Wednesday, September 21, 2011

Melihat Dunia

Summer 1985. Summer pertama yang sudah sangat lama ditunggu. Enam bulan yang lama. Sangat lama. Maklumlah dari winter yang sejuk beku menerjah spring yang mewangi dengan bunga-bungaan.  Yang mewarnai alam. Pepohon yang berbunga beraneka. Tidak sabar rasanya menanti summer yang menghijau. Orang barat gilakan summer yang panas. Menghijau saujana mata memandang. Pepohon mula berbuah. Sebahagiannya sudah agak besar. Menunggu dipetik di hujung summer. Begitu juga di awal fall. Kehijauan itu selalu dinanti. Mengujakan. Kita di sini memandang hijau sebagai sesuatu yang lumrah. Tidak ada yang mengujakan langsung. Panas setiap hari. Buah sepanjang tahun walaupun berlainan jenisnya. Walaupun ada buah yang bermusim tetapi masih banyak buah yang ada sepanjang masa. Tanpa bermusim. Persekitaran yang berbeza ini membentuk jalan fikir yang juga berbeza. Kadang-kadang perbezaan itu terlalu jauh. Terlalu banyak. Manusia yang ada dalam alam sekeliling yang berbeza membentuk tingkahlaku yang berbeza. Kehidupan yang berbeza. Tentu sekali kegilaan yang berbeza.

Summer itu buat pertama kalinya saya mengikut beberapa orang rakan pelajar yang ingin melihat dunia. Destinasi kami ialah Canada. Negara besar di utara USA. Saya tidaklah merancang besar untuk ke sana. Sekadar melihat-lihat negara orang cukuplah. Sebagai pelajar yang berkeluarga kos makan angin sangat tinggi. Setakat berjalan-jalan sahaja tidak begitu merisaukan. Yang besar kosnya ialah apabila kita mengunjungi tempat-tempat tumpuan seperti taman tema, zoo dan sebagainya. Destinasi seperti itu banyak pula di negara maju di barat. Dalam kesibukan hidup di bandar, dihimpit pula dengan rat race, ramai yang ingin mendamaikan hati di kala cuti. Memang setiap pekerja merancang bercuti setiap tahun. Begitu juga setiap keluarga yang berkemampuan. Lazimnya pilihan masa ialah semasa summer. Waktu ini sekolah cuti. Peluang untuk bersenang-senang. Seeing the world. Yang kurang mampu mereka mengunjungi tempat-tempat yang berhampiran. Yang mampu biasanya merentas benua. Ke Eropah, Amerika Latin dan sudah tentu ke Asia. Kepada meraka seeing is believing. Melihat dengan mata kepala sendiri.   Bukan dari buku. Bukan dari filem. Bukan dari video. Bukan dari gambar. Melihat sendiri adalah lebih baik kerana mata kita fokus kepada apa yang menjadi minat diri sendiri. Bukan yang dilihat oleh mata orang lain. Fokusnya berbeza.

Melancong di Amerika Utara jauh lebih mudah dari memandu di tanah air sendiri. Entahlah saya merasakan begitu. Ada kaitannya dengan Geografi. Pengurusan Geografi. Geography made easy. The practicality of Geography. Ada kaitan dengan falsafah dan sikap. Ada kaitan dengan kemanusiaan. Ada juga kaitan dengan keterbukaan cara kita berfikir. World view kita. Barangkali itulah sebabnya bahawa melihat itu penting. Mentafsir juga penting. Mengambil iktibar lagilah penting. Bukan habis di situ sahaja. Pengalaman itu diterjemahkan dalam bentuk perancangan perubahan. Mengurus amalan. Membuat inovasi. Akhirnya menciptakan sesuatu yang lain hasil kreativiti. Kita terelak dari ketaksuban yang melampau hingga tidak langsung melakukan anjakan paradigm. Dalam dunia yang serba berubah ini kita  tidak lagi relevan berada di bawah tempurung. Lihat keliling supaya kita membuat adaptasi. Melakukan asimilasi. Merealisasikan akomodasi. Tanpa kesemuanya itu kita menajdi statik. Walhal yang dituntut ialah kedinamikan diri untuk mengurus segala yang berada di  sekeliling kita.

Summer itu saya bertujuh beranak ke utara. Canada, here we come. Bagi anak-anak pengalaman itu sentiasa mengujakan. Saya bawa mereka meneroka segalanya yang tidak pernah diimpikan di tanah air. Seeing the real world. Yang kami lihat segalanya worlds apart. Berbeza dan berbeza. Sepanjang perjalanan itu saya menikmati sesuatu yang bukan lumrah. Semuanya seperti menakjubkan. Inilah agaknya negeri kayangan yang selalu diceritakan dalam hikayat-hikayat lama. Bacalah Awang Sulung Merah Muda. Atau Merong Maha Wangsa. Negeri kayangan itu melebihi dari imaginasi biasa. Orang kita dahulu hanya mampu ternganga mendengar hebatnya negeri kayangan. Tidak pernah terlintas di hati gamak rupanya. Hanya lukisan minda. Menelan bahasa yang diungkapkan oleh orang-orang seperti Tok Selampit. Si tukang cerita yang menghubungkan masa lalu dengan semasa.

Untuk mengembara di Amerika Utara tidaklah sukar. Yang penting pandai membaca peta. Ada navigation skill. Dulu tiada internet, tiada telefon bimbit, tiada GPS/GPRS. Yang saya rujuk hanyalah peta. Tetapi bagi orang di sana peta sudah disempurnakan. Sangat terperinci hingga sukar untuk sesat. Jika sesat sekalipun masih boleh mencari jalan kembali. Lazimnya sampai juga ke destinasi yang dituju. Dari Pittsburgh saya plot perjalanan saya melalui Buffalo hingga ke Niagara di sempadan Canada-USA. Niagara adalah pilihan kami kerana di situlah kami mengalami sesuatu yang menakjubkan. Niagara Falls. One of the wonders of the world. Beberapa mukasurat peta menggariskan perjalanan yang perlu ditelusuri. Jalanraya di sana lebar-lebar belaka. Sentiasa disenggara. Keadaannya tip-top. Mereka secara lumrahnya ingin yang terbaik. Itu motto mereka. The best in the world.  Jalanrayanya bukan sahaja lebar bahkan rata dan menyeronokkan pemanduan. Saya belum pernah melalui jalanraya yang bertampal-tampal seperti di negara kita. Jika ada lubang bukan lubang itu yang perlu ditampal. Tetapi dikaji satu kawasan sekitar lubang itu  supaya bukan symtomnya yang diperbaiki tetapi the real cause. Maka yang dilaksanakan ialah menurap sebahagian yang lebar dari jalanraya itu. Itupun setelah dilakukan pembuangan lapisan jalanraya yang terlibat. Scrapping.

Di kiri kanan jalan mata tidak terlepas memandang. Sebagai pemandu mata saya memandang keluasan bumi USA. Yang terpampang ialah padang rumput semulajadi yang meluas. Saujana mata memandang. Hijau yang menghijau. Melaut hingga ke ufuk. Menyatu dengan bukit dan gunung. Itulah lanskap tanah mereka. Rata dan luas. The land of plenty. The terrain was always captivating. The undulating terrain was playing with my eyes. The contour simply pure excitement. Land and land. Flat land surrounding me. Engulfing my presence. Driving became pure pleasure. Saya tidak dapat pindahkan apa yang saya lihat hanya dengan kata-kata semata-mata. Isteri dan anak-anak saya keletihan sendiri. Mereka tertidur dan tidak dapat berkongsi pengalaman tersebut. Seperti biasa sebelum pergi isteri saya menyiapkan bekalan makanan. Memasak apa yang perlu untuk dimakan dalam perjalanan hingga ke malamnya. Membeli makanan siap agak sukar. Kedai Muslim sangat jarang dijumpa. Makanan tidak halal tentu bukan sebagai pilihan. Tidak ada dalam perjalanan. Memasak dan membawa perkakas memasak adalah pilihan yang praktikal. Sesuatu berlaku dalam perjalanan itu. Sila baca The Two Facet of Pittsburgh.

Perjalanan ke Canada itu lama juga. Beratus-ratus kilometer. Di sana masih menggunakan batu lagi. Dalam perjalanan itu juga saya mencari jawapan-jawapan kepada apa yang saya lihat. Melihat hal-hal yang tidak dapat saya cari jawapanya ketika itu. Baru sekarang saya banyak mengerti tentang kelainan-kelainan dari segala yang lain itu. Itulah perjalanan melihat dunia. Melihat tanda-tanda kebesaran Allah. Tanpa mengembara banyak yang tidak kita ketahui. Lalu kita akan selalu mengatakan yang kita ada ini adalah yang terbaik. Kita bercakap tidak merujuk kepada dunia. perbandinganya tidak ada.  Kita jadi taksub. Bayangkan di tengah-tengah tempat yang sunyi tersergam hotel yang bertingkat-tingkat tingginya. Kawasan R & R yang luas. Lengkap dengan supermarket yang besar. Di tempat lain pula tedapat padang golf. Kesemuanya itu menenggelamkan pemikiran saya ketika itu. Tiada logiknya kepada saya. Namun hotel itu terang benderang setiap malam. Maknanya ramai penghuninya. Supermarket juga penuh dengan pelanggan. Padang golf ramai dengan kegilaannya. Sudah tentu padang golf itu public course. Sesiapa sahaja boleh bermain dengan membayar sejumlah yuran kerana menggunakan kemudahan yang ada. Gila kata saya. Sesuatu yang tidak saya pelajari sewaktu saya mengikuti kursus pentadbiran perniagaan di Universiti Malaya dahulu. Tiada suatupun isyarat yang menunjukkan bahawa kesemua itu ada di USA.

Kembali nanti dalam lanjutannya.

Thursday, September 15, 2011

Bapa Burik Yang Anaknya Tidak Rintik


Orang-orang dahulu mungkin benar. Bapa burik anaknya rintik. Bagaimana acuan begitulah kuihnya. Ibu bapa sangat dipatuhi anak-anak. Hati anak-anak bersih. Hatinya basah dengan doa ibu bapa. Tidak pernah kering dan kaku. Beku. Kata ibu adalah perintah. Kata bapa adalah noktah. Bukan bermakna ibu dan bapa menjadi autoktarik hingga pendapatnya tidak boleh disanggah. Kebijaksanaan ibu bapa yang penuh pengalaman menjanjikan banyak kesejahteraan kepada anak-anak. Jodoh pertemuan ditentukan oleh ibu bapa. Ibu paling kritis memilih menantu. Tentunya yang pandai berkemas rumah. Dapur dan bilik. Pandai memasak. Masin, masam dan manisnya mencukupi rasa. Kain baju dijahit sendiri. Kelimannya rapi. Jahitannya halus menawan. Tutur katanya lemah lembut. Menawan telinga yang mendengar. Jalannya lembut tidak didengar bunyi. Lambang isteri yang patuh taat kepada suami. Wanita solehah yang dijanjikan syurga.

Anak lelaki gagah usaha. Sejak kecil pandai diajar untuk menangani hidup. Survivalnya tinggi. Usia muda menjadi dewasa dengan pengalaman hidup berdikari. Makan minum berbudi dengan tanah. Rumah dari kayu yang dibalak sendiri dengan kudrat tenaga yang ada. Berumahtangga pandai mengatur hidup selesa. Anak-anak dididik untuk hidup bersederhana. Ilmu agama pasti menjadi teras hidup beragama. Islam sentiasa di hati, di telinga, di mata dan dalam minda. Orang kampung kesepakatannya bersepadu. Gotong royongnya melebihi keperluan. Semua ahli menyumbang untuk mensejahterakan sesama mereka. Itulah lelaki dahulu. Itulah wanita dahulu. Hidupnya sangat simple. Terhindar semua yang menggoda. Bebas dari melakukan yang tidak wajar. Segalanya berkecukupan. Bahagia dalam alam sekitar yang sentiasa damai.

Era zaman ini sudah berubah. Acuan keluarga bukan lagi penentu. Kadang-kadang ibu bapa tidak dapat menjangka apa yang akan ada. Bapa tidak lagi merintikkan anak. Warna-warna bapa tidak lagi diturunkan kepada anak. Warisan hanya DNA sahaja yang ada. Rupa paras mungkin serupa. Pemikiran mungkin ada iras-irasnya. Tetapi tingkah laku bukan lagi ditentukan oleh ibu bapa. Persekitaran memainkan peranan gila mencorakkan anak-anak hingga tiada lagi mirip keluarga. Acuan yang tersedia sudah tiada lagi gunanya. Media menutup segala peranan ibu bapa. Orang-orang tua durjana di luar sana merosakkan benih dan bibit anak bangsa. Mereka mempunah dan memusnahkan semua yang dibina. Menjengah keluarga bukan lagi menentukan warisan mereka diturunkan kepada anak-anak. Kuih bukan lagi mengikut acuannya. Anak-anak bukan lagi dibentuk oleh ibu  bapa.

Memilih pasangan selalu dirujuk bangsanya. Ibu bapanya. Keturunannya. Anak cucunya. Penyakitnya. Tingkah lakunya. Nasab keturunannya. Sah taraf atau tidaknya. Mungkin itu dahulu. Mungkin itu sewaktu segala-galanya mengikut acuan. Sekarang tidak lagi. Terlalu banyak yang berubah dan diubah. Anak-anak bukan lagi duduk di bawah ketiak ibu dan bapa. Boleh lagi ditunjuk arah. Dunia di luar sana terlalu menggamit anak-anak ke alam yang jauh berubah. Ibu bapa hanya mampu melahirkan. Membesarkan seketika. Waktu kritikal inilah yang menentukan fitrah tingkah laku anak-anak. Jika gagal kawalan peringkat awal ini pasti anak-anak meliar seolah-olahnya di luar sana segala-galanya. Malangnya mereka tidak cukup bekal untuk melawan anjakan-anjakan durjana segala macam kemaksiatan yang di depan mata. Ramai yang kecundang. Terlalu ramai yang roboh benteng imannya. Yang lemas dalam asakannya. Yang hancur kerananya.

Bapa burik hanya peribahasa lama yang benar pada zamannya. Orang sekarang gagal memanfaatkan falsafah hidup orang-orang dahulu. Mereka merasakan yang dahulu hanya retorik masa. Mereka membina falsafah baru yang kacau. Yang tidak pernah terbukti benar. Tidak teruji. Mereka hanya teruja dengan momokan gila yang dilihat seperti benar. Lagilah anak-anak teknologi yang melihat benar apa yang maujud. Sayangnya yang maujud itu hanya bayang-bayang jauh yang diluar jangkauan. Mereka di dunia lain yang entah dimensi ke kerapa. Segalanya menjadi tidak bertapak di bumi nyata. Di bumi Islam. Di Bumi agama. Sudah lama anak-anak teknologi mengnyahkan adat. Resamnya sudah tiada. Sopannya sudah terbang. Santunnya sudah terbuang. Mereka gila dengan teknologi yang lebih banyak maya. Dikawal oleh sesuatu yang bukan fitrah.

Ibu bapa sekarang lemas dalam cahaya. Mereka nampak kecacatan masa dan ruang. Tetapi mereka banyak tertinggal dari segi paradigma. Mereka tertinggal jauh dari arus perdana. Yang mereka nampak hanyalah bahagian kecil dari cebisan ketidak selarian hidup dahulu dan sekarang. Hendak mengikut arus tidak terdaya.  Tidak mengikut arus bermakna tertinggal antara jurang masa. Akhirnya ibu bapa terkapai-kapai antara percaya dengan tidak. Anak-anak mereka menjadi bebanan yang tidak terhingga melukakan hati. Di luar sana tiada siapa yang peka. Hidup ini seolah-olah tiada matlamatnya. Tiada destinasinya. Jauh dari wawasan. Jauh dari visi. Jauh dari hal-hal yang meyakinkan positifnya. Yang selalu dikejar ialah umpan dunia yang tidak ada sudahnya. Dikejar semakin menjauh. Dipegang tiada.

Bapa burik yang baik tidak berupaya lagi untuk semestinya melahirkan anak-anak yang cukup rintiknya. Hanya cebisan rintik yang terlalu kecil sahaja yang ada. Yang menjadi. Terlalu banyak cacat celanya. Amat mengecewakan. Harapan yang tinggal harapan. Warisan keluarga mungkin hanya pada paras rupa. Mungkin hanya pada pigmen kulit. Hanya pada hidung dan mata. Dagu dan kening. Tinggi dan timbangan berat. Yang lainnya terserah kepada persekitaran yang sukar dikawal. Anak-anak banyak di luar dari di rumah. Banyak bersama kawan dari adik beradik. Kita tidak tahu siapa rakan taulan mereka. Jenis apa mereka semua. Sekali mereka terlepas seluruh hidup kita menyesali apa yang telah tersilap segala-galanya. Kawalan itu sepatutnya dari mula. Dari rebung yang sangat lembut. Itupun jika kita tahu dan kenal rebung. Tahu cara melenturnya. Tahu untuk apa dilentur.

Nothing can be taken for granted. Nothing is simple. Semuanya mesti dilihat dengan mata kasar dan mata hati. Ibu bapa mesti menyediakan lorong-lorong yang boleh dipilih secara positif. Terowong gelap tanpa cahaya mestilah dielakkan kerana di dalamnya banyak perangkap maut.  Perangkap membinasakan. Yang susahnya ialah ibu bapa juga yang akhirnya menanggung kesemua kesilapan dan kekhilapan aanak-anak. Kembali kepada bangsa. Keturunan. Keluarga. Sebab itu tanggungjawab menjadi ibu dan bapa tidak pernah ada hentinya. Check and balancenya ada sepanjang usia. Anak-anak tetap amanah hingga roh tiada. Malah nanti di alam barzah kita masih ditanya. Di akhirat masih ditanya. Bagaimanakah didikan kita terhadap anak-anak. Bagi yang masih muda ambillah iktibar. Mungkin masih ada harapan untuk membina anak-anak yang menjadi soleh dan solehah. Semuanya ada di tangan kita. Pohonlah kepada Allah agar anak-anak kita menjadi yang terbaik. Menjadi imam dalam kategorinya. Dalam lingkungannya. Dalam zamannya.

Dunia sudah semakin sempit. Semakin pendek. Putarannya semakin laju. Kitarannya juga laju. Jika tidak berpijak dengan asas agama dan Islam yang kukuh maka kita akan terpelanting jauh terawang-awanng tanpa berjejak di bumi nyata. Khayal dan kemabukan semata-mata. Ya Allah! Selamatkanlah diriku dan diri keluargaku. Hidupkanlah kami dalam Islam dan matikan kami dalam Islam. Hanya kepadaMu juga kami mohon keampunan dan pertolongan. Sesungguhnya Kaulah Yang Amat Memberi Keampunan. Amin ya Rabbal ‘Alamin.

Wednesday, September 14, 2011

Antara Dua Dunia


Kita biasa melihat kanak-kanak kecil. Bayi barangkali. Kita juga biasa melihat orang tua. Kanak-kanak yang kita lihat adalah lambang masa lampau kita.  Kita pernah melalui zaman-zaman itu. Anak yang tidak mengerti apa-apa. Mereka hanya tahu ketawa apabila kehendaknya dipenuhi. Menangis bila kehendaknya gagal dipenuhi. Anak yang hanya tahu menganga. Mulutnya minta disuap makanan dan air minuman. Tahunya bermain dan bermain. Leka dengan barang mainan. Lupa ibu bapa. Lupa abang dan kakak. Lupa makan dan tidur. Hidupnya hanya untuk bermain dan bermain. Jenuh dijerit. Bertalu-talu dipanggil. Berbuih ibu membujuk. Namun anak yang masih kanak-kanak kecil tetap dengan ftrah kanak-kanak. Membesar dengan belajar bermain. Jika mata  dan naluri kita peka, semasa bermain itulah kanak-kanak mempamerkan bakat pada dirinya. Mungkin bakat kepimpinan. Menggerakkan kanak-kanak yang lain untuk melakukan aktiviti yang wajar bagi kanak-kanan. Dia selalu di hadapan. Lagak pemimin di barisan hadapan. Saiz dirinya bukan penentu yang mutlak. Lagaknya memukau kanak-kanak yang lain.

Semasa kanak-kanak itulah zaman yang paling senang. Minta apa sahaja. Tidak faham erti tiada. Ketidakmampuan bukan ada dalam pemikkiran naïf kamus mereka. Tidak faham erti mampu. Ramai ibu bapa yang sendu kerana gagal memberi yang terbaik untuk anak-anak mereka. Bertangguh dan berdalih kerana tidak mampu. Namun begitu anak-anak sepertinya menjadi sumber inspirasi kepada ibu bapa. Mereka bekerja keras untuk menyediakan yang sepatutya untuk anak-anak mereka. Bergolok bergadai perkara biasa. Pinjam entah dari siapa. Entah berapa banyak. Entah untuk apa. Membesarkan anak-anak bukan perkara mudah. Rumah tangga yang dibina melahirkan anak-anak yang perlu diperlihara. Yang dibesarkan menurut kemampuan diri seadanya. Ada masa lebih. Ada masa kurang. Namun ramai ibu bapa yang serba kekurangan dalam memberi yang terbaik untuk anak-anak. Sangat berada dalam keterbatasan yang nyata.

Fitrah kanak-kanak melihat apa yang ada pada orang lain. Irinya menjadi-jadi. Mereka akan meminta seperti itu. Mendesak ibu bapa menyediakan apa yang dimahu. Anak remaja selalu mengalami konflik ini. Kenapa diri mereka berada dalam keluarga yang tidak berkemampuan. Kehendak mereka tidak pernah dibatas. Tidak tahu di mana batasnya. Mengapa ada keterbatasan itu. Mahunya semua ada. Disebut di mulut, tersedia di hadapan mata. Alangkah manisnya jika anak-anak mengerti apa itu kekurangan. Apa itu ketidakmampuan. Ketidakcukupan. Kemiskinan. Kefakiran. Mereka diberi keinsafan bahawa hidup ini tidak semuanya tersedia di atas dulang emas. Bahawa semuanya tidak mesti ada. Berkecukupan dengan apa yang ada. Redha dengan ketenuan Yang Maha Esa. Mereka tahu ibu bapa mereka telah berusaha. Mungkin kudrat yang ada. Yang selalu terbatas dengan kelayakan akademik yang berpada. Dengan kemahiran yang tidak seberapa. Setakat itu pendapatan yang yang tidak mengujakan.

Memang beruntung anak-anak yang semua ada. Sebut sahaja semuanya tersedia. Hingga mereka tidak tahu istilah tiada. Semuanya dianggap mudah. Taken for granted. Lupa bahawa yang di atas akan turun ke bawah. Yang di bawah akan naik ke atas. Masa senang dan masa susah silih berganti. Jika kereka terlalu merasa semuanya ada, maka mereka tidak boleh menerima apa yang tiada. Tidak boleh hidup tanpa kekurangan. Sedikit yang tiada menyulitkan mereka. Pertimbanganpun menjadi porak pranda.  Akal budi menjadi tiada. Apatah lagi jika mereka tidak pernah diajar susah. Diajar berpada dengan apa yang ada. Diajar  berkongsi dengan orang lain di sekeliling mereka. Diajar untuk tidak hanya berhibur tanpa had tanda. Akhirnya mereka membesar menjadi anak-anak yang memanjakan diri mereka. Tidak kenal yang hak. Tidak kenal batas. Tidak kenal siapa diri mereka yang sebenarnya. Malang sungguh bagi ibu bapa yang terus-terusan memelihara anak-anak yang sudah dewasa. Yang sudah berumahtangapun. Anak-anak mereka membesar tanpa kematangan fikiran. Mendewasa tanpa akal. Masih ditanggung tanpa  batas. Manja yang diberi di ruang masa yang terlampau di luar jangka.

Anak-anak yang sepatutnya menghibur setalah dewasa. Hidupnya berdikari tanpa berlebih-le bihan itulah yang diidamkan ibu bapa. Cukuplah membantu apa yang mampu. Keluarganya terlindung dari azab hidup. Cukup makan. Cukup sandang pakai. Cukup terlindung dalam rumah yang sederhana. Membina kasih sayang yang berpanjangan. Memutuskan hidup bujangnya dengan menjadi suami yang bijaksana. Bapa yang selalu mendahulukan anak-anak. Beruntunglah isteri yang mendapat suami mithali. Anak-anak mendapat bapa mithali. Bukan payah. Bukan sukar. Bukan di luar kemampuan. Jaga agama. Jaga Islam. Jaga iman. Solat mematuhi jadual. Di mana selakilpun ditunaikan tanpa  banyak berdalih. Puasa ditunaikan kerana itu adalah perintah Allah. Sedekah bila ada. Zakat bila sampai haulnya dan hisabnya. Haji bagi yang berkemampuan. Solat dulu yang diutamakan. Dalam susah atau senang solat itu wajib. Dalam sakit atau sihat solat itu wajib. Dalam suka atau duka solat itu wajib. Dalam sibuk atau senggang solat itu wajib. Jika solat dapat dijaga maka Allah akan memberi yang selayaknya. Kita ingat kepada Allah, maka Allah akan lebih lagi mengingat kita.

Ingatlah kita semua akan menjadi tua. Itulah masa hadapan kita. Masa yang langsung tidak mengujakan. Menghina orang tua takut kita menjadi pula sepertinya. Tidak menghormati orang tua takut pula kita menjadi sepertinya. Sebab itu menjadi anak-anak kita mesti menjadi yang terbaik. Mahu belajar dari tidak tahu. Mahu pandai memiliki kemahiran. Mahu bekerja untuk mebina kerjaya berjaya. Setinggi yang mungkin. Sebesar yang mungkin. Sehebat yang mungkin. Itulah bekal masa hadapan kita. Bekal masa tua kita. Bekal masa susah kita. Bekal masa daif kita. Bekal masa-masa terakhir kita. Tidak dinafikan agama memerlukan anak-anak menjaga kebajikan ibu bapa mereka yang sudah tua. Yang sudah tidak mampu apa-apa. Tetapi anak-anak sekarang besar tanggungannya. Semuanya perlukan biaya yang tinggi-tinggi belaka. Kemampuan anak-anak yang tidak seberapa. Alhamdulillah bagi anak-anak yang kerjayanya melebihi dari berpada. Dapat dikongsi dengan ahli keluarga yang lain. Ibu bapa tentu tidak dilupa.

Tidak ada yang terbaik dari bersedia sendiri. Menyediakan apa yang perlu untuk hari tua. Menjadi tua tidak semestinya hanya mengharap sahaja. Mengemis dari semua yang ada di sekeliling kita. Bersedia dari muda amat sangat perlunya. Mengumpul harta sepadanya. Ada tanah sebidang dua. Ada rumah cukup sederhana untuk dihuni bersama semua yang ada. Bersedia bahawa apabila tua tidak semua akan menghulur tangan memberi segala. Menjadi tua bukan semudah yang disangka. Terlalu ramai ibu bapa yang terlantar di rumah orang tua-tua. Anak-anak bukan tidak mampu. Adik beradik bukan tidak mampu. Saudara mara bukan tidak mampu. Zaman sudah berubah. Orang Islam sudah mabuk dengan dunia. Mereka terpanar dengan kilauan-kilauan yang menutup rasa belas. Rasa ihsan. Rasa sayang. Rasa cinta. Rasa tanggungjawab. Hidup banyak nafsu-nafsi. Melupakan yang perlu. Terlalai dengan kealpaan yang melampau. Hati menjadi beku. Kaku. Terkunci mati. Tidak mungkin terbuka lagi. Tertutup rapat dan kejap. Manusia yang bernama anak-anak menjadi kejam dan zalim. Tidak lagi menjadi harapan. Tidak lagi dapat menjadi tempat bergantungan. Malah dirinya sendiri terkulai dan terlantar dengan kemabukan diri.

Semoga kita semua menjadi orang-orang tua yang berada serba berpada. Cukup makan dan pakai. Anak cucu yang datang bertandang dalam keadaan selesa. Dapat sama-sama menikmati apa yang ada. Yang penting tua bukan untuk menyusahkan. Bukan untuk menyulitkan. Bukan untuk menyukarkan.  Bukan untuk melebarkan jurang kemiskinan. Meluaskan kepapaan. Bukan menebarkan kefakiran. Segala perancangan hidup hendaklah dipetakan sedari muda. Dirangka untuk masa hadapan yang pasti tiba. Masa tua yang memang akan sampai masanya. Ingatlah masa mudamu sudah berlalu. Sudah lama ditelan sejarah. Masa tuamu akan sampai walaupun dihalang sekuat mana. Ia pasti tiba. Dapat dijangka. Kita semua dapat mengira dari satu, dua dan  tiga. Kirtaran hidup ini tiada hentinya. Dalam perjalanan menuju alam baqa itu kita melalui hidup fana yang berbagai ronanya.  Mudah-mudahan kita dapat mewarnakannya untuk anak cucu yang ditinggalkan. InsyaAllah.

Monday, September 12, 2011

Wanita dan Dirinya

Di mana hati wanita? Suatu ketika ia menjadi anak. Dilahirkan dari rahim seorang ibu yang juga wanita. Ia membesar menjadi wanita sunti. Anak dara yang bukan lagi pingitan. Tidak seperti Mariam yang dipingit sepanjang masa. Menjadi pilihan Allah untuk melahirkan rasul Ulul ‘Azmi yang diberi nama Isa A.S. Atau menjadi Fatimah Az-Zaharah. Puteri kesayangan Rasulullah. Dijamin wanita pertama masuk ke syurga. Mendahului ibundanya Siti Khadijah, wanita yang sangat dicintai Rasulullah. Yang selalu dirindui wlaupun setelah wafatnya. Wanita solehah yang mengorbankan segala-galanya untuk suami tercinta. Untuk Islam yang didokongnya. Untuk Allah yang menjadi tempatnya kembali. Mana lagi wanita solehah yang bernama ‘Aisyah, Masyitah dan Rabi’atul Adawiyah. Kesemuanya adalah wanita pilihan Allah yang menyinari diri wanita. Menaungi keindahan wanita. Melunakkan hati lelaki yang selalu dianggap keras.

Sampai ketikanya  wanita yang dicipta indah itu menerima nikah seorang lelaki jodohnya. Masa dulu-dulu, jodoh wanita dipadankan oleh ibu bapanya. Ditelek dan ditenung lelaki yang memiliki cirri-ciri pelindung. ‘Alim agama dan amalan. Ada bekal ekonomi berupa pendapatan bagi daya meneruskan hidup.  Ciri-ciri lelaki harapan. Menjamin kesejahteraan berumahtangga. Zaman berubah. Membawa bersamanya kelainan dan perbezaan mengikut tempat, situasi dan masa. Cinta berputuk di mana-mana. Ada yang di akal budi. Nilainya tinggi menjulang untuk membina mawaddah. Kasih sayang pasangan manusia yang mencari redha Allah, malaikat dan manusia. Tetapi banyak pula cinta yang dikutip di tepi jalan. Nilainya rendah dan menghinakan.  Nikah bukan untuk Allah. Nafsu menguasai diri. Akal hilang pertimbangan. Iblis dan suku sakatnya berkeliling pinggang.

Bila ijab telah terlafaz, bila qabul telah disambut, sahlah sepasang lelaki dan wanita yang mengikat tali perkahwinan. Jodohnya telah sampai. Ramailah yang lega. Ketika itu menjeritlah syaitan. Begitu juga sekutunya yang bernama iblis. Mereka gagal mencondongkan nafsu  pasangan itu. Nikah mereka meghalalkan yang haram. Yang dulunya selalu dibisikkan syaitan. Yang selalu digoda syaitan. Syaitan yang menghias mata supaya cenderung yang haram. Melihat yang bukan mahram. Nikah itu penamat godaan syaitan. Semuanya menjadi halal kepada keduanya. Hilang segala kerisauan ibu bapa. Jiran tetangga. Saat begini semuanya terlerai apa sahaja yang terbuku di hati. Kelegaan dan kegembiraan memanjang. Senang. Riang.

Siapakah lelaki pilihan yang berada di kanannya? Kenapa tidak di kirinya? Kenapa tidak di hadapannya? Kenapa tidak di belakangnya? Kenapa di sisi kanannya? Apakah dia perlu tahu? Apakah dia perlu akur dengan kedudukan itu? Islam menentukan lelaki itu di kanannya. Sebagai pelindungnya. Ketuanya. Pemimpinnya. Wanita adalah kekasih lelaki. Yang memberikan ketenangan dan kegembiraan. Yang menyenangkan perasaan. Yang menjadikan kestabilan psikologi. Lelaki yang mengerti bahawa wanita yang di kirinya itu adalah bak tulang rusuk yang agak bengkok. Sifatnya keras. Perlu dilurut dan diurut. Dikasari terluka. Dikerasi mungkin retak dan patah. Dibiarkan kekal pula bengkoknya.  Itulah wanita yang perlukan belaian supaya kerasanya melembutkan. Ia perlu dirawan agar dirinya dan seluruh jiwa raganya boleh ditawan. Telinganya ingin selalu mendengar hamburan kata-kata manis bak pengemis. Hembusan nafas yang sentiasa menghangatkan. Matanya perlu direnung sayup untuk mendamaikan. Hatinya perlu dilapah rindu supaya lunak dan lemah menjadi wanita solehah. Wanita yang bernama isteri tentu sahaja hanyut dibuai sayang dari lelaki suami yang menyantuni kasih sayang isteri. Yang meraikan rasa cinta sepanjang bersama. Warna warni alam berumahtangga.

Bila dirinya dimiliki lelaki pilihan maka terpisahlah ia dari ibu kesayangannya. Yang mengandungkanya. Yang menumpangkan rahimnya selama sembilan bulan sepuluh hari. Yang lahirnya merenggut separuh nyawa. Yang jika mati, syahid seorang ibu yang melahirkan seorang pewaris agama. Pewaris Islam. Seorang muslimah harapan. Dipeluk ibu. Dicium pipi kanan dan kiri. Kehangatan yang dulunya sebati. Mengalir air mata yang berbaur antara suka dan hiba. Hiba kerana dakapan ibu itu akan jarang dirasa lagi. Sudah ada pengganti yang bernama suami. Tinggi benar harapan agar kehangatan suami sehangat dakapan ibu. Diharapkan dakapan yang diberi tanpa syarat. Yang hangatnya mencairkan rasa cinta dan rindu. Yang membina bibit-bibit kebahagiaan berzaman-zaman. Abadi. Abadan abada. Selamat tinggal ibu. Aku ingin menjadi sepertimu. Membahagiakan suamiku seperti ibu membahagiakan bapaku. Suamimu. Tunjuk ajarmu akan ku laksana. Tetapi pengawasanmu masih ku perlu. Akan ku rujuk mengikut keperluan waktu. Aku tetap anakmu. Walau apapun jadinya aku selepas ini.

Dapatkah nanti lelaki yang bernama suami mengerti inginnya?  Memberikan yang terbaik kepadanya? Walaupun sudah maklum kelemahan isteri, ditakuti suami masih keras melayan isteri. Sibuk dengan kerjayanya tanpa membahagi masa. Banyak di luar dari kembali ke rumah. Rakan dan teman yang perlu dilayan hingga tiada kesempatan menjadi pelindung. Teknologi menguasai diri tanpa memberi keadilan kepada isteri yang setia menanti. Telefon, e-mail atau sms bukan mengganti diri. Tiada ada rasa sentuhan kasih sayang. Konflik diri sebegini meracuni fikiran wanita. Hatinya yang libang libu menjadi kelabu. Cahaya menjadi gelap pekat tanpa ada panduan menyuluh jalan di hadapan. Bergolaklah  hidup dengan ledakan kesangsian. Hidup menjadi layang-layang putus tali. Jatuhlah bila angin berhenti. Tidak. Tidak semua wanita begitu. Banyak kesempatan menjadi wanita besi dan waja. Yang keras tindakan dan azam. Tangan yang lembut itu menggenggam erat perjuangan. Jari jemari yang halus menggoncang dunia. Membuai ayunan anak-anaknya  merentasai zaman hadapan yang penuh dengan harapan.

Malang bagi wanita yang hilang diri. Dibuang tanpa disedari. Kecewa yang amat sangat.  Jika dulu bapanya yang diharap, sekarang suami yang menjadi fokus seluruh hidupnya.  Nanti akan berbaris anak-anak menadah simpati kasih sayangnya. Ketika itu tiada lagi erti jemu. Tiada bosan. Hiduplah seorang wanita yang memperhambakan diri untuk keluarganya. Makan minum yang perlu disedia. Dalam kuantiti, kualiti dan jadual yang tetap. Suami yang diurus fizikal, personaliti dan kemanusiaannya. Segala-galanya berputar dan berkisar yang semakin membesar bundar. Dari mula saat aku terima nikahnya hinggalah anak-anak nantinya dewasa. Bercucu dan bercicit. Wanita cantik yang dulunya gebu menjadi gilaan lelaki luntur wajahnya menjadi berkedut seribu. Dalam kedut-kedut itulah terhimpun pengalaman lalu yang banyak indah dan suka-dukanya.

Meniti hari-hari tua tentu banyak likunya. Kesihatan yang entah kenapa. Tulang temulang yang semakin tidak mengizinkan kekuatannya. Nafas yang semakin pendek kerana tenaga dan stamina yang jauh telah terhakis. Ingatan yang semakin hilang kesegarannya. Mata yang semakin dekat jarak nampaknya. Telinga yang sudah padam nada suaranya. Deria lain yang fungsinya semakin kabur. Jadilah wanita itu seorang tua. Apapun namanya ia tetap tua. Warga emas adalah warga tua. Sudah tersepuh banyak kali. Sudah lali dengan siapa yang peduli nilainya. Dalam khazanah diri mungkin tidak ramai yang tahu isi hatinya. Mungkin hasratnya sudah lama tertunai tetapi hatinya masih belum damai. Ada yang terpendam tidak kesampaian. Seluruh hidupnya telah diabadikan untuk suami. Untuk anak-anak. Segala-galanya telah direnggut darinya mungkin juga dengan paksarela. Atau memang itu fitrah yang hak diterimanya.

Setelah segala-galanya lupus waktu masih ada lagikah yang ingat. Apakah suami masih terimbau zaman memadu kasih dahulu?  Zaman siang dan malam adalah sama. Zaman alam ini hanya milik berdua.  Benarkah suaminya masih mengingat semula detik-detik manis itu? Masih berbekaskah empati suami kerana dulu ia lemas mengandungkan anaknya. Ia kehilanganan saiz. Ia kehilingan rupa. Ia kehilangan dirinya yang dahulu. Kepayahannya yang tidak pernah menentu. Diri dan duduk sama payahnya. Tidur dan baring sama payahnya. Duduk dan bergerak sama payahnya. Pinggang yang sudah lama hilangnya. Kaki dan paha entah bila bengkaknya. Selera selalu patah kerana metabolism diri yang dirasa bukan-bukan. Sayangku! Aku bukan diriku lagi. Kasihilah aku seadanya. Aku hanya sebahagian dari dirinya yang paling hampir. Akan ku lahirkan zuriatmu yang nanti mewarnai dunia. Dunia kita. Dunia di luar sana. Mereka menjadi amanah kita untuk agama. Untuk Allah. Mudah-mudahan mereka menjadi anak-anak pilihan yang tebal imannya. Yang utuh akidahnya. Yang kecintaannya kepada Allah mengatasi segala-galanya.

Wanita fitrahnya setia. Lumrahnya pengasih. Sayangnya kepada suami dan anak-anak jangan ditanya. Ia mahu sahaja ke hadapan mempertahankan mereka. Wanita dan ibu menuntut kekuatan dalaman yang menangkis cabaran. Godaan. Ganggu gugat yang selalu boleh melemaskan.  Semuanya didambakan bahawa syurganya pada suaminya. Beruntunglah wanita yang merangkaikan wanita-wanita solehah untuk lelaki-lelaki  soleh. Di syurga nanti akan penuh dengan kebahagiaan yang benih bibitnya telah disemai di dunia. Telah disemai oleh wanita-wanita yang mendapat lindungan Allah. Yang diberkati Allah. Yang diredhai Allah. Hanya kepadaNya kita memberi sembah. Hanya kepadaNya kita memohon pertolongan. Mudah-mudahan Allah memberi petunjuk ke jalan yang lurus. InsyaAllah.

Friday, September 2, 2011

Hati Seorang Lelaki


Siapa seorang lelaki? Yang pastinya ia seorang anak kepada sepasang suami dan isteri. Bayi yang lahir itu membesar menjadi kanak-kanak. Zamannya diwarnai alam sekelilingnya. Ada yang kondusif dan ada yang tidak. Ada yang penuh warnanya dan ada yang tidak. Ada yang memancar bahagia dan ada yang tidak. Masing-masing dengan alam yang melingkungi diri masing-masing. Kanak-kanak itu membesar dengan membawa segala yang dibekalkan semasa kanak-kanaknya. Menjadi remaja yang penuh dengan cabaran pancaroba. Rona-rona menggoda yang banyak. Bertuah bagi mereka yang pertahanan dirinya kuat. Selamat bagi mereka yang lingkungan hidupnya jauh dari keterbukaan godaan maksiat. Waktu inilah keranuman untuk belajar. Menimba ilmu seluas lautan yang tidak bertepi. Malangnya tidak ramai yang sampai ke tepian. Ramai yang lemas. Tenggelam. Hilang dan hanyut dalam arus hidup yang berbagai.

Bagi yang selamat bekerja pula membina kehidupan. Berkerja. Berkerjaya. Meniti dari tahap ke tahap. Membina kedewasaan. Membina kematangan. Membina kebijaksanaan. Beruntunglah anak-anak yang terang cahaya hidupnya. Berada dalam naungan ibu bapa yang membahagiakan. Yang bimbingannya selalu menyuluh ke hadapan. Anak itu pula jalannya soleh. Lurus bak sirat al-mustaqim. Usia yang meningkat lazimnya sinonim dengan kematangan. Kedewasaan. Kebijaksanaan. Namun tidak semuanya begitu. Ada juga anak-anak yang tidak menjadi. Yang jalannya bengkok tidak mencari lurus. Diberi cahaya yang dipadamkan. Kekal meraba-raba dalam gelap. Pandangannya tertutup sentiasa. Padanya dalam gelap itu dia nampak cahaya kemilau yang kaca semata-mata. Intan yang bergemerlapan tidak pernah dinilai tinggi. Malah kadang-kadang intan itu dibuang-buang tiada gunanya.

Fitrah manusia mahunya berumahtangga. Mencari mawaddah. Keindahan berkeluarga. Membiakkan zuriat penyambung warisan keluarga.  Maka jadilah lelaki itu bernama suami. Dari anak menjadi suami bukan ada kursus professionalism. Lelaki hanya melihat dan mendengar. Memahami tetapi tanpa banyak mengerti. Lalu apabila dia menjadi suami dia hanya ingat apa yang bapanya telah berperanan. Apa yang dilihat pada jirannya. Pada keluarganya. Pada masyarakat keseluruhannya. Malangnya menjadi suami dan bapa bukan nalurinya selalu benar. Kesempatan untuk belajar menjadi suami dan bapa yang baik dan hak  jarang diambilkira. Jarang belajar dari yang arif. Yang sudah berbelas orang anak yang dijayakan hidupnya. Model-model kejayaan jarang yang dirujuk.  Ramai pula bapa yang tidak pernah mahu memahami hakikat bahawa  anak-anak mereka semakin membesar. Akal budinya perlu dibentuk. Inteleknya perlu dipupuk.

Suami peranannya besar. Bapa peranannya besar. Dua peranan ini cukup mencabar lelaki. Namun lazimnya lelaki cukup tenang menghadapi keadaan. Walaupun ramai lelaki yang selalu hilang sabar, masih ramai yang boleh diharap lagi. Yang masih menjadi suami dan bapa sejati. Bahunya sentiasa berat menanggung tanggungjawab besar amanah Allah ini. Benarkah lelaki tiada perasaan. Rasanya lelaki juga seperti manusia lain. Ada kekuatan dan kelemahannya. Mungkin egonya kuat bertahan dalam banyak hal. Wajahnya tiada riak dalam hal yang remeh temeh. Hal-hal yang tidak menggugat keselamatan keluarga atau negara. Dia lebih condong memikirkan hal yang berat. Yang serius. Yang besar impaknya. Yang konsekuennya perlu dielakkan.  Fikirnya banyak. Lambat memulakan tindakan. Bukan melengah-lengahkannya tetapi memilih alternatif terbaik.

 Benarkah lelaki buta perasaan? Tiada naluri sendu? Begitulah yang dilihat secara fizikal. Luaran yang selalu disalah tafsir. Yang selalu dipandang dengan penuh kesangsian. Kecurigaan yang sengaja dipanjang-panjangkan. Lelaki selalu disalah erti. Tanyalah suami. Hatinya selalu remuk bila dirinaya tidak dapat membahagiakan isteri yang dicintai. Jiwanya luluh bila orang kesayangannya tidak berada dalam kesejahteraan. Mampunya setakat itu. Rezekinya semampu itu. Kudratnya tercatu beku. Benteng airmatanya selalu pecah kerana sebak di dalam yang menggoncang dada sempit yang sesak menahan gelora keterbatasan diri. Gunung yang hendak didakap. Apakan daya tangan tak pernah sampai walaupun dipanjangkan kedua-duanya. Suami juga ada perasaan untuk memberi yang terbaik untuk orang-orang yang dicintainya.  Pernyataannya sahaja selalu tidak lahir dengan nyata. Isteri sahaja yang perlu bijak mentafsir apa yang dilihat dan didengar. Tidak mungkin suaminya tidak memberi riak kasih. Ombak sayang. Gelombang rindu. Angin sapaan dalaman yang halus dan penuh isyarat bermakna.

Kasih ibu katanya membawa ke syurga. Kasih bapa pula berkorban nyawa. Seluruh hidupnya hanya untuk keluarganya. Membina kebahagiaan sejagat yang lamanya malar sepanjang usia zaman. Tawa dan senyum yang meriangkan isteri dan anak-anak. Memanusiakan mereka untuk menjadi warga dunia yang berguna. Berwawasan untuk umatnya. Melihat jauh ke hadapan untuk memberikan yang terbaik untuk kemanusiaan sejagat. Tugasnya berat untuk membina warisan keluarga. Yang diinginkan ialah kebahagiaan untuk anak-anak dan cucu cicitnya. Sewaktu dia menerima nikah seorang isteri dahulu telah tergalas tanggungjawab itu.  Bahawa di bahunya itulah nilai-nilai kejayaan, kebahagiaan dan kesejahteraan keluarganya. Ia menerima dengan penuh tanggungjawab dari bapa mertuanya. Wali isterinya yang memindahkan tanggungjawab isteri itu kepadanya.

Seorang bapa menyerahkan anak-anak perempuannya kepada lelaki yang diharapkan penuh tanggungjawabnya. Mengambil alih tugasnya untuk terus merencanakan membahagiakan puteri-puteri kesayanganya itu. Sewaktu ia menyerahkan anak-anaknya kepada seorang suami maka terputuslah haknya seketika. Ada orang lain yang mengambil alih. Doanya penuh debar. Harapannya menggunung tinggi. Semoga Allah membahagiakan anaknya di samping suami masing-masing. Ia hanya mampu melihat luarannya. Fizikalnya seperti yang dipamerkan. Jarang ia dapat menangkap yang tersirat. Namun naluri halus seorang bapa juga ada di mana-mana. Menangkap tanda-tanda kilauan yang tidak mengena. Pancaran-pancaran yang tidak menyuluh. Terang yang selalu terlindung. Jalan yang selalu nampak banyak likunya.

Lelaki juga selalu kecundang dengan perasaannya. Tangisnya tidak menyendu. Airmatanya tidak selalu membasahi. Sendunya tidak berbunyi. Namun di kala menyendiri matanya penuh sarat menggenang air. Memberat bersama sebak di dada. Membengkak dan membuku di dalam. Yang terakam mungkin keluhan dan hembusan nafas berat. Yang sarat dengan beratnya perasaaan. Lelaki itu gagah dan agam diri luarannya. Hatinya lembut juga. Perasaanya mudah tersentuh sayu mendayu bila ada yang menyentuh perasaannya. Jiwanya mudah rapuh. Cuma lelaki banyak bertahan untuk mengimbangi keadaan. Dia adalah simbul lelaki. Gagah. Kuat. Teguh. Sabar. Panjang akalnya. Maka pada kebanyakan masa  dia berlakon. Dia menyamar. Dia melakonkan watak lelaki. Watak suami. Watak bapa.

Pada kebanyakan masa seorang suami terlalu sunyi hidupmya kerana tuntutan bahwa ia perlu bersendirian. Semuanya dituntut beres. Seorang bapa lebih banyak sunyinya kerana anak-anak mengharap kebapaannya. Itulah lelaki yang selalu disalah erti. Dunianya sunyi. Dunianya sepi. Dunianya kosong. Isteri dan anak-anak yang mengerti yang dapat memenuhi  ruang-ruang kosong dalaman dirinya. Berat tanggungan hatinya bila ada di sekelilingnya yang tidak beres. Tidak membahagiakan. Tidak mencapai tahap kualiti kesejahteraan. Apakan daya, dia lelaki. Banyak keterbatasan yang selalu tidak diketahui setakat mana. Bukanlah malang menjadi lelaki. Tetapi jika pengertian ini diberi, penilaian diwajarkan, peluang dan ruang diberikan barangkali lelaki boleh menjadi lelaki yang memang lelaki.

Wednesday, August 31, 2011

Harapan Dan Kebimbangan

Hidup ini penuh dengan ketidaktentuan. Hak  yang mutlak  hanya milik Allah. Ketentuan itu sesungguhnya hanya dariNya sahaja. Manusia merancang, Allah merancang, perancangan Allah jua yang lebih baik. Selamanya lebih baik. Lebih baik itu hak Allah. Tuhan semesta alam. Yang Maha Pencipta. Yang memiliki segala sesuatu. Yang di bumi. Yang di langit. Dan yang di antara keduanya. Sesunggunya jin dan manusia diciptakan Allah semata-mata untuk beibadat kepadaNya.  Untuk mengabdikan diri kepadaNya. Untuk mencari redhaNya. Kesemuanya dilakukan keranaNya. UntukNya. Tanpa Allah mencipta kita, kita tiada. Allah mencipta kita ada misi dan visi yang mesti kita laksanakan. Yang wajib kita lakukan. Jika tidak kita hanyalah menjadi makhluk yang lebih hina dari sampah. Yang hanya layak untuk menerima azab Allah. Kita dikurniakan akal tetapi kita menzalimi diri kita sendiri dengan tidak menggunakan akal. Segala-galanya akan ditarik balik. Mungkin secara sedar. Mungkin melalui proses yang panjang. Mungkin secara mendadak. Segera. Semerta. Mungkin juga tanpa kita sedari.

Allah sentiasa memberi yang terbaik untuk  kita. Keberuntungan yang besar ertinya. Yang menggunung pahala dan ganjarannya.  Jasad kita milik Allah. Minda kita milik Allah. Perasaan kita milik Allah. Hati kita milik Allah. Sesiapa yang cintakan Allah maka Allah pasti lebih mencintainya. Sesiapa yang mendekatkan dirinya kepada Allah pasti Allah datang kepadanya  dengan cepat. Dengan pantas. Lebih mendekat dari yang kita sangka. Setalah beriman kepada Allah, malaikat, kitab, Rasul, hari qiamat, qada’ dan qadar maka kita serahkan diri kita kepada Allah. Segala landasan Allah yang kita lalui. Kita gunakan landasan syariah untuk nanti kembali kepadaNya. Dan jalan itu semakin hampir setiap saat. Hampir ke penghujungnya. Dalam hal ini kita lupa hakikat. Dunia ini hanya pinjaman. Hanya untuk singgah sementara. Di hadapan sana ada perjalanan yang panjang. Ada destinasi terakhir yang akan dituju. Moga-moga nikmat itu datang di sisi Allah.

Qada’dan qadar yang Allah berikan kepada kita tentulah dengan perkiraan Allah Yang Maha Bijaksana. Sesungguhnya Allah tidak membebankan manusia dengan hal-hal yang tidak selayaknya kepada manusia pilihannya. Semuanya adalah ujian yang berat tetapi dapat ditanggung dengan faculti yang ada pada manusia itu. Mengetahui hakikat ini akan meringankan perasaan berat dan sebal. Gundah gelana. Bimbang dan ragu. Keresahan. Kerisauan. Cengkaman rasa hati yang memeritkan. Yang berbuku dan sukar diurai. Harapan selalu berbunga dalam hati kita. Menunggu keindahan-keindahan yang diimpikan. Yang dicita-citakan. Yang diidam-idamkan. Yang azamkan. Yang selalu didoakan. Diharap-harap rahmat Allah. InayahNya. Kasih sayangNya.

Harapan kita selalu pada yang baik. Yang luhur. Yang memberi kegembiraan. Yang mendamaikan hati. Menenangkan perasaan. Menstabilkan psikologi. Mengembangkan akal fikiran. Dalam kamus diri, kita selalu menyisihkan hal-hal musibah yang kadang-kadang datang. Yang selalu memberikan kebimbangan yang merawan-rawan datangnya. Harapan kita tinggi. Mengharap kebaikan warna-warni kehidupan yang bergaya. Gemerlapan dengan cahaya kebaikan. Pancawarna bersinar yang memberi kepuasan. Membina harapan tinggi yang menggunung dan menjulang awan. Semuanya diharap yang baik-baik belaka. Yang positif. Yang akhirnya memberikan cahaya kebahagiaan yang mampan. Yang memberikan keindahan kehidupan. Harapan untuk lebih cerah ke akhirat. Ke raudatul jannah.

Namun sebagai manusia kita sentiasa diuji. Ujian yang jika mampu dihadapi pasti memberi kesempatan kebahagiaan yang selalu elusif dari kita. Ujian yang diharaf dapat memartabatkan diri. Memberi kemuliaan diri. Mengangkat darjat kemanusiaan. Darjat muslim atau muslimah. Darjat khalifah yang sudah dipertanggungjawabkan kepada kita. Datang juga kekesalan yang menghiris qalbu. Kesebalan yang mendalam lautan dasar hati. Lalu membentuk kesugulan yang menikam-nikam di dalam.  Allahuakbar. Genangan mata yang mahu dihambur membasah pipi. Sesaknya di dada dengan sarang duka yang menerawang luas tanpa tepi dan haluan. Terkapai-kapai mencari tepian yang jauh dilantun ombak kehidupan yang menjauh. Hanya ada dua pilihan besar. Kita selamat kerana usaha dan diselamatkan. Atau lemas dihukum kejahilan dan kedegilan. Kesemuanya kerana gagal mengawal diri dan perasaan. Gagal menempatkan diri di persada nikmat yang selalu ada di hadapan mata. Kita tertipu dengan kilauan kaca tanpa warna. Tanpa makna. Tanpa apa-apa. Hanya kilauan yang mempesona tetapi tiada erti.

Itulah gunanya akal. Dipanjang-panjangkan. Dicanai dan diperah manfaat berfikir. Didisiplinkan supaya panjangnya bukan sejengkal. Bukan sedalam lautan. Bukan setinggi gunung. Akal yang bermanfaat tetap mensejahterakan diri dan perasaan. Minda dan  akal budi perlu diguna untuk kembali ke pangkal jalan bila sesat. Bila terlanjur. Bila terperosok ke lembah yang jauh menghina. Kembali mengkoreksi diri kerana terbabas dari landasan benar. Kerana gagal memilih yang hak dan yang terbaik. Memilih bukan dengan akal tetapi dengan nafsu. Membuat keputusan dengan jalan yang bukan syariah. Apapun pilihan yang ada di hadapan kita, nilailah dengan akal budi. Dengan minda terbuka. Banyak membaca. Banyak bertanya. Banyak memikir. Akhirnya rujuk syariah. Patuhlah kepada ketentuan syariah kerana itu sahaja pilihan yang diredhai Allah. Pilihan lain hanya ditakuti menuju kesesatan sahaja. Iblis dan syaitan ingin benar kita terjerumjus ke lembah kehinaan. Untuk nanti ditertawakan dan diperlekeh kerana kebodohan diri sendiri mengikuti saranan keduanya.

Untuk menggunakan akal budi harus banyak muasabah diri. Memohon kepada Allah jalan pemikiran yang hak. Yang menuju kebaikan. Tetapi doa mestilah diiringi dengan usaha berterusan. Perancangan yang sentiasa disemak dan dipantau. Penilaian dari tahap ke tahap untuk kebaikan. Mencari redha Allah. Barakah yang dipinta selalu. Usaha yang dirancang perlu pula disertai dengan berbagai bentuk disiplin. Peraturan yang wajar. Undang-undang. Dasar dan strategi yang mencari kebenaran. Jalan pilihan memang banyak. Yang hak hanya satu. Jalan yang berlandaskan syariat Allah. Tiada yang lain. Allah memberi ruang. Pilihlah yang lain tetapi Allah berjanji bahawa pilihan selain pilinNya adalah terbatal. Kita akan kembali kepadaNya. Dan janji Allah itu benar.  Kita kembali kepadaNya untuk menerim balasan yang setimpal. Jika pilihan yang hak pahala dan syurga ganjarannya. Pilihan yang lain adalah azab konsekuennya.

 Kita selalu mengharapkan yang terbaik. Yang terindah. Yang bergemerlapan. Yang cahayanya dinikmati oleh orang lain. Dikonsi oleh keluarga, sanak saudara, jiran tetangga dan teman-teman. Kebahagiaan yang dilihat dan dirasa. Yang dilimpahkan keluar. Yang disebarkan melalui angin dan iklim masa dan tempat. Biar warnanya mewarnai. Biar baunya menyegarkan. Biar segarnya membahagiakan. Biar damainya mendamaikan.  Biar amannya mengimbau-imbau perasaan. Nun jauh di sudut hati siapalah yang tidak mengharapkan kebahagiaan dan kedamaian. Doa selalu dipanjatkan agar Allah menganugerahkan keindahan kehidupan. Keindahan berkeluarga. Keindahan berkerjaya. Keindahan bermasyarakat. Keindaan hakikat hidup yang sebenarnya.  Ya Allah hanya padamu segalanya dikebalikan. Hanya Engkau yang memberi kasih sayangMu tanpa batas. Tanpa syarat. Engkau yang memberi keampunan. Ampunilah diriku. Diri isteriku. Ana-anakku. Cucu-cucuku. Semua salsilah keturunanku. Hanya padaMu aku mengharap. Berilah aku kekuatan. Berilah aku perisiaiMu bagi menghadapi segala cubaan. Hanya padaMu ya Allah aku serahkan segalanya.

Sekali kita salah langkah, surutlah ke belakang dengan banyak langkah. Betulkan semula haluan. Laut tetap terbentang luas. Terpulanglah kepada kita. Dayung atau kayuh. Renang atau ke tepian. Mudah-mudahan tidak hanyut tanpa tepi untuk dituju. Apa-apa tidak datang sekelip mata. Tiada jayanya dalam sebentar jangkamasa. Mulakan dengan tekad dan niat. Usaha dan perancangan. Orang ingin melihat apa yang kita mulakan. Ke mana arah yang kita haluankan. Kesungguhan yang dipamerkan. Pelan tindakan yang nampak kejelasannya. Menghapus keraguan yang datang. Semoga Allah merahmati dan memberkati. InsyaAllah.   

Monday, August 29, 2011

Hari Raya Menjelang Lagi

Alhamdulillah Hari Raya tiba lagi. Bukan dam dam dum yang mengusik jiwa. Takbir, tahmid dan tahlil yang dilaungkan. Menyatakan kesyukuran kerana Berjaya menyempurnakan tuntutan Ramadhan selama sebulan. Kita telah berpuasa bermula dari anak bulan Ramadhan hingga anak bulan Syawal. Esok, Selasa 1 Syawal 1342H, kita merayakan kemenangan itu. Kemenangan kerana memegang amanah Allah. Menyempurnakan rukun Islam yang ketiga. Suatu tuntutan besar bagi ummah. Apatah lagi dalam keadaan kita yang terlalu dikepung dengan berbagai godaan dan cabaran mendirikan agama. Serangan membina agama yang semakin kuat dan rencam. Serangan yang datang dari segenap penjuru. Hanya iman yang menebal di dada dapat menangkis kesemuanya. Puasa dan Ramadhan menjadi banteng kukuh yang kejap agam menepis segala serangan itu.

Esok kita berhari raya. Ingatlah jalan lurus yang telah kita bina selama sebulan. Jangan bengkokkan pada hari esok. Jangan terperosok ke lubang dosa pada hari esok. Sayang jika kita gagal mengawal diri di awal Syawal. Jika Ramadhan dapat kita jinakkan diri tentu kita tiada masalah menjinakkan Syawal. Tepuk dada tanya iman. Tanya hati. Tanya Islam. Bila difikirkan dalam-dalam apalah sangat hari raya idul fitri. Ia adalah hari-hari biasa yang dirayakan. Dibesar-besarkan. Disambut dengan gah.  Biar pape asalkan bergaye. Itu kata orang Peghak (Perak). Jangan. Banyak lagi agenda yang perlukan wang ringgit. Nak tambah rumah. Nak tambah tanah. Nak tambah ladang. Nak tambah saham. Nak besarkan perniagaan. Nak melabur. Nak kaya. Nak senang. Berjimatlah mang yang boleh. Elak jadi sahabat syaitan.

Orang muda barangkali kembang hatinya. Esok melaram sakan. Ke rumah bakal mak mertua. Bukan jumpa bakal bapa mertua tetai ingin sangat bertemu bakal isteri. Hari raya begini ringan kaki melangkah. Putar sahaja motor. Tekan sahaja minyak kereta. Jika tak jumpa pada hari raya pertama tidak ceria hari raya ini. Sabarlah. Hanya beberapa hari lagi. Paling lama sebulan dua. Bila sudah bersatu nanti terurailah segala simpulan hati. Tiada lagi yang perlu dipendam. Buku-buku yang terlerai. Simpulan yang terungkai. Hati yang berbunga dengan warna warni keindahannya. Segalannya amat bererti. Minta sahaja kiranya raya ini berpanjangan. Kekal panjang selama-lamanya. Akan dirayakan hati dan perasaan.

Bagi yang belum berpunya apalah nasib badan. Tercari-cari juga. Bukan senang untuk menemui yang berkenan di hati. Banyak senarai semak yang perlu diteliti. Kriteria yang berjela-jela mestilah diamati.  Tanda-tanda yang perlu diperhati. Iyarat yang perlu direnung dengan hati. Dengan makrifat yang mendalam. Mencari pasangan bukan sekadar pilih dan ambil di tepi jalan. Ia perlukan pilihan yang menjangkau zaman. Perlukan sangat sesuai dan meyakinkan. Mudah-mudahan tidak terkena yang menyakitkan. Pasangan yang diharap untuk memenangkan kasih sayang dan bukan yang menghancurkannya. Yang menjaga hati dan bukan yang menyakiti.

Bagi yang tua hari raya sibuklah dengan anak cucu. Saban tahun cucu bertambah. Menantu bertambah. Keperluannya bertambah. Semuanya tidak pernah terfikir sewaktu bercinta dahulu. Mana sampai akal memikirkan bilangan anak. Banyaknhya cucu. Ragam mereka. Perbezaan mereka. Kehendak mereka. Perangai mereka. Lazimnya kita menunggu tanpa sedar bahawa kesemuanya akan tiba juga.  Mungkin ramai yang tidak kesampaian untuk memikirkan urutan peristiwa datangnya babak-babak hidup berkeluarga. Dari seorang jadi berdua. Jadi bertiga dan berempat. Maka betambahlah ahli keluarga. Bila hari raya berhimpun kesemuanya. Kecuali seorang dua atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

Bila sudah berkumpul ada-ada sahaja yang perlukan perhatian. Bekalan makan mesti dicukupkan. Alat prkakas di dapur dilengkapkan. Pinggan mangkuk di susunatur. Lantai dan tingkap dibersihkan. Dimop berhari-hari. Karpet di vakum. Kain baju digosok rapi. Segala perhiasan dipasang hias. Pedek kata menjelang hari raya keadaan persekitaran perlu tip-top dalam segala hal. Lengkap, sempurna, tersusun. Budaya kita begitu. Tiada yang perlu dikhuatiri.   Cumanya perlu ada kesinambungan budaya yang tidak bercanggah dengan syariah. Yang seperti diperintahkan. Godaan syaitan terlalu banyak. Jenuh kita menepisnya. Menghalangnya

Kembalilah bertakbir. Berulang-ulang bertahlil. Berkali-kali bertahmid. Allah memerintahkan kita bersyukur dengan nikmatnya. Caranya bukan menyanyi. Bukan menari. Bukan membuat maksiat.  Banyakkanlah berdoa.  Berzikir. Mengingat Allah Yang Khaliq. Mendekatkan diri kepadaNya. Memohon keampunannya.  Hadapkan hati sesungguhnya. Besarkan hati mencintaiNya. Hanya mereka yang dekat dengan Allah mendapat rahmatNya. Mudah-mudahan kita antara mereka yang Allah perkenan. InsyaAllah.