Friday, December 2, 2011

Hidup Sendiri Membina Keluarga

Selepas bernikah tinggallah ibu. Tinggallah ayah. Tetapi hati masih terlalu lekat dengan mereka. Terlalu dekat. Tidak terangkat tangan hendak melambai pergi. Tidak terukir mulut mengungkap, “Ku pergi dulu.” Kerana kasih terpisah jua hendaknya. Sesuatu yang tidak pernah terfikir ketika bercinta. Apatah lagi ketika bertunang. Yang bersarang dalam kepala ialah hendak bersama. Namun apabila sampai masanya sukar hendak membujuk hati. Tangan sebelah digenggam pasangan. Sebelah lagi terkulai untuk mendakap ibu dan ayah. Anak perempuanku, sampai di sini kita berkampung. Hanya setakat ini. Pergilah mencari bahagiamu. Ibu doakan. Ayah doakan. Bagi anak lelaki besar sungguh dilemanya. Ibu kata di sini tempatmu. Kata ayah ini tumpah darahmu. Namun demi kesejahteraan ada baiknya dibina mahligai yang tidak sempurna tetapi hanya untuk kau berdua. Untuk berkongsi ruang. Berkongsi udara. Berkongsi setiap keberadaan bersama.

Banyak baiknya bagi pasangan baru untuk membina mahligai sendiri. Mahligai yang walau apapun rupanya. Walau apapun warnanya. Walau apapun saiznya. Walau apapun kekurangannya. Yang penting itu milik kau berdua. Milikan yang mutlak dari segi ruang. Memanglah kau sewa kerana ekonomi baru hendak dibina bersama. Nantilah akan sampai masanya untuk memiliki mahligai sendiri. Multak seadanya. Ada juga baiknya tinggal bersama kedua ibu bapa. Mungkin orang tua sudah bersendirian. Ada kesesuaiannya. Namun ikhtiar berasingan adalah lebih baik. Tidak perlu jauh. Asalkan berasingan. Mungkin apartment yang berbeza tingkat. Atau berbeza wing. Bersebelahanpun lebih baik. Belajar membina privacy sendiri. Orang baru serba kekurangan. Belajarlah untuk membebaskan diri supaya tidak membebankan ibu dan bapa. Walaupun mereka senang tinggal bersama mereka tetapi ada lelah yang mesti dilihat. Ada kekurangan yang nanti memberi musibah.

Pastinya ibu bapa bukan lagi muda. Tenaga mereka sudah susut. Letih mereka perlu dilurut. Sudah terlalu lama tenaga dituntut. Masa dipaut. Usaha setengah maut. Demi anak-anak. Untuk dibesarkan. Untuk dipandaikan. Untuk dijadikan orang.  Apabila anak-anak bernikah terlerailah satu persatu. Tidak lagi ibu perlu payah paginya. Payah siangnya. Payah malamnya. Banyak yang turun dari bahu beban selama puluhan tahun. Ibu dan ayah ingin kembali mengisi masa mereka yang telah dihabiskan bersama anak-anak. Inilah masa mereka untuk melakar semula manis yang hilang. Kasih yang bercatu. Sayang yang dibayang-bayang anak. Keintiman yang sudah lama menjadi janggal. Mereka ingin kembali menemui diri mereka sendiri. Kembali memadu kasih di hujung usia. Membuka semula lipatan sejarah cinta mereka. Berilah mereka peluang dan ruang itu. Anak-anak yang sudah besar panjang seharusnya mengerti karenah usia. Masakan kedewasaan tidak memberikan pengertian.

Sebelum berumahtangga cubalah membuat bayangan ke hadapan. Visualise the future. Bahawa apabila berkahwin kau membawa seseorang ke dalam keluargamu. Tambahan yang tidak banyak. Hanya satu. Namun yang kau bawa itu pasanganmu. Yang tidak diketahui luar dan dalamnya. Kita seperti tahu tetapi interaksi dan reaksi antara jiwa yang berlainan latarbelakang ada geserannya. Ada gurisnya. Ada bezanya. Bayangkanlah bahawa apabila bernikah kahwin kau akan membina keluargamu sendiri. Bukan lagi bergantung kepada ibu dan bapa. Bukan lagi bergantung kepada abang dan kakak. You are on your own. Alone. Yes alone. But then your spouse is your baby. Dear baby. Ketika itu ibu bapa bukan pelindungmu. Bukan lagi penanggungmu. Bukan lagi tempat bergantung harap sepenuhnya. Bukan lagi tempat menagih cinta dan simpati. Tidak lagi. Kau menjadi anak yang satu. Sendiri. Individu yang keseorangan. 

Bayangkanlah kau membina keluarga. Dari seorang menjadi dua. Selepas itu angka tambahannya mencacak setiap tahun. Dari dua menjadi tiga, empat dan berekor-ekorlah banyaknya. Hidup menjadi penuh. Tanganmu menjadi tidak cukup. Mata menjadi kurang awas. Kaki sentiasa melangkah deras. Mulut tiada hentinya melontar kata. Panggil dan suruh. Marah dan nasihat. Pujuk dan berdamai. Demi anak-anak.  Kesibukan yang semakin menjadi-jadi. Apabila seorang ke TADIKA akan ada yang menyusul ke PASTI. Atau ke TABIKA. Hanya sebentar mereka berpindah ke sekolah kebangsaan. Paginya seawal selepas Subuh. Kembalinya melewati waktu Zohor. Petangnya tuisyen. Malamnya ulangkaji dan kerja rumah. Menjelang pula UPSR. Ada rezeki ke asrama penuh. Atau di rumah di bawah ketiak ibu dan ayah jua.

Tahu-tahu seorang demi seorang anak-anak itu meninggalkan rumah. Akan jarang kembalinya. Hanya cuti yang datang membawa mereka bertandang meriuhkan suasana sunyi yang dulunya tidak biasa. Sekarang semakin jarang mereka kembali. Tunggulah cuti yang akan mendatang. Anak-anak berkerjaya. Sukar menemukan keseluruhannya kerana jadual yang berbagai. Tugasan yang berbagai. Tanggungjawab yang berbagai. Ibu bapa akan akhirnya kembali berdua. Sampai masanya akan keseorangan semula. Nikmat berkeluarga bukan selama-lamanya. Sebab itulah kau kena belajar mengurus diri dan pasangan. Banyak yang perlu digambarkan. Difikirkan. Dirancang masa hadapan yang perlu diusahakan. Didoakan. Dimunajatkan. Dipohon dari Allah kelestarian kesejahteraan keluarga tersayang. InsyaAllah.

Maka bersedialah berasingan dengan kedua ibu bapa. Bukan untuk lari. Bukan untuk menjauhkan diri. Bukan kerana benci. Hakikatnya ialah untuk belajar sendiri hidup berkeluarga. Mengerti susah payahnya hidup berdua, bertiga dan seterusnya. Tahu asam dan garam yang tiada di dapur. Ikan dan sayur yang perlu dibeli di pasar. Tahu berjimat. Tahu bajet. Tahu menyukat kemampuan ekonomi. Sepadankan kesemuanya dengan kemampuan diri. Duduk berasing akan banyak mengajar erti lebih dan kurang. Erti cepat dan lambat. Erti pandai dengan tidak. Makan berlaukkan garam sekalipun tiada siapa yang tahu. Semuanya menjadi rahsia keluarga. Yang perlu dijaga. Disimpan sebagai wadah membina kekuatan berkeluarga. Duduk sendiri itulah guru paling  setia mengajar segala keperitan hidup. Mengajar untuk senyum. Mengajar untuk ketawa. Mengajar untuk pandai. Memilih antara santai dan sibuk.

Hidup berpisah bukan bencikan ibu bapa. Mencari tapak untuk membina jati diri. Menjadi individu yang tidak dibayangi keluarga. Legasi keluarga. Hidup sendiri membina kekuatan untuk menghadapi cabaran. Terpaan-terpaan yang tiada guru untuk mengajar menangkisnya. Asam garam hidup yang banyak rencahnya. Suka duka bersama. Belajar hidup berdua adalah permulaan kepada kehidupan yang lebih mencabar. Masanya yang akan menentukan kelangsungan satu cinta yang membangun kehidupan berkeluarga. Belajar dari salah silap. Pengalaman berharga yang mengukuhkan kesabaran. Ketabahan menghadapi segala apa yang datang. Itulah kemanisan mengalami sendiri. Semua yang perlu dihadapai. Yang tidak menjanjikan apa-apa. Hanya hidup berdua menanti segalanya bejalan seadanya.

Ibu dan ayah. Anak-anakmu sudah bernikah. Lepaskanlah mereka untuk belajar hidup. Bebaskan mereka untuk berdikari. Untuk mencari tapak sendiri. Untuk membina jatidiri. Mencari keindahan hidup berdua.  Jangan ditahan perginya. Jangan dihalang langkahnya. Biar dia dengan kehidupannhya sendiri. Tugasmu adalah memberi restu. Mendoakan kesejahteraannya. Usahlah ditangisi kerana mereka melangsungkan legasimu. Warisanmu. Ibu dan ayah kembalilah kepada membina hidupmu semula. Seleps anak-anakmu menjadi dewasa kau temuilah semula keremajaanmu. Cintamu berdua yang telah kau urungkan. Kembali menyatukan dua hati yang dulunya terpisah sementara. Bebaskan dari penat dan payah. Binalah semula kehidupanmu sendiri. Anak-anakmu mengikut jejakmu. Jejak warisan zaman berzaman. Cucu bukan urusanmu. Cicit bukan masalahmj lagi. Zamanmu sampai di sini sahaja. Berhentilah dari bimbang dan ragu. Agendamu lebih baik dari dulu-dulu.

2 comments:

  1. Ibu dan ayah memang kita tidak pernah dilupakan. Namun kerana sibuk dengan kerjaya masing- masing dan jarak tempat tinggal yang jauh dengan mereka membataskan kemesraan. Walau bagaimanapun di dalam lubuk hati nurani ini tidak pernah sesekali melupakan mereka.Dengan didikan dan dorongan yang diberikan oleh mereka berdua yang tidak pernah kenal erti susah dan senang maka jadilah kita seperti sekarang.Semasa Kini kita juga mengikut jejaknya ada rumah dan tangga sendiri yang perlu diuruskan, ada anak-anak yang perlu dijaga sebaik mungkin kerana anak dan isteri adalah menjadi tanggungjawab dan amanah yang akan dipersoalkan nanti, jika tidak dijaga dengan betul.Kami anak-anak yang bekerja hanya minta doa restu ibu dan ayah untuk terus berjaya seperti yang diimpikan oleh mereka suatu ketika dahulu. Oleh itu, janganlah ibu dan ayah mudah berkecil hati jika anak- anak jarang pulang ke kampung halaman untuk berjumpa mereka.Bukan kami sebagai anak tidak mahu balik ke kampung halaman tetapi cabaran- cabaran yang kami hadapi telalu banyak. Hanya doa yang mampu dipanjat kepada Ilahi untuk mendoakan kesejahteraan ibu bapa kami di dunia dan akhirat.Apa yang diharapkan doa restu darimu. Berilah anak- anakmu peluang untuk mengemudi rumah tangganya dengan baik. janganlah fikir kami anak-anakmu tidak menyanyangimu seperti masa kami belum berkeluarga.Kasih ibu dan ayah sampai ke syurga

    ReplyDelete
  2. kebanyakan ibu bapa sekarang memahami tuntutan kerjaya anak-anak mereka. nostalgia yang selalu mengusik mereka. zaman berkumoul dahulu. zaman sesama perlu memerlukan. mereka minta ubatnya semasa tua. mengisi kekosongan yang tidak sukar diisi sebenarnya. keraplah telefon seminit dua. bertanya khabar atau memberi khabar. sesekali ajak mereka datang. bas ekspress ada. kapalterbang ada. layan seadanya. itu sahaja yang mereka pinta untuk bersama semula. masa untuk mereka sudah terlalu suntuk. esok lusa tiadalah mereka. kita pula yang akan mengulang cerita mereka. warisan manusia zaman berzaman. begitulah kitarannya.

    ReplyDelete