Monday, August 8, 2011

Apabila Lampu Kuning Menyala


Ini bukan cerita di persimpangan jalanraya yang ada lampu isyarat. Namun impaknya hampir sama. Bila lampu kuning menyala kita perlu berhenti. Bukan melajukan lagi kenderaan to beat the red light. Dalam pengembaraan masa yang kita lalui kita banyak menemui lampu kuning. Di dataran Ka’abah Masjid al-Haram ada lampu kuning di suatu sudut. Kadang-kadang jemaah yang takut kehilangan teman atau pasangan berpesan supaya berada di bawah lampu kuning itu. Atau boleh juga di bawah lampu hijau atau putih atau biru. Lampu merah tidak ada. Di tengah bandar kita biasa menemui lampu kuning di zebra crossing untuk pejalan kaki. Tujuannya supaya semua kenderaan memberi laluan kepada pejalan kaki.

Kenderaan berwarna kuning selalunya sinonim dengan bas sekolah atau van sekolah. Kuning selalunya cerah dan terang. Mudah dilihat dalam keadaan apa sekalipun. Hujan ributpun masih dapat dilihat. Begitu  juga ketika kabus tebal lampu kuning yang kita nyalakan. Di mana-mana negara dalam dunia yang terbentang luas ini standard bas sekolah adalah sama. Kesemuanya berwarna kuning. Mungkin di Argentina. Mungkin di Rio. Mungkin di Tokyo. Mungkin di Perth. Mungkin di Shanghai. Mungkin di Ulan Bator. Mungkin di Kremlin. Hatta di mana sahaja. Kesemua bas sekolah adalah sama. Warna kuning. Tanda bahaya jika mengingkarinya.

Di US bas warna kuning ini sangat istimewa. Seperti bas-bas lain yang ada hanya ada seorang pemandunya sahaja. Kanak-kanak tidak perlu membayar tambang. Kosnya ditanggung oleh komuniti. Yang kaya membayar cukai. Yang miskin menikmati subsidi dari warga kaya yang lain. Saya ingin menyentuh tanggungjawab pemandu bas sekolah. Juga signifikannya bas warna kuning ini. Kita di Malaysia ada bas kuning. Tetapi terlalu banyak kemalangan berlaku kerana pemandunya tiada tanggungjawab khusus. Tiada keperihatinan yang tinggi. Tidak tahu besarnya tanggungjawabnya. Undang-undang juga tidak memberi suatu laluan supaya bas kuning ini bergerak dalam landasan agenda negara yang lebih besar. Ibu bapa di Malaysia pula ramai yang nafsu nafsi. Yang mereka pentingkan anak mereka sendiri. Anak orang lain tiada dalam perkiraan. Tiada agenda negara. Tiada agenda generasi masa hadapan.

Siapa pemandu bas? Dia seorang sahaja mengendalikan bas itu. Tiada pembantu. Tetapi tanggungjawabnya sangat berat. Seberat bahu menggalas. Dia menjadi custodian of future generation. Mungkinkah sebesar itu tanggungjawabnya? Dilihat sepintas lalu memang tidak kelihatan sebegitu. Bila kita teliti sehalus-halusnya kita akan nampak beratnya tanggungjawab pemandu bas kuning. Cuba bayangkan sebentar. Tutup mata kita. Lihat sebuah bas kuning yang memuatkan 40 orang pelajar. Usia mereka dari serendah tujuh tahun hingga sebesar 18 tahun. Siapa mereka? Benar pelajar sekolah. Tetapi siapa mereka sebenarnya? Bukan sekarang. Siapa mereka 20 tahun akan datang. 30 tahun akan datang. 40 tahun akan datang. Mereka bukan lagi manusia hingusan seperti yang kita nampak dalam bas itu. Dalam bayangan itu kita melihat pemimpin negara. Pemimpin negeri. Pemimpin daerah. Mereka adalah doktor berkalibar. Peguam berwibawa. Jurutera yang menjayakan projek mega. Usahawan yang merentas benua. Da’i yang menusuk qalbu. Pendidik yang mendidik. Bapa-bapa dan ibu-ibu mithali.

Pemandau yang seorang itu bukan calang-calang orangnya. Di belakangnya adalah bakal-bakal warganegara yang mengungguli generasinya. Siapa pernah memberitahu pemandu bahawa tanggungjawabnya sebesar itu. Dia bertanggungjawab bahawa kesemua penumpangnya yang kecil-kecil itu mesti selamat dalam perjalanan pergi dan pulang dari sekolah. Selamat sewaktu diambil dari rumah. Diambil dari ibu bapa mereka. Maka selamatlah juga matlamatnya apabila dikembalikan kepada keluarga kanak-kanak itu. Siapa pernah memberi anugerah kepada pemandu. Ramai yang tidak pandang dengan sebelah matapun. Kita menganggap itu tugasnya. Ibu bapa bayar usahanya. Mengimbau kembali tentang bas kuning ini tentu kita terkedu sebentar. Besar sungguh jasa pemandunya. Tanpanya kita terkejar-kejar antara menghantar anak ke sekolah, pergi ke pasar dan ke tempat kerja.  Mereka mengambilalih tugas ibu bapa. Tetapi kerana mereka dibayar kita tidak lagi melihat jauh ke hadapan bahawa pemandu bas kuning itu antara penyumbang terbesar kejayaan anak-anak kita. Warganegara akan datang.

Sebab itu di US bas kuning mengambil kanak-kanak dari rumah ke rumah. Kanak-kanak tidak boleh dibiarkan bersendirian tanpa pengawasan. Macam-macam boleh berlaku. Manusia dewasa kadang-kadang boleh melakukan berbagai-bagai perkara yang tidak siuman ke atas kanak-kanak yang lemah dan naïf. Berbagai-bagai kegilaan yang melampaui batas kewarasan. Culik, bunuh, perkosa dan berbagai lagi boleh berlaku ke atas kanak-kanak. Jenayah yang sudah disifatkan sebagai hiburan. Kegilaan yang di luar batas kemanusiaan. Di US perjalan bas kuning hanya sehala. Pagi sekali. Petang nanti sekali lagi. Pagi membawa mereka ke sekolah. Petang pula menghantar mereka pulang. Sekolah bermula pada pukul 9.00 pagi dan tamat pada pukul 3.00 petang. Kesemuanya satu sesi. Tidak ada sekolah dua sesi. Begitulah di seluruh negara mereka yang luas itu. Anak-anak diletakkan dalam suasana selamat di sekolah. Selamat dari segi persekitaran. Selamat dari segi makanan yang disediakan. Selamat dari jenayah yang berlaku di luar sekolah. Hampir seluruh hidup mereka di sekolah. Pukul lapan pagi mereka memulakan perjalanan. Pukul empat petang mereka kembali ke rumah.

Apa yang berlaku dalam biasa kita lihat di TV atau filem atau video. Sekarang saya ingin bawa pembaca melihat senario bas kuning berhenti di hadapan sekolah. Apabila bas berhenti, kesemua lampu kuning di empat penjuru bas dinyalakan. Bukan untuk cantik bergemerlapan. Bukan suka-suka. Bukan untuk dilihat dari jauh. Ia lebih besar dari itu. Lampu kuning itu sebagai isyarat bahawa children are disembarking or alighting from the bas. They may crisscross the road. All vehicals must stop. It is mandatory. Do not move until the yellow lights stop blinking. Ketika itu kesemua kenderaan dari hadapan dan dari belakang wajib berhenti. Tunggulah seberapa lama sekalipun. Selagi lampu kuning masih menyala selagi itulah mereka wajib berhenti. Tidak boleh marah kerana sistem itu mereka yang buat. Tidak boleh buat apa kerana sistem itu untuk melindungi anak-anak bakal generasai mereka akan datang.

Pemandu bas turun dari bas untuk mempastikan every children has gone into the school compound. Bila kesemuanya all clear, lampu kuning dipadam. Ketika itu menderulah semua kenderaan dipacu laju untuk meneruskan perjalanan yang tergendala. Begitulah besarnya bas sekolah warna kuning. Sangat signifikan di jalanraya. Diberi keistimewaan dari segi undang-undang. Satu lagi petunjuk orang bertamadun. Walaupun orangnya ada yang jahat tetapi sistem mereka memberi laluan yang terbaik. Semua yang baik difikirkan. Yang tidak baik difikirkan juga. Contohnya, pemandu yang melanggar kanak-kanak sekolah dikenakan penalti yang maksimum. Mungkin perlu umembayar pampasan hingga ratusan juta dollar. Kerana itu semua pengguna jalanraya mematuhi peraturan yang telah digubal. Kesemuanya difikirkan dari segi kepentingan negara. Kepentingan masa hadapan generasinya. Demi kesinambungan tamadun mereka.

Mungkinkah kita boleh mengambil iktibar dari bas kuning di US. Asasnya sudah ada. Memperluaskna fungsinya sahaja yang tidak ada. Kadang-kadang kita tidak mempunyai kekuatan itu. Sistem jalanraya kitapun belum cukup mampan untuk menampung segala kemudahan pengguna jalanraya. Jika bas kuning diberi kebebasan di sini rasanya ramai pemandu lain yang gila sasau. Mungkin ramai yan tidak peduli. Akan ramai anak-anak yang dilanggar kenderaan di hadapan sekolah mereka sendiri. Membunuh generasi yang diharapkan membina negara pada masa hadapan. Ayuhlah maju ke hadapan mencipta tamadun. Tamadun yang besar dan gah untuk masa hadapan yang lebih gemilang. Masa dan kekuatan diri yang boleh menjayakan ini semua. Kekuatan politik hanya satau aspek darinya. Kehendak hati. Kehendak jiwa. Kehendak diri. Kehendak membina tamadun tentu kuat tarikannya. Lebih kuat dari tarikan politik.

Sunday, August 7, 2011

Raja Jalan Kaki

Ini bukan juara pertandingan berjalan kaki. Ia adalah realiti dalam kehidupan orang di negara bertamadun seperti di US dan Eropah. Mereka yang berjalan kaki adalah raja segala raja. Seolah-olahnya jalanraya adalah mereka yang ampunya. Tetapi mereka tidak pula mengambil kesempatan melampau hingga menyusahkan orang lain. Mereka tidak pula melambat-lambatkan langkah  bila berjalan. Semuanya pantas dan tangkas. Umur bukan pemisah tentang keupayaan berjalan pantas. Cuma pengguna-pengguna jalanraya yang berkenderaan memberi laluan yang secukup-cukupnya kepada pejalan kaki. Kenapa? Susah hendak dijawab tetapi tetap ada jawapannya. Bangsa yang bertamadun seolah-olah sangat tawaduk. Mereka hormatkan orang-orang yang lebih rendah kedudukannya. Mungkin rendah ekonominya. Mungkin rendah taraf sosialnya. Mungkin rendah kerana kecacatannya. Mungkin rendah berbanding dengan mereka yang berkenderaan.

Dalam sistem kita anak-anak dididik supaya berhati-hati di jalanraya.  Mereka menjadi sangat daif. Sangat kecil. Sangat tidak ada nilai. Yang dilihat bernilai ialah kenderaan yang bersimpang siur di sekeliling mereka. Bila hendak menyeberang jalan anak-anak dinasihatkan supaya memandang ke kanan terlebih dahulu. Kemudian pandang ke kiri. Ke kanan semula. Jika jalan dalam keadaan lapang barulah boleh menyeberang. Itupun kadang-kadang dari jauh sudah terdengar bunyi hon kenderaan. Menggesa pejalan kaki supaya bersegera menyeberang jalan. Kenderaan pula jarang yang diperlahankan. Semua pemandu akan merasakan bahawa jalanraya itu laluan hak mereka. Yang berjalan kaki hendaklah memberi laluan kepada mereka. Begitulah undang-undang kita. Pemandu menjadi zalim. Pejalan kaki sangat dizalimi. Pemandu menjadi ganas. Tidak memberi hak kepasa orang lain. Nafsi nafsi.

Biasa didengar dari mulut pemandu yang kurang bertamadun, “Mau mati ka?” Pedih didengar telinga. Sudahlah miskin. Tidak mampu membeli kenderaan. Berjalan kaki pula. Menyeberang jalanpun kena maki. Kena sergah. Kena marah. Dalam pada itu ramai pula pejalan kaki yang dilanggar kenderaan. Motorsikal yang beroda dua itupun ganasnya melampau-lampau. Ramai pejalan kaki yang dilanggar motorsikal. Yang kena ragut juga pejalan kaki. Di negara kurang maju nampaknya pejalan kaki adalah manusia-manusia yang tidak diambilkira. Selalu dinyahkan dari perkiraan. Tidak dihormati. Tidak dipeduli. Tidak diberi pembelaan. Mereka yang senang mendominan segala segi. Terkesampinglah mereka yang kurang berkeupayaan.

Seorang teman melancong ke Rome sewaktu ia belajar di United Kingdom dahulu. Dia terpaku di tepi jalanraya. Bagaimana hendak menyeberang jalanraya yang sangat sibuk dengan kenderaan itu. Lebarnya 8 lorong. 4 di seberang sana. 4 di seberang sini. Tiada kenderaan yang dipandu perlahan. Pada fikirannya tidak mungkin dia dapat meyeberang jalanraya itu. Dalam pada termangu-mangu itu datanglah seorang nenek tua. Tanpa menoleh kanan atau kiri nenek itu terus memijak aspal sambil menjulurkan payungnya ke hadapan. Seperti diperintah-perintah semua pemandu memberhentikan kenderaannya kerana memberi laluan. Semua kenderaan di 8 lorong itu memberhentikan kenderaan masing-masing. Teringat cerita Nabi Musa yang sampai di tepi Laut Merah. Di hadapannya laut dan air. Di belakangnya Firaun dan bala tenteranya. Ketika itu Allah mendatangkan pertolongannya kepada kekasihnya Musa. Terbelahlah laut untuk memudahkan Nabi Musa dan kaumnya menyeberang laut itu. Terbentuk jalan yang lurus dan menyenangkan perjalanan. Begitulah kota Rome yang sibuk jalanrayanya masih memberi kesempatan kepada pejalan kaki. Rakan saya tadi mengambil kesempatan mengekori nenek tua yang telah membuka matanya tadi. Pengajaran yang mahal. Indahnya berada di negara orang. Banyak benda yang tidak ada di sini. Untuk mengalaminya memang tidak mungkin. Semuanya perlu dilihat sendiri. Dialami sendiri. Barangkali itulah gunanya banyak berjalan. Luas pemandangan. Banyak pengajaran. Mata kita dapat memandang kelainan yang berlaku di dunia luar sana.

Di US lain pula ceritanya. Apabila kita berada di tepi jalanraya dan tempat itu pula bukan tempat menunggu bas, pemandu-pemandu akan memberi laluan. Mereka faham bahawa orang itu adalah pejalan kaki yang hendak menyeberang jalanraya.Semua pemandu memperlahankan kenderaan secara automatik. Mereka memberi laluan kepada pejalan kaki. Malangnya orang Malaysia seperti saya tidak biasa dengan diberi penghormatan di jalanraya. Maka biasanya jadi teragak-agak. Boleh atau tidak menyeberang jalan. Oleh kerana tidak juga menyeberang, pemandu membunyikan hon kenderaan mereka. Tujuannya bukan untuk menakutkan pejalan kaki. Atau untuk tidak membenarkan pejalan kaki itu menyeberang jalan. Hon itu menggesa pejalan kaki supaya segera menyeberang jalan. Pemandu sentiasa berwaspada dan mepastikan bahawa pejalan kaki itu diberi hak menyeberang terlebih dahulu. Jika tidak menyeberang juga, mereka memberhentikan kenderaan. Pemandunya keluar. Mereka mengarahkan supaya pejalan kaki itu menyeberang, “Go, Go.” Di samping arahan lisan mereka menggerakkan tangan memberi arahan.

Untuk 100 tahun lagi saya rasa kita belum lagi ada kemungkinan mencapai tamadun sebegitu. Pejalan kaki di Malaysia sentiasa dalam keadaan gusar untuk menyeberang jalanraya. Banyak yang ditakuti. Undang-undang kita juga tidak menyebelahi pejalan kaki. Tetap juga dicari siapa yang salah. Malang sungguh pejalan kaki yang didapati bersalah. Pembelaan tidak ada kepada mereka. Hakim yang arif lagi bijaksana juga tidak memberi ruang pembelaan. Sangat jauh bezanya. Di negara maju bukan harta benda yang maju. Bukan pembangunan sahaja yang maju. Bukan teknologi sahaja diutamakan. Kemanusiaannya dibangunkan. Falsafah kemanusiaannya diunggulkan. Gaya hidupnya dimurnikan. Memang ada hal-hal yang tidak elok pada pandangan   kita tetapi hal-hal seperti  itu tidak menghakis kemanusiaan yang mereka bina. Yang mereka bangunkan. Yang menjadi lambang tamadun mereka.

Dalam membina tamadun banyak yang perlu difikirkan. Walaupun undang-undang mereka bukan berlandaskan syariat Allah tetapi banyak nilai-nilai kebaikan dalam undang-undang mereka. Keadilan digubal. Difikirkan. Diberi nilai yang adil dan tinggi. Keadilan dilihat. Keadilan diperjuangkan. Kita bercakap dalam konteks maslahah umum. Mereka bercakap dalam konteks public interest. Natijahnya nilai kemanusiaan, nyawa dan kemanusiaannya sangat tinggi. Dipandang tinggi. Dihormati. Menjadi kayu ukur ketinggian hati budi mereka. Mengimbau semua itu kadang-kadang saya hilang fikir. Bagaimana hendak menerapkan kebaikan dalam kehidupan kita. Sistem yang ada banyak membela yang di atas. Yang dibawah selalu terkena. Tidak diberi hak yang sewajarnya.The equation is always wrong. 

Wednesday, August 3, 2011

Undang-undang Yang Praktikal

Saya selamat mendapat lesen. Bukan tidak tahu memandu tetapi di negara orang peraturan dan undang-undangnya perlu dijaga. Jika tidak kesemuanya akan menyesakkan hidup nanti. Tentu diburu keresahan kerana melakukan kesalahan yang terlarang. Cuma saya teringat soalan-soalan yang dipaparkan untuk dijawab semasa mengambil ujian mendapatkan lesen itu.  Bagi orang Amerika dan Canada ada beberapa perkara yang dikira lebih utama dari yang lain. Yang lebih dipentingkan ialah keselamatan diri, keselamatan kenderaan dan keselamatan orang lain. Dalam keadaan normal itulah yang mereka utamakan. Dalam keadaan lain tentu lain pula pertimbangannya.

Undang-undang dalam aspek apapun ada kaitannya dengan tamadun. Ianya berkait rapat dengan kebijakasnaan berfikir. Falsafah yang tinggi walaupun pada kebanyakannya menyimpang dari agama. Logik akal selalunya menyerlah. Masih ingat sewaktu tuan mengambil lessen dahulu? 50 soalan aneka pilihan. Banyaknya. Tetapi cuba lihat di jalanraya. Ramai pemandu yang naik  hantu bila memegang stereng. Mereka merasakan jalanraya adalah milik mereka. Mereka persetankan pengguna jalanraya yang lain. Memandu selaju mampu. Memotong ikut suka. Parkir untuk diri sendiri sahaja. Apa sebenarnya yang dipelajari di sekolah memandu? Undang-undang jalanraya untuk siapa jika bukan untuk pemandu. Tetapi kenapa ramai pemandu mengabaikan undang-undang?

Silapnya mungkin tamadun kita. Falsafah kita. Hidup kita. Jalan fikir  kita. Jalanraya itu apa sebenarnya? Tempat bunuh diri? Pusara yang memanjang PLUS dari utara hingga ke selatan? Atau ruang untuk dinikmati jauhnya. Mudahnya. Sosialnya. Ketatasusilaannya. Perkongsiannya. Jalanraya bukan milik individu. Ia milik semua pengguna. Kerana itu kita berkongsi. Bertolak ansur. Hormat menghormati. Memberi laluan.  Mencari ketenangan. Menahan kesabaran. Menjaga keselamatan diri, keluarga dan pengguna lain. Kembali kepada undang-undang, yang mana satu yang perlu diutamakan. Yang dianggap penting. Yang dikira lebih besar impaknya. Kita jarang fikir mengenainya.

Kita selalu diperingatkan bahawa apabila hujan atau jalan basah kurangkan kelajuan. Mengapa? Entahlah, saya belun dengar penjelasan saintifik mengenainya. Yang dicanang hanya ianya bahaya. Barangkali ini jawapannya. Di USA perkara ini sangat diambil berat. Dalam ujian memandu perkara ini ditekankan. Hydroplaning. Hydro adalah air. Planing adalah luncuran. Di sana hydroplaning berlaku dalam dua keadaan. Pertama semasa hujan dan keduanya semasa salji di musim winter. Apa pentingnya ya? Bila jalanraya dipenuhi air ia membentuk satu lapisan yang memisahkan antara tayar kenderaan dan aspal jalanraya. Jika kenderaan dipandu laju semasa hujan tayar berada di atas air. Bayangkan orang meluncur salji atau meluncur air. Memang kenderaan bergerak laju. Seperti biasa sahaja.

Apa akan berlaku jika kenderaan itu dibrek. Memang tayar berhenti berputar. Tetapi, tetapi tayar itu meluncur di atas air. Hydroplaning. Tidak boleh dikawal sebab kenderaan darat bukannya kapal. Ketika dibrek itu macam-macam boleh jadi. Ada masanya kenderaan terbabas. Ada pula melayang dan menjunam ke tebing. Ke longkang. Ke gaung. Menyeberang jalan. Ada pula tunggang terbalik entah berapa kali. Kenderaan yang dipandu perlahan berada dalam keadaan siuman. Tayarnya berjejak di atas aspal yang keras. Bila dibrek tayar mencengkam aspal. Kenderaan yang laju akan terus meluncur bila dibrek. Tidak ada yang hendak dicengkam. Jika istilah ini sudah ada dalam bahasa Melayu Alhamdulillah. Jika belum ambillah ini sebagai ingatan dan pengajaran.

Kebanyakan jalanraya di negara kita tidak dibina curve. Tembok kecil ditepi jalan. Benteng barangkali. Untuk apa? Cantik? Sempit? Dalam sistem jalanraya di Barat curve itu dipastikan ada. Untuk apa ya? Ianya sangat berguna ketika parkir. Jika kenderaan diparkir menungkah bukit maka arahkan tayar ke kanan (ke kiri di USA dan Canada). Bila parkir menurun bukit maka arahkan tayar ke kiri (ke kanan di sana). Sangat mudah difahami. Andainya brek tangan kurang berfungsi maka tayar bergerak ke arah curve sama ada dalam keadaan maju ke hadapan atau dalam keadaan undur. Kerana gerakan kenderaan itu perlahan sudah tentu dijamin kenderaan itu tidak melepasi curve. Maksudnya dalam keadaan tersebut kenderaan pasti selamat. Kendraan lain selamat. Orang lain selamat. Selamat harta benda yang berhampiran. Sistem ini tidak ada pada kita. Kadang-kadang dibina curve tetapi teralu tinggi hingga merosakkan bahagian hadapan atau belakang kenderaan.

Saya hanya membicarakan dua aspek undang-undang yang sangat praktikal. Ada penjelasan saintifik. Mereka yang tidak berpendidikan tinggi sekalipun dapat memahaminya, bukan sesuatu yag bombastik. Bukan istilah besar hingga sukar difahami. Interpretasi dan terjemahannya sangat down to earth. Untuk diamal oleh semua orang. Bukan digubal sebagai undang-undang yang tidak berfungsi. Saya melihat semua itu sepadan dengan sistem hidup yang mereka bina. Yang mereka jaga. Yang mereka pertaruhkan. Bukan senang memberi kautamaan. Kadang-kadang kita tidak mengetahui yang mana lebih utama. Kepada orang Barat keutmaan tentu berkaitan dengan bahaya yang paling besar. Konsekuen yang paling merumitkan. Keuntungan yang paling tinggi. Kerugian yang paling besar. Kos yang paling tinggi. Kesulitan yang paling besar. Semuanya menjadi kriteria untuk melakukannya atau untuk menghindarinya. Yang penting nikmat dirasa, bala dihindar.

Tuesday, August 2, 2011

Ramadhan Datang Lagi

Hari ini 2 Ramadhan. Hanya tinggal 27 hari lagi. I Syawal menjelang tiba. Pasti tiba. Yang tidak pasti ialah kita. Pertama mungkin tidak menemui Syawal itu. Keduanya layakkah kita merayakannya? Kenapa? Ramadhan ini sempurnakah seperti yang dituntut. Kewajipan yang di dalamnya penuh cabaran. Dugaan kesabaran. Ujian keimanan. Mencari manusia Muslim dan Muslimat. Yang cintakan Ramadhan dengan sepenuh jiwa raga. Menatang datangnya. Mengelus hadirnya. Menimang siang dan malamnya.

Firman Allah yang mafhumnya, “Wahai!  Orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti juga telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu menjadi orang yang bertaqwa.” Puasa adalah hanya untuk orang yang beriman. Baru ada iringan pahala dan syurga. Bagi orang yang tidak beriman, mereka berpuasa juga. Orang agama lain berpuasa juga. Berdasarkan maksud ayat di atas hanya yang beriman sahaja diambilkira puasanya. Umat terdahulu (yang beriman) telah mengerjakan puasa. Kita bukan yang terpilih sahaja.  Allah memberi suatu motivasi bahawa ganjaran berpuasa ialah taraf bertaqwa. Tetapi tentu ada syaratnya.


Puasa dimaklumi sebagai menahan lapar dan dahaga. Namun maksudnya diperluaskan bahawa yang lebih besar dipuasakan ialah hawa nafsu. Nafsu seks hanya satu aspek sahaja. Mungkin yang dikira tidak besar. Mempuasakan hawa nafsu dari kehendak yang tidak terbatas itu yang lebih besar. Memerangi musuh yang nyata di medan perang jauh lebih mudah berbanding memerangi kehendak hawa nafsu yang datangnya sangat menyulitkan. Yang banyaknya menakutkan. Yang bahayanya menggusarkan. Ia tidak kelihatan di mata kasar. Hanya dilihat dengan mata hati. Dirasa oleh orang yang punya diri. Apabila berlaku maka dirasa kejanggalan yang tidak terkira.


Bagaimana kita menerima kedatangan Ramadhan. Suka? Duka? Masih berbaur lagi. Allah. Masihkah kita di takuk lama. Pernah fikirkan bahawa Ramadhan ini mungkin yang terakhir. Mungkin hanya di awal. Atau di tengah. Atau di penghujungnya. Sebab?  Usia kita semakin mengurang. Dihakis lama. Ditolak gunanya. Tempohnya telah ditentukan sejak azali. Kita mengira kurangnya. Bila akhirnya hanya Allah yang Maha Mengetahui. Jika Ramadhan ini yang terakhir ahlamdulillah. Kita masih bersamanya. Tahun hadapan belum tahu lagi.


Ramadhan ini sangat istimewa untuk seluruh umat yang beriman. Padanya diturunkan al-Quran. Padanya malam Lailatul Qadar. Padanya segala amalan digandakan. Diganda-gandakan. Bukan ganda dua. Bukan ganda tiga. Tetapi gandaan yang sukar terfikir kerana kata ulamak gandaannya 70 kali. Malamnya solat tarawih. Siang dan malamnya dibacakan al-Quran. Waktu berbukanya adalah saat kegembiraan. Waktu sahurnya nikmat berjaga di hujung malam. Fikirkan. Fikirkan. Aduhai! Syahdunya. Allah Maha Besar. AnugerahNya melimpah-limpah. Andainya kita dapat melihat. Andainya dapat melihat gunung intan yang sebesar-besarnya. Mahligai yang teramat besar dan agam. Allahuakbar. Alangkah nikmatnya jika dapat dilihat semua itu.


Hanya yang beriman dapat melihatnya dengan iman mereka. Dengan kekuatan dalaman mereka. Sesungguhnya janji Allah adalah benar. Pahala itu benar. Syurga itu benar. Ramadhan al-mubarak. Bulan besar di sisi Allah. Di seluruh dunia manusia yang beriman berpuasa. Menanti datangnya Ramadhan untuk mencari radha Allah. Menunggu Ramadhan untuk lebih dekat di sisi Allah. Cuba renungkan. Renungkan dalam-dalam. Dari Subuh tadi kita berjaga. Siang ini kita berpuasa. Maghrib nanti kita berbuka. Malam nanti kita bertarawih. Sebelum subuh esok kita sahur lagi. Siang dan malam  ini  mudah-mudahan kita dalam peliharaan Allah. Iblis dan syaitan nyahlah kau dari menggodaku. Semoga rantaian ke atasmu lebih besar dan lebih kuat. Allah. Aku ingin menikmati RamadhanMu. Bersama nikmat yang mengiringnya.


Benarkah Ramadhan ini yang kita tunggu. Atau hari raya yang selalu mengimbau kalut adat beradat. Sampai bila agaknya kita memberi keutamaan kepada Ramadhan. Ala kadar menyambut idul fitri. Bukankah waktu berbuka pada hari terakhir Ramadhan melebihi hari raya. Setelah setiap hari kita beraya dengan berbuka, hari terakhir itu lebih besar rayanya. Benarkah begitu. Ayuh cuba rasakan. Bukankah Ramadhan nanti meninggalkan kita. Kita ditinggalkan penuh kesayuan. Bukan hari raya yang tidak dirayakan. Bukan kuih muih yang ditangisi. Bukan baju cantik yang dirindui. Kita akan kehilangan Ramadahan. Kita akan ditinggalkan Ramadhan. Ramadhan akan pergi jauh. Pergi lama untuk setahun yang panjang. Yang akan nanti dirindui. Diulit rasa resah dalam penantian yang menyesakkan. Datangkah lagi. Sampaikah nanti terpaannya. Syahdunya.  


Malangnya diri. Puasa belum, hari raya diri yang disediakan. Segalanya fokus kepada hari raya. Di mana keutamaan Ramadhan. Sepatutnya Ramadhan ini adalah pesta ibadat. Pesta mencari pahala. Mencari redha Allah. Bukan pesta makan.  Bukan pesta merancang hiburan untuk hari raya. Hari raya hanya sehari. I Syawal. Hari kedua sudah berpuasa semula. Begitulah hingga hari ke-7. Selepas itu berhari rayalah. Maaf sudah naik kerja. Anak-anak sudah sekolah semula. Jika kita fikirkan dalam-dalam, hanya ibadat sahaja yang kekal abadi. Buat semuanya yang namanya ibadat. Yang positif. Yang memberi ganjaran pahala. Yang agama perintahkan. Yang Allah garispandukan. Yang Rasulullah dakwahkan. Yang alim ulamak selalu laungkan.


Tahniah kepada saudara-saudara yang di utara kerana kesabarannya yang amat tinggi. Sekarang summer. Waktu siangnya amat panjang. Mungkin hingga 16 jam. Panas terik. Suhu tinggi. Cuasa cerah. Puasa tetap puasa. Don’t you feel hungry? Jawablah. Of course I’m. Then why don’t you eat and drink? Thank you. This is my religion. This is my choice.  I’m testing my iman. My belief in Allah. He The Almighty. Saudara kita di selatan sedang winter pula. Yes, the day is shorter. Could be 8 hours. Yet it is cold. Saudara di utara tentu dahaga kerana panas. Saudara di selatan berasa lapar kerana sejuk. Ujian ke atas mereka cukup berat. Bagi kita di Malaysia semuanya predictable. Puasa kita merata dalam 14 jam. Dari dahulu hingga sekarang. Hingga akan datang barang kali.


Mari kita muasabah diri. Ramadhan ini kita mencari redha Allah. Bukan redha manusia. Allah melihat kita. Hanya mereka yang mengerti maksud ihsan dapat merasakan dekatnya Allah. Sekarang kita bersama Ramadhan. Ia singgah sebentar. Tidak lama. Ia akan berlalu. Kita yang tinggal. Yang kita dahagakan ialah tarbiahnya. Tahun hadapan hanya milik Allah. Mudah-mudahan kita kembali kepada yang hak. Mencari redha Allah. Ingin dekat di sisiNya. Masa kita semakin hampir kepadaNya. Usia kita semakin terhakis. Yang tinggal ini hanya amanah dan pinjaman. Semuanya milik Allah. KepadaNya kita akan kembali dan dikembalikan. Ramadhan semoga sentiasa di hati.

Tuesday, July 26, 2011

Left-hand Drive

Kita di Malaysia sudah biasa memandu kenderaan yang sterengnya di sebelah kanan. Kita memandu  di sebelah kiri jalan. Di sebelah kanan kenderaan yang datang dari arah hadapan. Hampir di semua negara yang pernah menjadi tanah jajahan British mengikut sistem British. Hampir kesemuanya. Tidak kesemuanya. Patuh kepada tuannya. Setia kepada gembalanya.  Maka segala-galanya tentang jalanraya adalah British. Undang-undangnya begitu. Road Traffic Ordinance masih terpakai hingga sekarang walaupun kita sudah merdeka berpuluh tahun. Tiada pengubahsuaian yang besar. Kadang-kadang praticalitynya tidak ada. Undang-undang yang di atas kertas tidak diaplikasikan dengan budi bicara. Tanpa melihat perubahan zaman dan perubahan teknologi.

Negara-negara lain yang bukan British memandu di sebelah kanan. USA yang pernah berada di bawah British mengubah kebiasaan British.  Mungkin tradisi. Bilangan orang British di USA tidak ramai. Yang ada adalah Irish. Suatu waktu dahulu mereka yang mula berhijrah ke sana. The Pilgrim Father, kapal pertama yang membawa mereka ke sana pada tahun 1640 jika tidak silap tarikhnya. Kebetulan sejak dahulu mereka memusuhi orang English yang menjadi tuan kepada mereka. Orang Irish inilah yang menguasai politik Amerika hingga sekarang. Contoh paling utama ialah keluarga Kennedy. Begitu juga tentangan orang Scots dan orang Welsh terhadap apa sahaja yang namanya British.  Apabila Amerika membebaskan dirinya dari cengkaman British maka mereka mencipta sistem yang berbeza dari sistem British. English British tidak sama dengan English USA. Berbeza dari segi ejaan, sebutan, susuk bahasa dan istilah-istilahnya. Begitulah juga dari segi amalan hidup. Mazhab agama Kristian yang dianuti berbeza. Falsafah berbeza. Banyak sangat perbezaannya.

Semua negara di Eropah tidak sukakan British. Mereka juga memandu di sebelah kanan jalan. Stereng di sebelah kiri.  Yang menghairankan saya ialah negara Canada. Negara tersebut masih menganggap Queen Elizabeth II sebagai raja mereka. Ada jawatan governor general British di Canada. Walaupun bekas jajahan British Canada mengikut jejak Amerika dari segi peraturan jalanraya. (Ada cerita istemewa tentang ini bila saya  cerita saya sampai di Canada nanti). Banyak bangsa dalam dunia ini bencikan British. Tetapi kita yang pernah dijajah dengan licik sangat terarah ke Britain.  Nampak indahnya sahaja. Bahaya dan jahatnya British kepada orang kita dahulu terlupa begitu sahaja. Benarkah orang Melayu mudah lupa?

Apapun bila saya sampai di USA saya terpaksa mengambil lesen memandu di sana. Saya membawa lesen memandu antarabangsa tetapi sah hanya untuk sebulan sahaja. Oleh yang demikian untuk mendapat lesen memandu, saya kena membaca undang-undang jalanraya yang kebanyakanya agak berbeza dengan amalan kita di sini. Banyak undang-undang mereka lebih praktikal. Sesuai dengan tamadun yang mereka bina. Untuk mengambil lesen memandu saya tidak menduduki ujian bertulis atau ujian memandu di jalanraya. Sesiapa yang mengambil ujian untuk mendapatkan lesen memandu dianggap sudah boleh memandu. Tempatnya juga istimewa. Pendaftarannya di pejabat seperti JPJ di Malaysia. Lesennya hanya boleh diambil di balai polis tertentu.  Saya mendaftar ala kadar sahaja. Very simple and very brief. Yang penting ialah ID. Pengenalan diri dan alamat yang jelas. Saya serahkan borang di kaunter. Lalu disuruhnya saya ke satu booth yang memaparkan ujian yang perlu saya ambil. Terpapar soalan pertama. Saya tidak ingat soalannya.  Saya tekan butang jawapan. Begitulah seterusnya. Ada 20 soalan kesemuanya. Jika betul maka keluarlah tulisan warna hijau yang bergemerlapan. Congratulation! Pada kali pertama banyak soalan yang tidak dapat saya jawab. Jika salah keluar pula tulisan berwarna merah. Wrong! Bila keluar congratulation seronoknya bukan kepalang. Pada hal mesin yang memberi ucapan itu. Tiada apa-apa perasaan. Namun jika dihubungkan dengan manusia yang merekaciptanya baru dapat kita rasakan nikmat berjaya itu. Ada orang yang menghargainya. Bila wrong pula terasa pipi seperti ditampar-tampar. Ada orang marah kerana salah jawab. Terimalah hakikat bahawa bila salah itulah konsekuennya. Tidak ramai orang yang menerima kesalahan kita. Mereka tidak memaafkan. Pembetulan perlu dibuat. Usaha perlu digandakan untuk berjaya.

Dalam sistem pengambilan lesen ini jika gagal pada kali pertama, kita boleh datang kembali pada hari berikutnya. Tidak seperti di sini kita kena tunggu berbulan lamanya. Pada kali pertama saya menjawab hingga hampir soalan yang ke-20. Malangnya sebelum sampai ke penghujung saya menjawab salah sebanyak empat kali. Secara automatik saya gagal. Komputer memaparkan perkataan, “Sorry. Come back again.” Sepanjang hari itu hingga ke malamnya saya mengulangkaji semula silibus memandu.  Undang-undangnya simple tetapi perlukan pemikiran yang waras, rasional, civic mindedness. Falsafahnya sangat senang. You have no right to use the road unless you share with other people. Sebab itu mereka sangat perihatin di jalanraya terutama bagi yang berkenderaan sangat menghormati pengguna lain. Yang berjalan kaki paling diutamakan.

Kali kedua saya ambil ujian itu saya lulus. Dari soalan pertama hingga soalan ke-16 semuanya betul. Ujian hingga setakat itu sahaja. Saya telah disahkan lulus. Tidak perlu menjawab soalan-soalan berikutnya bila sudah lulus. Lulus adalah lulus. Di sinilah practicalitynya.  Jika di sini kita kena habiskan juga. Perbezaan falsafah. Congratulation ! You passed.  Saya hendak lesen.  Itu sahaja. Saya hendak memandu. Hendak melancong. Tempat pertama destinasi saya dan keluarga ialah Canada.  Sebelum itu saya kena belajar terlebih dahulu memandu dengan stereng di sebelah kiri.  Kereta di USA semuanya automatik. Untuk memandu yang bukan automatik perlu special request.  Pada kali pertama memandu kekok juga. Perlu membiasakan  giar automatik.  Memandu hanya menekan pedal minyak dan brek sahaja. Kena tahu bila kereta boleh start atau tidak. Memotong dari arah kiri pula. Brek kereta mereka memang efficient. Tekan sikit mencekam bunyinya. Mereka perlukan itu. Pemandu yang perlu tahu mengawal kenderaannya sendiri. Mereka semua dididik begitu. Learn to control things. Not to be controlled. Or being out of control.

Mengembara di USA adalah suatu pengalaman. Banyak berjalan luas pemandangan. Banyak yang dilihat. Lama hidup banyak dirasa. Negaranya luas. Lanskapnya berkejauhan. Ada hal-hal yang diluar kebiasaan. Jalanrayanya rapi. Kawasan rehatnya luas. Persimpangan-persimpangannya ditunjukarah dengan jelas. Papan-papan tandanya membantu. Dipendekkan cerita jika boleh membaca peta, insyaAllah tidak akan sesat. Ini kerana sistem jalanrayanya dibina untuk memudahkan. Apabila kita memandu seolah-olahnya ada navigator bersama kita. Teliti peta yang kita ada. Semua arahan ada di dalamnya. Kita boleh plot arah yang menjadi destinasi kita. InsyaAllah sampai dengan selamat. Now everything was set. Canada here I come. Saya bertujuh beranak warga kampung Parit Mohamad, Parit Sulong,  Batu Pahat, Johor adalah keluarga pertama yang menjejak Amerika Syarikat dan Canada. Sejarah yang tidak akan berulang. Hanya untuk keluarga tercinta ini. We made it. We had a great experience. Though it is only a distant memory nevertheless it is there. Still vivid. Yearning to be repeated again and again. Alas! An experience is an experience. To experience it is an experience in itself.

Saturday, July 23, 2011

Guru Itu Siapa

Seorang pembaca blog saya bertanya mengenai apa sebenarnya yang mesti dilakukan oleh seorang guru untuk memandaikan anak-anak didik mereka. Nasihat yang diterima semuanya berbentuk keras. Menggerunkan. Menunjuk kuasa kepada pelajar. Menjauhkan diri daripada mereka. Yang paling ditakuti ialah anak didik memijak kepala. Kebetulan saya pernah memainkan dua peranan. Menjadi pendisiplin dan menjadi kaunselor. Di sekolah menjadi HEM. Di universiti menjadi HEP. Ada masanya saya garang. Tetapi bukan menghina. Bukan mengherdik. Bukan mencela. Bukan memukul. Bukan menjengkelkan mereka. Saya ingin mendidik. Ada masanya saya berlembut. Saya usap hati mereka. Saya tusuk jiwa mereka. Saya hembus semangat mereka. Saya tunjukkan jalan  baik untuk menuju kebaikan. Kejayaan. Keindahan hidup. Alhamdulillah saya melihat kejayaan mereka. Dari semasa ke semasa ada berita baik dari mereka. Saya bersyukur kerana itu.

Ramai orang menjadi guru atas alasan yang berbagai. Sangat beruntung pelajar-pelajar yang mendapat guru yang tulen – born teacher. Semua ajarannya menjadi. Semua asuhannya menjadi. Semua didikannya terlaksana. Walaupun tidak semua pelajarnya menjadi hebat tetapi kesemuanya mendapat sentuhan peribadi guru yang hebat. Terpancar pada mereka didikan yang memberi rasa puas. Kelemahan mereka mungkin intelek yang sukar dibangun. Yang lain boleh menjadi superb. Tingkah laku mereka cantik. Peribadi mereka indah. Semangat mereka tinggi. Kemahiran insaniah mereka unggul. Guru yang baik menerapkan segala yang baik kepada anak didik mereka. Itulah yang dikenang sepanjang hayat mereka. Guru itu terpahat di hati mereka. Walaupun mereka mungkin lupa kerana kesibukan menjadi dewasa dan tua, namun dalam hati mereka guru itu tetap menjadi teman.

Suatu kisah di sebalik dunia sana. Seorang guru membelek-belek suatu laporan 20 tahun terdahulu. Rumusan dalam laporan itu menyatakan bahawa kesemua 20 orang pelajar itu tidak mungkin berjaya dalam hidup mereka. Terlalu banyak kelemahan yang tidak mungkin diperbaiki. Tidak mungkin boleh diubah. They were fated to be losers. Teringin di hati guru itu untuk melihat sama ada prophecy itu benar atau tidak. Seorang demi seorang dari mereka dijejaki. Amat memeranjatkan. Kesemua 20 orang yang dikatakan tidak mungkin boleh beroleh kejayaan itu sebenarnya sangat berjaya by all standards. Mereka berjaya dalam kerjaya yang mereka pilih. Yang akademik menjadi academician yang cemerlang. Yang menjdi usahawan berjaya dalam bidangnya.  Begitu juga yang lain-lain .

Apabila ditanya apa yang mendorong mereka untuk berjaya, jawapan mereka hampir serupa. There was this one teacher.  She designed our success. Guru itu dikatakan menyedarkan mereka untuk bangun membina diri hingga berjaya. Menangkis cemuhan yang sudah bertahun-tahun mereka terima. Yang seperti itulah suratan takdir yang semestinya mereka terima. Tetapi guru wanita itu mengubah segala-galanya. Ufuk hidup mereka menjadi lebih luas. Lebih jauh. Lebih tinggi. Kejayaan yang akhirnya mereka capai. Siapakah guru itu? Apakah yang telah dibuatnya? Apa jasanya? Besar manakah yang telah dibuatnya? Guru yang membuat penyelidikan itu menjejaki pula guru tersebut. Apabila diajukan tentang apa yang telah dibuatnya, hanya satu jawapannya, “I love them all.” Ringkas dan padat. Bayangkan jika jawapan itu didengar oleh anak-anak didiknya yang sudah 20 tahun lebih dewasa! Tentu mereka terlontar dalam kasih sayang yang tidak terbalas. Tentu syahdu.

Anak-anak didik adalah anak-anak yang perlukan kasih sayang. Learning through love.  Belajar menjadi lebih mudah jika ada besamanya kasih sayang. Yang bijak dikasihi. Yang nakal disayangi. Yang IQnya rendah sekalipun diberi kasih sayang yang tidak berbelah bagi. Percayalah. Yakinlah. Anak-anak didik dapat melihat telus ke lubuk hati kita. Mereka melihat dalaman kita. Mereka tahu setakat mana keikhlasan kita. Ketulusan kita. Segala niat yang baik akan sampai juga ke lubuk hati mereka. Pancarkan segala kebaikan untuk memenangi hati mereka. Mereka lembut apabila dilayan dengan lembut. Tetapi bukan lembut tanpa arah. Bukan bersifat mengalah. Bukan berundur hingga mereka mengasak menjadi ganas.  Berlembut dengan mereka dengan hujjah. Dengan kata-kata semangat. Dengan ungkapan-ungkapan besar. Dengan cerita-cerita kejayaan. Beri mereka gambaran indah menjadi manusia berguna dalam aspek apa sekalipun. Realiti dan fantasi mesti selari. Jangan berikan mereka ilusi.

Anak didik menjadi keras bila mereka dididik secara keras. Tidak semestinya mereka menjadi berjaya dengan berakhlak mulia jika mereka terdidik dengan keras. Kemahiran insaniah mereka akan terselindung di sebalik kekerasan. Kegarangan. Tidak dipancarkan kemanusiaan yang diharapkan. Keindahan tidak dilihat. Seni pada diri mereka hilang. Aesthetic value pada diri mereka tidak dapat dibangunkan. Ingatlah manusia ini dibangunkan kerana kemanusiaannya. Ia dikehendaki berinteraksi dengan manusia lain. Hidup berkomuniti. No man is an island. Jika anak didik tidak dibangunkan dengan sewajarnya maka mereka mencapah menjadi manusia yang tidak serasi dengan alam sekelilingnya. Lari dari keperluan bermasayarakat. Lari membina hidup tanpa erti kepada orang lain.

Terpulanglah kepada guru. Guru yang bukan berkerjaya sebagai guru memilih jalan-jalan mudah yang dalam jangkapanjang memusnahkan masa hadapan anak-anak didiknya. Oleh yang demikian mendidik mestilah berlandaskan dasar yang telah ditentukan. Strategi yang telah digariskan. Falsafah yang telah dibangunkan. Tentu sahaja mengaplikaasikan psikologi sama ada yang dipelajari atau yang telah diamati. Belajar dari pengalaman guru lain yang positif. Belajar dari guru-guru yang berjaya. Belajar dari ibu bapa yang anak-anaknya siuman. Sopan. Berakhlak mulia. Pilih apa sahaja cara yang difikirkan memberi kejayaan positif. Tangan guru mencorakkan kanvas masa hadapan anak-anak didik mereka. Lukisan indah tidak terpapar jika guru yang menjadi pelukis gagal melukisnya.

Yang perlu diingat ialah anak didik menjadi berjaya dalam akademik. Cantik akhlaknya. Positif dan bermotivasi diri. Self motivated. Berkembang menjadi manusia yang lebih baik. Berjaya dalam kerjaya. Menjadi warganegara cemerlang. Guru tentu maklum yang perlu dibangunkan ialah intelek, rohani, emosi dan jasmaninya. Beri mereka ketrampilan yang cekatan. Yang cekap. Yang robust dalam hidup. Memandang ke hadapan untuk mensejahterakan dirinya. Untuk mensejahterakan keluarganya. Untuk mensejahterakan masyarakatnya. Untuk mensejahterakan umatnya. Guru hendaklah menjadi guru. Tidak benar jika guru menjadi sebarangan orang. Apatah lagi menjadi sang algojo yang hanya tahu menghukum tetapi tidak mampu membentuk. Di bahu guru letaknya tanggunggjawab membina negara. Membina warganegaranya. Guru adalah pencorak zaman. Dirgahayu wahai guru.

Ertinya Kelahiran Ini

Hari ini genap usia saya 65 tahun mengikut kiraan tahun Syamsiah. Jika mengikut kiraaan Qamariah saya sudah berusia lebih 67 tahun. Bagaimana saya harus menyambut tarikh kelahiran ini. Terima kasih kerana ucapan selamat hari jadi yang bertalu-talu. Sejak hampir tengah malam tadi ucapan itu berjurai-jurai saya baca. Sebenarnya saya tidak pernah menyambut hari jadi. Ia berlalu begitu sahaja.  Sejak ramai sahabat di fb ramai yang memberi ucap selamat. Terima kasih banyak-banyak memberi tanda ingatan. Terima kasih kerana sudi bersahabat dengan saya. Terima kasih kerana  membaca apa-apa yang saya nukilkan untuk dikongsi bersama. Ada kelapangan fikiran kerana bersama dengan santai bermain minda.

Saya tidak  ada apa-apa selain dari diri saya. Selain dari nama saya yang mungkin orang kenal. Keistimewaan tidak ada. Hanya biasa-biasa sahaja. Kebetulan saya menulis pengalaman yang dulu-dulu. Berantai ingatan yang saya luahkan. Yang saya coretkan. Yang saya paparkan. Yang saya bentangkan. Yang saya hamparkan. Di dalamnya ada himpunan diri yang mungkin value added. Mungkin juga longgokan rempah ratus hidup. Perencah-perencah yang menjadikan diri saya. Lipatan-lipatan sejarah yang mungkin asing. Mungkin juga lapuk. Namun di situ diri saya. Berdiri dan tercegat mengimbau masa lalu yang berlalu. Masa hadapan yang semakin singkat. Lubuk saya. Denak saya. Jalan-jalan yang telah saya lalui. Denai yang membiasakan diri saya dengan onak dan duri. Lopak dan becak yang dibawa dari zaman merentas masa.

Saya boleh bercakap. Selama ini hanya pelajar-pelajar dan bekas pelajar yang pernah mendengarnya. Entah mereka faham atau tidak. Entah menyentuh sanubari mereka atau tidak. Entah memberi iktibar sekecil mana sekalipun. Entah memberi manfaat mendatar ruang. Entah memberi nilai kepada minda. Entah memberi tusukan halus yang selalu sukar untuk disampaikan. Telah lama saya ingin menulis. Menjilid pengalaman yang mungkin elok dikongsi. Dibaca dan digarap. Didengar dengan hati yang terbuka. Alhamdulillah blog saya memberikan ruang tidak terbatas untuk saya. Walaupun banyak hal yang terlintas untuk dibaca tetapi saya perlu mengawal diri. Terlalu banyak sensitivity yang perlu dijaga. Perlu diawasi. Namun sebagai manusia banyak kali saya tersentuh dengan berbagai peristiwa yang mendesah di sekeliling saya.

Minat saya banyak. Tiada pilihan khusus. Pilihan saya dari agama merentas politik. Di sampingnya saya selalu menjengah pendidikan. Menerawang sosial. Begitu juga ekonomi, sastera, seni, sukan dan hiburan. Terlalu banyak yang menghidupkan saya. Kurnia Allah itu saya manfaatkan kerana dengan menggarap banyak perkara saya menjadi lebih enriched.  Enhancing apa yang sudah terbina. Kesan-kesan cumulative ini menjalar dalam diri saya untuk memahami setiap situasi. Menangkap apa sahaja yang melintas datang. Yang melayang pipihnya. Yang bermukim dalam hati dan minda. Ia menmbentuk psikologi saya. Saya menjadi saya dan diri saya.

Kesempatan menulis ini membuka ruang yang sangat terbentang luas. Tiada ufuk yang menemukan mata saya dengan kejauhan. Tiada sempadan batas yang perlu difikir. Hari-hari yang berlalu adalah rahmat. Masa-masa yang melintas pergi adalah lambaian bahagia. Ruang-ruang yang saya huni adalah lambang damai yang bersarang di hati. Saya luncurkan kata hati semantara ada waktu. 65 tahun sudah terlalu lama. Terlalu muda pada setengah orang. Usia semakin sedikit berbaki. Yang tinggal diharap barakah. Ada lagi limpahan rahmat Allah. Yang penting masa mesti diguna. Mesti diolah. Mesti dijadual. Banyak yang boleh dilaksnakan. Tiada diam atau bungkam hanya menghitung hari dan masa. Tiada ratapan untuk masa lalu. Mata dan hati ke hadapan menghadapi apa yang mungkin datang. Yang mungkin menerpa. Masa-masa mendatang yang selalu didoakan barakahnya. InsyaAllah.

Bagaimana hari lahir ini harus diperingati. Perlu disambut. Dirayakan dengan riang ria? Atau ditangisi kerana banyak kesempurnaan yang tidak terlaksana. Barangkali muasabah diri yang lebih baik. Bersyukur dengan usia yang Allah kurniakan. Lalu mengingati bahawa pada tarikh ini usia saya berkurang setahun. Yang bakinya saya tidak tahu. Allah menyembunyikan itu dari makluman manusia. Yang digesa ialah memanfaatkan usia yang ada. Memberi erti kepada anugerah Allah ini. Memberi guna kepada sesiapa dan apa sahaja yang ada di sekeliling saya.

Saya bersyukur benar kerana membina kerjaya sebagai pendidik. Benar kerjaya lain juga bermanfaat tetapi setelah saya imbau saya rasa saya bertuah dipilih Allah untuk menjadi guru. Mengajar terlalu simplistic bunyinya. Semua orang boleh melakukannya. But only a few become great teacher. Real educator. Saya sendiri belum ke tahap itu. Namun begitu ada rasa istimewa yang saya bawa dalam diri saya. Rasa puas yang selalu membalut diri. Anak didik saya ada di mana-mana.  Bukan sahaja di tanahair tercinta ini. Ada juga yang di rantauan membina diri. Yang ingat dan yang tidak ingat bukan isunya. Saya ada dalam diri mereka. Membentuk diri mereka. Mungkin hanya cebisan yang terlalu kecil. Tetapi cebisan itu masih mencengkam kuat di tubuh dan sanubari mereka. Mereka bawa hingga ke mana-mana. Merentas zaman dan  masa yang saya tinggalkan di belakang.

Masa saya semakin singkat. Semakin suntuk. Semakin sempit. Semakin dekat dengan destinasi terakhir yang mutlak dan abadi. Tarikh lahir adalah sesuatu yang memberi ingatan. Ajal saya semakin dekat. Lambaian akhirat semakin hampir. Bahawa selamanya saya tidak akan berada di sini. Bahawa semua yang dahulunya indah ini hanya mainan dunia. Sudah terlalu lama alpa dengan semua yang fana ini. Ada yang hakiki di sana. Datangnya entah bila. Yang penting mesti sedia menghadapi datangnya.  Hari lahir yang datang mendekatkan saya ke situ. Ke arah itu. Ke tempat itu. Allah menyediakan tampatnya. Mudah-mudahan Allah memberikan  naungannya kepada saya. Insyaallah.