Bila memilih jodoh lelaki selalu tidak membuat pilihan yang hak. Perkahwinan bukan membeli aset. Ada ciri fizikal yang sukar berubah. Aset tidak ada roh. Tidak ada akal. Tidak ada emosi. Tidak ada variasi tingkah laku. Aset tetap fitrahnya tetap. Statik. Tidak ada sifat-sifat dinamik. Mungkin berubah kerana angin. Kerana air. Kerana hujan. Kerana embun. Kerana suhu. Tetapi perubahannya hanya dilihat dalam jangka waktu yang sangat panjang. Sangat lama. Sangat tidak ternanti kerana terlalu lamanya. Hingga kita selalu mengatakan bahawa yang tetap itu tidak berubah. Boleh dijangka. Boleh diramal. Boleh dipastikan begitulah sifatnya selama-lamanya. Yang tetap itu tetap. Lalu dibiarkan ia kekal tetap.
Tidak untuk manusia. Apatah lagi yang namanya wanita. Yang nanti suatu waktu menjadi isteri. Menjadi ibu. Menjadi nenek. Menjadi orang tua yang melepasi usiagunanya. Hanya petua yang boleh diikut. Hanya falsafah hidup yang pernah dilaluinya. Pandangan hidup yang ingin diperturunkan. Usia bukan penghalang untuk mendidik. Untuk memberikan nasihat. Untuk memberi petua. Untuk menunjuk jalan lurus yang jauh terbentang di sebalik kekaburan mata untuk melihatnya. Dilindungi fatamorgana hidup yang selalu silau menyilaukan. Terpedaya dengan sesuatu yang fana. Terpana pula dengan sesuatu yang indah khabar dari rupa. Lelaki selalu melihat kulit bukan isi. Tidak ada kebijaksanaan menjejak isi yang berkualiti. Yang diingini hanya yang selintas di mata. Yang dimahunya hanya yang seulas indahnya. Yang dikejarnya hanya mimpi indah yang sementara. Jaganya teraba-raba kerana terang tidak menyinar di qalbunya.
Yang harus dilihat ialah cantiknya wanita. Untuk penyejuk mata. Penyejuk qalbu. Penyejuk perasaan. Memberi kekebalan kepada psikologi. Menenangkan minda. Menjadi tabir dan hijab dari memandang wanita lain yang bukan hak. Lihat secara analoginya Ratu Dunia (Miss Universe). Yang terpilih bukanlah yang paling cantik. Bukan wanita tercantik. Ramai lagi di luar sana wanita yang lebih cantik. Tetapi yang menentukan cantik itu pada kriterianya. Bangsa dan ethnik yang menentukannya. Bukan dunia seluruhnya. Cantik pada adat dan budaya. Lebih cantik lagi jika bersandarkan agama. Cantik yang ditentukan Allah dan RasulNya. Sesungguhnya cantik itu hanya pada kulit. Buanglah kulit itu. Rasanya tiada siapa yang mahu. Di sebalik kulit itu hanya tulang-temulang. Jerangkung yang hampir sama kepada sesiapa sahaja yang bernama manusia. Benarlah kata pepatah Inggeris, “Beauty is but skin deep.” Cantik hanya di selaputi kulit. Tanpa kulit itu tiada langsung cantiknya. Bila kulit berkedut hilang cantik itu. Bila kulit mula kering hilang cantik itu. Apatah lagi bila tubuh penuh parut kerana calar dan penyakit yang merayap di kulit.
Cantik inilah yang memperdaya lelaki. Terpesona dengan cantik. Terpandang cantik yang memikat. Cantik yang menggugat. Cantik yang mengikat dan menambat hati. Tiada ma’rifat. Tiada hakikat. Tiada dinilai hasrat. Cantik menjadi tabir malam yang melindungi segala cacat. Percayalah lelaki tidak seharusnya mencari kulit. Carilah isi yang diyakini memberi keinsafan. Keindahan. Kebahagiaan. Jika cantik mengabui mata maka terlindunglah segala yang seperlunya. Sedangkan yang akhirnya memberi nafas cinta bukan cantik pada wajah itu. Bukan yang menempatkan mata dan hidung. Mulut dan dagu. Pipi dan telinga. Kita akan menjengah ke dalam. Apakah ada keindahan dalam emosi. Dalam qalbu. Kecintaan abadi kepada agama. Kepada Allah dan Rasulnya. Kesetiaan yang tidak berbelah bagi. Kerinduan yang lestari tiada berhujungan.
Cantik hanya sesuatu yang sangat sementara. Kadang-kadang terlalu singkat cantik itu melekat. Biasalah lelaki terperangkap antara cantik atau yang berpotensi menjadi cantik. Percaya atau tidak bahawa kecantikan wanita akan diuji banyak kali. Jika berjaya melaluinya cantiknya akan bertambah. Ada wanita cantiknya adalah fitrah (natural). Bila disolek tidak berseri. Tidak menjadi. Bubuhlah apa sekalipun pada wajahnya, tiada nampak cantiknya. Bertuahlah abang-abang yang memiliki isteri yang cantiknya sebegitu. Lain pula wanita yang tidak seberapa. Bila disolek aduh. Mata yang memandang terpanah menikam qalbu. Tidur malam menjadi gelisah. Tidak lena. Bertuah juga suaminya kerana terpaksa berbelanja besar untuk mencantikkan isteri. Jika dibuang solekan takut pula memandang ke belakang.
Sebenarnya cantik itu boleh datang dari dalam. Mereka yang lembut hati menyerlahkan dalamannya dengan banyak tersenyum. Melahirkan ketenangan yang luar biasa. Segalanya tentang dirinya teratur. Tawanya sekadar manis. Senyumnya sekadar terlukis. Bahasa tubuhnya sekadar menggaris. Kehadirannya menggerimis hati yang riang. Cantik yang tidak seberapa tetapi disaluti dengan segala yang cantik. Tutur katanya dengan intonasi berirama. Kalimah yang dipilih memberi kelibat ketinggian hati budinya. Ungkapan-ungkapan yang mengandungi bait-bait orang bertamadun. Berilmu memartabat diri. Tinggi garapan ideanya. Positif dalam berbicara. Petah menyusun kata. Meyakinkan yang mendengar.
Cantik wanita teruji lagi bila dia berumahtangga. Bagaimana bentuk mengandungnya. Jika sewaktau mengandung kekal cantiknya memang cantiklah dia. Cantik yang kekal dalam apa keadaan sekalipun. Cantik abadi. Sukar mencari wanita yang sebegitu. Tunggu dulu. Nanti lihat dia sewaktu sudah beranak dua atau tiga. Ketika inilah kecantikannya memuncak. Atau merudum kerana hal-hal lain yang di luar jangka. Apabila hatinya damai. Qalbunya tenang. Fikirannya melapang. Perasaannya senang. Emosinya stabil. Psikologinya terkawal. Isteri itu akan menjadi secantik-cantik wanita. Syaratnya? Jagalah kecantikan diri. Hindarkan segala yang memudaratkan tubuh badan. Makanan dengan segala piramidnya. Senaman yang melonggarkan otot dan lemak di badan. Tidur yang mencukupi. Walhal jagalah kesihatan. Kekalkan cantik di wajah. Rawat sebaik mungkin. Cegah segala kemungkinan apa sahaja mudarat. Jaga emosi dari hal-hal yang menggugat.
Usia 30an adalah ujian terakhir. Jika pada usia ini kecantikan dapat dikekalkan maka insyaAllah hingga usia 60 tahun akan masih dilihat tanda-tanda cantik itu. Masih senang dipandang. Masih indah ditetang matanya. Kulitnya masih gebu. Tingkah lakunya masih sensuous. Keletahnya masih manja. Hidupnya masih melapang ruang. Pada hujung usianya wanita yang bernama isteri itu masih cantik di mata suami tersayang. Lelaki itu akan terasa sayang dan cinta yang sukar menyukat laut dalam. Sentiasa bergelora dengan samara yang tidak kunjung padam. Usia bukan penamat. Bukan pula tangga-tangga menurun yang menyusut dan menghakis rasa cinta. Sebaliknya usia semakin mencengkam keterikatan antara dua insan yang saling memerlukan.
Lelaki tidak ramai yang terdidik untuk mencari wanita yang terbaik. Semuanya diletakkan pada takdir dan jodoh. Lelaki sepatutnya banyak pilihan. Wanita pula sepatutnya membina yang terbaik pada dirinya. Kita perlukan dua insan yang soleh dan solehah. Bukan sekadar dua gender yang berlainan. Bukan sekadar pertemuan dua jiwa. Kita ingin menemukan dua gender yang berjiwa besar. Mengangkat darjat anak cucu Adam ke tahap tertinggi. Umat Muhammad yang terbaik dan terjulang. Agama yang menjulang peradaban kemanusiaan. Khalifah-khalifah yang memimpin manusia bukan yang dipimpin.
Kerana itu lelaki harus mampu melihat ke dalam diri wanita yang dicintainya. Dalaman isteri yang dinikahinya. Serlahkan kecantikan budi bahasa. Sopan santun. Adat beradat. Adab dan akhlak. Keindahan-keindahan beragama. Jangan, jangan sekali-kali terpedaya hanya cantik pada kulit wajahnya shaja. Cuba lihat apa yang ada di sebalik kulit cantik itu. InsyaAllah akan ditemui wanita cantik yang zahir batinnya memang cantik.
No comments:
Post a Comment