidur dan jaga sudah tidak lagi menjadi isu. Makan dan minum bukan lagi perlu difikir. Badai harapan yang menghempas sukma rindu. Jauh memecah kehampaan yang berkecai bak ombak ke pantai. Hanya buih-buih kosong yang pecah ditiup angin pantai. Yang datang dan datang. Badai yang terus datang tanpa henti. Menghempas dan menghempas. Lemasnya hati yang patah. Sayap yang parah. Harapan yang melarah. Rindu yang tidak akan terubat. Sayang yang tidak akan terikat.  Rindu yang tidak mungkin kesampaian. Ikatan kasih yang terlerai. Badai datang menjengah sampai. Ikatan yang dulunya kejap terungkai berjurai. Lerai dari ikatan yang tidak pernah di meterai. Hanya kata hati dan harapan semata. Tidak pernah ada tanda benar atas kekuatannya. Harapan yang terus diharap. Lemas dalam penantian. Lalu masing-masing mencari nafas mengejar yang pasti. Ikatan harapan yang menyambung suka duka hidup. Membina harapan baru. Kelangsungan sebuah cinta. Tidak dua dan tidak tiga.

Lalu kasih yang dibelai menjadi layu. Sayang yang disemai menjadi kaku. Cinta yang hanya bersemi sementara. Badai datang meleraikan kasih yang yang tidak pernah utuh. Hanya bibir yang mengungkapkannya. Tidak mengalir ke dalam dada. Tidak abadi. Mencuka juga akhirnya. Lamunan yang menjadikan diri terjaga. Dinihari cinta yang mencerah dan hilang dipanah cahaya mentari. Hilang bak embun di hujung rumput. Kabus yang hanya menghilang sementara menanti cahaya. Berterbangan bersama bayu pagi yang dingin. Kaku. Kelu. Sebu.  Luntur bersama masa berlalu. Hilang bak bulan yang disinari cahaya mentari. Ada tetapi tiada siapa yang sudi melihat. Tidak mungkin ada yang akan menatapnya. Serinya hilang begitu. Hanya berbalam-balam seperti tiada lagi. Begitulah suatu episod cinta yang tidak kesampaian. Cinta yang tidak berpanjangan. Sayang yang tidak ke penghujungan. Setia yang tiada kelestariannya. Semuanya patah di dahan. Luruh di ranting. Berlopak di jalanan. Jerlus hilang tenggelam dalam kesepian yang tidak pernah diundang.

Benarlah cintakan manusia itu fitrah. Memang Allah menciptakan Adam dan Hawa untuk berkasih-kasihan. Membina mawaddah. Melestarikan zuriat manusia hingga ke akhir zaman. Namun hakikatnya hanya Allah yang Maha Mengetahui. Manusia merancang. Allah juga merancang. Sesungguhnya perancangan Allah jua yang mengatasi segala perancangan. Allah Maha Mengetahui. Perancangannya adalah yang Maha Adil untuk manusia. Hanya jika manusia mengetahui hikmahnya. Hanya redho menjadi pengubatnya. Yang berupaya meredakan gejolak hati. Bahawa anugerah Allah itu bukan dapat dikenal pada suratanNya sahaja. Yang tersirat perlu dihayati. Allah pasti memberi yang terbaik untuk sesiapapun. Yang pentingnya maklum dan tahu perancangan Allah. Semuanya dari Allah. Kita sekadar hambanya. Hamba yang seharusnya redha. Selalu bersangka baik terhadap Allah. Percayalah, ada hikmah di sebalik sesuatu yang kita anggap sebagai musibah. Allah akan menggantikan dengann yang pasti lebih baik jika redha ada dalam hati. Serahkan kepada Allah Yang Maha Mengetahui.

Cinta bukan sesuatu yang abadi sifatnya kecuali cintakan Allah dan RasulNya. Sayang bukan abadi kecuali sayangkan Allah dan RasulNya.  Seluruh hidup kita hanya milik Allah. Sesungguhnya cintakan Allah mengatasi segala-galanya. Kitalah hamba yang selalu didambakan kehambaannya. Serahkan kepadaNya apa-apa yang terbaik untuk kita. Pastilah, Allah tidak akan membebankan kita tanpa dapat kita menanggung beban itu. Ingatlah, kita dianugerahkan akal dan fikiran. Pergunakanlah ia untuk Allah. Demi Allah. Cinta terhadap Allah mengatasi segala-galanya. Cintakan manusia tidak seharusnya melindungi kita dari mengharap cinta Allah. Dari mengharap keredhaanNya. Dari maghfirahNya. Allahuakbar! Demi nyawa kita yang ada di tanganNya kita tidak sunyi dari ujianNya.  Ujian itulah yang mendewasakan kita. Yang mematangkan kita. Yang memartabatkan kita. Sesungguhnya seluruh kehidupan bergantung harap kepadaNya.

Cinta itu datang dan pergi. Sayang itu datang dan pergi. Kasih itu datang dan pergi. Kecintaan terhadap manusia sekadar sesuatu yaag sementara. Kebanyakan masa kita menyimpannya di dalam hati. Dalam perasaan. Dalam sanubari. Dalam qalbu. Anugerah Allah itu indah tetapi tidka semuanya abadi. Ia datang dan pergi. Bersilih ganti. Redhalah. Yang redha akan merasa nikmat perpisahan. Tentu ada hikmahnya. Tidak semua yang kita sayangi akan kita miliki. Tidak semua mimpi itu menadi kenyataan. Tidak semua cinta merealisasikan keindahan rumahtangga dan berkeluarga. Halangan Allah itu amat halus. Manusia biasa tidak mungkin dapat melihatnya dengann mata hati. Kita merancang dan Allah tetap merancang. Namun peancangan Allah tetap unggul melewati perancangan kita sebagai manusia daif. Hamba yang lemah. Hanya iman kita yang mengenalnya. Kecintaan kepada Allah akan mengatasi segala-galanya. Percayalah! Berkomunikasilah kepada Allah. Bermunajatlah kepadaNya. Berdialoglah kepadaNya. Bentangkanlah isi hatimu. Mohonlah segala kebaikan. Hikmah di sebalik yang namanya musibah. Sesungguhnya cintakan Allah dan RasulNya adalah lebih abadi. Mengatasi segala kecintaan yang ada di alam maya ini. Sejak dari Adam dan Hawa lagi.

Yang terputus hanya tali hati. Tali kasih yang simpulnya tidak kejap. Manik dan mutiara yang bertaburan. Hanya kelip-kelip yang tidak dapat diuntaikan. Tali sayang yang terurai dalam diam. Tali cinta yang terlerai kerana tiada izinNya. Sesungguhnya Allah memberikan yang terbaik untuk diri kita. Allah Maha Tahu tentang kekuatan dan kelemahan diri kita. Cubaan Allah adalah untu menguatkan kita. Memperkasakan peribadi kita. Menyempurnakan akhlak kita. Segala puji bagi Allah seru sekalian alam. Selagi tali nyawa itu masih ada, cintailah Allah dan RasulNya. Pasti kau tidak akan pernah kecewa. Tiada terbanding cinta abadi itu. Jalan ke akhirat yang lurus dan pasti. Abadikanlah cintamu kepadaNya. InsyaAllah abadi.

Monday, November 28, 2011

Alam Baru Dalam Dunia Baru

Ramai sungguh pasangan baru yang ke jinjang pelamin. Memasuki alam baru yang memang baru. Alam yang diteroka dalam harapan yang menggunung. Meneroka bermakna laluannya penuh liku. Penuh onak. Penuh dengan segala dugaan. Dalamnya ada ancaman dan halangan dan kekangan. Memasuki mahligai inginkan bahagia. Melalui lorong-lorong bergemerlapan. Menelusuri jalan-jalan indah dengan cahaya pelangi yang memancar-mancar. Dari jauh semuanya nampak cantik. Dilihat amat megujakan. Alam baru yang menjanjikan segala kebahagiaan.  Sesungguhnya  memasuki sesuatu tempat yang baru perlu langkah berhati-hati. Ruang baru yang belum diketahuai luasnya. Dalamnya. Isiannya. Kapasitinya. Yang ada hanya harapan. Mungkin ramalan. Yang pastinya jangan lupa doa dan zikir untuk Yang Maha Esa.

Isteri, ini dunia barumu. Lelaki di sampingmu itu bukan siapa-siapa. Dia orang baru dalam hatimu. Dalam nuranimu. Dia suami yang akan memberimu segala keindahan berumahtangga. Lelaki itu suamimu yang nanti hingga tuamu akan berada di sampingmu. Hingga akhir hayatmu dia bertahta di hatimu. Tenang dalam qalbumu. Dekat antara nafasmu. Dekat antara kulitmu. Setiamu setianya. Kasihmu adalah kasihnya. Sayangmu adalah sayangnya. Rindumu adalah rindunya. Cintamu adalah cintanya. Jodohmu padanya. Lapanglah masa hadapanmu di jalan lurus yang panjang. Jalan lurus yang luas terbentang. Di kanan dan kirinya penuh berbunga. Berbaris penuh bunga yang berjajaran. Mewangi sepanjang jalan itu. Jalan yang akan kau tempuhi bersama dengannya.

Sayangilah dirimu. Bila kau mengahwini seorang lelaki jangan kau lupa bahawa dia anak seorang ibu. Anak seorang bapa. Abang kepada adik-adiknnya. Adik kepada abang dan kakaknya. Bapa saudara kepada anak-anak buahnya. Dia adalah ahli kepada saudara maranya. Mengahwini seorang lelaki pastinya dengan restu ibu bapanya. Kau harus diterima mereka sebagai anak baru mereka. Orang baru yang memasuki dunia mereka. Alam mereka yang dulunya tanpamu.  Pada langkah pertamamu lihatlah jika ada riak. Jika ada kocak. Jika ada rekah di mana-mana. Alunan ombak kecil pasti ada. Biasalah di tepian pantai keluarga. Yang baru akan dinilai. Akan diberi peringkat. Ada yang memberi tempat dan tingkat. Tidak semuanya akan manis sepanjang hayat. Langkahmu, langkahmu mesti kejap dan kukuh. Mesti tetap dan teratur. Tersusun dengan pasti untuk mencari tapak. Tapak itulah yang menjadi asas untuk kau teruskan impian indah membina kebahagiaan. Secara fizikal. Secara mental. Secara psikologikal.

Penilaian terhadapmu bukan sedikit. Akan berpanjangan dan memanjang. Dari satu episod ke satu episod yang berturutan. Percayalah seluruh kehidupanmu yang baru adalah suatu ujian yang tidak ada putusnya. Silih berganti kau akan diuji. Satu demi satu. Dari saat kau langkahi ruang baru itu. Rumah baru itu. Lapanan baru itu. Alam baru itu. Sudah sedia dengan masak dan lauk paukmu. Semua orang ingin merasa masin, manis dan masamnya. Aroma dan rangupnya. Garing dan masaknya. Bersedialah dengan komen dan kritik. Ada yang suka dan ada yang tidak. Lapangkanlah dada untuk menerima pujian atau sedikit kata-kata sinis yang tidak mengena. Orang-orang juga. Mana sama orang sendiri. Begitulah kau akan membiasakan diri dengan hal-hal yang baru. Semuanya perlu dipelajari untuk masa hadapan yang panjang.

Barangkali kau akan dinilai juga tentang kemas dan sepahmu. Sebagai pengurus rumahtangga kau telah dididik oleh ibumu. Oleh keluargamu. Kemas dan susun. Atur dan licinnya. Jangan ada sampah. Jangan ada sepah. Jangan ada yang berkecah. Kekemasan yang menjadi sesuatu kemestian. Nilai baik yang tentunya bersama pujian. Kemas itu bukan sahaja lantai dapur. Lihat juga seluruh dapur. Termasuk periuk dan belanganya. Pinggan dan mangguknya. Sudip dan sudunya. Basuh dan bilasmu. Susun dan tusnya air dan basahnya. Baju dibasuh. Disidai kemas. Dilipat dan disusun. Harum dengan sabun dan pelembut kain.   Siapnya disusun dan digantung. Almari dan gerobok yang diwangikan dengan ubat gegat. Keharuman yang mengharumkan. Kain dan baju yang sedap dipakai.

Bilik ridurmu akan selalu menjadi imejmu. Katilnya yang kemas adalah lambang dirimu. Kekemasan cadarnya adalah dirimu. Bantalnya dirimu.  Seluruh bilik ridur itu milikmu. Tapi ingat ianya hanya sementara. Ia hanya suatu jangkamasa yang sangat singkat. Selagi tidak tamat bulan madumu gunakanlah bilik itu semaumu. Bila tamat nanti bilik itu menjadi rebutan siapa yang dahulu. Apabila ada adik beradik lain yang bernikah maka hakmu ke atas bilik itu dan segala isinya bukan lagi hakmu. Namun sementara ia menjadi medanmu ada harapan supaya kau menjaganya. Kekemasan dan kebersihannya adalah tanggungjawabmu. Keteraturannya menjadi nadi dirimu. Kau dan bilik itu menjadi sinonim. Hari-harimu akan bersama bilik itu. Di situ ada dirimu. Kasihmu. Cintamu. Rindumu.

Tidur dan jagamu hendaklah berjadual. Ada agenda harian yang kau penuhi. Dari jagamu ada yang perlu kau selesaikan. Menuntut kesempurnaan. Sarapan pagi untuk bekal hari yang menjelang. Air dan makan. Sayur dan kalori. Makanan sihat untuk menjaga tubuh badan. Untuk tenaga membina produktiviti. Kerja dan tugas membina kerjaya. Membina keluarga. Membina negara. Sarapan bukan sekadar makan dan kenyang. Ia memberi tenaga untuk bekerja keras menghadapi hari-hari yang akan menjelang datang. Nanti anak-anak akan datang menjengah seorang demi seorang. Berekor-ekor ramainya. Mudah-mudahan datang mereka sebagai anak-anak yang soleh dan solehah. Mentarbiahkan alam dan umat ke jalan Allah. Anak-anak yang akan menjadi warisan keluargamu. Keturunanmu. Kesinambungan darah dagingmu. Keluatga barumu menagih sarapan enak darimu. Suamimu akan bergantung kenyang sarapan yang kau hidangkan saban pagi.

Hatimu hendaklah terbuka. Hendaklah dilapangkan menerima kehadiran segala yang baru. Orang-orang baru yang ada di sekelilingmu. Persekitaran baru yang dulunya asing kepadamu. Semua yang kau sentuh adalah baru. Proses belajarmu akan panjang dan berterusan. Banyak yang baru mesti dipelajari. Akan nanti menjadi bekal hidup untuk meneruskan  kewajaran kehadiranmu. Salah dan silap fitrah manusia. Maaf dan memaafkan itu yang dituntut. Sabar perlu ada. Tabah menghadapi semuanya yang datang. Baik dan buruknya. Sakit dan senangnya. Berbagailah yang bersilih ganti. Hidup mesti diteruskan kerana proses belajar yang tidak pernah tamat. Bukan kerana usia. Kerana keperluan untuk hidup. Kerana hidup itu sendiri. Tidak ada yang perlu dielak. Anugerah atau masalah sama sahaja pada spektrum yang sama. Bahagia di hujung sana yang dicari dan ingin dibina.

Tolehlah ke kananmu. Ada lelaki suamimu. Tolehlah ke kirimu. Ada lelaki yang sama menjadi suamimu. Lihatlah disekelilingmu. Dia ada di mana-mana. Seluruh kehidupanmu bersamanya. Lindungannya. Pemagarannya. Kawasan takluknya. Selamanya kau akan bersamanya. Hidup dan matimu bersamanya. Tiada yang terpisah dan memisahkan. Tawa dan tangismu bersamanya. Hidup dan matimu bersamanya. Keluargamu akan membesar untuk kau dan suamimu. Anak-anak yang akan menyerikan hidup bersama. Kasih sayang yang tertumpah untuk melestarikan cinta dua insan. Kasih sayang yang datangnya dari dalam diri. Kerana Allah cintamu adalah untuknya. Jagalah dia bak mutiara yang perlu digilap. Bantulah dia menyerlahkan peranannya sebagai suami dan bapa. Kau akan bernaung di bawah lembayung cinta dan kasihnya. Semoga abadi kekal selamanya. Dunia membawa ke akhirat. Semoga Allah bersamamu. Barakallahumma. Wabaraka alaikuma.

Friday, November 25, 2011

Biarlah Anak Kita Boleh Berdikari

Anak-anak kita mula membesar. Sudah tahu yang mana baik dan yang mana tidak. Akalanya sudah berkembang. Mengerti apa yang boleh dan apa yang tidak. Mudah-mudahan mereka terdidik untuk menjadi anak yang baik. Ahli keluarga yang baik. Ahli masyarakat yang baik. Menjadi warga yang baik. Umat yang baik. Hamba Allah yang baik. Namun begitu hidup ini banyak bergantung dengan diri. Orang lain sekadar membantu. Mungkin ramai orang-orang profesional yang dapat membantu. Syaratnya kita kena bayar mengikut kadar yang dituntut sesuai dengan perofesionnya. Tidak ramai antara kita yang mampu. Kebanyakan kita adalah orang-orang yang perlu berdikari. Walau apapun anak-anak, tanpa mengira kekuatan ekonomi keluarga mereka perlu diajar untuk berdikari. Kehidupan tidak selalunya cerah. Ada masanya mungkin menemui kehidupan yang membuntukan. Yang daif dari segala segi.

Maaflah bagi tuan dan puan yang mampu memiliki pembantu rumah. Bila ada pembantu bukan bermakna semua urusan rumahtangga diserahkan kepada pembantu. Makan minum pembantu yang sediakan. Kemas rumah pembantu yang buat. Kemas katil, cadar, bantal dan selimutpun pembantu yang buat. Anak-anak semuanya diurus oleh pembantu rumah. Kebersihan rumah begitu juga. Sekeliling rumah juga pembantu yang buat. Pendek kata pembantu rumah menjadi nadi dalam keluarga itu. Dalam rumahtangga itu. Isteri banyak memerintah. Banyak mengarah. Banyak bentaknya. Banyak karenahnya. Songelnya menjadi-jadi. Yang lebih menyugulkan tingkah laku ibu bapa diikuti oleh anak-anak. Yang sekecil-kecil anak sudah pandai memerintah. Mengancam. Mendera pembantu rumah. Bayangkan besar mereka nanti jadi apa agaknya? Mereka jadi orang yang memerintah. Tidak pandai menerima arah.

Ada kesilapan percaturan dalam hal ini. Memang pembantu rumah digaji untuk membantu. Saya tegaskan lagi, untuk membantu. Ya membantu. Tidak sekali-kali mengambil alih tugas ibu. Tugas bapa. Tugas kakak. Tugas abang. Bayangkan senerio ini. Setiap hari bapa makan dan minum yang ada air tangan pembantu rumah. Kain baju diramas pembantu rumah. Dia yang basuh. Dia yang bilas. Dia yang sidai. Dia yang angkat. Dia yang lipat. Dia yang seterika. Dia yang simpan. Dia yang menyusun. Katil pembantu yang siapkan. Segala tilam, bantal, cadar, comforter dan selimut ada sentuhan pembantu rumah. Suami makan dihidang oleh pembantu rumah. Nasinya disendukkan. Lauknya ditambah-tambah. Layanannya berkeliling meja. Bapak makan diberi layanan istimewa. Setelah bertahun-tahun bapa atau suami terasa banyak perbezaan antara isteri dan pembantu rumah. Dalam hal-hal yang sekecil-kecilnya suami bergantung harap kepada pembantu. Maaf sekali lagi. Berapa banyak bapak yang akhirnya menikah dengan pembantu rumahnya.

Wahai isteri mengapakah ruang yang tertutup itu dibuka? Mengapa lapangan yang eksklusif itu dibenarkan diteroka oleh orang lain? Mengapa gelanggang yang satu itu dilapangkan kepada orang lain? Mengapa sentuhan isteri diberikan kepada orang lain? Sehari dua tidak ada masalahnya. Seminggu dua mungkin tidak memberikan banyak masalah. Namun setelah bertahun-tahun suami dihantar ke kereta. Bertahun-tahun suami disambut di pintu kereta. Akhirnya yang hadir dalam hati ialah pembantu rumah itu. Kelibat isteri hilang ditelan masa dan karenah hidup mewah. Atau karenah hidup yang banyak di luar rumah. Suami dibelai oleh pembantu rumah. Makan minumnya dijaga. Tidur jaganya dipelihara. Sandang pakainya dirapikan. Seisi rumah disusun indah. Lihat kembali entri saya Apakah Wanita Berhak Melindungi Suaminya? Trend yang ada cukup membimbangkan. Anak-anak menjadi warga yang jasadnya terpisah dari jiwanya. Terdidik oleh orang yang asing dari keluarga terdekat.

Sebenarnya  anak-anak perlu kehadiran ibu. Walaupun bapa jarang bersama, ibu menjadi pengimbangnya. Pendamai. Semasa kecil lagi anak-anak dilatih untuk berdikari. Sejak dari usia setahun dua ajar mereka makan sendiri. Mungkin bersepah. Mungkin lambat. Mungkin banyak yang tidak betulnya. Sabarlah. Inikan proses pendidikan. Biar anak mengambil masa untuk melatih diri mereka sendiri. Biar mereka makan sendiri. Biar mereka minum sendiri. Biar mereka belajar menyukat kuantiti makanan yang perlu dimakan. Minum yang perlu diminum. Pada peringkat awalnya memang menyemakkan (messy) tetapi tanpa latihan mereka menjadi lebih parah nantinya. Ajar mereka berkongsi apa yang ada.  Baik makanan. Baik minuman. Baik mainan. Baik ruang. Makanan terutamanya hendaklah dikongsi banyak atau sedikitnya. Halang daripada datangnya rasa tamak. Haloba. Hendak lebih sahaja. Tidak mahu mengalah.

Bilik mandi adalah tempat latihan yang sangat wajar. Banyak aktiviti wajib yang perlu dilaksanakan. Bukan hukumnya wajib tetapi perbuatan itu hendaklah dilakukan. Tidak boleh tidak. Didik mereka membaca doa. Langkah kaki diri untuk masuk. Cuci tangan. Gosok gigi. Basahkan badan. Sabun ke seluruh anggota. Bilas. Lap dengan tuala dari rambut hingga ke kaki. Keluar dari bilik air dengan kaki kanan.  Baca doa keluar tandas. Baiklah. Dalam bilik air banyak alat dan perkakasan. Ubat gigi dan berusnya hendaklah diletakkan kembali seperti sediakala. Ikut susunannya. Elakkan menggosok gigi di sinki sambil mengadap cermin. Sinki comot, cermin pula berkerumut. Kotor di sana sini. Gosoklah gigi di ruang mandi. Sabun mandi pula diletakkan kembali di tempatnya. Dinding bilik air yang berselaput sabun, daki dan rambut hendaklah disiram dan dibersihkan. Rambut yang terkumpul di lubang air dikutip dan dimasukkan ke tong sampah. Paling lama seminggu sekali berus lantai dan dinding bilik air.

Pernah lihat anak tuan mandi. Anak puan mandi. Ibu bapa hendaklah mengajar anak mereka mandi. Cara menggunakan berus gigi. Banyak mana ubat giginya. Anggota mana yang perlu dibasuh. Disabun. Disental. Bagaimana menggunakan syampu. Setakat mana mereka menjirus badan. Lama mana menggunakan paip mandi (shower). Bagaimana mereka mengelap badan dengan tuala. Jika tidak dilatih mereka banyak bermain di bilik air. Membazirkan apa sahaja yang ada di dalamnya. Menggunakan air melampau-lampau. Yang nanti menyulitkan ialah mandi mereka tidak bersih. Daki mereka masih menebal. Sabun di badan tidak pernah bersih. Mereka  berkubang hingga bilik air menjadi tunggang langgang. Bukan lagi bilik air tetapi menjadi bilik comot dan kotor. Mandi mereka tidak pernah sempurna. Mandi bukan sekadar membasahkan badan.

Perhatikan selalu sewaktu mereka makan. Berapa had yang selayaknya untuk mereka. Latih mereka mengambil lauk dengan ala kadar. Bila ada lagi mereka tambah. Jangan benarkan ada yang membolot apa sahaja yang ada. Banyakkan makan bukan banyakkan minum. Ajar mereka menghulur lauk pauk yang dekat di hadapan mereka kepada ahli yang lain. Suap mereka secukup mulut. Dikunyah lumat baru ditelan. Jangan makan dengan laju. Atau disuap sebesar-besarnya. Atau makan terlalu lambat. Terlalu banyak. Semuanya ini latihan untuk berdikari. Supaya anak-anak kita boleh bertugas di mana sahaja. Dia boleh hidup. Survive. Pendedahan penting. Pengalaman penting. Amali penting. Memahami keseluruhan sistem dan konsep sangat penting. Memahami adalah penting. Begitulah penghayatan dan sifat mengerti.

Begitulah bila di rumah orang. Hatta keluarga sendiri sekalipun. Privacy mereka jangan digugat. Didik anak-anak supaya banyak memandang. Jangan tangan mereka banyak memegang. Banyak menyentuh. Banyak memutar. Elakkan mengambilalih apa sahaja yang ada di rumah orang. Rumah orang tetap rumah orang. Apatah lagi mengusik sana dan mengusik di sini. Status quo orang yang menerima tandangan kita harus dihormati. Bagaimana kita datang begitulah seadanya bila kita kembali. Bila kita meninggalkan rumah mereka. Tidak ada yang terusik kecuali makanan dan minuman yang terhidang. Itupun kena jaga adab di meja makan. Jangan bersepah. Jangan tumpah air di sana sini. Rumah orang tuan. Rumah orang puan. Walaupun dia menghormati kita sebagai tetamu, kita kena juga main peranan untuk menghormati mereka. InsyaAllah jika dari kecil kita latih anak kita, nanti besarnya mengikut kata. Senang dilentur. Mudah mematuhi kata orang tua. Mudah-mudahan begitu.  

Thursday, November 24, 2011

Mendidik Anak Bak Dari Rebung

Kita biasa melihat anak-anak yang tingkahlakunya memualkan. Sakit mata memandang. Sakit hati mengenang. Apakan daya anak orang. Jika anak kita, tahulah apa yang perlu dibuat kerana karenah anak tentulah ada hadnya. Keletah mereka ada batasnya. Kenakalan mereka mesti ada sempadannya. Bukan lepas semacam sahaja. Anak itu menunjukkan bangsanya. Refleksinya kepada ibu bapa dan keluarga terdekat anak itu. Anak itu disandarkan kepda kedua ibu bapanya. Kepada datuk neneknya. Kepada keluarga besarnya. Melihat yang sebaliknya tentulah sejuk ibu mengandung. Kita ingin melihat anak yang petah tetapi menampakkan inteleknya. Kita ingin melihat karenahnya tetapi menuju kebaikan dan keunggulan. Kita ingin melihat kenakalannya tetapi pada masa yang sama ada empati. Ada simpati. Ada sensitiviti yang membina. Darjah kepekaan yang tidak perlu disentuh. Memang tinggi membanggakan. Anajk teladan. Anak contoh.

Kita banyak melihat semua ketidakbaikan itu setelah mereka semua membesar. Setelah mereka semua hampir menjadi buluh. Ketika mereka semua sudah mendarah daging apa-apa yang mereka yakini benar. Mereka sudah menjadi buluh. Keras. Boleh dilentur tetapi mengambil masa yang panjang untuk melayurnya. Terpaksa dipanggang panas. Kita turut kepanasan untuk melenturnya. Yang dilentur panas. Yang melenturnya juga panas. Barangkali yang melihatnya juga turut kepanasan. Itulah gambaran sukar untuk melentur anak-anak yang sudah terlanjur usia mereka. Umur sehingga tujuh tahun itu tidak kita pergunakan untuk menjinakkan mereka. Untuk memberi makna kepada mereka. Untuk menjadi makmum yang patuh. Menjadi imam  yang berwibawa. Menjadi warga yang bergerak mengikut landasan wawasannya. Uisa hingga tujuh tahun itulah peluang terbaik yang datangnya dari perintah agama.

Melentur dari rebungnya. Semasa anak itu boleh diliang liuk untuk mengikut kehendak kita. Kebersihan adalah asas kepada kebaikan lain. Oleh itu didiklah anak-anak supaya menghormati kebersihan. Menghayatinya dan sesalu menjaganya. Penghargaan kepada kebersihan sangat tinggi. Untuk melahirkan anak-anak yang sangat peka perlukan didikan sejak dari awal. Sejak mereka mula bergerak. Sejak mereka kenal bersih dan kotor. Sejak mereka boleh memandang. Sejak mereka boleh mendengar. Sejak anggota tubuh badan mereka boleh bergerak. Boleh memegang. Boleh mencapai. Boleh mengenggam. Prosesnya panjang. Mulakan dari yang senang. Yang mereka boleh buat. Sesuatu itu hendaklah dimulakan. Bak kata pepatah, lulus jarum luluslah kelingking. Bila yang kecil boleh dilaksanakan maka yang besar akan menjadi mudah. Latihan lebih melicinkan lagi prosesnya.

Anak-anak hendaklah disediakan ruang khas untuk bermain. Ruang yang jika disepahkan boleh dikemas di kawasan itu sahaja. Tidak menular ke ruang-ruang lain yang berdekatan. Sebab itulah ibu dan bapa hendaklah bekerja keras supaya dapat memiliki rumah yang agak selesa. Membuat rumah yang cukup besarnya. Supaya ada ruang untuk anak-anak bermain. Terlindung dari ruang yang kerapiannya perlu dikekalkan selalu. Yang bila tetamu bertandang tidak perlu malu. Tidak perlu berlari untuk mengemaskannya. Tidak menyesakkan orang bila terpandang sepahnya.  Tempat bermain itu mestilah ada lekapan dan perkakasan yang boleh menyimpan mainan atau apa-apa kesukaan anak-anak. Bermain ada jadualnya. Semasa bermain ibu bapa perlu hadir berhampiran. Takut-takut barang mainan mereka menjadi ancaman kepada mereka. Mencederakan mereka. Semasa bermain mesti ada peraturan supaya anak-anak tidak berkelahi. Nanti bisingnya membingitkan. Memainkan emosi dan psikologi ibu bapa yang letih, kepenatan dan kehabisan tenaga mengurus keluarga. Selepas bermain beri tanggungjawab kepada mereka supaya berkemas. Supaya mengembalikan mainan ke tempat asalnya. Latih dan latih hingga mereka terbiasa. Main dan kemas itu akhirnya menjadi mainan dalam diri mereka. Bukan lagi beban yang dipaksakan.

Setiap kali terpandang sampah didik mereka supaya boleh mengutipmnya. Supaya mereka mengerti bahawa sampah tiada tempat dalam kamus hidup kita. Supaya sampah tidak dibenarkan wujud dalam rumah. Tiada di persekitaran rumah. Pengalaman itu kita perluaskan supaya mereka peka sewaktu di sekolah. Di tempat awam. Di padang permainan. Di bandar dan pekan. Nanti anak itu boleh memberi nilai kebaikan. Menjaga kebersihan. Menegur sesiapa yang tidak bersih. Di negara maju itulah yang berlaku. Kanak-kanak kecil sudah sangat peka dengan sampah. Di Singapura anak-anak sejak dari kecil sudah disogok untuk membenci sampah. Di Jepun abukpun disapu. Di US dan di Eropah sama sahaja cara berfikir mereka. Kebersihan adalah ajaran agama. Walaupun hanya Islam yang memberi nilai baik kepada kebersihan tetapi orang Islam tidak berjaya melaksanakannya secara meluas. Orang di negara maju yang bukan Islam berjaya pula ke arah itu. Suatu pengajaran yang mahal jika kita memahami.

Didik anak membuang sampah. Dari dapur. Dari laman rumah. Dari yang dikumpul di sekeliling rumah. Ajar mereka menyapu. Menggunakan vakum sampah. Biar mereka faham keluarga kita memang anti sampah. Anti sepah. Anti tunggang langgang. Anti rumah yang tidak diurus. Tanggungjwab itu diberikan kepada mereka dengan serius. Dengan komitmen yang tinggi. Dengan kesungguhan yang melampaui kesantaian. Tunjukkan kepada anak yang ibu dan bapa tidak boleh bertoleransi dengan sampah. Bila memberi arahan, ibu dan bapa hendaklah pandang sampah itu. Pastikan mereka mengutip atau membersihkannya. Pastikan mereka menggunakan alat yang betul. Pastikan mereka membuangnya ke tempat yang betul. Pastikan sampah itu dibuang ke dalam tong sampah di hadapan rumah. Pastikan sampah itu betul-betul masuk. Jangan benarkan mereka membuang sampah merata-rata. Nanti akan menajdi tingtkah laku yang membebankan keluarga. Membebankan masyarakat. Membebankan negara. Perkara yang remeh di rumah akan menjadi bala besar kepada negara. Menjadi bencana. Warga yang sukakan kotoran. Hanya akan membazirkan kewangan negara. Wang cukai yang kita bayar. Hanya kerana di rumah mereka tidak dididik untuk mengurus sampah yang sangat sedikit.

Anak-anak yang terdidik untuk sentiasa berkemas akan membentuk sikap positif terhadap banyak perkara. Mindanya tersusun dengan aktiviti yang bermanfaat. Ada ketegasan peribadi yang kuat. Sabar dan kental berhadapan dengan cabaran. Komitmen yang istiqamah dalam sesuatu hal. Semuanya bermula dari rebung. Dari rumah. Dari mereka kecil. Jangan remehkan latihan yang akhirnya akan menjadi perkara besar apabila mereka besar dan dewasa  nanti. Selain daripada memenuhi tuntutan agama kebersihan adalah tuntutan alam. Tuntutan kesihatan. Tuntutan pemiliharaan alam sekitar. Tuntutan pemuliharaan. Tuntutan memelihara manusia itu sendiri. Oleh yang demikian mulakan semuanya dari rumah. Dari kawalan ibu dan bapa sendiri. Usah biarkan hal ini di tangan pembantu rumah. Standard kebersihan mereka tidak sama. Standard ibu dan bapa yang mesti selari dengan kemajuan negara. Dengan taraf hidup kita. Demi kesejahteraan kita. InsyaAllah. Ibu bapa yang mampu mengubahnya. Dari rumah.

Wednesday, November 23, 2011

Menangani Anak Nakal




Anak itu anak kita. Dari darah daging kita. Hasil dari kasih sayang kita. Allah ciptakan dalam rahim seorang ibu yang bersuami. Isteri kita sendiri. Suami kita sendiri. Yang diterima nikahnya oleh seorang suami. Kitalah suaminya. Kitalah isterinya. Yang sewaktu bercinta dahulu sangat intim membina istana abadi. Ingin berkeluarga dengan cahayamata yang soleh dan solehah. Yang mendukung agama. Cintakan Allah. Cintakan rasulNya. Tidak mungkin darah daging kita tidak dapat kita jinakkan. Jika ibu dan bapanya boleh berjinak-jinak bagaimana mungkin keduanya gagal membawa anak-anaknya ke jalan aliran keluarga. Corak keluarga. Mulalah dari rebung. Itu pesan orang tua. Agak luar biasa jika ibu bapa “kalah” dengan anak-anaknya. Lagilah menyesakkan apabila anak-anak berkospirasi untuk “bermusuh dan berperang” dengan ibu dan bapa mereka. Ada kesilapan besar yang berlaku. Di mana letaknya cokmar kuasa ibu bapa ke atas anak-anak mereka. Ibu yang mengandungkan gagal menjelmakan suatu urutan cinta damai kesinambungan warisan keluarga. Aliran kasih sayang yang terhalang dan terputus dari hati anak. Anak darah daging kita.

Ibu bapa seharusnya belajar mencari ilmu keibubapaan. Belajarlah dari mereka yang berjaya. Dari mereka yang kelihatan sangat-sangat memiliki kewibawaan untuk bercakap tentang kejayaan keluarga. Yang memang diketahui anak-anaknya menjadi “orang”. Kita perlu belajar darinya. Mencontohi kejayaannya. Meneladani apa-apa yang dicapai keluarganya. Ada jalan yang telah diterokainya. Ada jalan yang telah direntasnya. Ada jalan yang telah membawa anak-anaknya ke jalan kejayaan. Kejayaan yang memercukan kebaikan dan kesejahteraan. Bukan satu. Bukan dua. Rujuklah seberapa ramai ibu bapa yang berjaya memberikan yang terbaik kepada anak-anak mereka. Lihat pendidikan anak-anak mereka. Lihat akhlak anak-anak mereka. Lihat sumbangan anak-anak mereka. Lihat lain-lain kejayaan sosial dan semua bidang yang mereka ceburi.

Kejayaan bukan main cuba-cuba. Kita bukan bermula daria kosong. Sudah terlalu ramai orang-orang yang terlebih dahulu dari kita. Belajarlah kerana kita sudah ada guru yang layak kita gurui.  Banyak yang boleh dilakukan. Yang mampu dicuba. Yang ada upaya untuk merealisasikannya. Mulai dari kecil. Dari bayi. Tanggungjwab itu tidak akan tamat hingga nyawa berpisah dari badan. Anak-anak yang sudah besar dan  dewasa sekalipun masih anak kita. Masih perlukan sentuhan-sentuhan hati ibu dan bapa mereka. Darah daging yang masih sama. Alirannya yang tetap mengalir dalam diri semua keturunan. Semua aanak cucu yang akan datang. Yang mewarisi semua yang namanya keluarga.

Ilmu adalah penerang segala kegelapan. Yang mengeluarkan kita dari tidak tahu kepada tahu. Dari yang bengkok dan berbelok-belok ke jalan lurus yang terbentang luas. Dari yang suram kepada yang terang. Dari yang gelap kepada yang bersinar. Dari yang beku kepada yang cair. Dari yang jahil kepada yang mengetahui. Silaplah jika kita hanya mengikut apa yang yang telah dilakukan oleh orang tua-tua kita sahaja. Zaman mereka sudah tidak ada lGI. Kita berhadapan dengan anak-anak zaman siber. Zaman teknologi. Zaman manusia banyak berada di alam maya. Carilah ilmu. Carilah ilmu. Hanya ilmu dapat membantu kita mengurus anak dengan lebih cemerlang. Tidak boleh hanya dengan gerak rasa. Nanti banyak silapnya. Semuanya mestilah berencana. Ada dasar. Ada strategi. Ada kaedah. Ada teknik. Pelaksanaan yang berlandaskan ilmuan. Berlandaskan aqidah. Berlandaskan agama dan Islam.

Tidak benar bahawa seorang suri rumahtangga tidak perlu belajar tinggi. Mana mungkin dia nanti boleh mengenal yang mana baik yang mana tidak untuk anak-anaknya. Inteleknya. Psikologinya. Kesihatannya. Sosialnya. Agamanya. Islamnya. Itu belum lagi matematik, sains, teknologi dan cara terbaik membina akhlak. Seorang isteri yang berilmu pasti melahirkan anak-anak yang lebih baik. Lebih berjaya. Dirinya lengkap dari segi ibu. Minda yang waras tidak cukup jika tidak terbuka. Jika tidak luas pemikiran. Jika tidak luas wawasannya. Jika tidak jauh pandangannya. Maaflah. Orang kita mungkin tersasar pandangannya. Jika untuk menjadi surirumah tidak perlu berpelajaran tinggi. Pelajaran tinggi tidak mengira profesion yang akan diceburi. Menjadi ibu seharusnya perlukan pendidikan yang paling tinggi. Ibu adalah pendidkk pertama. Jika silap maka impaknya berlarutan hingga ke dewasa. Menyusahkan semua orang yang berhubungan dengan anak itu. Paling sukar ialah ia akan menyussahkan kedua ibu bapanya. Susah yang amat sangat. Ramai ibu bapa tidak terlarat menanggung sarat berat karenah anak-anak.

Sejak dari bayi seharusnya anak-anak sudah tahu siapa ibu bapanya. Kekuatan ibu  bapanya. Mana yang boleh dan mana yang tidak. Larangan-larangan tertentu mestilah dilatihkan kepada mereka. Suara dan intonasi suara ibu bapa mestilah yang memberi makna. Suara ibu bapa tidak boleh hanya senada. Hanya selari. Hanya satu hala. Hanya suara-suara tanpa makna. Tanpa dimengerti. Maka suara ibu bapa seharusnya sudah digunakan untuk memberikan makna dan isyarat kepada anak. Suara adalah suatu anugerah. Namun ibu bapa seharusnya mengetahui cara terbaik untuk menggunakan suara. Bila hendak melarang sesuatu perbuatan suara hendaklah dibesarkan. Dikembangkan tenggorok. Suara itu dikeluarkan dengan sedikit lambat, tegas, bergegar. Dan bergema. Suara itu dilafazkan secara lambat-lambat. Satu persatu. Anak-anak yang masih kecil sekalipun asalkan boleh mendengar mereka harus dididik untuk mendengar. Amat silap jika ibu bapa selalu bercakap seperti peluru senapang. Bunyinya sama. Intonasinya sama. Datarnya sama. Suara itu akhirnya hanya menembusi dinding tembok yang keras tetapi tidak menusuk ke dalam cupin telinga anak-anak.

 Bila bercakap hendaklah memandang jauh ke dalam mata anak. Renung anak mata mereka. Renung setajam-tajamnya. Keraskan otot di muka. Beliakkan sedikit mata. Ada warna yang keras. Beri rasa gerun di hati anak. Pandang lama-lama. Pandang dalam-dalam. Jangan bercakap. Pandang dan terus pandang. Bila bercakap, lepaskan suara satu-satu dengan cara berat, lambat dan dengan nada rendah. Sewaktu bercakap kekalkan status mata, pandangan tajam dan mata yang terbuka besar. Panah jantung hati mereka dengan tusukan yang paling berbisa. Ketika itu pamerkan kuasa dan kekuatan keduduknan ibu dan bapa. Jika anak tidak memandang, sebut namanya dengan nada ancaman. Panggil berulang-ulang sehingga anak itu memandang mata ibu atau bapa. Untuk berkomunikasi dengan anak, pastikan mereka memandang muka ibu atau ayah. Prinsip ini mesti diamalkan selalu. Tiada kecuali.

Jangan sekali-kali bercakap sambil berjalan. Suara ibu dan bapa akan tenggelam timbul. Suara itu sekejap kuat dan sekejap perlahan. Butirannya sukar dipastikan. Anak hanya diam kaku tanpa reaksi. Diam bukan mendengar. Kaku bukan takut. Apa yang berlaku ialah lintasan suara ibu dan bapa yang tidak memberi erti. Sukar difahami. Hanya suara tetapi tiada makna. Oleh itu jangan biarkan peluang untuk bersemuka dengan anak. Untuk berakap antara individu dengan seorang individu. Saya kagum dengan orang putih. Jika anak itu lelaki akan dikatakan, “Young man, I don’t like what you did.” Jika perempuan, “Young lady, what you did was wrong. I don’t like it.”   Maknanya apabila hendak bercakap dengan anak letakkan mereka sebagai individu. Bercakap dengan menghormati peribadinya. Yang kita tegur ialah tingkahlakunya.  Bukan maruahnya. Bukan harga dirinya. Bukan hatinya. Belajarlah untuk membina bentuk ini. Jangan bina tembok hingga tidak boleh berkomuniksi dengan anak. Memang ibu bapa berkuasa tetapi kuasa itu dimengertikan kepada anak. Bukan dipaksakan. Hormat hanya diperolehi jika ibu bapa menghormati anak-anak mereka. Berkomunuikasi dengan anak hendaklah bersemuka. Anak-anak yang lain tidak perlu mendengarnya. Di dalam bilik lebih baik. Jika boleh pegang bahunya. Kedua-dua belah. Arahkan mereka memandang ke muka ibu bapa. Lihat nanti apa kesannya. Kongsikan pengalaman ini dengan pembaca yang lain.

Masa. Masa adalah sesuatu yang harus dijaga. Latih anak-anak supaya tahu harga yang besar mengenai masa. Masa siang ada jadualnya. Masa malam ada jadualnya. Hari kerja ada jadualnya. Hari minggu ada jadualnya. Masa cuti ada jadualnya. Tengahari dengan makan dan solatnya. Sebelum maghrib berada di rumah untuk berjemaah di rumah atau di surau dan amsjid. Waktu malamnya untuk membuat kerja rumah. Untuk ulangkaji. Untuk tuisyen. Jika jadual ini dijaga, dikuatkuasakan dan diberikan pengawasan yang ketat, insyaAllah akan ada petunjuk Allah akan kejayaannya. Segala-galanya mesti berjadual. Mestilah dilaksanakan dengan istiqamah. Dengan disiplin yang tinggi. Jadual perlu dipatuhi. Jangan diberi pengecualian kecuali perlu kerana hidup atau mati. Latihan ini sangat perlu untuk membiasakan anak dengan kemanisan belajar. Kemanisan mengetahui. Kemanisan menjadi pandai.

Tidak adakah ruang rekreasi? Ada. Jadualkan masa bermain mereka supaya terbina kesihatan tubuh badan. Supaya mereka merasa keluar peluh. Supaya mereka merasa masin peluh mereka. Kata orang putih “sweat and blood”. Peluh dan darah yang dikorbankan. Tentu sahaja tubuh badan perlu dilatih. Conditioned. Cara itu dapat membina kekuatan mental. Mengekalkan stamina. Membuang rasa bosan. Jadual belajar yang ketat tetapi diselangseli dengan rekreasi atau hobi yang tidak melekakan pasti membina kekuatan azam dan tekad. Boleh bermain tetapi bukan untuk bermain-main. Boleh banyak bercakap tetapi untuk berhujjah secara ilmiah. Boleh menjawab tetapi menjawab dengan fakta. Boleh berkata apa sahaja tetapi mestilah relevan dan berisi. Jangan benarkan mereka bermain-main dalam semua hal. Kena ada gurau yang menyenangkan. Didik mereka supaya tidak mengejak. Supaya tidak menyakitkan adik beradik yang lain. Supaya tinggi kerjasamanya. Supaya sentiasa membina kasih sayang antara mereka. Yang penting berkongsi ruang. Berkongsi masa. Berkongsi makanan. Berkongsi apa sahaja yang namanya adik beradik. Buang dan hapuskan tabiat tamak. Tabiat nakal. Tabiat keras kepala. Tabiat busuk hati, dengki, hasad dan menyusahkan yang lain.

Komputer dan internet. Alat ini ciptaan manusia yang sangat versatile. Banyak sangat gunanya. Kepada anak-anak perlu ada kawalan yang lebih  besar. Ramai anak-anak yang boleh bermain dengan komputer dan apa yang komputer boleh berikan kepada mereka. Malangnya ramai anak-anak terjebak dengan game sahaja. Mereka jadi ketagih. Leka. Lagha. Mereka melupakan yang lain-lain kerana game idaman. Untuk itu ibu bapa perlu mengawal jadual. Mungkin sehari hanya 30 minit sahaja. Jika anak ramai, game itu jadikan aktiviti individu. Pada satu-satu ketika hanya seroang sahaja yang menjadi pengendalinya. Yang lain teruskan jadual belajar. Jadual itu pastikan berlaku setiap hari. Jangan ada pengecualian sama ada pada hari cuti atau hujung minggu atau cuti sekolah. Cuti hujung tahun mungkin boleh dilonggarkan. Walau bagaimanapun pengawasan perlu ada. Kompouter tidak boleh disepahkan di dalam rumah. Selepas pukul 10.00  malam semua komouter mesti dihimpunkan di bilik ibu bapa. Tiada kompromi. Ada kemungkinan anak-anak berkomputer hingga larut malam. Pastikan itu tidak berlaku. Ketegasan mesti ada. Sekali diberi ruang, mereka akan payah untuk dididik.
Nantikan sambungannya. InsyaAllah.

Tuesday, November 15, 2011

Mata Lelaki Yang Selalu Tidak Melihat

Bila memilih jodoh lelaki selalu tidak membuat pilihan yang hak. Perkahwinan bukan membeli aset. Ada ciri fizikal yang sukar berubah. Aset tidak ada roh. Tidak ada akal. Tidak ada emosi. Tidak ada variasi tingkah laku. Aset tetap fitrahnya tetap. Statik. Tidak ada sifat-sifat dinamik. Mungkin berubah kerana angin. Kerana air. Kerana hujan. Kerana embun. Kerana suhu. Tetapi perubahannya hanya dilihat dalam jangka waktu yang sangat panjang. Sangat lama. Sangat tidak ternanti kerana terlalu lamanya. Hingga kita selalu mengatakan bahawa yang tetap itu tidak berubah. Boleh dijangka. Boleh diramal. Boleh dipastikan begitulah sifatnya selama-lamanya. Yang tetap itu tetap. Lalu dibiarkan ia kekal tetap.

Tidak untuk manusia. Apatah lagi yang namanya wanita. Yang nanti suatu waktu menjadi isteri. Menjadi ibu. Menjadi nenek. Menjadi orang tua yang melepasi usiagunanya. Hanya petua yang boleh diikut. Hanya falsafah hidup yang pernah dilaluinya. Pandangan hidup yang ingin diperturunkan. Usia bukan penghalang untuk mendidik. Untuk memberikan nasihat. Untuk memberi petua. Untuk menunjuk jalan lurus yang jauh terbentang di sebalik kekaburan mata untuk melihatnya. Dilindungi fatamorgana hidup yang selalu silau menyilaukan. Terpedaya dengan sesuatu yang fana. Terpana pula dengan sesuatu yang indah khabar dari rupa. Lelaki selalu melihat kulit  bukan isi. Tidak ada kebijaksanaan menjejak isi yang berkualiti. Yang diingini hanya yang selintas di mata. Yang dimahunya hanya yang seulas indahnya. Yang dikejarnya hanya mimpi indah yang sementara. Jaganya teraba-raba kerana terang tidak menyinar di qalbunya.

Yang harus dilihat ialah cantiknya wanita. Untuk penyejuk mata. Penyejuk qalbu. Penyejuk perasaan. Memberi kekebalan kepada psikologi. Menenangkan minda. Menjadi tabir dan hijab dari memandang wanita lain yang bukan hak. Lihat secara analoginya Ratu Dunia (Miss Universe). Yang terpilih bukanlah yang paling cantik.  Bukan wanita tercantik. Ramai lagi di luar sana wanita yang lebih cantik. Tetapi yang menentukan cantik itu pada kriterianya. Bangsa dan ethnik yang menentukannya. Bukan dunia seluruhnya. Cantik pada adat dan budaya. Lebih cantik lagi jika bersandarkan agama. Cantik yang ditentukan Allah dan RasulNya. Sesungguhnya cantik itu hanya pada kulit. Buanglah kulit itu. Rasanya tiada siapa yang mahu. Di sebalik kulit itu hanya tulang-temulang. Jerangkung yang hampir sama kepada sesiapa sahaja yang bernama manusia. Benarlah kata pepatah Inggeris, “Beauty is but skin deep.” Cantik hanya di selaputi kulit. Tanpa kulit itu tiada langsung cantiknya. Bila kulit berkedut hilang cantik itu. Bila kulit mula kering hilang cantik itu. Apatah lagi bila tubuh  penuh parut kerana calar dan penyakit yang merayap di kulit.

Cantik inilah yang memperdaya lelaki. Terpesona dengan cantik. Terpandang cantik yang memikat. Cantik yang menggugat. Cantik yang mengikat dan menambat hati. Tiada ma’rifat. Tiada hakikat. Tiada dinilai hasrat. Cantik menjadi tabir malam yang melindungi segala cacat. Percayalah lelaki tidak seharusnya mencari kulit. Carilah isi yang diyakini memberi keinsafan. Keindahan. Kebahagiaan. Jika cantik mengabui mata maka terlindunglah segala yang seperlunya. Sedangkan yang akhirnya memberi nafas cinta bukan cantik pada wajah itu. Bukan yang menempatkan mata dan hidung. Mulut dan dagu. Pipi dan telinga. Kita akan menjengah ke dalam. Apakah ada keindahan dalam emosi. Dalam qalbu. Kecintaan abadi kepada agama. Kepada Allah dan Rasulnya. Kesetiaan yang tidak berbelah bagi. Kerinduan yang lestari tiada berhujungan.

Cantik hanya sesuatu yang sangat sementara. Kadang-kadang terlalu singkat cantik itu melekat. Biasalah lelaki terperangkap antara cantik atau yang berpotensi menjadi cantik. Percaya atau tidak bahawa kecantikan wanita akan diuji banyak kali. Jika berjaya melaluinya cantiknya akan bertambah.  Ada wanita cantiknya adalah fitrah (natural). Bila disolek tidak berseri. Tidak menjadi. Bubuhlah apa sekalipun pada wajahnya, tiada nampak cantiknya. Bertuahlah abang-abang yang memiliki isteri yang cantiknya sebegitu. Lain pula wanita yang tidak seberapa. Bila disolek aduh. Mata yang memandang terpanah menikam qalbu. Tidur malam menjadi gelisah. Tidak lena.  Bertuah juga suaminya kerana terpaksa berbelanja besar untuk mencantikkan isteri. Jika dibuang solekan takut pula memandang ke belakang.

Sebenarnya cantik itu boleh datang dari dalam. Mereka yang lembut hati menyerlahkan dalamannya dengan banyak tersenyum. Melahirkan ketenangan yang luar biasa. Segalanya tentang dirinya teratur. Tawanya sekadar manis. Senyumnya sekadar terlukis. Bahasa tubuhnya sekadar menggaris. Kehadirannya menggerimis hati yang riang. Cantik yang tidak seberapa tetapi disaluti dengan segala yang cantik. Tutur katanya dengan intonasi berirama. Kalimah yang dipilih memberi kelibat ketinggian hati budinya. Ungkapan-ungkapan yang mengandungi bait-bait orang bertamadun. Berilmu memartabat diri. Tinggi garapan ideanya. Positif dalam berbicara. Petah menyusun kata. Meyakinkan yang mendengar.

Cantik wanita teruji lagi bila dia berumahtangga. Bagaimana bentuk mengandungnya. Jika sewaktau mengandung kekal cantiknya memang cantiklah dia. Cantik yang kekal dalam apa keadaan sekalipun. Cantik abadi. Sukar mencari wanita yang sebegitu. Tunggu dulu. Nanti lihat dia sewaktu sudah beranak dua atau tiga. Ketika inilah kecantikannya memuncak. Atau merudum kerana hal-hal lain yang di luar jangka. Apabila hatinya damai. Qalbunya tenang. Fikirannya melapang. Perasaannya senang. Emosinya stabil. Psikologinya terkawal. Isteri itu akan menjadi secantik-cantik wanita. Syaratnya? Jagalah kecantikan diri. Hindarkan segala yang memudaratkan tubuh badan. Makanan dengan segala piramidnya. Senaman yang melonggarkan otot dan lemak di badan. Tidur yang mencukupi. Walhal jagalah kesihatan. Kekalkan cantik di wajah. Rawat sebaik mungkin. Cegah segala kemungkinan apa sahaja mudarat. Jaga emosi dari hal-hal yang menggugat.

Usia 30an adalah ujian terakhir. Jika pada usia ini kecantikan dapat dikekalkan maka insyaAllah hingga usia 60 tahun akan masih dilihat tanda-tanda cantik itu. Masih senang dipandang. Masih indah ditetang matanya. Kulitnya masih gebu. Tingkah lakunya masih sensuous. Keletahnya masih manja. Hidupnya masih melapang ruang. Pada hujung usianya wanita yang bernama isteri itu masih cantik di mata suami tersayang. Lelaki itu akan terasa sayang dan cinta yang sukar menyukat laut dalam. Sentiasa bergelora dengan samara yang tidak kunjung padam. Usia bukan penamat. Bukan pula tangga-tangga menurun yang menyusut dan menghakis rasa cinta. Sebaliknya usia semakin mencengkam keterikatan antara dua insan yang saling memerlukan.

Lelaki tidak ramai yang terdidik untuk mencari wanita yang terbaik. Semuanya diletakkan pada takdir dan jodoh. Lelaki sepatutnya banyak pilihan. Wanita pula sepatutnya membina yang terbaik pada dirinya. Kita perlukan dua insan yang soleh dan solehah. Bukan sekadar dua gender yang berlainan. Bukan sekadar pertemuan dua jiwa. Kita ingin menemukan dua gender yang berjiwa besar. Mengangkat darjat anak cucu Adam ke tahap tertinggi. Umat Muhammad yang terbaik dan terjulang.  Agama yang menjulang peradaban kemanusiaan. Khalifah-khalifah yang memimpin manusia bukan yang dipimpin.

Kerana itu lelaki harus mampu melihat ke dalam diri wanita yang dicintainya. Dalaman isteri yang dinikahinya. Serlahkan kecantikan budi bahasa. Sopan santun. Adat beradat. Adab dan akhlak. Keindahan-keindahan beragama. Jangan, jangan sekali-kali terpedaya hanya cantik pada kulit wajahnya shaja. Cuba lihat apa yang ada di sebalik kulit cantik itu. InsyaAllah akan ditemui wanita cantik yang zahir batinnya memang cantik.